Tuesday, March 30, 2010

Chua Soi Lek akan jadi menteri?



Angkasanuri   
Datuk Chua soi Lek telah membuat kejutan dengan menewaskan dua calon pilihan presiden MCA. Pastinya Datuk Ong Ka Ting dan Datuk Ong Tee Kiat termenung dan tidak lena tidur memikirkan kekalahan mereka semalam.

Secara tradisi, presiden MCA akan dilantik sebagai menteri bagi mewakili kuota komponen BN dalam kabinet 1Malaysia.

Mungkinkah Ong Tee Keat akan digugurkan dan digantikan dengan Chua Soi Lek? Kemungkinan itu hampir pasti sekarang.

Adalah sesuatu yang janggal jika Ong Tee Keat kekal menjadi menteri kerana perlantikan beliau atas kapisiti sebelum ini sebagai presiden MCA.

Adalah lebih bermoral dan akan mengangkat imejnya jika beliau meletak jawatan sebagai menteri secara terhormat sebelum beliau terpaksa digugurkan dari kabinet.

Jika Chua soi Lek dilantik sebagai menteri, apakah jawatan yang paling sesuai untuk beliau? Saya mencadangkan beliau dilantik ke kementerian baru yang boleh diwujudkan oleh Perdana Menteri 1Malaysia.

Perlantikan beliau sebagai menteri wajar memandangkan rekod cemerlang sebelum ini sewaktu menjadi menteri.

Beliau bukan sahaja sanggup turun padang menguji ubat-ubatan yang ada di Kementerian Kesihatan yang disandang sebelum ini.

Cuma beliau sebelum ini terpaksa meletak jawatan kerana dirakamkan kerana menguji ubat-ubatan di luar waktu pejabat!

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

KUASA POLITIK & KUASA AGAMA



Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini...

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila 'iman rakyat' dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan 'Tuhan' atau 'pegangan agama' adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai 'tuhan' atau 'jelmaan Tuhan' adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai 'iman rakyat'.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau 'Tuhan', tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian 'penguasaan politik' atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang 'senior' tidak mahu memberi laluan kepada 'imam junior' di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun 'pengaruh politik agama' amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana 'kemaruk kuasa' seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infallible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya) "Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara 'membabi buta' (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-'Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah". (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya...

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan 'tidak boleh mengkritik mufti' atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan 'tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan 'panel kurang selesa' atau 'panel agama merasa keliru' maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama 'adat menyembah raja sehingga merangkak' direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan 'sambungan jawatan'! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama 'pintar dan putar' antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku...

Nota pengarang: Dr Mohd Asri - bekas mufti Perlis - adalah lulusan sarjana mudanya Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam. Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis

RM 52 Bilion Saham Bumiputera Hilang: Umno/BN Pengkhianat?


Idris Ahmad   
Parti Islam Semalaysia (PAS) kesal di atas pengkhianatan kerajaan umno/bn yang dengan kehilangan RM52 bilion saham bumiputera. Siasatan menyeluruh mesti dibuat ke mana lesapnya nilai saham yang begitu banyak yang diperuntukan kepada bumiputera. Siapakah dalang yang mengkhianat hak bumiputera perlu disisasat. Menteri yang bertanggungjawab mesti disiasat dan meletak jawatan.

Pas yakin dengan peruntukan wang sebanyak itu, pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin umno/bn  maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.

Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang  miskin akan menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong Pas dan Pakatan Rakyat. Kerajaan umno/bn memahami bahawa rakyat yang ,miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian menunjukan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan melalui projek mee segera yang diberikan setiap kali pilihanraya

Pas menyedari bahawa kemiskinan yang dirancang supaya ia menjadikan modal dan halwa manisan untuk orang-orang Melayu/bumiputera akan terus menyokong umno/bn dalam setiap kali pilihanraya. Kerajaan umno/bn memahami bahawa rakyat miskin adalah stok penimbal setiap kali pilihanraya. Memang kajian, menunjukkan rakyat yang miskin dan kurang pengetahuan begitu kuat bergantung dengan kerajaan terutama janji yang ditaburkan setiap kali pilihanraya.

Umno/bn akan mencanang bahawa melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada  orang bukan melayu. Mereka mendakwa kalau orang melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan umno/bn kerana umno sahaja  parti yang menjaga ketuanan melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang melayu di negara ini.

Pas berpendapat buatlah apa dasar sekalipun jika tidak membuang sifat pembaziran, rasuah dan ketirisan dan salah urus, maka dasar Model Ekonomi Baru (MEB) juga akan mengulangi kegagalan DEB sebelumnya kerana pelakun yang sama dan membawa watak yang sama.

Selamat Menimang Cucu, Rosmah




KUALA LUMPUR 29 Mac - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi nenek bagi kali kedua apabila anak perempuan beliau Azrene Soraya Abd Aziz melahirkan anak lelaki di sebuah pusat perubatan di Damansara pada hari Sabtu 20 Mac lalu.
Anak yang diberi mana timangan 'Piyash' adalah anak kedua Azrene bersama suaminya Fazley Yaakob.
Anak sulung pasangan tersebut, Ahmad Fariedz atau nama timangan Payish dilahirkan pada 29 Oktober 2008.
Dalam menyambut kehadiran anggota baru dalam keluarga Azrene sudah tentu belaian nenek tersayang amat dinantikan bagi cucu sulung dan juga bayi yang baru berusia seminggu ini.
Namun harapan hanya tinggal harapan kerana sehingga kini Rosmah didakwa tidak kunjung tiba untuk menjenguk kedua-dua cucunya.
Malah dakwa seorang ahli keluarga isteri Datuk Seri Najib Razak itu tidak pernah berkesempatan untuk membelai cucu pertamanya sejak dilahirkan.
"Kami berasa sedih kerana sebagai seorang nenek beliau sepatutnya datanglah menjenguk cucu sendiri. Ini sejak dapat cucu pertama sehinggalah cucu kedua tak pernah nak  datang tengok cucu.
"Orang lain pun sibuk tapi bila bab cucu dan keluarga semua yang lain tidak penting," dakwa ahli keluarga tersebut.
Azrene adalah anak kedua Rosmah bersama bekas suami beliau, Abdul Aziz Nong Chik, bekas pegawai Petronas manakala Fazley merupakan anak Senator Datuk Yaakob Mohamad. 
Pasangan tersebut berkahwin pada 7 November 2006. 
Rosmah adalah Pengerusi Jawatankuasa Dasar Permata Negara, iaitu projek perintis pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau baru-baru ini mendapat pujian berhubung Permata Negara di dalam titah Yang DiPertuan Agong semasa baginda merasmikan Penggal ketiga Parlimen penggal ke-12. 

Nik Abdul Aziz Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran Kelantan



KOTA BAHARU 30 Mac - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendahului senarai  639 penerima Anugerah Gelaran Kebesaran, darjah,bintang, pingat, surat kepujian dan Jaksa Pendamai oleh Pemangku Raja Kelantan,Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, esok.
Nik Abdul Aziz menerima Anugerah Gelaran Kebesaran Datuk Bentara Setia yang membawa gelaran Datuk.
Tiga lagi yang turut menerima Anugerah Gelaran Kebesaran ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria (Datuk Lela Negara), Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Che Yusoff (Datuk Bentara Luar) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias (Datuk Seri Setia Raja). Kesemua gelaran kebesaran itu membawa gelaran Datuk.
Seramai 70 yang lain akan turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Mereka ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi yang menerima  Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).

Tengku Sri Jaya Raja, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz pula penerima tunggal Ahli Yang  Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK).
Lima penerima Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia  (SJMK) ialah Datuk Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra, Datuk Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra,  Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Kapten Datuk Tengku Ahmad Farizanudean Datuk Khairi dan Datuk  Tan Kok Hwa.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pula penerima tunggal Ahli Yang Kehormat Yang  Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK).
Peguam Datuk Sukri Mohamed dan Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad pula menerima  Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) manakala dua lagi  menerima Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota   Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) iaitu Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan adalah penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah  Perkasa (PYGP).
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias berkata sebanyak 84 penerima akan menerima darjah dan pingat kebesaran pada majlis yang akan berlangsung di Istana Balai Besar esok manakala majlis penganugerahan bagi penerima lain akan diadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Beliau berkata pengurniaan darjah kebesaran itu tidak mempunyai kaitan dengan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan seperti kelaziman kerana sambutan itu pada kali ini hanya membabitkan majlis tahlil di semua masjid sahaja.
"Pemangku Raja Kelantan pada bila-bila masa berhak mengurniakan darjah kebesaran ini yang kebetulan  berlangsung pada hari esok," katanya.
Esok dan lusa adalah cuti umum di Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan Ke-60.
-Bernama

Polis Kerumuni Dalam Dewan, Sidang Ditangguh



Oleh Faizal Ezzany
IPOH 30 Mac - Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat membantah keras kehadiran lebih 150 anggota polis di dalam Dewan tetapi ditolak oleh Speaker 'Haram', Datuk R. Ganesan.
Keadaan ini mengembalikan ingatan bagaimana anggota polis serta anggota Cawangan Khas berkerumun di dalam Dewan menyebabkan suasana kecoh  semasa sidang pada 7 Mei tahun lalu.
Menegangkan lagi situasi, talipon bimbit tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam Dewan sementara petugas media ditempatkan di dalam sebuah bilik khas yang cermin gelap dan hanya dibenarkan mendengar audio tanpa sebarang rakaman visual.
Sebentar tadi sidang Dewan Undangan Negeri Perak ditangguhkan sehingga esok pagi setelah dirasmikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kira-kira pukul 10.30 pagi.
ADUN Pakatan Rakyat berkumpul diperkarangan pejabat DAP negeri Perak kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum berarak ke Bangunan Kerajaan Negeri Perak diketuai oleh Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin dan juga Speaker Dewan Undangan Negeri V.Sivakumar.
Mereka tiba 15 minit kemudian dan pihak polis mengarah kesemua mereka masuk ke perkarangan bangunan seorang demi seorang.
Pihak polis mula mengawal sekitar Bangunan Kerajaan Negeri Perak seawal 7 pagi dan beberapa laluan utama juga di tutup.
Kelihatan juga beberapa trak Polis Simpanan Persekutuan (FRU) dengan 50 anggota ditempatkan di perkarangan bangunan di mana sidang Dewan diadakan.
ADUN Pakatan Rakyat telah mengemukakan sejumlah 216 soalan lisan pada sidang kali ini. 

Pecat Rais, Mukhriz, Awang Adek, Wan Omar Kerana Sokong Perkasa




KUALA LUMPUR 30 Mac - Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye mendesak kerajaan memecat mana-mana penjawat awam yang menyokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ikhlas mempromosi objektif konsep 1Malaysia yang diwar-warkan oleh beliau.
Ini kerana, menurut Dr Lee, kenyataan-kenyataan ektremis Perkasa berlawanan dengan arus pembangunan negara serta bertentangan dengan perpaduan nasional.
"Pemimpin Perkasa yang pada masa sama penjawat awam yang hadir semasa Mesyuarat Agung Pertama Perkasa pada 27 Mac 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra termasuklah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir,  Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar. 
Menteri Peneranhgan, Datuk Seri Dr Rais Yatim juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada Perkasa.
"Saya mendesak agar mereka dipecat daripada jawatan supaya usaha membina Malaysia yang bersatu dan progresif mampu dilaksanakan," kata Dr Lee dalam satu kenyataan beliau hari ini.

Apco Ada Wakil Di Pejabat Perdana Menteri



KUALA LUMPUR 30 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan dalam Dewan Rakyat hari ini peranan yang dimainkan oleh kroni Perdana Menteri, Omar Mustapha Ong yang didakwa membawa Apco Worldwide sebagai konsultan imej dan komunikasi kepada kerajaan Malaysia.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berucap kira-kira 30 minit sebagai menyahut cabaran Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mahukan Anwar memberi penjelasan dalam tempoh seminggu berhubung kenyataan beliau pada 22 Mac berkaitan dakwaan konsep 1Malaysia diciplak dari slogan 1Israel.
"Pada 28 Julai 2009 perkhidmatan Apco telah diperkenalkan oleh Omar Mustapha Ong melalui syarikat perunding beliau, Ethos & Company, ini bermakna hubungan antara Apco dengan kerajaan Malaysia sudah terjalin sebelum lagi Apco dilantik menjadi perunding kepada kerajaan. 
"Malah saya difahkamkan seorang wakil Apco telah ditempatkan di pejabat Perdana Menteri.
"Pada 4 Ogos 2009 satu penjanjian bagi mendapatkan khidmat Apco telah ditandatangani oleh seorang pegawai kerajaan dengan disaksikan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tengku Datuk Sharifuddin Tengku Ahmad. Ini secara jelas membuktikan pertalian terus antara Apco dan Perdana Menteri. Perjanjian perkhidmatan yang sama telah ditandatangani antar Apco dan Ehud Barak, ketika itu Ketua Turus Angkatan Tentera Israel pada Januari 1992.
"Kita menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri butiran perjanjian yang ditandatangani, berapakah bayaran kepada Apco dan bentuk pertalian firma tersebut dengan kerajaan," dedah Anwar.
Malah Anwar berkata Apco bukanlah sebuah syarikat perunding biasa kerana firma itu mempunyai kaitan rapat dengan tokoh dan pemimpin politik Israel dan Amerika Syarikat.
Beberapa tokoh penting yang menjadi perunding dalam jaringan antarabangsa serta memberi khidmat kepada Apco mempunyai latarbelakang kerjaya dalam badan perisikan Israel, Shin Bet dan pentadbiran rejim Zionis tersebut.
"Kerajaan tidak belajar daripada pengalaman lalu apabila mengambil perkhidmatan syarikat perunding asing yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada kerajaan Malaysia. Dua contoh besar ialah skandal Maminco yang melibatkan pelaburan besar dalam dagangan pasaran bijih timah dunia yang menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit. Begitu juga mantanb Perdana Menteri membayar dan mengguna khidmat pelobi Yahudi-Zionis, Jack Abramoff yang didapati bersalah oleh mahkamah Amerika Syarikat dapam tahun 2006 dan seterusnya dipenjarakan kerana menipu tanah kaum Red Indian untuk membina kasino.
"Kerajaan perlu berhati-hati dengan kenyataab Apco apabila mereka mengatakan tidak terlibat secara langsung dengan konsep 1Israel. Apa yang berlaku ialah firma-firma bersekutu yang bekerjasama dengan Apco tetapi kepakaran dibekalkan oleh Apco.
"Sebelum Apco bertapak di Malaysia sebuah syarikat tempatan diwujudkan yang pengarahnya ialah Paul Stanford, kini ,menjadi CEO Apco Malaysia dan Marjorie Kraus, Presiden dan CEO Apco Worldwide. Risikonya Apco ialah mereka menggunakan syarikat bersekutu untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan diseluruh dunia dan mereka menyimpan rahsia kerajaan yang diberikan kepada mereka sebagai sebahagian daripada tugas mereka.
"Syarikat ini mempunyai hubungkait memberi khidmat nasihat kepada pemimpin-pemimpin dan diktator dunbia yang menindas rakyat dan terlibat dalam pencabulan hak asasi manusia seperti Jeneral Sani Abacha di Nigeria dan Presiden Nursultan Nazarbayev dari Kazakhstan.
"Kita mahu penjelasan Perdana Menteri bagaimana beliau boleh dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak Ethos dan bagaimana kehadiran ramai tokoh Apco yang rapat dengan badan keselamatan dan perisikan Israel yang menjalar di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia.
"Rakyat tidak lagi boleh dperbodohkan dengan laungan kerajaan yang kononnya memperjuangan hak rakyat Palestin dan Islam di Malaysia dengan merotan beberapa gadis yang minum arak tetapi senyap-senyap membuat hubungan dan perjanjian dengan firma yang berkait dengan Israel. Sikap membisu Perdana Menteri dikhuatiri membahayakan keselamatan negara kerana hubungan Apco dengan agensi strategik negara seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan yang mungkin menyebabkan tergadai kepentingan negara.
"Saya dengan ini mendesak supaya kerajaan membatalkan perjanjian dengan Apco dan tubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat skandal yang memalukan ini," tegas Anwar.

Sidang DUN Perak Seperti Perhimpunan Polis



Oleh Faizal Ezzany
IPOH 30 Mac - Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke duabelas bagi penggal ketiga hari ini yang sepatutnya berjalan dengan lancar telah dicemari dengan kehadiran pihak polis yang telah menguasai perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dan juga Dewan Negeri.
Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dalam sidang medianya kesal dengan tindakan kasar yang telah dilakukan oleh Umno-Barisan Nasional.
"Saya ingin katakan bahawa seolah-olah kami baru balik dari perhimpunan Polis DiRaja Malaysia apabila kami melihat bilangan anggota polis melebihi Ahli Dewan Undangan Negeri.
"Hari ini kami melihat kedua-dua galeri awam dipenuhi oleh mereka yang tidak dikenali yang kemungkinan besar mereka adalah anggota polis. Kalau di luar kita lihat ramai anggota telah ditempatkan.
"Apabila masuk ke dalam perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan tadi kami telah dihalang oleh polis yang tidak membenarkan ADUN Pakatan Rakyat memasuki kawasan tersebut. Selain itu juga kami telah dihalang memasuki Dewan, lebih kurang 20 minit menunggu baru kami dibenarkan masuk. Kami kesal kerana pintu utama E hanya untuk BN sahaja manakala ADUN Pakatan perlu menggunakan laluan lain yang telah diletakkan mesin pengimbas.
"Tidak ada dalam sejarah di Malaysia ini ADUN dihalang untuk bergerak bebas, semua pergerakan dipantau, diambil gambar seolah-olah kami ini umpama penganas," jelas Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.
Beliau juga menegaskan bantahan yang dikemukakan oleh ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang membantah kehadiran polis di dalam Dewan telah ditolak.
"Kami telah membantah dengan tindakkan kehadiran pihak polis yang ramai di dalam Dewan tetapi ditolak oleh Speaker haram. Nampaknya BN telah memperalatkan agensi kerajaan seperti polis untuk kepentingan mereka.
"Kita telah hadir ke Dewan yang mulia ini dengan  aman dan ini tujuan sebenar kita memanggil Menteri Besar haram itu hadir mesyuarat untuk berbincang tentang penjalanan persidangan kali ini agar lebih teratur. Niat kita bukannya nak buat kacau tetapi Umno-BN yang telah memulakan situasi tersebut dengan menggunakan polis untuk halang kami.
"Saya telah menerima satu SMS yang memberi amaran jika berlaku kekecohan kami akan ditangkap. Ini menunjukkan kami tidak berada dalam keadaan bebas. Tindakan Umno-BN ini telah mencemari Dewan yang mulia dan juga telah melanggar demokrasi di negeri Perak.
"Umno-BN jelas menggunakan apa jua yang ada demi kepentingan mereka dan mereka tidak kisah jika itu telah melanggar hak asasi perlembagaan," tegasnya lagi.
Speaker Dewan Negeri Perak V.Sivakumar juga kesal dengan tindakan Umno-BN menggunakan anggota polis untuk mengekang kebebasan media membuat liputan sidang DUN.
"Inilah kerja jahat Umno-BN mereka bukan sahaja menggunakan polis dari menghalang kami memasuki Dewan tetapi telah menghalang media memasuki Dewan dan ini jelas sikap mereka yang telah menghalang kebebasan media. Mereka sepatutnya membenarkan media masuk ke Dewan kerana titah ucapan Sultan sangat penting dan rakyat perlu tahu tetapi mereka menafikan hak media.
"Saya juga bersetuju bahawa Perak sekarang sudah manjadi negeri polis di bawah kepimpinan kerajaan BN yang haram," jelas Sivakumar.
Ngeh juga membidas sikap berat sebelah pihak polis menghalang ADUN Pakatan Rakyat daripada menghadiri sidang Dewan pada hari ini.
"Saya ingin tegaskan pihak polis tidak boleh menghalang ADUN memasuki Dewan kerana itu bukan hak dan bidang kuasa polis. Pada masa sekarang pihak polis menghalang kita dari memasuki Dewan mungkin satu masa pihak polis yang membuat arahan soalan apa yang boleh ditanya, tak mustahil tindakan  polis menghalang ADUN 
Pakatan memasuki Dewan jika BN ingin memdapat undi untuk sesuatu persetujuan, ini yang kita risau sekarang.
"Saya cabar Zambry esok jangan benarkan pihak polis memenuhi Dewan dan jika ini berlaku kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis ke atas tindakan Zambry memperalat pihak polis untuk kepentingan mereka," tegas Ngeh.
Sidang DUN pada hari ini telah ditangguh sehingga pukul 10 pagi esok tanpa diberitahu berapa lama ia akan berlangsung. 
Permohonan Pakatan Rakyat agar sidang itu diadakan selama lima hari telah ditolak tanpa sebarang alasan.
Beberapa kekecohan telah berlaku sewaktu ADUN Pakatan Rakyat berjalan ke Wisma DAP yang mana penyokong Umno telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada ADUN Pakatan seperti "pergi berambus" serta "tidak sedar diri". 

Kroni Umno-BN Seleweng Wang Ihsan Punca Bangunan Runtuh




KUALA TERENGGANU 30 Mac - Pemberian wang ihsan antara faktor utama kejadian bangunan runtuh yang semakin menjadi di Terengganu kebelakangan ini disebabkan gejala rasuah berleluasa yang berlaku dengan penyalahgunaan wang tersebut.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu, Abdul Rahman Yusof berkata kejadian bangunan runtuh yang terjadi adalah akibat daripada penyelewengan spesifikasi dan ciri-ciri keselamatan yang diragui akibat amalan rasuah berhubung pengagihan wang ihsan kepada kroni Umno dan Barisan Nasional.
"Semua pembinaan di Terengganu yang dibuat sejak tahun 1999 melalui Jabatan Pembangunan Pusat yang mengunakan wang royalti yang dipanggil wang ihsan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional ini seharusnya disiasat.
"Kebanyakan projek pembangunan yang melalui JPP ini memerlukan siasatan terperinci kerana tidak melalui proses tender biasa dan diberikan kepada kroni-kroni Umno melalui  proses rundingan terus atau 'direct negotiation'.
"Bangunan  yang dibangunkan atas nama wang ihsan ini tidak mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan dan mengancam nyawa orang ramai," tegas beliau semasa dihubungi Suara Keadilan.
Kejadian terbaru petang semalam mengakibatkan seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh.
Sebelum ini, bumbung Sekolah Menengah Ajil,  bumbung stadium Sultan Mizan, bangunan stesen bas Kuala Berang  dan bumbung masjid Kampung Puteh di Kemaman juga dilaporkan runtuh.
Selain itu, kolam renang yang pernah digunakan untuk Sukan Malaysia (Sukma) di Batu Burok pula dilaporkan bocor.
Dalam satu kenyataan hari ini Abdul Rahman juga berkata terlalu banyak kejadian keruntuhan dan kecacatan dalam pembangunan projek-projek di Terengganu yang mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. 

"Antaranya, keruntuhan Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, keruntuhan kubah Masjid Kampung Puteh, keruntuhan Dewan Sekolah Menengah Wakaf Tapai, keruntuhan Terminal Pengangkutan Awam Kuala 
Berang, kebocoran Pusat Akuatik Batu Burok, keretakan Pusat latihan Antarabangsa (ITC) yang menjadi fakulti Baru Kolej Universiti Institiut Teknikal Tinggi Terengganu (TATIUC), kebocoran siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Terengganu dan pelbagai lagi.

"Kejadian keruntuhan dan kecacatan ini berlaku bukan secara kebetulan tetapi akibat kecuaian di semua peringkat dari proses tender hingga kelulusan pembangunannya. Kejadian ini mengancam keselamatan dan nyawa orang awam. Projek prasarana ini akan digunakan ramai orang awam dan perlu penyelesaian segera sebelum lebih banyak nyawa akan terkorban," kata beliau.

Abdul Rahman  menyeru kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat semua pembangunan projek prasarana sejak 1999 kerana mutu dan spesifikasi pambangunannya menjadi 
tandatanya.