Sunday, November 29, 2015

1MDB kesal Dr M keluar kenyataan mengelirukan


1Malaysia Development Berhad
KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kesal dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan salah dan mengelirukan secara berterusan terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu.
Dalam kenyataan di sini hari ini, 1MDB berkata kenyataan itu kemudian dilaporkan secara tidak bertanggungjawab tanpa analisis atau siasatan kewartawanan oleh portal berita dalam talian tertentu.
Merujuk kepada tulisan Mahathir dalam blognya berhubung penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN), IMDB berkata bekas perdana itu telah gagal dalam beberapa percubaan untuk mempolitikkan isu 1MDB.
"Berdasarkan penyata kewangan Edra bertarikh 31 Mac 2015, menerusi penjualan itu, 1MDB akan menerima tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion. Di samping itu, Kumpulan CGN akan menanggung hutang aset operasi Edra berjumlah RM7.43 bilion.
"Oleh itu, melalui penerimaan tunai dan pemindahan hutang, 1MDB akan mencapai pengurangan hutang sehingga RM17 bilion, iaitu dalam lingkungan jangkaan RM16 bilion hingga RM18 bilion mengikut pelan rasionalisasi.
"Adalah penting untuk menjelaskan bahawa pengurangan hutang sehingga RM17 bilion adalah melebihi dividen tunai kira-kira RM2 bilion yang diperoleh oleh 1MDB daripada aset tenaga semasa pemilikannya," katanya.
Kenyataan itu menyebut 1MDB pada dasarnya kos dan pulangan pelaburannya adalah sama rata menerusi proses tender antarabangsa, walaupun terpaksa menjual aset-asetnya semasa dalam serangan berterusan dan mengelirukan daripada pembangkang dan Mahathir sendiri.
"Jika Tun Dr Mahathir sanggup meluang masa untuk mengkaji semula Nota 29(v) penyata kewangan 1MDB beraudit 31 Mac 2014 yang boleh diperoleh oleh umum, beliau akan sedar bahawa daripada hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion, sebanyak RM19.82 bilion hutang dalam denominasi Ringgit Malaysia dan RM22 bilion dalam denominasi dolar Amerika (USD).
"Oleh itu terhadap lebih dari mencukupi hutang dalam denominasi Ringgit Malaysia untuk dilunaskan daripada RM9.83 bilion hasil jualan tunai Edra," katanya.
Ia berkata bagi hutang dalam bentuk USD yang menjadi kebimbingan Dr Mahathir, mengikut perjanjian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 28 Mei 2015, ia adalah hasrat 1MDB bahawa bond jaminan IPIC sebanyak US$3.5 bilion akan diselesaikan menerusi kaedah pertukaran hutang untuk aset dengan IPIC.
Langkah ini terarah kepada 1MDB memindahkan aset syarikat kepada IPIC dalam bentuk deposit tunai dan dana unit USD, sebagai balasan untuk IPIC mengambil alih jaminan bond US$3.5 bilion, katanya.
Menurut kenyataan itu, Mahathir juga telah mengelirukan pembaca blognya dengan gagal menyebut bahawa tarif bagi Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) bagi aset Edra ditetapkan bagi tempoh hayat perjanjian pembelian tenaga.
"Secara purata di semua loji tenaga kuasa Edra, ini adalah untuk tempoh 10 tahun akan datang. Jadi, tidak ada persoalan tarif IPP akan meningkat bagi tempoh hayat perjanjian pembelian tenaga walaupun pertukaran hak milik," katanya.
1MDB juga meminta Mahathir supaya menggunakan fakta-fakta dan angka dalam hujahannya dan menghentikan serangan politik yang mengelirukaqn terhadap syarikat itu.
"Tun Mahathir telah berulang kali memperdaya orang awam dengan kenyataan-kenyataan palsu. Paling ketara sekali beliau berkata 'RM42 bilion hilang' dalam 1MDB.
“Penjualan aset Edra dengan pengurangan hutang sehingga RM17 bilion, jelas menunjukkan bagaimana sering kali dan terus Tun Mahathir melakukan kesilapan.
"Kedua, Tun Mahathir telah berulang kali mempersenda bahawa RM2.6 juta dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah daripada 1MDB walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan tiga kenyataan bahawa tiada dana dari IMDB masuk ke dalam akaun Datuk Seri Najib," katanya. - Bernama

'Jangan lagakan saya dengan Wan Azizah'


Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KeadilanTahunan Ke-11 2015. – Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mengingatkan segelintir pihak media supaya tidak melaga-lagakan beliau dengan Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Beliau berkata demikian sebelum merujuk laporan media yang mendakwa beliau dan Wan Azizah tidak sehaluan ekoran beberapa kemelut melibatkan gabungan parti pembangkang.
Menafikan perkara tersebut, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Wan Azizah sebaliknya menghormati Wan Azizah sebagai ketua parti.
"Kalau lihat laporan media, Azmin ke sana, Presiden ke sini (ketika menghadiri ko Kongres PKR). Jangan laga-lagakan saya dan presiden.
"Sebagai timbalan saya akan patuh dan setia pada presiden, ketua umum dan keputusan parti. Jangan jadi (macam) sesetengah media arus perdana," katanya semasa ucapan penggulungan Kongres PKR Ke-11 di sini, hari ini.
Azmin juga dalam pada itu sentiasa mengingatkan semua ahli parti supaya sentiasa bersatu dan berhati-hati dalam meneruskan perjuangan.
"Parti kita sedang diasak bertubi-tubi oleh BN. Bukan sahaja musuh politik kita serang kita, bahkan ada juga rakan-rakan politik kita cuba menyinggung kita.
"Tetapi kita bernasib baik, kesemua ahli parti berusaha bersama-sama melindungi presiden kita," katanya lag

Muhyiddin tetap bersama Umno walaupun dipecat


Muhyiddin Yassin
MUAR – “Nak buang, nak pecat saya buatlah...tapi jiwa saya tetap pada Umno, begitu juga perjuangan saya,” demikian kata Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, perjuangan beliau akan tetap diteruskan demi agama, bangsa dan juga tanah air bagi menegakkan kebenaran.
Katanya, setiap pemimpin perlulah berkata sesuatu dengan yang benar walaupun ianya pahit untuk dilakukan.
“Nak pancung saya pun tidak apa, saya akan tetap pada Umno...saya tau perjuangan saya...saya tidak takut sebab selama ini dalam Umno semua telah tahu saya ini orang yang macam mana?
“Saya tau kebenaran itu, ada kalanya pahit dan ada kalanya kita susah untuk terimanya, namun pada saya setiap orang perlulah menerima setiap teguran yang benar itu sebagai satu nasihat.
[ARTIKEL BERKAITAN:Umno dah jadi parti bisu, tanya Dr M]
“Saya sendiri pun jika tidak betul, semua boleh tegur dan setiap teguran yang dilakukan itu saya ambil untuk membetulkan yang salah, untuk kebenaran,” katanya dalam ucapan ketika hadir di program Sembang Santai dengan Masyarakat Panchor, di Tepian Sungai Muar, hari ini.

Penjualan Edra ambil kira liabiliti syarikat


1MDB
1MDB
BANGI - Penjualan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Edra Global Energy Bhd, turut mengambil kira liabiliti atau hutang syarikat itu, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.
Jelasnya, China General Nuclear Power Corp dan anak syarikatnya (CGN Group) yang membeli kesemua aset Edra pada harga RM9.83 bilion, juga bersetuju menyerap hutang syarikat berjumlah hampir RM8 bilion.
"Ia tawarkan RM9.83 bilion dan ambil alih hutang hampir RM8 bilion. Jadi kita mesti lihat nilai digabungkan (hampir RM18 bilion).
"Hutang adalah liabiliti yang diambil kira dalam pengambilalihan sesebuah syarikat dan orang tidak akan bayar sebegitu banyak dan hutangnya diserap kalau syarikat itu tiada nilai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Sukan Kementerian Kewangan, di Institut Penilaian Negara (Inspen), di sini, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB jual Edra global tidak jejas industri tenaga]
Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laman blognya yang mempersoalkan penjualan Edra pada harga RM9.83 bilion bagi mengurangkan hutang 1MDB, sedangkan ia dibeli pada harga RM18 bilion.
Tegas Johari, semua pihak perlu maklum bahawa penjualan Edra itu terpaksa dilakukan bagi mengurangkan hutang serta sejajar penstrukturan semula 1MDB.
"Jika tidak, ia dalam keadaan hutang tidak boleh dibayar dan terpaksa diambilalih oleh kerajaan. Jika ini terjadi, ia akan hanya menambah defisit fiskal dan inilah yang cuba dielakkan.
"Secara peribadi, saya berasakan ianya situasi yang mana 1MDB tiada pilihan...hendak membuat IPO (tawaran awam permulaan) tiada respon, hendak dijual kepada pelabur tempatan pula harganya murah dan tidak cukup bagi membayar hutangn. Akhirnya ia dibuka kepada pembida luar," katanya.
Pada 23 November lepas, 1MDB, Edra dan anak syarikatnya memeterai perjanjian jual beli saham dengan CGN Group untuk jualan 100 peratus pemilikan dalam semua aset tenaganya, iaitu Edra Solar Sdn Bhd, Edra Energy Sdn Bhd, Powertek Energy Sdn Bhd, Jimah Teknik Sdn Bhd, Jimah O&M Sdn Bhd, Mastika Lagenda Sdn Bhd dan Tiara Tanah Sdn Bhd (syarikat operasi Edra).
CGN Group akan membayar dalam tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion dan akan menanggung semua hutang kasar berkaitan dan tunai syarikat operasi Edra, berdasarkan tarikh penilaian pada 31 Mac 2015.
Transaksi yang dijangka selesai pada Februari 2016, disifatkan kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang dibentangkan kepada Kabinet pada 29 Mei lepas.
Johari menjelaskan, penglibatan syarikat asing dalam industri penjanaan tenaga juga bukanlah sesuatu yang baharu.
"Masyarakat perlu faham industri itu sebenarnya banyak melibatkan syarikat asing. Kadang-kadang kita panggil syarikat seperti Mitsui dan Sumitomo dan CGN berpengalaman luas dalam bidang ini," katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat agar tidak bimbang kerana sebagai Penjana Tenaga Bebas (IPP), Edra hanya terlibat dalam aktiviti penjanaan manakala aspek pengedaran tenaga masih dikawal sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Ada tiga komponen dalam industri berkenaan iaitu penjanaan, penghantaran dan pengedaran. Aspek penghantaran dan pengedaran itu kekal eksklusif kepada TNB," katanya. - Bernama

Pertahan kedaulatan Sabah, janji Nurul Izzah


Nurul Izzah
Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional KeadilanTahunan Ke-11 2015. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berjanji untuk mempertahankan kedaulatan Sabah di sebalik tohmahan pengkhianat kerana tindakan bertemu Jacel H Kiram.
Menurutnya, tindakan pihak tertentu yang menggunakan taktik politik kotor sebagai tidak bertanggungjawab.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua teman di Sabah yang begitu memahami di sebalik kontroversi ini.
"Teman-teman di Sabah yang turut mempertahankan saya menunjukkan nilai kasih sayang yang ada dalam PKR," katanya dalam ucapan pergulungan di Kongres Nasional Tahunan PKR ke 11, hari ini.
Beliau turut berjanji akan menunjukkan siapa sebenarnya pengkhianat di sebalik apa yang telah berlaku terhadap dirinya.
"Saya amat kecewa kerana sentimen lain turut diheret sama yang seterusnya mengundang kebencian terhadap diri saya," katanya.
Sebelum ini tersebar di laman sosial gambar Nurul Izzah bersama anak Sultan Jamalul Kiram yang mengundang kontroversi dan didakwa tidak sensitif terhadap rakyat Sabah.
Nurul Izzah bagaimanapun telah memohon maaf dan turut memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu itu.

Umno dah jadi parti bisu, tanya Dr M


Tun Dr Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Umno sebagai parti bisu apabila ketua-ketua bahagiannya tidak bersuara terhadap kepincangan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, ketua bahagian sepatutnya bangkit menyuarakan hasrat akar umbi bukannya diam membisu seperti sekarang.
“Kita dapati sekarang ini ketua-ketua bahagian semua sudah menjadi bisu. Orang bisu tak boleh cakap tapi orang yang boleh bercakap, cakaplah. Itulah ketua bahagian.
“Ini ahli tak boleh bercakap...orang ini tak boleh bercakap, orang itu tak boleh bercakap. Ini apa? Demokrasi apa?,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas soal kebangkitan cawangan-cawangan Umno baru-baru ini yang mendesak Najib meletakkan jawatan dalam parti, beliau berkata, suasana itu wujud kerana pengurusan Umno sudah tidak lagi berfungsi dengan sewajarnya.
“Umno ini jadi (parti) Umno kerana ada ahli tetapi untuk pengurusan kita susun Umno dalam bahagian-bahagian dan cawangan tetapi apabila pengurusan ini sudah tidak bergerak sebagai badan yang akan mewakili suara ahli, maka pihak lain akan berhak dan memang berhak untuk menyuarakan,” katanya.
Terbaharu, 34 ketua cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden Umno.
Sebelumnya 10 cawangan Umno Sepang dan 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang turut membuat desakan sama.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, meskipun wujudnya krisis yang melanda ketika zaman pemerintahannya namun tiada mana-mana ahli Umno yang dilarang daripada bercakap.
“Ada orang nak bertanding dengan saya pun boleh dan tak ada siapa yang dilarang berkempen.
“Ini saya tak boleh berjumpa dengan ahli Umno, menteri Umno, orang umno...saya ahli Umno, (tapi) bekas presidenlah,” katanya.

Angelina tingkat minat buang payudara cegah kanser

SABTU, 28 NOVEMBER 2015 @ 9:41 PM

Angelina Jolie. - Foto AP

MANCHESTER: Pengumuman aktres terkenal Angelina Jolie bahawa beliau sudah menjalankan pembedahan pembuangan payudara atau 'mastectomy' menarik perhatian media. Aktres itu didapati membawa gen BRCA1 seperti ibunya yang maut akibat kanser payudara. Beliau melakukan pembedahan itu untuk menghapuskan 87 peratus risiko menghidap kanser payudara. Keputusan Jolie menyaksikan pembaharuan dalam minat kajian genetik kanser. Sebuah klinik pencegahan kanser payudara di Hospital Universiti Manchester Selatan mengambil keputusan untuk melakukan siasatan. Dalam kajian mereka yang diterbitkan dalam jurnal Kanser Payudara pada 25 November lalu, pengkaji mengesahkan bahawa jumlah pembedahan mastectomy mereka meningkat sekali ganda. Antara Januari 2014 hingga Jun 2015, sebanyak 83 pembedahan dilakukan berbanding hanya 29 pembedahan antara Januari 2011 hingga Jun 2012. Walaupun individu yang melakukan prosedur itu tidak menyatakan sebab mempengaruhi mereka, profesor klinik genetik, Gareth dan pasukannya berkata "kesan Angelina Jolie" banyak mempengaruhi mereka. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/100734

Salleh Persoal Motif Pihak Terus Kritik 1MDB


Diterbitkan: Ahad, 29 November 2015 11:48 AM

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan motif pihak tertentu yang terus mengkritik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi tidak menerima penjelasan yang diberikan.
"Terdapat segelintir masyarakat yang berasa tidak berpuas hati dengan tindakan 1MDB yang telah meminjam berbilion-bilion untuk melakukan pelaburan, dan mereka mahu hutang ini dibayar balik," kata Salleh.
Beliau berkata kumpulan masyarakat berkenaan turut tidak berpuas hati dengan syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk membeli sebahagian daripada aset 1MDB.
"Mereka tidak membenarkan sebarang syarikat tempatan seperti TNB untuk membeli aset. Jikalau 1MDB menjual asetnya kepada syarikat tempatan tersebut, maka masyarakat ini akan memanggilnya sebagai "bailout"!," katanya dalam blog sskeruak.blogspot.com hari ini.
Salleh berkata kini, 1MDB berada pada peringkat akhir proses menjual anak syarikat milik IMDB Edra Global Energy Berhad kepada pelabur asing.
Tindakan itu katanya, banyak menerima kritikan kerana pengkritik mendakwa harga penjualan itu adalah amat rendah, meskipun harga yang dikenakan kepada pelabur asing berkenaan lebih tinggi, jika dijual kepada TNB.
Selain itu, katanya terdapat juga kata-kata bahawa keadaan itu merupakan satu tindakan pengkhianatan kerana melibatkan pelabur asing dan sebagainya.
"Keadaan menjadi semakin rumit apabila masyarakat tidak mengetahui apa yang diinginkan mereka. Mereka mahu 1MDB mengurangkan beban hutang dan pada masa sama, mereka tidak mahu mana-mana syarikat tempatan membeli aset 1MDB, begitu juga tidak membenarkan 1MDB untuk menjual asetnya kepada pelabur asing. Dengan itu, apa yang mereka ingin 1MDB lakukan?," katanya.
Beliau berkata pada akhirnya, 1MDB hanya boleh melakukan tiga perkara sahaja dan ketiga-tiga perkara itu, tidak dapat diterima oleh para pengkritik.
"Justeru, wujudnya juga alternatif keempat iaitu muflis. Adakah ini merupakan satu tindakan yang mereka ingin 1MDB lakukan iaitu 1MDB diisytiharkan muflis? Supaya mereka boleh menggunakan isu ini untuk menentang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)?," hujah Salleh.-- Bernama

Khairuddin Sokong Kempen Bebaskan Anwar Ibrahim


Diterbitkan: Sabtu, 28 November 2015 1:00 PM

PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap kempen pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan kes liwat keduanya.
Beliau yang sebelum ini ditahan bersama peguamnya, Matthias Chang mendakwa, pembebasan Anwar daripada Penjara Sungai Buloh itu penting kerana beliau dapat berperanan sebagai ketua pembangkang yang efektif untuk negara.
"Kita perlukan pembangkang yang efektif dan rasional untuk sama-sama memainkan peranan ke arah pertumbuhan negara tanpa sebarang agenda politik.
"Oleh itu, wajar untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di luar bagi menyemarakkan landskap serta senario politik negara.
"Apa yang harus kita gusarkan sekiranya mentadbir negara ini secara amanah," soalnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Suami kepada aktres Datin Seri Umie Aida itu juga menambah, ketika negara diambang kejatuhan dari perspektif politik dan ekonomi, oleh itu sudah tiba masanya semua pihak bersatu.
"Jangan buat retorik politik lagi, tetapi harus ikhlas untuk membangunkan semula negara," katanya yang dibebaskan dengan jaminan RM10,000 baru-baru ini.
Pada masa sama, Khairuddin juga menggesa ahli Umno supaya berani menegur kepimpinan untuk menjamin kelangsungan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.
Beliau mendakwa penyokong BN terlalu kuat mengampu dan tidak berani membuat teguran membina ke atas kepimpinan parti itu.

Amanah Hasrat Lahir 'Anak Sulung' Di Sarawak


Diterbitkan: Sabtu, 28 November 2015 8:13 PM
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat untuk melahirkan 'anak sulung' di Sarawak dalam pilihan raya negeri itu yang bakal berlangsung tahun depan.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, antara tumpuan parti dalam waktu terdekat ialah persediaan menghadapi Pilihanraya Raya Negeri (PRN) Sarawak dan mempunyai calon boleh menang di negeri itu.

"Pilihan Raya Negeri Sarawak dijangka berlaku pada bila-bila masa tahun depan. Bila diumumkan, Amanah akan cuba bertanding.

"Kita akan cuba lahirkan 'anak sulung' Amanah di Sarawak. Yang ada sekarang, orang kata 'anak tumpang'," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian bangunan Wisma Amanah Negara di sini, Sabtu.

Sementara itu, mengenai pilihan raya umum akan datang, beliau yang  dikenali sebagai Mat Sabu berkata, perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.

"Di Semenanjung kita belum bincang lagi hal itu kerana tiga bulan pertama ini kita tumpu dahulu tentang soal pendaftaran ahli. Setakat ini, dah ada antara 70,000 sehingga 80,000 ahli.

"Mungkin tahun depan, setelah cawangan dan kawasan wujud, baharu kita akan tumpu tempat mana hendak bertanding," katanya.

Ditanya mengenai matlamat Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya menerusi persaingan satu lawan satu, Mat Sabu berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

"Tetapi harapan kita sudah tentu untuk bertanding satu lawan satu dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak.

"Untuk (pilihan raya umum), kita belum bincang lagi, sama ada hendak bertanding di mana," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Azmin Ali pada Sabtu yang menegaskan bahawa matlamat Pakatan Harapan bagi menghadapi pilihan raya ialah pertandingan satu lawan satu dan pertikaian dalam gabungan itu perlu diselesaikan.