Showing posts with label Menara. Show all posts
Showing posts with label Menara. Show all posts

Sunday, January 23, 2011

Menara 135m mercu tanda baru Langkawi




GAMBAR model menara setinggi 135 meter yang dianggarkan menelan belanja lebih RM10 juta akan dibina di Kuah, Langkawi.


LANGKAWI - Sebuah menara setinggi 135 meter dengan dua ciri istimewa, iaitu menara peninjau dan sebuah restoran, yang dianggar menelan kos lebih RM10 juta akan dibina sebagai mercu tanda baru pulau peranginan ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin pembinaan menara yang dirancang sejak lebih 20 tahun itu bakal menjadi tarikan baru pelancongan.
"Saya diberi penghormatan menamakan menara itu, tapi belum dapat nama yang sesuai sehingga kini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan menara itu di Pantai Kuah semalam.
Beliau berkata, menara itu akan membolehkan lebih 50 pengunjung berada di tingkat atas pada satu-satu masa, dan pelancong dapat melihat pemandangan indah di sekelilingnya, termasuk ketika matahari terbenam.
Pengerusi Eksekutif Syarikat Blackrock, Datuk Abu Hassan Mohamed sebagai pemaju projek itu berkata, tanah seluas 11.33 hektar di pesisir pantai berhampiran Kuah akan ditebus guna pada bulan depan.
Beliau berkata projek pembinaan menara itu akan bermula Mac ini dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan. - Bernama

Tuesday, November 30, 2010

Tak perlu menara 100 tingkat



KUALA LUMPUR – Cadangan membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat hanya akan meningkatkan lambakan hartanah dan ruang pejabat seperti yang sedang berlaku di Lembah Klang pada masa ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika Malaysia sedang berusaha menuju Wawasan 2020, adalah lebih baik menyalurkan peruntukan ke arah perkara yang lebih penting.

“Kalau anda bertanya pendapat saya, saya ingin biarkan Menara Berkembar Petronas kekal sebagai yang tertinggi di Malaysia. Kita tak perlukan menara lain yang lebih tinggi daripada itu.

“Lagipun, kita sudah ada banyak kemudahan dan ruang pejabat. Ia mencukupi. Kita patut bina menara 100 tingkat tapi mungkin kemudian. Mungkin selepas saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau ketika menjawab soalan daripada hadirin pada persidangan ‘Revisiting Vision 2020’ di Hotel Nikko, di sini, semalam.

Menurutnya, pandangan tersebut berbeza dan mungkin berat sebelah kerana Menara Berkembar Petronas adalah projek yang dibina semasa pemerintahannya.

Terdahulu, Mahathir menggesa kerajaan merujuk pandangan rakyat berhubung cadangan projek pembinaan bangunan Warisan Merdeka.

“Mereka boleh bina, tetapi bukan sekarang, mungkin kemudian... apabila saya tiada lagi,” katanya dalam nada bergurau.

Katanya, rancangan pembinaan menara itu merupakan projek yang baik untuk negara kerana boleh menambahkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf ekonomi rakyat.

"Selain itu ia akan mencetuskan peluang-peluang perniagaan di kalangan syarikat-syarikat yang terdapat di negara ini," katanya.

Sunday, October 24, 2010

Apa wajarnya menara 100 tingkat?



* NAMPAKNYA kita tidak mahu mengalah dalam perlumbaan membina bangunan tinggi. Seperti yang telah diketahui umum, sekiranya semua berjalan mengikut jadual, kita akan mempunyai satu lagi bangunan pencakar langit yang lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas. 

Itulah bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat yang akan menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Lumpur pada tahun 2020. Projek bernilai RM5 bilion dijangka siap 10 tahun dari sekarang. 

Tidak sampai 10 minit setelah pengumuman projek raksasa itu dibuat menerusi pembentangan Bajet 1011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu, keprihatinan rakyat terus memuncak. 

Beberapa laman web, termasuk facebook, dan penulis blog mempersoal kewajaran projek tersebut. Rata-rata menganggap ini satu pembaziran yang ketara. Wang rakyat dibelanjakan tidak kena pada tempatnya. 

Mereka menghujah, ada sekian banyak bangunan gah di KL yang masih kosong tiada penyewa – sesetengahnya kosong terlalu lama hingga menjadi tempat hantu dan jin bertapa – mengapa kerajaan hendak membina sebuah lagi gajah putih? 

Seperti yang dijangka – dan seperti biasanya! – pihak pembangkang menghentam Warisan Merdeka. Banyak angka dan fakta dikemukakan untuk membuktikan peruntukan sebesar itu satu pembaziran. 

Kata mereka duit kerajaan sebanyak itu boleh digunakan untuk membina 1,667 buah sekolah yang bernilai RM3 juta sebuah, atau boleh memberi biasiswa kepada 5,000 pelajar perubatan dengan kos RM1 juta di United Kingdom. 

Malah, ada yang lebih sinis: Masih banyak sekolah di luar bandar, terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak tidak mempunyai tandas yang sempurna, kenapa perlu belanja berbilion RM duit kerajaan untuk membina bangunan mewah? 

Kebimbangan dan kemarahan umum, juga pembangkang, ialah sebab duit kerajaan @ duit rakyat, telah dibazirkan untuk sesuatu yang tidak kena pada tempatnya. Duit kerajaan patut dibelanjakan untuk banyak lagi perkara lain yang lebih mendesak. 

Sekiranya ‘duit kerajaan’ yang menjadi punca kebimbangan dan kemarahan, isu itu sepatutnya tidak dibangkitkan lagi. Sebab kini telah diketahui bahawa duit RM5 bilion itu bukan daripada Perbendaharaan Negara. Bukan duit kerajaan. 

* ULANG sekali lagi: Bukan duit kerajaan! RM5 bilion kos projek Warisan Merdeka datangnya daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). “Kita tidak akan ambil duit Perbendaharaan,” kata Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. 

Projek seluas 19 ekar (7.6 hektar) itu akan mengandungi antaranya ruang pejabat, kondominium, dan pusat membeli-belah. Kawasan projek tersebut telah dibeli daripada Danaharta sejak 2000, dan dibiarkan begitu sahaja selama sedekad. 

Menurut Hamad sekarang adalah masa terbaik untuk melaksanakan projek tersebut setelah perancangan mengenainya dilakukan sejak 2004. Ini sebahagian usaha PNB untuk mengembangkan lagi bidang hartanah yang sejak sekian lama menjadi sebahagian dari kegiatannya, selain peranan utamanya mengendalikan pelaburan unit-unit amanah. 

RM5 bilion memang satu jumlah yang besar, tetapi PNB mempunyai cukup dana dalaman untuk membiayai projek tersebut. Dan, dana dalaman itu bukan dari duit pelabur unit tabung amanahnya. 

Tegasnya pemegang atau pelabur unit amanah PNB tidak perlu bimbang dengan projek raksasa ini, sebab seperti yang dijelaskan oleh Kama: “Kita tidak akan usik walaupun sesen duit pemegang unit amanah.” 

Untuk pengetahuan PNB kini mengendalikan sembilan tabung unit amanah, untuk 10.2 juta pelabur (pemegang unit), kesemuanya bernilai RM115 bilion. Duit RM5 bilion untuk projek kontroversi itu tidak diambil dari duit pelabur. Jadi, isu ini sepatutnya tidak kontroversi lagi. 

* AKHIR kalam, 100 tingkat memanglah tinggi, malah tertinggi di tempat kita. Tetapi, yang tertinggi hari ini mungkin tidak mengekalkan statusnya pada hari esok atau tahun depan. Sebab perlumbaan untuk mencakar langit ini akan berterusan. 

Apabila Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat (452 meter) yang menelan biaya RM2 bilion siap pada tahun 1998, ia menjadi pencakar langit tertinggi di dunia, mengalahkan juara sebelumnya, Chicago Sears Tower. 

Tetapi rekod menara Petronas bertahan hanya lima tahun, dipintas oleh Tapei Tower setinggi 101 tingkat (509 meter) pada 2004, dan Shanghai World Financial Centre (101 tingkat, 492 meter) pada 2008. 

Korea Selatan pun sedang membina menara Lotte World II setinggi 110 tingkat (501.5 meter) yang dijangka siap 2013. Bangunan tertinggi di planet bumi sekarang ialah Burj Khalifa di Dubai, 152 tingkat (828 meter). 

Kesimpulannya, kalau hendak lawan mencakar langit, jari-jemari dan kuku Warisan Merdeka PNB tidak cukup panjang pada peringkat dunia, walaupun yang terpanjang di negara ini. 

Apa pun, bagi lebih 10 juta pemegang unit amanah PNB, mereka langsung tidak kisah setinggi mana bangunan yang hendak didirikan itu. Memang, sejak mula melabur mereka sentiasa menunggu yang tertinggi. Bukan pada bangunan, tetapi pada keuntungan dan dividen. 

- TOK PERAK

Tuesday, October 19, 2010

Tak membazir sebab dapat banyak komisyen

Pembinaan Menara 100 tingkat bukan membazir - Najib

19/10/2010 8:14pm

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan cadangan pembinaan menara 100 tingkat bernilai RM5 bilion oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan menyifatkan ia bukan pembaziran tetapi bertujuan menjana ekonomi serta mewujudkan satu mercu tanda Malaysia yang maju dan moden.
Perdana Menteri berkata, pembinaan menara itu akan turut membawa manfaat kepada pelbagai sektor.
"Banyak kerja-kerja kontrak yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi, dan kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan menempatkan peniaga bumiputera dan bukan bumiputera, menjadi pusat tarikan dan beri keuntungan.
"Projek ini bukan pembaziran tapi menguntungkan, yang dirancang (oleh) PNB.
Najib berkata, beliau tidak mengarahkan PNB untuk mewujudkan projek itu.
"Saya tidak arahkan PNB. PNB yang mencadangkan (perkara) ini, sesuatu yang sangat diingini oleh pengurusan atau lembaga (pengarah) PNB,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan amanatnya kepada anggota perwakilan di majlis tertutup Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 hari ini. - Bernama