Tuesday, May 17, 2011

RM30 sekilogram tarikan pencuri

TM Johor rugi RM800,000 apabila 312 kes curi kabel sejak awal tahun


SEDILI: Logam tembaga yang mampu dijual sebagai barangan lusuh pada harga RM30 sekilogram, menyebabkan kabel telefon milik syarikat penyedia khidmat telekomunikasi, Telekom Malaysia (TM) Berhad, di kawasan luar bandar negeri ini, menjadi sasaran mudah kecurian pihak tidak bertanggungjawab.
Sejak awal tahun ini hingga Mac lalu, TM Johor sudah berdepan dengan 312 kes kecurian kabel di seluruh negeri, menyebabkan kerugian kira-kira RM800,000 selain menimbulkan masalah perhubungan kepada ribuan orang ramai khususnya pengguna telefon talian tetap syarikat itu.
Pengurus Besar TM Johor, Mohd Roslan Mohd Rashidi, berkata sepanjang tahun lalu, kecurian kabel di Johor kelima terbesar membabitkan 1,059 kes yang menyebabkan kerugian kira-kira RM3 juta daripada RM33 juta dihadapi TM di seluruh negara.

Katanya, kecurian kabel telefon kelihatan selari dengan peningkatan harga tembaga dalam pasaran, apabila menunjukkan peningkatan ketika harga tembaga meningkat naik, kerana pencuri mengambil kesempatan sebagai sasaran mudah.

“Kecurian menjadi-jadi jika harga tembaga dalam pasaran naik kerana pihak tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan mudah, walaupun hakikatnya mereka menyusahkan orang ramai.

“Malah, akibat tindakan mereka juga, penduduk di kawasan terjejas bukan saja terputus hubungan, malah TM menanggung kerugian dari segi masa, tenaga dan wang untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala," katanya kepada Berita Harian di sini.
Mohd Roslan berkata, daripada kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu, 705 kes berlaku di sekitar Johor Utara menyebabkan kerugian RM1.7 juta, manakala bakinya 354 kes di sekitar Johor Selatan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta.

Katanya, antara daerah yang menjadi penyumbang terbesar kes kecurian dilaporkan adalah Batu Pahat diikuti Kluang, Tampoi/Permai, Senai/Kulai dan Muar dengan kebanyakan kes berlaku di kawasan kampung dan pedalaman.

“Kebiasaannya kecurian didalangi penagih dadah kerana terdesak mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah dan cara paling mudah adalah mencuri tembaga dalam kabel telefon dicuri itu.

“Malah, jumlah kabel yang dicuri berkenaan juga adalah bergantung kepada kenderaan yang dibawa mereka termasuk menggunakan motosikal dan lori yang boleh mengangkut lebih daripada 50 meter kabel untuk diambil tembaga kemudian dijual kepada pembeli logam," katanya.

Mohd Roslan berkata, TM berusaha menangani kecurian yang berlaku dengan mengambil langkah proaktif termasuk memasang sistem penggera (i-watch) yang kini sudah meliputi 80 peratus kabel yang menghubungkan kepada pusat jika berlaku kecurian.

Katanya, TM juga turut mendapatkan kerjasama daripada polis untuk melakukan rondaan terhadap kawasan panas yang sering dilaporkan berlaku kecurian, selain membina terowong di bawah tanah serta memasang jeriji di petak berisi kabel dalam tanah.

INFO
Kes kecurian kabel TM


  • Kecurian kabel menimbulkan masalah perhubungan kepada ribuan orang ramai khususnya pengguna telefon talian tetap syarikat itu

  • RM33 juta kerugian dilamai TM seluruh negara akibat kecurian kabel

  • 705 kes berlaku di sekitar Johor Utara menyebabkan kerugian RM1.7 juta, manakala bakinya 354 kes di sekitar Johor Selatan membabitkan kerugian kira-kira RM1.2 juta

  • Kebiasaan kes didalangi penagih dadah
  • Berita Harian

    Bom meletup diYala

    ANGGOTA tentera menutup mayat sami Buddha ketika menyiasat kejadian serangan bom di Yala, hari ini. Dua sami terbunuh dan dua anggota tentera cedera ketika bom meletup ketika sami itu mengutip derma. Serangan itu muncul pada ketika jumlah kejadian meningkat di wilayah yang kaya dengan hasil getah -Foto Reuters
    Berita Harian

    Kejatuhan harga minyak membimbangkan

    SINGAPURA: Harga minyak dalam dagangan Asia merudum hari ini, berikutan permintaan yang membimbangkan dan dijangka berterusan sehingga memberi kesan terhadap sentimen bahan bakar itu.


    Kontrak utama New York, minyak mentah light sweet untuk Jun jatuh 26 sen kepada AS$97.11 setong dan minyak mentah Brent North Sea selesa pada 14 sen kepada AS$110.70.
    Kedua-dua kontrak itu ditutup lemah dalam dagangan Amerika Syarikat (AS), semalam. - AFP
    Berita Harian

    Liwat II: Pembelaan Akan Temuramah Najib, Rosmah

    Oleh SALWA SHA’ARI

    KUALA LUMPUR: Peguam Sankara Nair yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa barisan pembelaan kes liwat Ketua Pembangkang itu akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najid Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Menurut Sankara, tindakan tersebut bagi menentukan sama ada Najib dan Rosmah akan dipanggil sebagai saksi pembelaan kepada Anwar, yang telah diarahkan untuk membela diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    “Najib dan Rosmah telah disenarai pendekkan dalam 30 saksi daripada 72 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada kami,” katanya.

    Bagaimanapun, Sankara tidak dapat menyatakan secara terperinci bila temuramah tersebut akan diadakan kerana ia akan diaturkan oleh pihak pendakwaan.

    Beliau juga memberitahu, selain Najib dan Rosmah, pihaknya akan memanggil dua saksi pakar iaitu masing-masing dari Australia dan India.

    Difahamkan, saksi dari Australia tersebut ialah pakar dalam bidang asid deoksiribonukleik (DNA) Dr Brian Leslie McDonald manakala pakar dari India adalah pakar forensik, Profesor Dr C. Damodaran.

    Ketika diminta untuk mengulas mengenai keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang memanggil Anwar untuk membela diri, Sankara berkata, keputusan itu adalah mengecewakan.

    “Kita berasakan tiada kes yang perlu dijawab oleh Anwar tetapi mahkamah telah membuat keputusan sebegitu dan kita akan menyediakan pembelaan.

    “Sebelum ini mahkamah telah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, maka selepas ini kita akan mengemukakan pula saksi-saksi pembelaan. Ini bukan penamat, hanya di peringkat pertengahan,” katanya.

    Anwar, 63, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang didakwa berlaku antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh Ketua Pembangkang tersebut di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

    Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

    Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 manakala perbicaraan bermula pada 3 Febuari 2010.

    Secara keseluruhan, seramai 26 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang memakan masa selama 59 hari.

    Ini merupakan pendakwaan kes liwat kali kedua terhadap Anwar, yang telah menghadapi pertuduhan sama pada tahun 2000.

    Semasa itu, Anwar didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar dan dihukum penjara sembilan tahun selepas disabitkan bersalah. Bagaimanapun, hukuman tersebut diketepikan oleh Mahkamah Persekutuan empat tahun kemudian.

    mStar Online

    Liwat II: Anwar Diarah Bela Diri

    Liwat II: Anwar Diarah Bela Diri

    KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa berlaku tiga tahun lalu.

    Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan tersebut pada Isnin, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Anwar.

    Pada penghakiman yang mengambil masa selama hampir dua jam untuk dibacakan, Mohamad Zabidin berkata, beliau mendapati Mohd Saiful yang merupakan saksi utama dan saksi pertama (SP1) kes telah berkata benar mengenai kejadian liwat itu.

    “Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila pihak pembelaan cuba untuk mengatakan bahawa SP1 tidak mempunyai kredibiliti dan dikatakan bukan seorang Muslim yang baik serta datang dari keluarga yang berpecah belah dan seorang pengkhianat.

    “Bagaimanapun, saya berpendapat semua dakwaan tersebut sebagai tidak relevan dan tidak mempunyai merit dalam memutuskan kredibiliti SP1,” katanya.

    Beliau juga menolak hujahan barisan pembelaan Anwar yang mengatakan bahawa kelakuan Mohd Saiful yang tidak meminta bantuan sedangkan boleh berbuat demikian dan menghadiri majlis Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada keesokan hari selepas kejadian menunjukkan kejadian liwat tidak berlaku.

    “Berdasarkan kepada fakta dalam perbicaraan, tidak sukar untuk memahami mengapa SP1 bertindak demikian walaupun tidak rela diliwat.

    “SP1 adalah seorang anak muda yang bekerja dengan tertuduh, iaitu idolanya sejak kecil dan tertuduh memberikan layanan istimewa kepadanya,” katanya.

    Selain itu, Mohamad Zabidin berkata, keterangan Mohd Saiful yang terperinci mengenai apa yang berlaku di antara dia dan Anwar pada hari kejadian turut disokong oleh saksi pakar yang mengesahkan berlaku penetrasi di bahagian dubur SP1.

    “Berdasarkan sampel yang diperoleh dari bahagian rektrum Mohd Saiful, berlaku penetrasi zakar yang meninggalkan air mani di bahagian terbabit,” katanya.

    Beliau juga menolak kemungkinan sampel tersebut tercemar kerana berdasarkan keterangan, sampel tersebut telah dimaterai secepat mungkin selepas ia diambil.

    Pada penghakimannya, Mohamad Zabidin juga berpendapat, bukti sokongan seperti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyokong kehadiran SP1 di unit kondominium tersebut pada hari kejadian dengan menaiki sebuah kenderaan yang didaftarkan di atas nama bapa tunang SP1 pada waktu itu.

    Sehubungan itu, Mohamad Zabidin memutuskan bahawa Anwar dan Mohd Saiful berada di unit kondominium tersebut pada masa kejadian liwat itu didakwa berlaku.

    "Atas alasan di atas, saya dapati pihak pendakwaan telah berjaya untuk membuktikan elemen seperti pertuduhan.

    “Oleh itu, tertuduh diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan yang dihadapi,” katanya.

    Beliau seterusnya menetapkan 6 hingga 30 Jun depan untuk Anwar yang memilih untuk membela diri menerusi keterangan bersumpah berbuat demikian selaku saksi pembelaan pertama.

    Anwar kelihatan tenang semasa mendengar keputusan tersebut dan sesekali dilihat memandang ke arah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang duduk bersama anak sulung mereka, Nurul Izzah di galeri awam.

    Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

    Jika sabit kesalahan, Anwar boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan disebat, seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

    Turut berada di mahkamah sebagai tanda sokongan ialah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin dan isteri serta Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

    Juga berada di mahkamah ialah Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) M. Manoharan (Kota Alam Shah), Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas) dan Ronnie Liu (Pandamaran).

    Pada prosiding itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mengetuai barisan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, Mohd Hanafiah Zakaria, CK Wong dan Noorin Badaruddin.

    Barisan pembelaan pula diketuai oleh peguam Karpal Singh dan peguam-peguam Sankara Nair, Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, Marissa Christopher Fernando dan Ram Karpal Singh.

    mStar Online

    Liwat II: Anwar Tidak Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah

    Liwat II: Anwar Tidak Terkejut Dengan Keputusan Mahkamah

    KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjangkakan bahawa beliau akan dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

    “Keputusan itu tidak mengejutkan walaupun mengikut pendapat saya dan peguam, kes itu tidak boleh diteruskan dan tidak mempunyai asas,” katanya semasa ditemui di luar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

    Anwar yang hadir bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah bagaimanapun meluahkan rasa kesalnya terhadap keputusan tersebut.

    “Keputuan hakim seolah-olah beliau terikat sepenuhnya dengan hujahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Seolah-oleh hakim telah memutuskan untuk menghukum,” tambah beliau.

    Ketika ditanya perancangan seterusnya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberitahu, beliau akan terus memperjuangkan kebenaran di peringkat pembelaan, yang akan bermula pada 6 Jun depan.

    “Saya akan memanggil semua saksi termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    “Saya juga akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan Datuk Mumtaz Jaafar (bekas atlet negara) serta saksi-saksi lain yang akan mempertahankan kebenaran,” katanya.

    Anwar juga memberitahu, rasional mengapa Najib dan Rosmah dipanggil adalah kerana kedua-dua mereka didakwa telah memberi keterangan kepada pihak polis berkaitan kes itu.

    Anwar, 63, diarahkan untuk membela diri atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 25, yang didakwa berlaku antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dekat sini.

    Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat. Anwar didakwa untuk kali pertama bagi kesalahan itu pada 7 Ogos 2008 dan kes berprofil tinggi itu mula dibicarakan pada 3 Februari 2010.

    Pada Isnin, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Anwar untuk membela diri selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan prima facie terhadap pertuduhan untuk dijawab oleh Anwar.

    Pada penghakimannya, Mohamad Zabidin memutuskan Mohd Saiful yang merupakan saksi utama adalah seorang yang boleh dipercayai dan kredabilitinya tidak terjejas.

    Selain itu, Mohamad Zabidin juga berpendapat, keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pakar membuktikan bahawa kejadian penetrasi telah berlaku selain Anwar dan Mohd Saiful berada di unit tersebut pada waktu kejadian.

    mStar Online

    Lelaki ditabal Sultan Sulu kena tahan


    KOTA KINABALU: Selepas tiga bulan menghilangkan diri dipercayai melarikan diri daripada ditahan polis, lelaki yang dilaporkan ditabalkan sebagai Sultan Sulu di di Likas dekat sini, awal Februari lalu, berjaya ditahan lewat petang kelmarin. 


    Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad, 54, ditahan sejurus tiba di rumahnya di Likas kira-kira jam 6 petang dari Kuala Lumpur.
    Sumber berkata, suspek tidak melawan ketika ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Khas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Kepayan di sini untuk disoal siasat.
    Semalam, polis memperoleh perintah menahan reman suspek selama beberapa hari. 

    Minggu lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata, polis Sabah terpaksa meminta kerjasama Interpol kerana suspek dipercayai sudah meninggalkan negeri itu. 

    Polis yang menjalankan siasatan sejak Februari lalu sudah mengemukakan hasil siasatan kepada Bukit Aman tetapi diminta meneliti beberapa aspek tertentu berkaitan laporan istiadat pertabalan lelaki itu sebagai Sultan Sulu. 

    Februari lalu, polis mengambil keterangan 18 orang berhubung siasatan kes itu kerana ia diklasifikasikan sebagai serius dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam negeri. 
    Bagaimanapun, Datu Mohd Akjan dilaporkan mendakwa, majlis itu bukan pertabalan, sebaliknya kenduri kesyukuran selepas beliau bersetuju menerima tawaran ‘kerajaan sementara Sulu' untuk dipilih sebagai Sultan Sulu Ke-33. 

    Penulis dakwa dicabul Strauss-Kahn 10 tahun lalu

    pix_gal0PARIS: Pengarah urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa, Dominique Strauss-Kahn yang ditahan di New York kelmarin atas tuduhan cuba merogol, kini didakwa pula melakukan serangan seks di Perancis.

    Seorang peguam Perancis berkata, semalam anak guamnya sedang menimbangkan sama ada untuk mengemukakan tuduhan terhadap Strauss-Kahn di atas insiden yang didakwa berlaku hampir sedekad lalu itu.
    Peguam itu, David Koubbi, berkata anak guamnya, Tristane Banon yang juga seorang penulis mendakwa insiden itu berlaku ketika beliau menemubual Strauss-Kahn, seorang bekas menteri kewangan Perancis di pangsapurinya pada 2002.
    “Kami sedang menimbangkan untuk memfailkan tuduhan,” kata Koubbi dalam satu mesej pesanan ringkas kepada Reuters, semalam.

    Strauss-Kahn, seorang tokoh parti Sosialis, sebelum ini dianggap calon pilihan bagi pilihan raya presiden tahun depan.

    Beliau di didakwa di New York hujung minggu lalu atas tuduhan menyerang secara seksual seorang pekerja hotel.

    Peguam Strauss-Kahn berkata, anak guamnya akan mengaku tidak bersalah.
    Media Perancis termasuk Liberation, Le Parisien dan Le Figaro semalam memuatkan butir terperinci insiden yang berlaku pada 2002 itu.

    Dalam satu temubual bersama televisyen pada 2007, Banon yang berusia 22 tahun ketika itu, berkata Strauss-Kahn memegang tangannya dengan paksa ketika ditemubual dan cuba menggoda beliau.

    “Insiden itu berakhir dengan pergelutan.

    “Kami bergelut di atas lantai, saya menendangnya ketika beliau bertindak menanggalkan coli dan cuba membuka jeans saya,” katanya dalam temubual di televisyen itu.

    Di bawah undang-undang Perancis, dakwaan cuba merogol boleh difailkan sehingga 10 tahun selepas dakwaan serangan berkenaan. – Reuters , bharian

    Kapal Malaysia diserang lagi




    KAPAL MV Finch milik Malaysia berlepas dari Pelabuhan Piraeus, Greek pada 11 Mei lalu.


    KUALA LUMPUR - Sebuah kapal misi bantuan kemanusiaan yang ditaja Malaysia untuk rakyat Palestin di Gaza dihalang dua bot tentera laut Israel yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah awal pagi Isnin waktu Malaysia.
    Kesemua 12 penumpang dan krew, termasuk dua wartawan dari Malaysia bagaimanapun terselamat selepas tentera laut Mesir datang membantu dan mengiringi kapal MV Finch ke pelabuhan Al Arish di Mesir, menurut wartawan Bernama Mohd. Faizal Hassan yang berada di atas kapal itu.
    Kapal bantuan tersebut dengan jurumudi ialah Kapten Jalil Mansor telah berlepas dari Pelabuhan Piraeus, Greece, pada 11 Mei lalu dengan membawa muatan paip PVC sepanjang 7.5 kilometer bagi membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.
    Ujarnya, inisiatif kemanusiaan itu dibiayai oleh Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
    Kosmo! Online - Negara

    Tubuh ketua IMF diperiksa polis




    Dominique Strauss-Kahn (dua dari kanan) dibawa oleh anggota-anggota polis keluar dari sebuah balai polis di New York pada Ahad lalu.


    NEW YORK - Tubuh Ketua Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn kelmarin diperiksa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan bukti berhubung dakwaan serangan seksual yang dilakukannya terhadap seorang pengemas bilik hotel di sini.
    Strauss-Kahn, 62, yang berkahwin dan memiliki empat orang anak sebelum ini memiliki reputasi sebagai penggoda agung wanita.
    Beliau dijadualkan dihadapkan di mahkamah AS semalam berhubung dakwaan melakukan serangan seksual, cubaan merogol dan mengurung mangsa secara haram selepas wanita itu memasuki bilik hotelnya berhampiran Times Square di sini untuk mengemaskannya.
    Peguamnya, William Taylor berkata, ketua IMF itu ditangkap pada Sabtu lepas dan ditahan lebih 24 jam di sebuah balai polis di sini.
    Mangsa kemudian dapat mengecamnya dalam satu kawad cam
    Sekumpulan jurugambar merakamkan beliau dibawa ke sebuah balai polis di sini dalam keadaan tangannya digari seperti penjenayah lain.
    Menurut Taylor, anak guamnya kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menjalani pemeriksaan forensik atas arahan pendakwa raya bagi mendapatkan lebih banyak bukti dalam kes tersebut.
    Beliau dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini awal semalam.
    Seorang lagi peguam Strauss-Kahn, Benjamin Brafman berkata, Pengarah Urusan IMF berkenaan akan menentang semua dakwaan terhadapnya dan menafikan melakukan sebarang kesalahan.
    Ketua IMF itu ditangkap kurang empat jam selepas serangan seksual tersebut didakwa berlaku.
    Beliau ditahan semasa berada dalam pesawat yang dijadual menuju ke Paris ketika pesawat berkenaan hendak berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy di sini.
    Polis berkata, Strauss-Kahn bersendirian ketika beliau mendaftar masuk ke hotel mewah Sofitel di sini pada tengah hari Jumaat lalu.
    Sementara itu, ketua IMF berkenaan yang memakai kot hujan hitam dan kemeja cerah, dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini semalam.
    Beliau muncul di mahkamah berkenaan di hadapan Hakim Melissa Jackson untuk seketika sebelum dibawa meninggalkan kamar mahkamah melalui pintu belakang.
    Setakat ini, masih tidak jelas mengapa Strauss-Kahn meninggalkan kamar mahkamah tersebut tetapi peguam-peguamnya tidak kelihatan bersamanya sekali gus menunjukkan kesnya masih belum siap untuk perbicaraan.
    Semasa beberapa minit di dalam kamar mahkamah, Strauss-Kahn duduk di atas bangku tempat suspek penjenayah menunggu sebelum mereka muncul di hadapan hakim.
    Beliau tidak kelihatan digari ketika di dalam mahkamah.
    Strauss-Kahn berada di mahkamah untuk membuat pengakuan tidak bersalah dan bagi memohon ikat jamin. - Agensi
    Kosmo! Online - Dunia

    Adik Thaksin bertanding rebut jawatan PM




    YINGLUCK SHINAWATRA dikerumuni jurugambar di ibu pejabat Parti Puea Thai, Bangkok semalam.


    BANGKOK - Adik perempuan bongsu bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra semalam mengumumkan akan bertanding sebagai calon parti pembangkang untuk merebut jawatan perdana menteri Thailand pada pilihan raya umum Julai depan.
    Pencalonan wanita Yingluck Shinawatra, 43, oleh parti yang pernah dipimpin Thaksin, Parti Puea Thai menjadikannya wanita pertama bertanding merebut jawatan tertinggi itu selain mengesahkan peranan Thaksin dalam senario politik Thailand walaupun beliau kini tinggal dalam buangan.
    "Saya bersedia berjuang menurut undang-undang dan saya meminta peluang untuk membuktikan diri saya. Saya meminta kepercayaan anda dan anda semua pernah memberikan kepercayaan kepada abang saya," katanya dalam satu perhimpunan parti Puea Thai di sini.
    Keputusan parti itu yang sebulat suara memilih Yingluck sebagai calon utama mereka dibimbangi akan meningkatkan ketegangan di Thailand terutamanya di kalangan mereka yang tidak mahu Thaksin kembali ke negara itu. - AFP
    Kosmo! Online - Dunia