Sunday, October 26, 2014

Bayi terkecil diiktiraf MBOR dengan berat 530 gram


26/10/2014 5:15pm

IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan diiktiraf sebagai bayi paling kecil di negara ini oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) dengan berat 530 gram sewaktu dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) lima tahun lalu.
Voasha J. Kumar, merupakan bayi pramatang dilahirkan secara normal ketika berusia enam bulan setengah pada 9 Oktober 2009 merupakan anak sulung kepada pasangan J.K. Michael, 38, dan K.M. Jashila Preya, 35, yang kini menetap di Singapura sejak tiga tahun lalu.
Menurut Jashila, dia dan suaminya terpaksa berulang-alik ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL kerana Voasha ditahan selama tujuh bulan di sana sebaik dilahirkan ekoran badan anaknya itu terlalu rapuh.
“Saya menjalani pemeriksaan kesihatan semasa mengandung di hospital swasta, namun, mereka tidak dapat menerima kami apabila melahirkan bayi pramatang.
“Justeru, saya amat terhutang budi kepada HKL kerana mereka telah membuktikan bahawa hospital kerajaan juga mempunyai kepakaran dalam menguruskan bayi pramatang. Ketika itu, saya diberi pilihan sama ada mahu meneruskannya (tetapi peluang Voasha hidup adalah tipis) atau membiarkannya ‘pergi’ kerana tidak mahu menyeksanya dengan dicucuk pelbagai tiub.
“Pada saat itu, saya hampir mengalah kerana sehari selepas anak saya dilahirkan, beratnya menurun kepada 480 gram. Begitupun, suami saya percaya Voasha masih kuat dan mampu untuk terus hidup," katanya kepada pemberita selepas menganjurkan sambutan hari jadi anaknya itu di salah sebuah hotel di sini malam tadi.
Pada majlis tersebut, pasangan itu secara rasminya menerima sijil pengiktirafan MBOR yang disampaikan menerusi wakil agensi itu, Huda Zakaria yang turut dihadiri oleh Ketua Bahagian MIC Ipoh Barat, Datuk G. Rajoo dan Ketua Bahagian MIC Kampar, Datuk S. Veerasingam.
Difahamkan, rekod bayi terkecil sebelum ini dipegang oleh seorang bayi yang dilahirkan di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur dengan berat 600 gram pada tahun 2000.
Dalam pada itu, Jashila mengakui, anaknya itu kini hidup normal melainkan sedikit hiperaktif selain lambat berjalan dan bercakap serta memiliki berat badan yang tidak ideal berbanding purata kanak-kanak seusianya.
“Kami hanya memohon untuk mendapatkan pengiktirafan MBOR selepas Voasha berusia hampir lima tahun apabila dia benar-benar stabil terutamanya daripada segi perkembangan otaknya,” katanya sambil memberitahu, saiz anaknya itu selepas dilahirkan hanya sebesar kira-kira sebesar sebotol air mineral kecil. - KOSMO!


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm#ixzz3HGK5nd1V 
Hakcipta terpelihara 

Jokowi umum 34 menteri Kabinet Kerja


PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (dua dari kiri) bercakap kepada media sambil ditemani isteri, Iriana; Naib Presiden, Jusuf Kalla dan isteri, Mufidah di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia, hari ini. - Foto AP
KUALA LUMPUR : Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo sebentar tadi mengumumkan barisan 34 menteri Kabinet Kerjanya di Istana Merdeka, Jakarta.
Pengumuman dibuat Presiden Indonesia ketujuh itu selepas mengangkat sumpah jawatan berkenaan, Isnin lalu.
Berada di sisinya ketika pengumuman itu, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.
Sebelum mengumumkan senarai penuh nama menteri, Joko, 53, yang mesra dengan panggilan Jokowi berkata kabinet baharu yang dibentuknya itu diberi nama Kabinet Kerja.
"Kabinet baru sudah terbentuk, kita memberi nama Kabinet Kerja. Undang-undang kita diberi waktu 14 hari untuk mengusun (mengumumkan barisan anggota kabinet).
"Anggota kabinet kerja diumumkan pada hari ke enam (hari ini) setelah saya dan JK (Jusuf Kalla) dilantik (Presiden dan Naib Presiden)," katanya
Jokowi menjelaskan, proses penetapan barisan menteri kabinetnya dilakukan dengan hati-hati dan penuh cermat.
"Ini menjadi keutamaan (perkara penting) kerana kabinet ini akan bekerja selama lima tahun," katanya.
Beliau menjelaskan 34 menteri kabinetnya itu terdiri 18 orang menteri dari kalangan kumpulan profesional, sementara 16 orang lagi daripada profesional parti politik.
Jokowi mengambil alih pentadbiran daripada Susilo Bambang Yudhoyono yang tamat tempoh pentadbiran selama dua penggal.
Pada Julai lalu, Jokowi memenangi pilihan raya Presiden apabila memperoleh 70,990,832 undi atau 53.15 peratus daripada sejumlah 133,567,276 undi, menewaskan lawannya Prabowo Subianto yang memperoleh 62,576,444 atau 46.85 peratus.

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (tengah) bercakap kepada media selepas mengumumkan 34 ahli Kabinetnya di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia, hari ini. - Foto AP
Berikut senarai penuh menteri Kabinet Kerja Jokowi-JK:
1. Menteri Sekretaris Negara : Pratikno
2. Kepala Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas) : Andrinof Chaniago
3. Menteri Koordinator Kemaritiman : Indroyono Susilo
4. Menteri Perhubungan : Ignasius Johan
5. Menteri Kelautan dan Perikanan : Susi Pujiastuti
6. Menteri Pariwisata : Arif Yahya
7. Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral : Sudirman Said
8. Menteri Koordinator Polhukam : Laksamana Tedjo Edy Purdjianto
9. Menteri Dalam Negeri : Tjahjo Kumolo
10. Menteri Luar Negeri : Retno L.P Marsudi
11. Menteri Pertahanan : Jenderal (Purnawirawan) Ryamizard Ryacudu
12. Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia : Yasona Laoly
13. Menteri Komunikasi dan Informatika : Rudiantara
14. Menteri Pendayagunaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi : Yudi Chrisnandi
15. Menteri Koordinator Bidang Perekonomian : Sofyan Djalil
16. Menteri Keuangan : Bambang Brodjonegoro
17. Menteri Badan Usaha Milik Negara : Rini Soemarno
18. Menteri Koperasi dan Usaha Kecil Menengah : Puspa Yuda
19. Menteri Perindustrian : Saleh Husin
20. Menteri Perdagangan : Rahmat Gobel
21. Menteri Pertanian : Amran Sulaiman
22. Menteri Ketenagakerjaan : Hanif Dhakiri
23. Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat : Basuki Hadi Muljono
24. Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan : Siti Nurbaya
25. Menteri Agraria dan Perencanaan Tata Ruang : Ferry Mursidan Baldan
26. Menteri Koordintor Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan : Puan Maharani
27. Menteri Agama : Lukman Hakim Saipudin
28. Menteri Kesehatan : Nila Moeloek
29. Menteri Sosial : Khofifah Indar Parawansa
30. Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak : Yohana Yembise
31. Menteri Budaya dan Pendidikan Dasar dan Menengah : Anies Baswedan
32. Menteri Riset Teknologi dan Pendidikan Tinggi : M Nasir
33. Menteri Pemuda dan Olahraga : Imam Nahrawi
34. Menteri Desa, Daerah Tertinggal dan Transmigrasi : Marwan Jafar

PAS Belum Nampak Matlamat Pasma - Hadi


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 9:19 PM
Abdul Hadi Awang.

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) adalah di luar pengetahuan pihaknya dan beliau sendiri masih kabur dengan matlamat penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Kita tak tahu lagi, kita pun tak tahu Pasma ini dari spesies mana," katanya kepada pemberita selepas membuat penggulungan serta menutup Seminar Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Terengganu di sini, Ahad.

Beliau turut membidas Pasma yang mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS berhubung larangan ke atas ahli parti itu menyertai pertubuhan tersebut.

Beliau berkata tindakan MSU berhubung perkara itu kerana wujud aduan di negeri-negeri mengenai salah laku anggota pertubuhan terbabit termasuk berkempen kepada ahli PAS supaya jangan menghadiri mesyuarat peringkat cawangan parti berkenaan.

Beliau mengulas isu pertembungan antara MSU PAS dengan Pasma yang semakin serius berikutan kenyataan Presiden Pasma, Datuk Phahrolrazi Zawawi bahawa majlis tersebut tidak berhak melarang ahli PAS menghadiri program Pasma.

Semalam, Phahrolrazi berkata MSU tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk berbuat demikian kerana ia di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Dakwaan UM Dikunci Halang Program Anwar Tidak Benar - Sumber


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 9:01 PM

PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) tidak akan dikunci pada Isnin seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita, demikian menurut sumber universiti tersebut.

Menurut sumber itu, tiada notis dikeluarkan oleh pihak universiti berhubung dakwaan untuk menutup semua laluan masuk ke UM bagi menghalang kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dijadual untuk hadir ke UM pada Isnin bagi menyampaikan pidato anjuran persatuan mahasiswa universiti itu.

"Kami tidak mengetahui apa-apa arahan sedemikian.

"Pelajar-pelajar tidak diberi kebenaran untuk menganjurkan acara itu dan jika mereka masih teruskan, mereka perlu menerima akibatnya. Tetapi tidak ada kuncian," kata sumber itu pada Ahad.

Sebuah portal berita melaporkan bahawa semua pintu di universiti itu akan ditutup kecuali pintu utama bermula 7 pagi Isnin.

Laporan itu juga berkata polis akan bertanggungjawab ke atas keselamatan di universiti itu.

'Nik Aziz orang pertama nasihat agar bersabar'


BISIKAN nasihat ibu di telinga menjadi kata azimat kepada beliau meneruskan perjuangan politiknya. Berada di kerusi nombor satu negeri Selangor, beliau terus mengatur langkah memimpin negeri ini dengan penuh yakin.

Meskipun dilanda pelbagai kontroversi sehinggalah mengheret ibunya ke kancah politik, beliau tetap tenang menangkis fitnah dan tohmahan musuh.

Semalam, genaplah sebulan Mohamed Azmin Ali menerajui negeri ini. Ikuti sambungan temubual Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, Editor, Lailatun Khalilah Nasir, wartawan, Mohd Syairi Mohamad Shaari dan jurufoto, Afiq Razali yang melakukan kunjungan hormat ke pejabatnya, baru-baru ini.

Boleh YAB kongsikan apakah fikiran pertama yang terlintas di fikiran YAB ketika menerima surat pelantikan dari pihak istana?

Terima kasih. Sejujurnya saya tidak tahu apaapa. Saya dipanggil untuk ditemuduga oleh pihak istana dan ini kali pertama saya menghadap Tuanku secara bersemuka selain urusan rasmi sebagai Adun dan Ketua BBC.

Pada pertemuan kali pertama itu, Tuanku titahkan harapan baginda terhadap Selangor. Tetapi belum ada sebarang keputusan ketika pertemuan itu. Saya difahamkan Tuanku ada dua nama lagi yang dicadangkan dan saya diberitahu, saya adalah orang ketiga yang ditemuduga.

Sehinggalah saya dimaklumkan pada hari Isnin, 22 September 2014, jam 3.36 petang secara rasminya saya menerima surat daripada pihak istana yang mengesahkan pelantikan saya sebagai menteri besar baharu.

Saya terus sujud syukur di pejabat sejurus menerima pelantikan itu. Kemudian saya memaklumkan kepada parti dan parti memberi dokongan kepada saya.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan tarik diri dari pencalonan sebagai menteri besar, malah beliau sendiri mengusulkan supaya saya dicalonkan oleh parti. Saya mendapat sokongan dari Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat serta sokongan dari DAP. Sokongan dari PR cukup padu.

Boleh YAB ceritakan apakah yang dibisikkan oleh ibu YAB ketika mendapat restunya?

Sebelum ini, banyak pihak melontarkan fitnah kepada saya dengan mengatakan saya mempunyai masalah dengan ibu saya. Fitnah ini memang tidak adil kepada diri saya kerana saya mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan ibu dan arwah ayah. Malah, ayah saya juga adalah insan yang mempertahankan saya apabila insiden pada 1998.

Selama setahun beliau terpaksa menanggung kesusahan dan hampir setiap minggu arwah berulang alik masuk Institut Jantung Negara dan meninggal dunia pada Julai 1999.

Begitu pun, arwah sempat berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memohon maaf bagi pihak keluarga di atas tindakan Ummi  Hafilda dan ayah saya meninggal di dalam dakapan saya.

Setelah meninggal, ibu saya tinggal seorang dan sebagai anak yang kasih dan hormat kepada ibu, saya laksanakan tanggungjawab sebagai anak, saya lakukan semampu saya. Tetapi bila timbul isu fitnah ini, saya rasa perkara ini tidak sepatutnya dan saya terkilan mengenainya.

Saya mahu tegaskan, saya tidak pernah mengheret ibu saya dalam kancah politik dan apabila timbulnya isu fitnah ini, antara orang pertama yang menasihati saya agar tabah dan bersabar adalah Tok Guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saya cukup terkesan dengan tindakan Nik Aziz kerana beliau banyak memberi semangat dan kekuatan untuk saya berdepan situasi itu.

Saya ingat ketika ada pihak berusaha menyebarkan fitnah dengan gambar lucah, orang pertama yang memanggil saya ke Kota Bharu adalah Nik Aziz. Nik Aziz jugalah orang pertama yang membuat kenyataan secara terbuka mempertahankan saya lebih awal dari rakan dalam parti.

Dalam isu saya sebagai anak derhaka, orang yang paling awal menasihati saya adalah Nik Aziz. Beliau pesan pada saya, supaya menjadi anak yang soleh dan dihormati.

Berbalik kepada soalan tadi, apabila saya selesai mengangkat sumpah sebagai menteri besar di istana, saya ke rumah ibu di Hulu Kelang untuk mendapatkan restu.

Ibu saya cukup gembira dengan pelantikan ini dan menasihati saya supaya mentadbir Selangor dengan jujur, amanah dan jangan menzalimi mana-mana pihak. Pesanan ibu yang akan saya pegang sampai bila-bila.

'Zakat tak ikut mazhab Syafie kenapa tidak marah?'


KUALA LUMPUR - "Kita bayar zakat tidak mengikut mazhab Syafie, kenapa kita tidak marah?" soal Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, masyarakat terus menjatuhkan pelbagai hukum kepada penganjur kempen sentuh anjing hingga tersasar seolah-olah menganggap hanya mazhab Syafie satu-satunya aliran dalam Islam.

"Kita seolah terlepas daripada sasaran sehingga mazhab Syafie kita anggap seperti itulah satu-satunya Islam. Sedangkan bayar zakat tidak pakai mazhab Syafie. Sah pula zakat kita.

"Pergi haji, tersentuh lelaki perempuan, mazhab Syafie kata batal wuduk (ketika haji), tiba-tiba Tabung Haji buat fatwa tak batal. Boleh pula? Tak murtad pula? Tak hina Islam pula? Kenapa tak konsisten kefahaman itu? Ini satu kesalahan yang perlu kita dedahkan.

"Mazhab Maliki kata boleh sentuh anjing. Nak peluk atau nak cium pun boleh. Air liurnya pun harus dan suci. Kita bukan nak suruh tapi nak bagi toleransi," katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian Online pada Konvensyen Fiqh Rasulullah SAW, di sini, hari ini.

Tegasnya, kenyataan tersebut bukan bertujuan berkempen terhadap mazhab lain namun peringatan supaya tiada yang beranggapan mazhab selain mazhab Syafie itu bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Nanti kita akan bermusuh dengan mazhab lain sedangkan mazhab lain itu juga Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Mengulas soal situasi peserta program sentuh anjing yang beragama Islam memeluk dan mencium anjing itu, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu dosa kecil.

"Saya tak tahu apa cerita di sana tapi saya difahamkan mereka diajar cara sertu. Kalau nak dosa sekalipun, mengikut mazhab Syafie haram dan haram itu ada tahapnya. Mungkin itu dosa kecil kerana sengaja meletakkan najis di badan.

"Kalau dia gigit-gigit anjing itu, kemudian bagi kena lidah dia pada lidah anjing, itu dikira dahsyat sikit.

"Tapi peluk macam itu saja, apa yang besar sangat kalau dosa pun? Dosalah pada mazhab Syafie tapi pada mazhab Maliki tidak berdosa. Kalau dia nak sertu pun, dia sertu habis ceritalah," katanya.

Jelasnya, penganjuran program tersebut mempunyai tiga masalah utama yang menyebabkan ia menjadi kontroversi.

"Pertama masalah kawalan penganjur terhadap peserta. Mungkin mereka tidak dapat kawal peserta itu bila mahu bergambar. Mereka belum sempat ajar lagi peserta dah 'test' dulu.

"Kedua masalah media. Sebahagian media yang ketengahkan perkara itu (peserta cium, peluk anjing). Media tak ketengahkan proses sertu itu, apa yang diajar selepas itu dan proses pembelajaran oleh Ustaz (Ustaz Mohd Iqbal Parjin) itu apa intinya," katanya.

"Ketiga, orang-orang yang melenting tanpa usul periksa. Memberi respons tanpa bersabar. Tak tahu apa, hanya mendapat sedikit (fakta) daripada wartawan, dia sudah ulas. Sepatutnya, sabar dahulu. Pergilah cari bacaan dulu, cari apa penganjur punya cakap, kemudian barulah beri kenyataan," katanya.

Nik Aziz tidak sihat, jalani rawatan di HRPZ II

Nik Abdul Aziz Nik
Nik Abdul Aziz Nik
KUALA LUMPUR - Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, awal pagi tadi selepas mengadu tidak sihat usai solat Subuh.
Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman memaklumkan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Fiqh Rasulullah SAW di sini, hari ini.

Nik Aziz dijadualkan menjadi tetamu jemputan konvensyen tersebut pada slot khas 'Rasulullah Suri Teladan' pada jam 4 petang.

"Saya ambil masa lebih sedikit kerana Tuan Guru Nik Aziz tidak dapat datang saya baru dapat mesej daripada beliau.

"Pagi tadi difahamkan beliau boleh solat Subuh berjemaah seperti biasa. Selepas Subuh itu beliau mula rasa tak sedap badan dan dihantar ke hospital," katanya kepada kira-kira 1,000 peserta Konvensyen Fiqh anjuran Murshid itu.

Video seks: Pihak berkuasa perlu bertindak

Mohd Khalil Abdul Hadi
Mohd Khalil Abdul Hadi
SHAH ALAM  - Pemuda Pas menggesa pihak berkuasa memandang serius soal penyebaran video dan gambar lucah mengaitkan pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang mula tersebar, Khamis lalu.

Timbalan ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara seumpama ini tidak boleh dibiarkan dan tindakan perlu diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.

“Imej dan reputasi UAI yang sengaja dicalarkan dengan apa juga sebab ini sangat merunsingkan kita semua.

“Insiden ke atas UAI ini harus dipandang dan diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa. Siasatan perlu dilakukan dan tindakan perlu dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, jika dulu artis dan ahli politik menjadi sasaran, kini golongan ulama turut cuba dibogelkan di khalayak ramai.

“Sebelum ini, hanya para artis sahaja dikaitkan dengan skandal seumpama itu. Disusuli pula ahli politik menjadi sasaran yang bertujuan menjatuhkan seteru politik sendiri.

“Suburnya perangai jahat ini, kini para ulama dan agamawan pula cuba dibogelkan di hadapan khalayak ramai.

“Musibah sungguh umat kita dihinggapi penyakit rosak ini yang merosakkan ramai orang dan ketamadunan ketimuran manusia kita di negara ini.

“Jika dibiarkan, kelak tidak perlu lagi sesiapa pun membogelkan orang lain, mereka sendiri akan rela hati membogelkan diri mereka,” katanya.

Menyentuh soal penzahiran rasa dukacita ke atas insiden tersebut oleh pelbagai pihak, Muhammad Khalil berkata, situasi itu bukti bahawa Allah tidak mengizinkan makhluk yang mulia dihina.

“Seluruh pencinta ilmu dan ulama merasa amat dukacita dengan insiden penyebaran video fitnah yang dikaitkan dengan da’i kesayangan ummah dan dambaan jutaan pemuda, Ustaz Azhar Idrus.

“Rasa dukacita yang dimanifestasikan dengan pelbagai ekspresi oleh bermacam-macam pihak itu tanda bahawa Allah tidak mengizinkan makhluk yang dimuliakanNYA itu dihina tanpa kehendakNYA. Bahkan, suatu kehinaan pula ke atas pelaku fitnah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sempat mendoakan agar UAI sekeluarga tabah dalam menghadapi ujian tersebut dan sentiasa istiqamah dalam menyebarkan ilmu.

Rakaman berdurasi 38 saat itu dikatakan mula tersebar melalui beberapa blog, Facebook dan WhatsApp sehingga menjadi topik hangat.

Menurut sumber rapat kepada UAI, penceramah itu tidak akan membuat sebarang laporan polis berhubung penyebaran video lucah itu yang dianggap hanya niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan imej beliau dan golongan ulama di negara ini.

Piza Alasan Mangsa Dera Buat Panggilan Kecemasan


Diterbitkan: Ahad, 26 Oktober 2014 10:04 AM

SEORANG operator 911 dikejutkan dengan panggilan kecemasan seorang wanita yang pada mulanya disangkakan sebagai gurauan kerana mahu membuat tempahan piza.
Tetapi sebenarnya tidak walaupun wanita terus mendesak untuk mendapatkan piza yang mengandungi peperoni, cendawan dan lada secepat mungkin.
Operator itu yang menyiarkan transkrip panggilan itu di laman sosial Reddit berkata, panggilan itu pada mulanya kedengaran seperti main-main tetapi ia sebenarnya sesuatu yang serius.
Selepas menghubungi 911, wanita itu memberikan alamatnya tanpa memberikan butiran mengenai insiden yang berlaku.
Apabila ditanya oleh operator mengenai apa yang berlaku di tempat kejadian, mangsa hanya mahu membuat tempatan piza, menyebabkan petugas itu percaya bahawa panggilan itu dibuat sekadar gurauan.
Transkrip yang disiarkan oleh operator itu merupakan dialog bersama wanita yang membuat panggilan kepadanya.
"911, di manakah berlaku kecemasan anda?"
"123 Main St."
"Ok, apa yang berlaku di sana?"
"Saya mahu menempah sekeping piza untuk penghantaran." (oh satu lagi panggilan gurauan).
"Cik, anda menghubungi 911."
"Ye, saya tahu. Boleh saya dapatkan sekeping piza besar dengan peperoni, cendawan dan lada?"
"Umm... maafkan saya, anda tahu yang anda menghubungi 911 kan?"
"Ye, bolehkah anda tahu bilakah ia mengambil masa?"
"Ok, cik. Adakah semuanya ok di sana? Adakah anda berhadapan dengan kecemasan?"
"Ye, memang ada."
"....Dan anda tidak boleh bercakap mengenainya kerana ada orang lain di bilik itu bersama anda?" (mula menyedari apa yang berlaku).
"Benar, memang betul. Adakah anda tahu berapa lama ia akan sampai?"

"Terdapat seorang pegawai kira-kira lebih kurang 1 kilometer dari lokasi anda. Adakah terdapat sebarang senjata di rumah anda?"

"Tidak"
"Boleh anda terus bersama saya di talian?"
"Tidak. Jumpa anda tidak lama lagi. Terima kasih."
Selepas seorang pegawai kecemasan dihantar ke alamat itu, operator berkenaan memeriksa rekod di rumah itu dan mendapati terdapat banyak panggilan berkenaan panggilan kecemasan.
Sebaik sahaja anggota polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui seorang wanita yang didera teruk dan seorang lelaki yang mabuk.
Operator itu kemudiannya mengulas mengenai panggilan itu: "Saya fikir wanita itu amat bijak menggunakan alasan itu. Sudah tentu ia menjadi salah satu panggilan kecemasan yang paling diingati buat saya." - mirror.co.uk

Karier politik Anwar mahu direput dalam penjara?


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Keinginan pihak pendakwa kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menambah tempoh penjara ke atasnya dengan alasan hukuman lima tahun yang dijatuhkan sebelum ini tidak memadai, tidak lain menunjukkan hasrat mahu 'membunuh' terus karier politik Ketua Pembangkang itu.

Menurut penulis Shahbudin Husin, melalui dokumen pihak pendakwa yang disaksikan sendiri oleh sebuah portal berita, alasan memohon tambahan hukuman itu ialah kerana berpendapat penjara lima tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan itu tidak memadai dari segi kepentingan awam dan memberi teladan kepada orangramai.

Menulis dalam blognya semalam, beloau berpendapat memandangkan Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan rotan, maka pihak pendakwa yang diketuai oleh Datuk Shafee Abdullah dilaporkan akan memohon hukuman lebih berat dalam perbicaraan pada 28 dan 29 Oktober ini.

"Jika hukuman penjara lima tahun sebelum ini dikekalkan pun sudah menyebabkan Anwar kehilangan hak bertanding dalam pilihan raya sekurang-kurangnya selama 10 tahun, memohon hukuman penjara lebih lama tentulah maksudnya untuk memanjangkan lagi tempoh beliau tidak boleh aktif dalam politik," tulisnya lagi.

Menurutnya lagi, dengan Anwar berusia 67 tahun ketika ini, jika hukuman penjara lima tahun dikekalkan, bermakna beliau hanya boleh bertanding semula dalam pilihan raya ketika usianya  nanti 77 tahun.

Ini, katanya kerana peraturan menetapkan hanya selepas lima tahun keluar penjara barulah seseorang itu dibolehkan bertanding semula.

Tambahnya, jika pendakwa berjaya menambah kepada 10 tahun pula, had boleh bertanding turut meningkat ketika usianya menjangkau usia 82 dan jika menjadi 15 tahun, bertambah lagi kepada usianya 87 tahun.

Baginya, secara mata kasar dan mudah difahami oleh sesiapa saja, tindakan pihak pendakwa memohon tambahan hukuman ini adalah semata-mata untuk 'membunuh' terus karier politik Anwar.

"Kiranya Mahkamah Rayuan sebelum ini menjatuhkan hukuman lima tahun penjara semata-mata untuk menghalang Anwar bertanding di Dun Kajang dan menjadi Menteri Besar Selangor, tindakan pihak pendakwa di Mahkamah Persekutuan kali ini pula bertujuan untuk membiarkan karier dan masa depannya mereput dalam penjara," tulis beliau selanjutnya.

Masjid 100 tahun di Kemboja bakal ditutup


Pintu masuk masjid kelihatan usang namun menyimpan seribu nilai sejarah yang tidak mungkin dilupakan penduduk setempat.
Pintu masuk masjid kelihatan usang namun menyimpan seribu nilai sejarah yang tidak mungkin dilupakan penduduk setempat.
MASJID pertama di Kemboja yang berusia 100 tahun bakal dirobohkan, ia satu kerugian kepada penduduk setempat.
Masjid ini yang menjadi pusat perkembangan Islam, boleh dijadikan tarikan pelancong kerana nilai sejarah dan kaitannya dengan susur galur umat Islam di Indo-China.

Sinar Harian yang melawat masjid ini mendapati, struktur binaan Masjid Batulrahim di Kampung Ampil, daerah Champa yang dibina pada 1914 itu masih kukuh dan masih diimarahkan penduduk setempat.

Penduduk tempatan yang juga imam di kampung itu Muaz Abu Bakar, 31, berkata, masjid ini pernah dijadikan kandang lembu suatu masa dahulu ketika era rejim Pol Pot.

“Askar cabut atap masjid dan jadikan kandang lembu. Semua penduduk Islam bersembunyi ketika zaman itu. Rejim berusaha melakukan pembersihan etnik dengan membunuh dan memenjarakan penduduk Islam,” katanya.

Pengaruh Perancis dan Buddha

Masjid ini masih mengekalkan unsur artistik pengaruh dari jajahan Perancis dan agama Buddha. Ia dapat dilihat melalui seni di mimbar di mana terdapat seni bunga teratai berwarna merah jambu dan abstrak Perancis.

Tiang masjid pula menggunakan kayu jati manakala siling dan lantainya masih teguh terukir rapi dengan lukisan menakjubkan hasil sentuhan seni penuh kehalusan.

Di bahagian kolah pula, terdapat empat kolam besar dipenuhi air dari sumber perigi. Bahagian mimbarnya masih mengekalkan pembinaan asal dengan kayu usang namun ia masih teguh.

Jemaah menggunakan masjid ini bermula waktu Asar hingga Isyak. Ia masih digunakan untuk tazkirah dan kelas agama serta kuliah subuh.

Muaz berkata, dua pengajian selalu diterap di kalangan penduduk setempat iaitu ilmu masail dan fadhail.

“Ilmu ini penting untuk terus berdakwah dalam usaha memperkukuhkan kefahaman mereka tentang Islam. Usaha mengimarahkan masjid ini sentiasa menjadi amalan penduduk di kampung ini,” katanya.

Difahamkan, masjid ini juga digunakan untuk solat Jumaat dan terbaharu ia dikunjungi rombongan Misi Prihatin Kemboja Korban dan Akikah kali ke-8, kumpulan NGO Al-Itisam Relief Program (ARP), Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) dan sukarelawan UCTC
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika Aidiladha baru-baru ini.

Kini, ura-ura masjid Baitulrahim akan diroboh pihak berkuasa bertiup kencang di kalangan penduduk.

Walaupun mereka amat memerlukan masjid baharu tetapi tidak wajar jika masjid yang meninggalkan seribu sejarah itu perlu dirobohkan.

Daripada maklumat sepanduk digantung pada masjid itu, sebuah masjid moden masih dalam pembinaan sudah dibina berhampiran kampung berkenaan bersebelahan Sungai Mekong.

NGO Malaysia mahu pertahan masjid

Oleh kerana, penduduk di Kampung Ampil ini masih kurang mengetahui nilai warisan, beberapa kumpulan badan bukan kerajaan terpanggil untuk mempertahankan masjid ini.

Pengarah Eksekutif ARP, Mohd Shah Sapiel berkata, masjid ini perlu dikekalkan sebagai warisan generasi akan datang.

“Penduduk tidak melihat masjid ini sebagai warisan yang memberi identiti Islam. Mereka mungkin tidak nampak. Tetapi kita sebagai orang luar melihat ianya adalah harta paling bernilai,” katanya.

Menurutnya, masjid ini boleh dijadikan tarikan pelancong untuk berkunjung ke kampung ini sekali gus dapat menjana ekonomi setempat melalui program pelancongan.

“Kami mahu jadikan masjid ini sebagai destinasi wajib lawat bagi pelancong Muslim jika mereka ke Kemboja. Dari situ kita boleh kembangkan aktiviti pelancongan seperti menyusuri Sungai Mekong melawat ke pulau berhampiran yang menyimpan seribu cerita terutama ketika era rejim,” katanya.

Beliau berkata, ARP kini memerlukan dana RM200 ribu untuk proses baik pulih masjid seperti bumbung dan lain-lain.

“Walaupun bumbung masjid bocor dan bangunan ini usang ia masih digunakan penduduk setempat. Ini bermakna masjid ini sentiasa digunakan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, beberapa struktur masjid itu rosak dan perlu dibaiki.

Ketika kunjungi kami, masjid ini sedang mengadakan tazkirah dengan kehadiran penduduk tempat terdiri daripada graduan ustaz yang mendapat pendidikan dari Malaysia dan Pattani, Thailand

'Daif sangat tempat tinggal kami'


Ruang dapur yang digunakan Musliha untuk menyediakan makanan kepada anak-anaknya yang mungkin terdedah kepada kuman dan penyakit.
Ruang dapur yang digunakan Musliha untuk menyediakan makanan kepada anak-anaknya yang mungkin terdedah kepada kuman dan penyakit.
Beginilah keadaan suatu sudut tempat menyimpan pakaian dan buku sekolah anak pasangan ini.
Beginilah keadaan suatu sudut tempat menyimpan pakaian dan buku sekolah anak pasangan ini.
Tempat tidur anak-anak hanya beralaskan cadar daripada bendera usang.
Tempat tidur anak-anak hanya beralaskan cadar daripada bendera usang.
Akibat kesempitan hidup tujuh sekeluarga terpaksa diami pondok usang
Akibat kesempitan hidup tujuh sekeluarga terpaksa diami pondok usang
DUNGUN - Akibat kemiskinan hidup, pasangan Musliha Kasim, 35 dan suami, Nazeri Mohamad, 40, terpaksa menjadikan sebuah pondok usang di perkampungan Rumah Murah Nibong Stesen, dekat sini, sebagai tempat mereka sekeluarga berteduh.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, rumah didiami sekeluarga ini begitu daif dengan keadaannya yang sempit beratapkan zink bocor, tandas tanpa air paip dan peralatan dapur daripada bahan terbuang.

Walaupun ia sesuatu yang amat perit untuk dilalui, namun kemiskinan hidup serta kegagalan mendapat bantuan menyebabkan pasangan ini terpaksa menjadikan pondok buruk yang terletak di sudut belakang rumah seorang penduduk sebagai tempat berlindung buat mereka tujuh beranak termasuk anak bongsunya yang baru berusia 10 bulan.

Musliha berkata, dia mula mendiami pondok usang itu selepas berkahwin dengan suaminya kira-kira 16 tahun lalu.

Katanya, sejak mula melayari kehidupan berumah tangga, dia dan suami cuba mengubah kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan, namun dengan pendapatan suami sebagai buruh tidak sampai RM30 sehari menyebabkan mereka tidak mampu melakukan apa-apa.

Wang yang diperoleh hanya cukup dibelanjakan untuk barang keperluan dapur, sehinggalah anak sulungnya kini sudah berusia 15 tahun.

Menurut Musliha, sebagai isteri, dia pastinya inginkan kehidupan yang lebih selesa untuk anak-anak, namun kemiskinan menyebabkan dia tidak mampu mengubah kehidupan sehingga dia akhirnya reda dengan situasi tersebut.

“Suami saya tidak mempunyai pendapatan tetap, kadang-kadang ada kerja, kadang-kadang tiada langsung. Kalau dapat upah pun, hanya cukup untuk beli beras. Bila beras habis, kami sekeluarga terpaksa makan gandum untuk alas perut,” katanya.

Anak terpaksa ikat perut ke sekolah

Musliha berkata, lebih menyedihkan apabila tiba musim hujan, rumah pasti dimasuki air akibat zink bocor sehinggakan mereka tidak dapat tidur sepanjang malam.

“Sebagai ibu, saya sedih melihat anak-anak saya sentiasa berhadapan situasi begini. Namun saya tak berdaya, tak mampu untuk memberikan kehidupan lebih baik,” katanya.

Tambah menyayat hati apabila tiga anaknya Nur Aishah Aini, 11, Nursyazwani Najwa, 12, kedua-duanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pusat selain Nursyarunnisha, 15, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun dikatakan hanya sekali-sekala membawa wang saku ke sekolah.

Kata Musliha, dua daripada anaknya yang bersekolah itu berpeluang menikmati makanan berbayar di kantin sekolah sekiranya ada rakan sekelas mereka belanja makan, jika tidak akan pulang ke rumah dengan perut kosong selepas menikmati makanan melalui Rancangan Makanan Tambahan yang disediakan pihak sekolah hanya pada waktu pagi.

“Jika ada kelas petang atau aktiviti kokurikulum, anak saya terpaksa ikat perut sehingga pulang semula ke rumah,” katanya.

Berusaha ubah nasib keluarga

Bagi Nazri pula, sebagai ketua keluarga, dia berusaha sedaya upaya untuk mengubah nasib keluarganya dan tidak mahu mereka terus hidup merempat dalam ruang yang amat sempit itu.

Namun, pendapatan sebagai buruh kasar yang tidak menentu menjadi kesukaran buatnya untuk memberikan kehidupan selesa, apatah lagi menyediakan sebuah rumah yang lengkap dengan kemudahan.

Menurut Nazri, jika ada pihak yang dapat membantu, dia hanya mengharapkan sebuah rumah yang selesa sedikit untuk ahli keluarganya berbanding pondok yang didiami sekarang.

“Saya malu dengan masyarakat sekeliling kerana kehidupan saya masih daif biarpun sekarang sudah tidak ada lagi keluarga tinggal dalam rumah sedemikian,” katanya.

Dia sudah beberapa kali memohon bantuan daripada pihak berkaitan, namun sehingga kini masalahnya masih dipandang sepi. Saya sudah tiga kali isi borang bantuan, tapi sampai sekarang masih belum dapat apa-apa.

“Kalau tak dapat yang lain, mereka dapat baiki rumah saya pun tak apa, daif sangat tempat tinggal kami, tak layak panggil rumah,” katanya.

Perihal balak, GRO dan seks


TOK PERAK
26 Oktober 2014

*SYABAS kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak habis-habis memburu perasuah. Terkini – Khamis lalu – sepuluh orang ditangkap di Sarawak kerana terlibat dalam kegiatan pembalakan haram.

Turut tersangkut dalam jaring SPRM kali ini ialah seorang pegawai polis yang dikatakan menerima rasuah beribu-ribu RM berhubung kes berkenaan.

Seperti yang dilaporkan media, tahun lalu sahaja Sarawak kerugian lebih RM100 juta gara-gara pembalakan haram. Tauke balak menebang melebihi had kawasan yang diluluskan, seolah-olah semua hutan di negeri itu bapak dia yang punya.

Duit daripada pembalakan haram itu sebahagiannya digunakan untuk merasuah pihak berkuasa. Ada yang dapat duit begitu mudah, tanpa sedikit pun rasa bersalah. Orang seperti ini, tidak kira apa kedudukan, tidak boleh dimaafkan.

*DI Semenanjung pun kes pembalakan haram tidak kurang hebatnya. Seperti yang didedahkan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), hampir separuh hutan simpanan telah diteroka secara haram oleh syarikat pembalakan.

Menurut Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, pihaknya mendapati sebanyak 20 peratus daripada 50 peratus hutan digazet itu telah ditebang secara terang-terangan.

“Kegiatan ini dikesan berlaku di Pahang dan Kelantan diikuti negeri-negeri lain. Malah, perkara itu dilakukan berterusan dan dipercayai ‘dilindungi’ pihak-pihak tertentu,” katanya.

Sehingga hutan semua sudah ditebang, tanah sudah gondol, masih tidak selesai penyiasatan. Demikianlah lemah, lembap dan hapraknya pihak berkuasa kita dalam hal pembalakan haram.

Harap SPRM pasang perangkap dalam hutan simpanan, mudah-mudahan tertangkap Bapak Harimau dan Tok Gajah Menta yang selalu menceroboh dan memperkosa hutan kita.

*GEJALA rasuah sudah merata-rata di tempat kita. Tidak sahaja tebang hutan, tanah kita pun kena seleweng di depan mata, siang-siang buta. Pantang ada tanah kosong, pendatang haram pacak tiang, buat pondok.

Dari pondok menjadi rumah. Dari sebuah rumah menjadi dua buah, tiga buah, empat buah... akhirnya tanah milik kita menjadi penempatan haram untuk pendatang haram, buat kerja haram.

Penduduk mengadu kepada pihak berkuasa. Penguat kuasa datang, robohkan sebuah dua, tetapi lusa naik lagi rumah. Roboh dua buah, naik empat buah.

Macam-macam pihak berkuasa datang, macam-macam warna uniform. Tetapi penempatan haram pendatang haram itu tetap tidak dimusnahkan. Kalau tanya, mereka kata sedang siasat, sedang siasat.

Banyak sangat siasat tetapi tidak ada tindakan. Maka persepsi rakyat ialah pihak berkuasa makan rasuah. Mungkin hanya persepsi, tetapi boleh jadi realiti.

*SAMA juga halnya dengan pusat hiburan yang menjadi tempat jual dadah, jual GRO, tempat urut, tempat pelacuran. Selalu sangat media, termasuk TV, menyiarkan tangkapan ke atas GRO dan pelacur oleh pihak berkuasa.

Nampak sekumpulan wanita warga asing kulit putih melepak diangkut dalam kenderaan PDRM kerana menyalahgunakan visa pelancong untuk menjual tubuh.

Tidak dapat dipastikan apa selanjutnya terjadi pada GRO putih melepak itu. Apakah dihantar balik ke negara asal, atau ditahan dalam lokap, atau dibuang ke Laut China Selatan, atau ditanam hidup-hidup.

Apa yang pasti esok atau lusa pusat-pusat hiburan berkenaan ceria seperti biasa, dan terus menjual dadah dan seks. GRO dari negara asing terus melayan pelanggan macam tidak ada apa-apa.

Pihak berkuasa kata pusat hiburan tersebut telah dikenakan kompaun, tetapi masih berani meneruskan perniagaan seperti biasa. Ada yang telah diserbu dan dikenakan kompaun berpuluh kali, tetapi tuan punya masih berdegil dan berani melanggar undang-undang.

Kenapa mereka begitu berani? Persepsi umum ialah pihak berkuasa telah dirasuah. Sekali lagi, mungkin hanya persepsi. Tetapi mungkin juga realiti.

*KENYATAAN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai MH370, membuahkan harapan. Menteri Pertahanan itu berkata, beliau 99.9 peratus yakin dengan misi mencari pesawat berkenaan berdasarkan penggunaan peralatan paling canggih.

“Saya optimis 99.9 peratus untuk mengesan pesawat yang hilang,” katanya semasa melancarkan kapal disewa kontrak oleh Malaysia, Go Phoenix, dan kenderaan sonar pengesan dalam air canggih dikenali ProSAS di Pelabuhan Freemantle, Australia, Rabu lalu.

Setelah berbulan berdoa dan menunggu – sejak 8 Mac lalu – keluarga dan sanak-saudara 227 penumpang dan 12 anak kapal yang hilang itu terus berharap suatu keajaiban akan terjadi.

Marilah kita terus berdoa agar segera terjawab misteri pesawat MAS yang hilang dalam perjalanan ke Beijing, China itu.

*AKHIR kalam, genap seminggu telah berlalu, orang kita masih berperang dalam media sosial mengenai acara ‘I Want to Touch a Dog’. Ada yang terlalu ekstrem mengherdik dan menghina peserta yang pada hari itu memeluk dan mencium anjing.

Sesama Islam saling menghentam. Malah dalam kalangan sesama ulama pun saling tuduh-menuduh. Ulama A kata dialah betul, ulama B, C, D... Z kata dialah paling betul.

Maka, Islam sama Islam bergaduh. Ulama sama ulama pun tidak sebulu. Hebat betul penangan anjing. Kerana haiwan tersebut Islam kita nampak tidak sehaluan. Dan seperti biasa, orang bukan Islam menjadikan kita bahan ketawa. Fikir-fikirkanlah!

- TOK PERAK

Kami tidak suruh peserta peluk, cium anjing


anjing
PETALING JAYA – Penganjur kempen sentuh anjing (I Want To Touch A Dog) menegaskan tidak pernah menyuruh peserta program memeluk atau mencium anjing seperti yang tersebar di media sosial.

Penganjur bersama, Norhayati Ismail berkata, hukum haram memegang anjing secara suka-suka telah diterangkan penceramah jemputan ketika itu, Ustaz Mohd IqbalParjin pada slot awal pagi.

“Program ini untuk tujuan pendidikan. Cara pegang anjing bukan untuk suka-suka tapi untuk menyelamatkan anjing tersebut kalau perlu atau untuk menghindarkan rasa takut terhadap anjing.

“Tapi kami menafikan sekeras-kerasnya... pada hari itu kami tidak menyuruh orang ramai memegang anjing secara suka-suka kerana kita sudah cakap (dalam ceramah Ustaz Iqbal), mengikut mazhab Syafie, memegang anjing secara suka-suka adalah haram,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.

Jelasnya, perlakuan memeluk dan mencium anjing yang dirakam para peserta itu juga berlaku di luar pengetahuannya.

“Itu (tiada seorang pun penganjur yang sedar peserta pegang anjing secara suka-suka) saya tak boleh komen sebab saya di tempat sertu. Saya pun mendapat tahu orang pegang anjing itu melalui media. Pihak kita memang tidak terlibat dalam bab peluk cium (anjing).

“Sebab kita dah cakap jangan pegang suka-suka. Kami percayai ia (dilakukan) oleh peserta yang tidak mendengar ceramah Ustaz Iqbal. Mungkin kumpulan-kumpulan ini yang datang (lambat) tak dengar. Saya rasa risalah kami pun tak cukup sebab kami cetak 500 keping saja,” katanya.

Dalam pada itu, Norhayati turut menafikan pihaknya memuat naik gambar wanita-wanita bertudung yang beraksi memeluk atau memegang anjing pada program itu di media sosial.

“Gambar wanita bertudung (memeluk anjing) itu bukan kami yang muat naik. Kami tidak muat naik di media sosial-media sosial kami.

“Itu semua daripada media yang dikongsi (orang lain) dalam Facebook dan juga dimasukkan dalam ‘event page’ kami untuk tujuan mencerca dan menghina kami.

“Kalau ikut media (gambar itu diambil di lokasi program) sebab saya sendiri tak nampak dengan mata kepala saya jadi, saya tak berani nak cakap. Saya di sana tapi saya tidak ada di kawasan kejadian (memeluk, mencium anjing),” katanya.

Tegasnya, segala prosedur dan garis panduan yang ditetapkan telah diikuti pihaknya namun beliau akui terdapat kekurangan dari segi kawalan terhadap peserta.

“Kami sudah mengikut semua prosedur dan garis panduan yang diberikan Jabatan Mufti Selangor dan juga kami ada mengedarkan 500 risalah pada waktu pagi menyatakan pandangan Islam terhadap anjing.

Dalam ‘page’ kami juga, kami ada sebut, boleh datang, tak semestinya pegang. Kalau nak belajar, kita ada ‘coach’. Sebab itu kami ada buat perbezaan warna pakaian untuk hari itu.

“Berkali-kali kami telah beritahu kalau nak pegang, tanya ‘coach’ dulu. Tapi disebabkan, kita jangka yang datang 500 orang tapi yang datang melebihi jumlah itu jadi, kita akui kelemahan kita. Kita tak dapat kawal pengunjung yang datang,” jelasnya.

Ketika ditanya soal kehadiran Ustaz Iqbal di lokasi peserta memeluk dan mencium anjing, peguam mewakili penganjur, Syahredzan Johan berkata, Ustaz Iqbal tidak melihat perkara itu berlaku.

“Ustaz Iqbal tak nampak. Tapi dia beri penerangan cara pegang anjing dalam Islam. Dalam penerangan itu memang sudah terang bahawa tak boleh saja-saja pegang, suka-suka pegang.

“Jadi, dia tak nampak, tak boleh salahkan dia. Kalau ikut garis panduan, memang tak boleh begitu (pegang anjing suka-suka),” katanya.

Aktivis Cuba Dapatkan Suaka Politik Di Sweden


Diterbitkan: Sabtu, 25 Oktober 2014 9:49 PM

PETALING JAYA: Seorang aktivis yang berhadapan dengan pertuduhan di bawah Akta Hasutan kini cuba mendapatkan suaka politik di Sweden. 

Dalam posting di akaun Facebook milik Ali Abd Jalil, memuat naik status yang menyatakan dia kini sedang cuba mendapatkan suaka politik di Sweden kerana mendakwa dirinya tidak diberikan layanan secara adil daripada pihak berkuasa di Malaysia. 

"Saya sering diganggu oleh geng kongsi gelap dan kumpulan Melayu yang rasis di Malaysia. Ia bukan lagi tempat yang selamat bagi saya," katanya sambil menambah dirinya sering diekori oleh individu yang tidak dikenali.

Ali dibebaskan hujung bulan lepas selepas ditahan oleh polis selama 20 hari. Dia ditahan ekoran laporan yang diterima oleh pihak polis, yang mendakwa Ali membuat kenyataan berbaur hasutan di media sosial. 
Dia menghadapi tiga pertuduhan di bawah Akta Hasutan atas kesalahan menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor melalui posting yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.

Pada 8 September, Ali didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana atas kesalahan membuat kenyataan yang mengkritik institusi diraja.

Ali dibebaskan pada hari yang sama selepas dia membayar ikat jamin berjumlah RM5,000 namun dia kembali ditahan ketika mahu meninggalkan perkarangan mahkamah. Dia ditahan semula atas dua kesalahan yang sama di bawah Akta Hasutan.

Suspek kemudiannya di bawa ke Penjara Sungai Buloh, dan ditahan selama 15 hari. Ali dibebaskan dengan jaminan polis pada 23 September lalu.
Dia sekali lagi ditahan sebaik sahaja dibebaskan dan kali ini dia dihantar ke Penjara Johor Baru Selatan dan didakwa di Mahkamah Majistret selepas itu. 

China arah tutup kilang sempena APEC


Shanghai: Naib Perdana Menteri China Zhang Gaoli semalam mengarahkan penutupan sementara kilang bagi menjamin kualiti udara ketika mesyuarat pemimpin Asia Pasifik di Beijing bulan depan.
Ia tindakan paling drastik diambil untuk mengekang pencemaran sepanjang mesyuarat yang akan diadakan pada 7 hingga 11 November ini.
Beijing dilitupi jerebu tebal sejak beberapa hari lalu.
Zhang memberitahu pegawai, menjamin tahap kualiti udara adalah menjadi ‘keutamaan daripada semua keutamaan’ walaupun tugas itu akan menjadi yang paling mencabar memandangkan penurunan suhu dan bermula musim membakar arang batu di utara negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Zhang juga berkata, kawalan kenderaan perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dan penduduk perlu digalak menaiki pengangkutan awam sepanjang mesyuarat berkenaan.
Dalam usaha mengurangkan kesesakan dan mengekang pencemaran udara, Beijing memberi cuti istimewa enam hari kepada pekerja sektor awam sepanjang mesyuarat APEC berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4149#sthash.tEQlZLzW.dpuf

Larang sertai kempen memandu


Riyadh: Kementerian Dalam Negeri Saudi semalam, memberi amaran kepada wanita negara itu supaya tidak mengadakan kempen memandu kereta hari ini.
Jurucakap kementerian Mejar Jeneral Mansour Al Turku berkata, mereka yang ditangkap menyertai kempen berkenaan akan dikenakan hukuman berat.
Dia mengulas laporan yang beredar dalam rangkaian sosial bahawa aktivis wanita merancang memandu kereta di jalan raya di negara itu sebagai cara mendesak kerajaan Saudi menarik balik larangan memandu di kalangan wanita.
Aktivis berkenaan mengadakan beberapa kempen seumpama itu sepanjang dua tahun lalu.
Dalam kenyataan mereka minggu lalu, sekumpulan aktivis wanita menggesa kaum sejenis mereka memandu kereta masing-masing di jalan raya negara itu untuk meneruskan tuntutan mereka.
“Kementerian Dalam Negeri akan bertindak tegas terhadap mereka yang menyertai kempen berkenaan kerana ia akan menjejaskan perpaduan sosial dan kestabilan serta keselamatan negara,” kata Mansour.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4144#sthash.JeL1KVyY.dpuf

7 hari, 7 malam di KFC kerana putus cinta


Beijing: Seorang wanita yang putus cinta menghabiskan masa tujuh hari dan tujuh malam di sebuah restoran KFC, di sini.
Wanita itu yang namanya tidak disiarkan dikatakan tidak sanggup pulang ke apartmennya selepas ditinggalkan teman lelakinya.
Menurut pekerja restoran, wanita itu memesan kepak ayam berulang kali sepanjang berada di restoran berkenaan.
“Dia tidak mahu pulang kerana tidak mahu mengenang teman lelakinya. Dia bernasib baik kerana kami buka 24 jam,” kata pekerja berkenaan.
Seorang perkerja lain berkata, wanita itu disedari tidak keluar dari restoran itu selepas tiga hari.
Mereka mengambil masa untuk menyedari kehadiran wanita berkenaan kerana kakitangan bekerja syif dan pekerja berbeza melayani pesanannya sepanjang hari dan malam.
Dia hanya memesan kepak ayam dan kentang goreng.
Wanita itu akhirnya meninggalkan restoran berkenaan selepas dia menjadi perhatian orang sekeliling dan media.
“Dia mungkin juga sudah bosan makan kepak ayam sepanjang tujuh hari,” kata pekerja berkenaan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4148#sthash.N3IFPcdL.dpuf

Derma darah untuk diri sendiri


Riyadh: Seorang lelaki menderma darah di sebuah hospital di sebelah pagi tanpa mengetahui darah yang didermakan itu akan dimasukkan semula ke tubuhnya.
Mohamed Abdullah baru saja menderma darah di bandar Sabya, selatan Arab Saudi dan memandu pulang apabila dia terbabit dalam kemalangan.
“Dia dihantar ke hospital berhampiran. Kerana kehilangan terlalu banyak darah, doktor memberikannya darah yang didermakan sejam sebelum itu,” lapor akhbar Sabq. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4150#sthash.RcWJVww1.dpuf

Pakar forensik siasat keaslian video seks


KUALA LUMPUR – Polis sudah menghantar klip video seks seorang lelaki mirip penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus, 50, ke Jabatan Forensik bagi merungkai kesahihan video kontroversi tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata, pakar forensik Polis Diraja Malaysia perlu menganalisis kandungan video itu untuk mengenal pasti keasliannya selain menyiasat sama ada ia menggunakan teknik pertindihan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengesan dalang yang menyebarkan video ini.
“Kita menyiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu berkaitan penyebaran dan memiliki bahan lucah. Jadi kita kena siasat dulu untuk pastikan dari mana punca video itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3HC6KgHc7 
Hakcipta terpelihara 

Dengan Izin Allah Ayat Kursi Menyelamatkan Seorang Jururawat Dari Dirogol (Berita Lama)

http://gigitankerengga.blogspot.com/

Dia (penjenayah) menjerit kepanasan apabila saya membaca ayat Kursi. Malah, penjenayah itu tidak meneruskan niatnya untuk merogol saya biarpun pakaian ditanggalkannya,” kata seorang jururawat mahu dikenali sebagai Intan, 21.

Intan berkata demikian ketika menceritakan detik cemas dia cuba dirogol seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh berusia lewat 30-an yang memecah masuk rumahnya di Kampung Baru, di sini, pada jam 5.45 petang, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, biarpun tidak merogol mangsanya, suspek dilapor merampas wang tunai RM50 selain beberapa barangan berharga lain dianggarkan bernilai RM300 sebelum melarikan diri.

Menceritakan semula kejadian itu, Intan berkata, dia yang tidur di ruang tamu terjaga apabila mendengar ada orang membuka pintu rumahnya.

“Saya terkejut apabila melihat seorang lelaki warga Bangladesh yang tidak dikenali sudah berada di depan pintu rumah.

Saya segera berlari untuk masuk ke dalam bilik namun dihalang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Intan, penjenayah itu mengeluarkan pisau sebelum mendakwa dirinya anggota polis selain memintanya supaya mendiamkan diri.

“Saya tahu dia bukan polis kerana bahasa digunakan seperti warga Bangladesh.

Dia (penjenayah) memeluk dan mula mencium saya.

Saya terpaksa mendiamkan diri kerana bimbang dicederakan,” katanya.

Menurutnya, penjenayah terbabit meminta wang tunai dan barang kemas daripadanya.

“Belum pun sempat berbuat apa-apa, dia (penjenayah) menolak saya ke katil dan mula menanggalkan pakaian dan seluar saya.

“Ketika itu, saya berulang-kali merayu supaya dikasihani namun suspek terus menindih badan saya kerana mahu merogol.

“Pada mulanya ada sedikit pergelutan namun saya tidak berdaya melawan kudratnya apatah bimbang dicederakan kerana dia (suspek) bersenjata,” katanya.

Intan berkata, dia yang kebuntuan akhirnya mengambil keputusan untuk membaca ayat Kursi dengan kuat selain berniat di dalam hati untuk menyerahkan nasibnya kepada Allah.

“Apabila saya baca ayat Kursi, dia (penjenayah) bagaikan kepanasan dan menjerit-jerit mendakwa ‘panas’.

Penjenayah itu tidak jadi untuk merogol saya.

“Penjenayah itu berubah fikiran, dia (suspek)menggunakan tali pinggang dan tudung mengikat kaki serta tangan saya,” katanya memberitahu, suspek melarikan diri selepas merampas wang tunai RM50 dan beberapa barangan berharga lain.

Katanya, dia yang membuka ikatan di tangan dan kakinya itu tampil membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK).