Tuesday, August 16, 2011

Buli bukan demam


PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.
PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.


MERSING: Selepas sedar daripada koma selama dua bulan, baru ibu bapa seorang pelajar tingkatkan tiga sebuah sekolah menengah di Rompin, Pahang mengetahui anak mereka tidak sedarkan diri kerana urat saraf di lehernya terputus dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras oleh pelajar senior dan mangsa kini kemungkinan lumpuh.
Mohamad Amirul Abdul Rahim yang koma di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sedar semula pada 8 Ogos lalu dan apabila ditanya ibu bapanya mengenai kejadian dia terjatuh dalam dewan ketika menduduki peperiksaan pada 23 Mei lalu, dia mendakwa dibuli enam pelajar senior yang memukulnya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.

Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada 23 Mei lalu, Mohamad Amirul menduduki peperiksaan percubaan kertas Bahasa Melayu untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila tiba-tiba terjatuh di dalam dewan dan tidak sedarkan diri.

Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Rompin, menghantarnya ke Klinik Tanjung Gemuk sebelum doktor mengesahkan dia demam panas.

Bapa mangsa, Abdul Rahim Aris, 57, berkata sebelum itu, warden sekolah menghubunginya memaklumkan anak ketiga daripada enam beradik itu terjatuh mungkin kerana demam teruk.

“Saya tidak puas hati dengan penjelasan warden serta doktor, tetapi ketika itu Amirul koma lalu kami menghantarnya ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSI. “Di HSI, Amirul dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih mengejutkan kami sekeluarga, pakar HSI mendapati urat saraf Amirul putus dan perlu menjalani pembedahan di lehernya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wawasan di sini, semalam. Kami kesal dengan kejadian yang menimpa Amirul dan lebih membimbangkan ialah masa depannya kerana berdasarkan penjelasan doktor, dia mungkin lumpuh kerana urat saraf berkenaan putus,” katanya.Pada masa sama, Normah serta suami kesal dengan sikap kakitangan perubatan klinik yang mengatakan Amirul demam panas sedangkan pemeriksaan di HSI mendapati terdapat kesan dipukul di bahagian kanan dan kiri kepalanya.Menurut Normah, suaminya membuat laporan di Balai Polis Majidee, Johor Bahru pada 9 Ogos lalu. Pada masa sama, menurut Normah, suaminya yang merujuk perkara terbabit kepada pengurusan sekolah Amirul dan dimaklumkan mereka menyiasat kes berkenaan.“Kami harap Amirul mendapat pembelaan sewajarnya daripada pengurusan sekolah serta polis dan pelajar yang melakukan perkara terbabit perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.Kami masih menyiasat kes berkenaan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitannya,” katanya enggan mengulas lanjut.hmetro

Tersilap cedok daging babi

KUALA LUMPUR: “Saya terpaksa makan sayuran selama dua bulan untuk mengalas perut. Saya tidak sanggup menggadaikan prinsip seorang Muslim dan cukup kecewa bila ada pihak tidak mengikut pekeliling yang dikeluarkan pengurusan tertinggi.”
Demikian luahan hati Megat Mohd Hermaen, 25, seorang pekerja yang mendakwa menjadi mangsa diskriminasi sebuah syarikat perkapalan terkemuka di negara ini.

“Terfikir juga untuk mencuba nasib dengan syarikat lain, tapi memandangkan kontrak dengan syarikat selama lima tahun berjumlah RM100,000, saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya.

Megat Mohd berkata, sejak menyertai syarikat berkenaan yang beroperasi di ibu negara lebih dua tahun lalu, dia dan beberapa pekerja lain terpaksa berdepan dengan dilema apabila dihidangkan makanan tidak halal oleh tukang masak di atas kapal terbabit.

Katanya, biarpun terdapat notis melarang penggunaan bahan tidak halal seperti daging babi dalam menu makanan di atas kapal berkenaan, namun ia tetap dimasak dan dihidangkan secara bufet setiap kali tiba waktu makan.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan rasa kurang senang hampir 1,000 kru kapal beragama Islam dari seluruh dunia yang terpaksa mencari alternatif lain seperti sayuran dan roti untuk mengisi perut dan ada antara mereka membawa sendiri peralatan memasak seperti dapur serta perkakas lain. “Namun masalah lain pula timbul apabila pekerja warga asing dari negara lain berebut mahu menggunakan dapur yang sama selepas melihat kami berbuat demikian. malah, ada ketikanya berlaku pergaduhan disebabkan berebut dapur di atas kapal,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Paling menyedihkan, katanya, dia yang bertugas untuk memastikan senarai barangan makanan dibawa ke atas kapal tidak dapat berbuat apa-apa ketika melihat daging babi dibawa masuk ke peti ais besar dan diletakkan bersama bahan lain. Katanya, semua bahan makanan dicampurkan dalam peti sejuk yang sama malah dibiarkan terdedah tanpa diasingkan menyebabkan semua pekerja beragama Islam ragu-ragu untuk makan bufet disediakan kerana bimbang ia tidak halal.

“Pernah beberapa kali saya sendiri tersilap mencedok daging babi ke dalam pinggan namun bernasib baik ditegur seorang rakan. Setiap makanan dilabelkan, tapi kebiasaannya ia dicampur dan diletakkan bersama menyebabkan kami keliru,” katanya.

Nekad untuk membetulkan keadaan itu, dia dan rakan sekerja beberapa kali membuat laporan kepada kapten kapal namun kecewa tiada sebarang tindakan diambil, malah ia menjadi semakin teruk selepas tukang masak dimonopoli warga Filipina.

Sementara itu, rakannya, Nazaruddin Umar, 27, berkata, dia yang bercita-cita untuk menjadi jurutera perkapalan sejak kecil mungkin terpaksa melupakan impian itu selepas tidak tahan lagi berdepan dengan situasi berkenaan sejak tiga tahun lalu. Katanya, ketika mula bertugas sebagai jurutera di kapal itu tiga tahun lalu, dia langsung tidak menyangka akan menghadapi masalah seperti itu apatah lagi membabitkan soal hukum halal dan haram.hmetro

66 korban keganasan

KUT: Beberapa letupan bom berlaku menggegarkan lebih 12 bandar di Iraq semalam, menyebabkan 66 orang terbunuh semalam.
Keganasan bermula di Kirkuk, di utyara negara itudan merebak ke Baghdad di selatan kawasan majoriti Syiah seperti Najaf, Kut dan Karbala.
Ia menunjukkan pemberontak mampu mencetuskan huru-hara ketika pegawai tinggi menimbang sama ada boleh memerintah negara itu tanpa bantuan askar Amerika Syarikat.

Antara serangan itu termasuk yang membabitkan serangan bom kereta yang diletakkan di tepi jalan, bom tepi jalan dan pengebom berani mati yang memandu kenderaannya merempuh sebuah balai polis.


Satu siri pengeboman dahsyat - tujuh letupan berlaku di bandar berbeza di wilayah Diyala - bukti keupayaan pemberontak untuk mengatur dan melakukan serangan walaupun sudah dibanteras oleh pasukan keselamatan Iraq dan Amerika Syarikat.
Keganasan paling teruk berlaku di selatan Kut, 160 kilometer dari Baghdad, apabila dua bom meletup di pasar di mana pekerja binaan menjual peralatan seperti generator dan kelengkapan lain.

Jurucakap polis, Leftenan Kolonel Dhurgam Mohammed Hassan berkata, bom pertama diletakkan di dalam sebuah peti sejuk minuman.

Sewaktu pasukan keselamatan dan orang ramai berkumpul membantu mangsa, bom kedua yang diletakkan di dalam kereta di tepi jalan, meletup.

Ketua Jawatankuasa Pasukan Keselamatan Wilayah di Wasit, Shamil Mansour berkata, 40 orang terbunuh dalam letupan itu. Seorang pegawai lain berkata, 64 orang cedera.

Shamil menyalahkan masalah keselamatan yang longgar dalam sistem politik kerana melantik pegawai kerajaan berdasarkan mazhab dan hubungan politik dan bukan atas dasar kebolehan dan pengalaman kerja.

Di wilayah Diyala, tujuh bom meletup di bandar Baquba dan bandar lain yang berdekatan, kata Faris al-Azawi, jurucakap lembaga pengarah kesihatan.

Lima askar terbunuh di Baquba manakala lima yang lain, terbunuh dalam serangan berasingan.

Tidak jauh dari Najaf, seorang pengebom berani mati memandu keretanya merempuh pusat pemeriksaan di luar sebuah balai polis, kata Luay al-Yassiri, ketua jawatankuasa keselamatan wilayah itu.

Polis melepaskan tembakan ke arah kereta itu apabila pemandunya engkar berhenti di pusat pemeriksaan.

Kereta itu kemudiannya meletup, menyebabkan empat orang terbunuh dan 32 cedera. - AFP, hmetro

Polis bimbang keselamatan dan nyawa Muhammad Nazaruddin

JAKARTA 15 Ogos - Bimbang keselamatan dan nyawa Muhammad Nazaruddin terancam, polis Indonesia memeriksa dengan rapi makanan dan minuman yang disediakan kepada suspek utama skandal rasuah berprofil tinggi itu.
Pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah penjagaan dan kawalan kerana bimbang ada pihak cuba membunuh bekas bendahari Parti Demokrat itu dengan meracuninya.
“Kita tidak mahu berlaku makanan yang tidak sihat atau yang sengaja dibubuh racun yang boleh menggugat keselamatan suspek,” kata jurucakap polis Indonesia, Inspektor Jeneral Anton Bachrul Alam, di sini hari ini.
Menurutnya, setiap makanan Nazaruddin yang kini ditahan di Markas Komando Brimob akan diperiksa terlebih dahulu sebelum diberikan kepadanya.
Sementara itu, ahli Parti Demokrat, M. Nasir menyuarakan kebimbangannya dengan keadaan sepupunya, Nazaruddin yang kini ditahan di penjara.
Menurut Nasir, pada saat ini, keadaan kesihatan Nazaruddin terganggu.
“Nazaruddin berada dalam keadaan tertekan. Dia juga kebingungan dan ketakutan. Sebagai ahli keluarga, saya sangat khuatir dengan keadaannya
“Kelmarin, dia minta untuk berjumpa doktor. Sebaik-baik saja doktor tiba, Nazaruddin takut untuk bertemu doktor itu. Bila diberikan makanan, Nazaruddin juga takut menerima makanan itu,” kata M. Nasir yang berkesempatan bertemu Nazaruddin ketika sepupunya itu dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia, semalam.
Nazaruddin yang menjadi buruan KPK selama 75 hari menjadi tumpuan di Indonesia apabila didakwa terlibat dalam skandal rasuah berhubung projek pembinaan perkampungan Sukan SEA di Palembang untuk kegunaan temasya sukan itu pada November ini.
Suspek berusia 35 tahun itu yang melarikan diri pada 23 Mei lalu ke Singapura dan tidak muncul sejak itu diberkas Interpol di Cartagena, Colombia pada 7 Ogos lalu.
Semasa dalam pelarian, Nazaruddin beberapa kali mengirim mesej melalui telefon bimbit Blackberry kepada media tempatan menuduh beberapa pemimpin Parti Demokrat (parti pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono) turut terlibat dalam kes rasuah berkenaan. – Utusan

JAWI : Sah tiada operasi bersepadu sehingga kini



Tinjauan umat Islam ponteng puasa dan makan di khalayak ramai
di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Ketiadaan operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak berkuasa dilihat antara penyebab golongan ‘kaki ponteng puasa’ semakin berani mendedahkan identiti mereka di khalayak umum.
Bagi golongan ini, pandangan orang ramai terhadap mereka bukanlah satu masalah selagi tidak dikenakan tindakan undang-undang.
Pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi mengesahkan buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang arahan untuk melakukan operasi besar-besaran membanteras kegiatan ponteng puasa.
“Kita hanya menggerakkan tugas-tugas dan aktiviti pemantauan biasa di beberapa kawasan. Tiada operasi dilakukan buat masa ini kerana belum ada arahan dikeluarkan,” katanya yang enggan disebutkan namanya.
Berdasarkan undang-undang syariah negara, mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa boleh didakwa di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.
Undang-undang tersebut menetapkan, mana-mana individu yang bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Menurut seorang pegawai kanan Jawi dalam satu temuramah di radio, pihak Jawi tidak mengadakan operasi besar-besaran kerana ingin menjaga maruah mereka yang tidak berpuasa itu dari ditangkap dan dimalukan apabila gambar mereka tersiar di media massa.
“Anda tentu malu jika yang tertangkap itu ialah bapa atau saudara anda sendiri yang wajahnya disiarkan di media kerana tidak berpuasa,” kata pegawai tersebut.-utusan

GERAI PERTAMA: BELAKANG ISTANA BUDAYA



Masih terdapat beberapa golongan kaki ponteng yang tidak malu makan secara terbuka
 di salah sebuah gerai di Istana Budaya, baru-baru ini.

SUDAHLAH tidak menunaikan solat Jumaat, berani pula makan di khalayak ramai.
Tambah mengejutkan, bukan seorang dua yang dilihat asyik menikmati makanan dan minuman masing-masing, malah hampir 15 orang Islam kelihatan berada di gerai milik pengusaha Melayu itu pada satu-satu masa.
Ibarat sarang tempat mereka yang tidak berpuasa, gerai terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Tun Razak itu juga tidak henti-henti dikunjungi pelanggan yang majoritinya keturunan Melayu termasuk pekerja pejabat.
Bahkan, siasatan selama setengah jam itu turut mendapati, konsep ‘makan sini’ begitu popular serta menjadi pilihan kebanyakan kaki ponteng puasa terbabit dan hanya segelintir yang dilihat membeli secara bungkus.
GERAI DUA: BERHAMPIRAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
MEMILIH gerai mamak yang sentiasa penuh dengan pelanggan daripada pelbagai kaum, merupakan helah terbaru golongan kaki ponteng puasa dalam mengelirukan serta mengalihkan pandangan orang ramai.
Buktinya, tinjauan pada pukul 1 petang di salah sebuah gerai di Jalan Choo Cheng Kay mendapati, seorang pemuda Melayu bukan sahaja berani makan secara terbuka bahkan memilih untuk duduk di meja menghadap ke arah jalan raya.
Walaupun sedar gelagatnya diperhatikan wartawan, namun tanpa segan-silu pemuda itu terus menyuap makanan dan dalam tempoh kurang lima minit ia sudah dihabiskan.
GERAI TIGA: KAMPUNG PANDAN
LAGAK dua orang pemuda ini langsung tidak menunjukkan mereka sebenarnya Islam apabila tergamak minum di depan khalayak ramai.
Bukan sahaja minum, sambil duduk melepak mereka turut menghisap rokok tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.
Apa yang menghairankan, selain dua pemuda terbabit, turut kelihatan seorang pelanggan wanita bertudung berada di kedai terbabit.
Melihat gelagat golongan kaki ponteng yang seperti sudah biasa itu, tidak keterlaluan dikatakan mungkin gerai tersebut merupakan lubuk ponteng puasa yang sering menjadi kunjungan mereka.
RESTORAN PERTAMA: DESA PANDAN
KETIKA gerai-gerai dan restoran lain menutup operasi pada waktu pagi, sebuah restoran mamak di Desa Pandan tegar meneruskan kegiatan bersubahat dengan golongan ponteng puasa.
Lokasinya yang berhampiran dengan jalan besar, memudahkan golongan ponteng puasa untuk berhenti dan singgah membeli juadah berbuka.
Menurut salah seorang penduduk di kawasan berhampiran yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 20, kegiatan membeli makanan oleh golongan kaki ponteng puasa sememangnya sering dilihat di restoran 24 jam itu.
“Kebanyakan pelanggan yang dilihat membeli makanan di restoran itu terdiri daripada lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan ke atas.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi, lokasi restoran terletak berhampiran kawasan perumahan. Ia memberikan contoh yang tidak baik buat golongan muda dan kanak-kanak,” katanya.
RESTORAN DUA: CHERAS
DAHULU gaya memakai topi keledar mahupun cermin mata hitam sinonim sebagai ‘fesyen rasmi’ golongan kaki ponteng puasa bagi membeli makanan bungkus di gerai mahupun restoran.
Tujuannya, adalah untuk melindungi muka mereka daripada dikenali orang ramai termasuklah pengusaha gerai dan restoran terbabit.
Namun, seiring dengan perubahan zaman, lain pula fesyen yang dilihat wartawan menerusi siasatan dijalankan di salah sebuah restoran di Cheras baru-baru ini.
Apa tidaknya, mereka semakin berani mempamerkan wajah masing-masing. Ibaratnya, mereka sudah tidak kisah jika seluruh masyarakat tahu tentang perangai ponteng puasa itu.-utusan

Kaki ponteng puasa semakin berani


Makan secara terbuka di sebuah gerai yang menjadi lubuk ponteng puasa
 di sekitar kawasan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.



KETIKA umat Islam berlumba-lumba melakukan ibadah sepanjang bulan Ramadan, lain pula halnya dengan golongan kaki ponteng puasa yang tidak segan-silu melakukan dosa.
Keberanian si kaki ponteng puasa semakin terserlah, seolah-olah tidak gentar langsung dengan hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara berdasarkan Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan jika disabitkan bersalah.
Malah, semakin ramai di kalangan mereka tergamak ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari yang lazat di khalayak umum.
Hinggakan ada di antara mereka memilih untuk berbuka secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai mahupun restoran-restoran.
Yang menimbulkan tanda tanya ialah operasi penguatkuasaan seolah-olah gagal berperanan untuk membendung gejala yang memalukan umat Islam tersebut.
Ikuti pendedahan oleh wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ROSALINDA MD. SAID dan NORAZRIN MARZUKI serta jurugambar, ZAINI HUSIN, RIDUAN RIZAL dan SAFIYANA SALIM mengenai trend terbaru kaki ponteng puasa melepaskan lapar dan dahaga di gerai-gerai dan restoran sekitar ibu negara.

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Tanpa sekelumit rasa berdosa atau malu, golongan kaki ponteng puasa kini semakin berani ‘berbuka awal’ dan menikmati hidangan tengah hari di depan khalayak umum.
Mereka tidak lagi melakukan perbuatan terkutuk itu secara ‘sorok-sorok’, sebaliknya, memilih untuk ‘berbuka’ secara ‘terang-terangan’ di ruang-ruang makan utama gerai-gerai atau restoran.
Hal ini jauh berbeza dengan siasatan yang pernah dijalankan Unit Khas Utusan Malaysia pada tahun lepas apabila taktik penyediaan ‘tempat makan khas’ di bahagian belakang atau dapur, telah tidak lagi menjadi kegemaran si kaki ponteng puasa.
Demi nafsu, golongan kaki ponteng puasa seolah-olah tidak lagi kisah dan merelakan wajah serta aksi ‘makan’ mereka ditonton orang ramai.
Malah, ada yang sanggup duduk dan makan secara terbuka walaupun hakikatnya ruang disediakan tersebut dipenuhi oleh orang bukan Islam yang sedang makan tengah hari.
Strategi mereka yang makan, sama ada secara berseorangan ataupun berdua bagi mempercepatkan urusan ‘berbuka’, mungkin sukar dikesan oleh pihak penguat kuasa.
Trend terbaru ini adalah hasil tinjauan oleh Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa gerai dan restoran makanan di sekitar ibu kota sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa.
Apa yang menarik, golongan ini gemar memilih lokasi gerai atau restoran yang terletak betul-betul di tepi atau bahu jalan.
Pilihan itu mungkin untuk memudahkan mereka memerhati atau melihat sesiapa sahaja yang lalu-lalang, khususnya anggota penguat kuasa.
Bagaimanapun, sikap makan secara terbuka tersebut dilihat sering dilakukan oleh golongan lelaki muda manakala mereka yang telah berusia pula memilih membeli makanan secara bungkus.
Bagi yang membeli secara bungkus, tiada lagi istilah malu untuk menutup muka dengan topi keledar ataupun berkaca mata hitam.
Apa dikesalkan ialah sepanjang siasatan dilakukan, tiada sebarang operasi penguatkuasaan dijalankan oleh pihak berkuasa.
Malah sumber dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika dihubungi turut mengesahkan mereka hanya melakukan pemantauan biasa dalam tempoh tersebut.
Gambar-gambar yang disiarkan ini adalah hasil tinjauan di gerai-gerai serta restoran mamak yang beroperasi seperti biasa di sekitar ibu negara.-utusan

Asyraf derma semula wang kepada mangsa lain

 ASYRAF dan keluarga membaca  surat daripada Muhyiddin dan  Cameron.
ASYRAF dan keluarga membaca surat
 daripada Muhyiddin dan Cameron.

LONDON: Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli yang cedera diserang dan disamun sekumpulan belia di sini, minggu lalu akan menyumbang wang kutipan untuknya daripada orang ramai kepada mangsa lain yang terjejas akibat rusuhan itu.

Bagaimanapun, Asyraf berkata, buat masa ini beliau belum pasti siapa akan diberikan sumbangan itu.
Sementara itu, bapanya, Rossli Harun yang tiba bersama isteri dan anak bongsunya di sini semalam menyokong tindakan murni Asyraf.
“Matlamat saya satu saja iaitu untuk melihat Asyraf belajar sampai habis. Biarlah dia terikat dengan MARA. Mengenai derma itu, saya rasa tidak perlu bagi kepadanya sebab dia ditanggung sepenuhnya oleh MARA.

“Dia datang ke sini bukan untuk mencari dana tetapi untuk belajar. Walaupun hidup kami sederhana, saya mahu lihat anak saya berjaya. Dana itu berilah kepada orang yang lebih perlu,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong, semalam.

Pada majlis itu, Zakaria juga menyampai salinan surat daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian yang menimpa Asyraf.

Turut diserahkan kepada Asyraf ialah surat daripada Perdana Menteri Britain, David Cameron yang menyuarakan rasa simpati beliau serta rasa malunya terhadap kejadian yang berlaku.
Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan MARA di Kaplan College dan keluarganya juga dijemput ke Parlimen British oleh Jawatankuasa Select Parlimen Britain.

Di KUALA LUMPUR, Muhyiddin memuji semangat Asyraf kerana tidak menyimpan perasaan negatif terhadap penyerangnya, selain mahu meneruskan pengajiannya.

Dalam mesej semangat yang diutuskan khas untuk Asyraf semalam, Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman melahirkan rasa dukacita atas kemalangan menimpa penuntut Malaysia itu memandangkan beliau baru saja sebulan berada di sana.

Sambil mendoakan supaya Asyraf segera sembuh selepas selamat menjalani pembedahan, Muhyiddin dan isteri berkata: “Kami berbangga kerana Asyraf tabah dan berani menghadapi ujian Allah pada Ramadan.”

Sementara itu, klip video YouTube mengenai serangan kejam dan samun Asyraf itu ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber pemantauan British. bharian

Bapa bintang Chelsea diculik di Nigeria


John Obi Mikel
John Obi Mikel


LONDON: Bapa kepada pemain Chelsea dari Nigeria, John Obi Mikel dilaporkan diculik dari rumahnya tetapi setakat ini belum ada wang tebusan diminta.

Wakil pemain itu semalam berkata, Michael Obi, yang menjalankan perniagaan kenderaan diculik di Jos, Nigeria, Jumaat lalu.
Mikel, 24, bermain sepenuh masa dalam saingan pembukaan musim baru ketika Chelsea menentang Stoke City yang berkesudahan 0-0, kelmarin. - AFP-bharian

Tumpahan minyak Laut Utara terbesar dekad ini

LONDON: Kejadian tumpahan minyak pelantar minyak di Laut Utara adalah tumpahan minyak terbesar dekad ini di perairan British dengan syarikat pengendali, Shell sedang bertungkus-lumus untuk menghentikan kebocoran itu sepenuhnya.

Kira-kira 216 tan metrik (1,300 tong) minyak bocor dari pelantar carigali Gannet Alpha, 180 kilometer di timur Aberdeen di perairan Scotland, Rabu lalu.
Anggaran itu lebih besar daripada jumlah kebocoran minyak dalam sebarang tahun sejak 10 tahun lalu membabitkan perairan British, demikian angka yang dikeluarkan Jabatan Tenaga dan Perubahan Iklim (DECC).
Telaga minyak di perairan berkenaan ditutup sebaik kebocoran dikesan Rabu lalu dan kerja menutup saluran bocor sedang dilakukan.

Setiap hari tumpahan minyak yang bocor adalah kurang satu tan, manakala keluasan laut terjejas ialah 0.5 kilometer namun keluasan tompokan minyak semakin besar berikutan angin kencang dan ombak besar. bharian

Roti Gardenia boleh guna semula logo halal

KOTA KINABALU: Larangan mempamerkan logo halal pada roti Gardenia di Sabah yang dikuatkuasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak Januari lalu berikutan ada keraguan mengenai kaedah pembuatan roti itu, sudah ditarik balik pertengahan bulan lalu.

Penarikan balik dibuat selepas kajian Hab Halal JAKIM di Cyberjaya mendapati beberapa aspek kebersihan yang menimbulkan keraguan sebelum ini, sudah terjawab.
Sumber JAKIM berkata, sepanjang Januari hingga pertengahan Julai lalu, syarikat pengeluar roti Gardenia di sini yang menjalankan perniagaan itu secara francais dari syarikat induk di Shah Alam, diarah menutup logo halal pada bungkusan roti kerana permohonan mereka untuk memperbaharui penggunaan logo itu mempunyai keraguan.
“Syarikat yang berpejabat di Inanam itu mengemukakan permohonan untuk memperbaharui penggunaan logo halal dikeluarkan JAKIM hujung tahun lalu. 

“Berikutan itu, kami menghantar sampel ke Hab Halal JAKIM di Cyberjaya. JAKIM melalui kerjasama Jabatan Makmal dan Jabatan Kesihatan menemui beberapa keraguan berhubung aspek kebersihan ketika itu, tetapi tiada gelatin babi ditemui,” katanya kepada Berita Harian. 

Sumber itu menjelaskan, JAKIM mengarahkan syarikat berkenaan menggunakan bungkusan baru tanpa logo halal JAKIM tetapi syarikat itu membuat rayuan untuk terus menggunakan bungkusan berkenaan kerana sudah mengeluarkan kos tinggi membuatnya. 

Berikutan itu, JAKIM mengarahkan syarikat menutup logo halal sejak Januari lalu. 
“Hanya pertengahan Julai lalu, Hab Halal JAKIM selesai membuat penyelidikan dan mengeluarkan surat menyatakan syarikat itu boleh menggunakan semua logo halal,” katanya. 

Seorang pengguna, Noor Izati Shamsuddin, 46, berkata sejak logo halal ditutup, beliau tidak lagi membeli roti berkenaan kerana bimbang ia mengandungi gelatin babi. 

“Bagaimanapun, sejak sebulan lalu, saya dapati penutup itu sudah dibuka semula. Saya hairan macam mana logo halal itu boleh sekejap ditutup dan sekejap dibuka,” katanya. -bharian

Mufti Pulau Pinang nafi buat fatwa melulu

Larangan baca al-Quran guna pembesar suara ambil kira semua 


GEORGETOWN: Jabatan Mufti Pulau Pinang menjelaskan larangan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh bukan fatwa melulu, sebaliknya nasihat hukum yang diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang berdasarkan kepada permasalahan umat Islam di negeri itu.
Nasihat hukum itu dikeluarkan kerana jabatan berkenaan sering mendapat aduan dan pertanyaan daripada umat Islam di negeri itu sendiri mengenai hukum membaca al-Quran sebelum Subuh menggunakan pembesar suara sejak kebelakangan ini.
Nasihat hukum itu dibuat atas tanggungjawab membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong sejajar Seksyen 45 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) dan bukan tekanan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang. 

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, berkata pihaknya bertanggungjawab menyelesaikan kemusykilan dan permasalahan berkaitan hukum Islam di negeri itu dan nasihat hukum dibuat atas rasa tanggungjawab berdasarkan dalil yang sahih. 

“Arahan meminta dielakkan bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar serta dalam masjid memang amat wajar dan ia bukannya isu politik tetapi untuk menjaga martabat Islam sebagai agama harmoni. 

“Saya amat kesal dengan tuduhan pelbagai pihak yang menyatakan kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat fatwa melulu dan di bawah arahan pihak tertentu berkaitan isu berkenaan,” katanya di sini, semalam. 
Minggu lalu, Berita Harian melaporkan JHEAIPP mengeluarkan larangan berkenaan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mendapati amalan itu bercanggah hukum syarak dan mengganggu orang lain. 

Berikutan itu, pelbagai reaksi yang diterima termasuk menyokong dan membantah keputusan berkenaan. Malah, ada yang mengaitkan keputusan itu seolah-olah Jabatan Mufti ditekan oleh kerajaan negeri supaya mengeluarkan larangan berkenaan. 

Hassan berkata, keputusan mesyuarat itu tidak diwartakan dan ia adalah satu keputusan hukum sebagai panduan serta menjelaskan pandangan Islam berhubung amalan berkenaan untuk dipatuhi oleh umat Islam. 

Katanya, banyak pihak menyalah tafsir nasihat hukum itu sebagai fatwa dan oleh kerana ia tidak diwartakan, maka pihaknya tidak perlu memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Seksyen 48 Enakmen Agama Islam (Negeri Pulau Pinang). 

“Rasulullah SAW melarang umatnya mengangkat suara bacaan di masjid sehingga mengganggu orang lain yang sedang beribadat dan yang beribadat juga turut dilarang berbuat demikian. 

“Justeru, mana mungkin untuk menguatkan bacaan menerusi pembesar suara sehingga mengganggu mereka yang berada di luar masjid dan kita tak boleh memaksa orang lain untuk mendengar bacaan al-Quran dan zikir kita,” katanya. 

Hassan berkata, pihaknya akan membawa nasihat hukum yang diputuskan ke mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan akan datang bagi membincangkannya dengan mufti dan ulama lain. 

“Saya difahamkan melalui media bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir ingin berjumpa dan kami bersedia untuk memberi penjelasan lanjut berkaitan isu ini,” katanya. -bharian

6 peratus 'cuti' awal Ramadan

AL-KHOBAR: Lebih enam peratus kakitangan awam di Arab Saudi termasuk ketua jabatan dan pengarah tidak bekerja sepanjang 10 hari pertama Ramadan, lapor Lembaga Kawalan dan Siasatan (CIB).

Menurut akhbar Al-Youm, laporan berkenaan dikumpulkan 20 cawangan CIB di seluruh negara itu.
Ia turut mendedahkan bahawa sebilangan kakitangan kerajaan juga berulang kali tidak hadir atau gagal melapor diri mengikut waktu pejabat.
Kebanyakan kakitangan yang tidak hadir adalah mereka yang bekerja dengan agensi kerajaan yang penting, sekali gus melambatkan khidmat diperlukan pihak awam, lapor akhbar Saudi Gazette.

Seorang pegawai berkata, ketidakhadiran kakitangan kerajaan tahun ini dua peratus lebih rendah daripada kadar tempoh yang sama tahun lalu.

Pasukan agensi itu juga mengesan banyak kes kecuaian dan mendapati sikap malas ketara di kebanyakan pekerja agensi awam sejak seminggu lalu. – Agensi , bharian

Penduduk anggap Susilo gagal

RAKYAT Indonesia berasak-asak untuk mendapatkan beras percuma di Jakarta, kelmarin.
RAKYAT Indonesia berasak-asak untuk mendapatkan beras percuma di Jakarta, kelmarin.

Tinjauan dapati majoriti rakyat Indonesia tak puas hati prestasi SBY

JAKARTA: Majoriti rakyat Indonesia tidak puas hati dengan prestasi pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dianggap gagal memastikan kemudahan pendidikan, penjagaan kesihatan dan pekerjaan, lapor keputusan hasil satu tinjauan, kelmarin.
Tinjauan itu dilakukan Institut Keamanan dan Demokrasi Setara yang menyoal 3,000 responden berpendapatan rendah dan pertengahan di 10 wilayah mengenai pandangan mereka terhadap prestasi kerajaan di bawah kepemimpinan Susilo atau popular dengan singkatan SBY.
Timbalan pengerusi Setara, Bonar Tigor Naipospos, berkata keputusan tinjauan membawa kepada kesimpulan bahawa kerajaan sekarang lemah.

“Hampir semua bidang berkaitan ekonomi dan sosial, prestasi pentadbir dilihat oleh penduduk jauh daripada mencukupi.

“Tinjauan berkenaan menunjukkan pencapaian kerajaan lemah dalam sektor pendidikan, penjagaan kesihatan, kebajikan dan pekerjaan,” katanya.

Mengenai pendidikan, 60 peratus berpendapat kerajaan gagal menunjukkan prestasi baik.
Mengenai kebajikan, sebanyak 78 peratus menyifatkan kerajaan gagal manakala 85 peratus mengatakan bahawa pentadbiran Yudhoyono tidak berjaya mengatasi masalah pekerjaan.

Tinjauan Setara juga meminta pandangan penduduk terhadap cabaran paling penting dihadapi negara itu. Sebanyak 37 peratus menyatakan masalah kemiskinan disusuli rasuah 27 peratus.

Tetapi kenyataan paling buruk adalah membabitkan Susilo sendiri. Hanya 23 peratus responden percaya bahawa presiden itu seorang pemimpin yang tegas manakala 42 peratus melihat beliau sebagai seorang yang lemah.

Mengenai penilaian presiden mana yang terbaik untuk kebajikan penduduk, Susilo berada di tempat ketiga, dengan 9.9 peratus memilih beliau.

Beliau ketinggalan kepada bekas pemimpin Sukarno yang menerima 13.6 peratus manakala Suharto menduduki tempat teratas senarai itu dengan 65 peratus. – Agensi , kosmo

27 pemilik 'kad kebal' serah diri

SEBAHAGIAN pendatang asing menunjukkan 'kad kebal' yang
 dibuat ketika membuat laporan di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seramai 27 pendatang asing yang menjadi mangsa penipuan kad eksklusif atau lebih dikenali sebagai ‘kad kebal’ tampil membuat laporan di Jabatan Imigresen negeri di sini semalam.
Kebanyakan mereka yang merupakan warga Indonesia membuat laporan tersebut selepas pendedahan mengenai kegiatan sindiket tersebut dilaporkan media baru-baru ini.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, mereka rata-rata tidak mengetahui kad tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan di negara ini.
“Kita telah mengambil keterangan daripada kesemua pendatang asing ini dan ia akan dijadikan bukti untuk mendakwa suspek di mahkamah nanti.
“Setakat ini, wanita berusia 50-an yang juga pemilik syarikat yang diserbu baru-baru ini masih ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika dekat sini semalam.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan penahanan seorang wanita berusia 50-an yang merupakan pemilik sebuah syarikat di Bangunan Profesional, Jalan Syed Mufti di sini pada Jumaat lalu.
Pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan menjalankan proses pendaftaran pekerja asing melalui program 6P secara sah tetapi pada masa sama mengeksploitasi warga asing dengan menawarkan keahlian ‘kad kebal’ pada harga di antara RM1,000 hingga RM3,000.
Pendatang asing yang memiliki kad berkenaan dikatakan kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.-kosmo

Amaran tutup, denda RM50,000

KUALA LUMPUR - Pengendali laman web yang didapati menyebarkan maklumat palsu di internet boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berdasarkan Seksyen 211 akta tersebut, pengendali laman web dilarang membenarkan penyiaran sebarang bentuk kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mencaci, mengugut atau mengganggu mana-mana pihak.

Selain denda, pihak berkuasa juga boleh menutup laman web tersebut bagi membendung gejala penyebaran maklumat palsu itu daripada berleluasa.
Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan berkata, pelayar internet sepatutnya membuat siasatan sendiri terlebih dahulu dan jangan mempercayai bulat-bulat maklumat yang terkandung di dalam mana-mana laman web.
"Cari dahulu sumber sahih yang boleh memberikan penjelasan, contohnya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) jika menyentuh isu halal atau tidak sesuatu produk.
"Mungkin produk yang dikatakan haram itu menggunakan bahan terlarang dan menjadikan ia haram di luar negara, tetapi untuk pasaran negara ini ia telah diubah suai untuk kegunaan umat Islam,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.-kosmo

Klip video Asyraf ditonton 3 juta orang



SEORANG pengunjung laman web YouTube melihat klip video yang menayangkan
serangan ke atas Asyraf Haziq di London baru-baru ini.

LONDON - Klip video YouTube mengenai serangan kejam dan kejadian samun ke atas seorang pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rossli (gambar kecil) di Barking, East London, telah ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber-sumber pemantauan British.
Ini adalah klip video single mengenai rusuhan dan rampasan di London dan di bandar raya lain di Britain.
"Cakap-cakap mengenai serangan kejam terhadap pelajar Malaysia itu telah tersebar luas yang hampir semua yang saya tahu, mahu melihat klip itu di YouTube. Orang ramai bersimpati dengan nasib pelajar itu dan ketabahannya," kata Percy Higgins, ahli kimia di London dalam temu bual melalui telefon dengan Bernama.
Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, yang telah keluar dari Royal London Hospital selepas pembedahan berkata kepada wartawan bahawa beliau tidak ada perasaan dendam atau sakit hati dengan rakyat Britain.
Katanya, beliau akan meneruskan pengajiannya di London kerana itulah tujuannya datang ke Britain, walaupun ibu bapa Asyraf menggesa anaknya itu untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan pelajarannya di sana.
Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang telah menonton filem itu, mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia perlakuan yang memalukan.kosmo

Jessica Alba umum dapat cahaya mata perempuan di Facebook


JESSICA ALBA mengumumkan kelahiran cahaya matanya di laman Facebook.

BEVERLEY HILLS - Aktres terkenal, Jessica Alba telah mengumumkan kelahiran cahaya mata perempuan hasil perkongsian hidup dengan suaminya iaitu penerbit filem, Cash Warren, lapor sebuah akhbar semalam.
Pasangan itu sebelum ini sudah memiliki seorang cahaya perempuan, Honor Marie, 3,.
Alba, 30, mengumumkan berita gembira itu menerusi akaun laman sosial Facebook.
"Hai semua, diharapkan anda bergembira di hujung minggu. Cash dan saya begitu gembira untuk mengumumkan kelahiran anak perempuan kami iaitu Haven Garner Warren.
"Dia dilahirkan pada hari Sabtu dengan berat 3.2 kilogram dan panjang 48 sentimeter," kata Alba. - Agensi, kosmo