Wednesday, October 26, 2011

Natasya dakwa tanggung belanja sekolah anak



ZAINAL Abidin hadir bersama peguamnya pada perbicaraan tuntutan nafkah oleh bekas isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Bekas isteri penyanyi, Zainal Abidin yang terkenal dengan lagu Hijau mendakwa dia telah menanggung semua perbelanjaan persekolahan dua anaknya bagi mengelakkan mereka diberhentikan daripada sekolah dan tidak dapat menduduki peperiksaan jika bayaran tidak dibuat mengikut masa.

Natasya Gabriel Abdullah berkata, dia telah menempatkan dua anaknya itu di sekolah yang bagus dan mendakwa kedua-dua permata hatinya itu telah membesar dengan baik.

Wanita berusia 52 tahun itu berkata demikian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini ketika disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Norhusniah Husin dalam perbicaraan kes tuntutan nafkah anak yang dikemukakannya terhadap bekas suaminya itu.

Natasya setakat hari ini telah mengesahkan 85 daripada 224 dokumen yang mengandungi bukti-bukti pembayaran yang ditandakan sebagai keterangannya dalam kes tersebut.

Ia merangkumi bayaran persekolahan di sekolah kebangsaan dan sekolah swasta (pelajar khas) bagi anak lelakinya, Mikhail, 18, yang menghidap autisme serta resit-resit pembayaran persekolahan anak perempuannya, Timur, 16.

Bayaran tersebut termasuk yuran sekolah yang dibayar secara tahunan dan bulanan, tambang pengangkutan ke sekolah, pakaian seragam sekolah, buku-buku serta kos-kos tambahan yang berkaitan.

Natasya yang merupakan bekas model menuntut nafkah anak berjumlah RM167,102.04 ke atas bekas vokalis kumpulan Headwind pada tahun lalu.

Jumlah tersebut merangkumi yuran persekolahan, kelas agama dan bayaran perubatan sejak tahun 2002 sehingga kini.

Natasya bernikah dengan Zainal, 52, atau nama penuhnya, Zainal Abidin Mohamed pada 24 Mac 1987 dan bercerai pada 12 Disember 2000.

Zainal Abidin yang diwakili oleh peguam syarie, Abdul Halim Bahari turut hadir memakai seluar jeans biru, kemeja putih dan bersongkok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain bersambung 15 November ini.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Bekas jururawat warga Jepun edar syabu 3.5 kilogram dihukum mati

SHAH ALAM 25 Okt. - Seorang bekas jururawat warganegara Jepun dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 3.5 kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mariko Takeuchi, 37, selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah semasa memberi keterangan membela diri.

Mariko yang berjaket coklat muda dan berseluar jeans biru terus menangis teresak-esak apabila dimaklumkan tentang hukuman itu oleh seorang jurubahasa Jepun.

Dia juga dilihat menggelengkan kepala beberapa kali apabila cuba ditenangkan serta diminta memperlahankan tangisannya yang agak kuat oleh anggota polis memandangkan mahkamah masih bersidang.

Beberapa media asing dan wakil dari Kedutaan Jepun di Malaysia turut dilihat menghampiri Mariko sebelum wanita itu dibawa keluar menggunakan laluan bahagian belakang mahkamah.

Sementara itu, Hakim Siti Mariah dalam penghakimannya menyifatkan pembelaan tertuduh bahawa dia ke Dubai untuk berjumpa seorang lelaki bernama Alex dan mengambil wang bagi pihak kawan baiknya yang juga teman wanita lelaki itu adalah tidak logik.

Beliau turut mendapati keterangan Mariko bahawa dia berulang alik dari Kuala Lumpur ke Dubai sebanyak lima kali antara September dan Oktober 2009 dengan alasan tambang penerbangan itu lebih murah berbanding tinggal di Dubai, tidak dapat diterima serta mencurigakan.

Begitu juga tindakan tertuduh yang bersetuju menolong membawa beg milik rakan Alex yang tidak diketahui namanya tanpa sebarang syak sedangkan beg tersebut mempunyai berat yang luar biasa walaupun hanya dikatakan berisi pakaian.

Katanya, keterangan pembelaan tertuduh hanya rekaan dan tidak munasabah tanpa sebarang keterangan sokongan apabila dia gagal memanggil kawan baiknya untuk memberi keterangan sedangkan wanita itu tidak perlu takut kerana dia tiada kaitan dengan beg yang mengandungi dadah.

''Mahkamah tidak dapat menolak bahawa aktiviti keluar masuk tertuduh antara Dubai dan Kuala Lumpur sebanyak lima kali adalah dengan tujuan tertentu. Wang yang dibelanjakan untuk berulang alik lebih baik diberikan kepada kawan baiknya.

''Mahkamah juga tidak dapat menerima keterangan tertuduh bahawa beg itu tidak berkunci. Tidak ada sebab untuk saksi dalam kalangan pihak penguatkuasaan berbohong atau menganiaya tertuduh apabila mengatakan melihat dia yang membuka mangga (beg).

''Juga tidak munasabah untuk tertuduh menaiki penerbangan antarabangsa tanpa mengunci beg,'' kata beliau.

Mariko didakwa mengedar 3,493 gram methamphetamine di Kaunter Pemeriksaan Kastam D, Unit Khas Penumpang T, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini pada pukul 9.55 malam, 30 Oktober 2009.

Wanita yang berasal dari Tokyo itu dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun dan Aimie Yusreena Yunus manakala Mariko diwakili peguam Mohd. Rafik Rahem.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam orang saksi manakala hanya tertuduh memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah:

'via Blog this'

Suami minta Megawati jangan tanding jawatan Presiden



Megawati dan suaminya, Taufik Kiemas. - AGENSI


JAKARTA 25 Okt. - Tidak kira sama ada Megawati Sukarnoputri terlupa atau sengaja buat-buat lupa mengenai usianya yang bakal mencecah 68 tahun pada 2014, suaminya, Taufik Kiemas awal-awal lagi mengingatkannya supaya tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Indonesia tiga tahun lagi.

Taufik yang juga Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Indonesia menegaskan, pada usia sedemikian, isterinya harus memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin negara berkenaan.

"Pendapat peribadi saya, sebaiknya Megawati tidak memilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum sebagai calon Presiden.

"Usianya sudah mencecah 68 tahun pada 2014. Sebaiknya, dia (Megawati) memberi peluang kepada calon muda saja," kata Taufik mengulas mengenai hasrat isterinya yang mahu bertanding kerusi Presiden kali kedua pada 2014.

Megawati yang dilahirkan pada 23 Januari 1947 pernah menduduki jawatan Presiden Indonesia kelima pada pada 23 Julai 2001 ketika berusia 54 tahun.

Taufik yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) iaitu parti yang diketuai isterinya sebagai Ketua Umum memberitahu, parti politik itu harus mencari calon-calon yang jauh lebih muda sebagai persiapan menghadapi pilihan raya kelak.

"Jika kita membuat persiapan mencari pelapis dalam tempoh tiga tahun akan datang, seorang daripada mereka boleh muncul sebagai calonnya. Pemimpin tua harus memberi laluan," kata Taufik lagi.

Pada masa sama, Taufik juga enggan menyatakan siapakah calon muda yang dimaksudkan beliau layah bertanding di kerusi Presiden pada Pilihan Raya umum tiga tahun lagi.

Bahkan, tokoh berkenaan juga tidak langsung menyentuh nama anak perempuan tunggalnya hasil perkahwinan dengan Megawati, Puan Maharani, 38, yang dilihat sebagai seorang daripada calon yang sudah lama dibimbing untuk mewarisi jejak ibu dan datuknya, presiden pertama Indonesia, Soekarno. - UTUSAN

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Harga binokular marin lebih mahal


KUALA LUMPUR 25 Okt. — Harga kontrak pembelian sebuah binokular marin (penglihatan malam) oleh Jabatan Taman Laut Malaysia didapati 2,805 peratus lebih mahal berbanding harga pasaran.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan barangan itu yang harga pasarannya RM1,940 telah dibeli pada harga RM56,350 sebuah.

Sementara itu, Binokular Bushnell (penglihatan malam) yang berharga RM2,827 di pasaran, dibeli pada harga RM56,350 sebuah, iaitu 1,893 peratus lebih tinggi.

Ini adalah antara perbezaan harga barangan yang dibeli jabatan itu, yang dikenal pasti Jabatan Audit Negara melebihi antara 177 peratus hingga 2,805 peratus berbanding harga pasaran.

"Mengikut perkiraan Audit, perbezaan harga sejumlah RM172,501 sepatutnya boleh dijimatkan dalam menguruskan perolehan ini dan semakan Audit mendapati tiada bukti jabatan itu membuat kajian pasaran sewajarnya untuk membeli barangan tersebut," demikian menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut, hasil maklum balas jabatan itu, kajian pasaran hanya dibuat berdasarkan pertanyaan lisan kepada Jabatan Perikanan Malaysia kerana pegawai yang menguruskan perolehan berkenaan tidak mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam bidang tersebut.

Selain itu, Jabatan Taman Laut Malaysia didapati membuat pembayaran penuh bagi beberapa peralatan yang dibekalkan kontraktor tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak.

Ini menyebabkan kerajaan terlebih bayar RM100,517 kepada kontraktor, bagaimanapun bayaran itu tidak termasuk enjin utama dan kotak gear.

Antara barangan yang tidak mengikut spesifikasi ialah TV LCD dan pemain DVD jenama toshina yang harga kontraknya RM16,100, namun dibekalkan dengan barangan jenama Philips bernilai RM195.

Selain itu, sistem CCTV berjenama Paradox pada harga kontrak RM5,750 tetapi dibekalkan jenama Belco bernilai RM640.

Laporan itu juga menyatakan bayaran denda ke atas Syarikat Kejuruteraan Kapal Masai Sdn. Bhd. yang diberikan tanggungjawab membina bot aluminium semua cuaca kerana gagal menyiapkan bot itu mengikut perjanjian adalah lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Jabatan Taman Laut Malaysia sepatutnya memperoleh RM52,594.08 sebagai denda, namun hanya mengutip RM23,792.56 iaitu kurang RM28,801.52.

Oleh itu, Audit berpendapat jabatan tersebut perlu mengutip balik baki denda daripada kontraktor berkenaan dengan segera.

Jabatan Audit juga mencadangkan agar Jabatan Taman Laut Malaysia menilai setiap tender dengan teliti bagi memastikan harga yang ditawarkan dapat memberi nilai berbaloi dengan apa yang dibelanjakan kerajaan.

"Jabatan itu juga perlu menjalankan pemeriksaan semula terhadap semua syarat yang ditetapkan dalam kontrak serta melaraskan pembayaran yang terlebih bayar bagi peralatan yang tidak dibekalkan, atau pembekalan tidak mengikut spesifikasi," kata laporan itu. — BERNAMA

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas:

'via Blog this'

Peserta tidak tahu terlibat dalam projek

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Seramai tiga peserta projek peningkatan ekonomi yang dilaksanakan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Terengganu pada 2008 tidak mengetahui bahawa mereka terlibat dalam projek itu.

Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 melaporkan, tiga peserta itu juga memaklumkan bahawa pihak Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (PPPN) dan YPK Terengganu tidak pernah membuat lawatan ke rumah mereka atau menerima sebarang bantuan.

''Bagaimanapun, semakan audit mendapati YPK Terengganu dan peserta telah mengesahkan penerimaan barangan, peralatan dan ternakan bernilai RM29,430 dan dibayar penuh oleh PPPN Terengganu.

''Selain itu, tanda tangan yang terdapat pada akuan penerimaan tersebut juga berbeza dengan tanda tangan sebenar peserta dan adalah dikhuatiri dipalsukan," jelas laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, tiga projek yang tidak diketahui oleh peserta tersebut adalah pertukangan rumah di Setiu membabitkan kos projek sebanyak RM10,000, projek ternakan lembu juga di Setiu (RM9,460) dan projek membuat kuih di Besut (RM9,970).

Sehubungan itu, jabatan itu berpendapat, siasatan terperinci perlu dilakukan ke atas projek yang berkaitan dan tindakan sewajarnya perlu diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas:

'via Blog this'

27 makmal komputer gagal disiapkan

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kesemua 27 buah makmal komputer di Sekolah Bestari yang diuruskan Kementerian Pelajaran gagal disiapkan sepenuhnya sehingga Disember 2010 meskipun sepatutnya diserahkan pada Mei tahun sama.

Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 melaporkan, projek dengan kos sebanyak RM20.59 juta itu membabitkan sekolah di Perak (enam); Selangor (enam); Johor (lapan) dan Kuala Lumpur (tujuh).

‘‘Lawatan audit ke lapan Sekolah Bestari di Perak, Johor dan Kuala Lumpur mendapati pembinaan makmal masih belum disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan malah satu daripadanya juga belum dimulakan.’

‘‘Kontraktor bagi negeri Johor telah ditamatkan perkhidmatannya kerana gagal menyiapkan projek manakala pembinaan makmal komputer di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak pula tidak siap,” jelas laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, kos pembinaan makmal komputer di Sekolah Bestari juga lebih tinggi berbanding sekolah harian meskipun keluasan, bilangan bilik makmal dan kapasiti pelajar adalah sama.

Kos pembinaan sebuah makmal komputer di Sekolah Bestari yang dibuat secara tender terbuka adalah dalam lingkungan RM700,000 hingga RM980,000 sedangkan kos bagi sekolah harian pula antara RM350,000 hingga RM500,000.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas:

'via Blog this'

Cukai tanah tertunggak 40 tahun

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Jabatan Audit Negara melaporkan, terdapat tiga kes tunggakan cukai tanah individu di Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang tertunggak antara 35 hingga 40 tahun.

Jabatan itu menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga melaporkan, 84 kes cukai tanah individu dan satu kes cukai tanah syarikat pula membabitkan tunggakan antara 30 hingga 34 tahun.

Menurut laporan itu lagi, 24 kes cukai tanah individu pula membabitkan tunggakan antara 25 hingga 29 tahun; 123 kes (20 hingga 24 tahun); 494 kes (15 hingga 19 tahun) dan 1,107 kes (10 hingga 14) tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21.94 juta.

Bagi cukai tanah syarikat pula jelas laporan itu, satu kes membabitkan tunggakan antara 30 hingga 34 tahun; satu kes (25 hingga 29 tahun); 80 kes (20 hingga 24 tahun); 148 kes (15 hingga 19 tahun) dan 491 kes (10 hingga 14 tahun) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM14.19 juta.

''Pihak audit berpendapat antara sebab kes itu berlaku kerana maklumat pemilik dan hak milik tanah yang tidak dikemas kini menyebabkan bil cukai tanah dikembalikan.

''Selain itu kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang terhadap pemilik tanah turut menyumbang kepada jumlah tunggakan cukai tersebut dan keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan hasil kerajaan," jelas laporan itu.

Utusan Malaysia Online - Laporan Khas:

'via Blog this'