Monday, November 19, 2012

Minuman bergas mampu burukkan osteoartritis



LONDON 18 Nov. - Pengambilan minuman bergas bukan sahaja menjadikan seseorang gemuk, tetapi juga boleh memburukkan lagi penyakit osteoartritis iaitu penyakit yang berkaitan dengan sendi dan tulang.
Ketua Penyelidik, Dr. Bing Lu dari Hospital Brigham and Women di Boston dalam satu kajiannya, meneliti keadaan pesakit-pesakit yang menghidap osteoartritis di lutut, satu penyakit biasa yang dialami enam juta orang dewasa di sini.
Kajiannnya mendapati, lebih banyak pesakit mengambil minuman bergas, penyakit mereka akan menjadi bertambah teruk.
"Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor pengubahsuaian risiko diet bagi perkembangan penyakit dan mampu menilai cadangan diet sihat," katanya.
Dalam kajian itu, penyelidik mengkaji 2,149 pesakit sebagai responden.
Pada peringkat awal kajian, pengambilan minuman bergas oleh responden termasuk minuman bebas gula dinilai menggunakan borang soal selidik frekuensi makanan.
Dalam tempoh 12 hingga 48 bulan kemudian, kesemua peserta dinilai kembali untuk melihat perkembangan tersebut.
Indeks Jisim Badan (BMI) juga diukur, dengan kedua-dua data antara lelaki dan wanita dianalisis secara berasingan.
Selepas mengawal BMI dan faktor-faktor lain, penyelidik mendapati, keadaan penyakit osteoartritis dalam kalangan responden lelaki yang banyak mengambil minuman ringan dalam tempoh seminggu, semakin teruk.
Bagi lelaki yang tidak mengambil minuman ringan, ruang sendi mereka menjadi lebih sempit dengan purata 0.29 milimeter berbanding 0.59 milimeter bagi lelaki yang mengambil minum ringan lebih lima kali dalam tempoh seminggu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_02/Minuman-bergas-mampu-burukkan-osteoartritis#ixzz2CgGRJ0hm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israel terus bedil Genting Gaza



Kepulan asap tebal menyelubungi Gaza City selepas tentera Israel meneruskan kempen serangan besar-besaran yang masuk hari kelima ke atas Genting Gaza, semalam. - AP
GAZA CITY 18 Nov. - Serangan udara Israel ke atas bahagian tengah Gaza, hari ini menyebabkan 10 orang terbunuh, termasuk enam kanak-kanak Palestin dan tiga wanita, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan.
Dalam serangan udara berasingan, sekurang-kurangnya lapan wartawan pula cedera apabila pesawat pejuang Israel menyerang dua bangunan media di sini pagi ini.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qaudra berkata, seorang daripada wartawan itu hilang sebelah kakinya apabila serangan mengenai pejabat al-Quds TV di bangunan Showa dan Housari di kawasan perumahan Rimal.
Serangan pertama ke atas bangunan media itu dilancarkan pada kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan (8 pagi waktu Malaysia).
Saksi berkata, bangunan-bangunan berkenaan mengalami kerosakan teruk dan menyaksikan wartawan dipindahkan selepas serangan pertama sebelum dua lagi serangan dilancarkan di kawasan itu.
Serangan kedua berlaku pada kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan (1 petang waktu Malaysia) dan mengenai bangunan Shuruq yang menempatkan pejabat al-Aqsa TV, di mana dua wartawan cedera.
Pengarah al-Quds TV, Imad Efranji mengutuk kejadian itu sebagai jenayah baru terhadap media.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan, Adham Abu Selmiya pula berkata, kanak-kanak berusia 18 bulan berkenaan, Iyyad Abu Khusa terbunuh dalam serangan di timur kem Bureij, tengah Gaza.
Ashraf berkata, dua abangnya berumur empat dan lima tahun kini berada dalam keadaan kritikal.
Katanya, angka kematian akibat serangan udara Israel sejak Rabu lalu kini telah meningkat kepada 60 orang. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_07/Israel-terus-bedil-Genting-Gaza#ixzz2CgEMmGwv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pembangkang Syria hantar duta ke Paris



Francois Hollande (kiri) dan Mouaz Alkhatib, semasa satu sidang media bersama di Istana Elysee, Paris, Perancis, kelmarin. - AFP
PARIS 18 Nov. - Perancis, semalam menjemput pakatan pembangkang baharu Syria, Gabungan Kebangsaan Syria untuk menghantar seorang duta ke Paris, meskipun negara itu dilihat masih berhati-hati berhubung isu membekalkan senjata.
Pelawaan itu dibuat ketika Presiden Perancis, Francois Hollande menemui ketua Gabungan Kebangsaan Syria, Mouaz Alkhatib di Paris, semalam.
Jawatan itu akan diisi seorang pakar akademik, Monzer Makhous, tetapi masih tidak jelas sama ada penghantaran duta itu akan dibuat sebelum satu peralihan kerajaan Syria dibentuk.
Khatib dalam pada itu mengulangi janjinya untuk membentuk satu kerajaan peralihan terdiri daripada teknokrat berbanding orang politik dan meliputi wakil semua etnik serta agama di Syria.
"Semua itu tidak ada masalah. Gabungan telah wujud dan kami akan memanggil calon-calon yang layak bagi membentuk kerajaan teknokrat untuk berkhidmat sehinggalah kejatuhan kerajaan Bashar al-Assad," kata Khatib kepada wartawan.
Namun, beliau sehingga kini tidak mendapat perkembangan positif dari negara-negara Barat berhubung rayuannya untuk mendapatkan bekalan senjata bagi menyokong kumpulan pemberontak.
"Pemberontak Syria memerlukan senjata, tetapi masyarakat antarabangsa turut perlu mengamalkan pengawalan," kata Hollande.
Beliau mengakui Perancis tidak boleh bertindak tanpa perjanjian daripada negara anggota Kesatuan Eropah (EU) kerana blok itu dengan ketat mengharamkan penghantaran senjata ke Syria.
"Zon perlindungan hanya boleh dibuat dalam rangka kerja komuniti antarabangsa. Selepas kerajaan alternatif Syria dibentuk, mereka sendiri dapat mengesahkan tuntutan perlindungan dan sokongan," kata Presiden Perancis itu selepas menemui Khatib.
Sementara itu, selepas beberapa minggu pertempuran, pemberontak di timur Syria semalam berjaya menawan lapangan terbang Hamdan di bandar Albu Kamal, wilayah Deir Ezzor yang bersempadan dengan Iraq, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Tentera Syria sebelum ini menggunakan lapangan terbang itu sebagai pangkalan helikopter tempur mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121119/lu_06/Pembangkang-Syria-hantar-duta-ke-Paris#ixzz2CgDG9Yz3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi 6 bulan perlu bantuan segera



ROSALWANI CHE SOH
19 November 2012
Bayi 6 bulan perlu bantuan segera
Halili (kanan) menyemak surat doktor berkaitan masalah penyakit anak bongsunya, sambil diperhatikan Azura yang memangku Afiq, semalam.
KOTA BHARU - Hati ibu bapa mana yang tidak sayu, melihat anak kesayangan mereka yang sepatutnya membesar seperti kanak-kanak lain, terpaksa berdepan dengan penyakit kronik walaupun baru sahaja berusia enam bulan di Kampung Tebing Tinggi Sabak, di sini.

Melihatkan keletah Muhammad Afiq Hazwan Halili, pada pandangan fizikal dan zahirnya dilahirkan secara normal dan sihat, siapa sangka bayi itu disahkan doktor mengidap penyakit berkaitan saluran paru-paru tersumbat yang kadangkala membuatkan dia mengalami masalah pernafasan.

Anak bongsu dari tujuh beradik itu, kini terpaksa berulang alik ke hospital oleh ibu bapanya, Azura Salleh, 35 dan Halili Harun, 35, dengan menaiki motosikal buruk, memandangkan hanya kenderaan itulah yang dimiliki bapanya.

Azura berkata, selepas sebulan melahirkan anak bongsu dari tujuh  beradik itu, Afiq mengalami masalah cirit birit yang berpanjangan dan muntah-muntah.

“Namun saya tidak syak dia mengalami penyakit serius ekoran Afiq tidak menangis dan pada sangkaan saya, mungkin dia mengalami alahan terhadap susu yang diminum selain tidak menunjukkan tanda-tanda dirinya dalam kesakitan.

“Tetapi apabila simptom muntah dan cirit-birit kerap berlaku, saya lihat Afiq semakin lemah dan pergerakannya juga amat terbatas,” katanya semalam.

Azura berkata, melihat keadaan anaknya yang semakin serius, dia terus meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya ke hospital dan Afiq ditahan dalam wad, disebabkan masalah kekurangan air yang melampau dan menurut doktor jika Afiq lewat menerima rawatan, mungkin anaknya akan menemui ajalnya ketika itu.

“Setakat ini, kami terpaksa menanggung kos rawatannya hampir RM2,000 setiap kali dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan kami juga terpaksa menanggung hutang tertunggak dengan pihak terbabit sebanyak RM6,000 kerana tidak mampu membayarnya memandangkan gaji suami yang tidak tetap,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk anak-anak lain yang masih bersekolah juga amat terbatas, sehingga terpaksa biarkan empat lagi anaknya bergilir-gilir ponteng kerana tidak mampu.

Azura mengharapkan supaya beban yang ditanggung dapat diringankan dan memohon kepada mana-mana pihak yang sudi membantu bagi menanggung kos rawatan Afiq yang berjumlah RM28,000 bagi membetulkan saluran paru-paru bayi itu..

Kepada orang ramai yang ingin menderma, boleh terus menyalurkan sumbangan ikhlas bagi membantu Afiq menjalani rawatan susulan di akaun Maybank 153010797963 atas nama bapa Afiq, Halili Harun.

Israel terus serang Gaza



GAZA 19 Nov. - Israel terus melancarkan serangan bom ke atas berpuluh-puluh kawasan yang dipercayai kubu pejuang Palestin di Genting Gaza, hari ini walaupun pejuang Palestin mengurangkan serangan roket ke wilayah Israel ketika usaha untuk melaksanakan gencatan senjata ditingkatkan.
Pegawai hospital berkata, sebanyak 16 orang awam dan dua komander sayap Jihad Islam terbunuh dan kira-kira 30 lagi penduduk Palestin cedera dalam serangan udara terbaru Israel itu.
Angka kematian itu menjadikan jumlah penduduk Palestin yang terkorban ekoran serangan rejim Zionis Israel ke atas Gaza sejak enam hari lalu meningkat kepada 98 orang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dijangka tiba di Kaherah bagi meningkatkan usaha untuk melaksanakan gencatan senjata yang diketuai Mesir.
Media Israel melaporkan delegasi rejim Zionis itu kini berada di Kaherah bagi mengadakan rundingan damai, walaupun jurucakap pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Serangan Israel setakat ini menerima sokongan daripada Amerika Syarikat (AS) dan pemimpin Eropah yang menyifatkannya sebagai hak Israel untuk mempertahankan diri tetapi terdapat juga rayuan supaya serangan berkenaan ditamatkan.
Simpati terhadap Israel mungkin berkurangan dengan peningkatan jumlah korban penduduk Palestin di Gaza.
Sementara itu, dua pertubuhan pejuang Palestin, Fatah dan Hamas hari ini mengumumkan persetujuan mereka untuk berdamai, ketika krisis di Gaza semakin memuncak. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121120/lu_03/Israel-terus-serang-Gaza#ixzz2CkjwKQdH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Facebook satukan mempelai bisu



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
19 November 2012
Facebook satukan mempelai bisu
Hasmadi (kiri) tersenyum setelah tangannya dikucup Norazizan sewaktu majlis akad nikah di rumah keluarga pengantin perempuan, Taman Seri Serai, Bagan Serai kelmarin.
BAGAN SERAI - Dilahirkan bisu bukan halangan kepada Hasmadi Hassan, 41, dan pasangannya, Norazizan Masran, 36, untuk menjadikan laman sosial Facebook sebagai medium mengenali hati budi sekali gus hidup bersama melalui ikatan perkahwinan.

Pasangan istimewa itu melangsungkan pernikahan di rumah keluarga pengantin lelaki di Taman Seri Serai kelmarin dengan Hasmadi melafazkan akad nikah menggunakan bahasa isyarat.

Majlis akad nikah disempurnakan jurunikah, Sabri Sabran lebih kurang jam 5 petang sambil disaksikan sanak saudara kedua-dua mempelai.

Pasangan terbabit dipertemukan buat pertama kali sewaktu keluarga Hasmadi datang ke rumah kakak Norazizan di Selinsing, di sini, untuk merisik setahun lalu.

Hasmadi yang berasal dari Kangar, Perlis tidak menyangka perkenalan dengan Norazizan ketika itu melahirkan perasaan mahu mengenali gadis itu secara lebih dekat.

Menurutnya, sikap Norazizan yang lemah lembut membuatkannya terpikat dan kedua-duanya mula cuba mengenali hati budi masing-masing melalui laman sosial Facebook sejak pertemuan itu.

“Luahan rasa hati melalui Facebook menguatkan perasaan cinta dan setiap kali berkomunikasi, saya dapat rasa keserasian yang wujud di antara kami.

“Walaupun kami berdua golongan orang kurang upaya (OKU) tapi saya berharap jodoh kami berpanjangan dan ikatan perkahwinan ini diberkati ALLAH SWT,” katanya menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan seorang ahli keluarga.

Dalam pada itu, Norazizan berkata, sejak bertemu Hasmadi, dia mula menyimpan perasaan sayang kepada pemuda itu.

“Kali pertama berjumpa, saya rasa bimbang sekiranya keluarga Hasmadi tidak dapat menerima kekurangan diri saya kerana tidak tahu bakal suami juga OKU.

“Bagaimanapun, saya bersyukur pertemuan kali pertama akhirnya membawa ke jinjang pelamin dan berharap dikurniakan sekurang-kurangnya lima cahaya mata,” katanya.

Sementara itu, ibu Hasmadi, Che Rokiah Bakar, 64, berkata, dia tidak menghalang anak istimewanya itu memilih pasangan hidup demi kebahagiaannya.

“Dia juga insan biasa yang memerlukan perhatian daripada seorang wanita bergelar isteri,” katanya.

Bagi kakak sulung, Nor Kamaliya Masran, 41, pula, dia berasa terharu dan bersyukur kerana adiknya bertemu jodoh dengan jejaka sepertinya walaupun jarak perhubungan di antara kedua-dua mempelai begitu jauh.

“Saya berharap Norazizan mencapai kebahagiaan hakiki bersama pasangan hidupnya dan percaya kedua-duanya mampu menempuh cabaran alam perkahwinan dengan tabah,” katanya.

Sultan hadiahkan kenderaan



WARTAWAN SINAR HARIAN
18 November 2012
Sultan hadiahkan kenderaan
Ahmad bersama kenderaan pacuan empat roda yang diberikan Sultan Muhammad V bagi menjalankan tugas dakwah
GUA MUSANG - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memberi kenderaan pacuan empat roda yang pernah digunanya untuk aktiviti lasak bagi kegunaan dakwah untuk mengembangkan ajaran agama Islam di perkampungan Orang Asli.

Penolong Pegawai Dakwah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Ahmad Nordin, berkata, kebenaran menggunakan kenderaan itu menunjukkan keprihatinan baginda ke atas tugas-tugas dakwah.

Beliau berkata, kenderaan tersebut memang digunakan sepanjang masa bagi menjelajah ke perkampungan Orang Asli di pedalaman Hulu Kelantan untuk mengajar agama Islam kepada golongan berkenaan.

“Saya pada mulanya agak terkejut juga apabila Tuanku panggil pada tahun 2008 dan rasa amat bersyukur sebaik menemuinya diarahkan menggunakan kenderaan pacuan empat roda itu bagi tugas-tugas dakwah.

“Memang saya mengakui perjalanan di setiap perkampungan Orang Asli amat mencabar untuk masalah jalan rosak teruk dan Alhamdulillah setelah menerima kenderaan pacuan empat roda itu semuanya berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Dakwah Orag Asli di Lojing, kelmarin.

Menurut Ahmad, baginda sultan juga sentiasa bertanya khabar mengenai tugasnya menjalankan aktiviti dakwah itu kerana tidak mahu segala aktiviti berkenaan terbantut.

“Saya tetap dengan tugas yang diamanahkan hingga sekarang ini semakin ramai Orang Asli memeluk agama Islam dan datang belajar di Pusat Latihan Dakwah itu,” katanya.

Katanya, beliau memuji dengan sikap keterbukaan baginda Sultan yang mengambil berat mengenai perkembangan dakwah membabitkan golongan Orang Asli di kawasan Hulu Kelantan ini.

Malah, kata beliau, penggunaan kenderaan itu juga lebih suka dilihat berselut bagi menunjukkan kerja dakwah sentiasa berjalan, tetapi tidak akan dibiarkan begitu sahaja kerana selalu dibersihkan.

“Saya jaga kenderaan baginda sultan itu supaya sentiasa dalam keadaan baik dan mengharapkan ia dapat digunakan sepanjang masa walaupun dalam keadaan musim tengkujuh sekarang,” katanya.

Gaza rayu bantuan



BANGI - Gaza sangat memerlukan bekalan perubatan asas yang telah berkurangan sejak serangan udara dipergiatkan tentera Israel baru-baru ini, membunuh sekurang-kurangnya 20 orang dan mencederakan 200 individu, termasuk kanak-kanak.
Hatem Shurrab, Pengurus Media di Islamic Relief Palestine (IRP) berkata, bantuan perubatan telah menjadi keutamaan tertinggi organisasi bantuan kemanusiaan.
Terdapat kekurangan bekalan perubatan di Gaza dan ia semakin teruk selepas serangan.
"Hospital menghadapi masalah kekurangan bekalan perubatan antara tiga hingga empat tahun yang lalu. Namun, kini dengan serangan yang dipergiatkan, hospital tidak dapat memenuhi keperluan mangsa yang cedera yang datang dalam setiap beberapa minit," katanya dari Gaza dalam sidang video yang diatur oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) di sini, semalam.
Shurrab berkata, ketika IRP melawat ke Gaza Central Hospital, mereka mendapati banyak mangsa, kebanyakannya kanak-kanak. IRP bimbang kemmungkinan akan berlaku serangan di darat dalam beberapa hari akan datang.
Katanya, hampir separuh daripada mangsa yang cedera adalah kanak-kanak dan sebilangan mereka ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.
Laporan mengatakan bahawa Ahmad Jabari, komander sayap tentera Hamas, telah terbunuh dalam beberapa serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza kelmarin.
Beberapa serangan udara terus berlaku selepas ini dan membunuh lebih 19 orang, termasuk enam kanak-kanak.
Ini merupakan serangan terhebat ke atas wilayah Palestin dalam tempoh empat tahun sebagai tindakan balas ekoran serangan semula roket di selatan Israel, menurut laporan itu.
Shurrab berkata, menurut seorang pegawai dari Kementerian Kesihatan, hospital memerlukan ubat-ubatan asas, sebahagian daripada 100 barangan yang semakin cepat berkurangan.
"Ubat-ubatan penting adalah kritikal pada masa ini dan kami menggesa negara-negara di seluruh dunia untuk menyokong kami supaya kami dapat menyediakan keperluan penjagaan kesihatan asas kepada mangsa yang cedera," katanya.
Menurut IRP, serangan udara disasarkan di kawasan berbeza di seluruh Semenajung Gaza pada hari Khamis, dengan serangan roket dilancarkan dari Gaza ke arah Israel.

Beliau berkata, Gaza kini musnah akibat serangan yang dipergiat sekali gus memberi kesan kepada rakyatnya.
"Ia adalah amat sukar untuk hidup di Gaza kerana setiap beberapa minit, terdapat letupan baru. Hanya beberapa minit lalu, satu letupan besar berlaku berhampiran rumah saya dan saya dapat melihat kerosakan melalui tingkap," katanya.
Menjawab soalan mengenai pengagihan bantuan makanan dan bukan makanan, beliau berkata sejak serangan udara berlaku, tiada lagi keperluan sebenar untuk bekalan makanan.
Bagaimanapun, kekurangan makanan mungkin berlaku jika 'pencerobohan darat' bermula.
Katanya, sekiranya ini berlaku barangan makanan dan bukan makanan boleh dibawa masuk melalui koordinasi dengan rakan kemanusiaan seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Program Makanan Sedunia (WFP) sama ada melalui Mesir atau sempadan Israel. Menurut Shurrab, Israel telah membuka sempadannya untuk bantuan kemanusiaan, ketika perang sebelum ini.
Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia akan menyokong usaha kemanusiaan, rakyat Palestin dan IRM supaya bantuan boleh disampaikan kepada mangsa.
Sementara itu, Pengarah Negara IRM, Dr Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, pada masa ini terdapat bekalan mencukupi untuk 500 keluarga.
"Bagaimanapun, sekiranya serangan diperhebatkan pada hari-hari akan datang, termasuk pencerobohan tanah, krisis kemanusiaan akan meningkat kerana akan terdapat anjakan.

Apabila ini berlaku, kita perlu memberikan  bantuan makanan dan bukan makanan untuk sekurang-kurangnya 10,000 keluarga," tambahnya. - Bernama

PBB gesa gencatan senjata di Gaza




19 November 2012
KAHERAH - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban ki-Moon menggesa gencatan senjata dibuat segera ke atas Israel yang menyerang Gaza buat hari keenam hari ini.

Beliau akan menyertai satu persidangan yang berkemungkinan akan membincangkan mengenai gencatan senjata dibuat.

Semalam, Israel berkata, ia akan terus membuat serangan dan menyasarkan rumah militan Hamas.

Lebih 70 rakyat Palestin dan tiga rakyat Israel meninggal dunia sejak Rabu lalu.

Liga Arab turut mengadakan pertemuan di Kaherah semalam bagi menghantar delegasi ke Gaza, esok.

Krisis Gaza: Usaha diplomatik ditingkat, Kaherah jadi tumpuan




19 November 2012
GAZA CITY - Sementara serangan Israel masuk hari keenam hari ini, usaha diplomatik dipertingkatkan bagi menghentikan serangan roket dari Semenanjung Gaza dan serangan udara Israel ke atas Gaza.

Setiausaha Agung PBB, Bang Ki-moon yang tiba di Kaherah turut menggesa usaha gencata senjata dilakukan selepas sebuah pertemuan dengan pegawai-pegawainya semalam.

Media Israel bagaimanapun berkata Israel telah ke Kaherah bagi mengadakan perbincangan tetapi enggan mengulas intipati perbincangan.

Presiden Mesir, Mohamed Mursi turut bertemu dengan pemimpin politik Hamas, Khaled Meshaal di Gaza dan Ramadan Shallah sebagai salah satu usaha pengantaraan bagi mengurangkan konflik di Gaza.

Seorang pembantu Meshaal, Izzat Risheq menulis statusnya di Facebook mengatakan yang Hamas bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata hanya selepas pihak Israel menghentikan serangan udara, serangan ketenteraan dan menghentikan pembunuhan serta menghentikan sekatan di Gaza.

Timbalan Perdana Menteri Israel, Moshe Yaalon pula menulis di Twitter: “Jika tiada lagi serangan roket dan peluru berpandu kepada rakyat Israel dan tiada lagi serangan pengganas dari Semenanjung Gaza, maka kami juga tidak akan menyerang balas."

Seramai 78 rakyat Palestin, 23 orang di kalangan kanak-kanak dan beberapa wanita terbunuh di Gaza sejak serangan Israel bermula enam hari lalu dan mengakibatkan berates-ratus yang lain cedera.

Petanda kalah dengan dadah



AIDA AZURA AZEMI
19 November 2012
Petanda kalah dengan dadah
Pak Hashim menceritakan pengalamannya terjebak dengan najis dadah
Alangkah baiknya jika masa dapat diputar semula agar segala khilaf dapat dibetulkan? Itulah keluhan mereka yang pernah menjadi hamba najis dadah. Antaranya Hashim Lamit, 59, yang kini menjadi Ahli Jawatankuasa Pengasih.

“Saya mula terjebak dengan dadah lepas tamat belajar. Mula-mula kawan kenalkan dengan rokok... kemudian ganja. Dia orang kata, benda tu sedap. Boleh hilangkan tekanan,” imbaunya.

Sudah adat mereka yang mahu mengajak kawan mengenali dadah, salam perkenalan bermula dengan barang percuma. Begitulah dilalui Pak Hashim apabila satu gulung ganja sepanjang jari kelengkeng yang dijual RM2 sekitar 1973 diberi oleh kawannya  untuk dicuba.

“Kami buat projek dalam pondok kat kebun getah. Berbanding tiga kawan lain, saya saja yang baru nak cuba. Penangan kali pertama pekena... saya terus tertidur,” kata Pak Hashim.
Daripada mereka, dia belajar cara memasak menggunakan dapur yang diperbuat daripada buluh dan buah pinang tua. Ketika khayal, lagu didengar terasa lebih indah dan makanan dijamah seolah-olah lebih lazat! Pak Hashim tiada masalah untuk membeli bekalan melalui sedikit usaha mengait kelapa di kebun milik keluarga.

Pekena ubat lebih mahal
Tidak lama kemudian, Pak Hashim meninggalkan kampung halaman dan datang ke Kuala Lumpur mencari kerja. Menumpang di rumah abang yang bekerja sebagai polis, membuat pergerakan Pak Hashim rasa terbatas. Sudahnya dia keluar rumah, tak balik-balik lagi.
Daripada kawan serumah, Pak Hashim diperkenalkan benda baru. Kata mereka ganja yang dipanggil yaw tak cukup umph. Ada barang baru yang lagi stim. Paling best polis pun tak perasan masa kita ambil, kata mereka.
Barang dimaksudkan ialah heroin yang dipanggil ubat. Walaupun mahal sikit daripada yaw, Pak Hashim tiada masalah untuk mengambilnya memandangkan pendapatan ketika itu agak mewah. Hasil kerja sebagai penjaga parkir dan pencuci kereta, memberikan wang lebih daripada cukup bagi orang bujang sepertinya.

Ubat diambil menggunakan rokok jenama tertentu yang tiada penapis (filter). Rokok ini dilubangkan di tengah-tengah sebelum dimasukkan lidi yang diubahsuai seperti sudu.

“Heroin boleh buat rasa khayal seperti melayang-layang lebih kurang dua ke tiga jam. Masalahnya, kita boleh ketagih berat dalam masa singkat berbanding ganja,” ujar Pak Hashim.

Jika tidak diambil, penagih heroin akan berasa lemah, sering bersin dan berhingus. Biasanya ia diambil sebanyak dua kali sehari iaitu sebelah pagi dan malam. Cukup seminggu amalkan rutin seperti ini, memang gian kalau tak pekena macam biasa!

Waktu itu, harga heroin yang dijual dalam bentuk kristal putih dan coklat dalam botol kecil sekitar RM5. Setelah diproses, dapatlah untuk lima batang rokok.
Kegiatan menagih Pak Hashim hanya tergendala setahun selepas mendirikan rumah tangga pada 1979. Pada mulanya isteri tidak tahu namun mula curiga selepas menemui banyak batang mancis berselerak di tepi cermin tingkap bilik mereka.
“Bila isteri jumpa straw, saya tak mampu berdalih lagi. Isteri suruh masuk pusat pemulihan dan saya pun akur,” katanya yang pergi secara sukarela untuk mendapatkan rawatan di Pusat Pemulihan Kuala Kubu, Hulu Selangor selama empat bulan empat hari.

Pengalaman jadikan iktibar
Malangnya, baru saja keluar pusat pemulihan dia sudah tersungkur semula. Semua kerana kawan-kawan kembali mengendeng sambil menawarkan ubat percuma. Isteri Pak Hashim sendiri terpaksa memejamkan mata melihat dia tidak mampu berubah.

Hinggalah satu hari, Pak Hashim meneruskan aktiviti di port biasa yang terletak di Segambut. Siapa sangka, pada hari itu polis melakukan serbuan. Pak Hashim yang sedang lalok antara yang diangkut ke balai.
Selepas seminggu tidur lokap, dia dibawa ke Pusat Serenti Serendah, Selangor. Mahu tak mahu dia perlu menghabiskan masa setahun enam bulan di sana.

“Keinsafan mula datang lepas belajar agama. Dilantik pulak jadi imam muda. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang lagi dan berazam untuk bantu penagih lain yang nak berubah,” ujar Pak Hashim.

Mengimbau proses merawat ketagihan, Pak Hashim menyatakan tempoh paling sengsara adalah fasa detox selama seminggu. Ketika itu badan terasa lemah, sakit dan asyik menguap. Paling tak tahan, bersin tak henti-henti. Setiap kali perkara ini berlaku penagih mesti mandi kerana jika tidak, mereka akan berasa lebih derita.

Sudah resam, penagih dadah pasti pernah dihina. Pak Hashim sendiri melalui pengalaman dicerca dan dimalukan di depan orang lain. Baginya perkara ini tidak wajar malah ada antara orang yang pernah menghina dirinya, kini diuji apabila anak sendiri turut terlibat dengan najis dadah.

Begitu pun, paling tidak boleh dilupakan Pak Hashim ialah melihat kehancuran seorang kawan yang asalnya baik dan sering mengunjungi surau. Disebabkan perasaan ingin tahu, kawan ini mengunjungi port dadah berdekatan rumahnya. Lama kelamaan dia terpengaruh untuk mencuba.

“Biasanya orang guna cara cis dulu (ambil guna rokok atau timah), tapi dia terus guna jarum. Bila dah mula guna jarum, ambil cara lain dah tak rasa.

“Daripada urat lengan dia beralih pada urat kaki, ketiak dan leher. Bila semua urat dah rosak, dia cuba pula celah kelangkang. Lama-lama hiway kat situ turut pecah, rosak dan bernanah,” cerita Pak Hashim.

Sejak itu, kawan tadi jadi seperti mayat bernyawa di port tersebut. Dia hanya mampu menadah tangan mengharap sisa makanan dan dadah dari penagih lain.

Akhirnya, dia meninggal dunia dalam keadaan hina pada usia belum pun 30 tahun.

“Dulu, keburukan dadah belum nampak jelas di mata masyarakat. Sekarang semua orang boleh nampak majoriti penagih hidup gelandangan, kutip kotak, cari besi untuk teruskan hidup. Generasi muda patut ambil iktibar daripada perkara ini,” kata Pak Hashim.

Begitu pun, penyelesaian paling jitu  yang sempat dikongsikan bapa kepada lima anak ini adalah kembali kepada agama dan jangan sekali-kali meninggalkan solat.

Pembelian bas kempen PRU dibiayai sendiri oleh MB Selangor




19 November 2012
Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau membiayai sepenuhnya kos pembelian bas dua tingkat yang akan digunakan pakatan pembangkang sepanjang kempen pilihan raya umum (PRU) ke-13 tanpa melibatkan dana kerajaan negeri.
Abdul Khalid berkata beliau membayar sebanyak RM10,833 sebagai ansuran bulanan bas bernilai hampir RM650,000 yang dibuat melalui konsep sewa beli.
"Bas untuk kempen pilihan raya ini pembeliannya dibuat secara persendirian.
"Saya turut galakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk buat kajian dan saya (sanggup) memberikan dokumen berkaitan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) pada hari pertama persidangan
Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Mohamad Satim bertanyakan sama ada kerajaan negeri melakukan proses audit bagi memastikan transaksi pembelian bas itu betul, telus dan bertanggungjawab.
Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata kos sewa bas berkenaan ditanggung sendiri olehnya untuk tempoh enam bulan dan akan bergerak ke seluruh Semenanjung Malaysia khusus ke kawasan pedalaman bagi memperkenal pemimpin pembangkang kepada rakyat.
Bas yang didaftarkan atas nama Abdul Khalid, dengan lesen diberikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan itu, boleh membawa sehingga 19 penumpang pada satu-satu masa dan dilengkapi dengan pentas mini untuk kegunaan ceramah serta sistem audio yang canggih dan lengkap.- Bernama

Bukan Islam tak perlu guna hudud





Oleh Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my
         
KOTA BHARU: “Itu hak kita untuk melaksanakan hudud, kita tidak paksa orang lain (bukan Islam) mematuhinya,” kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulas sama ada undang-undang Islam itu masih lagi menjadi agenda Pas selepas kini memberi tumpuan kepada matlamat negara berkebajikan.

Beliau menegaskan, pelaksanaan hukum berkenaan tetap menjadi fokus utama sebaik Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.


Katanya, hukum Islam itu akan dilaksanakan terhadap umat Islam saja manakala penganut agama lain tidak termaktub. “Umat Islam wajib patuh tetapi bukan Islam ada hak mereka yang boleh dilakukan tanpa dikenakan hudud.

“Sebagai contoh, jika bukan Islam meminum arak, hudud tak boleh dikenakan terhadap mereka kerana agama mereka tidak melarang,” katanya kepada media selepas ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini, semalam.


Sebelum ini, Isu hudud tidak disentuh langsung oleh Abdul Hadi dalam ucapan dasarnya bertajuk, Negara Berkebajikan Teras Perpaduan.


Sementara DAP pula berkeras menentang pelaksanaannya jika pakatan itu berjaya memerintah negara.

Mengulas tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada Himpunan Kebangkitan Rakyat, Jumaat lalu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, Abdul Hadi berkata, Pakatan Rakyat belum memutuskan siapa bakal dilantik menjadi Perdana Menteri jika berjaya menguasai Putrajaya.


Sebaliknya, beliau menegaskan, fokus utama pembangkang ialah menewaskan Barisan Nasional (BN).

“Sesiapa saja boleh bercakap dalam ceramah tetapi ketetapan belum dibuat, yang penting menang dulu, barulah bincang siapa Perdana Menteri dan bagaimana mekanisme pemilihannya,” katanya.

Pas mahu Hadi jadi PM, DAP nak Anwar






         
SIAPA sebenarnya calon pilihan Perdana Menteri Pakatan Rakyat? Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selama ini dalam siri ceramah atau apa saja program pakatan Pakatan Rakyat, apatah lagi dianjurkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar disebut-sebut dilantik ke jawatan nombor satu negara itu. Begitu juga DAP apabila Lim Kit Siang pada ceramah di Stadium Sultan Muhammad IV Jumaat lalu menyatakan Anwar akan dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.


Nampaknya, nada itu pada hakikatnya tidak seirama dengan Pas. Bagi Pas, mereka bertegas mahu Presiden parti itu dilantik sebagai Perdana Menteri, dan bukan Anwar, jauh sekali Kit Siang.

Hakikatnya itulah suara hati ahli Pas sejak dulu lagi. Ia rahsia terbuka yang terbuku dalam fikiran setiap mereka sejak bekerjasama dalam Pakatan Rakyat. Tiada yang lebih utama melainkan melihat sendiri ‘bos’ nombor satu mereka mengetuai kerajaan jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara selepas PRU-13.


Wakil Dewan Ulama, Hairun Nizam Mat Hussain pada Muktamar Tahunan Pas ke-58, kelmarin menghangatkan suasana dingin medan utama Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa apabila dengan tegas mahu Abdul Hadi mengetuai Kabinet itu nanti. Pada sesi penggulungan semalam, wakil Dewan Muslimat, Aiman Athirah Al-Jundi yang juga Ketua Penerangan turut mengulangi ketegasan ahli parti yang mahu Ahli Parlimen Marang itu dilantik ke jawatan berkenaan. Bukan itu saja, malah mereka mahu Pas menjadi tulang belakang Pakatan Rakyat.


Sejak Muktamar Tahunan Pas 1982, parti itu menyimpan impian untuk menguasai Malaysia. Hasrat merampas kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri daripada Barisan Nasional (BN) menjadi tunggak perjuangan.

Selepas bergerak secara solo berdepan dengan Umno/BN, kini Pas bergabung dengan PKR dan DAP berasaskan konsep tahaluf siyasi atau muafakat politik yang mereka ijtihadkan melalui Majlis Syura Ulama. Persepakatan itu berjaya merampas lima negeri daripada BN pada PRU 2008, kini mensasarkan Putrajaya pula sebagai simbol peralihan kuasa daripada Umno.


Ironinya, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan dalam ucapan dasarnya mengakui bahawa jika menang sekali pun, pakatan pembangkang selepas itu akan bersaing sesama sendiri dek kerana perbezaan dasar. Bak kata orang tidur sebantal, mimpi lain-lain.

Dan persaingan menjadi Perdana Menteri bukan sesuatu yang remeh tetapi ia adalah klimaks kepada ‘persepakatan’ yang dibaratkan palsu oleh pemerhati politik.


Itulah sebenarnya yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Kepada rakyat, mereka mencanangkan persepakatan yang utuh, namun dalam kalangan mereka tidak bersatu. Pas ada impiannya, DAP ada idamannya manakala PKR menghitung hari mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Rakyat boleh menilai sendiri situasi permainan politik pembangkang menjelang PRU-13 akan datang. Muktamar kali ini mendedahkan ketidaksepakatan mereka berbanding BN dan ini juga medan bagi Pas menunjukkan kekuatan mereka kepada DAP dan PKR.

‘Orang Melayu murtad sebab perlekeh Islam’






         
KOTA BHARU: “Murtad ini bukan disebabkan orang Kristian atau paderi. Saya nak kata tidak. Orang Melayu murtad kerana dia sendiri memperlekehkan Islam. Umno tolak Islam, maka nampak dia perlekehkan Islam,” kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau dengan tegas menyatakan pendiriannya sambil menggambarkan Umno jelas menolak Islam berdasarkan dasar perjuangan parti itu selain menyifatkan tindakan itu dianggap murtad.


Menurutnya, tidak kira siapa, malah Umno sekali pun, jika dengan sengaja menolak Islam sudah dianggap murtad.

“Kalau Umno ajak nak jaga Islam, yang ulama kamu (Umno) tolak. Bila Umno buang Islam dari dasar hidup, maka Umno agama apa? Agama apa yang Umno pakai? Kristian ke Buddha ke atau tidak ada agama? “Tidak kira siapa pun, kalau dia tok guru sekali pun kalau murtad, murtadlah. Kalau tolak Islam, walaupun tidak ada mufti beritahu, kalau sengaja tolak Islam, murtad,” katanya pada sidang media selepas ucapan penggulungan sempena Muktamar Pas Tahunan Pas Ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa, di sini, semalam.


Muktamar yang berlangsung sejak Jumaat lalu melabuhkan tirainya selepas tiga hari bersidang dengan ucapan penggulungan disampaikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas yang ada sekarang bukan diwujudkan orang Pas, sebaliknya mereka hanya menyambung perjuangan ulama yang ditolak Umno.

“Pas yang diperjuangkan sekarang ini bukan orang Pas yang buat. Kita tolong membajai Pas yang dibuat Biro Ulama Umno pada 1961.


“Umno ketika itu menolak ulama dia sendiri, jadi bila Umno sekarang nak ajak Pas bela Islam (sedangkan) ulama sendiri dia tolak, mana boleh terima ulama kami (Pas). Ini logiknya,” katanya.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz turut mempertahankan tindakan Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno dihancurkan sempena perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, Jumaat lalu.


“Tak salah doa macam tu. Kalau serangga pun kita bunuh, macam nyamuk dan pacat, kita racun. Tetapi, ini (Umno) menyebabkan akidah, akidah salah. “Apabila Umno tolak Islam, apa taraf Islam? Takkan sebab dia hormatkan Islam, dia buang Islam,” katanya.

Lantai rumah jadi ‘dapur’ segera






         
SEREMBAN: “Seminggu sebelum kejadian ini, tiba-tiba air di dalam mangkuk tandas menggelegak hingga menakutkan saya,” kata Indon Abdullah, 61, yang dibelenggu ketakutan apabila mendakwa rumah didudukinya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, dekat sini, pelik kerana lantainya terlalu panas sehingga boleh memanaskan air.

Menurutnya, dia dan suami, Abdul Rahman Gumpal, 70, menyedari kejadian itu jam 9 malam, Jumaat lalu selepas pulang dari masjid.
“Saya tidak mengesyaki apa-apa kejadian lain sehinggalah jubin panas ini terjadi.

“Ia seperti misteri kerana berlaku secara tiba-tiba dan pertama kali sejak 30 tahun kami tinggal di rumah ini,” katanya di sini, semalam.


Indon berkata, kejadian disedari suaminya apabila mendapati lantai jubin panas di luar rumah berhampiran garaj sehingga mampu mengeringkan air di dalam jag.


“Saya terkejut sebaik suami memberitahu kejadian itu dan tersentak sebaik memijak jubin depan rumah yang panas.

“Saya terus menghubungi Balai Bomba Senawang meminta bantuan, bagaimanapun disahkan tiada apa-apa berlaku.

“Buntu memikirkan masalah ini, saya dan suami kini sedang menunggu Jabatan Mineral dan Geosains negeri datang untuk melakukan pemeriksaan teliti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan, Mustafar Hamzah ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung perkara itu.

Aktivis padam puluhan laman web kerajaan, institusi Yahudi






         
TEL AVIV: Kumpulan aktivis dalam talian yang tidak bernama semalam berkata, ia telah menutup puluhan laman web agensi kerajaan Israel dan bank utama sebagai bantahan terhadap serangan udara negara Yahudi itu ke atas Gaza.

Penggodam itu berkata, operasi mereka bergelar “OpIsrael” sama ada telah merosakkan atau memadamkan sepenuhnya lebih 650 laman web institusi awam dan persendirian, termasuk Bank Jurusalem yang menjadi satu daripada pusat kewangan utama negara Yahudi itu.


“Pangkalan data Bank Jerusalem sudah dipadamkan,” kata kumpulan itu dalam Twitter bersebelahan satu kaitan kepada laman web tidak berfungsi bank itu. Ia juga mendakwa telah menutup sebentar laman web kementerian luar sebagai bantahan terhadap ancaman Israel untuk menghentikan komunikasi Internet di Semenanjung Gaza. - AFP

Dilema tidak mempunyai MyKad




MUHAMMAD SHAH yang tidak mempunyai MyKad menunjukkan perbezaan sijil kelahiran miliknya (kanan) dan anaknya (kiri) di rumahnya di PPR Bukit Mutiara, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Selama lebih tiga dekad, seorang pemotong rumput di sini sentiasa dilanda ketakutan untuk ke mana saja ekoran tidak mempunyai MyKad meskipun sudah berkeluarga dan mempunyai lima cahaya mata.
Muhammad Shah Abdullah, 38, sewaktu menceritakan kisah perit hidupnya mendakwa, polemik bermula apabila keluarga kandungnya dikatakan bertindak membuangnya di sebuah perhentian bas di Bentong, Pahang sewaktu dia masih bayi berusia empat hari.
“Saya kemudian dipelihara oleh seorang bekas anggota polis, Ismail Othman, 63, yang menemui saya di perhentian bas tersebut dan kemudian membesarkan saya di Kampung Sertik, Bentong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Desa Mutiara di sini semalam.
Entah mana silapnya dan ditambah dengan kesibukan bapa angkatnya yang sentiasa berpindah tempat kerja, Muhammad Shah berkata, Ismail seolah-olah ‘terlupa’ untuk membuat MyKad untuknya sehinggalah warga emas itu menghidap penyakit alzheimer.
“Kesan tidak mempunyai MyKad sangat besar kerana percaya atau tidak, saya seorang buta huruf kerana tidak bersekolah sejak kecil. Saya hanya ke sekolah pondok untuk mempelajari ilmu agama.
“Perkahwinan saya pada tahun 2000 juga diurus oleh kadi tanpa saya ketahui bagaimana prosesnya,” katanya yang kini mempunyai lima orang anak berusia antara sebulan hingga sembilan tahun.

Norliana sah tidak mengandung




NORLIANA (kanan) bersama ibunya, Che Som Endut ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelut, Jabi, Pokok Sena Khamis lalu.


ALOR SETAR – Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar mengesahkan Norliana Manaf dari Kampung Kelut, Jabi, Pokok Sena dekat sini yang sebelum ini mendakwa kandungannya hilang secara misteri pada Isnin lalu sebenarnya tidak hamil.
Jurucakap pejabat kesihatan tersebut memberitahu, wanita itu ada mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pokok Sena pada 12 November lalu dan pemeriksaan mendapati tiada tanda-tanda dia mengandung.
Katanya, jururawat klinik itu kemudian merujuk perkara tersebut kepada pegawai perubatan, namun wanita terbabit tidak mendapatkan rawatan doktor sebaliknya terus pulang.
“Pihaknya juga menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang tempat dia mendakwa mendapatkan rawatan sebelum ini dan dimaklumkan bahawa tiada rekod pesakit tersebut di sana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo! pada Jumaat lalu melaporkan Norliana berada dalam kebingungan apabila mendapati bayi kembar berusia sembilan bulan yang dikandungnya didapati hilang secara misteri.