Showing posts with label ktmb. Show all posts
Showing posts with label ktmb. Show all posts

Tuesday, September 21, 2010

Tukaran tanah libatkan laluan KTM disetujui


SALAM MUHIBAH: Encik Lee Hsien Loong (kanan) dengan Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk membangunkan enam bidang tanah di Marina South dan Ophir-Rochor bagi manfaat kedua-dua negara. รข€“ Foto AFP
SINGAPURA
Tapak di Marina South, Ophir-Rochor sebagai ganti tanah di Tg Pagar, Kranji, Woodlands dan Bukit Timah
Oleh
Chairul Fahmy Hussaini 

PERSETUJUAN mengenai soal tukar tanah melibatkan laluan Keretapi Tanah Melayu (KTM) diselesaikan semalam dengan Singapura menawarkan enam bidang tanah di Marina South dan Ophir-Rochor.
Ini sebagai ganti kepada penyerahan tiga bidang tanah KTM di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands dan tiga bidang tanah lagi di Bukit Timah.Malaysia menerima tawaran tersebut.Bagi memastikan faedah hasil langkah tukar tanah itu dapat dinikmati sepenuhnya, ia akan dibangunkan secara bersama menerusi syarikat usaha sama Singapura-Malaysia, M-S Pte Ltd, sebaik-baik sahaja syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengosongkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan berpindah ke Pusat Pemeriksaan Imigresen Woodlands mulai 1 Julai tahun depan.Butir-butir tersebut diumumkan kepada pihak media selepas pertemuan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Istana semalam.Kedudukan keenam-enam bidang tanah itu amat strategik.Empat bidang tanah di Marina South terletak di tengah-tengah kelompok pusat kewangan dan perniagaan di Marina Bay dan tidak jauh daripada resort bersepadu (IR) Marina Bay Sands.Dua bidang tanah yang ditawarkan di Ophir-Rochor pula terletak bersebelahan Kawasan Bersejarah Kampong Glam - dalam lingkungan satu koridor baru yang sedang dibangunkan sebagai lanjutan kepada Kawasan Pusat Bandar (CBD) negara ini.Dalam sidang media semalam, kedua-dua pemimpin menekankan matlamat untuk 'melaksanakan dengan jayanya apa yang telah dipersetujui dan mempereratkan lagi hubungan dua hala'.Encik Lee berkata: 'Saya fikir apa yang dicapai ini telah dapat menyelesaikan perkara yang berbangkit sejak 20 tahun lalu.'Ia adalah satu perkara yang amat memuaskan bagi saya dan Perdana Menteri Mohd Najib di mana kami berjaya mencapai ke tahap ini, yang membolehkan kami melangkah ke depan dan bekerjasama dalam bidang yang lebih luas.'Menyetujui hal itu, Datuk Seri Mohd Najib berkata beliau percaya persetujuan yang dicapai itu amat berfaedah kepada kedua-dua pihak.'Ia adalah satu peningkatan daripada versi asal POA (butiran perjanjian) yang sekali gus menggambarkan iltizam pemerintah Singapura dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sendiri dalam memastikan perjanjian ini bukan sekadar satu perjanjian yang betul dari segi undang-undang, malah dari segi politik, yang mana ia diterima oleh keduadua rakyat Malaysia dan Singapura...'Secara asasnya, kami inginkan perjanjian yang dapat bertahan dalam menghadapi ujian masa.'Jadi kami percaya perjanjian ini akan diterima dengan baik, bukan hanya sekarang, malah pada masa hadapan.'Jika kita mempunyai perjanjian yang hanya berteraskan undang-undang, tanpa mengambil kira keperluan menyeluruh, perjanjian sedemikian nanti boleh dikritik pada masa depan.'Tetapi apa yang dicapai hari ini, saya yakin, dapat bertahan dalam menghadapi ujian masa,' kata beliau.Ini merupakan pertemuan ketiga kedua-dua pemimpin itu sejak Mei lalu bagi menghuraikan isu-isu menyentuh POA yang berbangkit sejak 20 tahun lalu.Datuk Seri Mohd Najib datang ke republik ini dalam bulan itu, sebelum Encik Lee menemuinya di Putrajaya pada bulan berikutnya bagi membincangkan soal penukaran tanah dan persetujuan hanya dicapai di sini semalam.Bagaimanapun, Singapura dan Malaysia gagal mencapai persetujuan berhubung isu caj pembayaran bagi pembangunan tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.Oleh kerana itu, kedua-dua pemimpin bersetuju merujuk hal tersebut ke Mahkamah Tetap Timbang Tara Antarabangsa di The Hague, Belanda.Ditanya tentang hal tersebut, Encik Lee berkata pihaknya merasakan bahawa caj pembayaran itu perlu dibuat tetapi Malaysia menyatakan sebaliknya.'Ia bukan satu isu yang boleh dihuraikan secara asal boleh, jadi kami memutuskan bahawa cara terbaik adalah dengan merujukkannya ke pusat timbang tara dan mencapai penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak,' terangnya sambil menambah bahawa keputusan yang dicapai menerusi timbang tara tidak akan menjejas pelaksanaan POA dan inisiatif-inisiatif lain seperti yang terkandung dalam Kenyataan Bersama bertarikh 24 Mei lalu.Selain isu tanah, kedua-dua pemimpin turut bersetuju bahawa Pasukan Pelaksanaan Bersama harus menamatkan perbincangan mereka pada 31 Disember ini menyentuh butir-butir pelaksanaan POA.




Kata sepakat Singapura dan Malaysia




  • Menggantikan tiga bidang tanah POA di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan tiga bidang tanah di Bukit Timah kepada empat bidang tanah di Marina South dan dua bidang tanah di Ophir-Rochor





  • Rujuk isu caj pembayaran bagi pembangunan tanah di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands ke Mahkamah Tetap Timbang Tara





  • Tubuh syarikat usaha sama, M-S Pte Ltd, bagi pembangunan bersama keenam-enam bidang tanah





  • Pasukan Pelaksanaan Bersama menamatkan perbincangan mereka pada 31 Disember 2010 bagi butiran pelaksanaan POAYang telah dipersetujui sebelum ini





  • Tubuh syarikat usaha niaga yang dimiliki secara 50-50 antara Khazanah Nasional Berhad dan Temasek Holdings Limited bagi pembangunan projek ikonik di Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia





  • Membangunkan bersama sistem pengangkutan gerak cepat Singapura-Johor Bahru





  • Pertingkat khidmat bas Singapura-Johor





  • Pengurangan kadar tol di Linkedua





  • Kerjasama bagi sekitaran dan pelancongan, termasuk kajian bersama rentas sempadan bagi projek berkembar ekopelancongan di kawasan hutan simpan Sungei Buloh di Singapura dan di Sungai Pulai, Pulau Kukup dan Tanjung Piai di Johor





  • Singapura serahkan loji air kepada Johor sebaik tamatnya Perjanjian Air 1961 pada 31 Ogos 2011

  • Tanah KTMB: Mungkinkah rakyat ditipu lagi

    KUALA LUMPUR, 21 Sept: “Adakah rakyat Malaysia ditipu lagi menerusi jualan hartanah terbaru milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)?” tanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
    Menurutnya, tapak seluas 8 hektar dan bernilai RM400 juta itu terletak di belakang bekas ibupejabat Unilever di Jalan Bangsar dan dijual kepada Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad yang kini dikenali sebagai Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), untuk jumlah yang jauh lebih rendah daripada harga semasa iaitu sebanyak RM50 juta.
    Katanya, pelaburan Hartanah Berhad adalah anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, sebuah yayasan ditubuhkan pada tahun 2006 dengan modal RM2 bilion, untuk meningkatkan pemilikan hartanah bumiputra.
    Tanah itu, ujarnya yang dianggarkan bernilai RM500 per kaki persegi, berkemungkinan digunakan sebagai sumber pendapatan tetap untuk KTMB, selari dengan niat awal tanah tersebut yang sepatutnya digunakan untuk kegunaan sistem kereta api.
    Beliau berkata, KTMB juga sepatutnya boleh membangunkan tanah tersebut secara usahasama ataupun menerima pulangan menerusi sewaan tanah yang dapat memberikan pendapatan berterusan bagi KTMB.
    “Cara sebegini adalah cara bagaimana perkhidmatan MRT di Hong Kong dan Singapura serta London Underground mempertahankan perkhidmatan kereta api mereka untuk kepentingan awam,” ujarnya dalam satu kenyataan.
    Menurutnya, mekanisma pulangan sebegini bukan sahaja dapat menyelamatkan prestasi kewangan KTMB yang kini dalam kerugian, tetapi juga berpeluang membantu rakyat menerusi penurunan harga tiket dan penyediakan perkhidmatan yang lebih cekap untuk rakyat.
    Namun, tambahnya kerajaan memutuskan supaya tanah KTMB di Jalan Bangsar ini dipindah milik kepada Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera.
    “Justeru, dapatkah kita andaikan bahawa selepas dibangunkan semula, unit-unit pembangunan akan dijual kepada Bumiputera dengan harga diskaun?” soalnya.
    Beliau juga mempersoalkan memandangkan tanah KTMB diperolehi oleh PHB dengan diskaun sebanyak 80%, bagaimanakah ianya dapat dinikmati oleh golongan bumiputera.
    “Adakah akan terdapat kawalan bagi memastikan pemilikan Bumiputera semasa penjualan unit-unit pembangunan nanti?”
    “Ataupun rakyat terpaksa menelan kekecewaan apabila sekali lagi terpaksa menerima penggunaan tanah kerajaan untuk memperkaya golongan terpilih?” soalnya lagi.
    Justeru, beliau benar-benar berharap bahawa penjualan tanah KTMB tidak dimanipulasikan atas nama mempertahankan hak bumiputera.
    “Kita tidak mahu dasar hartanah Bumiputera disalahgunakan seperti dalam kes PKFZ,” ujarnya.
    Beliau turut memberikan berikut:
    1) Orang tertentu yang berkepentingan akan menggunakan syarikat persendirian (seperti dalam PKFZ) atau agensi kerajaan atau badan berkanun untuk mewajarkan pembelian tanah kerajaan pada kadar diskaun yang sangat tinggi. Perbezaan ini dikenali sebagai jurang nilai.
    2) Semasa fasa pembangunan hartanah, mereka yang berkepentingan akan mendapat faedah sama ada daripada projek usahasama yang berat sebelah, atau melalui kontrak-kontrak yang dianugerahkan kepada kawan-kawan dan keluarga. Ia pastinya dianugerahkan melalui rundingan terus, atau proses tender yang kabur, dengan kos yang melampau, dan akhirnya sub-kontraktor diberi bayaran sangat rendah, supaya untung kontraktor utama dapat dimaksimumkan.
    3) Kos pembangunan yang tinggi melampau itu kemudiannya bolehlah digunakan syarikat yang terlibat untuk mendapat pinjaman kerajaan seperti kes jaminan kerajaan untuk bon-bon persendirian dalam kes PKFZ.
    4) Syarikat-syarikat kroni ini kemudiannya akan menjual pula unit-unit yang sudah siap untuk golongan bumiputera pada harga diskaun. Walaupun dengan diskaun, harga-harganya masih dikira tinggi untuk rakyat biasa.
    5) Pemilik-pemilik bumiputera ini kemudiannya akan dibenarkan untuk menjual hartanah ini pada harga pasaran sebenar (mungkin juga boleh dipaksakan penjualan kepada agensi kerajaan untuk dijadikan pejabat) dengan untung yang sangat besar setelah dicampur dengan jurang nilai.
    6) Untungnya akan mengalir ke tangan-tangan persendirian dan bukannya institusi bumiputera. Ini seperti merompak Ahmad untuk membayar Ali (baba).
    7) Jika projek ini berakhir tanpa nilai komersial dan tidak mendatangkan keuntungan, sudah tentu kerajaan akan sedia untuk menyelamatkannya dan menggunakan hujah membela bumiputera, untuk menegakkan benang basah.
    “Bentuk manipulasi keuntungan ini juga dikenali sebagai ketirisan ekonomi.
    “Sama seperti transaksi tanah KTMB di Tanjung Pagar, Singapura, urusan terbaru ini menimbulkan banyak tanda tanya,” kata Nurul Izzah lagi.
    Ini, katanya seperti satu bentuk subsidi tidak langsung yang hanya menguntungkan segelintir rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, subsidi untuk majoriti sudah ditarik.
    “Saya harap saya salah dalam hal ini. Saya akan memantau perkembangan projek ini dengan lebih dekat, kerana rakyat mengharapkan kepada kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” ujarnya.
    Oleh itu, dalam sesi parlimen akan datang, beliau akan mencadangkan penubuhan kaukus antara parti untuk pelaksanaan dasar-dasar Bumiputera dengan matlamat mengeluarkan laporan tahunan kepada awam tentang hasil dan penerima faedah dasar-dasar itu.
    “Saya harap, rakyat akan menyertai saya dalam menuntut kerajaan bersikap lebih telus dan bertanggungjawab,” katanya.

    Malaysia-Singapura sepakat


    SINGAPURA - Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membawa isu tertangguh berhubung bayaran bagi pembangunan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di republik ini, yang akan dimajukan secara bersama oleh kedua-dua negara, ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa. 

    Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong di Istana di sini, semalam menyebut bahawa kedua-dua pemimpin itu bersetuju menyelesaikan isu berkenaan secara baik melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap. 

    Kenyataan itu berkata, kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang caj yang perlu dibayar melibatkan Perkara-Perkara yang Dipersetujui (POA) berhubung bayaran bagi tiga bidang tanah berkenaan di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands. 

    Tanah terbabit dijangka dimajukan sebuah syarikat usaha sama 60-40, M-S Pte Ltd, yang akan ditubuhkan antara Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia dan Temasek Holdings Ltd dari Singapura. 

    Najib dan Hsien Loong juga bersetuju menerima keputusan mahkamah berkenaan sebagai keputusan muktamad dan perlu dipatuhi. 

    Adalah difahamkan caj pembangunan, yang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingin memajukan sebarang tanah di Singapura, adalah besar jumlahnya sekiranya tiga bidang tanah berkenaan ingin dibangunkan. 

    Perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah berdasarkan POA yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1990, fasal tentang siapa yang perlu membayar caj pembangunan tidak begitu jelas. 

    Singapura membuat tafsiran bahawa syarikat yang akan memajukannyalah yang perlu membayar caj itu, manakala Malaysia pula berpendapat tiada sebarang kos perlu dijelaskan. 

    Bagaimanapun, Najib dan Hsien Loong bersetuju bahawa proses timbang tara berkenaan perlu mengikut laluannya sendiri dan tidak sepatutnya menjejaskan pelaksanaan POA terbabit serta inisiatif dua hala lain yang telah dipersetujui sebelum ini dalam rundingan pertama mereka di sini pada 24 Mei lalu. 

    Dalam rundingan itu, Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Tanjong Pagar, ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands menjelang 1 Julai tahun depan, manakala tiga bidang tanah berkenaan akan diserahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dimajukan secara bersama serta menukar beberapa keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor. - Bernama

    Tuesday, May 25, 2010

    Malaysia setuju serah tanah KTMB di Singapura



    Mei 24, 10 5:28pm
    Malaysia bersetuju memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar di Singapura ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai 2011.

    Malaysia akan juga menempatkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) kereta apinya di WTCP.

    Keputusan itu dicapai pada pertemuan Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Shangri-La Hotel di Singapura.

    Pada sidang akhbar bersama itu, kedua-dua pemimpin berkenaan berkata tanah yang akan dikosongkan itu akan dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan sebelum 31 Dis tahun ini.

    Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu.
    Menurut satu kenyataan bersama, pertemuan Najib dan Lee banyak berkisar kepada Perkara-perkara Dipersetujui (PoA) mengenai tanah KTMB di Singapura yang menjadi penghalang kepada hubungan baik antara kedua-dua negara. 

    Tana
    h KTMB di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah tambahan di Bukit Timah, yang kesemuanya berjumlah 271 hektar, akan diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk dimajukan.

    Menurut kenyataan berkenaan, tanah-tanah yang dimajukan itu boleh ditukar, berdasarkan nilai masing-masing, dengan tanah di Marina South dan Ophir Rochor di Singapura. 

    Kedua-dua negara akan membuat penilaian masing-masing, dan Lee dijangka melawat Kuala Lumpur dalam tempoh sebulan ini, dengan cadangan mengenai penukaran tanah itu untuk pertimbangan Malaysia.
    Bernama

    Stesen KTMB di Tanjong Pagar pindah ke Woodlands Julai 2011



    STESEN KTMB Tanjong Pagar di Singapura yang akan dipindahkan ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands pada 1 Julai 2011 - AFP


    SINGAPURA 24 Mei - Malaysia dan Singapura hari ini bersetuju stesen Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) di Tanjong Pagar di sini akan berpindah ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) pada 1 Julai 2011, seperti yang termaktub dalam perjanjian Perkara-Perkara Yang Dipersetujui (POA).
    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perpindahan tersebut turut melibatkan pemindahan kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Malaysia juga dari Tanjong Pagar ke Woodlands, yang juga satu lagi perjanjian dalam POA, yang ditandatangani pada 27 November 1990.
    Katanya, kedua-dua negara turut sekata untuk membangunkan sebuah perkhidmatan rel pantas atau sistem transit pantas (rapid transit system, RTS) secara bersama bagi menghubungkan Woodlands di sini dan Tanjung Puteri di Johor Bahru, yang bakal beroperasi menjelang 2018.
    "Apabila, RTS itu dapat beroperasi dengan sempurna, Malaysia boleh menimbangkan untuk memindahkan stesen KTMB dan CIQ Malaysia di Woodlands ke terminal baru kereta api di Johor Bahru selepas itu," tambah beliau pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong di sini hari ini.
    Perdana Menteri berada di sini dalam rangka lawatan kerja berkonsep pemukiman selama dua hari, yang bermula semalam. Ini adalah lawatan kedua beliau ke negara republik ini sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 3 April tahun lalu.
    Najib memaklumkan, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk bukan sahaja meletakkan isu-isu berkaitan POA di belakang hubungan baru Malaysia-Singapura yang lebih erat kini, tetapi memberi nilai tambah terhadap perjanjian-perjanjian yang terkandung dalam POA itu.
    "Ini penting bagi memastikan peningkatan lagi perhubungan (connectivity) antara kedua-dua negara dapat melangkah ke tahap yang lebih bermakna dan produktif," jelasnya.
    Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan dua hari itu, Malaysia dan Singapura bersetuju menurunkan kadar bayaran tol di Lebuh Raya Laluan Kedua bagi mengoptimumkan pengunaan jambatan kedua tersebut.
    "Pengumuman mengenai penurunan kadar bayaran tol itu oleh kedua-dua pihak akan diumumkan dalam tempoh sebulan," menurut kenyataan 11 perkara itu.
    Kedua-dua negara juga bersetuju menggandakan laluan perkhidmatan bas sebanyak lapan laluan baru antara Pasar Bakti dan Larkin di Johor dengan dua kawasan resort bersepadu serta dengan Boon Lay, Yishun, Newton dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.
    Kedua-dua negara akan turut menyokong dasar liberalisasi untuk teksi sempadan dengan membenarkan teksi tersebut mengambil dan menurunkan penumpang dalam laluan domestik perkhidmatan teksi berkenaan dan tidak lagi di terminal-terminal teksi yang ditetapkan.
    Sehubungan itu, Singapura akan melaksanakan Sistem Pelepasan Automatik Malaysia (MACS) bagi membolehkan lebih banyak rakyat dan pelancong berulang-alik antara kedua-dua negara.
    Selain itu, Malaysia dan Singapura telah pun menubuhkan Jawatankuasa Pemeriksaan Laluan Darat Sempadan bagi menyelaraskan kerjasama dan pengurusan operasi untuk trafik seberang sempadan. - Utusan

    Perjelas isu KTMB Tanjong Pagar di Parlimen



    Harakahdaily   
    KUALA LUMPUR, 25 Mei: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi penjelasan di Parlimen mengani isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar yang akan berpindah ke Woodlands.
    “Kita menuntut Perdana Menteri menjelaskan butiran perjanjian bersama PM Singapura, Lee Hsien Loong agar rakyat dimaklumkan isu berkenaan dengan ini dengan jelas dan munasabah,” kata Ketua Penerangannya, Mohd Ezli Mashut kepada Harakahdaily.
    Katanya, AMK Selangor melihat seolah-olah Perdana Menteri mudah ‘tunduk  melutut’ kepada permintaan negara-negara luar dalam isu hak dan kedaulatan negara yang bakal merugikan masa hadapan negara.
    “Dalam isu KTMB ini, kita melihat seolah-olah Perdana Menteri tunduk dengan tekanan Singapura apabila dengan mudahnya sanggup bersetuju dengan perpindahan KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands dengan beralasan tanah seluas 12 hektar (29.65 ekar) akan diserahkan kepada sebuah syarikat usahasama yang ekuitinya 60 peratus Malaysia dan 40 peratus Singapura,” ujarnya.
    Luas asal tanah rezab KTM termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar adalah 200 hektar atau 494 ekar (mengikut Singapore Railway Transfer Ordinance 1918) dengan tempoh pajakan selama 999 tahun.
    Menjelang hujung tahun ini, satu syarikat yang diberi nama M-S Pte Ltd yang akan ditubuhkan yang kononnya 60 peratus milik Malaysia dan 40 peratus milik Singapura.
    “Apakah berbaloi Malaysia akur dengan persetujuan ini dalam masa pendek dan panjang?” tanya Mohd Ezli lagi.
    Tambahnya, AMK Selangor mempersoalkan penubuhan syarikat itu berhubung pegangan ekuiti tersebut di mana pada masa akan datang yang mudah dibeli oleh pihak Singapura melalui Temasek Holdings Limited.
    Malahan, katanya sebelum ini Malaysia yang sudah pun kehilangan hak kedaulatan Pulau Batu Putih dan isu pangkalan TLDM Woodlands.
    “Kali ini sekali lagi negara bakal kerugian besar terhadap potensi masa hadapan yang tidak dapat dikenalpasti dan dinilai pada masa sekarang,” ujarnya.
    AMK Selangor juga, tambahnya melihat keputusan perpindahan KTMB ke Woodlands Train Checkpoint pada 1 Julai 2011 dan kemudian ke Johor menjelang 2018 adalah agenda terancang Singapura secara berperingkat ‘menghalau’ hak dan kedaulatan Malaysia sedikit demi sedikit yang kelak merugikan negara.
    Perkara itu ada disebut dalam kenyataan media bersama antara kedua-kedua Perdana Menteri, semalam.
    For the convenience of commuters, the rapid transit system link will have a single co-located CIQ facility in Singapore with the exact location to be determined later. It is targeted that the proposed rapid transit system link will be operational by 2018. Thereafter Malaysia may consider to relocate the KTMB Station from Woodlands to Johor.”
    AMK Selangor juga, katanya lagi menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan di Parlimen pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura perkara-perkara yang dibincangkan yang perlu diketahui oleh rakyat.
    “Kita tidak mahu media-media hanya mengumumkan perkara-perkara yang positif tetapi pada realitinya menenggelamkan isu-isu yang amat penting berkenaan hak dan kedaulatan negara,” ujarnya.
    Justeru, tegasnya AMK Selangor menggesa agar kerajaan bertegas dan tidak mudah tunduk kepada negara luar khususnya yang melibatkan hak dan kedaulatan negara.
    Menurutnya, rakyat tidak sanggup melihat negara kerugian besar di masa hadapan akibat kegagalan Perdana Menteri masa kini melihat dan berpandangan futuristik membuat keputusan tepat dan terbaik untuk negara.
    “Kita menggesa agar rakyat bangkit mempersoalkan kewajaran keakuran kerajaan Malaysia berkenaan isu-isu dengan Singapura mutakhir ini.
    “Kita mahu hak dan kedaulatan negara tidak mudah tergadai dan digadai kepada negara luar dengan mudahnya. Negara ini adalah hak, amanah dan tanggungjawab kita semua bersama-sama,” tegasnya.