Showing posts with label PENGEMIS. Show all posts
Showing posts with label PENGEMIS. Show all posts

Tuesday, August 9, 2011

Jumlah pengemis di Tanah Suci meningkat

MAKKAH: Perbuatan mengemis kini menjadi profesyen bagi mereka yang gagal mencari pekerjaan.
Ia juga menjadi perniagaan yang menguntungkan bagi mereka yang tidak jujur, yang mengeksploitasi golongan yang bersifat simpati dan suka membuat kebajikan.

Sesetengah mereka bertindak lebih jauh dengan berpura-pura sakit atau cacat hanya kerana hendak meraih simpati.

Mereka menggunakan bulan Ramadan sebagai peluang keemasan untuk memperoleh sejumlah besar wang, khususnya dengan mensasarkan jemaah umrah dan pegunjung Masjidil Haram.

Ketika ini, jumlah pengemis di bandar suci Makkah meningkat mendadak.

Pihak berkuasa tempatan berjaya mengusir pengemis dari kawasan tengah tanah suci.
Kesannya, mereka kini tertumpu di kawasan sekitar, termasuk Misfalah, Ajyad, Shubaika dan Hafayer.

Penduduk tempatan, Hosni Ziyada berkata, sejumlah besar pengemis dari pelbagai negara dilihat di jalan utama dan laluan menuju ke kawasan tanah suci serta daerah tempat tinggal jemaah umrah. - Agensi

Pengemis ‘sewa’ bayi diburu

JAKARTA: Polis bandar raya ini berkata mereka akan menangkap pengemis bersama bayi yang bukan anak mereka di jalanan dengan dakwaan mengeksploitasi kanak-kanak.
“Pengemis terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya terbukti bayi berkenaan bukan milik mereka,” kata jurucakap Polis Jakarta, Komisoner Kanan Baharudin Jafar, semalam.

Pihak berkuasa kini memburu pengemis jalanan dan individu lain yang disyaki menghadapi masalah kebajikan sosial. Penduduk dari luar Jakarta biasanya membanjiri bandar raya itu sebagai pengemis ketika Ramadan apabila mereka yang lebih bernasib baik bermurah hati menghulurkan sedekah kepada orang miskin. Pengemis biasanya ‘menyewa’ bayi bagi mendapatkan simpati orang ramai.

Menurutnya, menggunakan bayi orang lain untuk mengemis adalah satu bentuk eksploitasi kanak-kanak yang melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak 2002. “Hukuman melanggar undang-undang berkenaan adalah penjara 10 tahun dan denda sebanyak 200 juta rupiah (RM70,800),” katanya.-hmetro

Monday, March 28, 2011

Ibu, anak antara pengemis ditahan




ANGGOTA Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan menahan seorang ibu yang membawa anaknya berusia 10 bulan untuk mengemis di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun 10 bulan bersama ibunya yang merupakan warga asing antara 13 orang yang ditahan dalam serbuan Ops Pengemis anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan di sini semalam.
Biarpun ada di kalangan mereka yang meronta-ronta untuk cuba melarikan diri dan merayu minta dilepaskan namun lima warga asing dan tujuh warga tempatan itu berjaya dikawal dan ditahan atas kesalahan mengemis.
Ops yang diketuai oleh Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM Wilayah Persekutuan, Mujah Hanaf dibantu 18 penguat kuasa dijalankan di beberapa kawasan ‘panas’ di sekitar ibu negara bermula pukul 10.30 pagi dan berakhir kira-kira pukul 2.30 petang.

Monday, January 31, 2011

Peminta sedekah diberi ‘gaji’ harian


DHAKA: Pihak pentadbir bandar Chittagong akan membayar wang kepada peminta sedekah sepanjang pertandingan kriket Piala Dunia dilangsungkan bulan depan.
Datuk Bandar Chittagong, Manzurul Alam, berkata tindakan itu dibuat bagi mengelak peminta sedekah mengganggu orang ramai atau mencacatkan pandangan sempena pertandingan penting berkenaan.

Katanya, setiap peminta sedekah akan diberi upah RM6.50 sehari.

“Bayaran ini hanya akan diberikan kepada peminta sedekah yang benar-benar cacat fizikal,” katanya.

Pada peringkat ini bantuan berkenaan akan diberi bagi tempoh tiga bulan.

“Kerajaan bercadang memberi tempat untuk pemulihan kepada mereka selepas itu,” katanya.

Manzurul berkata, dia akan bertemu dan berbincang dengan wakil peminta sedekah esok. - AP