Saturday, November 20, 2010

Kumpulan dedah payu dara jadi popular di Ukraine




GAMBAR fail menunjukkan seorang anggota polis menangkap seorang anggota pertubuhan wanita Femen yang mendedahkan payu dara di depan sebuah ibu pejabat polis di Kiev, Ukarine pada 9 November lalu.


KIEV, Ukraine - Bagaimanakah cara untuk memprotes keganasan domestik, rasuah dan lawatan Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin ke Ukraine?
Jawapannya ialah tanggalkan coli anda.
Sekumpulan aktivis muda termasuk wanita semakin menjadi popular kerana mereka melancarkan protes dengan tidak memakai baju.
Wanita-wanita yang mendedahkan payu dara itu turut bergelut dengan anggota-anggota polis yang menangkap mereka.
"Jika seksualiti digunakan untuk menjual kereta dan biskut, kenapakah tidak menggunakannya untuk tujuan sosial dan projek politik," kata seorang pemimpin kumpulan aktivis itu, Anna Hutsul, 26.
Dia yang menjadi anggota pertubuhan Femen berkata: "Kadangkala anda perlu menunjukkan payu dara anda untuk tujuan ideologi."
Kumpulan itu yang ditubuhkan dua tahun lalu kini menjadi pergerakan yang popular sehingga mendapat liputan berita, program bual bicara dan blog gosip.
Anggota-anggota kumpulan itu menjadi amat popular sehinggakan Hutsul merancang untuk melancarkan parti politik bagi bertanding mendapatkan kerusi di Parlimen. - AP
sumber kosmo

Cikgu ajar pendidikan seks betul-betul


Guru wanita laku hubungan seks dengan pelajar

JENNIFER RIOJAS


FORT WORTH, Amerika Syarikat (AS) - Seorang guru sebuah sekolah tinggi di sini yang meletakkan jawatan selepas dia didakwa menjalin hubungan seks dengan seorang pelajar, telah ditangkap polis lapor sebuah akhbar semalam.
Guru itu, Jennifer Riojas turut ditangkap polis pada Rabu lalu atas dakwaan dia melakukan serangan seks terhadap seorang budak lelaki berumur di bawah 17 tahun.
Dia kemudiannya ditahan di sebuah penjara sementara menunggu diikat jamin sebanyak AS$20,000 (RM62,310).
Jennifer yang berumur 26 tahun bagaimanapun semalam turut dituduh menjalin hubungan dengan seorang pelajar berumur 16 tahun.
Aduan polis berhubung perbuatan itu dibuat di sebuah balai polis di ini pada 20 Oktober lalu.
Dia menjadi guru di sekolah tersebut sejak Ogos tahun lalu.
Jennifer meletakkan jawatan sebagai guru di sekolah tersebut pada 21 Oktober lalu. - Agensi
kredit- kosmo

Rosmah Mansor undur diri jawatan Canselor UNISEL





2010/11/20

KUALA SELANGOR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL) bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program PERMATA. 

Rosmah berkata, permohonannya untuk mengundur diri sudah pun mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Ingin saya maklumkan bahawa ini adalah merupakan tugasan terakhir saya dalam Majlis Konvokesyen UNISEL kali ini.
"Permohonan saya untuk berundur diri sebagai Canselor sehingga tamat tempoh lantikan telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Istiadat Konvokesyen UNISEL Kelima di Kampus Bestari Jaya di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Rosmah yang dilantik sebagai Canselor Unisel pada Februari 2006 akan tamat kontrak perkhidmatan Februari depan. - BERNAMA

Sabung nyawa ke sekolah


 

KOTA TINGGI – Abdul Hamid yang telah bekerja selama sepuluh tahun sebagai penghantar murid sekolah di situ berkata, bagaimanapun, sebarang kejadian berbahaya tidak pernah berlaku ke atas murid di sekolah tersebut tetapi berlaku kepada anak penduduk berhampiran. 

“Sepanjang saya membawa sampan menghantar murid ke sekolah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku tetapi seorang kanak-kanak pernah terjatuh di tepi tangga berikutan tiada pengadang dan mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala. 

“Namun kejadian tersebut sepatutnya menjadi iktibar kepada kita dan perlu beringat sebelum kejadian lebih teruk berlaku kepada murid sekolah,” katanya. 

Abdul Hamid berkata, selain tiada pengadang pada jambatan, di jeti juga menghadapi masalah sama menyebabkan murid dari sekolah terbabit tidak berhati-hati sewaktu naik ke dalam sampan. 

“Pengadang hanya ada di jeti pada sudut kanan dan kiri sahaja menyebabkan murid-murid biasanya meloncat sahaja apabila sampan �sampai di jeti,” katanya. 

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Panchor, Mohd Zawawi Musa berkata, jambatan tersebut dilihat semakin bahaya apabila terdapat pantun yang melanggar rakit di kawasan itu menyebabkan kayu berpaku berlonggok terapung di tepi jambatan tersebut. 

“Saya bimbang jika murid tergelincir atau terjatuh ke dalam sungai lalu terkena kayu dan paku di sebelah jambatan,” katanya. 

Menurut Mohd Zawawi, pihaknya telah membuat surat permohonan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama merangkap Exco Kerajaan Negeri, Asiah Mat Ariff, sejak setahun lalu. 

“Pihak sekolah telah pun menghantar surat permohonan kepada Yang Berhormat Asiah pada April tahun lalu melalui Ketua Kampung Panchor, namun masih tidak mendapat sebarang tindak balas. 

“Saya faham, kerajaan terpaksa mengutamakan kepentingan masyarakat yang lebih memerlukan namun pada masa sama saya mengharapkan keselamatan pelajar juga diutamakan. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Mat Ariff berkata, masalah tersebut telah diusulkan kepada pihak bertanggungjawab dan beliau turut berharap masalah itu dapat diselesaikan pada kadar segera. 

“Saya telah mengusulkan masalah itu kepada pihak berwajib dan mengambil sedikit masa bagi membendung masalah ini,” katanya.

Aduan banjir hanya sia-sia



YAN – Beberapa penduduk di Kampung Permatang Keramat dekat sini kecewa kerana masih belum ada tindakan dari pihak berkuasa untuk membetulkan sistem perparitan di kampung tersebut sehingga berlakunya banjir. 

Hujan lebat kira-kira jam 5 petang kelmarin menyebabkan beberapa rumah di kampung tersebut dinaiki air. 

Mangsa, Som Jaafar berkata, banjir telah berlaku di kawasan kampung ini sebanyak empat kali untuk tahun ini. 

“Kalau hujan lebat banjir pasti berlaku. Sudah banyak aduan dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab, namun tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kini. 

“Anak saya akan berkahwin Sabtu ini, tetapi persiapan pelamin terpaksa ditangguhkan berikutan banjir yang turut merosakkan beberapa perabot di rumah saya,” katanya 

Seorang penduduk, Osman Mat Arif berkata, aduan yang disampaikan kepada pihak yang berkuasa hanya sia-sia kerana mereka bersikap tidak ambil peduli. 

“Saya nak mengadu kepada siapa lagi. Saya betul-betul kecewa dengan pihak berkuasa kerana memandang remeh isu ini. Hanya Sinar Harian yang yang menjadi tempat untuk meluahkan perasaan,” katanya. 

Difahamkan, banjir berlaku apabila sebuah tembok dibina di hadapan kampung berkenaan tanpa menyediakan ruang khas untuk pengaliran air terus ke Terusan Wak Saman. 

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Permatang Keramat, Yaakup Lazim berkata, beliau tidak menyedari kewujudan tembok tersebut yang menyekat laluan air untuk ke Terusan Wak Saman. 

“Saya berjanji akan berusaha memastikan isu perparitan ini akan diselesaikan secepat yang mungkin kerana ia sering kali menyusahkan penduduk di kampung ini,” katanya. 

Terdahulu, laporan banjir di Kampung Permatang Keramat pernah disiarkan dalam Sinar Harian sebelum ini, namun masih tiada tindakan yang diambil.

Nak tangkap orang main judi kena berlajar main judi....nak tangkap orang minum arak kena berlajar minum arak he he

Latih jadi pakar judi

KUALA LUMPUR: Anggota dan pegawai polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) akan dilatih menjadi pakar judi bagi membolehkan mereka menggunakan kemahiran itu untuk membanteras kegiatan perjudian di negara ini.
Ini berikutan langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan Makmal Latihan Pencegahan Perjudian bagi memberkas ahli sindiket perjudian. Makmal itu yang ditempatkan di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini bertujuan melahirkan pakar judi yang memahami setiap permainan yang ada kaitan dengan perjudian agar lebih efektif. Mereka juga akan menjalani amali seperti keadaan sebenar yang terdapat di kasino atau pusat perjudian di makmal itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, sebanyak RM198,000 diperuntukkan bagi mewujudkan makmal itu di samping peralatan dan kelengkapan seperti sebuah mesin serta peralatan roulette, tiga meja perjudian, empat mesin perjudian elektronik (slot machines), chip latihan dan beberapa peralatan perjudian lain yang ditaja Genting Malaysia Berhad yang bernilai RM110,000. “Saya berharap langkah ini dapat memberi pendedahan mencukupi kepada pegawai dan anggota untuk melayakkan mereka bergelar pakar judi.

“Mereka yang terpilih diharap dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dalam usaha membanteras kegiatan perjudian di negara ini,” katanya pada sidang media selepas pada Majlis Pelancaran Manual SOP Siasatan, Portal C.I.D Update dan Makmal Latihan Pencegahan Perjudian di Maktab PDRM, di sini, semalam.

Ismail berkata, buku Manual SOP Siasatan pula diterbitkan dalam usaha memantapkan kualiti penyiasatan pegawai penyiasat dan Jabatan Siasatan Jenayah PDRM bagi kes kekerasan iaitu bunuh, rogol, samun dan samun bersenjata.

“Buat permulaan sebanyak 3,000 naskhah membabitkan kos RM150,000 diterbitkan yang menjadi panduan asas kepada pegawai penyiasat untuk mempunyai ilmu penyiasatan tinggi, cekap dan profesional.

“PDRM turut membangunkan sebuah portal dikenali Portal CID Update dengan menggunakan sistem teknologi maklumat PDRM, terkini dan dibangunkan tanpa kos,” katanya.

Beliau berkata, kewujudannya memberi kemudahan dalam pengedaran laporan dan memantau perkembangan siasatan serta mempercepatkan proses hebahan berita, laporan, aktiviti dan arahan semasa. “Portal ini juga sebagai media hebahan dan pengumuman aktiviti Jabatan Siasatan Jenayah melalui modul buletin, memantau pergerakan dan penugasan pegawai serta menjadi sumber rujukan dan perpustakaan kepada pegawai Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya.-metro

Hantaran RM22,000

SEPADAN...Elyana bersama suami selepas majlis akad nikah.
SEPADAN...Elyana bersama suami selepas majlis akad nikah.


AMPANG: Penyanyi dan pelakon, Elyana selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihannya, Khairul Anuar Hussin, 35, dalam upacara akad nikah yang berlangsung meriah di Duchess Place, di sini, malam tadi.
Dengan sekali lafaz, pasangan berkenaan selamat diijabkabulkan oleh bapanya, Emrizal Shamsuddin pada jam 9.30 malam.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 23, menerima mas kahwin RM80 dan hantaran RM22,000.

Dia kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden biru Tiffany sedondon dengan pasangannya hasil sentuhan pereka tersohor, Hatta Dolmat.


Elyana juga menerima tujuh dulang hantaran antaranya tepak sirih, sebentuk cincin berlian, jam tangan, beg dan dompet, set haruman penjagaan badan dan coklat.

Pengantin perempuan turut membalas tujuh dulang hantaran termasuk jam tangan, sepatu, dompet, set haruman dan buah-buahan.

Pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan pada 11 Julai 2009.

Majlis persandingan pasangan itu berlangsung di Duchess Place malam ini dan majlis di rumah pengantin lelaki akan diadakan di Mentakab, Pahang, minggu depan.

Elyana, popular dengan lagu Tak Tercapai Akalmu serta Kalis Rindu selain berlakon dalam filem seram, Seriau serta Gong dan komedi remaja, Dunia Baru.

Enam tahun derita batin

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita menderita nafkah batin dan mendakwa masih dara walaupun sudah bernikah enam tahun lalu gara-gara tersalah pilih suami yang hanya bernafsu kepada kaum sejenis.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Citra, 35, berkata rahsia suaminya itu dirungkaikannya selepas memasang alat perakam di dalam kereta, selain penemuan gambar, maklumat dalam diari serta pendedahan rakan karib lelaki terbabit.
“Hakikat itu amat mengecewakan saya menyebabkan saya terpaksa minta cerai,” katanya sambil memaklumkan segala urusan perceraiannya sudah selesai di pejabat agama sebuah daerah di Selangor, baru-baru ini.

Berkongsi pengalamannya dengan Harian Metro untuk dijadikan pengajaran kepada wanita lain supaya berhati-hati memilih suami, Citra berkata dia mengenali suaminya yang dinamakan M pada awal 2003 selepas diperkenalkan adik sepupunya.


“Pada awal perkenalan, dia cukup sempurna apatah lagi tampil dengan ciri alim selain pandai mengambil hati ibu dan anak saudara yang saya pelihara sejak kematian ibu bapa kanak-kanak itu.

“Mungkin kerana ingin memenuhi kehendak ibu yang mahu saya berkahwin selain terpaut dengan kasih sayang ditunjukkan kepada anak saudara menyebabkan saya bersetuju berkahwin pada Disember 2003 walaupun baru mengenalinya kira-kira tiga bulan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Citra yang memiliki beberapa rangkaian perniagaan berkata, kekurangan atau kelemahan M mula dikesannya sejak awal perkahwinan berikutan kegagalannya melayari malam pertama dengan sempurna.

“Namun, saya menganggap ia mungkin masalah biasa bagi pasangan yang baru berkahwin dan terus mencuba walaupun dia seolah-olah hilang bersemangat ketika di ranjang.

“Mungkin agak memalukan untuk diceritakan, namun suami saya langsung tidak mampu mencapai ereksi walaupun dirangsang dengan pelbagai cara,” katanya.

Menurut Citra, sejak itu, pelbagai cara dilakukannya termasuk berpakaian seksi dengan memakai baju tidur sutera selain memastikan fizikal tampil menarik bagi membangkitkan nafsu suaminya.

“Namun, semua itu sia-sia apabila suami seolah-olah sengaja menjauhkan diri. Saya bertanya apa kekurangan diri ini, namun dia tidak dapat memberikan penjelasan munasabah.

“Sebaliknya, ketika cuba mengelak daripada berasmara dia hanya memberi pelbagai alasan tidak logik seperti tak mahu ganggu saya yang keletihan, ingin menonton televisyen terlebih dahulu, mesyuarat di pejabat serta pelbagai alasan lain,” katanya.

Menurutnya, lebih mengecewakannya apabila suaminya itu memberi alasan mati pucuk akibat menghidap kencing manis.

“Tapi, saya tahu alasan itu tidak munasabah kerana kencing manis yang dihidapinya tidak serius apatah lagi usianya yang masih muda.

“Akibat terlalu ingin menimang cahaya mata, saya berusaha menjalani penyemaian benih suami dalam rahim atau IUI selain kaedah bayi tabung uji atau IVF bagi mencapai impian itu.

“Walaupun terpaksa menjalani pembedahan selain mengeluarkan belanja besar sehingga lebih RM30,000, namun kedua-dua usaha terbabit tetap gagal berikutan sperma suami saya lemah.

“Malangnya saya dipersalahkan suami dan dituduh menjadi punca kegagalan mendapatkan cahaya mata,” katanya.

Namun, kata Citra, segala persoalan yang menghantuinya terjawab apabila dia menemui gambar suaminya berpelukan dengan lelaki lain.

Katanya, bukti itu diperkukuhkan dengan penemuan diari M dan pengakuan rakannya yang memberitahu M homoseksual sejak di bangku sekolah.

“Untuk mencari bukti lebih sahih, saya memasang pita rakaman di dalam kereta dan hasilnya saya dapat mendengar rakaman perbualan mengghairahkan suami dengan rakan lelakinya,” katanya.

Akibat tidak tahan dengan penderitaan dialami, dia memutuskan untuk bercerai dengan suaminya dan M bersetuju untuk melepaskannya selepas menyedari rahsianya terbongkar.

“Saya kini lebih lega selepas lebih enam tahun menderita batin dan emosi akibat tidak disentuh dan dilayan selayaknya sebagai wanita bergelar isteri,” katanya.

Lelaki lumpuh mohon bantuan



TAJUL Urus Md. Zain (kanan) melihat keadaan Zainon Ahmad yang lumpuh akibat kemalangan di Kampung Belakang Balai, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, semalam.


MERBOK 19 Nov. - Seorang bekas juruteknik kilang kayu dekat sini merayu bantuan orang ramai bagi mengubati penyakit lumpuhnya selepas terbabit dalam kemalangan pada Ogos lalu.
Zainon Ahmad, 40, dari Kampung Belakang Balai, Bukit Selambau, dekat sini turut memohon sekiranya ada pihak yang sudi membantu menampung kos perubatan dan keperluan asas yang semakin meningkat.
Lelaki yang masih bujang dan tinggal bersama ibu serta neneknya itu memberitahu, dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah setelah terjatuh motosikal ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Merbok pada 8 Ogos lalu.
"Selepas terjatuh pada hari berkenaan, badan saya terus kaku. Saya dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, doktor kata bahagian belakang saya retak. Bagaimanapun, setelah dirujuk kepada pakar, saya diberitahu bahawa bahagian urat saraf tulang belakang mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas dikunjungi Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain, di sini hari ini.
Zainon memberitahu, dia menjalani rawatan di HSAH lebih tiga bulan sebelum dibenarkan pulang dan kini berulang-alik untuk pemeriksaan.
"Saya kini tidak mampu berbuat apa-apa kerana lumpuh. Sedih juga kerana tidak dapat mencari rezeki untuk sara hidup emak dan nenek yang sudah uzur," katanya.
Menurutnya, dia membuat permohonan untuk dapatkan wang pampasan insurans.
"Bagaimanapun, sehingga kini belum mendapat sebarang jawapan," katanya.
Sementara itu, ibunya, Khotijah Hassan, 60, berkata, dia dan keluarga kini hanya bergantung kepada anak-anaknya yang lain untuk menghulurkan bantuan kewangan.
"Sebahagian duit simpanan banyak dihabiskan untuk merawat Zainon," katanya.
Khotijah berkata, selain kos perubatan, dia terpaksa menghabiskan lebih RM300 sebulan untuk membeli lampin dan makanan Zainon.
"Dia tidak mampu buat apa-apa selain terlantar di atas katil. Selain, sakit-sakit sendi, dia juga mengalami masalah lelah dan kahak berlebihan.
"Kami terpaksa berikhtiar cari duit. Adakalanya, ahli keluarga terdekat juga menghulurkan bantuan," katanya.
Sementara itu, Tajul Urus yang juga Pegawai Penyelaras Parlimen Merbok berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyegerakan bantuan bulanan kepada keluarga tersebut.
Beliau juga merayu orang ramai atau sesiapa sahaja untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga Zainon itu untuk mendapatkan rawatan secara berterusan di hospital.
"Di samping itu, saya juga berharap kes ini dapat dipanjangkan kepada pakar perubatan atau mereka yang mempunyai mahir dalam perubatan tradisional untuk tindakan lanjut," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Zainon sekeluarga boleh menghantarkan sumbangan mereka melalui Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menggunakan akaun Zainon Ahmad iaitu 03-072-02-097040-0.
Mereka juga boleh menghubungi Khotijah di alamat: Kampung Belakang Balai, Bukit selambau, 08010 Sungai, Kedah atau menelefon di talian 012-5591412.

Zaid pilih 16 Dis. keluar parti





PETALING JAYA 19 Nov. – Setelah menerima tekanan dan serangan peribadi bertubi-tubi daripada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim akhirnya mengumumkan keluar parti berkuat kuasa 16 Disember ini.
Bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang juga calon Timbalan Presiden parti itu menegaskan beliau berbuat demikian selepas hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti pembangkang tersebut.
Ditanya kenapa 16 Disember menjadi tarikh pilihannya untuk keluar parti, menurut Zaid, ia tidak mempunyai sebarang signifikan namun dipilih hanya kerana beliau sukakannya sama seperti Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyukai tarikh tertentu.
“Mengapa 16 Disember? Saya suka 16 Disember sama macam Anwar suka 16 September. Tiada sebarang signifikan.
“Bezanya, beliau berjanji ramai ahli Parlimen kerajaan akan menyertai pembangkang sedangkan saya hanya mengumumkan untuk keluar parti.
“Surat mengenainya telah saya hantar ke ibu pejabat parti pagi ini,” katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Tropicana Golf & Country Resort.
Menurut Zaid, fitnah, putar-belit serta cerita rekaan oleh para pemimpin kanan PKR telah memaksanya untuk keluar daripada parti tersebut.
Jelasnya, beliau tidak rela bekerjasama dengan pemimpin yang gemar menghina orang lain seperti dilakukan terhadap dirinya.
“Timbalan Presiden, Dr. Syed Hussin Ali dan Azmin Ali kata saya mempunyai niat jahat menggugat kepimpinan parti sejak dari awal. Anwar pula menggelarkan saya ‘kuda trojan dan ‘sore loser’.
“Sukar untuk saya terus berada dalam parti yang mana pemimpin-pemimpinnya anggap saya sebagai ‘orang jahat’. Justeru, saya rasa eloklah keluar parti,” katanya.
Zaid optimis, tindakan para pemimpin PKR itu tidak akan berjaya kerana mendakwa masih ramai yang percaya dan yakin dengan perjuangannya.
“Inilah cara mereka yang tidak ada keyakinan diri. Mereka suka menjatuhkan orang lain dengan harapan dapat digambarkan sebagai pemimpin sebenar,” katanya.
Mengenai keputusannya itu, beliau tidak mahu menganggarkan berapa ramai penyokongnya yang akan turut mengambil jejak sama meninggalkan PKR.
“Kalau saya kata ramai nanti orang kata bohong. Tetapi saya percaya ramai juga... Apa pun, PKR bukanlah mempunyai ramai ahli sangat walaupun katanya ada 400,000.
“Buktinya, ahli yang datang mesyuarat tidak sampai 20,000 pun. PKR adalah parti yang omong dan gempurnya besar. Jadi, saya tidak bimbang,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan tetap mengambil bahagian pada pilihan raya umum akan datang meskipun terpaksa bertanding atas tiket Bebas.
Bagaimanapun tegasnya, beliau sedang berusaha menubuhkan parti baru yang mampu memberi pilihan baru kepada rakyat Malaysia.
“Saya akan bekerja dengan penyokong bagi menghadapi pilihan raya umum seterusnya. Ia sebagai pilihan kepada rakyat. Sesiapa yang mahu terus berhalusinasi dan bermimpi dengan Anwar, mereka boleh teruskan. Tiada masalah.
“Tetapi sesiapa yang mahu lihat politik sebenar berteraskan polisi substantif dan tidak hanya mempergunakan orang lain seperti beliau boleh memilih parti saya,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih banyak mengenai parti barunya itu serta ideologi yang akan dibawa.
“Saya mahu parti yang benar-benar demokratik dan tidak banyak kerenah. Parti yang berteraskan isu kebenaran serta tidak berpihak tetapi berkawan dengan semua tanpa mengira pembangkang atau kerajaan,” katanya.