Tuesday, February 28, 2012

Badrulamin sedia berundur

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:



BADRULAMIN Bahron ditemani isteri pertama, Zumrah Husni hadir ke Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) semalam untuk memberi keterangan berhubung kes khalwatnya bersama seorang isteri orang di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 27 Feb. - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron menyuarakan kesediaan berundur sekalipun didapati tidak bersalah sekiranya dengan langkah itu dapat menyelamatkan perjuangan parti yang jauh lebih besar.

Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu yang ditemui di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini hari ini berkata, perkara itu telah difikirkannya sebelum arahan daripada kerajaan negeri semalam supaya beliau berehat kerana tidak mahu melibatkan sesiapa dalam hal ini.

''Biar saya tanggung sendiri tak apa. Pilihan saya begini, kita masyarakat bertamadun dan bagi saya sekiranya ada perkara yang boleh memudaratkan jemaah atau institusi yang kita wakili, janganlah mereka mudarat, biar saya mudarat seorang.

''Dan ini mungkin tak pernah berlaku di Malaysia tapi di Barat kalau ada skandal seperti ini mereka (pemimpin) tidak teragak-agak untuk meletak jawatan, saya tidak sampai ke situ lagi, sekadar berehat satu atau dua bulan," katanya.

Ditanya mengenai ada pemimpin tertentu yang diketahui turut dikaitkan dengan skandal moral tetapi tidak pernah mengambil keputusan berehat atau meletak jawatan seperti yang ingin dilakukannya, Badrulamin, 52, berkata;

''Itu masing-masing punya pendirian. Tapi saya sayang sangat perjuangan ini, biarlah saya tanggung sendirian."

Diminta mengulas lanjut mengenai nadanya yang agak berlainan hari ini, Badrulamin menafikan ia ada kaitan dengan perpecahan dalaman PKR atau rasa kecewa dengan layanan pemimpin parti dalam kes beliau itu.

Terdahulu, Badrulamin yang tiba di pekarangan bangunan JAIP pada pukul 2.50 petang diiringi isteri pertamanya, Zumrah Husni dilihat berada dalam bilik siasatan selama lebih dua jam.

Ketua Cabang PKR Sabak Bernam itu turut ditemani barisan peguamnya diketuai Mohamed Sazali Abdul Aziz manakala beberapa pemimpin PKR tempatan hanya dilihat hadir kira-kira 20 minit kemudian.

Mereka bagaimanapun tidak menunggu sehingga Badrulamin selesai memberi siasatan yang berakhir kira-kira pukul 5.20 petang.

Mengulas proses memberi siasatan hari ini, Badrulamin, yang mempunyai dua orang isteri dan 10 anak berkata, beliau berpuas hati dengan proses tersebut yang dianggapnya berjalan secara profesional walaupun pada masa sama kecewa dikaitkan dengan laporan ditangkap khalwat oleh JAIP.

Berhubung sama ada masih mengekalkan pendirian tentang diri beliau diperangkap, Badrulamin berkata, kemungkinan tersebut tidak dapat ditolak walaupun pada masa ini tidak dapat mengaitkan mana-mana pihak.

''Namun belum masanya untuk saya buat laporan polis," katanya yang turut enggan membuat laporan polis mengenai dakwaannya yang beliau dipukul oleh hampir 20 lelaki ketika malam kejadian.

Beliau dalam sidang akhbar itu sekali lagi menegaskan tidak bersalah dalam kes khalwat yang dikaitkan dengannya dan mempertimbangkan dengan serius untuk menyaman pihak yang telah mengaibkannya.

Sementara itu, wanita yang dikaitkan dengan Badrulamin tiba di bangunan JAIP kira-kira pukul 3.05 petang ditemani beberapa anggota keluarganya dan difahamkan suami beliau tidak berada bersamanya.

Wanita yang bertugas di sebuah institut kemahiran di Rompin itu kelihatan tenang ketika selesai memberi keterangan di bahagian penguatkuasaan JAIP.

Beliau yang berumur 28 tahun mengenakan baju kurung berwarna kuning turut diwakili peguam yang sama mewakili Badrulamin.

Selepas selesai memberi keterangan, wanita itu yang ditemui pemberita mendakwa dia diperangkap sambil enggan mengulas apabila ditanya mengenai suaminya.

Beliau turut berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan sambil bergegas meninggalkan pekarangan bangunan JAIP pada pukul 6.20 petang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai siasatan yang dijalankan ke atas Badrulamin di bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 hari ini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini sebab saya sekarang sedang mengikuti kursus di Putrajaya," katanya yang enggan mengulas mengenai bilakah suami wanita terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan.


'via Blog this'

Badrulamin, wanita beri keterangan

Kosmo! Online - Negara:



KERATAN Kosmo! semalam.


KUANTAN – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron memberi keterangan mengenai dakwaan kes khalwatnya dengan seorang wanita berstatus isteri orang selama dua jam setengah di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini semalam.

Beliau dilihat tiba di pekarangan bangunan JAIP dengan menaiki kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam pada pukul 2.40 petang dengan ditemani isteri pertamanya, Zumrah Husni serta tiga peguam iaitu Mohamad Sazali Abdul Aziz, Muhamad Irfan Abdullah dan Ahmad Nizam Abd. Hamid.

Soal siasat dikatakan bermula pada pukul 2.50 petang dan berakhir pada pukul 5.25 petang.

Dr. Badrulamin yang berbaju-T putih, memakai jaket hitam serta kopiah dilihat tenang dan sempat melambai tangan kepada para pemberita yang menunggu kehadiran beliau sejak pukul 8 pagi di pekarangan bangunan JAIP.

Turut hadir ialah wanita berumur 28 tahun yang didakwa berkhalwat dengan Dr. Badrulamin.

Wanita yang merupakan isteri orang itu tiba pada pukul 3.05 petang dan selesai memberi keterangan pada pukul 6.20 petang.

Kedua-dua mereka memberi keterangan secara berasingan bagi membantu siasatan selepas didakwa berkhalwat di sebuah hotel di Balok di sini dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi Sabtu lalu.

Ketua peguam yang mewakili Dr. Badrulamin dan wanita itu, Mohamad Sazali berkata, pihaknya berpuas hati dengan proses siasatan tersebut.

“Kita sudah beri kerjasama penuh dan yakin sejak dua tiga hari lalu, isu ini digembar-gembur oleh media adalah lebih kepada fitnah dan spekulasi.


'via Blog this'

Orang mati masih terima bantuan

Kosmo! Online - Negara:


IPOH - Sikap terlepas pandang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak yang masih menyalurkan bantuan kebajikan kepada individu yang sudah lama meninggal dunia mendapat teguran Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) negeri.

Pengerusi PAC Perak, Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar (gambar) berkata, Jabatan Audit negeri mendedahkan bantuan kebajikan berkenaan yang sepatutnya dihentikan itu selepas penerima meninggal dunia tetap disalurkan selama beberapa tahun.

"Ada kes yang waris tetap mendapat bantuan kebajikan bulanan walaupun penerima sudah meninggal dunia sejak 2009 lagi. Sebanyak sembilan kes dikesan di Ipoh, Taiping dan Manjung melibatkan peruntukan hampir RM9,000.

"Walaupun tidak melibatkan peruntukan besar tetapi ia tetap perlu diberi perhatian serius. Sehubungan itu, saya telah memanggil Pengarah JKM Perak untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan hari ini (semalam)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PAC Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Audit Perak, Datuk Seri Shamsiah Daud.

Raja Ahmad memberitahu, perjumpaan selama hampir dua jam itu mengenal pasti antara punca masalah itu berlaku kerana sikap tidak prihatin segelintir pegawai JKM peringkat daerah yang tidak mengemas kini data penerima.

Selain itu, pembayaran secara tunai kepada waris yang merahsiakan kematian penerima selama bertahun-tahun antara faktor ketirisan tersebut.

"Sehubungan itu, PAC Perak mencadangkan pembayaran secara tunai kepada waris dihentikan sebaliknya diganti dengan pembayaran melalui bank sepenuhnya.

"JKM negeri juga disaran lebih menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kemajuan dan Keselamatan Kampung bagi memudahkan data penerima bantuan kebajikan dikemas kini," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Raja Ahmad memberitahu, JKM juga memberi jaminan akan mengambil tindakan disiplin kepada kakitangannya yang terbukti lalai sehingga berlakunya kesilapan tersebut.


'via Blog this'