Wednesday, September 10, 2014

Jangan kerana isu MB, Pas pula berpecah

Isu MB Selangor
SHAH ALAM - Pucuk pimpinan Pas perlu duduk berbincang bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti itu sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Fuad Mad Jali berkata, isu Menteri Besar Selangor sepatutnya tidak mengheret Pas untuk turut sama bergolak seperti PKR.

“Pas sepatutnya lebih terbuka dalam isu ini dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh presiden,” katanya.

Menurutnya, keadaan ketika ini agak merisaukan apabila sudah ada tanda-tanda perpecahan apabila dua kumpulan berbeza dalam Pas semakin lantang bersuara.

“Perselisihan antara kumpulan ulama dan profesional nampak jelas, jika tidak dikawal dikhuatiri akan memberi impak kepada keseluruhan parti dan akhirnya menggugat sokongan rakyat,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, politik berpuak wujud dalam semua parti, namun apa yang merisaukan apabila masalah itu tidak dikawal dengan baik.

Beliau berkata, Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang akan berlangsung bulan ini adalah jalan terbaik untuk memulihkan keadaan dalam parti.

“Pasti akan ada timbul banyak persoalan daripada perwakilan, namun itulah jalan terbaik untuk beliau jelaskan kenapa keputusan (berkaitan isu Menteri Besar Selangor) diambil.

“Selain itu, inilah masalah untuk ulama dan profesional berwacana bersama bagi mencari jalan penyelesaian di atas kemelut yang berlaku,” katanya.

Akta Hasutan: Wan Ji mengaku tidak bersalah

Wan Ji Wan Hussin - Foto Facebook Wan Ji Wan Hussin
Wan Ji Wan Hussin - Foto Facebook Wan Ji Wan Hussin
SHAH ALAM - Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghasut terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dua tahun lalu.
Wan Ji Wan Hussin, 32, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, menerbitkan perkataan itu dalam laman sosial Facebook kira-kira jam 10 pagi pada 5 November 2012.
Beliau yang diwakili peguam Radzlan Jalaludin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Slamat Yahya.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azari Harun.
Terdahulu, Sinar Harian Online melaporkan, Wan Ji yang juga bekas Ahli Jawatan Kuasa Pas Selangor, ditahan polis awal pagi tadi di hadapan sebuah restoran di Sungai Buloh, dekat sini kira-kira jam 1.30 pagi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Akta Hasutan: Bekas AJK Pas Selangor ditahan]

Siapa sebenar pengkhianat dalam Pas?

Nik Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Abduh Nik Abdul Aziz
PRESIDEN Pas dituduh khianati PR kerana namakan calon MB daripada Pas. Mari amati kisah pengkhianatan. Hakikatnya, pengkhianatan lebih awal bermula daripada dua gerangan yang saling berkerjasama;

1) 2 pengkhianat daripada Adun Pas yang melompat memberi sokongan kepada PKR. Ia memulakan kerosakan kepada kestabilan dalaman Pas.

2) Pengkhianatan PKR terhadap setiakawan dengan Pas dalam PR apabila menerima pengkhianatan dua Adun Pas dengan mengiktiraf sokongan mereka kepada PKR.

Sebagaimana 2 Adun itu memutuskan wala' dan kesetiaannya kepada presiden, begitu juga PKR telah memutuskan kesetiakawanannya dengan Pas.

Siapa pun yang menginsafi, dia akan memahami apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh Presiden Pas apabila;

1) Partinya dikhianati dari dalam oleh ahlinya sendiri.

Anda sedang melihat apa yang sedang bergolak di dalam Pas sekarang. Ia sememangnya bermula daripada kisah pengkhianatan dua Adun ini.

2) Partinya dikhianati dari luar oleh rakan sendiri.

Anda juga sedang melihat -akibat pengkhianatan PKR-  pergolakan dalam PR akibat Pas kehilangan taruhan kuasanya di dalam menentukan kelangsungan kerajaan TSKI yang Majlis Syura Ulama Pas putuskan untuk mempertahankannya.

Apa pilihan yang harus dilakukan Presiden? Ada dua pilihan;

1) Terus bertindak drastik dan keras dengan mendorong parti Pas ke arah keluar daripada PR. Pengkhianatan, daripada sudut hukum, semestinya menjadi faktor utama pembatalan tahaluf siyasi.

2) Bersikap dan bertindak lebih budiman dengan memberi peluang dan masa agar mampu memperbaiki keadaan dan memulihkan dalaman Pas dan hubungan dengan PKR dan PR.

Presiden telah memilih pilihan kedua.

Tindakan itu telah menerima pujian awam apabila Pas  melalui mesyuarat 17 Ogos 2014, memutuskan bersetuju memberikan sokongan sementara kepada TSKI (Ini pastinya dilihat bercanggah dengan keputusan asal Majlis Syura Ulama dan mengejutkan pihak yang menyokong TSKI) dan mengemukakan dua nama calon MB baru, termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail(yang juga dilihat bercanggah dengan keputusan asal Majlis Syura Ulama).

Lihat, alangkah berjiwa besarnya Presiden. Beliau mampu mempengaruhi Majlis Syura Ulama agar menerima hakikat PR perlu diselamatkan.

Malang tak berbau!

Keputusan 'emas' itu hanya mampu bertahan lima jam!

Petangnya, tanpa kehadiran Presiden Pas, mesyuarat PR memutuskan hanya satu nama akan dipersembahkan kepada istana iaitu Wan Azizah. Alasan penarikan diri Azmin Ali adalah menarik dan diterima.

Di sinilah bermula Pas dilabel sebagai parti U-turn.

Presiden kini berhadapan dua kemelut yang tiba-tiba;

1) Kegagalan wakil Pas ke mesyuarat PR yang diketuai Timbalan Presiden untuk mengembalikan semula keputusan penarikan diri Azmin Ali ke meja mesyuarat Pas. Menghantar hanya satu nama ke istana bukan sama sekali keputusan mesyuarat Pas yang telah menetapkan dua nama.

Ia bermaksud presiden berhadapan situasi kritikan dalaman yang tajam akibat keputusan yang lemah dalam mesyuarat PR.

2) Ketegangan dengan pihak istana yang memberi isyarat awal penolakan terhadap pencalonan Wan Azizah. Tambahan pula, istana masih memberi sokongan padu kepada TSKI.

Menjaga hubungan dengan pihak istana adalah polisi Pas yang diterima masyarakat awam yang mahukan keharmonian di antara institusi kuasa diwujudkan.

Apa pula yang presiden harus lakukan selepas badai hanya mampu bertenang sekadar lima jam?

Ya, presiden terus dengan sikap budiman. Beliau menerima hakikat bahawa kelemahan adalah daripada dalam partinya sendiri. Beliau segera ke Kota Bharu, bertemu Mursyidul Am untuk bergagah dengan nilai budimannya itu pada kekuatan suara putus daripada ketua Majlis Syura Ulama. Mursyidul Am telah memberi sokongan padu.

Keadaan mendung tidak berakhir dengan hari yang kembali cerah, malah kilat dan petir mula bersambaran. Tiba-tiba isu Akuan Bersumpah timbul.

13 Adun Pas diasak oleh PKR agar menanda tangani Akuan Bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar baharu. Ia menimbulkan ketegangan dan kekeruhan yang bertambah di dalam dan di luar Pas.

Presiden mesti bertindak dan mestilah segera!

Mesyuarat Pas pada 25 Ogos 2014 keluar dengan keputusan baru yang mengejutkan. Pas memutuskan tidak menghantar sebarang nama dan menyerahkan kebijaksanaan memutuskan isu MB kepada pihak Istana.

Mesyuarat itu dilaporkan kemudiannya bahawa Presiden menggunakan kata putusnya sendiri dan dilapor tidak menerima pandangan majoriti ahli.

Pas mula dipermainkan rakan-rakannya sendiri.

Kemudian, apabila istana membuat keputusan meminta setiap parti menghantar lebih dua nama, PR terus gagal untuk bersatu.

Malah, kemelut dipanaskan dengan isu Presiden Pas mengajak Azmin Ali belot terhadap partinya. Walaupun dinafikan, api itu enggan dipadamkan dan sengaja dibiarkan.

Sekarang, mari kita lihat;

1) Adakah PKR melihat dan memuliakan sikap toleransi yang tinggi itu daripada Presiden Pas? Tidak bukan?

2) Adakah anda melihat sebarang usaha pengenduran daripada PKR di dalam mengurangkan ketegangan dengan Pas? Tidak bukan?

3) Adakah tindakan budiman presiden Pas berjaya meredakan ketidakpuasan beberapa pemimpin Pas yang terus mengkritik beliau, malah terus memuja pengkhianatan dua Adun itu? Tidak bukan?

4) Adakah dalam tempoh tu, DAP sebagai rakan PR berusaha memberi sedikit nafas kepada kestabilan PR? Tidak bukan?

5) Adakah situasi ini berjaya memikat pihak istana untuk menerima penyelesaian daripada dalaman PR? Tidak bukan?

Jadi, siapakah yang memulakan pengkhianatan dan siapakah yang meneruskannya?

Mari melihat kesimpulan saya..

Hari ini, anda melihat apa yang pernah saya tulis sebelum ini bahawa Pas atau Presiden Pas telah sampai ke tahap toleransi tertinggi. Selepasnya, jika tidak disambut baik, maka toleransi berakhir dan Presiden Pas akan mula bertindak..

Saksikan..

Presiden putuskan bahawa PKR dan DAP tidak perlu lagi diajak berunding.. no more

Presiden putuskan untuk menangani isu dalaman Pas dengan caranya sendiri.. juga, no more

Akhir daripada saya, jika semalam anda melihat intimnya hubungan beberapa pemimpin Pas dengan rakan PKR dan DAP untuk mematikan langkah Presiden sendiri, hari ini pula anda sedang melihat para ulama dan pencinta kepimpinan ulama sedang bersahutan dan bertautan menyokong tindakan baharu presiden Pas.

Dan anda telah pun tahu apa sikap saya dan di mana saya. Saya enggan mengelirukan..

Selamat bertarung di 'KuborMove'.. Jumpa di sana.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
AJK Pas Pusat

Insyaalah mudah2an hukuman mati untuk dia atau keturunannya...

Akta Hasutan telah dihapuskan di England pada tahun 2010...

Di Malaysia Buzz Azam mahu Akta Hasutan 1948 dikekalkan dan diperkukuhkan lagi..dgn hukuman lebih berat.. gantung sampai mati....
 — 

Singapura padankan kenaikan baharu tol Malaysia

tol
SINGAPURA - Menteri Kanan Negara bagi Pengangkutan Singapura, Josephine Teo berkata, susulan semakan kadar tol oleh Malaysia pada 1 Ogos, 2014, Singapura mengumumkan hasrat untuk memadankan kadar tol baharu yang diumumkan oleh Malaysia dalam masa terdekat.

Dalam jawapan lisan kepada jawapan lisan kepada soalan yang dibangkitkan di Parlimen bahawa dasar memadankan tol, di tambak dan Link Kedua menggambarkan sifat perkongsian kedua-dua lintasan itu dan memastikan pengagihan adil daripada jumlah hasil daripada lintasan-lintasan itu.

Beliau ditanya sama ada Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) bercadang untuk mengkaji semula dasarnya yang sekian lama memadankan bayaran tol di Tambak Johor dan Link Kedua dengan kadar yang ditetapkan oleh Malaysia pada masa depan.

"Tanpa dasar memadankan tol, kadar tol rendah oleh satu pihak mungkin diimbangi oleh kadar tol tinggi yang dikenakan olah pihak lain yang bersaing," kata beliau.

Josephine berkata, tidak ada jaminan bahawa kadar tol yang ditetapkan oleh satu pihak akan menghasilkan jumlah bayaran yang lebih rendah yang memanfaatkan pengguna.

Kepada soalan lain mengenai sama ada kajian telah dijalankan oleh Singapura untuk menilai prospek kadar tol lebih tinggi ke atas premis perniagaan yang beroperasi di zon Iskandar di Johor, Josephine berkata: "Kerajaan mempunyai maklumat yang terbatas mengenai struktur kos dan keadaan pasaran premis perniagaan Singapura yang beroperasi di zon Iskandar di Johor.

Tetapi jelas beliau, akan ada beberapa implikasi terhadap kos mereka.

Dalam hubungan ini, Josephine berkata: "Kami menarik perhatian kepada laporan dalam media Malaysia bahawa pihak berkuasa Malaysia akan mengkaji semula kadar tol.

"Jika Malaysia mengurangkan atau memansuhkan bayaran tol, Singapura akan mengikutinya. Ini dialu-alukan, saya fikir oleh kedua-dua premis perniagaan Singapura dan Malaysia di kedua-dua belah Tambak," kata beliau. - Bernama

Serah Pengkalan Kubor cetus kekuatan baru PR


SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata penyerahan semula Dun N1 Pengkalan Kubor oleh PKR kepada PAS petanda kekuatan baru Pakatan Rakyat akan bermula.

Penyerahan semula Dun berkenaan kepada PAS setelah dua penggal diberikan kepada calon PKR ujarnya, telah membangkitkan semula semangat juang PAS untuk memperkukuh Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut mengucapkan terima kasih kepada PKR di atas laluan yang diberikan kepada PAS.

Katanya, dengan perpaduan yang dicapai bersama melalui PRK Pengkalan Kubor, Dun ini akan dapat diambil semula.

“Ucapan penghargaan dari kami PAS Kelantan dan terima kasih di atas laluan itu,”ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini memaklumkan parti itu memutuskan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Pengkalan Kubor pada PRK 25 September ini.

Menurutnya, ia sebagai mengambil kira perlunya parti-parti Pakatan Rakyat bertolak ansur, memahami dan berjiwa besar demi kesepakatan menentang Umno BN.

- HARAKAHDAILY 9/9/2014

Zeti dapat penarafan Gred A 11 tahun berturut-turut


Oleh Shahrizan Salian
KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz disenaraikan sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia 2014, iaitu bagi kali ke-11 berturut-turut dalam kaji selidik yang dijalankan majalah kewangan antarabangsa, Global Finance.
Zeti menerima penarafan Gred A oleh majalah itu yang berpangkalan di New York bersama enam lagi pemimpin bank pusat lain termasuk India, Israel, Filipina, Arab Saudi, Switzerland dan Taiwan.
Kad Laporan Ketua Bank Pusat yang diterbitkan setiap tahun oleh Global Finance sejak 1994, memberikan gred kepada gabenor bank pusat di hampir 70 negara seluruh dunia dari skala A hingga F, berdasarkan kejayaan dalam bidang seperti kawalan inflasi, sasaran pertumbuhan ekonomi, kestabilan mata wang dan pengurusan kadar faedah.
Gred A mewakili prestasi cemerlang manakala F mewakili kegagalan sepenuhnya.
Tahun ini, sebanyak 17 bank pusat dinilai buat kali pertama.
Sementara itu, tiga lagi pemimpin bank pusat mendapat gred A, termasuk Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi; Gabenor Bank Pusat Chile, Rodrigo Vergara dan Gabenor Bank Pusat Colombia, Jose Dario Uribe Escobar.
Tan Sri Dr.Zeti Akhtar Aziz. _ Foto Asman Ibrahim
Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang baru memegang jawatan berkenaan pada awal tahun ini, Janet Yellen, pula masih belum diberikan gred oleh majalah kewangan itu.

Schumacher dibenar keluar dari hospital

LUNCUR salji yang menjadi antara kegemaran legenda perlumbaan Formula Satu, Michael Schumacher menjadi punca kepada kecederaannya sehingga koma selama lebih enam bulan. Schumacher dibenarkan keluar dari hospital dan meneruskan rawatan di rumahnya, hari ini.
GENEVA: Legenda Formula Satu (F1) Michael Schumacher dibenarkan keluar dari hospital di Switzerland dan meneruskan rawatan di kediamannya, hari ini.
Ini kali pertama bekas juara dunia tujuh kali itu meninggalkan hospital selepas berdepan insiden meluncur salji pada Disember tahun lalu.
Ia disahkan oleh kenyataan yang dikeluarkan keluarganya, hari ini.
"Sesi pemulihan Michael selepas ini akan dijalankan di rumahnya juga di Switzerland," kata kenyataan itu.
"Jika bersandarkan kepada kecederaan teruk yang dihadapinya, kemajuan sentiasa berjalan sejak beberapa minggu dan bulan lalu. Begitupun, perjalanannya masih sukar dan panjang," kata kenyataan itu. - AFP.

MH17 pecah di udara akibat ditembusi objek berkelajuan tinggi - Penyiasat


LAPORAN awal pesawat MH17 ditembak
THE HAGUE: Laporan awal siasatan nahas Malaysia Airlines (MAS) MH17 menunjukkan pesawat itu pecah di udara akibat kerosakan struktur selepas ditembusi "beberapa objek pada kelajuan tinggi".
Laporan yang dikeluarkan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV) itu juga menyatakan "tiada bukti teknikal atau kesilapan manusia" yang mungkin menyebabkan nahas itu.
Menurut laporan 34 muka surat itu, tiada amaran lisan atau amaran kerosakan sistem pesawat didengar dalam rakaman suara kokpit (kotak hitam) MH17 itu.

LOKASI terakhir pesawat MH17 yang diambil daripada rakaman suara kokpit. Serpihan berselerakan mengikut setiap bahagian pesawat. - Sumber Lembaga Keselamatan Belanda
Komunikasi kru MH17 juga didapati tidak menunjukkan sebarang keadaan luar biasa manakala parameter enjin adalah normal bagi penerbangan itu.
Pasukan penyiasat yang terdiri daripada pakar antarabangsa juga mendapati pesawat MH17 terbang di ruang udara yang tidak dilarang mengikut laluan dan ketinggian yang dibenarkan Pengawal Trafik Udara (ATC).
Hasil laporan itu adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kotak hitam pesawat, ATC, imej satelit dan gambar dari tempat nahas.
Pesawat Boeing 777 itu yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas di timur Ukraine antara Krasni Luch di wilayah Luhansk dan Shakhtarsk, Donetsk pada 17 Julai lalu selepas dipercayai ditembak dengan peluru berpandu darat ke udara.

TRANSKRIP transmisi radio terakhir kru pesawat MH17 dengan Pusat Kawalan Udara (ATC) Dnipropetrovs'k dibuat pada jam 1.19:56 petang sebelum semua komunikasi terputus tiga saat selepas itu.
Semua 298 orang yang berada dalam pesawat itu terkorban.
Kerajaan Ukraine dan negara Barat mendakwa terdapat bukti kukuh bahawa pemberontak pro-Russia yang menembak jatuh pesawat komersial berkenaan dengan sistem anti-pesawat dikenali sebagai BUK.
Bagaimanapun, pihak Russia menyangkal dakwaan bahawa mereka membekalkan sebarang senjata atau peluru berpandu kepada pemberontak itu.
Pakar Belanda, United Kingdom, Australia, Malaysia Amerika Syarikat, Ukraine dan Russia bekerjasama menyiasat nahas berkenaan.
BAHAGIAN dalam bumbung kokpit menunjukkan ia ditembusi oleh beberapa objek dari luar.
GAMBAR menunjukkan permukaan bahagian bawah kiri kokpit terdapat beberapa lubang kecil dan lekuk.
GAMBAR menunjukkan lubang besar (anak panah jingga) dan lubang kecil (anak panah merah).
GAMBAR menunjukkan serpihan bahagian pesawat (jingga) yang ditemui di tapak MH17 terhempas.
Menurut OVV, laporan akhir berkaitan nahas MH17 dijangka dikeluarkan dalam tempoh setahun. - BH Online

Minta duit zakat bayar hutang along


Kuantan: Bukan saja meminta bantuan zakat untuk melangsaikan hutang along, malah ada segelintir masyarakat Islam di negeri ini dikesan sanggup ‘menebal muka’ semata-mata mahu menggunakannya untuk melancong ke luar negara dan membeli kereta.

Timbalan Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, hampir setiap minggu ada saja pasangan datang ke pejabatnya mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan majlis perkahwinan.


Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu jelas menunjukkan mentaliti segelintir masyarakat yang hanya mahu mengambil mudah dengan meminta wang daripada MAIP untuk kepentingan peribadi.



Menurutnya, pelbagai alasan diberikan individu berkenaan untuk meraih simpati MAIP supaya memberikan wang, malah ada yang sanggup merayu serta berbohong demi memastikan matlamat tercapai.


“Kita menerima banyak permintaan daripada individu tertentu untuk mendapatkan wang zakat bagi digunakan melangsaikan hutang dengan along selain mahu menggunakan untuk kegunaan peribadi.


“Mereka juga tanpa segan silu meminta wang zakat untuk melancong ke luar negara, membayar ansuran kereta dan lebih teruk mahu membayar bil bulanan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Selain itu, beliau berkata, alasan mahu cepat kahwin dan tiada sumber kewangan juga digunakan segelintir pasangan yang mahu meminta wang zakat bagi merealisasikan impian mereka bergelar raja sehari.


“Kebanyakan pasangan yang datang sihat tubuh badan, cuma mereka tiada sumber kewangan kerana malas bekerja. Mereka sanggup merayu diberikan bantuan kewangan supaya dapat berkahwin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Siasat isteri menteri


Jakarta: Penyiasat antirasuah mendapat arahan melarang isteri bekas Menteri Agama Indonesia, Suryadharma Ali, dan lima rakannya di parlimen sebagai sebahagian daripada siasatan kes penyelewengan dana haji.

Wardatul Asriah yang menjadi anggota Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dilarang meninggalkan Indonesia selama enam bulan sejak 22 Ogos lalu.

Jurucakap Komisi Pembanterasan Rasuah (KPK) Johan Budi berkata ada kemungkinan Wardatul didakwa di mahkamah jika mereka mendapat bukti mencukupi.

Suami Wardatul, Suryadharma, adalah Ketua Umum PPP dan meletak jawatan sebagai menteri Mei lalu selepas dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah.

Suryadharma juga didakwa menggunakan kuasanya mendapatkan tempat bagi ahli keluarga serta kroninya mengerjakan haji.

Tindakan Suryadharma itu membolehkan mereka mengetepikan bakal haji lain dan sepatutnya menunggu giliran sehingga 17 tahun lagi.

Johan berkata KPK juga mendapat perintah larangan bagi ahli parlimen daripada PPP, Hasrul Azwar serta wakil Parti Demokrat, Gondo Radityo Gambiro, Muhammad Bagowi, Nurul Iman Mustofa dan Ratu Siti Romlah.

Semua mereka adalah anggota jawatankuasa peringkat parlimen untuk memantau hal ehwal haji, manakala Wardatul bertanggungjawab mengawasi hal berkaitan tenaga, teknologi dan alam sekitar.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Pemberontak bebas 650 penduduk


KIEV 9 Sept. - Kumpulan pemberontak pro-Rusia membebaskan 648 penduduk Ukraine yang diculik dalam tempoh lima bulan pertempuran antara tentera Ukraine dan pemberontak.
Sebelum ini, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko ketika dalam lawatannya ke selatan bandar Mariupol berkata, pihaknya berjaya membebaskan 1,200 tahanan sejak gencatan senjata bermula pada Jumaat lalu.
Namun, satu sumber yang dekat dengan Presiden tersebut menjelaskan bahawa Poroshenko berniat untuk menyatakan pihak pemberontak pro-Rusia menculik hampir 1,200 penduduk ketika konflik itu tercetus.
Menurut sumber, lebih 500 tahanan itu djangka dilepaskan tidak lama lagi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140910/lu_09/Pemberontak-bebas-650-penduduk#ixzz3CrRLU19F
© Utusan Melayu (M) Bhd