Showing posts with label NASIHAT. Show all posts
Showing posts with label NASIHAT. Show all posts

Tuesday, May 10, 2011

Hanya bergantung pada nasi


NASI untuk hidangan pagi, tengah hari dan malam.
NASI untuk hidangan pagi, tengah hari dan malam.

LONDON: Seorang katerer yang berdepan dengan pelbagai alahan makanan sejak lebih 10 tahun lalu kini terpaksa bergantung kepada nasi semata-mata.
Micaela Stafford, 53, sebelum ini gemar memakan makanan bergoreng ketika sarapan dan makanan yang dipanggang untuk makan malam. Tetapi kini tubuhnya menolak semua makanan termasuk susu, protein dalam bijirin, gandum, gula, minyak dan lemak.

Ibu dua anak itu menderita reaksi fizikal yang teruk jika memakan apa saja makanan, memaksanya hanya memakan nasi untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.

Pakar perubatan bimbang Micaela boleh menderita masalah kesihatan yang serius yang belum pernah didiagnosa, menghalangnya daripada mendapatkan zat makanan.

Micaela yang berasal dari Loughborough, Leicestershire, berkata: “Jika saya melanggar pantang, saya akan terlantar di atas katil selama seminggu. Tubuh saya tidak boleh berfungsi.

“Kadang kala saya merasakan saya tidak mempunyai tenaga untuk melawannya lagi. Saya putus asa.


“Saya mahukan kehidupan saya kembali. Saya tidak mahu hidup seperti ini. Saya ingin melakukan apa saja, termasuk menikmati kari.

“Saya begitu rindukan ais krim dan makanan pencuci mulut. Saya inginkan sesuatu yang mempunyai rasa. Tetapi ia semakin sukar untuk saya.” Pakar pemakanan, usus dan juga juga ahli neurologi hairan dengan keadaan yang dialami Micaela yang bermula pada 1999 apabila dia pening setiap kali memakan makanan yang berasaskan tenusu.
Semakin lama semakin banyak makanan yang tidak boleh dimakannya dan sehingga ini, hanya tinggal nasi saja.

Jika makan selain daripada nasi, Micaela mengalami sakit kepala berpanjangan dan cirit-birit serta sakit sendi di seluruh tubuhnya. - Agensi

Sunday, December 26, 2010

NASIHAT KEPADA PENGGUNA INTERNET


Susulan daripada hasil  siasatan kes Facebook “Sultan yang Setan” yang mendapati suspek telah menggunakan akaun Internet orang lain dengan cara memecahkan kod keselamatan pada Wireless Router jiran-jirannya untuk melayari Internet dan seterusnya mencipta akaun Facebook "Sultan yang Setan" serta menulis komen-komen di dalamnya. Justeru,  Dato’ Wira Syed Ismail bin Syed Azizan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, telah memberi nasihat-nasihat seperti berikut kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa “berinternet”.

Nasihat kepada pengguna Internet:

1.       Para pengguna internet yang menggunakan Wireless Router hendaklah berhati-hati dan mendapatkan nasihat daripada Internet Service Provider (ISP) masing-masing berkenaan bagaimana untuk meningkatkan tahap keselamatan rangkaian Internet mereka agar keselamatan talian Internet mereka terjamin dan tidak diceroboh oleh orang lain.

2.       Sila matikan (switch off) Wireless Router apabila tidak menggunakan Internet bagi mengelakkan capaian Internet oleh individu yang tidak diundang.

3.       Bagi pengguna media sosial seperti Facebook, MySpace, Friendster dan seumpamanya, perlu berhati-hati dalam mendedahkan maklumat diri mereka seperti gambar, no. telefon dan sebagainya  bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mencuri dan menggunakan identiti mereka di Internet.

4.       Jangan menulis apa-apa komen yang mempunyai unsur-unsur fitnah dan hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Ini akan membawa risiko kepada anda ditahan di bawah Akta Hasutan 1948.

5.       Pengguna Internet hendaklah lebih beretika dan bertanggungjawab terhadap setiap komen atau posting  yang dibuat oleh mereka.

Dato’ Wira Syed Ismail bin Syed Azizan juga menegaskan bahawa pihak polis dengan berbekalkan peralatan dan perisian yang berteknologi tinggi, berkeupayaan untuk mengesan dan menangkap pesalah-pesalah jenayah siber dan kesemua mereka ini akan dibawa ke muka pengadilan.
Dato' Wira Syed Ismail bin Syed Azizan, Pengarah Jenayah Siasatan Jenayah Komersil sedang memerhatikan barang-barang kes yang diperoleh sebagai bahan bukit mahkamah bagi kes facebook "Sultan yang Setan".