Tuesday, December 3, 2013

Budak tanpa tapak kaki mahu jadi pemain bola


Keadaan Gabriel Muniz yang tidak mempunyai tapak serta jari kaki (gambar kecil) tidak menghalang kanak-kanak itu bermain bola sepak. - AGENSI
RIO DE JANEIRO 2 Dis. - Jika dilihat, Gabriel Muniz sama sahaja seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain dan menerokai pelbagai perkara baharu.
Namun, keadaan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu sedikit berbeza berbanding rakan-rakannya kerana dia cacat di bahagian kaki.
Muniz menghidap sejenis penyakit saraf yang dikenali sebagai apodia ketika dilahirkan, menyebabkan dia tidak mempunyai tapak dan jari kaki.
Bagaimanapun, kanak-kanak istimewa itu masih boleh berjalan dan menjalani aktiviti hariannya seperti biasa termasuk bermain bola sepak.
Ibunya, Sandra Muniz berkata, anak lelakinya itu mula berjalan ketika usia 10 bulan.
"Pada mulanya saya beranggapan Muniz tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak lain, namun saya silap.
"Kini, Muniz mampu bermain bola sepak, malah mungkin lebih bagus berbanding rakan-rakanya yang lain," ujar ibunya.
Bakat Muniz berjaya mendapat perhatian kelab bola terkenal iaitu FC Barcelona dan kini dia gigih menjalani latihan untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131203/lu_06/Budak-tanpa-tapak-kaki-mahu-jadi-pemain-bola#ixzz2mNo4D9re
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Gambar Sultan Brunei kawal lalu lintas tersebar


Gambar seorang individu dipercayai Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sedang mengawal lalu lintas, tersebar di Internet selepas polis pengiringnya terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Muara-Tutong. - AGENSI
BANDAR SERI BEGAWAN 2 Dis. - Gambar seorang individu dipercayai Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sedang mengawal lalu lintas selepas dua polis pengiringnya terlibat dalam kemalangan di sini, semalam, tersebar dalam laman sosial.
Menurut Brunei Times, kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 5.40 petang semalam di Lebuh Raya Muara-Tutong dekat Taman Jerudong.
Insiden berlaku ketika dua polis pengiring menghentikan kereta lain bagi memberi laluan kepada kereta dinaiki baginda.
Namun, sebuah kereta meluru laju lalu merempuh seorang polis pengiring serta sebuah kereta lain, sebelum kereta kedua itu merempuh seorang lagi polis pengiring.
Seorang daripada mangsa dimasukkan ke hospital akibat retak bahu dan tangan kiri, sementara seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan.
Baginda dipercayai turut membantu mengawal lalu lintas, namun kesahihan gambar itu tidak dapat dipastikan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131203/lu_05/Gambar-Sultan-Brunei-kawal-lalu-lintas-tersebar#ixzz2mNnrMqxP
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Serah kuasa, atau...

Bangkok: Pemimpin tunjuk perasaan antikerajaan Suthep Thaugsuban semalam memberi kata dua kepada Perdana Menteri Yingluck Shinawatra supaya menyerahkan kuasa kepada rakyat dalam tempoh dua hari.
Bercakap kepada pemberita di kompleks kerajaan di Bangkok, Suthep berkata kata dua itu dinyatakan ketika dia mengadakan perjumpaan bersama semua pegawai atasan tentera, termasuk Panglima Tentera Thailand, tentera Jeneral Prayuth Chan-Ocha pada jam 8.30 malam kelmarin.

Bagaimanapun, Suthep tidak mendedahkan lokasi pertemuan berkenaan, sebaliknya berkata ia diadakan bukan untuk mencari jalan berunding dengan Yingluck.
“Sebaliknya pertemuan berkenaan dibuat untuk menegaskan pendirian Jawatankuasa Pembaharuan Demokratik Rakyat (PDRC),” katanya.

Menurut Suthep, peletakan jawatan Yingluck dan pembubaran parlimen tidak mencukupi untuk menyelesaikan konflik politik di Thailand. “Tiada rundingan dan tiada kompromi. “Selepas ini tiada lagi pertemuan sehingga kemenangan berpihak kepada rakyat,” katanya. Suthep berkata, tentera juga menegaskan mereka akan memihak kepada kepentingan negara. Sementara itu tiada sebarang pengesahan mengenai dakwaan Suthep, sama ada daripada tentera atau pejabat Yingluck. - Agensi
Foto
PENUNJUK perasaan antikerajaan Thailand mengibarkan bendera kebangsaan ketika disembur air di Bangkok, semalam.

Hishammuddin masuk hospital, saluran arteri sempit

 Datuk Seri Hishammuddin Tun HusseinDatuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dimasukkan ke sebuah hospital swasta hari ini selepas mengalami masalah saluran arteri yang sempit.

Setiausaha Akhbarnya Azmi Akop berkata doktor telah menjalankan prosedur angioplasti pada 3 petang ini, semuanya berjalan dengan baik dan keadaan Hishammuddin, 52, stabil.

"Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada tengah hari tadi, dan telah diminta untuk berehat oleh doktor yang merawatnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun kurang pasti sama ada Hishammuddin akan menyertai Persidangan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini yang berlangsung mulai hari ini hingga Sabtu.

"Segalanya bergantung kepada tahap kesihatan Naib Presiden Umno itu dan atas kebenaran doktor yang merawatnya," katanya. - Bernama

Hamba moden

Hamba moden
Gambar hiasan
WALAUPUN dunia hari ini semakin menuju arus kemodenan, perhambaan yang wujud sejak ratusan tahun nyata tidak pernah lenyap.

Dua minggu lalu, gempar apabila polis Britain menyelamatkan tiga wanita termasuk seorang warga Malaysia selepas didakwa menjadi hamba domestik selama lebih 30 tahun di sebuah rumah di selatan London.

Sehubungan itu, pegawai polis daripada Unit Pemerdagangan Manusia menahan dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita, kedua-dua berusia 67 tahun sebagai sebahagian daripada siasatan.

Siasatan dilancarkan bermula Oktober lalu selepas sebuah badan kebajikan menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mengatakan dia dikurung tanpa kemahuannya di dalam sebuah rumah sejak lebih 30 tahun lalu.

Mangsa, seorang rakyat Malaysia berusia 69 tahun, warga Ireland berusia 75 tahun dan seorang warga Britain berusia 30-an kini dibawa ke tempat lebih selamat.

Menurut Ketua Unit Pemerdagangan Manusia Polis Metropolitan, Kevin Hyland, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan trauma dan wanita mangsa termuda yang dikurung berkemungkinan dilahirkan ketika dalam kurungan.

“Pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh berlakunya penderaan seksual ke atas mangsa dan tidak tahu hubungan antara mangsa dan suspek.

“Kes perhambaan selama 30 tahun ini adalah luar biasa dan kami memuji tindakan badan kebajikan yang menyokong untuk membantu mangsa. Siasatan besar-besaran telah dilancarkan untuk mewujudkan fakta bagi pertuduhan ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas badan kebajikan, Aneeta Prem berkata, kesemua mangsa mengalami penderaan mental dan fizikal.

“Cerita begini sememangnya jarang berlaku. Bagaimanapun, saya pernah mendengar ia berlaku di luar negara tetapi tidak di kota London,” katanya.

Proses pemulihan

Pakar Psikologi dari Sydney, Dr David Russell menyifatkan, peralihan semula ke dunia biasa akan mengambil masa kerana mangsa perlu menyesuaikan diri.

Menurutnya, ramai mangsa penculikan mengalami Sindrom Stockholm, di mana mereka mula membentuk hubungan dengan si penculik.

“Sesetengah mangsa tidak boleh pulih dan ada yang memerlukan lebih lima tahun untuk pulih dan menyesuaikan diri dengan masyarakat.

“Saya rasa mangsa perhambaan ini memerlukan penjagaan dan bantuan mungkin sepanjang hayat mereka,” katanya.

Perhambaan moden meluas

Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May berpendapat, perhambaan moden adalah meluas di Britain dan musuh sentiasa ada di mana-mana termasuk di kedai, padang, kilang dan mungkin di sebalik langsir.

“Menangani jenayah yang saya anggap hina ini kini menjadi keutamaan. Cara terbaik untuk melindungi dan mengurangkan bilangan mangsa perhambaan adalah mensabitkan kesalahan dan memenjarakan kumpulan penjenayah ini yang melibatkan pemerdagangan manusia,” katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan Britain akan menangani jenayah ini dan menjadikannya keutamaan bagi Agensi Jenayah Kebangsaan yang baru di mana hukuman maksimum akan ditingkatkan seperti penjara seumur hidup dan mewujudkan Pesuruhjaya Anti-Perhambaan.

Ibu pejabat polis jadi sasaran

SALAH seorang penunjuk perasaan antikerajaan terkena semburan air dekat ibu pejabat polis di Bangkok.


BANGKOK - Pemimpin penunjuk perasaan Suthep Thuegsuban yang dikenakan waran tangkap berkata, beliau akan berhenti berpolitik tetapi akan terus memimpin tunjuk perasaan, lapor agensi berita Bernama semalam.
Beliau mengumumkan petang tadi bahawa beliau tidak akan kembali menyertai Parti Demokrat yang menjadi pembangkang di Dewan Perwakilan tetapi menegaskan akan menduduki ibu pejabat polis metropolitan hari ini.
Suthep berkata apa yang beliau lakukan tidak mempunyai kaitan dengan parti itu.
"Banyak mana pun mereka melepaskan gas pemedih mata terhadap kami, kami akan mengepung ibu pejabat polis metropolitan pada hari ini," katanya kepada penyokongnya di kompleks kerajaan yang kini menjadi kawasan tunjuk perasaan mereka.
Beliau berkata, mereka akan menuju sasaran pada pukul 7 pagi dan dijangka dapat menguasainya pada pukul 3 petang.
Ibu pejabat polis Bangkok itu menjadi sasaran kerana pihak polis disyaki tidak bersungguh-sungguh mengawal pertempuran antara penunjuk perasaan antikerajaan dan prokerajaan Baju Merah di Universiti Ramkamhaeng pada Sabtu lalu yang menyebabkan kematian dan kecederaan, katanya.
Sekurang-kurangnya tiga orang mati dan 50 lagi cedera dalam tunjuk perasaan yang berlaku pada minggu lalu selepas kumpulan antikerajaan dan prokerajaan bertempur.
Para penunjuk perasaan turut menduduki Pejabat Bajet dan sebuah kompleks yang menempatkan beberapa buah kementerian.
Kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan itu turut menguasai sebuah stesen televisyen milik kerajaan.
Stesen televisyen itu kemudian menyiarkan ucapan Suthep yang meminta semua kakitangan kerajaan berhenti bekerja sehingga krisis politik di negara ini berakhir.
Suthep yang merupakan bekas timbalan perdana menteri menyatakan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bahawa kerajaan yang ada ketika ini perlu menyerahkan kuasanya kepada rakyat dalam tempoh dua hari.
Suthep berikrar akan mengulingkan Yingluck yang dianggap boneka kepada bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.
Thaksin merupakan abang Yingluck.
Yingluck merupakan pemimpin parti Pheu Thai.
Ketika memberi reaksi balas terhadap permintaan Suthep itu, Yingluck berkata, tuntutannya itu tidak mengikut perlembagaan.
"Saya tidak bermaksud kami menolak permintaannya tetapi kami tidak tahu bagaimana untuk menjadikan tuntutan Suthep menjadi realiti," kata Yingluck.
Yingluck berkata, beliau masih bersedia untuk menerima pelbagai cadangan untuk menyelesaikan krisis politik di Thailand.
Kelmarin, beratus-ratus penunjuk perasaan yang mahu menggulingkan kerajaan Thailand menyerbu sebuah kelab polis tempat Perdana Menteri Yingluck berada di sini sekali gus memaksa beliau meninggalkan tempat tersebut dan menuju ke satu lokasi rahsia.
Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 sebelum didapati bersalah atas tuduhan rasuah dua tahun kemudian.
Beliau hidup di luar negara sejak tahun 2008 untuk mengelak daripada hukuman penjara tetapi masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam kerajaan pimpinan Yingluck.
Tunjuk perasaan itu bermula pada 24 November lalu dengan para penunjuk perasaan berhimpun di beberapa buah bangunan kerajaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2mMXL2Ik4 
Hakcipta terpelihara