Showing posts with label hajat. Show all posts
Showing posts with label hajat. Show all posts

Tuesday, March 29, 2011

Penyewa pasar mahukan keadilan




SEBAHAGIAN peniaga Pasar Besar Arked MPKB mengadakan solat hajat di pasar tersebut di Kota Bharu semalam. Gambar kecil, beberapa peniaga berdoa selepas solat hajat.


KOTA BHARU - Hampir 300 peniaga Pasar Besar Arked MPKB mengadakan solat hajat sebagai ikhtiar bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut perpindahan mereka ke Bazar Tok Guru yang sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri Kelantan.
Solat hajat yang bermula pukul 8.45 pagi semalam yang diadakan di ruang bawah bangunan pasar tersebut turut dihadiri Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Ab. Salim Ahmad dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh.
Ab. Salim berkata, solat hajat itu merupakan salah satu ikhtiar yang dibuat oleh peniaga kecil di pasar berkenaan bagi menyelesaikan masalah yang dilihat masih belum menemui jalan penyelesaian itu.
"Solat hajat ini diadakan selepas kami ditimpa musibah serta dianiaya selain mengharapkan Allah buka pintu hati pemimpin terbabit untuk mengadakan perbincangan.
"Kami bukan keras kepala untuk tidak berpindah tetapi mahu dapatkan keadilan. Kami juga telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan perbincangan tetapi tidak dapat jawapan," katanya ketika ditemui semalam.
Isu perpindahan 415 peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked Lambak UDA menjadi kemelut berpanjangan apabila mereka mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak memenuhi janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum 2008 iaitu menyediakan ruang niaga yang selesa sebagaimana dipersetujui.
-kosmo

Thursday, December 2, 2010

Hajat tak sampai




SENAWANG – Hasrat seorang warga Singapura untuk mendapatkan sijil rasmi Taraf Kewarganegaraan Malaysia tidak kesampaian apabila dia disahkan meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya, dekat Rumah Pangsa Rakyat Bersepadu di sini, awal pagi semalam.

Allahyarham Baki Omar, 70, yang menantikan sijil kerakyatan itu diserahkan kepadanya hujung minggu ini juga tidak menjadi kenyataan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rasah, Senator Datuk Mohd Najeeb Abdullah ketika ditemui berkata, arwah telah lama membuat permohonan untuk mendapatkan sijil kerakyatan tetapi usahanya menemui kegagalan.

“Sejak arwah menetap di negara ini kira-kira 30 tahun lalu, arwah telah berusaha keras mendapatkan sijil kerakyatan Malaysia tetapi permohonannya sebelum ini ada masalah.

“Bagaimanapun, selepas saya menguruskan segala dokumennya dan merujuk semula kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), akhirnya permohonannya diluluskan pada Oktober lalu tetapi sayangnya apabila semuanya sudah selesai, arwah pula pergi meninggalkan kita selama-lamanya sebelum sijil berkenaan sempat diserahkan,” katanya.