Monday, May 17, 2010

Apa dah nak jadi dengan pelajar sekarang!


Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai


2010/05/17

MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
"Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.

"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.

Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan. 
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.

Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama

Pertandingan buka coli dikritik




BEIJING - Sebuah pusat membeli belah dikritik kerana mengadakan pertandingan membuka coli menggunakan sebelah tangan dengan pantas. 

Peserta yang berjaya membuka lapan coli dalam masa tidak sampai seminit diberikan baucar untuk membeli belah di kompleks berkenaan di Guangzhou, dalam wilayah Guangdong, China. 

Laporan Guangzhou Daily menyatakan lapan wanita digunakan untuk pertandingan tersebut. 

Seorang pengunjung mempertikaikan pertandingan itu dengan menyatakan idea tersebut mungkin dihasilkan lelaki tua berfikiran lucah. 

Namun, jurucakap kompleks berkenaan mempertahankan pertandingan itu dengan menegaskan ia bertujuan untuk mempromosikan kesedaran mengenai pakaian dalam. 

Pertandingan itu dimenangi seorang wanita yang berjaya membuka semua coli dalam masa 21 saat.

Melaka & Negeri Sembilan: Kedai pengotor

YUSOF (kiri) bersama anggota penguat kuasa  memeriksa premis makanan  di Melaka.
YUSOF (kiri) bersama anggota penguat kuasa memeriksa premis makanan di Melaka.


MELAKA: Tabiat pengotor segelintir peniaga restoran di sekitar bandar raya ini jelas masih tidak banyak berubah, biarpun tindakan tegas dikenakan terhadap mereka oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana mengabaikan aspek kebersihan.

Ini terbukti apabila jumlah mereka yang dikenakan kompaun kerana membiarkan premis dipenuhi sampah, selain tidak mengamalkan aspek kebersihan ketika Operasi Antikekotoran dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit masih di tahap mendukacitakan. Segelintir pengusaha makanan ini dipercayai berani melakukan perbuatan itu kerana beranggapan pihak berkenaan tidak akan lagi mengintip atau memantau perbuatan mereka membuang sampah sesuka hati, selain membiarkan premis kotor. Bagaimanapun, percaturan mereka tersilap apabila MBMB masih meneruskan operasi dari semasa ke semasa dan tidak hanya bertumpu ketika menganjurkan temasya Sukan Malaysia ke-13 (Sukma XIII) pada 10 hingga 19 Jun ini.

Terbaru, bagi menangani masalah itu, satu operasi khas diketuai Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Yusof Jantan dilakukan ke kawasan sekitar Cheng. Operasi yang turut membabitkan Jabatan Kesihatan negeri itu memeriksa seluruh 15 premis di kawasan berkenaan dan kesimpulannya, pemilik atau pengusaha kedai makan di situ tidak mengutamakan aspek kebersihan.

Kebanyakan pemilik restoran dan gerai, didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti sengaja meletakkan sisa makanan di luar premis, premis dipenuhi lipas, pemilik dan pekerja tidak menjaga kebersihan diri, tidak memakai apron dan penutup kepala ketika bertugas, selain makanan diletakkan di lantai dan tidak terurus.

Berita Harian yang turut menyertai operasi bermula dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam bersama 80 anggota MBMB, mendapati kawasan berkenaan dipenuhi sampah sarap, manakala sisa makanan bertaburan. Tandas di sebuah restoran di situ juga didapati sangat kotor, manakala sesetengahnya rosak dibiarkan begitu saja.
Sebuah restoran pula meletakkan makanan mentah bersama kiub ais untuk minuman di dalam peti sejuk. Semua penemuan ini jelas menunjukkan pemilik restoran terbabit tidak serius menjadikan tandas dan tempat makanan bersih sebagai budaya hidup.

Yusof ketika ditemui berkata, operasi itu bertujuan memastikan semua premis berkeadaan bersih setiap masa dan peniaga mematuhi syarat perniagaan.

Beliau berkata, daripada semua premis makanan yang diperiksa, enam daripadanya diarah Jabatan Kesihatan negeri ditutup selama seminggu kerana terlalu kotor dan berada pada tahap kritikal, manakala sembilan premis dikenakan 35 kompaun kerana pelbagai kesalahan.

“Premis yang diarahkan tutup ini boleh beroperasi semula jika bersih dan mematahui peraturan ditetapkan. Pegawai Jabatan Kesihatan negeri akan melakukan pemeriksaan semula terhadap premis berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.

JAIS dah teruk jadi barua UMNO


Masih ada pihak ingkar arahan politik di masjid
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
2010/05/17

Jais tak teragak-agak pecat nazir langgar perintah Sultan Selangor 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendedahkan ada segelintir umat Islam di negeri ini bersekongkol dengan pihak tertentu menjadikan surau dan masjid sebagai tempat untuk meraih kepentingan politik. Sambil melahirkan rasa kecewa dengan sikap angkuh pihak yang mengingkari arahan untuk tidak menggunakan masjid dan surau sebagai medan berpolitik, Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata Jais tidak akan tunduk dengan tekanan mana-mana pihak, selain tidak takut untuk mengambil tindakan termasuk memecat nazir yang ingkar dengan arahan berkenaan. Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak, terutama ahli politik, supaya tidak menangguk di air keruh dengan menggunakan nazir masjid dan surau bagi mencapai cita-cita politik mereka. 

“Saya tidak takut untuk memecat nazir di negeri ini kerana saya menjunjung titah Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang melarang penggunaan masjid sebagai tempat politik,” katanya ketika ditemui di sini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai aduan beberapa pihak berhubung kehadiran penceramah tanpa tauliah di beberapa masjid di sekitar Selangor selain keengganan nazir meletakkan papan kenyataan berhubung larangan berpolitik di masjid dan surau. 

Berita Harian sebelum ini melaporkan seramai 15 nazir masjid di Selangor diberi amaran keras oleh Jais kerana mengingkari arahan melarang mana-mana pihak menggunakan masjid di negeri itu sebagai tempat berpolitik. 
Larangan berpolitik itu perlu dipatuhi kerana ia tertakluk mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor. 

Mereka yang mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Sultan Selangor yang juga sebagai Ketua Agama Islam di Selangor dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995. 

Enakmen itu memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mohamed Khusrin berkata, terdapat segelintir nazir dan ahli kariah yang mengadakan protes secara senyap seperti mengingkari arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jais, termasuk tidak meletak papan kenyataan berhubung larangan berpolitik di masjid dan surau di negeri ini. 

Katanya, Jais bimbang jika perkara itu berterusan, ia akan memecah-belahkan umat Islam di negara ini hanya disebabkan perbezaan fahaman politik. 

"Saya tahu ada nazir surau dan masjid berpakat dengan kariah untuk menyorok papan kenyataan itu hanya kerana dihasut oleh pihak tertentu. Saya hairan kenapa ini berlaku dan kesal dengan sikap kita yang cuba menunjukkan kekuasaan di masjid. 

"Terdapat aduan yang mengatakan ada penceramah luar datang ke masjid di negeri ini kononnya untuk memberi ceramah agama, tetapi sebenarnya ia ceramah politik. 

“Keadaan itu menyebabkan timbulnya ketidakselesaan penduduk setempat kerana kebanyakan yang datang dengar ceramah itu ialah orang luar," katanya.

Wanita khalwat lari dari JAIM




DI BANGUNAN inilah seorang gadis yang ditangkap khalwat melarikan diri melalui siling tingkat satu JAIM di Bukit Palah, Melaka Jumaat lalu.


MELAKA - Seorang wanita yang ditahan berkhalwat dengan kekasihnya di Bukit China di sini Khamis lalu nekad melarikan diri melalui siling tempat dia ditahan di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Bukit Palah pada pagi Jumaat.
Selepas berjaya keluar dari bangunan itu, wanita yang berusia 20-an itu kemudian melarikan diri dengan memandu kenderaan Toyota Avanza milik seorang pegawai JAIM yang bertugas pada malam itu.
Bagaimanapun, tindakan wanita itu tidak ke mana apabila dia dicekup semula pada pukul 9 pagi Sabtu lalu oleh sepasukan polis di rumahnya di Kampung Gadek, Alor Gajah.
Ketika dicekup, wanita yang bekerja sebagai penjual telefon itu sedang mencuci kereta Toyota Avanza yang dilarikannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, wanita yang ditahan di sebuah bilik di tingkat bawah bangunan itu disedari melarikan diri pada pukul 5.30 pagi ketika pegawai JAIM yang menjaga pusat tahanan tersebut keluar minum.
"Dari bilik itu wanita itu panjat siling dan dapat keluar dari bilik itu sebelum mengambil kesempatan melarikan diri dengan kenderaan Toyota Avanza milik pegawai yang keluar minum," kata beliau di sini semalam.

Surat nikah untuk sekilogram gula





MASIH KOSONG...Senario kehabisan gula masih berlaku di sesetengah tempat di Terengganu - Gambar hiasan.


KUALA TERENGGANU - Ketika pihak berkuasa memberi jaminan bekalan gula di seluruh negara mencukupi, seorang wanita di Dungun dekat sini terpaksa membawa sijil nikah untuk membeli bahan tersebut baru-baru ini.
Kejadian tersebut berlaku ke atas Siti Marsilla Sheikh Abdul Rahim (gambar) ketika hendak membeli gula peket satu kilogram di sebuah kedai runcit di Jalan Yahya Ahmad, Dungun kelmarin.


Dakwa kakitangan awam itu, sebelum itu suaminya, Faizul Hashim, 28, turut gagal membeli gula di sebuah kedai lain pada hari yang sama atas alasan bahan tersebut tidak boleh dijual kepada orang luar.
"Suami saya kata dia bekerja di sini dan tidak masuk akal untuk pulang ke negeri asal di Kelantan membeli gula," katanya yang juga berasal dari Kelantan.

Pakatan Rakyat menang di Sibu


BN gagal pertahan kerusi Sibu



WONG HO LENG (kanan) menerima ucapan tahniah daripada Robert Lau Hui Yew selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, Sarawak, semalam.


SIBU 16 Mei - Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi pada pilihan raya kecil kawasan itu, hari ini.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi, Hui Yew memperoleh 18,447 manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak.
Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Sibu, Wong See Meng pada pukul 10.45 malam di Dewan Suarah, di sini sebaik sahaja kesemua 111 peti undi selesai dikira, termasuk undi pos yang terakhir dikira.
Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 32,742 iaitu mewakili 59.86 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar bagi pilihan raya yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Jumlah itu sangat rendah untuk sebuah pilihan raya kecil kerana pada Pilihan Raya Umum 2008, peratus keluar mengundi Parlimen Sibu ialah 67.7 peratus.
Hoi Chew yang merupakan penyandang kerusi Sibu selama lima penggal sebelum ini telah menewaskan calon DAP yang sama, Ho Leng dalam pilihan raya umum itu dengan majoriti 3,235 undi.
Antara pemimpin DAP yang hadir bagi meraikan kemenangan Ho Leng ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan para penyokong yang menanti di dalam hujan renyai-renyai di luar pagar dewan.
Sepanjang kempen berlangsung sejak 8 Mei lalu, kepimpinan BN berusaha keras meyakinkan pengundi mengenai komitmen kerajaan untuk membantu mengatasi masalah penduduk seperti banjir, pendidikan sekolah Cina dan prasarana yang lebih baik di pedalaman.
Bagaimanapun, usaha itu tidak memberi banyak kesan, terutama di kawasan pengundi Cina yang lebih mengharapkan calon pembangkang untuk mewakili mereka di Parlimen.
Tindakan pembangkang yang memainkan isu-isu sensitif, perkauman dan membenci pemimpin tertentu berjaya memberi kesan kepada penduduk Sibu yang menjadi agak keliru dengan cara 'politik baru' oleh pemimpin pakatan pembangkang dari Semenanjung.