Sunday, January 4, 2015

Surat Tuntutan Pemulangan Wang Pampasan MBI Dihantar Esok


Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2015 6:51 PM
Azmin
Azmin Ali.

SHAH ALAM: Lapan bekas pegawai bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menerima surat tuntutan esok bagi pemulangan semula wang pampasan berjumlah RM2.6 juta yang telah dibayar kepada mereka.

Perkara itu disahkan oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) berikutan kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam bahawa pihak pengurusan baharu perbadanan itu akan menghantar surat kepada lapan individu berkenaan sebagai peringatan untuk mengembalikan wang itu.

"Kesemua surat tuntutan (pemulangan semula wang pampasan) akan dihantar pada Isnin ini (esok)," kata wakil perbadanan itu ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Mohamed Azmin meminta kesemua lapan bekas pegawai MBI itu memulangkan semula wang pampasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat dikeluarkan kerana mendakwa pembayaran tersebut dibuat tanpa mengikut prosedur dan melanggar peraturan kewangan.

Menteri Besar berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat peguam.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa kesemua lapan individu itu akan tetap dibayar pampasan mengikut jumlah sepatutnya.

Sebelum ini, lapan pegawai kontrak bekas menteri besar yang dilantik oleh MBI dilaporkan menerima pampasan berjumlah sehingga RM2.6 juta, yang disifatkan oleh beberapa pihak termasuk Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad sebagai tidak munasabah.

Pembayaran itu dibuat pada akhir tempoh perkhidmatan bekas menteri besar itu sebelum Mohamed Azmin mengambil alih jawatan menteri besar pada 23 Sept tahun lepas.

Abdul Khalid sebelum ini dilaporkan berkata pembayaran pampasan kepada lapan bekas pegawai beliau dilakukan dengan mematuhi peraturan dan prosedur MBI. 

Banjir: Berhenti Beri Lesen Balak Selama 25 Tahun - Ibrahim Ali


Diterbitkan: Ahad, 4 Januari 2015 5:32 PM
 Datuk Ibrahim Ali
Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menyarankan agar pemberian lesen pembalakan dihentikan sekurang-kurangnya 25 tahun bagi mengelak banjir besar berulang.

Katanya kerajaan negeri terutama negeri-negeri yang berisiko banjir setiap tahun perlu melaksanakan langkah berkenaan bagi mengelak impak besar banjir ekoran kegiatan pembalakan yang berleluasa.

"Selagi ada pemberian lesen pembalakan, selagi itu ada kemusnahan hutan, selagi ada kawasan yang 'halal' untuk membalak, selagi itu ada kegiatan 'haram' pembalakan ini.
"Kita hanya salahkan pembalakan, kemusnahan hutan sebagai penyebab banjir setiap kali banjir berlaku, tapi pernah tak fikir, lesen membalak tu siapa yang bagi, yang luluskan?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Muhibah Perkasa bersama Orang Asli di Bukit Lagong di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan beberapa ahli akademik yang menjurus kemungkinan bencana banjir terburuk ketika ini mempunyai kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan.

"Kita boleh hentikan sementara, 25 tahun sekurang-kurangnya, bagi muka bumi, tanah stabil. Lesen boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar berkaitan dengan industri contohnya industri perabot sahaja.

"Lagipun saya rasa Malaysia tidak kurang pendapatan jika cukai balak ini tiada," katanya.

Sementara itu, Ibrahim melahirkan rasa terima kasih dan kagum terhadap kepimpinan dan ahli Perkasa seluruh negara yang telah bertungkus lumus mengumpul dan mengagih bantuan ke negeri-negeri terjejas akibat banjir.

Selain bantuan keperluan asas, Perkasa kini dalam proses mengumpul sumbangan berbentuk bahan binaan ringan seperti zink, simen dan papan bagi membantu membina semula rumah penduduk yang rosak sementara mereka mendapat bantuan untuk membina rumah baharu.

Setahun koma, perjuangan Schumacher belum selesai


Michael Schumacher
Michael Schumacher
SETAHUN koma, tiada pihak yang berani menyatakan bila legenda Formula 1, Michael Schumacher akan sedar semula, lapor Kompas.com.

Schumacher terbaring di hospital selama sembilan bulan sebelum diputuskan untuk menjalani rawatan di rumahnya.

Sejak itu banyak spekulasi yang tersebar mengatakan juara Formula 1 tujuh kali itu sudah sedar dan kian pulih.

Menjelang akhir tahun 2014, rumor itu kembali tersebar apabila sebuah akhbar Perancis melaporkan proses pemulihan Schumacher berjalan dengan baik.

Namun, pengurus Schumacher, Sabine Kehm yang selama ini menjadi jurucakap keluarga itu menjelaskan kepada ESPN F1 bahawa perkara itu memerlukan tempoh yang lama.

“Kita perlukan waktu yang lama...sangat lama dan juga kita perlu perjuangan yang kuat. Ada kemajuan dengan keadaan Schumacher.

“Saya tak boleh mengesahkan laporan tersebut. Saya hanya boleh memberitahu bahawa saya tidak tahu bila akhbar itu mendapatkan informasi tersebut kerana mereka tidak pernah bertemu dengan kami,” katanya.

Schumacher mengalami kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dan terhentak di batu ketika bermain ski di pusat peranginan Pergunungan Alps, 29 Disember 2013 lalu.

Lauk ayam paling mahal


London: Sebuah keluarga terkejut apabila kesilapan pekerja di sebuah rangkaian restoran terkenal mengenakan bayaran £6,235.88 (RM34,000) untuk makan malam mereka.
Aurel Lupsa, 43, mengakui tidak menyedari kesilapan itu ketika membuat pembayaran secara elektronik di restoran Nando’s berhampiran rumahnya.
“Ini bukan kali pertama kami makan di situ, namun tidak pernah kami mengalami kejadian seperti ini. Silap saya sendiri juga kerana tidak memeriksa bil diberikan,” katanya.
Katanya, dia diberi bil untuk bayaran £62.35 (RM337) namun tidak perasan pelayan terbabit sebenarnya memasukkan jumlah 100 kali lebih tinggi daripada bayaran diperlukan ketika memproses kadnya.
“Sungguh tidak sangka makan malam paling mahal kami di Nando’s. Restoran itu mengakui kesilapan mereka dan berjanji menyiasatnya,” katanya ketika ditemui.
Jurucakap Nando’s berkata: “Kekeliruan itu memang tidak diduga atau disengajakan. Kami memohon maaf atas kejadian itu dan sudah membuat pembayaran semula.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:54 A
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21383#sthash.qNdnaptr.dpuf

Patung mainan selebriti dijual AS$5,100



NOEL mengambil masa kira-kira tiga hari untuk menyiapkan sebuah patung Barbie yang diubah suai menyerupai wajah seorang selebriti. - Agensi


TUSTIN, California – Seorang artis seni Amerika Syarikat (AS) telah menghasilkan model patung mainan beberapa wajah sele­briti antarabangsa terkenal termasuk wajah kerabat diraja seperti mendiang Puteri Diana dan Kate Middleton.
Artis seni itu, Noel Cruz, 53, dari Tustin, California menghasilkan sendiri model patung mainan tersebut dengan menggunakan patung Barbie yang dibeli di kedai menjual permainan dan kemudian mengubah wajah kepada wajah bintang terkenal.
Antara wajah selebriti yang telah dihasilkan ialah mendiang Michael Jackson, Lady Gaga, Beyonce dan Jennifer Lopez yang dijual dalam laman lelongan eBay pada harga AS$5,100 (RM17,900).
“Saya memulakan minat ini selepas isteri saya menjadi seorang pengumpul koleksi anak patung selama beberapa tahun,” kata Noel yang memberitahu, beberapa anak patung berkenaan mempunyai wajah yang seakan-akan hidup.
Noel yang merupakan seorang pelukis potrait biasanya menghasilkan patung selebriti bintang filem terkenal seperti filem Lord of the Rings dan Harry Potter dan turut menghasilkan patung ­legenda seperti Marilyn Monroe dan Bette Davis.
“Saya tertarik untuk menghasilkan wajah selebriti kerana mudah untuk mendapatkan gambar mereka,” kata Noel yang memerlukan masa tiga hari untuk mengubah suai satu-­satu patung. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3NoE81nWx 
Hakcipta terpelihara 

Penerokaan tanah, pembalakan berleluasa ada kaitan rasuah


KUALA LUMPUR 3 Jan. – Masalah penerokaan tanah dan pembalakan yang berleluasa mempunyai kaitan dengan amalan rasuah kerana kemusnahan alam sekitar yang berlaku seolah-olah tiada langsung pemantauan daripada pihak berkuasa.
Nadzim Johan
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bencana banjir besar yang berlaku di Pantai Timur boleh dielakkan sekiranya tindakan tegas diambil terhadap amalan rasuah dan pembalakan yang berlaku tanpa kawalan.
“Rasuah ini berlaku dalam banyak peringkat iaitu daripada peringkat kelulusan pemberian tanah sehinggga kepada peringkat pelaksanaannya iaitu pembalakan, sebab itu kerja-kerja yang dibuat tidak mempunyai sistem dan ditarah habis kawasan hutan begitu sahaja.
“Kerosakan alam sekitar yang berlaku ini bagai di luar kawalan, kita tengok sahaja di Sarawak yang kayu balak bernilai RM41.16 juta dirampas dan di Kota Tinggi, Johor pula hutan simpan seluas 39.94 hektar menjadi lokasi pembalakan haram,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas lanjut mengenai Laporan Eksklusif Utusan Malaysia kelmarin mengenai penerokaan hutan yang berleluasa menjadi antara penyumbang kepada banjir besar terutama di Kelantan dan Pahang ketika ini.
Menurut Nadzim, amalan ra­suah dalam kegiatan pembalakan melibatkan banyak pihak termasuk golongan ahli perniagaan, golongan ahli politik dan pegawai kerajaan berkaitan termasuk di Pejabat Tanah negeri dan daerah serta Jabatan Perhutanan.
“Dalam hal ini, kita perlu ada sistem aduan yang lebih efisyen dan rakyat juga perlu menjadi mata dan telinga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan boleh dikenakan terhadap golongan yang tamak dan rakus ini,” kata­nya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, beliau mencadangkan sistem penggiliran lokasi bertugas dilaksanakan terhadap ter­hadap pegawai di Pejabat Tanah dan Jabatan Perhutanan bagi menyekat perbuatan salah guna kuasa dan amalan ra­suah.
“Pegawai di Pejabat Tanah atau Jabatan Perhutanan tidak boleh berada di satu tempat terlalu lama kerana boleh mengundang penyelewengan. Selain itu, kerajaan kena betul-betul pantau terhadap apa yang berlaku di bawah untuk membendung masalah rasuah ini,” katanya.
Tegas beliau, inisiatif SPRM membuka pejabat di Cameron Highland untuk memantau penerokaan tanah secara haram boleh dijadikan contoh untuk agensi itu lebih agresif memantau kegiatan pembalakan dan penerokaan ta­nah yang mempunyai unsur rasuah di setiap negeri
“Kalau kita tidak serius untuk menangani masalah pembalakan dan penyelewengan ini, mereka yang akan menerima kesan adalah generasi akan datang kerana alam sekitar bakal musnah sekiranya kita tidak menjaganya dan memeliharanya dengan baik,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penerokaan-tanah-pembalakan-berleluasa-ada-kaitan-rasuah-1.44185#sthash.tsCLqunf.dpuf

Siapa gondol Bukit Sungai Pinang?


Muhamad Farid Saad
Muhamad Farid Saad
PULAU PINANG 3 Jan. – Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak menjelaskan kepada penduduk negeri ini mengenai status penerokaan hutan Bukit Sungai Pinang, Telok Bahang di sini yang semakin gondol.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, kerajaan negeri perlu mendedahkan sama ada kerja-kerja menarah bukit itu mendapat kebenaran dan diberikan permit serta pihak yang bertanggungjawab menerokanya.
Sambil melahirkan rasa kesal, Muhamad Farid berkata, puncak Bukit Sungai Pinang tidak sepatutnya diganggu kerana kesan penerokaan kawasan hutan di situ bakal memberi ancaman kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Kesan kemusnahan hutan yang diteroka itu dapat dilihat dengan jelas dari arah Kampung Kuala Sungai Pinang sekali gus membimbangkan penduduk.
“Apa akan berlaku sekiranya hujan lebat? Sudah puas teguran dibuat kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang supaya kawasan bukit tidak dipotong. Tidakkah serik dengan kes banjir lumpur yang berlaku sebelum ini?” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Muhamad Farid, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya mengambil pengajaran daripada kejadian bencana alam yang berlaku terhadap penduduk ekoran kerakusan menggondolkan Bukit Relau di sini sebelum ini.
Paling dikesalkan tambah beliau, kawasan hutan di Bukit Relau atau turut dikenali sebagai Bukit Botak sehingga kini masih gagal dibaik pulih sepenuhnya meskipun sudah bertahun-tahun usaha pemuliharaan dijalankan.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana Kerajaan DAP Pulau Pinang mempraktikkan amalan Cekap, Akauntabiliti dan Telus seperti dilaungkan dalam pentadbiran mereka sedangkan boleh terlepas pandang kegiatan menggondolkan hutan di Bukit Sungai Pinang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/siapa-gondol-bukit-sungai-pinang-1.44182#sthash.iJ273jaB.dpuf

Kemusnahan hutan punca banjir terburuk


KUALA LUMPUR 3 Jan. - Bencana banjir terburuk dan tanah runtuh yang berlaku ketika ini disahkan ada kaitan dengan kegiatan pembalakan dan kemusnahan hutan di beberapa tempat serta penerokaan tanah ha­ram di Cameron Highlands.
Mohamed Thajudeen Abdul Wahab
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, tindak balas semula jadi itu pasti akan berlaku akibat kerakusan `tangan-tangan manusia’ sendiri kerana permukaan bumi kehilan­g­­an pelindung, daya pengikat dan cengkaman tanah, sekali gus mengakibatkan struktur tanah menjadi longgar dan cerun-cerun bukit tidak stabil.
“Banjir dan pembalakan memang ada kaitan. Kita lihat sendiri paras air naik amat luar biasa iaitu paling teruk selepas kejadian bencana banjir berlaku pada tahun 1967 dan 1971.
“Apa yang kita lakukan terhadap alam semula jadi ada tindak balas, jadi kita sendiri terima akibatnya,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Thajudeen memberitahu, operasi memusnahkan kebun sayur haram di Cameron Highlands akan dimulakan semula selepas kerja-kerja tersebut dihentikan seketika sejak 26 Disember lalu kerana kekangan cuaca tidak baik, selain keadaan jalan yang licin menyukarkan tugas pembersihan.
“Pihak kami akan bermesyuarat Selasa ini untuk melihat sama ada keadaan mengizinkan untuk kita meneruskan kembali tugas-tugas pemusnahan kebun sayur haram itu,’’ katanya.
Sementara itu, beliau berkata, MKN akan membuat taksiran kerugian secara keseluruhan akibat banjir besar yang melanda negara selepas keadaan pulih sepenuhnya.
Kata beliau, pihaknya akan menganalisis semua situasi termasuk nilai kemusnahan rumah penduduk bagi tujuan pembinaan semula membabitkan tiga kategori iaitu penilaian kemusnahan rumah secara total, rumah rosak yang tidak boleh diperbaiki dan rumah separuh rosak boleh diperbaiki.
Jelasnya, ini termasuk kerosakan kemudahan awam lain seperti dewan orang ramai, masjid, sekolah, jalan raya, jambatan dan sebagainya yang belum dapat dipastikan tahap kemusnahannya kerana masih ada tempat ditenggelami air.
“Pada ketika ini kita sudah pun membuat penilaian kerosakan rumah secara berperingkat-peringkat di tempat-tempat yang sudah pulih kerana keutamaan kita adalah membaik pulih rumah.
“Selepas keadaan semuanya pulih, kita akan mulakan kerja-kerja pembaikan dan menilai kerugian selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kemusnahan-hutan-punca-banjir-terburuk-1.44187#sthash.iB26CFYc.dpuf