Tuesday, April 10, 2012

Bapa Altantuya kata kematian anaknya ada kaitan dengan kes Scorpene



April 10, 2012
Dr Setev Shaaribu ketika berjumpaan pemberita di Petaling Jaya, 10 April, 2012. — Foto Jack Ooi
PETALING JAYA, 10 April — Dr Setev Shaariibuu telah menawarkan dirinya sebagai saksi berhubung kes siasatan pembelian kapal selam Scorpene yang disiasat pihak berkuasa Perancis dan mendakwa kematian anaknya mempunyai hubung kait dengan kes tersebut.
Bapa kepada model Mongolia yang dibunuh Altantuya Shaariibuu itu berkata hari ini, testimoninya akan berupaya “menghubungkan kaitan” kematian anaknya dan kes Scorpene yang akan didengar di mahkamah di Perancis.
“Beliau (Shariibuu) tahu terdapatnya kaitan antara kes di Perancis itu dan kes pembunuhan anaknya, dan akan membantu menyelesaikan kes tersebut.
“Sekiranya beliau memberikan keterangan di mahkamah, beliau akan memberikan maklumat lanjut,” kata usahawan Mongolia Tsoggerel Och, yang merupakan jurubahasa Shariibuu.
Shaaribuu turut ditemani oleh Pengarah Suaran Cynthia Gabriel.
“Kami sedia maklum siasatan sedang dijalankan di Perancis bukan berkenaan pembunuhan, tapi ada kaitan terhadap rasuah Perdana Menteri sekarang (Datuk Seri) Najib (Razak) dan rakannya di Perancis,” kata Gabriel.
Menurutnya, Suaram akan mengemukakan saksi-saksi terlibat untuk dihantar ke mahkamah Perancis dan Shariibuu akan menjadi salah seorang daripadanya,

‘BN sudah mula rasuah politik pusingan ke-2’



NORFARHIZA MOHD ATAR
10 April 2012
Abdul Hadi Awang
KUALA LIPIS - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tentang ganjaran yang bakal diterima peneroka Felda tidak lama lagi dilihat sebagai pemberian rasuah politik pusingan kedua kepada rakyat.
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkata, melihat kepada pengumuman itu di ketika negara sedang menunggu detik pilihan raya, jelas menandakan tarikh pilihan raya umum sudah terlalu hampir.
“Rasuah politik pusingan pertama sudah pun berjalan sejak akhir tahun lalu iaitu BR1M berjumlah RM500 yang diberikan kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, bantuan RM100 untuk murid-murid sekolah dan RM200 dalam bentuk baucer buku kepada pelajar-pelajar universiti.
“Rasuah politik pusingan kedua sebagaimana yang diumumkan Najib itu mungkin lebih besar jumlahnya dan mencakupi pelbagai perkara lagi. Ia tentulah sesuai dengan hasrat untuk memenangi pilihan raya dengan cemerlang, sebagaimana yang diidam-idamkan oleh Barisan Nasional (BN) sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang Bersama Penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Benta di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli dan Yang Dipertua Pas Kawasan Lipis, Ishak Sat.
Hadi berkata, pengumuman Najib itu juga tentulah berdasarkan keyakinannya bahawa rasuah yang diberikannya sebelum ini telah berjaya menggembirakan hati rakyat dan menyebabkan mereka mula kembali menyokong Umno dan BN.
“Kawasan Felda telah dibangunkan sejak berpuluh tahun yang lalu dan tidak pernah mana-mana Perdana Menteri sebelum ini yang mengamalkan cara pemberian sagu hati kepada rakyat dalam bentuk wang tunai tetapi beliau (Najib) telah memulakannya.
“Maka, sudah tentu pemberian di pusingan kedua ini lebih besar jumlahnya dan meliputi pelbagai kelompok dalam masyarakat kerana yang dihajati ialah sokongan yang lebih besar daripada rakyat,” katanya.
Hadi berkata, rakyat dan negara tentunya lebih memerlukan pemimpin yang berani merangka dasar jangka panjang untuk kepentingan rakyat seperti keberanian untuk menurunkan harga minyak, mengekalkan subsidi untuk rakyat miskin, memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan pinjaman PTPTN.
Menurutnya, dasar berkenaan tentunya lebih bermanfaat dalam jangka panjang berbanding pemimpin yang hanya tahu memberi wang tunai RM500, RM200 dan RM100 yang boleh dihabiskan dalam waktu yang yang singkat.

Puteri Umno minta status pinjaman PTPTN mangsa ragut yang kini koma ditukar




10 April 2012
KOTA BHARU - Pergerakan Puteri Umno telah menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi mengenai status pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekas pelajar Politeknik Muazam Shah Pahang, Akmal Izzati Che Harun, yang koma sejak menjadi mangsa ragut pada Mei tahun lepas.

Ketua pergerakan itu, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pihaknya telah menulis surat kepada Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tentang kerisauan keluarga mangsa mengenai pembayaran balik pinjaman tersebut.

"Kita telah minta kepada menteri berkenaan untuk hapuskan pinjaman tersebut atau tukarkannya kepada biasiswa, bagi membantu meringankan beban keluarga gadis tersebut," katanya kepada pemberita selepas menziarahi Akmal Izzati yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Akmal Izzati, 23, yang berasal dari Kampung Air Tilan Nibong Tanah Merah, koma sejak setahun lalu selepas diragut ketika menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Bukit Bunga, Tanah Merah.

Kejadian itu menyebabkan Akmal Izzati mengalami kecederaan serius di kepala dan memerlukan pembedahan.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata kos pembedahan Akmal Izzati akan ditanggung oleh HUSM dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Kita juga menyalurkan bantuan kepada Akmal Izzati melalui Tabung B2R (Banteras Ragut dan Rogol) yang kita wujudkan sejak 2008 untuk membantu mangsa ragut dan rogol," katanya.
Rosnah turut melawat kanak-kanak istimewa, Nurul Afida Batrisya Razi, 4, dari Kampung Canggong, Bachok, yang memiliki bulu lebat di bahagian muka dan seluruh badan yang kini sedang dirawat di HUSM.

"Keunikan kanak-kanak ini memerlukan pemantauan khas daripada pakar perubatan dan saya akan bincang dengan Puteri Umno Kelantan untuk menjadikan Nurul Afida sebagai anak angkat dan akan pantau perkembangannya sehingga dewasa," kata Rosnah. - Bernama

Tak mahu hilang kaki



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
kanser
GEMAS  - Seorang pelajar perempuan berdepan kemungkinan kaki kirinya terpaksa dipotong sekiranya gagal menjalani pembedahan segera berikutan barah tulang reput dialami sejak September tahun lalu.

Nur Fatin Izzati, 15, bagaimanapun terpaksa menghitung nasib kerana keluarganya kini menghadapi masalah untuk mengumpulkan RM48,000 bagi menanggung kos pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Saya kini tidak boleh bergerak aktif dan tidak boleh ke sekolah kerana ia menambah risiko tulang saya repuh dan pecah.

“Sekiranya berlaku, sel barah saya yang sudah terkawal kini akan merebak ke bahagian­ lain. Saya berdepan kemungkinan kaki kiri terpaksa dipotong,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Londah, dekat sini, semalam.

Ibu Nur Fatin, Zurina Sumri, 40, berkata, pada mulanya, dia menyangka anak sulungnya itu hanya mengalami bengkak disebabkan aktif sukan di sekolah.

“Selepas menyertai kejohanan di peringkat Negeri Sembilan Jun lalu, Fatin mula merasa kakinya bengkak. Kami membawanya ke Hospital Tampin (HT) untuk menjalani ujian­ imbasan dan kami dimaklumkan terdapat darah beku di bahagian berkenaan.

“Selepas hari raya tahun lalu, Fatin mulai sakit dan kami membawanya pula ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah. Di sana, kami terkejut dimaklumkan dia menghidap penyakit barah tulang dan perlu rawatan­ segera,” katanya.

Zurina berkata, Fatin yang dirujuk ke Pusat Perubatan UKM kini tidak boleh bersekolah menyebabkan impiannya untuk mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga tergendala.

Sementara itu, bapa Nur Fatin, Mohd Nazri Ahmad, 39, penoreh getah, berharap dapat mengumpulkan wang untuk pembedahan, selewatnya penghujung Mei ini.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Public Islamic Bank (4-7534207-16) atas nama Mohd Nazri Ahmad, atau menghubunginya di talian 012-2042154.

Kes Tengku Fakhry mungkin diselesai ‘dengan baik’




10 April 2012
fakhry
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu ada kemungkinan penyelesaian dicapai dalam saman malu yang dikemukakan putera Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra terhadap Malay Mail dan dua orang yang lain. 
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan Jumaat ini bagi pengurusan kes dan memberi peluang kedua-dua pihak terlibat memberitahu mahkamah hasil yang dicapai dalam penyelesaian yang dicadangkan itu.
Peguam  A S Dhaliwal, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, memberitahu pemberita bahawa syarat penyelesaian itu termasuklah permohonan meminta maaf oleh defendan yang akan disiarkan dalam media perdana.
Dhaliwal berkata jika mereka gagal memenuhi syarat berkenaan, perbicaraan akan dijalankan pada 2 Mei.
Beliau berkata, plaintif akan memanggil 15 saksi termasuk ibu kepada Tengku Muhammad Fakhry, Raja Perempuan Kelantan.
Sementara itu, peguam yang mewakili akhbar berkenaan, Mohd Zaharudeen Harun mengesahkan mereka 'sedang berusaha' mencari kemugkinan suatu peyelesaian.
Tengku Muhammad Fakhry mengemukakan saman pada 11 Nov tahun lepas dengan menamakan Malay Mail Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan penerbit The New
Straits Times Press (M) Bhd, ketua editor Yushaimi Maulud Yahya dan pemberita Marhalim Abbas selaku defendan kedua, ketiga dan keempat.
Dalam pernyataan tuntutannya putera raja itu mendakwa bahawa defendan-defendan berkenaan bertanggungjawab menyiarkan satu artikel dalam Portal Berita Malay Mail pada 5 Mei 2010, yang membahayakan reputasi, kedudukan dan kerjaya beliau.
Selain menuntut ganti rugi, putera raja itu memohon supaya disiarkan permohonan meminta maaf, satu injunksi melarang ulangan siaran artikel, ganti rugi contoh dan kos lain yang dianggap bersesuaian oleh mahkamah.  – Bernama

Penduduk Aceh pilih Gabenor baru




seorang pengundi wanita Aceh memasukkan kertas undi ke dalam peti undi semasa mengundi pada pilihan raya Gabenor Aceh di Banda Aceh, semalam. - AFP


BANDA ACEH 9 April - Penduduk di Aceh hari ini mengundi untuk memilih Gabenor pada pilihan raya yang menguji kestabilan sebuah wilayah yang belum pulih sepenuhnya daripada perang pemisah selama 30 tahun serta gempa bumi dan tsunami lapan tahun lalu.
Pilihan raya itu merupakan kali kedua di wilayah separuh autonomi yang kaya dengan gas dan melaksanakan undang-undang Syariah, sejak pemberontak Gerakan Aceh Merdeka (GAM) menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 2005.
Lima calon bertanding untuk merebut jawatan Gabenor tetapi kedua-dua calon utama adalah bekas pemimpin GAM iaitu Irwandi Yusuf yang bertanding untuk penggal kedua sebagai Gabenor dan Zaini Abdullah, bekas Menteri Luar GAM yang bertanding atas tiket Parti Aceh.
"Pilihan raya yang ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak tahun lepas, dicemari keganasan bermotif politik, termasuk sekurang-kurangnya 13 pembunuhan," menurut firma analisis risiko di Jakarta, Concord Consulting dalam laporannya.
Pemberontak GAM meletakkan senjata selepas tsunami pada 26 Disember, 2004 menyebabkan 170,000 penduduk di wilayah ini terkorban atau hilang.
Aceh mendapat bantuan berbilion dolar daripada penderma selepas bencana itu dan telah beransur-ansur pulih tetapi ramai penduduk menuntut kestabilan.
Lebih 3.2 juta penduduk layak mengundi dan keputusan awal dijadual diumumkan lewat hari ini sementara keputusan rasmi diketahui pada 15 April.
Seorang pengundi di timur Aceh, Kamaruzzaman berkata, perbuatan menakut-nakutkan pengundi merebak semasa kempen, sehingga ke kedai-kedai kopi yang biasa menjadi tumpuan kaum lelaki.
Pertarungan politik utama adalah antara Parti Aceh yang ditubuhkan oleh GAM dan menguasai Parlimen wilayah, dengan Irwandi yang bertanding sebagai calon bebas.
Beliau memenangi pilihan raya Gabenor pada Disember 2006 tetapi melepaskan jawatan pada Februari lalu bagi membolehkan kerajaan sementara mentadbir wilayah ini. - Reuters

Roslin, Faizah gagal selesai cara baik



KUALA LUMPUR 9 April - Kes tuntutan ganti rugi perkahwinan oleh bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad akan diteruskan dengan perbicaraan setelah rundingan penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu.
Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menyatakan, ekoran kegagalan kedua-dua pihak mencapai persetujuan, mahkamah memerintahkan kes itu diteruskan dengan semua isu dan tuntutan asal.
Menurut beliau, Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 25 dan 26 Jun ini untuk sambung bicara tuntutan tersebut secara tertutup.
Faizah, 35, selaku defendan yang diwakili oleh peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin hadir ke mahkamah memakai baju kurung dan tudung berwarna oren.
Roslin, 36, yang merupakan plaintif dalam tuntutan itu turut hadir.
Mereka bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 namun selepas 12 hari berumah tangga, Roslin didakwa telah menceraikan Faizah.
Pasangan itu disahkan bercerai pada 12 Mei tahun tersebut oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak yang jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).
Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan berjumlah RM53,460 yang merangkumi perbelanjaan yang dikeluarkan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita yang pertama dinikahinya itu.
Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11,465), baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

Rafizi: Aset NFCorp perlu dibeku



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
KUALA LUMPUR - Harta milik National Feedlot Corporation (NFCorp) harus dicagarkan kepada kerajaan sebagai jaminan peribadi timbal balik bayaran pinjaman dana rakyat bernilai RM250 juta.
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, tindakan ini perlu memandangkan operasi dan prestasi kewangan NFCorp tidak berkemampuan untuk membayar semula dana tersebut.

Katanya, pihak pengurusan terbabit bertindak menjual aset mereka untuk tujuan pelupusan.

“Kerajaan harus bertindak tegas dan mengambil tindakan terhadap NFCorp kerana mereka mempermainkan dana rakyat yang diamanahkan.

“Rakyat mahukan mereka menerima huku­man setimpal, jika tiada sebarang tindakan. Saya yakin rakyat akan kecewa,” katanya.

Mohd Rafizi berkata, sekiranya kerajaan gagal bertindak PKR akan membuat siri pendedahan harta dibeli NFCorp termasuk penyelewengan didakwa dilakukan.

Sebelum ini, PKR membuat pendedahan NFCorp menyelewengkan dana awam sebanyak RM250 juta yang sepatutnya digunakan dalam penternakan lembu kepada pelaburan dalam bidang hartanah.

'Ada bukti skandal babit tiga tokoh'



WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2012
Mohd Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR - Pembangkang mendakwa mempunyai bukti berhubung skandal penyelewengan balak dan dana rakyat yang membabitkan Ketua Menteri Sabah, Menteri Luar dan Peguam Negara.
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, mereka mempunyai dokumen urus niaga, penyata bank dan surat pengakuan seorang lelaki yang sanggup menjadi saksi yang dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, SPRM telah menjalankan siasatan dan mencadangkan kepada Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mengambil tindakan, tetapi beliau enggan untuk berbuat demikian sebaliknya mendakwa kes itu telah selesai.

“Bukti yang kami miliki boleh mensabitkan ketiga-tiga tokoh ternama itu, skandal ini membabitkan penyelewengan berjumlah RM415 juta.

“Oleh itu kami mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan kerana semua siasatan yang dijalankan SPRM dan beberapa pihak yang lain telah disempurnakan, namun campur tangan Peguam Negara menyebabkan mereka yang bersalah bebas,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Mohd Rafizi berkata, pembangkang mahukan Datuk Seri Anifah Aman bercuti daripada jawatannya termasuk Datuk Seri Musa Aman bagi menjawab segala tuduhan itu.

Katanya, Peguam Negara harus digantung serta-merta dan satu tribunal harus ditubuhkan untuk membicarakan be­liau atas pelbagai tuduhan yang dihadapinya.

“Kerajaan juga harus melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan untuk menilai semua kertas siasatan SPRM dan membuat syor bahawa kes ini wajar didakwa di mahkamah,” katanya.

Mohd Rafizi berkata, beliau memberikan tempoh selama tujuh hari untuk kerajaan memberi respons mengenai kes tersebut jika tidak pelbagai pendedahan akan dibuat.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan seorang Ketua Menteri dan Menteri telah disiasat oleh SPRM yang turut membabitkan Peguam Negara berhubung skandal penyelewengan balak dan dana rakyat di Sabah.

Mualaf tuduh isteri nusyuz, tuntut RM1j

KUALA LUMPUR: Tindakan isterinya yang keluar rumah tanpa izin, menyebabkan seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah, di sini semalam, serta menuntut ganti rugi RM1 juta kerana mendakwanya melanggar perjanjian yang dipersetujui sebelum berkahwin, dua tahun lalu.
Plaintif, Muhamad Sem Yap Abdullah, 39, memfailkan permohonan itu pertama kali pada 16 Januari lalu dengan menamakan isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, sebagai defendan.

Bagaimanapun, plaintif yang diwakili peguam syarie Othman Wahab hadir ke mahkamah semalam untuk membuat pindaan terhadap tuntutan itu.

Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Syarie Ab Malek Awang yang seterusnya menetapkan sebutan kes itu pada 21 Mei ini.

“Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan bagi dua perkara iaitu bagi mengesahkan writ saman disampaikan kepada defendan selain untuk memutuskan sama ada kes itu wajar dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk bicara,” kata Othman. Plaintif yang bekerja sebagai pembantu arkitek di sebuah firma sebelum ini sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, namun bercerai pada 2005 manakala ia adalah perkahwinan pertama bagi defendan.

Permohonan nusyuz yang dibuat mengikut Seksyen 59(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan (Akta 303) itu meminta supaya Norlysalfarina kembali taat terhadap suaminya.


Sekiranya defendan enggan taat, mahkamah akan mensabitkan wanita itu nusyuz dan dengan itu, dia tidak boleh meminta sebarang nafkah edah, mutaah dan nafkah sebagai isteri sepanjang meninggalkan rumah kelamin.

Menurut plaintif, dia mengenali defendan menerusi laman sosial facebook dan pada ketika itu defendan bertugas di Terengganu.
Dalam penyata tuntutan pindaan itu, Muhamad Sem mendakwa Norlysalfarina yang bertugas sebagai jururawat di Bahagian Kecemasan di sebuah hospital kerajaan keluar dari rumah mereka pada 10 Januari 2012 tanpa izinnya dan tidak pulang ke rumah sehingga sekarang.

Plaintif beberapa kali menelefon dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada defendan, namun tiada jawapan lalu plaintif membuat beberapa laporan polis.

Dalam penyataan itu, plaintif berkata, dia amat terseksa kerana sebelum ini isterinya berjanji akan hidup bersamanya.

Plaintif yang memeluk Islam pada 1994 turut mengemukakan salinan surat akujanji yang ditandatangani defendan dan seorang saksi pada 7 November 2010 yang menyatakan defendan berjanji untuk menjadi isteri solehah dan setia selama-lamanya kepada plaintif.

Defendan turut bersetuju sekiranya memungkiri janji itu atau melanggar mana-mana satu undang-undang keluarga Islam Malaysia, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.

Oleh yang demikian, plaintif memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya defendan atau waris defendan atau individu yang menghasut defendan supaya tidak mentaati plaintif, membayar RM1 juta kepada plaintif.

Plaintif juga menuntut mahkamah mengeluarkan perintah tiada nafkah perlu dibayar kepada defendan selama defendan keluar rumah dan kos perbicaraan ditanggung oleh defendan.

Pasangan itu bernikah pada 12 November 2010 di rumah keluarga wanita itu di Kerteh, Terengganu dengan hantaran RM15,000, tidak mempunyai cahaya mata.

ADUN PKR Perak 'serang' Speaker





2012/04/10

pix_gal0
IPOH: Hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-12 semalam dicemari dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai (PKR), Chan Ming Kai yang naik ke atas podium tempat duduk Speaker selepas mendakwa soalan lisannya ditolak tanpa alasan munasabah.

Beliau bagaimanapun hanya sempat berada seketika di atas podium itu untuk menunjukkan kertas soalannya kepada Speaker sebelum diheret keluar oleh pengawal keselamatan.
Speaker, Datuk R Ganesan kemudian memerintahkan Ming Kai keluar daripada dewan sehingga selesai persidangan.
Terdahulu, ketika sidang DUN mahu memulakan sesi soal jawab kira-kira jam 10 pagi, Ming Kai bangun mempersoalkan kenapa soalan lisannya tiada dalam senarai soalan yang akan dijawab pada sesi soal jawab sepanjang empat hari sesi itu berlangsung termasuk pada hari terakhir semalam.

Ganesan kemudian menjelaskan soalannya terpaksa ditolak mengikut Perkara 23(1) Perintah Tetap DUN Perak kerana ada menyebut nama individu.

Ming Kai bagaimanapun menafikan ada menyebut nama individu dalam soalannya dan terus meminta penjelasan daripada Ganesan.

Selepas kira-kira 10 minit tergendala, Ganesan mengarahkan sesi soal jawab diteruskan tetapi Ming Kai terus berdiri dan mempersoalkannya walaupun ketika itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sedang berdiri menjawab soalan lisan pertama oleh Datuk Mohd Najmuddin Elias al-Hafiz (BN-Batu Kurau). 
Berikutan itu, Zambry bertanya siapa yang sepatutnya berdiri dan berucap ketika itu. Ganesan kemudian meminta Zambry meneruskan jawapannya.

Tidak puas hati pertanyaannya tidak dihiraukan, Ming Kai berjalan ke podium membawa sehelai kertas dipercayai mengandungi soalan lisan.

Sebaik menghampiri Speaker, Ming Kai menunjukkan kertas itu kepada Ganesan dalam keadaan marah sebelum Bentara Dewan dan pengawal keselamatan menghalangnya daripada terus berada atas podium.

Beberapa ADUN penyokong kerajaan kemudian kedengaran berkata 'ini perbuatan kurang ajar' dan `tidak ada adab' terhadap Ming Kai.

Ming Kai pada sidang media kemudian mendakwa, ia bukan kali pertama soalannya ditolak kerana pada sesi DUN lalu, beberapa soalannya ditolak sehingga tidak dapat mengawal kemarahannya.

Ganesan pada sidang medianya pula berkata, beliau mengarahkan Ming Kai keluar mengikut Peraturan 23(1) Perintah Tetap DUN berikutan soalannya tidak boleh dijawab kerana terikat dengan rahsia kerajaan negeri.

Zambry pula menyifatkan perbuatan Ming Kai tidak wajar dan mengejutkan semua pihak.

Katanya, soalan Ming Kai terlalu terperinci termasuk ada yang terikat di bawah Akta Rahsia Rasmi.