Sunday, November 22, 2015

Dua NGO Buat Laporan Polis Siasat Nurul Izzah


Diterbitkan: Ahad, 22 November 2015 8:37 PM

KUALA LUMPUR: Dua badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar bertemu Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

Persatuan Kebangsaan Anak Polis Malaysia (PKAPM) dan Gabungan NGO-NGO Malaysia meminta pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Nurul Izzah kerana 'mengkhianati rakyat Malaysia', terutama ahli keluarga anggota polis yang terkorban di Lahad Datu semasa pencerobohan perairan negara pada 2013.

Presiden PKAPM, Mohammed Duranny Izham berkata pihaknya kecewa, sedih dan marah dengan tindakan Nurul Izzah, yang boleh dianggap seperti berkomplot dengan musuh negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu dengan diiringi kira-kira 50 anggota dari NGO terbabit.

PAS P Pinang arah semua JKKK letak jawatan



KEPALA BATAS: PAS minta semua ahlinya yang menyertai Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di Pulau Pinang melepaskan jawatan berkuat kuasa hari ini.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Yusof, berkata arahan itu membabitkan 1,083 ahli JKKK PAS di seluruh negeri termasuk di kawasan kuota PKR dan DAP.
"Surat arahan penamatan perkhidmatan itu akan diedarkan kepada semua JKKK PAS di negeri ini dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian bahawa perjuangan PAS yang sudah tidak sehaluan dengan Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.
"Kita tidak lagi bertolak ansur dengan kerajaan negeri kerana sudah terlalu lama bersabar dan tidak akan memberi muka lagi.
"Penamatan perkhidmatan ini dipersetujui majoriti ahli JKKK PAS Pulau Pinang dalam dua pertemuan yang diadakan sebelum ini," katanya.
PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang, Fauzi Yusof.

Nurul Izzah boleh dianggap penderhaka


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
BERA - Tindakan Naib Presiden PKR,‎ Nurul Izzah Anwar yang bergambar bersama anak perempuan bekas ketua pengganas Sulu, Jamalul Kiram III baru-baru ini adalah satu bentuk penderhakaan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan Nurul Izzah itu bukan sahaja tidak wajar malah mengguris perasaan rakyat Sabah dan waris anggota keselamatan yang terkorban dalam  pertempuran dengan kumpulan pengganas itu dua tahun lepas.
"Bagi saya bertemu dengan salah seorang anggota yang mengisytiharkan perang ke atas Malaysia ini sebagai satu tindakan penderhakaan kepada negara yang boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Kanun Keseksaan kerana mengisytihar perang terhadap Yang di-Pertuan Agung.
"Kita amat memuji tindakan awal Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan pihak polis akan mengambil tindakan seterusnya terhadap Nurul Izzah sebab ia adalah satu jenayah besar yang tidak boleh dibiar," katanya.
[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram' ]
Anggota Parlimen Bera itu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Khatan Perdana Parlimen Bera anjuran Pemuda Umno Bera di Kompleks Belia dan Sukan, Bera, di sini hari ini. 
Turut hadir Ketua Pemuda Umno Bera, Zool Ihsan Ahmad dan Ketua Wanita Umno Bera, Sabariah Saidan.
Seramai 235 kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun terlibat dalam program berkhatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata perbuatan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak sensitif dengan perasaan rakyat Sabah yang masih dalam ketakutan ekoran pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang didalangi kumpulan itu.
"Nurul Izzah tidak hormati perasaan rakyat Sabah yang takut ketika itu hingga kini yang memaksa kita menubuhkan Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) dan juga pihak Polis Diraja Malaysia kerana yang terbunuh dalam pertempuran itu adalah anggota polis," katanya.
Justeru katanya, walaupun Nurul Izzah meminta maaf dan kesal dengan pertemuan bersama anak perempuan Jamalul Kiram 111, Jacel Kiram, ia tidak boleh diterima dengan mudah kerana perbuatan itu akan menjadi ikutan pihak lain.
"Sepatutnya Nurul Izzah sedar lebih awal lagi, ia adalah satu kesalahan dan permohonan maaf itu tidak boleh kita terima dengan mudah sebab ia akan beri isyarat yang tidak bagus pada pihak lain dan mereka berkemungkinan akan membuat kesilapan yang sama," katanya.
Nurul Izzah sebelum ini menyatakan kekesalannya berhubung penyebaran gambar berkenaan dan menegaskan, beliau tidak sekali-kali memanggil mesyuarat atau pertemuan dengan Jacel Kiram dan tidak pernah berkenalan dengan wanita tersebut.
Katanya Jacel merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur program, iaitu Majlis Hal Ehwal Filipina dan Institut Asia Untuk Demokrasi, Pejabat Datuk Bandar Manila dan Pejabat Naib Presiden Filipina.
Semua yang hadir pada majlis itu bergambar dengan beliau sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta. - Bernama

Muhyiddin, Shafie Apdal ‘terselamat’ dari dipecat


Muhyiddin Shafie

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada hari ini menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan dikenakan tindakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti, pada Selasa ini.
Tengku Adnan berkata, siasatan terhadap kedua-dua pemimpin itu oleh Lembaga Disiplin parti masih berjalan dan Umno tidak akan mengenakan tindakan termasuk memecat atau menggantung ahlinya sesuka hati, lapor sebuah portal.
“Mesyuarat berkenaan yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini diawalkan kepada Selasa kerana masa yang semakin suntuk sebelum Perhimpunan Agung Umno 2015 bulan depan dan diadakan di Parlimen bagi memudahkan ahli MT yang kebanyakannya ahli Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berkhatan Perdana Peringkat Wilayah Persekutuan 2015 di sini, pagi ini.
Sebelum ini, timbul desas desus mengatakan Muhyiddin dan Shafie akan dikenakan tindakan termasuk dipecat atau digantung daripada parti itu pada mesyuarat MT Umno Selasa ini.

Perangi IS bukan bermakna perangi Islam - Obama

AHAD, 22 NOVEMBER 2015 @ 4:24 PM
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama. - Foto AP
Oleh Magendran Rajagopal dan Syed Azwan Syed Ali KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan peperangan menentang militan Negara Islam (IS), bukan peperangan menentang Islam.
Ia adalah memerangi keganasan merentasi agama, kaum dan latar belakang.
Presiden AS itu juga menegaskan rantau Asia sebagai kritikal dalam menangani keganasan global.
Obama berkata demikian pada sidang media di sini sebentar tadi bagi mengakhiri lawatan tiga hari ke Malaysia hari ini.
Obama tiba di sini sejak Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-10 sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Boleh siasat bawah SOSMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Nurul Izzah Anwar boleh disiasat mengikut Sosma dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana bertemu dengan musuh negara, Puteri Sulu Jacel H. Kiram.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini kertas siasatan belum dibuka tetapi pemimpin pembangkang itu mungkin dipanggil untuk diambil keterangan minggu depan.
Menurutnya, walaupun Nurul Izzah sudah mengeluarkan kenyataan memohon maaf tetapi pihak polis masih perlu mendapatkan keterangan mengenai tujuan pertemuan itu diadakan.
"Ini perkara serius, mengapa seorang ahli Parlimen perlu bertemu dengan musuh negara yang mengorbankan banyak nyawa rakyat negara ini.
"Pertemuan itu sangat meragukan, mana tahu mungkin serangan di Lahad Datu itu didalangi oleh rakyat kita sendiri,"katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu lebih kepada dirancang dan bukannya kebetulan dan pihaknya bimbang tindakan ini boleh mengancam keselamatan negara.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 10:30 AM


GAMBAR Nurul Izzah bersama Puteri Jacel. FOTO Facebook
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94926#sthash.Oy0bLk2Y.dpuf

Nurul Izzah Kesal Gambar Bersama 'Puteri' Sulu Singgung Rakyat Malaysia


Diterbitkan: Sabtu, 21 November 2015 8:13 PM
Nurul Izzah (kiri) bersama Jacel Kiram.

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung lawatannya ke Manila yang mencetuskan kontroversi, dengan menyedari gambarnya bersama 'Puteri' Sulu, Jacel Kiram telah menyinggung perasaan rakyat Malaysia.
Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau menyedari terdapat laporan polis terhadapnya berikutan pertemuan bersama Jacel pada 9 November lalu.
"Tiada apa yang hendak saya sembunyikan dan saya lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai lawatan saya," kata Nurul Izzah dalam satu pesanan teks kepada The Star Online.
"Saya memahami keluarga wira negara yang terkorban di Lahad Datu ketika pencerobohan, ahli keluarga Sabah yang terkesan termasuk rakyat Malaysia secara umumnya terkilan dengan gambar saya bersama Jacel Kiram dan untuk itu saya amat kesal," katanya.
"Simpati dan sokongan saya sentiasa terhadap wira-wira negara, mangsa pencerobohan dan masyarakat yang terkesan akibat daripada konflik berterusan dan tuntutan pihak pemisah," katanya.
Nurul Izzah berkata, beliau berkunjung ke Filipina pada 9 November lalu bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, yang merupakan sebahagian daripada delegasi parti mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan politik di negara itu.
Beliau berkata, kunjungan itu dianjurkan oleh Majlis Hal Ehwal Filipina, Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat naib presiden Filipina.
Bagaimanapun Nurul Izzah berkata, beliau tidak merancang untuk mengadakan sebarang pertemuan dengan Jacel dan belum pernah bertemu dengan wanita itu sebelum ini.
"Sebaliknya, dia (Jacel) merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput oleh penganjur," katanya.
"Semua yang hadir pada pertemuan itu mengambil gambar bersama saya sebagai sokongan terhadap satu kumpulan kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesak ketua umum PKR itu dibebaskan," kata Nurul Izzah.
Selain Jacel, hadir pada pertemuan itu adalah bekas gabenor dan ahli kongres Batangas Hermilando Mandanas, ahli kongres Regina Reyes dan Silvestre Bello, Dekan Undang-undang, Amading Valdez, bekas ahli kabinet Romy Nery dan bekas Setiausaha Kehakiman Wencie Andanar serta ahli kakitangan naib presiden Filipina dan Datuk Bandar Manila.
Gambar-gambar Nurul Izzah bersama Jacel mencetuskan kontroversi, dengan ahli-ahli Parlimen dan rakyat menuntut beliau memberikan penjelasan.
Jacel merupakan anak kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III yang mengarahkan pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.
Allahyarham Jamalul Kiram III sebelum ini pernah mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Sulu, dalang di sebalik insiden pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013.

MESTI BACA!!! Apakah Allahyarham ASP Mior Fahim Bin Ahmad telah dibunuh setelah mendedahkan penglibatan pegawai2 tertinggi polis dengan sendikit judi haram di Johor


AKUAN BERKANUN
Saya, MIOR FAHIM BIN AHMAD (K/P Polis No: G/13237) yang beralamat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Jabatan Siasatan Jenayah, Johor dengan ini sesungguhnya dan seikhlasnya berikrar dan menyatakan seperti berikut:-

1. Saya bekerja sebagai seorang pegawai polis berpangkat Assisten Superintendan (ASP) di Cawangan D7 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), JSJ, Johor. Saya membuat Akuan ini demi menjaga keselamatan peribadi dan integriti saya sebagai seorang pegawai polis berhubung tugasan dan siasatan yang saya lakukan dan arahan yang saya terima.

2. Pada 21.08.2006, saya telah terima arahan kenaikan pangkat dari C/Insp ke ASP melalui E-Siar. Kenaikan pangkat saya berkuatkuasa mulai 01.07.2005.

3. Pada September 2006, saya telah berjumpa dengan KBPD IPD Kota Kinabalu – DSP. CHEW THAM SOON dan meminta bantuan beliau untuk menguruskan penempatan saya jawatan SIO Kota Kinabalu seandainya beliau mempunyai kenalan di bahagian perjawatan Bukit Aman, disamping itu saya juga telah memohon bantuan beberapa pegawai kanan lain yang saya kenali.

4. Saya telah berjumpa dengan DSP. CHEW THAN SOON dan saya bertanyakan penempatan saya. Kemudian saya dimaklumkan beliau telah mencadangkan saya ke jawatan D7, IPK Johor. Saya tidak bersetuju dan meminta beliau untuk mengekalkan saya di IPD Kota Kinabalu. DSP CHEW THAM SOON meyakinkan saya untuk pertukaran ke D7 Johor.

5. Pada November 2006, saya mula dikenalkan kepada BK TAN. Saya bersama DSP. WAN HASSAN (Tim. Komandan PULAPOL Kota Kinabalu) di bawa oleh DSP. CHEW THAM SOON ke sebuah pejabat yang terletak di bangunan AM-CORP, Petaling Jaya, Selangor. Kami telah berjumpa dengan seorang lelaki Cina yang dikenali sebagai BK TAN. Dalam perjumpaan terebut DSP. CHEW THAM SOON telah mengenalkan saya kepada BK TAN. Kemudian saya telah ditemu bual oleh BK TAN berhubung pengalaman kerja.

6. Semasa perjumpaan tersebut, telah datang seorang lelaki Cina gemuk yang mengenalkan dirinya sebagai AH HON. Dalam temubual tersebut, BK TAN memberitahu bahawa apabila saya bekerja di bahagian D7, IPK Johor, hendaklah bekerja dengan baik. BK TAN juga beritahu saya AH HON merupakan orang yang menjaga ZON SELATAN dan memberitahu sekiranya ada apa-apa hal AH HON akan berhubung dengan saya. Kemudian telah masuk seorang lelaki Melayu di pejabat sebelah, lalu BK TAN telah pergi menyambut lelaki tersebut.

7. DSP CHEW memberitahu saya bahawa lelaki melayu itu adalah salah seorang Ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) iaitu DATO’ OTHMAN TALIB, yang mempunyai hubungan baik dengan BK TAN, dengan tujuan memudahkan urusan untuk kenaikan pangkat di masa hadapan.

8. Dalam waktu yang sama, masuk seorang lelaki Cina pendek ke Pejabat tersebut. AH HON telah mengenalkan bahawa lelaki Cina tersebut adalah PT-D7 JOHOR (DSP. NG FOOK LONG). DSP CHEW juga memberitahu saya bahawa BK TAN mempunyai perhubungan yang amat baik dengan TAN SRI KPN dan akan mendengar setiap cadangan dan nasihat BK TAN. DSP CHEW juga menunjukkan seorang lelaki melayu yang sedang bekerja di pejabat bersebelahan dan memberitahu bahawa orang itu adalah anak lelaki TAN SRI KPN. Sewaktu saya di pejabat BK TAN, saya juga lihat AH HON telah membawa keluar satu arahan pertukaran yang baru keluar dan arahan pertukaran tersebut dibincangkan oleh mereka bersama.

9. Pada Disember 2006, saya telah menyemak E-Siar dan mendapati nama saya terdapat dalam arahan pertukaran tersebut untuk melapor diri sebagai ASP D7, IPK Johor. Pada hari yang sama juga AH HON telah menghubungi saya melalui talipon dan bertanyakan kepada saya bila hendak melaporkan diri dan meminta saya untuk melaporkan diri dengan cepat.

10. Lebih kurang 2-3 hari selepas arahan pertukaran keluar, saya telah menalipon beberapa pegawai kanan yang saya kenali ACP ROSLI MD ISA, DCP DATO’ MOKTHAR BIN HASSAN, ACP AZIZAN ABU TAAT yang pernah bertugas di Johor. Mereka menasihatkan saya supaya berhati-hati dengan sindiket ekor haram dan pelacuran di Negeri Johor.

11. Pada 16.01.2007, saya telah melaporkan diri di IPK Johor. Apabila saya melaporkan diri, AH HON telah menghubungi saya dan memaklumkan rumah telah disediakan. Saya kemudian telah terus pergi ke rumah tersebut di Bistari Impian, Larkin dan berjumpa dengan tuan rumah. Tuan rumah tersebut adalah seorang perempuan Cina. Saya bertanyakan tentang harga sewa sebulan dan beliau mengatakan harga biasa adalah RM1,200/- sebulan tetapi beliau menawarkan untuk saya hanya dengan RM900/- sebulan dan pada masa yang sama juga saya meminta beliau untuk menyediakan surat perjanjian sewa rumah. Beliau mengatakan “Tuan duduk dululah nanti baru kita kira”.

12. Semasa saya melaporkan diri kepada PT-D7 DSP. NG FOOK LONG, beliau telah meyampaikan beberapa arahan penugasan dan memberi arahan semua serbuan boleh dibuat ke atas aktiviti haram kecuali judi empat nombor ekor haram dan hendaklah memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

13. Pada 28.02.2007, saya telah terima sms dari AH HON dari talian no. 017-2551255 yang berbunyi “Tolong Ambil Tindakan Serta Merta 4A(a) atas Tiga Tempat berikut No. S38, S25A dan S37 Jalan Bukit Batu 11, Kulai Johor. Tugasan dari atas tengah perhatikan. Jangan balik kosong”. Saya kemudian telah memaklumkan kepada PT-D7 DSP. NG FOOK LONG dan beliau pun mengatakan ada menerima sms yang sama. Saya memberitahu DSP NG FOOK LONG, “Kita pegawai polis dan tidak boleh ikut arahan AH HON” yang saya dapati ahli sindiket haram. DSP NG FOOK LONG hanya mendiamkan diri.

14. Pada awal Mac 2007, saya telah keluar dari rumah yang disediakan oleh AH HON dan mencari rumah sewa sendiri di Bandar Baru Uda. Saya telah menguruskan sendiri penyewaan dan perpindahan ke rumah tersebut.

15. Saya juga telah terima sms dari AH HON, dimana AH HON meminta maaf di atas arahan beliau untuk buat serbuan. Selepas dari itu, tiada perhubungan lagi dengan AH HON.

16. Sekita waktu sama pada awal Mac 2007, saya telah terima maklumat dari anggota D7 iaitu SM/D.94894 Manimaran, Sjn/D.104700 Raja Kumar, Sjn/D.88548 Tow Pong Yew, L/Kpl/D.115161 Asmawi Bin Utar dan Sjn. 89379 Yassim Bin Malek – dari IPD Kluang, Johor bahawa sindiket TENGKU (GOH CHENG POH) dibawah seliaan AH HON telah aktif menjalankan kegiatan judi empat nombor ekor haram dengan memonopoli seluruh Negeri Johor, dimana TENGKU mempergunakan Pegawai dan Anggota D7 untuk membuka kes fail ke atas mana-mana ajen/penganjur yang tidak tunduk kepada sindiket tersebut. Mana-mana pegawai dan anggota tidak mengikut telunjuk sindiket ini akan ditukarkan ke PGA.

17. Ada diantara anggota D7 yang tidak dapat menerima perkara ini telah memohon untuk bertukar keluar dari D7, IPK Johor tetapi tidak disokong oleh PT-D7 terdahulu iaitu DSP. MOHD HEDZIR BIN HUSSIN dan SI/D.59920 NG SWEE MIN. Atas sebab tersebut, saya telah mengeluarkan arahan kepada Pegawai D7 dan anggota D7 supaya mendapatkan maklumat ke atas kegiatan sindiket TENGKU untuk penyediaan kes fail.

18. Pada 28.03.2007, sepasukan Pegawai dari D7 Bukit Aman, Kuala Lumpur yang di ketuai DSP. ZAWAWI telah membuat serbuan/tangkapan ke atas dua (2) pusat pengiraan judi empat nombor ekor loteri awam haram iaiatu di Taman Sri Putri, Kulai Johor dan Taman Sentosa, Johor Bahru. Dalam tangkapan tersebut sejumlah 32 buah mesin faks dan tujuhbelas (17) orang telah ditangkap bersama lebih kurang 3,000 helai “ekod of stake”, Rujuk: Kulai Report: 2588/2007 dan Johor Bahru Selatan Report: 7295/2007.

19. Hasil dari risikan yang diperolehi dari tangkapan-tangkapan di atas, saya telah membuka kes fail dibawah Ordinan Darurat (KA & MJ) 5/69 ke atas tiga (3) orang subjek yang terlibat langsung dengan TENGKU. Manakala kes fail terhadap TENGKU tidak dapat dibuka kerana kekurangan “statement”. Tiga (3) orang subjek yang diambil tindakan kes fail adalah bernama:-

(a) SOH KING SIANG;
(b) LIM CHIN CHAI; dan
(c) LEE YOKE HAN.

20. Ketiga-tiga kes fail ke atas subjek terserbut diatas telah diedarkan ke D7, Bukit Aman, untuk kelulusan tangkapan di bawah Sek. 3(1) Ord. Darurat (KA & MJ) 5/69. Namun, sehingga kini ia masih belum diluluskan.

21. Kemudian dari itu, saya dapati tigabelas (13) orang dari tujuhbelas (17) tangkapan di atas telah membuat laporan Polis dengan mendakwa saya dan anggota-anggota yang terlibat dalam soalsiasat dan merakam percakapan risikan telah memukul mereka semasa dalam tahanan dan rakaman percakapan risikan, dimana kebanyakkan tangkapan adalah wanita tua.

22. Akibat daripada laporan yang di buat oleh tangkapan-tangkapan di atas, satu pasukan TATATERTIB diketuai oleh DSP. Navamaney telah merakamkan percakapan saya dan anggota terlibat. Siasatan Tatatertib menjurus kepada membantu kepada pihak sindiket, sedangkan saya dan anggota tidak menggunakan sebarang kekerasan terlebih lagi terhadap wanita tua. Selang dua hari kemudian, saya dapati DSP. Navamaney telah dinaikkan pangkat P/SUPT.

23. Pada 30.03.2007, saya dan anggota D7 telah menangkap tiga (3) orang subjek di bawah Sek. 3(1) Ordinan Darurat (KA & MJ) 5/69 yang merupakan ahli sindiket TENGKU. Butiran diri mereka adalah seperti berikut:-

(a) CHAI NGEW;
(b) CHIN YEW FAH; dan
(c) TAN LEE POEY

24. Subjek (i) dan (ii) telah ditahan di lokap Balai Polis Larkin, dimana ketiga-tiga mereka ditahan untuk tempoh 60 hari sementara arahan KKDN. Selepas sembilan (9) hari kemudian, ketiga-tiga subjek di atas dibebaskan tanpa pengetahuan saya, sedangkan saya merupakan IO kes fail. Mereka telah dibebaskan oleh P/DSP. NG FOOK LONG di atas arahan DATO KHALID BIN ABU BAKAR – Tim. Pengarah JSJ 1 – (Operasi/Risikan). Setelah meneliti ketiga-tiga kes fail tersebut, saya dapati mereka dibebaskan dengan alasan, telah insaf, tiada kekerasan dan menjalankan aktiviti secara individu, sedangkan arahan PJSJ No. 2/2005 masih dikuatkuasakan.

25. Pada 29.05.2007, saya telah meneliti E-Siar dan mendapati lima orang pegawai D7, IPK Johor telah ditukarkan keluar dari Bahagian D7, IPK Johor dan salah seorang pegawai saya bernama C/INSP. SUNDAR RAJAN A/L ELLUMALAI (I/12413) telah ditukarkan-ke PGA SIBU. Saya dapati pengawai ini ditukarkan kerana beliau telah terlibat dalam merakamkan percakapan risikan ke atas seorang tangkapan bersabit J.BAHRU REPORT: 7295/2007 yang mendedahkan secara positif penglibatan TENGKU dalam penganjuran aktiviti perjudian empat nombor ekor loteri awam haram. Selain itu, pegawai ini juga aktif dalam menangkap ajen-ajen menulis judi empat nombor ekor loteri awam di bawah sindiket TENGKU.

26. Adalah saya mengatakan bahawa sebagai seorang pegawai polis, saya merasa amat tertekan bahawa tindakan saya dalam menjalankan risikan terhadap kegiatan jenayah judi haram yang membabitkan sindiket dibawah naungan TENGKU dan BK TAN boleh menyebabkan saya dikenakan siasatan oleh Bahagian Tatatertib. Saya menganggap ini satu penganiayaan terhadap diri, kerjaya, keluarga dan nama baik saya.

Dan saya membuat pengakuan ini dengan sesungguhnya mempercayai bahawa yang sama adalah benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun, 1960.

DITANDATANGANI DAN DIIKRAR )
SESUNGGUHNYA oleh MIOR FAHIM BIN )
AHMAD (G/13237) tersebut di atas di Kuala Lumpur )
pada haribulan 2007 )

Di hadapan saya,

Pesuruhjaya Sumpah

(The original copy of the above was signed and personally delivered to Tun Dr Mahathir Mohamad by Raja Petra Bin Raja Kamarudin).

Raja Petra Kamarudin
-malaysia-today-

Umrah, Panggilan Telefon Kenangan Terakhir Isteri ASP Mior Fahim




Salah seorang anak Allahyarham Asp Mior Fahim menabur bunga ke pusara ayahnya sambil diperhatikan oleh ibunya, Nor Anidah. - fotoBERNAMA
IPOH: Panggilan telefon pagi semalam bertanyakan khabar anak-anak menjadi kenangan perbualan terakhir kepada isteri ASP Mior Fahim Ahmad, yang ditemui mati selepas hilang ketika mandi di air terjun Sungai Tungku, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Banun di Gerik pagi Rabu.

Nor Anidah Ahmad Nawawi, 41, seorang jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini juga tidak menyangka perbuatan yang bukan amalan kebiasaan suaminya jika bertugas di luar daerah itu, adalah perbualan terakhir mereka berdua.

"Pada pukul 7.30 pagi semalam, sebelum masuk hutan, suami ada hubungi saya, dia tanya anak-anak pergi sekolah tak, saya pelik, suami sebelum ini bila keluar bertugas tidak pernah telefon. Semalam saya ada 'whatsapp' dia, tapi tak balas," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman ibu mentuanya di Kampung Tersusun Batu Lima di Tambun di sini Rabu.

Lebih menyayat hati, ibadah Umrah yang disertai mereka berdua pada 10 hingga 21 Mei lepas juga menghiasi kenangan terakhir paling manis, katanya.

Beliau berkata apatah lagi apabila Mior Fahim beria-ria menempah jubah berwarna krim semasa mengerjakan umrah untuk dipakai mereka sekeluarga pada Aidilfitri, akhir bulan depan.

"Biasanya dia tak buat tapi di sana dia pergi jumpa tukang jahit, dia agak-agak saiz untuk anak-anak. Memang bila balik rumah, saiz jubah tu elok-elok sesuai untuk anak-anak," katanya.

Nor Anidah berkata perkongsian hidup dengan Mior Fahim diserikan dengan tujuh cahaya mata, empat anak lelaki dan tiga anak perempuan, berusia antara 15 dan dua tahun.

Si isteri juga berkata pada Ahad lepas, suaminya menukar dua buah televisyen termasuk membeli sebuah 'Smart TV' untuk diletakkan di dalam bilik tidur bagi menonton perlawanan Piala Dunia.

"Dia juga nak bawa anak-anak semua pergi bercui ke Sabah, hujung tahun ini, sebab dia kata Sabah tempat dia kerja selama 11 tahun selain mahu bawa saya pergi tunaikan ibadah Haji jika ada rezeki," katanya.

Beliau berkata pada 11.30 malam Selasa, seorang kawan menghubunginya bertanyakan Mior Fahim dan kemudian beliau melayari akaun Facebook (FB) milik suami.

"Saya buka FB suami, saya tengok ada komen-komen yang doakan semoga suami saya selamat dan dijumpai. Anak kedua saya pula buka berita online dan baca berita, dia menangis. Pada tengah malam, ada anggota polis datang rumah dan beritahu suami saya hilang," katanya.

Katanya beliau tidak tidur sepanjang malam Selasa dan berita kehilangan suaminya diberitahu kakak ipar yang berada di Gerik pada 8 pagi Rabu.

Nor Anidah berkata Mior Fahim adalah anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

"Dia juga ada menelefon emaknya sebelum masuk hutan, tapi mak tak dengar sebab ada masalah pendengaran dan mengalami lumpuh," katanya.

Beliau berkata Mior Fahim mula berkhidmat dengan PDRM pada 1995 dan berpengalaman bertugas di Sabah, Johor dan Pahang selain pernah terlibat dalam operasi selama 21 hari menentang penceroboh di Lahad Datu, Sabah tahun lepas.

Jenazah Mior Fahim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun petang Rabu, katanya./mstar

Dipetik dari fb

34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan

34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan
 Mohd Isa (tiga dari kiri) mewakili 33 ketua cawangan yang hadir mendesak Presiden Umno meletak jawatan‎. - Foto Sinar Harian
NURUL ATIQ AHMAD BANDI


PORT DICKSON - Seramai 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden Umno.
Kenyataan dibuat di hadapan media oleh ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah menghadiri sesi suai kenal serta mengadakan mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam bermula kira-kira 3 petang di sini, hari ini.
Menurut Mohd Isa, mereka sebulat suara mendesak Presiden Umno meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu dalam memimpin parti nombor satu Melayu itu.
Menurutnya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan yang begitu tinggi.
“Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan Umno.
“Melalui mesyuarat ini juga, kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap timbalan presiden, naib presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli Umno yang tampil membuat kritikan kepada parti,” katanya pada sidang media berkenaan, hari ini.
Mohd Isa juga mendakwa mereka sudah mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain dari seluruh negara dan bercadang mengadakan himpunan besar-besaran akhir bulan depan berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, lokasi penganjuran masih belum ditetapkan.
“Kita yakin akan mendapat sokongan lebih satu perempat daripada cawangan Umno di seluruh negara.
“Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam Umno kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua Umno cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan,” katanya.
Pertengahan bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang mengadakan sidang media mendesak Najib meletak jawatan.
Ia disusuli dengan tindakan 10 cawangan Umno di bahagian Sepang yang turut membuat kenyataan sama, Rabu lalu.

Kisah benar amah jadi jurugambar

22 NOVEMBER 2015
Xyza Cruz Bacani
Xyza Cruz Bacani

SIAPA sangka hidupnya yang dulu hanya pembantu rumah di Hong Kong, hari ini dia mampu mengelilingi dunia dengan sebuah kamera yang tidak lekang di tangan.
Xyza Cruz Bacani gadis berusia 28 tahun mula dikenali selepas memenangi biasiswa sebuah Yayasan Hak Asasi Manusia untuk menyambung pengajian ke Universiti New York dalam pengajian fotografi selama enam minggu.
Kini Xyza dikenali sebagai jurugambar jalanan dan dokumentari Filipina di mana karyanya banyak disiarkan New York Times Lens Blog, CNN dan beberapa agensi media antarabangsa yang lain.
Menurut BBC, namanya dikenali bukan kerana hanya kerana hasil kerjanya namun juga cerita penuh inspirasi di sebalik kejayaan itu.
Anak kelahiran Bambang, Nueva Vizcaya, Filipina ini bekerja sebagai pembantu rumah hampir sepuluh tahun dan di situ dia ‘bercerita’ tentang komuniti sekitarnya yang penuh kisah tersurat dan tersirat.
Apabila dia berpeluang keluar dari rumah walau hanya untuk membeli barang dapur, dia tidak meninggalkan kamera digital yang dibeli dengan meminjam wang dari majikannya.
“Apabila saya keluar, saya rasa tenang. Hanya saya dan kamera. Saya bukan pekerja asing dari Filipina. Saya bukan pembantu rumah. Saya hanya gadis yang membawa kamera. Itu yang saya rasa setiap kali saya menangkap gambar.
“Saya tidak malu menjadi pembantu rumah. Malah saya bangga dengan kerja itu tapi anda juga tidak boleh nafikan bahawa wujudnya diskriminasi, stereotaip apabila anda menjadi pekerja asing. Jadi, fotografi adalah pelindung saya dari rasism dan diskriminasi,” ceritanya seperti dilapor Inquirer.net.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan, Xyza ke Hong Kong menyertai ibunya yang telah terlebih dahulu bekerja sebagai pembantu rumah di sana.
Majikan ibunya itu telah membiayai pengajiannya sejak dulu dan selama sembilan tahun dia bekerja dengan wanita yang telah menerima ibunya bekerja sejak 20 tahun lalu itu.
Akui hanya bermula sebagai hobi, namun lama-kelamaan, menangkap gambar sudah menjadi sebahagian hidupnya yang diumpakan bagai makan tak kenyang, mandi tak basah jika tidak mengambil gambar untuk sehari.
Dari hanya merakam gambar-gambar jalanan, Xyza beralih kepada fotografi dokumentari yang memfokus kepada populasi pembantu rumah yang sangar besar di Hong Kong.
“Apabila saya mula melawat pembantu-pembantu rumah yang didera di Bethune House Migrant Women’s Refuge, saya sedar bahawa saya ada tanggungjawab untuk menjadi suara kepada mereka,” katanya.

Miliki 15 anak perempuan


PASANGAN ini bersama Vijay (lima dari kanan) dan sebahagian anak perempuan mereka. - AGENSI


GUJARAT, India – Gara-gara terlalu inginkan anak lelaki, seorang ibu di sini tidak pernah putus asa untuk mengandung menyebabkan dia kini memiliki sejumlah 15 orang anak perempuan terma­suk bayi terbaharu yang ke-16.
Kanu Sangod, 40, dari kampung Jharibhujhim, Gujarat sebelum ini te­lah melahirkan 14 orang anak perempuan dan akhirnya dikurniakan anak lelaki pertama bernama Vijay dua tahun lalu.
Dia yang terus mengandung anak ke-16 kerana mahu memberikan Vijay adik lelaki bagaimanapun telah menambah seorang lagi anak perempuan dan bayi itu kini masih belum diberi nama.
Sangod melahirkan kesemua anak­nya secara normal di rumah selepas berkahwin dengan suaminya, Ramsinh, 45, sejak 20 tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan seorang anak setiap tahun dan terpaksa menunggu sehingga 18 tahun untuk menimang anak lelaki.
“Saya mahu memberikan anak lelaki saya adik agar mereka dapat bergantung antara satu sama lain dan menjaga kesemua kakaknya, namun tidak berlaku sedemikian,” ujar Kanu.
Ramsinh bagaimanapun menegaskan dia tetap menyayangi anak pe­rempuannya dan sangat menginginkan anak lelaki bagi menjaganya ketika tua. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sBnapbdW 
Hakcipta terpelihara 

Sultan Johor ampun empat banduan


SULTAN IBRAHI M berkenan memberi pengampunan kepada empat orang banduan sempena Hari Keputeraan Baginda hari ini.


NUSAJAYA - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan memberi pengampunan kepada empat banduan sempena Hari Keputeraan baginda hari ini.
Kesemua banduan yang berdepan dengan hukuman mati atas kesalahan membunuh dan mengedar dadah sebelum ini, akan diringankan kepada penjara seumur hidup.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim berkata, dua daripada banduan itu yang dihukum atas kesalahan dadah kini menjalani hukuman penjara di Simpang Renggam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3sBmPmfCp 
Hakcipta terpelihara