KUANTAN - Beberapa penduduk keliru apabila menerima bil elektrik yang tinggi dan didakwa telah menggunakan bekalan elektrik secara curang di rumah serta premis mereka.
Penduduk, Kuan Yew Tang, 48, terkejut apabila terpaksa membayar bil sebanyak RM52,430.85 dan didakwa telah mengusik meter elektrik di premisnya itu yang menyebabkan dia perlu membayar jumlah berkenaan.
Menurutnya, dia tidak pernah menerima penyata ataupun perkiraan tentang jumlah tuntutan tersebut sebagaimana yang dinyatakan pihak TNB.
“Saya memang terkejut sebaik sahaja menerima surat daripada TNB ini dan terpaksa membayar jumlah yang amat tinggi ini.
“Selain itu, saya juga akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal menjelaskan bil tersebut dalam tempoh yang diberikan,” katanya.
Yew Tang berkata, dia sudah menyewa premisnya sejak 1 Mei 2005 dan pihak TNB ada memasang meter baru di situ pada Ogos 2006 serta tidak pernah mengusiknya yang boleh menyebabkan ia tidak berfungsi dengan betul.
Dia turut keliru apabila tidak menerima sebarang penjelasan secara terperinci yang mengatakan jumlah yang telah digunakan tersebut.
“Kalau ada butiran yang terperinci mengenai jumlah ini, ia sedikit sebanyak dapat membuktikan bahawa penggunaan meter elektrik saya telah diusik, tetapi tiada maklumat terperinci yang dinyatakan menyebabkan saya keliru.
“Oleh itu, saya berharap agar pihak TNB dapat menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum melakukan pemotongan elektrik di premis saya ini,” katanya.
Bagi Ng Chang Keong, 46, pula terkejut apabila turut didakwa membuat pengubahsuaian meter elektrik yang menyebabkan TNB terkurang caj RM2,3713.09 dan perlu membayarnya dalam tempoh yang ditetapkan.
“Saya tidak pernah mengusik meter elektrik di rumah saya ini, tetapi bagaimana jumlah seumpama ini direkodkan dan saya terpaksa membayarnya.
“Keadaan ini membuatkan saya keliru dan berharap agar satu maklumat terperinci mengenai jumlah ini dapat dinyatakan terlebih dahulu yang membuktikan penggunaan elektrik saya sebanyak ini,” katanya.
Sehubungan itu, masalah ini turut dipanjangkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming.
Pang berkata, pihaknya akan berbincang dengan TNB mengenai perkara ini dan berharap agar tiada tindakan dikenakan kepada penduduk ini sebelum segala maklumat dapat disertakan terlebih dahulu.
“Saya akan mengumpul semua kes yang ada ini untuk berbincang dengan pihak TNB dan penjelasan yang sewajarnya.
“Selain itu, saya juga harap agar pihak TNB dapat mengemukakan bukti atau kaedah bersistematik yang menunjukkan mereka ini telah melakukan pengubahsuaian meter elektrik sama ada di rumah atau di premis masing-masing,” katanya.
Sementara itu, jurucakap TNB Kuantan berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama ADUN Semambu serta penduduk yang terlibat untuk menjelaskan perkara ini secara lebih terperinci dalam jangka masa yang terdekat.