Friday, January 27, 2012

PAS Selangor Dedah Punca Hasan Ali Lempar Tuduhan Liar

SHAH ALAM,27 JAN : PAS Selangor mendedahkan punca kemarahan Dr Hasan Ali terhadap PAS adalah disebabkan beliau kehilangan jawatan dan kedudukan di dalam PAS Selangor sehingga menyebabkan pelbagai tuduhan liar dilemparkan kepada parti itu.
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan kemarahan Hasan terhadap PAS semakin melonjak apabila diketahui beliau tidak dicalonkan oleh PAS Gombak untuk kerusi Gombak Setia dalam (pilihanraya ke-13) PRU-13 walaupun dijelaskan keputusan itu bukan muktamad.
"Semenjak itu beliau mula mengambil sikap menyendiri dan mempertikaikan keseluruhan perjalanan PAS.
Beliau mendakwa PAS tidak lagi dikuasai golongan ulama sedangkan amat jelas tindakan beliau sendiri melanggar nasihat dan arahan ulama di dalam PAS. Kalau ada yang membelakangkan ulama,ianya dirinya sendiri dan bukan PAS," kata Hasbullah di dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam.
Hasan, bekas Exco Kanan Kerajaan Selangor dan Pesuruhjaya Pas Selangor, dipecat daripada partinya pada 8 Januari kerana tindakannya yang merugikan Pas.
Selepas pemecatnya, Hasan telah memulakan siri ceramah di mana beliau mendakwa Pas sudah hilang arah perjuangannya.
Tambah Hasbulllah, kedudukan Ulama dan PAS terjamin dan diinstitusikan di dalam perlembagaannya melalui kewujudan Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama.
Kedua-dua badan ini berkedudukan jauh lebih mulia dan terunggul di dalam Pas berbanding ulama di dalam Umno yang mana hanya disediakan Biro Agama yang setaraf dengan Biro Sukan.
"Dasar perjuangan PAS juga tidak berubah seperti terbukti dengan tiadanya apa-apa pindaan yang dibuat ke atas perlembagaannya. Adalah 'common sense' atau kefahaman asas bahawa sekiranya dasar sesebuah parti ingin ditukar,maka perlembagaannya perlu diubah," ujarnya.
Justeru menurut Hasbullah, rakyat diseru tidak tertipu dengan kata-kata nista daripada Hasan yang diberi galakan dan sokongan dari Umno dan Barisan Nasional atas sebab-sebab kepentingan politik mereka.
"Umum menyedari,dalam soal merosakkan seseorang individu tiada yang lebih hebat dari Umno,dalam kes Dr Hasan Ali adalah bukti akan kehebatan Umno dalam soal ini," ujarnya.
Sidang media itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor Wan Hasrina Wan Hassan.Kembara Jr @Blogspot: PAS Selangor Dedah Punca Hasan Ali Lempar Tuduhan Liar:

'via Blog this'

Majoriti rakyat AS bosan, mahu buang anggota Kongres


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Januari 2012
Majoriti rakyat AS bosan, mahu buang anggota Kongres

NEW YORK - Sementara Amerika Syarikat (AS) dilihat berpecah hampir dalam kebanyakan isu, kebanyakan rakyat negara itu bersetuju dalam satu perkara pokok - mereka sudah bosan dengan Kongres.

Kebanyakan pengundi yang ditemui, walaupun dari parti yang berlainan, mahu menukar setiap anggota dalam Kongres, jika ada opsyen untuk berbuat demikian.

Sekitar 56 peratus pengundi berdaftar berkata mereka akan mengundi keluar setiap anggota Kongres jika ada ruang untuk berbuat demikian.

Perkembangan itu, yang diperoleh menerusi hasil kajian NBC dan WSJ, merupakan respons paling tinggi memihak kepada soalan sejak ia kali pertama ditanya pada Mac 2010.

Dan, pandangan itu merentasi spektrum ideologi dengan 55 peratus golongan liberal, 55 peratus golongan sederhana dan 58 peratus konservatif mempunyai pandangan yang sama, lapor portal msnbc hari ini.

"Kami mendapati satu aspek di mana kesemua rakyat di negara bersetuju," kata pengendali kajian parti Republikan, Bill McInturff, yang menjalankan pungutan suara bersama Demoktrat Peter D. Hart.

McInturff berkata, memandangkan tahap populariti ke atas Kongres terus berada di paras rendah dengan 13 peratus buat masa sekarang, kesemua anggota berhadapan dengan risiko ditendang keluar dalam pemilihan, dijadualkan akhir tahun ini.

Pun begitu, anggota-anggota Republikan juga berhadapan dengan amaran sedemikian.

Kebanyakan rakyat berpandangan bahawa GOP membawa perubahan yang salah di Kongres (31 peatus) berbanding kumpulan mereka yang bersetuju (12 peratus).

Ia memperlihatkan satu penurunan bagi GOP berbanding setahun yang lalu, sejurus selepas mereka menguasai Dewan Perwakilan pada pemilihan pertengahan separuh penggal 2010.

Pada Januari 2011, seramai 25 peratus anggota Republikan berpandangan mereka akan membawa perubahan yang betul berbanding 20 peratus yang berpandangan sebaliknya.

Perkembangan sikap ini juga sangat jauh berbeza berbanding situasi apabila Demokrat menguasai Dewan Perwakilan pada 2006 (42 peratus / 15 peratus) dan Republikan menguasai majoriti pada 1994 (37 peratus / 11 peratus).

"Rakyat mahu Kongres melakukan sesuatu, bertindak dengan bertanggungjawab dan membetulkan ekonomi," kata McInturff sambil menambah, jika tidak "mereka boleh berhadapan dengan risiko."

Majoriti rakyat AS bosan, mahu buang anggota Kongres - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

[PANAS] Andrew Hornery Dakwa Pereka Fesyen Dedah Rosmah Tempah 61 Pakaian Mahal, Sudah Tentu Bukan Kameja T


Saya petik:

[MK] Kolumnis The Sydney Morning Herald, Andrew Hornery (gambar) tetap mempertahankan tulisannya bahawa isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak - Datin Seri Rosmah Mansor - berbelanja besar di butik pereka fesyen Carl Kapp semasa bercuti di bandar itu.

"Kapp berkata beliau menempah 61 pakaian. Katanya ia tempahan "besar". Barangan mahal. Beliau bukannya beli kemeja-T," jawab Hornery di Twitter hari ini.

Hornery menegaskan bahawa sumbernya "sangat kuat" dan bertegas bahawa perbelanjaan Rosmah itu membabitkan jumlah yang besar.Hornery menjadi sasaran kecaman penulis blog pro-Umno, yang habis-habisan memburuk-burukkan perwatakannya dengan kenyataan provokasi mengenai seksualitinya.

Selepas dikecam ekoran laporannya tentang perbelanjaan 'mewah' Rosmah itu, Hornery berkata beliau tidak berhasrat untuk datang Malaysia.

"Saya tidak akan bercuti di Malaysia dalam masa terdekat ini," tulisnya lagi.

Minggu lepas, Hornery dalam kolum 'Private Sydney' berkata Rosmah telah membelanjakan A$100,000 (kira-kira RM325,000) untuk 61 pakaian di butik Kapp.

Rosmah Mansor bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut sebagai "karut, dibesar-besarkan secara liar dan tidak benar" serta berkata beliau "selalu menjadi mangsa".

Kapp kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang mengatakan
Rosmah memang membeli-belah di butiknya tetapi menafikan pernah berkata beliau telah membelanjakan A$100,000.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, Kapp berkata, Rosmah dan "kumpulan yang agak besar" semasa kunjungan tersebut "membuat pelbagai pembelian".

Jumlah A$100,000 itu dianggarkan oleh blogger fesyen Frockwriter pada Januari 17, dan merupakan orang pertama melaporkan mengenai perkara itu.

"Berdasarkan harga purata dalam koleksi beliau - yang bermula dari A$400 (RM1,290) hingga beberapa ribuan dolar, Frockwriter menganggarkan ia boleh mencecah A$100,000," tulis blogger Patty Huntingon.
P/s: Semakin terburai! Bila Rosmah akan saman Andrew dan SMH?
DUNIACACAMARBA (DCM):

'via Blog this'

Gempar!! Bekas Ketua Polis Daerah Dedah Kejahatan UMNO



Bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River Haji Abdullah Haji Omar (gambar) berkata beliau masuk PAS kerana PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang Negara kerana PAS berdaftar dengan pendaftar pertubuhan (ROS). Selain itu, katanya, beliau menyertai PAS kerana parti itu dipimpin oleh tokoh-tokoh ulamak yang ingin membawa negara ini kepada pemerintahan Islam.

“Saya masuk PAS kerana PAS bukan parti ‘haram’ dan PAS di pimpin oleh tokoh-tokoh yang berpendidikan Islam, mempunyai maruah, “bukan seperti mana parti ‘Melayu’ disebelah sana (Umno), yang kebanyakkan tokoh-tokoh dan kepimpinan tinggi mereka terlibat dengan pelbagai skandal,”ujarnya.
Haji Abdullah berkata PAS bukan parti haram, yang haram hanya dua, parti komunis dan parti buruh. Beliau berkata demikian dalam Majlis Penerangan anjuran Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang di Kampung Pak Sabah, dekat sini, pada Selasa 24 Januari.
Beliau menyifatkan Umno parti pengkhianat kerana membawa masuk warga asing, diberikan kad pengenalan dan menjadi warganegara. Katanya, ‘pendatang haram’ tersebut menjadi pengundi dan menyebabkan kerajaan Terengganu jatuh dalam pilihanraya ke 11 pada tahun 2004.
“Sebelum pilihanraya 2004, mereka (Umno) bawa 2,000 orang Myanmar bangsa Rohingya yang boleh bercakap Melayu, yang rupa mereka pun lebih kurang muka kita, “melalui Langkawi pergi ke Ladang Seri Bandi (DUN Kijal Terengganu), mereka di beri kerja dengan gaji RM18 sehari, diberi kad pengenalan, jadi pengundi yang jatuhkan kerajaan PAS pada tahun 2004,”jelasnya.
Menurutnya, ‘modus operandi’ yang sama telah dilakukan Umno pada tahun 2008 membawa masuk warga asing yang sama ke dalam parlimen Pekan, kawasan yang dimenangi Perdana menteri, Dato’ Seri Najib Razak.
Sebaliknya suatu masa dulu, kata beliau, sewaktu masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia, sesiapa yang mahu memohon menjadi warganegara Malaysia mestilah dikalangan mereka yang ‘profesional’. Namun sekarang, menurutnya, kerana pengkhianatan Umno kepada Negara, pekerja basuh pinggan di kedai mamak pun boleh menjadi warganegara Malaysia.
Turut menyampaikan ucapan dalam Majlis tersebut adalah Naib Ketua Pemuda Ustaz Kamaruzzaman, Naib YDP Dungun Ustaz Azman Shapawi dan Pengerusi WARIS Ustaz Roslan Ismail.~bps
jengkeng:

'via Blog this'

Pas Selangor: ‘Biar Hasan Ali serang setiap hari’


RISWANDI RAZAK
27 Januari 2012
Hassan Ali

SHAH ALAM - Sokongan akar umbi terhadap Pas Selangor tidak terjejas sama sekali walaupun parti itu telah memutuskan untuk memecat bekas pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali berkuat kuasa 8 Januari lalu.

Sebaliknya parti Islam itu berharap Hasan akan mengadakan program penerangannya setiap hari agar rakyat boleh membuat penilaian sendiri terhadap wakil rakyat tersebut.

Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman berkata, berdasarkan tinjauan di keseluruhan bahagian Pas di negeri itu, pihaknya mendapati ahli-ahli tidak terpengaruh dengan isu terbabit.

Menurutnya, ahli-ahli Pas memahami faktor pemecatan Hasan dan kini kembali menumpukan fokus kepada persiapan menghadapi pilihan raya.


"Ekoran pemecatan terbabit, kita telah menerima laporan dari 22 kawasan bahawa kita tidak terjejas dengan pemecatan Dr Hasan Ali ini," katanya dalam sidang media Pas Selangor di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman pula menyifatkan program jelajah ke seluruh negara yang dianjurkan oleh Hasan tidak memberi kesan kepada parti itu.

Menurutnya, ahli Pas yang hadir dalam program tersebut hanya segelintir dan datang kerana mahu mendengar sendiri hujah yang dari Hasan.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru mencadangkan agar program seumpama itu dibuat setiap hari bagi memudahkan rakyat menilai sendiri niat sebenar Hasan.

"Dalam program yang beliau adakan di tempat saya, warga tempatan yang sekitar 100 orang, selebihnya ahli-ahli Umno," katanya.

Sementara itu, Pas Selangor turut menyifatkan permasalahan dengan Hasan ini bermula sejak beliau kehilangan jawatan Pesuruhjaya Pas Negeri dan kedudukan dalam parti itu.

Ketua Pemuda Pas Negeri, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, rakyat diharap tidak tertipu dengan kenyataan Hasan, yang menerima galakan dan sokongan daripada pihak tertentu atas sebab kepentingan politik mereka.

Menurutnya, Pas Selangor menyokong penuh keputusan kepimpinan pusat memecat beliau atas sebab tindak tanduk dan kenyataan Hasan sejak kebelakangan ini.

"Kemarahan beliau terhadap Pas semakin melonjak apabila diketahui bahawa beliau tidak dicalonkan oleh Pas Gombak Setia (untuk bertanding) dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

"Keadaan ini telah menyebabkan beliau sanggup menidakkan segala yang pernah beliau iyakan sebelum ini," katanya.

Pas Selangor: ‘Biar Hasan Ali serang setiap hari’ - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Aziz Bari: Saya terpaksa terjun dunia politik


NURKHAIRINI JUMARI
27 Januari 2012
Aziz Bari

SHAH ALAM – Setelah hampir sebulan meletakkan jawatan sebagai pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata, beliau terpaksa terjun ke dunia politik kerana tiada pilihan.

Menurutnya, penyertaannya dalam politik adalah "terpaksa" setelah menyedari haknya sebagai ahli akademik dinafikan, selain mendapat tekanan daripada pihak tertentu.

“Saya dilatih sebagai ahli akademik, bukan dipilih untuk jadi ahli politik dalam konteks sekarang ini. Saya bukan memilih bidang profesion berpolitik itu. Saya terpaksa, seolah- olah dicampak dalam dunia politik.

"Saya dipaksa dan terpaksa memilih jalan politik kerana tidak boleh berfungsi sebagai ahli akademik. Orang melihat saya dan tidak boleh menerima kita memberi pandangan berkaitan perkembangan semasa di mana semuanya dianggap politik.

"Oleh itu, apa pilihan yang saya ada?” katanya kepada Sinar Harian selepas Wacana Sinar Siri ke-10 anjuran Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Bagaimanapun, Aziz bersikap terbuka jika ditawarkan menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.“Spekulasi akan bertanding mana- mana kerusi akan ada kerana kini saya sudah tidak bekerja.

“Dalam hal ini saya terbuka dan sebagai rakyat Malaysia saya boleh buat apa yang difikirkan sesuai dan tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini sudah banyak parti politik yang menawarkannya bertanding atas tiket parti masing-masing.

“Saya sudah sebut banyak kali, Pas, DAP dan PKR banyak kali melamar saya menjadi calon pilihan raya. Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Dewan pun belum bubar.

“Saya terpaksa sesuaikan juga kawasan mana yang nak bertanding, kerusi siapa dan adakah yang dibawa sesuai dengan apa yang saya pegang,” katanya.

Katanya, beliau kini sedang meneliti parti mana yang sesuai dengan perjuangan yang hendak dibawa dalam politik.

“Kalau hendak terlibat dalam politik, saya pastikan idea saya diterima, kalau katakan tidak seratus peratus pun sebahagian besar yang kukuh dan boleh diterima.

“Pada saya bertanding dalam pilihan raya ini sebagai satu ruang perjuangan. Kalau soal nak cari makan, saya rasa tak perlu, saya sudah bersara awal,” katanya.

Aziz Bari: Saya terpaksa terjun dunia politik - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Anwar tetap mahu debat dengan Najib


ERNEDA PASOLA
27 Januari 2012
Anwar tetap mahu debat dengan Najib

SABAK BERNAM – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan idea berdebat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana disarankan oleh Merdeka Center berdasarkan penemuannya baru-baru ini.

Sehubungan itu kata Anwar, debat yang disyorkan wajar bagi menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Masing-masing buat tuduhan, kita tuduh Barisan Nasional rasuah dan gagal tadbir negara, BN tuduh kita tidak tahu urus ekonomi, tuduh Anwar jadi alat DAP, masing-masing ada pendekatan dan kita cadang debat.

“Apa yang kita sebut, kita pertahankan, itu sebabnya kita perlu debat. Insya-Allah kita menang dan dapat tawan Putrajaya,” kata beliau pada Program Mesra Rakyat Bersama Penasihat Ekonomi Selangor di Stadium Sabak Bernam di sini, semalam.

Hadir sama dalam siri ceramah itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari; Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim dan Yang Dipertua Pas Sabak Bernam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online awal minggu ini, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.

Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.

"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.

Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Dalam reaksinya semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, debat antara Najib dan Anwar tidak perlu diadakan kerana tidak mengubah pendirian masing-masing.

Sementara itu, PKR mengalu-alukan idea agar diadakan satu debat terbuka antara Najib dan Anwar kerana pendekatan sedemikian perlu bagi menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan pemimpin-pemimpin negara.

Dalam ceramahnya malam tadi, Anwar juga mengulangi janji yang dibuat sekiranya dapat menawan Putrajaya.

"Hari ini kita tawan Putrajaya, esok harga minyak turun. Dua minggu selepas kita tawan Putrajaya, kita akan minta cara untuk turunkan kadar elektrik,” katanya.

“Rakyat mampu membuat pilihan, BN pernah perintah Selangor, PR masuk empat tahun perintah Selangor dan rakyat perlu diberikan peluang untuk membuat pilihan," kata Anwar lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR memberitahu, derita rakyat perlu diatasi begitu juga dengan rasuah dan penindasan.

"Sebab itulah kita kata rakyat ada pilihan. Rakyat mesti bangkit tentukan masa depan mereka,” katanya.

Anwar tetap mahu debat dengan Najib - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'