BOTA: Menunggu masa untuk roboh. Begitu keadaan kubah Masjid Fadzullah Telok Kepayang, Bota Kiri, di sini yang sudah reput dan menunggu masa untuk roboh menyebabkan kariah masjid berkenaan bimbang.
Ketua Kampung Teluk Kepayang, Meor Ismail Kamaruddin, 44, berkata masjid berkenaan sudah berusia 66 tahun dan memerlukan bangunan baru memandangkan strukturnya yang sudah reput.
“Usia masjid ini sudah terlalu lama dan memerlukan masjid baru bagi keselamatan jemaah dan kubah seberat 30 tan itu hanya menanti masa untuk roboh dan kami khuatir jika menimpa jemaah ketika menunaikan solat.
“Selain strukturnya yang reput, bumbung masjid turut mengalami kebocoran hingga lantai masjid dipenuhi air apabila hujan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, pihaknya khuatir kubah itu akan runtuh pada bila-bila masa dan membahayakan jemaah yang sedang menunaikan solat.
Pengerusi masjid berkenaan, Saruji Shaari, 61, berkata memang ada rancangan untuk membina masjid baru di tanah wakaf di sebelah masjid berkenaan.
“Penduduk juga sudah semakin ramai dan masjid ini memerlukan pembinaan baru memandangkan strukturnya yang sudah tidak kuat,” katanya.
Friday, August 13, 2010
Singapura lancar kempen galak bujang berpacaran
SINGAPURA: Singapura melancarkan satu lagi kempen untuk menggalakkan orang bujang di negara itu supaya mencari pasangan hidup.
Berdepan dengan masalah kadar perkahwinan dan kelahiran rendah ketika ini, Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Singapura mengeluarkan tender bagi mana-mana pihak berminat mengemukakan cadangan untuk menggalakkan penduduk negara itu yang bujang mencari pasangan.
“Tender ini bertujuan bekerjasama dengan agensi komunikasi bagi merangka konsep, pelan dan pelaksanaan kempen menggalakkan aktiviti berpacaran,” kata kenyataan itu tanpa memberi sebarang perincian.
Akhbar Straits Times pula melaporkan, kerajaan akan memilih agensi yang mampu mengemukakan ‘konsep berpacaran unik’.
Sasaran kempen itu pula adalah kalangan orang bujang berusia di antara 20 hingga 35 tahun. Kempen itu dirancang sebagai inisiatif terbaru kerajaan untuk menjadi penemu jodoh bagi rakyat Singapura yang belum ada pasangan.
Ia juga dilaksanakan ketika kadar kelahiran dan perkahwinan di pulau itu terus merosot.
Daripada lima juta penduduk Singapura, lebih sejuta adalah warga asing.
Sempena sambutan Tahun Baru Cina Februari lalu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, menggesa rakyat Singapura mengetepikan kepercayaan tahyul yang berkaitan dengan kalendar Cina dan berusaha mendapatkan lebih ramai anak.
Lazimnya masyarakat Tionghua enggan mendapatkan zuriat pada Tahun Harimau yang kali ini disambut Februari lalu. - AFP
Hati-hati promosi pinjaman sempena Ramadan
KUALA LUMPUR - Bagai ‘menangguk di air keruh’, koperasi dan syarikat pinj:aman wang berlesen dilihat semakin galak mempromosikan pinjaman peribadi mereka sempena Ramadan dan juga jualan mega sekarang.
:Slogan seperti ‘Jangan ketinggalan, promosi pinjaman peribadi kami - Ramadan Special’ yang menawarkan kadar faedah rendah disebar menerusi pelbagai cara termasuk internet.
Promosi serupa turut disertai sektor perbankan yang menggunakan sistem pesanan ringkas dan media massa untuk memberitahu pelanggan mengenai pinjaman kecil mereka.
Bagi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), isu itu bukan perkara baru, sebaliknya ramai yang ‘terpikat’ dan akhirnya terperangkap dengan hutang setiap kali musim perayaan.
Presidennya, Omar Osman berkata, daripada apa yang mereka perhatikan, memang ramai penjawat awam terlibat dengan hutang, tambahan pula di musim perayaan kerana apabila ditolak segala hutang, wang gaji yang tinggal tidak sampai 40 peratus.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ramai penjawat awam akan bertindak serupa tahun ini memandangkan Aidilfitri dijangka disambut pada 10 September, iaitu hampir dua minggu sebelum gaji yang seterusnya.
“Kita bimbang apabila gaji bulan ini habis dibelanjakan untuk raya dan mereka tidak mampu menanggung perbelanjaan sepanjang September menyebabkan mereka berhutang, ambil wang pendahuluan dan sebagainya,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembayaran gaji pada September lebih awal bagi mengelakka:n masalah itu.
:Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, perbelanjaan pada Ramadan seharusnya dibuat secara teliti dan berdisiplin.
:“Ukur baju di badan sendiri. Adakan senarai keutamaan dan beli ikut keperluan. Dapatkan pandangan daripada pihak kedua seperti pasangan dan keluarga agar tidak menyesal di kemudian hari,” katanya.
Beliau mencadangkan agar setiap pembayaran dibuat secara tunai agar aliran wang keluar dapat dilihat dan seterusnya menjadikan penjawat awam lebih ber:hati-hati ketika berbelanja.
:Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Sha’ani Abdullah pula berkata, isu berhutang dapat dielakkan jika masyarakat dapat menghayati makna sebenar Ramadan iaitu mengingati nasib mereka yang tidak berkemampuan.
“Tawaran pinjaman memang banyak, tapi kalau keadaan tidak mendesak dan kita tidak perlu wang itu, jangan ambil.
“Hiasan dan perabot baru bukan benda penting. Jangan rasa rendah diri atau cemburu dengan jiran, fikir panjang sebelum buat keputusan dan jangan hidup berhutang,” katanya. - Bernama
Laporan perlindungan kanak-kanak dinilai
SANA'A - Yaman dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) melancarkan penilaian laporan perlindungan terhadap kanak-kanak yang terlibat dalam konflik di wilayah utara negara itu.
Tujuan laporan itu adalah untuk mengenal pasti risiko dan cabaran untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak mangsa pelarian,
Laporan itu turut meliputi cadangan untuk melindungi kanak-kanak ini daripada keganasan seperti keganasan rumah tangga, penderaan seksual dan dieksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.
Menteri Perkhidmatan Sosial dan Buruh Yaman, Amat Elrazzaq Hummad menekankan kerjasama antara kerajaan Yaman, badan-badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diperlukan untuk meneliti cadangan yang dibentangkan dalam laporan itu.
"Presiden bersama kerajaan Yaman sangat menyokong pembangunan perdamaian di Utara dan pembinaan semula usaha pemulihan kanak-kanak yang menderita semasa peperangan yang lalu," katanya
Ugutan tidak melemahkan
SHAH ALAM - Tindakan menghantar surat dan peluru yang diterima Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, dianggap beliau perbuatan pengecut.
Tony kelmarin menerima bungkusan dan peluru yang dihantar dari Tangkak, Johor, ke Pusat Khidmat beliau di Damansara pada jam 4.30 petang.
Apa yang menjadi tanda tanya ialah apakah punca sebenar individu tersebut melakukan tindakan sedemikian.
“Saya tidak mengesyaki sesiapa tetapi perbuatan itu mungkin berhubung cadangan saya mengenai diskaun golongan kaya digunakan membantu golongan miskin dalam memiliki hartanah.
“Saya mencadangkan diskaun tersebut supaya dapat dipertimbangkan kerajaan Selangor, tidak sangka ada pihak lain memutar belitkan isu itu sehingga saya menerima surat ugutan berserta sebutir peluru,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, Pakatan Rakyat berusaha menghapuskan kemiskinan secara lebih telus dengan mengurangkan diskaun tujuh peratus daripada pembeli hartanah mewah supaya dapat diberikan kepada golongan miskin.
Berikutan menerima surat ugutan dan sebutir peluru itu, Tony membuat laporan di Balai Polis Damansara dan pada jam enam petang beliau pergi ke Jabatan Siasatan Jenayah, Mutiara Damansara untuk memberi keterangan supaya siasatan dapat dijalankan.
Tony berkata, hanya orang pengecut sanggup melakukan perkara seperti itu kerana surat yang dihantar itu tidak bernama.
“Saya tidak takut dengan ancaman itu, malah belum masanya lagi untuk memasang pengawal peribadi ini satu tindakan biadab kerana saya diugut untuk tujuan menafikan kebebasan rakyat,” katanya di laman Twitterny semalam.
Jeti kayu uzur
Oleh Ariffin Salleh
2010/08/12
MASJID TANAH: Pangkalan jeti nelayan di Kampung Ramuan China Kecil, Lubok China, dekat sini, yang digunakan oleh nelayan di situ sejak hampir sedekad lalu, kini hanya menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ibarat pepatah, hidup segan mati tak mahu. Sehubungan itu, kira-kira 30 penduduk di sini yang mencari rezeki sebagai nelayan berharap pihak berkuasa dapat membantu memperbaiki kemudahan berkenaan.
Ketika ini, mereka mendakwa tidak punya pilihan dan terpaksa terus menggunakan kemudahan itu untuk menjalankan aktiviti harian tanpa mempedulikan sama sekali bahaya yang menanti.
Tinjauan Berita Harian mendapati kemudahan itu seperti sebuah pondok buruk yang lama ditinggalkan.
Seorang nelayan di situ, Zainal Md Ali, 59, yang sudah 25 tahun bergelar nelayan berkata, jeti kayu itu dibina menggunakan wang mereka sendiri secara berkongsi selepas tidak mendapat bantuan mana-mana pihak.
Sambil melahirkan rasa kesal dan sedih dengan nasib menimpa mereka, beliau berkata, nelayan di tempat lain di kawasan Parlimen Masjid Tanah sudah mendapat pembelaan menerusi pembinaan jeti baru.
Bila melihat kembali kemudahan ini, kadang-kadang kami rasa seperti dipinggirkan daripada menikmati pembangunan yang dibawa kerajaan termasuk untuk nelayan luar bandar seperti kami.
Tak bolehkah wakil atau agensi kerajaan berkaitan datang melihat sendiri kesukaran yang dihadapi. Pangkalan jeti yang kami gunakan setiap hari untuk mencari rezeki sekarang hanya menunggu masa roboh, katanya.
Zainal berkata, nelayan di situ menggunakan kemudahan daif itu bagi meletakkan sampan dan peralatan menangkap ikan seperti jaring serta pukat.
Sebelum ini ada sebuah bangunan dibina tidak jauh dari sini, kononnya bagi menggantikan bangsal jeti sedia ada tapi sampai sekarang tidak ada perkhabaran mengenainya. Saya difahamkan ia dibina dengan kos RM45,000. Benar atau tidak, itu kena tanya pihak berkuasa terbabitlah, katanya.
Seorang lagi nelayan sungai, Derani Silong, 79, ketika ditemui berkata, pangkalan jeti berkenaan tidak lagi mampu menampung keperluan bagi tempoh jangka panjang jika terus aktif digunakan seperti sekarang.
Katanya, lazimnya nelayan yang tiba di situ selepas balik dari menangkap ikan akan terus memunggah perolehan mereka tanpa menunggu lama di situ berikutan keadaannya yang sudah uzur itu.
Saya bimbang juga hendak berdiri lama di atas jeti ini. Saya perhatikan lantainya pun sudah semakin mereput dan ada yang patah. Kadang-kadang ketika menaikkan ikan dari bot ke darat pun susah juga bila air surut, katanya
Derani berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengemukakan cadangan bagi menggantikan kemudahan itu tapi sehingga sekarang tidak menerima maklum balas.
Kalau kami hendak membina sendiri memang tak mampu, sebab itu kami memohon. Kami dengar peruntukan untuk nelayan seperti kami ada disediakan tapi tak tahu ke mana perginya. Kalau ada tentu kemudahan uzur ini sudah dibaiki, katanya.
Menanti roboh
Oleh Mohd Idris Sulaiman
2010/08/12
BOTA: Menanti masa untuk roboh. Begitulah yang boleh digambarkan keadaan kubah Masjid Fadzullah Telok Kepayang, Bota Kiri, dekat sini yang menanti masa untuk menyembah bumi. Ketua Kampung Teluk Kepayang, Meor Ismail Kamaruddin, 44, berkata masjid berkenaan sudah berusia 66 tahun dan perlu dibina baru berikutan strukturnya yang sudah reput.
Selain kubah menanti masa untuk roboh, beliau berkata, bahagian lain rumah ibadat itu juga sudah reput dan kelihatan begitu uzur, selain merbahaya kepada jemaah.
Usia masjid ini sudah terlalu tua. Kubahnya seberat 30 tan itu hanya menanti masa untuk roboh. Kami khuatir jika ia menimpa jemaah ketika bersembahyang, katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, bumbung masjid juga sudah banyak bocor dan menyebabkan lantainya dipenuhi air apabila hujan.
Bumbung masjid sudah banyak bocor dan setiap kali hujan pasti akan dipenuhi air. Melihat keadaan masjid ini maka sudah tiba masanya ia dibina baru, demi keselamatan orang ramai ketika menunaikan solat dan aktiviti agama di sini, katanya.
Pengerusi masjid itu, Suruju Shaari, 61, berkata rancangan pembinaan masjid itu memang ada kerana ada tanah wakaf disediakan bagi tujuan itu yang terletak bersebelahan masjid sedia ada.
Penduduk di sini juga sudah semakin ramai dan sewajarnya dibina masjid baru bagi memenuhi keperluan kariah, katanya.
Beliau berkata, kampung terbabit juga memerlukan dewan baru kerana dewan sedia ada sudah tidak dapat memenuhi kapasiti penduduk yang semakin bertambah.
Kini kami berkongsi dewan dengan penduduk Kampung Teluk Kepayang Hilir kerana kampung ini sendiri masih tidak mempunyai dewan sendiri.
Masalahnya, Kampung Teluk Kepayang Hilir agak jauh dan kerana itu tidak ramai penduduk kampung ini dapat pergi ke sana untuk menyertai majlis atau program tertentu.
Jika mempunyai dewan sendiri, kami dapat merancang aktiviti sendiri serta menambah pelbagai aktiviti lain untuk penduduk di sini, katanya.
Meor Ismail berkata, pada masa ini jawatankuasa penduduk menyewa sebuah rumah untuk dijadikan Pusat Khidmat Kampung Teluk Kepayang.
Kami terpaksa menyewa sebuah rumah untuk dijadikan pusat khidmat itu yang berfungsi sebagai tempat bagi penduduk kampung datang mengadu pelbagai perkara yang memerlukan perhatian kami, katanya.
Jika kami mempunyai dewan sendiri lebih mudah untuk kami beroperasi untuk membantu pembangunan penduduk di sini, katanya.
Berhenti merokok setelah diserang sakit jantung
Ini kerana semua orang tahu kesan buruk yang dialami oleh perokok, terutamanya perokok tegar.
Di pihak kerajaan, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurang atau menghentikan terus tabiat merokok di kalangan orang ramai khususnya remaja termasuk mempamerkan gambar kesan-kesan buruk akibat tabiat itu di kotak-kotak rokok.
Namun, pelbagai alasan digunakan oleh golongan itu terutama perokok tegar untuk tidak menghentikan tabiat tersebut walaupun sedar ia boleh menjejaskan kesihatan.
Kedatangan bulan Ramadan ini mungkin boleh dijadikan sebagai 'batu loncatan' oleh perokok untuk menghentikan tabiat tersebut kerana ia sebenarnya boleh meningkatkan kualiti hidup mereka.
Mungkin pengalaman Mohd. Nor Jusoh, 48, yang menjadi perokok tegar selama 32 tahun sejak berusia 16 tahun lagi boleh dijadikan iktibar oleh golongan tersebut untuk mempercepatkan lagi proses berhenti merokok.
Mohd. Nor diserang sakit jantung dan kini terpaksa melalui saat-saat sukar untuk menjalani pembedahan jantung.
Pembantu Perubatan di Klinik Kesihatan Pulai Chondong itu mengakui ketika menjadi perokok tegar dia secara rutin menghisap 50 batang rokok sehari dan sanggup menghabiskan separuh daripada gajinya untuk tujuan itu setiap bulan.
Bagaimanapun, dia menyedut rokok terakhirnya pada pukul 6 petang, 22 Julai tahun lalu sebelum dikejarkan ke hospital setelah mengalami serangan jantung buat kali pertama dalam hidupnya.
"Akibat serangan itu, saya terlantar di hospital selama empat hari. Itulah rokok terakhir dan saya tidak pernah merokok lagi sehingga ke saat ini.
"Saya sebenarnya sudah terlambat tetapi itu adalah lebih baik daripada terus menghisap rokok yang tiada faedah sedikit pun," katanya yang dijadualkan menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), 19 September depan.
Mohd. Nor berkata demikian ketika berkongsi pengalaman dengan peserta program 'Bengkel Nafas Baru' anjuran Urus Setia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri dengan kerjasama Persatuan Perubatan Keluarga Universiti Sains Malaysia (Famous) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian di sini baru-baru ini.
Program itu dirasmikan oleh Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar. Turut hadir Pengerusi Famous merangkap Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Harmy Mohamed Yusoff.
Mohd. Nor berkata, perasaan ketagih dan gundah pada peringkat permulaan terutama pada dua minggu pertama meninggalkan tabiat itu adalah lumrah yang akan dirasai oleh setiap perokok tetapi mereka mesti bersabar menghadapinya.
"Rasa bingung sangat terutama pada bulan Ramadan selepas berbuka, tidak tahu hendak buat apa sesudah makan, tapi kita kena sabar. Lama-kelamaan kita akan lupa dan boleh mengawalnya.
"Apa yang perlu kita fikirkan adalah keluarga yang akan merana jika berlaku sesuatu ke atas kita," katanya yang mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah manakala isterinya suri rumah.
Seorang lagi bekas perokok tegar yang berkongsi pengalaman, Nor Shal Nordin, 66, berkata, dia menghisap rokok sejak zaman rokok dijual pada harga lima sen untuk dua batang sehingga pada harga 50 sen sebatang, sebelum berhenti dua tahun lalu.
Datuk kepada 12 orang cucu itu berkata, keperitan mengingatkan beban kewangan akibat merokok terutama setelah bersara sebagai kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu 11 tahun lalu menjadi salah satu punca mendorongnya untuk berubah.
"Saya berhabis antara RM200 hingga RM300 sebulan untuk rokok. Bila berhenti merokok, bukan bermaksud saya jadi kaya tetapi apa yang saya dapat adalah kesihatan dan keadaan fizikal diri yang lebih baik.
"Saya menyeru kepada semua ibu bapa jika kita tidak mahu anak-anak remaja kita merokok, maka kita sendiri terlebih dahulu mesti tunjukkan teladan untuk berhenti," katanya yang mendapat bantuan dan kaunseling dari Klinik Berhenti Merokok di bawah kelolaan Klinik Kesihatan Keluarga HUSM.
Sementara itu, Dr. Harmy berkata, ibadah puasa pada bulan Ramadan ini adalah peluang terbaik bagi perokok untuk berusaha berhenti merokok buat selama-lamanya.
"Selepas berbuka, kita kena cuba sedaya-upaya elakkan daripada menyedut rokok, sama ada kita elakkan duduk bersama orang yang merokok atau pergi melakukan aktiviti-aktiviti lain.
"Tidak mengapa jika usaha kali pertama tidak menjadi dan kita tertewas dengan godaan orang di sekeliling, tetapi kita mesti terus berusaha berulang-kali sehingga berjaya.
"Dapatkan sokongan daripada klinik berhenti merokok yang ada di hospital terdekat untuk mengetahui cara-cara dan kaedah yang boleh membantu kita menghilangkan ketagih," katanya.
Ratusan restoran hotel tiada sijil halal
Oleh SAHBULAH DARWI
editjohor@utusan.com.my
editjohor@utusan.com.my
JOHOR BAHRU 12 Ogos – Jika anda ingin menikmati juadah berbuka puasa di bufet Ramadan yang disediakan oleh hotel-hotel di negeri ini, maka anda perlu lebih berhati-hati.
Ini kerana hanya terdapat 22 daripada ratusan restoran yang beroperasi di hotel-hotel di negeri ini memiliki sijil halal yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pengarah MAINJ, Datuk Abdul Rahman Jaafar berkata, hanya 22 restoran tersebut diluluskan selepas MAINJ memeriksa dan berpuas hati terhadap tahap kebersihan dapur dan penyediaan makanan atau minuman di restoran itu.
“Restoran ini membabitkan hotel-hotel yang beroperasi sama ada di Johor Bahru dan semua daerah negeri ini.
“Yang paling penting, orang ramai perlu memastikan restoran itu mempunyai sijil halal MAINJ yang belum luput tarikhnya bagi mengelakkan was-was dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, restoran tersebut wajib mempamerkan sijil tersebut manakala pelanggan pula berhak bertanya mengenai status halal di restoran tersebut yang dibuktikan melalui sijil berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya tidak mengeluarkan sijil halal untuk hotel kerana dalam sesebuah hotel mungkin terdapat dua hingga lima restoran.
“Maknanya di sini bukan kita mahu beri status hotel halal sebab bukan hotel yang halal atau tidak tetapi restoran yang beroperasi di hotel itu yang statusnya menyajikan makanan halal atau tidak.
“Kalau kita kata hotel halal nanti berlaku perbuatan maksiat dalam hotel bagaimana pula?” soalnya.
Tegas beliau, dalam sesebuah hotel juga terdapat sebuah restoran yang memiliki sijil halal manakala sebuah lagi restoran yang beroperasi di hotel yang sama tidak diberi sijil halal.
“Sebab itu, ini adalah peranan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan pastikan restoran yang mereka kunjungi mempunyai sijil halal,” jelasnya.
Rumah daif 4 beradik dibaiki
Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
utusanpahang@utusan.com.my
KUALA LIPIS 12 Ogos - Impian empat beradik untuk berpuasa dan berhari raya dengan lebih sempurna tercapai apabila rumah mereka yang daif dibaik pulih di Kampung Mentara Baru, Merapoh dekat sini, baru-baru ini.
Selama ini empat beradik berkenaan, Mohd. Zulaidil Adha Abdullah, 13, Mohd. Fatihi, 11, Alatin Syafikah, 9, dan Mohd. Fakri, 7, tinggal di rumah usang itu setelah ibu bapa mereka berpisah sejak lima tahun lalu.
Dalam projek gotong-royong itu, seramai 200 penduduk kampung terlibat membaik pulih rumah empat beradik terbabit termasuk Jawatankuasa UMNO Bahagian Lipis, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mentara Baru, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ahli Kembara Remaja Bermotor (Akrab), Majlis Daerah Lipis (MDL) dan polis.
Projek membaik pulih rumah berkenaan merupakan antara pengisian dalam program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Lipis.
Bapa saudara kepada empat beradik itu, Mohamad Abdul Wahab, 27, ketika ditemui selepas program gotong-royong itu berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kerja-kerja membaik pulih rumah berkenaan.
Menurutnya, dia mengambil alih tanggungjawab memelihara empat beradik itu selepas ibu bapa mereka berpisah.
"Dengan keadaan rumah yang lebih selesa, anak-anak saudara saya dapat berpuasa dan mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa," katanya.
Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah empat beradik malang itu merupakan antara usaha pihaknya membela golongan yang kurang bernasib baik.
"Penderitaan empat beradik ini telah dimaklumkan oleh UMNO cawangan dan JKKK Kampung Mentara Baru. Oleh itu, kita segera bertindak membaik pulih tempat tinggal mereka.
"Lagi pun sempena Ramadan ini, sudah tentu kanak-kanak itu perlu tinggal lebih selesa untuk menjalani ibadah puasa bersama bapa saudara mereka," katanya.
Abdul Rahman berkata, usaha membaik pulih rumah itu dilakukan di bahagian dapur yang pernah terbakar manakala bahagian bumbung yang rosak dan reput diganti baru.
"Kita juga bergotong-royong membersihkan persekitaran rumah yang dilitupi semak samun," katanya.
Menurut Abdul Rahman, pihaknya turut membina tandas, menyediakan tangki dan memasang paip untuk bekalan air bersih bagi mengelakkan kanak-kanak berkenaan menggunakan air sungai yang terletak 100 meter dari rumah mereka.
"Kita membelanjakan sebanyak RM3,500 untuk membeli peralatan memperbaiki rumah berkenaan. Selain itu, UMNO juga memberi sumbangan barang makanan untuk berbuka puasa, peralatan persekolahan, tilam, bantal dan selimut kepada empat beradik berkenaan," katanya.
Projek gotong-royong itu katanya, membuktikan keprihatinan pemimpin setempat, masyarakat dan agensi kerajaan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.
UMNO Lipis tambahnya, akan terus memantau kebajikan empat beradik itu sehingga dipelihara kembali oleh ibu bapa mereka.
Tony buat aduan diugut
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, nota yang tertulis dari Tangkak, Johor itu ditujukan kepada Ahli Parlimen DAP tersebut dan keluarganya.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana ugutan dan laporan polis dibuat Tony di Balai Polis Damansara Utama di sini, pada pukul 4.30 petang.
"Kita telah mengambil peluru yang dihantar bersama surat ugutan terbabit untuk siasatan.
"Oleh itu kita telah memanggil Tony untuk siasatan malam tadi. Setakat ini, tiada individu ditahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Arjunaidi tidak menolak kemungkinan nota ugutan tersebut dihantar oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap Tony.
Pada 26 Julai lalu, Tony menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak apabila mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di negeri itu.
Beliau berkata, langkah tersebut mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada kerajaan Selangor daripada segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.
AS perlu kekal tentera di Iraq
Zebari memberitahu satu persidangan pertahanan di Baghdad semalam tentera Iraq tidak mampu menjaga keselamatan tanpa bantuan askar AS, lapor akhbar Daily Telegraph di Britain hari ini.
Mengikut rancangan pentadbiran Presiden Barack Obama, tentera AS dijadual memulakan pengunduran dari Iraq pada akhir bulan ini, selain 50,000 askar yang akan terus berada di negara itu untuk membantu dan melatih pasukan keselamatan Iraq sebelum berundur sepenuhnya pada akhir 2011.
"Pada ketika ini, pengunduran berlangsung dengan lancar kerana masih ada askar AS di negara ini.
"Namun masalah akan mula timbul selepas 2011, kerana itu ahli-ahli politik mesti mencari jalan untuk mengisi kekosongan selepas 2011," kata Zebari.
Tambah jeneral itu, sekiranya beliau ditanya mengenai pengunduran tentera AS, beliau akan memberitahu ahli-ahli politik bahawa tentera AS mesti terus berada di Iraq sehinggalah tentera Iraq benar-benar bersedia pada 2020.
Keganasan di Iraq menurun sejak kemuncak sengketa Sunah- Syiah pada 2006- 2007, tetapi bilangan kematian penduduk awam akibat serangan bom, tembakan dan serangan lain melonjak pada bulan lepas.
Pegawai AS berkata, mereka menjangka keganasan menjadi bertambah buruk kerana gerila al-Qaeda mengekploitasi kegagalan puak- puak politik untuk mempersetujui kerajaan baru selepas pilihan raya Parlimen pada Mac lepas.
Di Washington, pegawai AS semalam memberikan penilaian positif mengenai situasi di Iraq dan menekankan keupayaan pasukan keselamatan Iraq yang semakin meningkat.
Walaupun Zebari menyuarakan amaran tersebut, Washington tetap berpegang dengan jadual pengundurannya yang asal, malah membayangkan hanya 'berpuluh-puluh' askar AS akan terus berada di Baghdad selepas 2011.
"Kita akan mencapai sasaran kita untuk menamatkan misi tempur pada akhir bulan ini," kata jurucakap White House, Robert Gibss. - Reuters
Malaysia bantu RM3.17 juta mangsa banjir terburuk di Pakistan
Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot berkata, kerajaan hari ini juga melancarkan kutipan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Pakistan dengan mengalu-alukan orang ramai dan syarikat korporat menyalurkan sumbangan mereka ke Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri.
''Ini kerana banjir yang berlaku di Pakistan merupakan bencana yang paling buruk pernah dialami oleh negara itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan cek bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur, Dr. Imtiaz A. Kazi yang mewakili Kerajaan Pakistan di Wisma Putra hari ini.
Sehingga kini, bencana alam itu telah meragut sekurang-kurangnya 1,600 nyawa manakala dua juta lagi kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir 15 juta penduduk terjejas setakat ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) juga telah menghantar pasukan bantuan kemanusiaan ke Pakistan.
Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan rakyat Pakistan boleh menyalurkan sumbangan melalui cek atas nama "Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri" dan dialamatkan kepada Ketua Akauntan, Kementerian Luar Negeri, No. 1 Jalan Wisma Putra, 62602, Putrajaya.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Wisma Putra melalui talian 03-88874251 atau 03-88892924.
Restoran Cina diserbu
IPOH 12 Ogos - Sebuah restoran Cina di Pusat Perdagangan Greentown, di sini yang menyediakan hidangan steamboat sebagai 'Bufet Ramadan' diserbu pihak berkuasa hari ini.
Operasi bersepadu melibatkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu bermula dari pukul 2.30 petang hingga 4.15 petang ini.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa yang diketuai Penolong Pengarah PPDNKK Negeri, Amer Mansor memeriksa bahagian dapur termasuk bahan-bahan masakan yang digunakan di restoran terbabit.
Antara yang dirampas ialah tujuh botol bahan masakan mengandungi alkohol, dua botol minuman keras, tiga botol kicap dan masing-masing sebotol jus ikan serta tauhu.
Turut dirampas, kain rentang promosi 'Bufet Ramadan'.
Menurut Amer, serbuan itu dilakukan berikutan restoran tersebut mempromosikan hidangan steamboat sebagai bufet Ramadan yang disiarkan oleh sebuah akhbar tabloid semalam.
Katanya, dalam laporan tersebut, restoran itu mendakwa masakan yang disediakan untuk berbuka puasa dan bahan-bahannya adalah halal sedangkan ia tidak mempunyai sijil halal.
"Kami menjumpai minuman keras di bahagian dapur restoran tetapi kami tidak pasti ia dicampur ke dalam masakan atau tidak, siasatan sedang dijalankan.
"Sekiranya restoran itu didapati tidak mematuhi hukum syarak, kita akan ambil tindakan mahkamah," katanya.
Beliau berkata, ini merupakan serbuan pertama terhadap premis menyediakan bufet Ramadan di negeri ini sejak umat Islam mula berpuasa semalam.
"Jika orang ramai merasa ragu-ragu dengan juadah berbuka puasa yang disediakan oleh premis tertentu, mereka boleh menghubungi unit operasi PPDNKK Perak. Kita akan terus pantau perkara ini," ujar beliau.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15 (2) Akta Perihal Dagangan 1972 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama dan RM500,000, kesalahan kedua.
244 hotel 'halal' tidak pasti kesahihannya
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, apa dimaksudkannya itu berkaitan dengan pihak yang bertindak mengeluarkan sijil halal bagi kesemua hotel berkenaan sama ada ia daripada pihak berkuasa agama atau syarikat-syarikat swasta.
Beliau berkata, buat masa ini kerajaan hanya mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).
''Saya tidak pasti apakah asas MAH menyatakan 244 hotel di negara ini telah menerima sijil halal. Adakah mereka mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa agama atau syarikat swasta?
''Namun saya cukup gembira sekiranya hotel-hotel ini mendapat sijil daripada Jakim atau Jain tetapi persoalannya adakah mereka ini benar-benar mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa agama?'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MAH, Datuk Mohd. Ilyas Zainal Abidin bahawa 244 hotel telah mempunyai sijil halal dan ia melebihi daripada apa yang dinyatakan Jakim.
Sijil halal itu diperoleh daripada Jakim, Jain, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).
Mohd. Ilyas berkata, MAH yang mewakili 552 hotel lima bintang menjangkakan jumlah hotel yang memiliki sijil halal lebih tinggi ekoran data 244 hotel itu diperoleh dalam tempoh tiga jam semalam.
Wan Mohamad berkata, beliau terpaksa bertegas dalam isu tersebut kerana menjadi tanggungjawabnya memastikan ibadah berbuka puasa dibuat di premis-premis yang mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berkuasa agama.
''Saya bukan berniat mahu mempersoalkan angka ini tetapi saya juga bertanggungjawab dalam memastikan ibadah puasa umat Islam kita tidak cacat kerana berbuka di premis yang meragukan,'' katanya lagi.
Beliau sekali lagi meminta umat Islam mendapatkan senarai terkini hotel yang telah memperolehi sijil halal sama ada daripada Jakim atau Jain.
Hanya senarai itu sahaja katanya boleh diterima pakai sebagai hotel yang telah mendapat sijil halal.
Beliau turut memberitahu sekiranya hotel itu bersifat tempatan, sijil halal akan dikeluarkan oleh Jain tetapi jika hotel tersebut bersifat berangkai sijil halal dikeluarkan oleh Jakim.
''Begitu juga hotel antarabangsa. Walaupun ia berada di negeri-negeri dan bukan Kuala Lumpur, sijil halal tetap akan dikeluarkan oleh pihak Jakim,'' katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai hotel yang mendapat sijil halal boleh melayari laman webwww.halal.gov.my.
''Mereka juga boleh berhubung terus dengan Jain bagi hotel di peringkat negeri,'' katanya lagi
Hampir runtuh
Oleh Kandau Sidi
2010/08/11
LIMBANG: 'Ibarat telur di hujung tanduk'. Begitulah nasib enam keluarga di Kampung Bukit Kota, kawasan berhampiran lereng bukit dekat sini, yang kediaman mereka berdepan ancaman hakisan serius sejak lima tahun lalu. Masalah hakisan dikatakan semakin serius sejak kebelakangan ini berikutan musim hujan yang berterusan, dengan penduduk yang kini dilanda kebimbangan, terpaksa meletakkan kanvas bagi menutup kawasan tanah runtuh yang semakin tidak stabil.
Seorang penduduk kampung itu, Brahim Bakir, 81, berkata rumah mereka boleh runtuh pada bila-bila masa saja, terutama ketika cuaca hujan yang tidak menentu sekarang.
Katanya, apabila hujan lebat, mereka tidak dapat tidur terutama pada waktu malam kerana bimbang kediaman mereka akan ranap akibat tanah runtuh yang boleh berlaku bila-bila masa.
"Igauan buruk ini sudah berlarutan sejak lima tahun lalu. Lagipun, rumah kami terletak hanya beberapa meter dari kawasan curam dan boleh runtuh jika hujan lebat berterusan," katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, kejadian tanah runtuh di kawasan bersebelahan juga di Kampung Bukit Kota lima tahun lalu, masih menghantui penduduk yang bimbang akan keselamatan mereka terutama anak-anak kecil.
Brahim meminta agensi kerajaan berkaitan mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum sebarang kejadian buruk berlaku.
Seorang lagi penduduk kampung itu, Kula Tangah, 74, berkata sebahagian depan dinding rumahnya sudah rosak akibat hakisan baru-baru ini.
Beliau berkata, dinding rumah yang dihuni 13 ahli keluarganya termasuk cucunya sudah pecah dan bergoyang apabila berlaku angin kencang.
"Siapa yang tidak risau melihat keadaan rumah kami yang rosak terutama selepas hujan lebat tanpa henti empat hari lalu. Kita bimbang jika cuaca buruk berlarutan, situasi akan bertambah buruk," katanya.
Kebimbangan penduduk kampung itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail dan Pegawai Daerah Limbang, Anyi Ngau, yang mengambil kesempatan meninjau kediaman penduduk di situ.
Dr Rahman memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian bagi membantu masalah penduduk berkenaan sekali gus mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
"Kita akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Mineral dan Geosains turun padang, melakukan siasatan terhadap kawasan berisiko," katanya yang akan turut berbincang dengan jawatankuasa bencana bahagian Limbang bagi penyelesaian dan langkah terbaik untuk mengatasi masalah hakisan tanah di situ.
Tribunal siasat kematian Rafiq sedia terima bukti Hizbullah
2010/08/12
BEIRUT: Tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyiasat pembunuhan Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri bersedia menerima apa saja bukti yang relevan dalam siasatannya, termasuk daripada pihak Hizbullah. Jurucakap tribunal itu, Fatima Issawi, berkata demikian semalam sehari selepas Hizbullah mendedahkan rakaman pesawat pengintip Israel yang dipintasnya yang mungkin mengaitkan Tel Aviv kepada pembunuhan pada 2005 itu.
Pendakwa tribunal akan menyiasat sebarang dakwaan berdasarkan bukti berwibawa, kata jurucakap itu.
Pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah Isnin lalu mendedahkan bukti bahawa Israel mungkin boleh dikaitkan dengan pengeboman yang membunuh Hariri pada 14 Februari 2005 bersama 22 orang yang lain di Beirut.
Nasrallah mendedahkan rakaman udara yang menunjukkan beberapa kawasan di Lubnan, termasuk lokasi di mana Hariri dibunuh.
Rakaman berkenaan yang diambil oleh pesawat pengintip MK tanpa juruterbang Israel, dipintas oleh kumpulan Syiah itu.
Hizbullah yang disokong Syria dan Iran dikatakan tertekan berikutan spekulasi tribunal PBB itu mahu mendakwa beberapa daripada anggotanya.
Perdana Menteri, Saad Hariri, sebelum ini berjanji akan mengisytiharkan jika ada anggota Hizbullah disabitkan di atas pembunuhan bapanya, mereka melakukannya secara bersendirian tanpa diarah kumpulan berkenaan. AFP
Pejuang Islam Moro jalani latihan tempur
2010/08/12
MANILA: Beratus-ratus gerila Islam menjalani latihan bertempur dan cuba mendapatkan lebih banyak senjata di selatan Filipina untuk meningkatkan kelengkapan tentera bagi berhadapan dengan kemungkinan kegagalan rundingan damai dengan kerajaan. Presiden baru, Benigno Aquino III dan Barisan Pembebasan Islam Moro menyatakan kesediaan untuk menyambung rundingan baru di mana Malaysia menjadi orang tengah seawal September selepas Ramadan.
Rundingan berkenaan gagal pada 2008, mencetuskan pertempuran dan disambung pada bulan terakhir pemerintahan Gloria Macapagal Arroyo tanpa mencapai sebarang keputusan besar.
Benigno yang menggantikan Arroyo pada 30 Jun lalu mula membentuk pasukan rundingan baru untuk meneruskan perbincangan dengan pemisah Moro dan gerila komunis.
Tentera memantau sekurang-kurangnya sembilan latihan bertempur berasingan dengan beratus-ratus pejuang Islam dan rekrut di kubu kuat mereka di selatan Mindanao dalam tempoh setengah tahun, kata satu laporan tentera.
Gerila Islam menjalani latihan bertempur dan melengkapkan logistik untuk bersiap sedia dengan kemungkinan rundingan damai itu gagal sekali lagi, kata laporan yang menambah wujud rancangan pemisah untuk meningkatkan insiden penculikan dan peras ugut bagi mendapatkan dana.
Kira-kira 230 pemisah menjalani latihan mengenai taktik serangan selama tiga hari Mac lalu di sebuah kem yang dipanggil Palestin berhampiran bandar Butig di Lanao del Sur.
Beberapa gerila menyertai latihan sebulan itu mengenai pengumpulan risikan di kem sama, manakala 247 pejuang menjalani latihan perang hutan selama 15 hari di wilayah paling selatan, Tawi Tawi.
Kira-kira 100 rekrut diberikan latihan asas tentera selama tiga bulan di Lanao del Sur bermula Mac. Latihan lain termasuk sebilangan pemisah memfokuskan kepada bantuan perubatan dan kepimpinan. AP
Pengarah syarikat antara 3 ditahan ISA
Oleh Suhana Roslan dan Mohd Iskandar Ibrahim
2010/08/12
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengganas selain mempunyai hubungan dengan militan antarabangsa, pagi semalam. Ketiga-tiga mereka, seorang lelaki warga Indonesia dan dua rakyat Malaysia ditahan dalam operasi berasingan di Selangor dan Pahang, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Maswan Ahbab, 34, bekerja sebagai eksekutif pemasaran ditahan di sebuah kawasan perumahan di Medan Bukit Indah 2, Bukit Indah, Ampang.
Seorang rakyat tempatan bekerja sebagai pengarah urusan dikenali sebagai Sheikh Abdullah Sheikh Junaid, 70, ditahan di Taman Melur juga di Ampang, katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.
Beliau berkata, polis turut memberkas seorang kontraktor pembinaan rakyat tempatan, Samsul Hamidi, 34, di Temerloh, Pahang kerana disyaki mempunyai hubungan dengan dua suspek pertama.
Musa berkata, semua suspek ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA 1960 kerana tindakan mereka dipercayai boleh memudaratkan keselamatan negara selain dikaitkan dengan kumpulan militan di luar negara.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek itu ditahan anggota dan pegawai Pasukan Petugas Khas Operasi Anti-Pengganas Bukit Aman hasil maklumat awam dan risikan dalam operasi serentak antara jam 7 dan 8 pagi.
Sumber memberitahu Berita Harian, ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan gerakan pengganas yang beroperasi di Aceh, Indonesia.
'Kaji semula sekatan berpolitik'
Oleh Syuhada Choo Abdullah
2010/08/12
KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara mahu mahasiswa diberi kebebasan berpolitik dan menyertai mana-mana parti politik. Mereka berpendapat dasar itu akan mematangkan lagi politik tanah air serta melahirkan pemimpin pelapis yang peka terhadap isu semasa.
Selain itu, mereka menegaskan pembabitan politik tidak akan menjejaskan tumpuan utama terhadap pengajian kerana yakin mahasiswa sebagai golongan intelektual mampu mengimbangi perhatian antara kedua-dua aktiviti berkenaan.
Pengerusi Jemaah Yang Dipertua (YDP)/Presiden MPP IPTA Sidang 2009/2010, Ahmad Wafi Sahedan, berkata hasil kaji selidik ringkas di kalangan 335 perwakilan kepemimpinan tertinggi MPP yang menghadiri Konvensyen MPP IPTA di Bangi selama tiga hari sehingga Ahad lalu, menunjukkan 57 peratus bersetuju mereka dibenarkan menyertai parti politik dengan memberi justifikasi bahawa ia penting untuk kelangsungan politik negara.
Namun, 38 peratus lagi tidak bersetuju atas alasan enggan ekosistem dalam kampus terganggu akibat rencah politik di luar kampus, terutama dari segi penekanan terhadap kepentingan pengajian, selain mengelakkan mahasiswa diperkudakan oleh parti politik. Baki lima peratus perwakilan berbelah-bahagi dan belum pasti.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin berkata kerajaan tetap mengekalkan larangan berpolitik kepada pelajar IPTA walaupun ada gesaan mereka dibenarkan terbabit secara aktif dalam parti politik.
Bagaimanapun, Ahmad Wafi berkata, pendapat kepemimpinan tertinggi MPP tidak boleh dianggap sebagai pendirian rasmi, sebaliknya perlu dikaji secara serius kerana membabitkan pelbagai implikasi jangka pendek dan panjang.
Dalam konteks ini, beliau berkata, isu mahasiswa berpolitik perlu dibincangkan dengan lebih mendalam kerana ia bukan saja membabitkan perubahan besar dalam landskap universiti, malah masa depan negara.
Kita tidak harus terburu-buru membuat keputusan. Kami percaya pandangan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa, pensyarah dan pengurusan universiti perlu diambil kira. Justeru, semua MPP dalam proses mendapatkan maklum balas peringkat akar umbi di universiti masing-masing, katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)