Friday, September 3, 2010

Jangan tinggal anak terlalu lama kepada pembantu rumah, kata Ketua Polis Selangor

SHAH ALAM: Ibu bapa diingatkan supaya tidak meninggalkan anak mereka terlalu lama di bawah penjagaan pembantu rumah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Beliau menasihati ibu bapa yang mempunyai anak kecil atau bayi misalnya, supaya memberikan lebih perhatian dari menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menjaga anak mereka kepada pembantu rumah.
"Jangan serahkan sepenuhnya anak kepada pengawasan pembantu rumah. Kadang-kadang ada yang tinggalkan anak berhari-hari lamanya dan tidak ambil tahu langsung sedangkan ia mungkin mendatangkan bahaya kepada anak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kematian seorang bayi lelaki yang berusia 15 bulan, Tan Jin Yong, yang dipercayai akibat dicekik pembantu rumah kira-kira pukul 4 petang pada 27 Ogos lepas, di Pusat Bandar Puchong.

Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati bayi itu turut mengalami pendarahan dalam otak dan jangkitan kuman pada paru-paru selain mengalami pendarahan dalaman. Semalam polis menahan pembantu rumah warga Indonesia, berusia 25 tahun di sebuah rumah di Taman Melawati Ampang bagi membantu siasatan.

Khalid berkata pembantu rumah itu direman mulai hari ini.-Bernama

Menteri Telekomunikasi dan Informatika Indonesia minta henti saling cela

JAKARTA: Menteri telekomunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring meminta masyarakat supaya meredakan ketegangan dalam hubungan antara Indonesia dan Malaysia di dunia maya dengan menghentikan perbuatan saling mencela.
"Mestinya di sini turunkan (ketegangan), di sana juga turunkan. Jadi sama-sama. Jangan sampai sana (masyarakat Malaysia) turun, sini (Indonesia) masih berapi-api," katanya kepada pemberita berhubung perang siber yang berlaku pasca insiden di perairan perbatasan Indonesia-Malaysia berhampiran Kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu. Bagaimanapun katanya, kerajaan Indonesia tidak boleh menghentikan perang siber itu jika tiada laporan daripada masyarakat dan sehingga kini kementerian itu belum menerima aduan mengenai laman-laman yang memaparkan penghinaan itu. Jika ada laporan dan terbukti ada laman web yang berisi penghinaan itu, Tifatul memberi jaminan untuk menyekatnya di Indonesia, dan beliau meminta orang ramai supaya melaporkan laman web berkenaan ke e-mail dan nombor telefon kementerian Telekomunikasi dan Informatika Indonesia.
Beliau berkata, pihaknya setiap hari menerima ratusan aduan mengenai laman web yang dirasakan mengganggu atau merugikan masyarakat. Mengenai perilaku masyarakat di dunia maya yang emosional itu, Tifatul berkata: "Makian itu biasa, saya tiap hari menghadapi makian. Itu biasa bagi orang yang baru belajar media (internet)". -Bernama.

UMNO masih kuat dan tetap pilihan orang Melayu - Tengku Adnan



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas persepsi menyatakan UMNO kini merupakan sebuah parti lemah dan bukan lagi menjadi pilihan orang Melayu.
Sebaliknya, beliau menegaskan, UMNO merupakan parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) dan pada masa yang sama menjadi suara mutlak memperjuangkan kepentingan orang Melayu di negara ini.
"Kepentingan orang Melayu tidak harus dikorbankan dalam amalan berkongsi kuasa di antara parti-parti komponen BN," ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan umno-online di sini, hari ini.
Tengku Adnan ditanya mengenai persepsi negatif yang sengaja dibina oleh pihak-pihak tertentu bahawa UMNO tidak lagi relevan di kalangan orang Melayu di negara ini.
Beliau berkata, agenda Melayu yang diperjuangkan UMNO bukan bertujuan mengambil hak kaum lain termasuk Cina tetapi semata-mata bagi meningkatkan pencapaian Melayu.
Hakikatnya beliau berkata, masih ramai lagi orang Melayu hidup dalam lingkungan kemiskinan.
"Agenda Melayu yang diperjuangkan bukan bermaksud mengambil apa-apa daripada kaum lain termasuk Cina yang menguasai ekonomi tetapi meningkatkan pencapaian Melayu yang ramai lagi hidup dalam lingkaran kemiskinan," katanya.
Katanya, sejarah membuktikan agenda meningkatkan pencapaian orang Melayu tidak pernah menjadi ancaman kepada bukan Melayu.
"Agenda Melayu yang meliputi hak-hak keistimewaan kaum majoriti perlu dilihat sebagai penentu kelangsungan dan survival Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan negara," ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kekuatan UMNO tetap berakar umbi di hati rakyat sekali gus memberi petunjuk bahawa semangat nasionalisme Melayu tidak pernah luntur.
Beliau turut menyentuh mengenai kemampuan UMNO melakukan pengubahsuaian serta penyesuaian dalam menangani cabaran domestik dan global.
Beliau juga mengakui menguruskan sebuah parti yang berjaya seperti UMNO bukanlah sesuatu yang mudah namun UMNO telah membuktikan parti itu mampu menguruskan negara dengan baik.
"Yakin dan percayalah UMNO masih merupakan parti yang berjaya dan bukannya gagal atau di ambang kegagalan. UMNO merupakan parti yang terbukti berjaya menguruskan sebuah negara melibatkan pelbagai kaum dan agama.
"Hakikatnya, rakyat dapat melihat Malaysia bukan sahaja berjaya (di peringkat domestik) tetapi aktif dan memainkan peranan penting dalam komuniti global," ujar beliau.
Beliau tidak menafikan UMNO mempunyai tugas berat dalam melaksanakan perimbangan antara kepentingan Melayu, pelbagai kaum selain percaturan negara dalam arena global.
"Setakat ini, UMNO berjaya dalam memainkan perimbangan tersebut," ujarnya
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata, UMNO tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga kepentingan dan memajukan orang Melayu.
"Walau apa pun orang kata tentang UMNO, parti ini tidak akan kompromi apabila berdepan isu-isu menyentuh nilai-nilai asas orang Melayu.
"Oleh itu, andaian yang menyatakan UMNO kian lemah dan kedudukan Melayu mulai goyah hanya untuk melencongkan perhatian rakyat daripada agenda yang telah ditetapkan," katanya.
Jelas beliau, walau apa pun kemelut dan kritikan, Malaysia dikurniakan kepimpinan baik daripada era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Oleh itu, rakyat perlu lebih optimis dan konstruktif kepada masa depan negara di bawah kepimpinan BN, biar apa ujian dan tafsiran sekalipun," katanya lagi.
Sementara itu Tengku Adnan mahu rakyat menolak parti-parti pembangkang yang menurutnya menjalin hubungan tidak jujur dalam menjayakan agenda berbeza masing-masing.

'Adik jadi penoreh getah'

KANGAR: “Adik, Nuraslinda yang baru berusia 11 tahun, tidak bersekolah sebaliknya menjadi penoreh getah kerana kesempitan hidup di kampung di Bangkuan, Satun, selatan Thailand, manakala saya bertekad kembali ke Perlis untuk meneruskan persekolahan di sini selepas dibuang keluarga sebelah ayah,” keluh remaja berusia 13 tahun, Nurshakirah Abdul Wahab, ketika ditemui menumpang di rumah jirannya di Kampung Sungai Baru, dekat sini, semalam.


SUSAH... Nurshakirah menunjukkan  buku nota dan beg sekolah adiknya  yang kini bekerja sebagai penoreh getah di Satun, Thailand.
SUSAH... Nurshakirah menunjukkan buku nota dan beg sekolah adiknya yang kini bekerja sebagai penoreh getah di Satun, Thailand.

Menurutnya, selepas berada di Bangkuan iaitu kampung ibunya sejak beberapa bulan lalu, dia bertekad menyelinap bersama penumpang lain menaiki teksi seorang diri dari Satun untuk pulang ke Sungai Baru, empat hari lalu dan menumpang di rumah jiran dikenali sebagai Rosli Ya, 55, di kampung itu.

Bapa gadis itu, Abdul Wahab Ibrahim, 58, warga Malaysia dan ibunya, Wan Aishah Sufi, 43, warga Thailand, sedang meringkuk dalam penjara di Satun kerana terbabit dalam kesalahan dadah sejak setahun lalu.

“Kehidupan kami terumbang-ambing selepas ibu bapa kami dipenjara ketika empat hari umat Islam menyambut Aidilfitri tahun lalu.

“Abang sulung (berlainan ibu) pula menghantar kami dua beradik ke kampung sebelah ibu di Bangkuan walaupun kami enggan dengan alasan dia tidak sanggup menjaga kami kerana kesempitan hidup.

“Nuraslinda, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Sungai Baru, terpaksa berhenti sekolah selepas dipaksa menetap di Thailand yang asing bagi kami manakala saya pulang ke Sungai Baru untuk mencuba nasib di sini.
“Saya amat berharap ada pihak di sini menolong membawa pulang Nuraslinda ke Perlis bagi membolehkan dia meneruskan persekolahan. Lagi pula usianya masih muda untuk menjadi penoreh getah,” katanya yang amat sedih sambil mengesat air mata.

Hadir sama Penyelaras Umno kawasan Simpang Empat, Abu Bakar Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Baru, Ramli Sabu.
Nurshakirah berkata, dia terpaksa melupakan hasrat menyambut Aidilfitri seperti kanak-kanak sebayanya kerana memikirkan nasib Nurshakirah dan mahu dia pulang ke Sungai Baru untuk meneruskan persekolahan.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Safi, dekat sini, berkata sehingga kini, dia belum mempunyai Mykad kerana tiada sesiapa mahu menguruskannya selepas ibu bapanya di penjara tahun lalu.

Aminah: Azmin ada 'kunci' rahsia Anwar



KUALA LUMPUR 2 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didakwa mempunyai 'kunci' ke atas segala rahsia utama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah mendakwa, 'kunci' itulah yang menjadi senjata utama kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Aminah bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang dimaksudkan dengan rahsia utama itu kerana yakin ia merupakan sesuatu yang sedia diketahui oleh pihak-pihak berkenaan.
Kini katanya, menjadi kewajipan kepada mereka itu untuk menjelaskannya kepada rakyat.
"Bagi saya memang tidak menghairankan mengapa Anwar dan Wan Azizah tidak dapat memberi penjelasan apabila ditanya mengapa Azmin diberi layanan istimewa dan apa yang Azmin mahu dia akan dapat.
"Ini berlaku kerana Azmin pegang semua rahsia Anwar. Rahsia ini yang memberi kuasa besar pada Azmin ke atas Anwar dan Wan Azizah. Saya yakin satu hari nanti rahsia ini akan terbongkar jua," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aminah mengulas gesaan bekas rakan baik Penasihat PKR tersebut, Datuk S. Nallakarupan yang mencabar Anwar memberikan penjelasan berhubung kedudukan terlalu istimewa yang dinikmati oleh Azmin selama ini.
Azmin selaku Naib Presiden PKR baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lantikan itu membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada Anwar.
Bagaimanapun sehingga kini cabaran oleh Nallakarupan itu langsung tidak dijawab oleh pasangan suami isteri tersebut.
Selain Nallakarupan, bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak turut meminta pasangan itu menjelaskan perkara sama tetapi langsung tidak diendahkan oleh mereka berdua.
Tegas Saidatul Badru, Wan Azizah amat perlu membersihkan dirinya daripada terus digelar sebagai 'presiden boneka'.
Sementara itu, Aminah berkata, beliau amat berharap agar Anwar, Wan Azizah dan Azmin menghayati matlamat dan hala tuju parti yang diasaskan oleh pejuang reformasi tulen sebelum ini tetapi secara tidak amanah telah dipesongkan oleh mereka.
Jelas beliau, itu antara sebab utama mengapa ramai ahli termasuk di kalangan pimpinan PKR bertindak keluar parti.
Katanya, ini kerana mereka ini yang mempunyai maruah dan prinsip perjuangan, tidak lagi sanggup diperkotak-katikkan oleh kepimpinan mempunyai agenda peribadi.

Kamera: Selangor mahu selesai secara politik



SHAH ALAM 2 Sept. - Kerajaan negeri tidak berminat membuat laporan polis berhubung penemuan kamera perakam video yang dipercayai disembunyikan di dalam bilik Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 10 Ogos lalu.
Setiausaha Sulit Menteri Besar, Faekah Husin berkata, itu merupakan pendirian kerajaan negeri setakat ini meskipun pelbagai pihak mendesak menteri besar membuat laporan polis berhubung penemuan itu.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri mahu menangani kes berkenaan secara politik kerana tidak menolak kemungkinan tujuan kamera itu diletakkan di dalam bilik menteri besar adalah bermotifkan politik.
"Setakat ini laporan polis tidak akan dibuat. Jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan negeri menyiasat kes ini secara dalaman dan masih lagi meneliti maklumat termasuk beberapa wajah yang direkodkan dalam kamera berkenaan.
"Bagaimanapun, setakat ini jawatankuasa itu belum membuat sebarang keputusan sehingga mesyuarat diadakan esok. Jika mereka ingat dengan meletakkan kamera video berkenaan akan menganggu konsentrasi kami, mereka sebenarnya gagal," katanya di sini hari ini.
Faekah memberitahu, tiga pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri hadir di pejabat menteri besar pagi ini untuk meneliti sistem keselamatan di pejabat berkenaan.
Katanya, kehadiran pegawai polis berkenaan hasil kerjasama Ketua Polis negeri, Datuk Khalid Abu Bakar yang diminta oleh Abdul Khalid sebelum ini memantau dan memeriksa sistem keselamatan pejabatnya dan bukannya menyiasat kes penemuan kamera perakam video berkenaan.
Menurutnya, daripada pemantauan dan pemeriksaan fizikal itu pegawai polis berkenaan berpendapat sistem keselamatan di pejabat menteri besar berada pada tahap yang longgar dan memerlukan penambahbaikan.
"Ekoran itu, pihak polis akan mengemukakan laporan serta cadangan-cadangan untuk pertimbangan pejabat ini.
"Mereka turut mencadangkan sekiranya penemuan kamera video itu mahu disiasat daripada aspek jenayah, maka pejabat ini perlu membuat laporan kepada pihak polis," ujarnya.
Kira-kira pukul 6 petang 10 Ogos lalu, Abdul Khalid menemui sebuah kamera perakam video yang disembunyikan dalam bilik pejabatnya dipercayai untuk mengintip aktiviti harian beliau.

Hudud tidak semestinya dilaksana – Pas





KOTA BHARU 2 Sept. – Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara.
Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.
Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.
“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat.
“Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya.
“Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat.
“Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan yang pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.
Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan perlembagaan sedia ada.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.
Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan Negara.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Dakwah negeri berkata, cita-cita Pas untuk menegakkan syariat dan sebuah negara Islam tidak pernah berubah tetapi pelaksanaannya bergantung kepada persediaan masyarakat yang juga pengundi.
“Rakyat Malaysia iaitu pengundi, walaupun pilih Pakatan Rakyat tetapi mereka belum bersedia untuk menerima pelaksanaan (hukum hudud) kita tak jadi masalah.
“Selama ini kita bagi tahu nak laksanakan negara Islam pun bukan nak memaksa, tapi dilaksanakan dengan persetujuan pengundi, itu paling penting. Sebab, bila rakyat setuju soal perlembagaan sekular tak berbangkit dah,” katanya.

Syabu: PDRM sangkal dakwaan polis Indonesia



Zul Hasnan Najib Baharuddin (kiri) bersalam dengan Othman Harun sambil disaksikan oleh Ismail Omar pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, semalam. - utusan/Aizzul A.Majid


KUALA LUMPUR 2 Sept. - Belumpun reda kontroversi rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi membaling najis dan membakar Jalur Gemilang di hadapan Kedutaan Malaysia di Indonesia, pihak berkuasa negara jiran itu pula dikesan cuba menghangatkan suasana.
Polis Republik Indonesia di daerah Kepulauan Riau (Polda Kepri) dalam satu kenyataannya kelmarin menuduh Malaysia sebagai negara pengeluar dadah jenis syabu terbesar di dunia.
Tuduhan itu dikeluarkan oleh seorang pegawai polis berpangkat Komisioner, Heru Nugraha dan disiarkan dalam akhbar Padang Today.
Pegawai polis itu dilaporkan mendakwa, sembilan daripada 10 suspek yang ditahan kerana menyeludup syabu ke Batam dan Kepulauan Riau berasal dari Malaysia.
Heru dalam kenyataannya turut bimbang jika generasi bangsa Indonesia bakal rosak gara-gara syabu dari Malaysia yang tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
Berikutan kenyataan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan polis Indonesia bahawa Malaysia adalah negara pengeluar syabu terbesar.
Pemangku Pengarahnya, Datuk Othman Harun berkata, dakwaan Polda Kepri itu tidak berasas kerana mereka bukan agensi yang diiktiraf untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Apa yang didakwa itu adalah tidak benar kerana masalah pengedaran syabu bukan berlaku di negara kita sahaja malah di seluruh dunia.
"Agensi yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jenayah dan Dadah (UNODC) dan bukan pihak berkuasa dari mana-mana negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima tugas sebagai Pemangku Pengarah JSJN daripada Datuk Zul Hasnan Najib Baharuddin, 58, yang akan bersara pada 12 September ini.
Majlis penyerahan tugas disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di Bukit Aman, hari ini.
Othman menambah, meskipun terdapat peningkatan dalam gejala pengedaran syabu di negara ini terutama di pintu masuk negara, namun ia masih dalam keadaan terkawal.
Menurut beliau, JSJN sehingga kini telah melakukan pelbagai risikan dan tindakan untuk mengekang masalah tersebut.
"Buktinya kita berjaya merampas dadah dalam kuantiti lebih banyak seperti syabu sebanyak satu tan pada tahun lepas yang dibawa masuk dari negara luar.
"Untuk tahun ini, kita telah merampas ratusan ribu biji pil Eramin 5 selain menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang membuka makmal syabu di negara ini," ujarnya.

Siasat Facebook guna ‘Melayu Babi!’





KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membuat laporan polis berhubung laman Facebook yang dicipta menggunakan nama ‘Melayu Babi!’ di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

GPMS Selangor diwakili Pengerusinya, Mohd Faizal Mohd Salleh mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pengendali laman itu yang jelas mempersendakan Islam serta menggugat keselamatan negara.

Mohd Faizal berkata, tindakan pengendali tersebut dilihat boleh menggugat keharmonian antara kaum yang dikecapi selama ini kerana menggunakan perkataan kesat merujuk kepada sesuatu kaum.

“Kami berharap agar siasatan segera dapat dijalankan bagi menyiasat pengendali laman yang tidak bertanggungjawab itu dan tindakan tegas dapat diambil.

“Tindakan tegas perlu diambil agar dijadikan pengajaran kerana dikhuatiri jika dibiarkan maka akan timbul lebih banyak lagi perkara seperti ini,” katanya selepas membuat laporan polis di sini, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu tidak harus dipandang mudah kerana bimbang semakin berleluasa.

Menurutnya, kenyataan berbaur hasutan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang cuba mewujudkan ketegangan.

Bagaimanapun, beliau tidak menuduh mana-mana pihak dan menyerahkan ia disiasat polis.

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh seorang rakan berhubung laman terbabit kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu.