Monday, June 28, 2010

Ku Li sedia jadi saksi



GUA MUSANG – Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, bersedia menjadi saksi bagi pihak Kerajaan Kelantan, jika kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, tawaran itu dibuat kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab dalam penyediaan Akta Petroleum dan mengetahui banyak perkara kerana pernah dilantik sebagai Pengerusi Petronas. 

“Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, semalam 

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, Akta Petroleum memberi hak kepada negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak. 

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi. 

Menurutnya, menerusi wang royalti inilah negeri mundur dapat membangunkan negeri masing-masing sekiranya royalti diberikan kepada kerajaan negeri.: 

“Beberapa negeri dianggap mundur seperti Kelantan dapat membangunkan negeri sekiranya diberikan wang royalti untuk melaksanakan pembangunan,” katanya. 

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah, 30 Ogos nanti.

Afghanistan: Perang tanpa kemenangan


- SUHAIMI MOKHTAR

Pentadbiran Presiden Barack Obama mengambil keputusan memecat Panglima Pemerintah Tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan, Jeneral Stenley Mcchrystal dan digantikan dengan Jeneral David Petraeus untuk meneruskan operasi ketenteraan 'Mushtarak' di Afghanistan bagi melenyapkan kebangkitan pejuang islam yang berjuang di bawah panji-panji Taliban dan Al-Qaeda. 

Pemecatan ini atau permintaan untuk meletakkan jawatan oleh Jeneral Mcchrystal mengambil tempat apabila Mcchrystal dipanggil menghadap Obama di Rumah Putih di Washington akibat dari kenyataan Mcchrystal dan pembantunya yang memandang rendah terhadap beberapa kenamaan yang berkhidmat menasihati Obama dalam hal ehwal keselamatan. 

Dalam satu interviu yang ditulis oleh Micheal Hastings yang bertajuk “A Runaway General”, Jeneral Mcchrystal dan pembantunya memandang rendah beberapa tokoh individu dalam Pentadbiran Obama.Ada yang mereka panggil pembantu-pembantu Obama ini sebagai “pelawak”. 

Apa yang berlaku membayangkan wujudnya perbezaan pendapat dan pandangan yang ketara antara Pentadbiran Obama dengan Panglima Operasi “Mushtarak”, Jeneral Mcchrystal yang telah menghantar pasukannya memasuki Kandahar, kubu kuat Pejuang Taliban, setelah dikatakan berjaya memasuki Marjah, wilayah Helmand. 

Jeneral Mcchrystal merupakan Panglima Pemerintah yang mempunyai hubungan yang akrab dengan Presiden Hamid Karzai, salah satu anasir penting dalam strategi perang diAfghanistan bagi memperlihatkan kesatuan dalam tindakan bagi memenangi hati nurani rakyat Afghanistan dalam perang yang telah berlangsung lebih Sembilan tahun, sejak 2001. 

Kemenangan perang Afghanistan mesti melalui kemenangan perang saraf memenangi hati nurani rakyat Afghanistan dan bukan setakat kemenangan disegi ketenteraan dimedan tempur semata-mata. Untuk memenangi hati nurani rakyat Afghanistan tidaklah semudah sebagaimana yang tertulis, sarat dengan janji dan rancangan. 

Mcchrystal merupakan jeneral yang meminta supaya tentera AS ditambah sejumlah 40,000 anggota lagi menjadikannya lebih 100,000 anggota bagi memenangi dan meningkatkan serangan terhadap pejuang Taliban dan Al-Qaeda. 

Sebanyak 35,000 tambahan anggota dipersetujui dan telah dihantar ke Afghanistan bagi menggempur kedudukan Taliban. Tentera AS dan sekutunya dijadualkan berundur akhir 2011, apabila pasukan keselamatan Afghanistan yang telah menerima latihan yang intensif mampu mengambil alih tugas dan tanggungjawab keselamatan. 

Bagaimana pun perancangan yang tersurat tidak menyamai yang tersirat. Sejak mutakhir ini situasi perang tidak seluruhnya menyebelahi tentera penakluk AS dan tentera berikat Nato. Serangan bom kian meningkat termasuk serangan pengebom berani mati menyebabkan ramai anggota keselamatan Afghanistan terbunuh dan tidak terkecuali juga anggota tentera AS dan Nato. 

Setakat ini 1,125 anggota tentera AS terbunuh, tentera berikat 424 dan 300 tentera British sejak penaklukan dan penggulingan kerajaan Taliban pada 2001. Jumlah semua yang terbunuh ialah 1849 dan pada bulan Jun ini merupakan bulan paling ramai tentera penakluk dan sekutunya yang terkorban. 

Akibat dari jumlah anggota tentera yang terkorban terus meningkat dan Pejuang Taliban terus mampu melakukan serangan hatta di tengah-tengah ibu negara Afghanistan, Kabul, ia membayangkan bahawa AS dan sekutunya jauh dari memenangi peperangan, apalagi untuk memenangi hati nurani rakyat Afghanistan. 

Penambahan tentera dan peningkatan serangan oleh tentera AS dan sekutu Nato termasuk serangan melalui drone, kapalterbang tanpa juruterbang, milik Pusat Agensi Perisikan (CIA), tidak pun memberi kesan besar dalam perimbangan situasi perang di Afghanistan. 

Serangan melalui drone, kadang-kadang menyebabkan orang awam menjadi korban dan keadaan ini telah menimbulkan kemarahan rakyat Afghanistan dan menyebabkan penduduk lebih bersimpati kepada perjuangan Taliban dan menyulitkan lagi strategi untuk memenangi hati nurani rakyat. Bukan hati nurani rakyat yang dimenangi, tetapi kebencian rakyat diperolehi. 

Dalam usaha dan strategi serampang dua mata – memenangi perang di medan tempur dan memenangi hati nurani rakyat- Regim Hamid Karzai yang diangkat oleh AS dan sekutunya telah mengadakan persidangan dengan mengumpulkan pimpinan ketua-ketua etnik seluruh Afghanistan untuk mencapai kata sepakat mencari titik-titik bagi pengakhiran perang Afghanistan. 

Hamid Karzai telah mempelawa pihak Taliban untuk berunding tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh Taliban. Selagi tentera penakluk masih ada di Afghanistan selagi itu perang tidak akan berakhir. Regim Karzai tidak mampu berdiri sendiri untuk survival tanpa bantuan dan kahadiran tentera AS dan Nato. 

Dengan meningkatnya jumlah tentera AS dan sekutunya yang terbunuh, menjadikan perang Afghanistan makin mendapat bantahan. Rakyat negara-negara tentera mereka terlibat dalam perang Afghanistan sudah memprotes penglibatan tentera mereka dan ia kini menjadi laibaliti kepada kerajaan-kerajaan berkenaan. 

Presiden Obama dalam kenyataannya memecat Mcchrystal mengatakan bahawa pertukaran pimpinan tentera peringkat paling tinggi di Afghanistan yang melibatkan saorang pengatur strategi tidak akan mengubah polisi AS dan Nato di Afghanistan. David Petraeus akan meneruskan dasar dan strategi yang diperkenalkan oleh Mcchrystal. Petraeus terkenal sebagai Panglima Pemerintah Tertinggi tentera AS yang melaksanakan strategi “gempur” di Iraq dibawah pentadbiran Bush. 

Pertukaran kepimpinan tertinggi tentera AS di Afghanistan ini memberi petanda bahawa strategi ketenteraan AS dan Nato di Afghanistan buntu dan gagal. Jeneral Mcchrystal dikatakan sengaja mengadakan alasan dengan komennya, untuk mencari jalan keluar dari kegagalan strateginya yang mnecadangkan tambahan tentera di Afghanistan. 

Tambahan tentera tidak memberi impak besar kepada keadaan perang di Afghanistan. Bahkan ia telah menyebabkan lebih ramai tentera AS dan sekutunya terbunuh ,kerana apabila terdapat lebih ramai tentera maka tentulah lebih banyak terbuka peluang untuk menjadi sasaran serangan. 

Perbezaan pandangan juga kini terserlah apabila kerajaan baru pakatan Parti Konservatif dan Parti Liberal Demokrat yang dipimpin Perdana Menteri (PM) David Camaron menyatakan bahawa tentera British yang merupakan kedua terbesar di Afghanistan, dengan jumlah 9,500 akan terus kekal di Afgha nistan selama lima tahun lagi. selama era pemerintahan lima tahunnya. 

Kenyataan Camaron di Canada, venue persidangan negara kaya G-8 dan persidangan negara kaya dan negara ekonomi baru muncul, G-20 ini, agak tidak sama dengan pandangan Obama yang mahu mengeluarkan tentera AS dari Afghanistan selewatnya pada akhir 2011. 

Tetapi mampukah Camaron menganjakkan masa selama itu, sedangkan pendapat umum anti perang di kalangan rakyat British kian meningkat. 

Salah satu punca calun Parti Republikan AS kalah dalam pilihan raya presiden adalah kerana isu perang di Afghanistan dan Iraq. Tony Bliar meletakkan jawatan Perdana Menteri (PM) United Kingdom (UK) dan menyerahkannya kepada Gordan Brown berpunca dari tentangan rakyat terhadap polisinya menyertai AS dalam perang di Iraq dan Afghanistan. 

Brown dan kerajaan Parti Buruh pula menerima nasib ditolak pengundi yang memilih Konservatif dan Liberal Demokrat menubuhkan kerajaan baru UK. 

Dalam keadaan tiada kemenangan yang dicapai dalam perang di Afghanistan dan di Iraq, dan walaupun perang kini menjadi laibailiti, tetapi ia akan terpaksa diteruskan oleh AS dan sekutunya untuk satu tempuh yang tidak dapat ditentukan. 


* Penulis ialah Perunding Media di Kuala Lumpur

Ketua kaum di Sarawak dihentikan jika sokong pembangkang


SAMARAHAN - Mana-mana Ketua Kaum yang menyokong pembangkang dalam pilihan raya negeri Sarawak yang akan datang akan ditamatkan perkhidmatan serta-merta kerana ia adalah satu tindakan salah laku yang amat serius, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin.

"Ketua Kaum adalah ejen kerajaan, yang membantu dalam pembangunan masyarakat setempat dan bukannya menentang kerajaan," kata pada majlis penyerahan surat pelantikan dua Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh dan Melayu di sini, hari ini.

Di Sarawak, jawatan Temenggong yang mewakili kaum tertentu di peringkat bahagian adalah hirarki tertinggi sistem pentadbiran setempat diikuti Pemanca di peringkat daerah, Penghulu dan akhir sekali Ketua Kaum.

Manyin berkata, oleh kerana pilihan raya negeri Sarawak semakin hampir, semua Ketua Kaum perlu meningkatkan usaha untuk membantu kerajaan memberi maklumat mengenai kejayaan yang telah dicapai oleh kerajaan negeri terutama sekali membawa pembangunan ke kawasan pedalaman kepada penduduk setempat.

"Bagi meningkatkan lagi sistem penyampaian kerajaan, kerajaan negeri mahu Ketua Kaum bersikap terbuka dalam menerima kritikan dan cadangan," katanya.

Beliau berkata, jawatan Ketua Kaum kini bukan kekal sepanjang hayat dan telah dihadkan tempoh selama empat tahun.

"Tidak ada undian atau pilihan raya untuk melantik Ketua Kaum kerana sistem yang dilaksanakan sekarang adalah berdasarkan lantikan mengikut persetujuan yang disahkan oleh Pegawai Daerah, Residen Bahagian dan Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

Bekas guru Robert Sulis Ridu, 75, dilantik menjadi Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Bidayuh manakala Chek Bujang, 59, seorang bekas guru agama, dilantik Temenggong Samarahan mewakili masyarakat Melayu.

Temenggong Bidayuh akan memimpin seramai 152 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum berbangsa Bidayuh manakala Temenggong Melayu akan memimpin 111 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di Samarahan.

Senaraihitam kontraktor Istana Negara baru jika tidak bayar pekerja asing: Shaziman


KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya bercadang menyenaraihitam kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Istana Negara di Jalan Duta jika terbukti tidak membayar gaji kepada pekerja-pekerja asing. 

Menteri berkenaan Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, beliau telah mengarahkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menyiasat dakwaan berkenaan. 

"Saya bersimpati dengan pekerja asing walaupun masuk haram, tetapi mereka telah diketepikan hak kebajikan. Saya telah minta CIDB pagi tadi supaya segera menyiasat jika kebenaran ini ada dan mengikut data-data dari Kementerian Dalam Negeri.

"Jika benar syarikat-syarikat yang melaksanakan projek ini, walaupun projek ini merupakan projek design and build, maka kementerian tidak akan teragak-agak untuk mencadangkan supaya kontraktor disenarai hitam pada masa akan datang," katanya semasa menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi kementerian itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab celahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang membangkitkan isu kontraktor tidak membayar tiga bulan gaji 1,000 pekerja yang terlibat dengan pembinaan Istana Negara, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam. 

Mengenai pertambahan kos hiasan dalamannya yang dianggarkan sebanyak RM150 juta hingga RM200 juta seperti yang ditanya Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Shaziman berkata, tidak berlaku pertambahan kos sebanyak itu. 

Berkenaan isu siling Kompleks Mahkamah Jalan Duta yang runtuh, Shaziman berkata, mengikut laporan asal yang diterimanya tidak berlaku keruntuhan siling, sebaliknya hanya berlaku kebocoran paip. 

"Apabila berlaku kebocoran paip, syarikat yang mengendalikan kerja-kerja baik pulih telah tukar paip dan meletakkan pelekat dan dalam masa yang sama meminta paip tidak dibuka dalam tempoh tertentu supaya ia benar-benar melekat. 

"Malangnya telah berlaku masalah komunikasi apabila paip digunakan sebelum batangnya melekat, maka telah berlaku kebocoran dan ia kena buat satu lubang besar pada siling yang ada untuk melihat sendiri apakah punca-punca," katanya menjawab celahan M Manogaran (Teluk Intan-DAP).


Nenek nikah di sempadan

15/7

SONGKHLA (Selatan Thailand): Pepatah cinta tidak mengenal usia mendorong seorang nenek berusia 60 tahun berkahwin dengan pasangannya berusia 40 tahun di Majlis Agama Islam Wilayah Songkla (Mais) kerana tidak mendapat restu keluarga masing-masing.
Urusan pernikahan tidak terlalu rumit kerana pasangan tidak perlu membawa wali, sijil keizinan berkahwin daripada Jabatan Agama Islam, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas daripada HIV atau Aids dan juga wang hantaran, pasangan dari Malaysia bebas berkahwin di negara jiran dengan bayaran serendah RM450 untuk urusan lengkap.
Berikutan terlalu mudah berkahwin di negara jiran terutama di Selatan Thailand, ramai pasangan termasuk selebriti dan berstatus elit yang ingin berkahwin lagi membuat keputusan berkahwin di situ.
Yang Dipertua Mais merangkap Kadi Syarie Wilayah Songkhla, Zakaria Saleh, berkata dianggarkan kira-kira 100 pasangan Malaysia bernikah setiap bulan di selatan Thailand, iaitu paling tinggi berbanding pasangan negara jiran lain.
Ada satu kes seorang wanita berusia 60 tahun bernikah dengan pasangannya berusia 40 tahun kerana lebih mudah dan tidak diketahui umum dan ada juga pasangan bernikah seawal usia 20-an kerana cinta terhalang akibat hubungan tidak direstui keluarga, katanya.
Zakaria berkata, pihaknya tiada halangan menikahkan pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga, tetapi perlu memenuhi syarat ditetapkan, mempunyai dokumen diperlukan serta tidak menggunakan ejen sindiket nikah palsu yang dilaporkan banyak berlaku kebelakangan ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak sewenang-wenangnya menikahkan setiap pasangan kerana mahu melihat dokumen pasangan masing-masing kerana sijil nikah dikeluarkan perlu diserah kepada pejabat konsulat Malaysia di Songkhla untuk pengesahan.
Pasangan terbabit perlu membawa surat nikah Thailand, surat pengesahan Majlis Agama Islam wilayah berkenaan dan salinan kad pengenalan pasangan suami isteri bagi mendapatkan surat pengesahan konsulat.
Surat pengesahan nikah daripada pejabat konsulat itu diperlukan bagi setiap pasangan untuk mendaftar perkahwinan di Pejabat Agama Islam di daerah masing-masing, katanya.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan, berkata sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu, pihaknya menerima 1,321 permohonan rakyat Malaysia yang berkahwin di situ.
Daripada jumlah itu, pasangan Malaysia yang berkahwin sesama negara ialah 999 permohonan, pasangan Malaysia-Thailand (186), Malaysia-Indonesia (19), Malaysia-Pakistan (18), Malaysia-Bangladesh (dua permohonan).
Statistik perkahwinan membabitkan rakyat Malaysia sejak tahun lalu ialah 2,172 permohonan; 2008 (2,342); 2007 (1,944); 2006 (845); 2005 (314); 2004 (55); 2003 (98); 2002 (67) dan 2001, 73 permohonan pengesahan pernikahan, katanya.
Menurutnya, surat pengesahan nikah daripada pejabat konsulat itu diperlukan bagi setiap pasangan terbabit untuk mendaftar perkahwinan di Pejabat Agama Islam di daerah masing-masing.
Pendaftaran ini perlu bagi memastikan setiap pihak terbabit mendapat hak seperti diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, katanya.
Sumber : Harian Metro

Putera William tidak berduit

15/7

RAKAMAN CCTV menunjukkan William berkaca mata meminta Kate membuat pembayaran barangan dibeli.
RAKAMAN CCTV menunjukkan William berkaca mata meminta Kate membuat pembayaran barangan dibeli.
LONDON: Sebagai pewaris takhta kerabat diraja yang cukup popular, Putera William tentunya bosan apabila ke mana saja beliau pergi, pasti orang mengenalinya.
Percubaan beliau untuk menyamar ketika berkunjung ke sebuah kedai di luar bandar minggu lalu terbongkar kerana sebagai kerabat diraja beliau sememangnya tidak pernah membawa wang tunai.
Pada mulanya, William, 28, menafikan beliau adalah pewaris takhta Britain itu walaupun kehadirannya ditemani sekumpulan pengawal keselamatan.
Bagaimanapun, penyamarannya terbongkar apabila beliau terpaksa meminta teman wanitanya, Kate Middleton melunaskan bayaran piza dan kentang goreng dipesannya yang dibuat menerusi kad kredit platinum milik Kate.
William muncul di pasar mini McColl di pekan kecil Blaenau Ffestiniog, di Wales Utara, semalam dengan berpakaian kasual dan berkaca mata.

Pembantu kedai, Sioned Compton menyedari kehadiran putera itu sebaik beliau ingin membuat pembayaran lantas menjerit kegembiraan, Oh Tuhan, anda Putera William, bukan? Bagaimanapun, William hanya menundukkan kepalanya sambil menjawab, Tidak, saya bukan Putera William.
Malu dengan tindakan serkap jarangnya, pembantu kedai berusia 22 tahun itu kemudian tidak membesarkan hal berkenaan.
William berbelanja piza peperoni sejuk beku, sebungkus kentang goreng sejuk beku, sekotak salad sejuk, sebungkus daun salad, sebotol jus oren dan dua botol air dengan kesemuanya berharga 12.60 (RM62).
Apabila Sioned memberitahu pelanggannya jumlah bayaran perlu dibuat, putera terbabit baru menyedari, seperti neneknya, beliau tidak pernah membawa wang tunai.
William lantas meminta Kate membayar harga barang berkenaan.
Kate yang juga tidak membawa wang tunai kemudian membuat bayaran menggunakan kad kreditnya.
Insiden hujung minggu lalu itu yang terpapar menerusi kamera litar tertutup (CCTV) pasar mini berkenaan bukan percubaan pertama William menyembunyikan identitinya. – Agensi
Sumber : Harian Metro

KERENGGA: Istana Yang Dibina Dengan Air Mata

KERENGGA: Istana Yang Dibina Dengan Air Mata

Batu vs Kayu

Batu vs Kayu

Panglima Perang Cyber: Ulama Besar Islam Said Ramadhan Sahkan Wahabi Ciptaan British & Senarai 65 Ulama Dulu & Kini Yang Menolaknya !!!

Panglima Perang Cyber: Ulama Besar Islam Said Ramadhan Sahkan Wahabi Ciptaan British & Senarai 65 Ulama Dulu & Kini Yang Menolaknya !!!

Ibnu Hasyim: Orang Makan Pelancong, Duta China Perlu Jelaskan

Ibnu Hasyim: Orang Makan Pelancong, Duta China Perlu Jelaskan

Johor: 'Lagak remaja macam pelesit'


Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/06/28

Tunggang motosikal tanpa topi keledar, berlumba di Taman Sri Lambak 

KLUANG: Bagai pelesit. Itulah gambaran yang dapat disaksikan di Taman Sri Lambak di sini berikutan tindakan penduduk taman ini terutama golongan muda yang membahayakan nyawa mereka dengan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
Malah, penunggang yang kebanyakannya remaja ini sanggup berlumba sesama sendiri di jalan di taman perumahan tanpa rasa takut dan bersalah terhadap pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki.Tinjauan Edisi Johor ke taman perumahan berkenaan, baru-baru ini mendapati hampir setiap masa kelihatan penunggang remaja yang memandu secara melulu dan tidak memakai topi keledar keluar masuk terutama di lot kedai di taman itu. 

Apa yang lebih bahaya adalah mereka menjadikan laluan lurus kira-kira 500 meter di hadapan lot kedai di taman berkenaan untuk menunjukkan 'kehandalan' berlumba sesama sendiri. 

Peniaga, Karzaman Ahmad, 50, berkata gelagat berbahaya segelintir remaja di situ sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu. 

"Ia seperti sudah menjadi pemandangan biasa di sini apabila mereka tidak pernah merasa takut dan bimbang untuk menunggang laju dan ada kalanya, berlumba sesama mereka di dalam taman ini. 
"Pihak berkuasa pernah melakukan operasi dan menyaman pelajar berkenaan serta pemilik motosikal, namun keadaan itu hanya bertahan beberapa minggu sebelum kejadian sama berulang. 

"Penduduk tidak menyalahkan pihak berkuasa, namun ibu bapa perlu lebih tegas bagi memantau pergerakan anak mereka kerana ia membabitkan nyawa terutama penduduk yang melintas jalan untuk ke kedai. 

"Malah, sepanjang dua tahun ini sebanyak tiga kemalangan maut berlaku membabitkan penunggang remaja termasuk kejadian membabitkan kemalangan maut penunggang dan pembonceng dan penunggang yang merempuh sebatang pokok, baru-baru ini, kedua-duanya berlaku kerana memandu laju dan secara melulu," Katanya ketika ditemui di kedainya, di sini. 

Karzaman berkata, jumlah kemalangan maut berkenaan mungkin dianggap sedikit namun kes kecederaan parah juga banyak berlaku membabitkan penunggang remaja termasuk patah kaki dan tangan, malah putus telinga. 

Katanya, beliau juga serba salah untuk menegur mereka ini kerana kebanyakannya anak kawan sendiri, namun berharap ibu bapa dapat memantau pergerakan anak bagi mengelak nahas. 

Melaka: Pasar malam haram


Oleh Arifin Salleh
bnews@bharian.com.my
2010/06/28

Peniaga pacak gerai di tengah pekan ganggu keselesaan penduduk 

MASJID TANAH: Orang ramai di kawasan Kuala Sungai Baru, dekat sini, merayu pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan segera ke atas sebuah `pasar malam segera' di situ yang dianggap mengganggu keselesaan mereka.
Selain menyebabkan kesesakan dan menjejaskan pemandangan di kawasan terbabit, pasar berkenaan juga didapati menjadi punca bau busuk dan meloyakan di kawasan berkenaan hampir sepanjang malam.Bagi mereka, kewujudan pasar itu tidak diperlukan buat masa ini dan operasinya perlu dihentikan dengan segera supaya tidak menimbulkan lebih banyak masalah kepada penduduk dan orang ramai yang melalui kawasan itu. 

Tinjauan Berita Harian mendapati pasar malam itu beroperasi di sebuah kawasan lapang di hadapan bangunan Mara yang sedang dalam pembikinan. 

Ia beroperasi dari jam 5 petang hingga larut malam, bergantung kepada kehadiran pengunjung. Ada kalanya mengikut orang ramai yang sering berada di situ, ia tidak beroperasi pada malam tertentu. 

Ada dakwaan mengatakan pasar malam berkenaan tidak pernah mendapat kebenaran pihak berkuasa atau restu wakil rakyat di situ, Ismail Othman. Bagaimanapun, peniaga terus beroperasi kerana setakat ini belum pernah ada serbuan dilakukan bagi menghentikannya. 
Seorang penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Jaidin Ali, 55, ketika ditemui, melahirkan rasa tidak senang dengan kewujudan pasar malam berkenaan yang didakwanya menimbulkan banyak masalah kepada orang ramai. 

Katanya, kebanyakan peniaga terbabit didapati menjual pelbagai jenis bahan mentah dan basah, termasuk ikan, udang, sotong, daging dan sayur-sayuran sekali gus menjadi punca bau busuk di situ. 

"Kalau nak diikutkan, tapak gerai pasang siap yang diletakkan di situ betul-betul di hadapan bangunan MARA yang belum siap sepenuhnya. 

"Mereka (peniaga terbabit) sepatutnya faham kawasan lapang di situ bukan untuk berniaga. Tambahan pula banyak rumput hijau yang baru ditanam di kawasan itu mati kekeringan apabila dijadikan tapak untuk berniaga," katanya. 

Jaidin tidak menolak kemungkinan pihak terbabit mempunyai `kekebalan' sehingga tidak ada yang berani menegur mereka. 

Azizi Yazid, 37, yang kerap berulang alik pagi dan petang melalui kawasan itu untuk ke tempat kerja, mengakui kerap tersangkut di situ akibat kesesakan teruk berikutan banyak kenderaan berhenti untuk ke pasar malam berkenaan. 
Beliau juga mengakui bau busuk dan hanyir dari kawasan berkenaan memang amat mudah dihidu di situ pada setiap petang. 

"Keadaan ini sepatutnya dipantau oleh pihak berkuasa tempatan. Peniaga yang menjalankan perniagaan di situ perlu mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkenaan jika mereka tidak mahu dikenakan sebarang tindakan. 

"Saya fikir pihak berkuasa terbabit perlu bertindak segera memindahkan pasar malam itu bagi memulihara keindahan dan kebersihan pekan ini daripada tercemar," katanya. 

Timur: Masjid uzur


Oleh Mhd Zawawi Mat Ail 
bhkt@bharian.com.my
2010/06/28

Penduduk Santung sedih tempat ibadat bocor, dicemari najis kelawar 

DUNGUN: Penduduk Kampung Santung di sini sedih dengan keadaan masjid mereka dengan siling dan bumbung berlubang hingga menjadi sarang kelawar dan menyebabkan jemaah terpaksa berdepan bau busuk yang meloyakan.
Sehubungan itu, penduduk merayu pihak berkaitan mengambil langkah segera membaiki dan menaikkan taraf masjid uzur berkenaan yang sentiasa diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.Tinjauan Edisi Timur di masjid itu mendapati selain berdepan risiko keselamatan disebabkan siling hampir runtuh, keadaan dalam dan luar bangunan juga daif dan kurang selesa dengan bau busuk tahi kelawar menyucuk hidung dan permaidani lembap dibasahi hujan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Santong, Shafie Salleh, 53, yang juga Penasihat AJK masjid berkenaan, berkata bumbung mula bocor sejak tiga tahun lalu dan langkah pembaikan kecil-kecilan yang dibuat tidak dapat menampung kerosakan semakin buruk. 

Katanya, atap dan siling bocor di merata bahagian bumbung menyebabkan lantai dan permaidani di masjid ini sentiasa basah dan berbau hapak. 

“Setiap kali hujan lebat, berbelas besen diatur menadah air hujan daripada terus membasahi permaidani yang memakan masa untuk kering dan berbau hapak walaupun hujan sudah berhenti berhari-hari lamanya. 
“Ruang siling masjid dikotori najis kelawar dan burung yang membuat sarang selepas syiling yang berlubang dan terkopak dibiarkan tanpa dibaiki menyebabkan jemaah terpaksa menghidu bau busuk yang semakin kuat bila musim hujan kerana siling dibasahi hujan dan udara lembap,” katanya. 

Shafie berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah beberapa kali meninjau masjid itu tetapi pemeriksaan sudah bertahun lalu dan tiada apa pembaikan dibuat hingga kini. 

Bilal masjid, Che Ku Ngah Che Ku Mat, 53, berkata dia bimbang dengan keadaan masjid yang sudah terlalu daif, kerana menjejaskan kelancaran kegiatan mengimarahkan masjid terutama apabila ada program yang membabitkan pengunjung luar. 

Katanya, pelbagai agensi dan badan swasta termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, persatuan silat dan pertubuhan bukan kerajaan daerah ini selalu menganjurkan aktiviti bersama penduduk turut hairan dengan keadaan masjid itu yang tidak mendapat pembelaan pihak berkuasa berkaitan. 

Seorang jemaah, Nordin Abu Bakar, 47, berkata beliau amat kecewa kerana tiada kerja penambahbaikan dibuat sejak masjid itu dibina pada 1986. 

“Kami kesal walaupun sudah bertahun ahli jemaah menunaikan tuntutan agama dengan bau yang kurang menyenangkan dan berisiko ditimpa syiling yang robek, impian kami untuk memiliki masjid yang lebih selamat dan selesa hanya tinggal angan-angan,” katanya hampa. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Ariffin Abdullah, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah memanjangkan masalah masjid itu kepada pihak berkuasa berkaitan. 

Sehubungan itu, katanya, pihak Jabatan Agama dan JKR perlu memberi ketetapan untuk menyegerakan kerja membaiki masjid Santong memandangkan keadaannya sudah terlalu uzur. 

Sentral: Urut kaki, urut batin




2010/06/28

Pusat refleksologi kenakan tambahan RM50 untuk khidmat 'istimewa' warga China 

SABAK BERNAM: Kewujudan pusat refleksologi bagai cendawan tumbuh selepas hujan di daerah ini menimbulkan keraguan mengenai rasional perlunya perkhidmatan sedemikian di kalangan penduduk tempatan.
Lebih membimbangkan, banyak aduan diterima Sentral mengaitkan kegiatan tidak bermoral yang dikatakan berselindung di sebalik pusat urutan kaki tradisional itu.

Malah, segelintir pusat refleksologi di Sungai Besar dan Sekinchan itu dikatakan turut menyediakan perkhidmatan urutan batin tanpa mengira siang atau malam. 

Keadaan itu jika dibiarkan berterusan dikhuatiri mencemarkan imej pekan berkenaan yang selama ini terkenal dengan penduduknya yang kaya dengan budaya dan teguh nilai keagamaan. 

Pada luarannya, pusat urut itu dilihat sama seperti premis refleksologi lain yang tidak mempamerkan gadis seksi bersidai di hadapan kedai. 

Bagaimanapun, peranan seorang lelaki dipercayai penjaga premis itu di hadapan kedai sambil menggamit pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan istimewa, boleh menimbulkan syak. 
Dengan kadar bayaran serendah RM35, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan urutan badan daripada gadis seksi warga China selama satu jam pada waktu tertentu dan dengan tambahan RM50 pelanggan dapat melampiaskan nafsu melalui urutan batin. 

Kegiatan tidak bermoral segelintir pengusaha pusat refleksologi ini mencemarkan imej premis perniagaan yang benar-benar melaksanakan urutan kaki dan badan mengikut cara tradisional masyarakat China itu. 

Penduduk, Mohd Zaini Shaari, 37, berkata pusat tidak bermoral itu hanya wujud sejak kebelakangan ini dan pengusahanya seolah-olah mudah mendapat kelulusan daripada Bahagian Pelesenan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB). 

“Ahli Majlis MDSB yang dilantik kerajaan negeri nampaknya tidak berfungsi atau hanya menutup sebelah mata untuk menjaga kepentingan pihak tertentu,” katanya. 

Beliau berharap MDSB dapat melakukan pemantauan secara berkala dan lebih terperinci termasuk mengadakan serbuan mengejut dan menarik semula lesen perniagaan jika pengusahanya melakukan kesalahan. 

Tinjauan Sentral mendapati ada sekurang-kurangnya enam pusat refleksologi perlu dipantau pihak berkuasa di pekan Sungai Besar, Sekinchan dan Sabak Bernam. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Datuk Warno Dogol, berkata gejala sosial berkaitan pusat refleksologi ini terkawal ketika Selangor diperintah Barisan Nasional (BN) kerana lesen tidak dikeluarkan sewenang-wenangnya. 

“Pihak berwajib terutama MDSB diharap dapat mengambil langkah proaktif bagi mengekang gejala ini demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk khususnya di daerah ini,” katanya.