Tuesday, September 23, 2014

Tiada Timbalan MB


Kuala Lumpur: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengesahkan barisan Exco Selangor baru tanpa mewujudkan jawatan timbalan menteri besar, dijangka diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini.
"Perbincangan akan diadakan petang ini bagi membincangkan apa jua berkaitan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk barisan kepimpinan negeri.
"Apa jua hasil perbincangan, barisan kepimpinan negeri akan diumumkan selewat-lewatnya Jumaat ini," katanya pada sidang media di rumah ibunya di Kampung Klang Gate di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan nama Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah turut disenarai untuk menganggotai Exco, beliau berkata, soal itu tidak timbul.
Foto
AZMIN bersalaman dengan tetamu ketika majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Menteri Besar. FOTO Osman Adnan

"Itu tidak timbul sebab saya pun tidak sebut siapa yang dilantik sehingga mesyuarat diadakan petang ini," katanya.

Azmin juga menafikan bakal mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor seperti yang dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

"Tidak...tidak wujud jawatan itu," katanya ringkas.

Mengulas penutupan Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di Plaza Perangsang pada hari terakhir pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim semalam, Azmin berkata, beliau juga terkejut kerana baru diberitahu malam tadi.

"Saya kena lihat alasan di atas keputusan berkenaan yang dibuat pada saat-saat akhir," katanya.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor pada 13 November 2009.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Azmin atas pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata, Azmin kini harus memikul amanah yang diberikan Sultan Selangor dan rakyat Selangor kerana pelantikan ini juga menyelesaikan isu pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Tahniah kepada Azmin yang telah dilantik sebagai menteri besar Selangor dan kemelut politik di Selangor dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.

Katanya, PAS akan kekal dalam pakatan rakyat di Selangor dan tidak pun terkilan dengan penolakan calon daripada PAS untuk jawatan itu kerana dari awal lagi PAS tidak mahukan jawatan itu.

Berkenaan dengan majoriti dalam Pakatan Rakyat, yang dikatakan mahu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar sebelum ini, beliau berkata, kedudukan Sultan Selangor adalah lebih tinggi dalam menentukan siapa yang layak.

Azmin, 50, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di Balairong Seri Istana Alam Shah di sini, pada jam 10.42 pagi ini.

Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008.

Buat masa ini hanya empat EXCO Kerajaan Negeri dari PAS yang masih berkhidmat dalam kerajaan iaitu ADUN Chempaka Iskandar Abdul Samad, ADUN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi, ADUN Sabak Sallehin Mukhyi dan ADUN Selat Klang Dr Halimah Ali selepas Exco lain dipecat oleh Abdul Khalid.

Azmin dilahirkan di Singapura pada 25 Ogos 1964 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Gurney Road (2), Kuala Lumpur dan Institut Teknikal, Jalan Cheras sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Minnesota, Amerika Syarikat dalam bidang Sains Matematik dan Ekonomi.

Beliau antara ahli politik yang menubuhkan Parti Keadilan Nasional sebelum ditukar nama kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1998.

Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum 2008 setelah mengalahkan calon Barisan Nasional Said Anuar Said Ahmad selain turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, Selangor.

Selain menjawat Timbalan Presiden PKR, beliau adalah ahli jawatankuasa Selcat dan dilantik mengetuai PKR Selangor.

Azmin berkahwin dengan Shamshidar Taharin pada 1988 dan dikurniakan enam anak.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

6 beranak hidup pindah-randah


Rembau: Kesempitan hidup menyebabkan enam beranak yang berpindah dari Alor Gajah, Melaka terpaksa hidup secara nomad dengan menumpang di rumah rakan serta surau sebuah hospital di Seremban sejak sebulan lalu.

Difahamkan, keluarga terbabit hanya membawa beg pakaian dan lebih menyedihkan apabila tiga anak pasangan suami isteri itu juga tidak bersekolah selama sebulan.


Ketua keluarga itu Rahman Ismail, 44, berkata, sebelum ini mereka sekeluarga yang berasal dari daerah ini menetap di Alor Gajah ketika dia bekerja sebagai tukang kebun di rumah seorang doktor.



Menurutnya, dia mengambil keputusan berhenti kerja untuk mencari pekerjaan lebih baik di Seremban dan keluar dari rumah yang disediakan majikannya.


Katanya, nasib mereka sekeluarga sebelum ini mendapat perhatian Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Parlimen Rembau yang menghulurkan bantuan selepas empat hari mereka anak-beranak menghuni surau Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.


Menurutnya, sejak sebulan lalu, kehidupan mereka bertambah sukar apabila dia gagal mendapat pekerjaan.

dan terpaksa menumpang tidur di rumah beberapa rakan sebelum mengambil keputusan tinggal di surau itu sementara mendapat rumah lain.


Katanya, isterinya, Zaina Sagap, 46, tidak bekerja manakala empat anak mereka sudah bersekolah iaitu Mohd Rashid, 15, Zuria Ladyliana, 14, Siti Nor Azni,12, dan Mohd Khairulnizam, 9. Sumbangan disampaikan Pengerusi Perkasa Parlimen Rembau Mohd Anas Sudir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

PERKASA desak individu hina Sultan Johor ditahan


Ipoh: Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Perak membuat laporan polis mendesak individu yang menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam laman sosial Facebook diambil tindakan tegas.

EXCO Wira PERKASA Malaysia Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh berkata, beliau terkejut dan marah apabila membaca kenyataan dibuat seorang lelaki menggunakan nama Faizal Sharil Rauf yang menghina baginda dengan kata-kata biadab.


Menurutnya, ahli Perkasa di seluruh negara mahu individu terbabit ditahan supaya menjadi pengajaran kepada individu lain.



Katanya, beliau terpanggil membuat laporan itu selepas melihat tindakan biadab sesetengah individu di laman sosial yang sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan penghinaan terhadap institusi beraja di negara ini.


“Lelaki berkenaan perlu ditahan dan tidak boleh dilepaskan dengan mudah kerana tindakannya menggambarkan kebiadabannya terhadap Sultan Johor yang menjadi pemerintah tertinggi negeri.


“Sekarang ini kita boleh lihat bagaimana individu yang mengeluarkan perkataan biadab berjaya melepaskan diri hanya dengan membuat laporan polis kononnya akaun Facebook mereka diceroboh,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Bahaya 'keranda putih'


Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Kuala Lumpur: Penggunaan bekas makanan polisterin atau turut dikenali ‘keranda putih’ di negara ini disifatkan berbahaya berikutan ia boleh mengakibatkan penyakit kanser.

Berdasarkan kajian kesihatan mendapati polisterin disahkan mengandungi racun berbahaya seperti kimia stirena iaitu bahan karsinogen yang boleh menyebabkan barah selain kimia tirena dan benzena yang boleh menjejaskan alam sekitar.


Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) N V Subbarow berkata, walaupun polisterin diharamkan di negara maju, namun pengusaha dan peniaga makanan di Malaysia dibenarkan menggunakan bekas polisterin secara berleluasa.

Menurutnya, penggunaan bekas polisterin dalam membungkus makanan panas dikesan boleh mendatangkan mudarat apabila kimia beracun digunakan membuat bekas makanan itu meresap pada makanan.


“Saya beri contoh nasi goreng yang baru dimasak. Sudah tentu ia akan menyebabkan berlaku tindak balas kimia yang akan mengakibatkan berlaku percampuran kimia dan makanan terbabit apabila ia dibungkus dalam keadaan panas.




Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Kerana janggut disangka pengganas


Kuala Lumpur: “Hanya kerana kami berjanggut pihak berkuasa United Kingdom (UK) terus menahan kami mengikut Akta Anti Keganasan selepas mengesyaki kami bertujuh adalah pengganas,” kata Farihin Abd Fatah, 49, yang ditahan di Wales, UK kerana disyaki menjalankan aktiviti keganasan di negara itu.
Beliau yang juga bekas pengurus dan penerbit kumpulan nasyid terkenal Raihan mendakwa ditahan di pangkalan feri ketika mahu memasuki UK melalui Ireland, Jumaat lalu. 
“Kami mahu memasuki UK atas urusan menyiapkan rancangan dokumentari. Tidak sangka ia bertukar menjadi dugaan yang hebat dalam hidup hingga menyebabkan saya terpaksa tidur di lokap dua hari. 

“Ketika itu saya ditahan untuk disoal siasat bersama enam rakan lain yang juga lelaki warga Britain beragama Islam,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, semalam.
Foto
FARIHIN (berdiri dua dari kanan) bersama enam kru produksi yang ditahan pihak berkuasa UK, Jumaat lalu.

Farihin berkata, pihak berkuasa UK menahan mereka selepas melihat wajah kami yang berjanggut panjang yang dikaitkan dengan pengganas Islam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Penjenayah terseksi di dunia



Kanada: Stéphanie Boudoin secara tiba-tiba menjadi popular dan digelar ‘penjenayah wanita paling seksi di dunia’ selepas sebuah akhbar di Montreal, Kanada menyiarkan gambarnya berbikini.

Stephanie ditangkap bulan lalu di Vicoriaville, Kanada, atas tuduhan memecah masuk 42 rumah di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa Kanada percaya jelitawan berusia 21 tahun itu bekerjasama dengan tiga gadis bawah umur berusia 13, 15 dan 17 tahun untuk merompak penduduk di kawasan Athabaska dan Maple.

Pelajar kejururawatan itu dan rakannya didakwa memasuki rumah mangsa menggunakan pintu belakang atau tingkat bawah tanah.

Minggu lalu, pendakwa raya memfailkan lebih banyak tuduhan ke atas Stephanie, menjadikan jumlah tuduhan dihadapinya kepada 114.

Dia akan didakwa merompak, menerima barang curi serta memiliki dan menyimpan secara haram sembilan senjata api.

Polis menemui senjata berkenaan di belakang kereta Mitsubishi Lancer miliknya.



“Kertas pertuduhan terhadapnya begitu tebal,” kata peguamnya, Denis Lavigne.

Menurutnya, Stephanie menemui doktor untuk menentukan keadaan mentalnya ketika melakukan jenayah.

Wanita itu akan dihadapkan ke mahkamah semula pada 17 November.

Sejak gambar Stephanie disiarkan di media sosial, ramai menggelarnya ‘penjenayah paling seksi terbaru dunia.’ “Penjenayah ini mencuri hati saya,” kata seorang pengguna Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Jutawan berkain pelekat


Tumpat: Melihat pada susuk tubuh Mat Ismail Jusoh yang berkain pelekat sepanjang masa, pastinya tidak menyangka bahawa beliau sebenarnya seorang jutawan yang juga pemilik jenama budu terkenal, Budu Cap Ketereh.
Tiada siapa menyangka Pengkalan Kubor mempunyai usahawan berjaya dengan nilai jualannya mencecah RM10 juta setahun.

Mat Ismail, 63, mudah dikenali kerana identitinya yang gemar berkain pelekat tidak kira pada majlis rasmi atau tidak.
“Saya lebih selesa berkain pelekat kerana saya orang kampung,” katanya.

Sehinggakan pada majlis pelancaran kilang budunya di Kampung Ketil oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Sabtu lalu, Mat Ismail yang mesra dipanggil Pok Wil tetap berkain pelekat.

“Saya akan belikan Pok Wil kain pelekat baru apabila ke Dubai nanti untuk mengembangkan perniagaan budu ke peringkat antarabangsa,” kata Mustapa.
Foto
MAT Ismail menunjukkan produk pembungkusan terbaru Budu Cap Ketereh di Kampung Ketil, Telaga Lanas dekat Pengkalan Kubor.
Mat Ismail berkata, kilang budu terbabit adalah yang terbesar di negara ini dan memperoleh sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, baru-baru ini.

Bercerita bagaimana dia mengembangkan bisnesnya, bapa lapan anak itu berkata, dia memulakan perniagaan lebih 30 tahun lalu dengan hanya menggaji empat pekerja tempatan.
Katanya, dia kini mempunyai 80 pekerja yang terdiri daripada penduduk sekitar kampung terbabit.

Menurutnya, pembungkusan makanan tradisional itu turut melalui proses inovasi apabila dikeluarkan dalam dalam bentuk tiub seperti ubat gigi.

Inovasi itu dibangunkan bersama Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana.

“Pembungkusan terkini itu turut menyelesaikan masalah untuk membawanya menaiki kapal terbang memandangkan botol tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, ilham menghasilkan budu dalam bentuk tiub terbit ketika kunjungannya di Vietnam selepas sukar memperoleh makanan halal di negara itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

170 kampung berdepan krisis air


Jakarta: Ratusan kampung di seluruh Indonesia berdepan krisis air bersih menjelang musim kemarau.

Di Nusa Tenggara Timur, satu daripada wilayah termiskin di Indonesia dengan penduduk di 170 kampung di 17 daerah berjalan puluhan kilometer untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan memasak dan membasuh.



Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah, Tini Thadeus berkata, semua sumber air yang ada sebelum ini kering-kontang kerana kemarau.

“Untuk mendapatkan bekalan air bersih orang kampung hanya ada dua pilihan - berjalan jauh dan mendapat air percuma atau membelinya dengan harga mahal,” katanya.

Tini berkata, jumlah penduduk yang terjejas dengan kemarau di wilayah Nusa Tenggara Timur setakat ini dianggarkan 40,000.

Di kebanyakan tempat, katanya, peniaga menjual air bersih pada harga Rp5,000 (RM1.35) seliter.

“Mereka membawa air ke kampung-kampung menaiki lori,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian sementara, kata Tini, masalah di Nusa Tenggara Timur hanya boleh diatasi jika wilayah berjiran membantu menyalurkan air bersih.

Kerajaan setempat juga memohon bantuan dana segera daripada Pusat bernilai Rp15 bilion (RM4 juta) bagi mengatasi krisis berkenaan.


Wang itu, kata Tini, akan digunakan untuk menggali ratusan perigi di seluruh Nusa Tenggara Timur.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Azmin pertikai pemecatan Anwar


KUALA LUMPUR 23 Sept. - Menteri Besar Selangor, Azmin Ali mempersoalkan kewajaran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Penasihat Ekonomi Selangor.
Beliau mempertikaikan pemecatan itu memandangkan ia dilakukan pada hari terakhir Abdul Khalid menerajui pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
"Dia baru dipecat semalam, sudah tentu ini menimbulkan persoalan," katanya dalam sidang akhbar di kediaman ibunya, Che Tom Yahya di Kampung Klang Gate Baru dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140923/dn_31/Azmin-pertikai-pemecatan-Anwar#ixzz3E8NUrw3r
© Utusan Melayu (M) Bhd