Showing posts with label OKU. Show all posts
Showing posts with label OKU. Show all posts

Friday, November 2, 2012

Empat anak kurang upaya



Azman Mohammad
Tiga daripada empat anak Azman dan Rozita yang diraikan pada program Kembara Amal ‘Yippie’ di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor.
CHENOR - 'ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya dan anak itu satu amanah kurniaan paling berharga kepada pasangan suami isteri.'
Berpegang pada kata-kata itu, sepasang suami isteri di Kampung Huma Luas, dekat sini, tabah menghadapi takdir Ilahi apabila dikurniakan empat zuriat kurang upaya.
Azman Mohammad, 23, berkata, kesemua anaknya itu dilahirkan lembam, namun dia tetap bersyukur apabila mereka mempunyai sifat fizikal sempurna.
Menurutnya, kasih sayang dia dan isteri terhadap empat anaknya itu tidak pernah berkurangan walaupun sedar mereka tidak senasib pasangan lain yang menaruh harapan untuk mengecap kehidupan lebih baik ketika usia tua.
“Apa yang kami harapkan dipanjangkan usia supaya dapat menjaga mereka sehingga dewasa. Jauh sekali menyimpan hasrat untuk menumpang kemewahan selepas anak-anak bekerja kerana mereka bukan seperti rakan sebaya lain.
“Jika mereka dapat berdikari dan boleh menguruskan diri sendiri, itu sudah memadai buat kami,” katanya ketika ditemui pada program Kembara Amal ‘Yippie’ dengan 38 motosikal berkuasa tinggi, di sini.
Isterinya, Rozita Hassan, 23, berkata, anak kedua mereka, Khairul Anuar, 18, terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak selepas terlibat kemalangan tahun lalu.
Menurutnya, kecederaan pada bahagian kepala dalam insiden itu menyebabkan Anuar mengalami masalah saraf dan sendi sehingga tidak dapat berjalan.
“Walau apa yang terjadi, kami tetap akan menjaga mereka sebaik mungkin kerana mereka adalah segalanya buat kami,” katanya.

Monday, July 30, 2012

Walaupun kurang upaya..

Walaupun kurang upaya..Tapi masih berusaha mencari rezeki dengan tenaga sendiri tanpa meminta sedekah..Inilah manusia yang tahu bersyukur..:) 

Monday, July 9, 2012

Pernah kecewa anak jadi OKU



Pernah kecewa anak jadi OKU
Hasnah memberi makan kepada Mohd Faezal Hairy
Pernah kecewa anak jadi OKU
Yaakob memberi makan kepada Siti Fairus Hanatasia.
MUAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itu perumpamaan tepat menggambarkan ketabahan pasangan suami isteri yang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU).
Yaakob Ahmad, 50, dan isteri Hasnah Saad, 43, dari Batu 4 ½ Simpang Baba, Jalan Bukit Pasir, Muar tidak pernah menduga anak yang dilahirkan sihat dan sempurna, sekelip mata berubah menjadi OKU selepas menghidap demam panas ketika berusia empat tahun.
Menurut Yaakob, pada awalnya dia tidak dapat terima hakikat dan kecewa apabila mengetahui dua dari empat anaknya jadi OKU.
“Namun saya berubah dan dapat terima kenyataan ini selepas mengikuti sebuah rancangan televisyen mengenai kisah anak OKU.
“Saya reda dengan ujian ini dan anggap mereka sebagai anugerah yang tidak ternilai daripada ALLAH,” katanya.
Yaakob berkata, dia tidak pernah berasa malu memiliki anak OKU seperti Mohd Faezal Hairy, 20, dan Siti Fairus Hanatasia, 16, bahkan menganggap mereka sebagai amanah yang perlu dijaga seperti anak-anak normal yang lain.
Dia juga tidak pernah berasa terbeban dengan kehadiran anak OKU dan menatang mereka bagai minyak yang penuh, meskipun setiap hari perlu menguruskan mereka seperti seorang bayi.
Berkorban apa saja demi anak
BAGINYA, demi anak tersayang, dia sanggup berkorban apa sahaja termasuk menolak ajakan rakan-rakan untuk bekerja di tempat jauh, semata-mata tidak mahu berenggang dengan dua anaknya itu.
“Saya hanya bekerja sendiri untuk menyara keluarga dan perlu sentiasa ada di rumah untuk bantu isteri menguruskan anak-anak OKU.
“Jika boleh setiap saat saya mahu di samping mereka dan mereka adalah nyawa serta sumber kekuatan saya,” katanya.
Katanya, dia tidak sanggup kehilangan kedua- dua anaknya itu apatah lagi melihat mereka sakit.
“Sekiranya mereka sakit, saya pasti tidak boleh tidur malam kerana terlalu bimbang.
Walaupun kedua-dua anak OKUnya itu tidak boleh bercakap, tetapi Yaakob dapat memahami setiap kemahuan Mohd Faezaldan dan Siti Fairus.
Katanya lagi, dia sering memikirkan masa depan serta nasib kedua-dua anaknya itu, sekiranya dia dan isteri meninggal dunia.
“Ini yang membuatkan saya menangis kerana risau memikirkan penjaga yang sesuai apabila ketiadaan saya kelak,” katanya.
Anak dijangkiti H1N1
PADA tahun 2009, Yaakob sekeluarga berhadapan dengan pengalaman cukup getir apabila Siti Fairus dimasukkan ke dalam wad kecemasan (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) selama hampir dua minggu kerana jangkitan H1N1.
Katanya, ketika itu kesihatan Siti Fairus sangat teruk, dia dan isteri hanya mampu berdoa untuk keselamatan anaknya.
“Dalam wad ICU tiada sesiapapun dibenarkan untuk lihat Siti Fairus, saya dan isteri sangat cemas kerana keadaan dia sering tidak stabil.
“Rentetan penyakit itu juga Siti Fairus perlu kerap mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Terharu ada pihak prihatin
YAAKOB berkata, memiliki anak OKU menuntut kesabaran yang sangat tinggi, selain memerlukan kos perbelanjaan besar untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang.
Walau bagaimanapun dalam kesusahan dialaminya itu, dia sangat terharu apabila ada pihak prihatin dengan nasib yang menimpanya itu.
“Saya sangat bersyukur apabila kedua-dua anak mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sejak tahun 2006.
“Bantuan ini telah banyak membantu meringankan bebannya untuk menanggung dua anak OKU yang semakin dewasa,” katanya.
Katanya, jutaan terima kasih kepada ketua kampung dan wakil rakyat yang sangat prihatin dengan keluarganya dan turut menziarahi anak-anaknya.
“Lebih terharu apabila terima bantuan zink baru dalam kejadian ribut yang merosakkan hampir keseluruhan bumbung rumah pada Ramadan tahun lalu,” katanya.
Yaakob berkata, dia mendedahkan kisah dua anaknya itu bukan bertujuan untuk meraih simpati ataupun meminta bantuan, ia sekadar ingin berkongsi pengalaman memiliki anak istimewa.
Selain itu, dia juga ingin berpesan kepada ibu bapa supaya tidak berasa malu dan rendah diri apabila mempunyai anak OKU, hantarlah mereka ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk mendapatkan latihan dan kemahiran di sana.

Saturday, April 7, 2012

Tabah jaga empat OKU



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2012
Tabah jaga empat OKU
SUNGAI JELUTONG - Ketabahan seorang wanita yang terpaksa menjaga dua adik, seorang anak lelaki dan kakaknya perlu dipuji kerana dia bukan sahaja perlu memikul beban kewangan malah, perlu bersabar menjaga kesemuanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Hapizah Sudin, 50, berkata, adik-adiknya, Abu Hanifah, 41; Nur Hamidah, 40, anaknya, Mohd Shahrul Samsuri, 12, dan kakak, Maimun Samsudin, 54, mengalami masalah genetik kategori akal sejak dilahirkan.

“Saya bukan sengaja mahu menagih simpati tetapi kepayahan hidup memaksa saya meminta pertolongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat meringankan beban menyara kehidupan kami.

“Mereka tidak dapat menguruskan diri terutama adik lelaki, Abu Hanifah yang begitu agresif. Sebelum ini, dia tidak suka memakai baju dan sering bertelanjang, tetapi kini ada sedikit perubahan kerana mengambil ubat,” katanya.

Bagaimanapun, menurut ibu dua anak ini, dia bersyukur kerana kedua-dua adik dan anaknya mendapat bantuan bulanan JKM masing-masing sebanyak RM150.

"Anak saya juga kini dimasukkan ke Sekolah Kebangsaan Padang Lebar melalui Program Pemulihan Khas (PPK). Saya sentiasa memberi sokongan kepada anak saya, meskipun menyedari kekurangan pada dirinya tetapi saya tidak membezakannya dia dengan kakaknya. Apabila dia bersekolah, sekurang-kurangnya dia boleh berdikari dan bergaul dengan masyarakat,” katanya yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan JKM.

Sementara itu katanya, dia menerima takdir yang ditentukan ALLAH SWT dan menghadapinya dengan penuh sabar.

“Sebagai adik dan ibu, saya bertanggungjawab membesarkan mereka sehingga akhir hayat saya. Selepas masyarakat mengetahui kisah hidup saya, ramai yang sudi menghulur bantuan seperti memberi barang dapur. Hanya ALLAH SWT sahaja yang dapat membalas jasa mereka,” katanya.

Sementara itu, beberapa ahli Skuad Sayang, doktor serta jururawat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail menziarah keluarga berkenaan, selain melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas mereka.

Difahamkan, Program Kem Kesihatan dan Doktor Masuk Kampung anjuran Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebagai pendekatan terbaru mendekati pesakit di kawasan kampung.

Wednesday, May 25, 2011

OKU berbasikal jelajah 164 negara



PADANG BESAR – Kecacatan pada bahagian kaki bukannya halangan kepada seorang kurang upaya (OKU) dari Thailand meneruskan misi berbasikal menjelajah 164 negara secara solo.

Oatchatharit Panyaphichaiyut, 37, yang dilahirkan dengan kaki kanan lebih kecil dari kaki kiri akan meneruskan misi berbasikal mengelilingi dunia dalam tempoh enam tahun.

Dia yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel di Thailand berkata, selain menjelajah negara luar, tujuan utama dia membuat kayuhan itu adalah mengutip dana membantu mangsa perang di negaranya.

Menurutnya, kayuhan bermula dari Bangkok seterusnya ke Hadyai, Malaysia dan ke Singapura sebelum bertolak ke negara lain.

“Saya akan berbasikal secara solo menjelajah 164 negara dalam tempoh enam tahun bagi membantu mengutip dana untuk mangsa yang terlibat dalam perang di Thailand.

“Mengikut perancangan, setiap hari saya akan mengayuh basikal sejauh 100 kilometer dan akan menyambung semula kayuhan pada keesokan harinya.

“Sumber kewangan ini diperoleh dari jualan produk dan barangan Thailand yang dijual melalui laman web e-bay.com dan bantuan yang disalurkan oleh kelab dan persatuan basikal di Bangkok dan Hatyai,” katanya melalui jurubahasa Pin Endin Klap ketika ditemui di Kompleks Bebas Cukai Padang Besar, semalam.

Ketibaan Oatchatharit di pintu masuk Malaysia itu disambut Persatuan Warga Emas Parlimen Padang Besar yang diketuai Walad Ahmad, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.
SH

Friday, November 12, 2010

Anak bertuah

KOTA BHARU: Walaupun tergolong sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), ia tidak mematahkan semangat Ahmad Faiz Ibrahim, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 1, mencapai keputusan cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam.
Ahmad Faiz mendapat 4A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Matematik dan Sains, manakala Bahasa Inggeris mendapat B.

Menurut Ahmad Faiz, dia hanya menggunakan dua jari kiri sambil disokong dagunya untuk menulis.

“Sepanjang menjawab soalan peperiksaan, saya tidak menghadapi masalah walaupun terpaksa berbuat demikian demi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Saya bersyukur mendapat keputusan 4A 1B dalam UPSR, kerana kebanyakan soalan dapat dijawab dengan baik dan sempurna,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang profesor.

Ibunya, Zarina Mohd Kasim, 36, berkata dia bersyukur kerana anak sulungnya memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan UPSR.

“Alhamdulillah, Ahmad Faiz berjaya dalam peperiksaan UPSR, walaupun dia tidak mempunyai keupayaan bergerak seperti insan lain. “Saya bercadang menempatkannya di sekolah menengah agama di Kubang Kerian ketika di tingkatan satu tahun depan,” katanya.

Tuesday, August 10, 2010

Derita keluarga OKU dibela





Anita Harun gembira mendapat bilik khas sambil diperhatikan oleh Azizah Ahmad di Taman Kesang Indah, Jasin, semalam.


JASIN 9 Ogos - Rumah kecil yang dihuni oleh adik-beradik perempuan Anita Harun, 32, dan Nabiha, 29, bersama ibu dan dua adik lelaki adalah segalanya bagi mereka.
Sejak kecil, unit Rumah Awam Taman Kesang Indah ini adalah dunia mereka, walaupun kedua-duanya tahu di luar sana, bumi Tuhan lebih luas dan indah.
Anita dan Nabiha tidak merungut kerana mereka sedar kecacatan yang dialami sejak lahir mengehadkan pergerakan mereka. Usahkan hendak bergerak, mengurus diri sendiri pun mereka tidak berupaya.
Kedua-duanya hanya mampu mengesot manakala selebihnya semua memerlukan bantuan ibu, Azizah Ahmad, 50, termasuk untuk menyuap makanan kerana tidak berupaya menggerakkan jari tangan.
Tanggungan Azizah semakin berat sejak suaminya, Harun Ibrahim, yang menjadi sumber kekuatan keluarga meninggal dunia lima tahun lalu akibat penyakit jantung.
Sejak itu, kata Azizah, dia menjadi ibu dan ayah kepada Anita, Nabiha dan dua anak lelakinya yang normal, Mohd. Firdaus, 22, dan Mohd. Fikri, 17, dengan bergantung hidup dengan upah RM250 sebulan sebagai pengasuh kanak-kanak.
Mujurlah kekurangan hidup mereka mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyalurkan bantuan elaun orang kurang upaya (OKU) untuk dua anak gadisnya itu yang berjumlah kira-kira RM700 sebulan.
''Anita dan Nabiha tidak boleh bercakap tetapi faham apa yang kita katakan. Jika mereka mahukan sesuatu sama ada makan atau minum, mereka akan pegang tangan saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Walaupun kedua-dua anaknya itu cacat anggota, mereka amat berdikari dan enggan dibantu terutama untuk ke tandas.
''Mereka berdua akan mengesot perlahan-lahan ke tandas tanpa memerlukan bantuan saya atau dua adik lelaki mereka," katanya.
Tambahnya, Anita lebih pendiam dan gemar menyendiri berbanding Nabiha yang agresif serta gemar bermain-main dengan pelbagai peralatan rumah.
Satu ketika, ujar Azizah, hatinya tersentuh apabila Anita memegang tangannya seperti mahu berkata sesuatu namun dia tidak memahami perkara yang cuba disampaikan oleh anak sulungnya itu.
Menurutnya, dia pasrah dengan ketentuan Ilahi dan menerima takdir yang menimpa dua anak gadisnya walaupun jauh di sudut hati, dia mahu melihat kehidupan Anita dan Nabiha normal seperti rakan sebaya mereka.
Penderitaan keluarga malang itu turut mendapat simpati UMNO Bahagian Jasin yang mengambil inisiatif membina bilik khas untuk keselesaan Anita dan adiknya.
Dengan kos kira-kira RM10,000, bilik khas itu mempunyai tandas yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi pengguna OKU dan alat pendingin hawa. Bantuan disampaikan oleh Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah.
Menurut Ahmad, pihaknya mengambil inisiatif membina bilik khas untuk pasangan adik-beradik itu bagi memberi keselesaan kepada mereka.
''Dengan kemudahan bilik khas ini, kita harap ia dapat memberi ruang untuk Anita dan Nabiha berehat dalam bilik sendiri tanpa perlu berkongsi dengan dua adik lelaki mereka," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban ditanggung oleh keluarga ini boleh melawat mereka di alamat 8119, Lorong 8, Taman Kesang Indah atau telefon di talian 06-5296704.