Friday, January 6, 2012

Kor Ming saman blogger


NOOR’AINON MOHAMED YUSOF
January 4, 2012
Kor Ming saman blogger

IPOH – Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM10 juta terhadap penulis blog Sekupangdua, Ahmad Sofian Yahya, 47, yang didakwa memaparkan artikel memfitnahnya.

Kor Ming selaku plaintif mendakwa artikel bertajuk Panas! Bongkar Nga Komeng dan Pakatan Rakyat Menyamun yang ditulis Ahmad Sofian dan disiarkan dalam blog berkenaan bertarikh 16 Disember 2011 adalah suatu fitnah serta berniat jahat.

Writ saman tersebut difailkan di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, semalam melalui firma guaman Tetuan Leong &Tan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ahmad Sofian sebagai defendan dalam blognya di http://www.sekupangdua.blogspot.com pada 16 Disember lalu dikatakan telah memuat naik beberapa salinan dokumen yang menunjukkan berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tender menjahit 24 kot ahli majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Dokumen itu mendedahkan syarikat Ethan dan Elton, yang mana salah seorang pengarahnya merupakan isteri Kor Ming, Wong Seow Ching memenangi kontrak tersebut walaupun menawarkan harga lebih tinggi berbanding pembida lain.

Pada asalnya, kontrak itu ditawarkan kepada GoodmanTailor pada 3 April 2008 kemudiannya diberikan kepada Ethan dan Elton selepas disyorkan Kerajaan Negeri ketika itu.

Artikel tersebut menggambarkan plaintif antaranya tidak beramanah, penyamun harta rakyat dan menyalahgunakan kuasa sebagai seorang exco di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Pihak plaintif menyatakan, defendan mempunyai niat jahat dalam menulis dan menerbitkan artikel tersebut dengan tujuan menghancurkan dan memusnahkan nama baik dan kerjaya politik plaintif.

Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, maruah dan reputasinya telah terjejas serta mengalami tekanan mental yang teruk.

Dalam writ saman itu, pihak plaintif turut memohon injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada menulis, menerbitkan kenyataan berunsur fitnah dalam blog beliau yang menyentuh plaintif dan ahli keluarga.

Turut dituntut adalah ganti rugi am berjumlah RM10 juta, ganti rugi teladan dan ganti rugi keterlaluan yang tidak dinyatakan jumlahnya, faedah dan kos.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Adun Pantai Remis ditemani tiga peguamnya, Leong Cheok Keng, Augustine Anthony dan Nga Hock Cheh.

Kor Ming saman blogger - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Rayu isteri, anak pulang


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 5, 2012
Rayu pulang

PONTIAN - Seorang suami merayu isterinya yang menghilangkan diri sejak sebulan lalu pulang semula ke rumah dan kembali ke pangkuan keluarga.

Go Chin Chai, 34, berkata, isterinya, Truong Thi Huyen, 25, dan anak perempuan mereka, Go Xin Chun, 4, didapati tiada di rumah sebaik sahaja dia pulang ke kediaman mereka pada 8 Disember lalu.
Dia yang bekerja sebagai mekanik berasa bimbang dengan keadaan isteri dan anak, tambahan pula tiada sebarang khabar diterimanya sejak ketiadaan mereka di Taman Pontian Jaya.
"Saya buntu memikirkan perkara ini dan tiada sebarang pergaduhan atau berselisih faham berlaku sebelum mereka kejadian itu," katanyayang ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tanjung Piai, Taman Kota Mas di sini.
Katanya, isterinya yang merupakan warganegara Vietnam itu tidak mempunyai ramai kenalan di sini, sekali gus membuatkan dirinya bertambah khuatir dengan keselamatan mereka.
Dia sangat bimbang sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada anaknya memandangkan tiada sebarang talian telefon diterimanya selain gagal menghubungi isterinya itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang terlihat isteri dan anaknya itu menghubungi dia di talian 012- 765 1739
Rayu isteri, anak pulang - Johor - Sinar Harian:

'via Blog this'

Makin lama makin jelas siapa sebenarnya Hasan

Hasan bantah pendirian PAS Selangor sokong perhimpunan haram


2012/01/06

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali
SHAH ALAM: Tokoh kontroversi PAS, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang juga EXCO Kerajaan Selangor membantah pendirian PAS Selangor menyokong perhimpunan haram yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara Isnin ini.

Hasan yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, sebaliknya berkata parti itu sudah membazirkan masa lebih tiga tahun hanya kerana seorang pemimpin, sedangkan banyak kerja lain lebih berfaedah untuk negara boleh dilakukan dalam tempoh berkenaan.
Sehubungan itu, beliau tidak akan menghadiri perhimpunan berkenaan dan mempersoalkan tindakan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abdul Rani Osman mendahului kepemimpinan PAS pusat dalam membuat pendirian berhubung isu berkenaan.
Katanya, PAS Selangor juga dilihat begitu proaktif dan taksub terhadap perkara yang salah, manakala perkara lain yang lebih penting iaitu membabitkan agama Islam dipinggirkan.

"Jemputan kepada ahli PAS untuk sertai perhimpunan itu adalah pendapat peribadi dan bukan suara ahli PAS negeri. PAS Selangor kena betul. Kenapa Himpunan Sejuta Umat sebelum ini Dr Rani larang sertai, tetapi apabila hal yang membabitkan peribadi seorang individu dia begitu bersungguh-sungguh," katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu juga berkata rakyat, terutama mahasiswa perlu merenung semula cadangan perhimpunan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan suasana anarki dan bahana terhadap negara.

"Saya tidak rela pakatan pembangkang dapat kuasa dan selepas itu timbul kekecohan. Saya tidak reda dengan isu ini. Orang muda perlu belajar bersungguh-sungguh dan takluk semua universiti ternama dunia, barulah dikira hebat. Mahkamah sudah beri ruang yang banyak untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 60 kali penangguhan. Kita habis berpuluh-puluh ribu jam hanya untuk isu ini.

"Kalau di negara lain seperti Korea, mereka tidak ada masa untuk fikir soal peribadi kerana mereka fikir bagaimana untuk menjalin hubungan dengan negara lain dan memajukan negara," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip bahawa semua pemimpin parti perlu menyertai perhimpunan itu kerana ia arahan kepemimpinan pusat, Hasan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Saya salah seorang pemimpin di peringkat pusat dan setahu saya belum ada arahan untuk semua ahli PAS turun kecuali ia arahan daripada Pesuruhjaya PAS Selangor itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, seorang pemimpin perlu bebas daripada masalah moral dan berpendapat hanya Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang layak digelar pemimpin.

Katanya, apabila memilih seseorang pemimpin, selain rekod prestasi dalam kerajaan dan peringkat antarabangsa, latar belakang keluarga mereka juga perlu diberi perhatian.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta JAIS menyiasat kesahihan ceramah pendakwah, Badrul Amin Bahron yang mengaitkan Anwar sebagai Imam Mahdi dan dimuat turun dalam laman YouTube.

Beliau berkata, JAIS perlu meneliti teks ceramah dan mendengar sendiri penjelasan Badrul Amin yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabak Bernam berhubung isu itu kerana Islam melarang umatnya mendewa-dewakan pemimpin.
Berita Harian Online | Hasan bantah pendirian PAS Selangor sokong perhimpunan haram:

'via Blog this'

Tuduhan Nur Amalina liar hanya fitnah


NORSHIKIN MOHD SALLEH
January 4, 2012
Ibu: Tuduhan Nur Amalina liar hanya fitnah

JOHOR BAHRU - Hati ibu mana yang tidak terkilan jika anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tujuh tahun yang lalu, kini ditohmah dengan pelbagai tuduhan kononnya liar dan tidak berakhlak.

Apa lagi Nur Amalina Che Bakri sebagai idola pada suatu ketika pernah membanggakan bukan sahaja ibunya, Sabariah Hassan, 52, malahan juga negara sebagai Pelajar Terbaik SPM 2004.

Ketika itu ramai ibu bapa mahu anak mereka menjadikan Nur Amalina sebagai idola.

Namun kini, apabila laman Facebook peribadinya dicerobohi, nasib Nur Amalina sudah jauh berbeza.

Dia tidak lagi disanjung seperti dahulu, malah ada juga yang menuduh pencatat sejarah dengan keputusan SPM 17A1 itu sebagai seorang anak gadis yang berubah liar kerana mengalami kejutan budaya.

Ini berikutan gambar peribadinya bersama rakan-rakan yang dirakam dalam keadaan dia berpakaian yang boleh disifatkan sebagai seksi, tersebar di Internet.

“Tidak! Anak saya bukan anak gadis yang liar. Saya tahu dia lebih daripada orang lain. Bukan saja kerana dia anak saya, malah kami berhubung hampir setiap malam. Malah saya juga sudah 13 kali ke sana (United Kingdom), sejak dia menuntut di sana,” kata Sabariah kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tuduhan kononnya Nur Amalina yang kini berusia 23 tahun tewas dengan kejutan budaya hidup di negara Barat hingga kini tidak lagi bertudung, juga tidak benar.

“Anak saya memang tidak bertudung. Orang hanya tengok gambar dia semasa dia bersekolah menengah. Waktu itu dia memang bertudung ke sekolah,” katanya.

Nur Amalina kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam dua bidang iaitu jurusan perubatan dan sains farmakologi di University of Edinburgh, Scotland bawah tajaan Bank Negara Malaysia.

“Saya bukan semata-mata nak membela anak saya. Sebagai ibu, saya juga tentu tak akan terima jika berlaku sesuatu yang tidak baik kepada anak saya. Namun saya tahu dia macam mana. Gambar yang disebar itu, saya sendiri yang rakam sewaktu kami bercuti bersama rakan-rakan anak saya di Paris tiga tahun lalu. Malah seluar yang dia pakai itu, saya sendiri yang beli,” kata Penolong Kanan I Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya, di sini.

Sabariah berkata, tuduhan konon Nur Amalina sudah berubah hingga mewarnakan rambut, gemar bersosial malah menjalani kehidupan yang liar hanya fitnah pihak tertentu yang sengaja mahu mencemarkan nama baik anaknya.

“Pelajaran anak saya tidak terjejas pun. Dia kini dalam proses menerbitkan buku yang akan digunakan oleh pelajar perubatan, pensyarah dan pengamal perubatan yang dihasilkannya dengan bimbingan profesor di sana.
“Empat kajiannya telah diterbitkan sebagai jurnal dan dia akan menjalani praktikal di Oxford bermula November ini,” katanya.

Ditanya sama ada anaknya tahu mengenai gelombang fitnah itu yang mula membadai laman maya sejak beberapa hari lalu, Sabariah berkata, Nur Amalina yang memaklumkan kepadanya akan hal itu.

“Dia beritahu saya malam Isnin lalu, ketika kami berhubung menerusi Skype. Ina (Amalina) kata dia terima 800 permohonan rakan baru Facebook dari Malaysia. Rupa-rupanya yang ramai itu kerana ada isu gambar dia. Tetapi dia ketawa saja,” katanya.

Sabariah yakin, anaknya cukup kuat untuk menangani hal itu.

“Saya sendiri harap penga­jiannya tidak terjejas. Saya pernah menitis air mata sewaktu mengunjunginya di sana apabila melihat dia tekun ulang kaji pelajaran hingga jam 3 pagi di perpustakaan universiti dengan hanya ditemani pengawal keselamatan. Katanya, itu kehidupan yang dia lalui hampir setiap hari,” katanya.

Kata Sabariah, kali terakhir mereka bertemu, 10 Disember lalu ketika dia ke sana untuk meraikan hari kelahiran Nur Amalina.

Gadis itu dijadual akan menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan Mei tahun depan.

“Kepada pihak yang sewenang-wenang melempar dan menyebar fitnah terhadap anak saya, saya harap mereka boleh fikir dan timbang, bagaimana jika gambar peribadi mereka sendiri, atau anggota keluarga mereka diceroboh, disebar dan difitnah yang bukan-bukan? Saya harap mereka dapat fikir. Itulah perasaan saya sekarang, sangat terkilan,” katanya.

Tuduhan Nur Amalina liar hanya fitnah - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ibu Amalina beri amaran


NORSHIKIN MOHD SALLEH
January 6, 2012
Nur Amalina Che Bakri

SENAI – Belum pun reda isu kononnya pelajar genius, Nur Amalina Che Bakri mengalami kejutan budaya, gadis 23 tahun itu itu dieksploitasi pula menerusi akaun Facebook palsu.

Kehadiran akaun palsu itu, dikesan aktif pada 2 Januari lalu, selepas Nur Amalina menutup akaunnya.
Ibunya, Sabariah Hassan, 52, menyedari mengenai akaun palsu tersebut, selepas dimaklumkan Amalina menerusi Skype.
“Ada dua akaun menyamar menggunakan nama Nur Amalina Che Bakri dan Amalina Che Bakri.
“Saya beri amaran kepada penyamar untuk menutup akaun ini dalam tempoh tiga hari. Jika tidak, saya laporkan kepada polis untuk tindakan undang-undang.
“Memang saya kesal, memainkan nama dan maruah anak saya”, katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Sabariah tidak mahu orang ramai keliru kerana anaknya kini, tidak lagi mempunyai akaun Facebook, selepas insiden gambar peribadinya dimuat turun ke laman web dan didakwa liar, selain gagal dalam pelajaran.
Nur Amalina menjadi sebutan berikutan kejayaannya memperoleh 17A1 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik negara.
Bagaimanapun, isu peribadi beliau menjadi bualan, selepas tersebar gambar menunjukkan beliau tidak memakai tudung, mewarnakan rambut dan kononnya kelihatan ‘liar’, berbanding imejnya sebagai pelajar pada tahun 2005.
“Ina seorang penyabar dan baik. Saya tidak mahu berita mengenainya disensasikan, biarpun saya yakin ia tidak akan menggugat pengajiannya.
“Saya kesalkan, mengapa dia diperlakukan sebegitu? Apa kesalahannya?,” katanya.
Sabariah berkata, akaun Facebook dengan nama Nur Amalina Che Bakri telah lama wujud, namun ia hanya mengambil keratan akhbar kejayaan anaknya.
Namun, akaun menggunakan nama asal Nur Amalina sebelum ini yang telah memaparkan gambar peribadinya.
Nur Amalina sedang menyambung pelajaran di Universiti Edinburgh, Scotland, di dua bidang ijazah, iaitu perubatan dan sains farmakologi, ditaja sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia dan bakal menamatkan pengajiannya November tahun depan.
Ibu Amalina beri amaran - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Azmin mahu Pas hukum Hasan Ali


ZULAIKHA ZULKIFLI
January 6, 2012
Hasan Ali

PETALING JAYA - Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mendesak Pas mengambil tindakan sewajarnya terhadap Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ekoran kenyataanya meminta orang ramai tidak hadir menyertai perhimpunan 901.

Azmin berkata, kenyataan Hasan telah melanggar prinsip dan semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat (PR) dan beliau tidak sewajarnya berkata demikian.

"Sebagai Exco kerajaan negeri, beliau tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Itu kenyataan tidak bertanggungjawab.

"Ketika beliau menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) sedang meraikan Anwar. Kalau Nik Aziz pun beri sokongan dan akan hadir (Himpunan 901), maka siapa Datuk Hasan? Jangan terlalu celupar," katanya pada sidang media hari ini.

Hasan semalam mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak perlu disertai dan tidak wajar diadakan kerana tujuannya hanya membabitkan isu peribadi seorang pemimpin, bukannya soal masyarakat.

“Saya menasihatkan kepada masyarakat terutamanya orang muda janganlah hadir pada perhimpunan tersebut, saya tidak reda melihat anak-anak bangsa melibatkan diri dengan perkara peribadi orang lain.

“Saya bimbang jika kita teruskan sikap demonstrasi ini, negara kita akan terdorong ke arah araki seperti negara tidak berundang,” katanya.

Sehubungan itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak ini menegaskan, perhimpunan Bebaskan Anwar 901 bukan bertujuan peribadi semata-mata, tetapi bertujuan bagi menunjukkan solidariti terhadap Anwar dan tentangan rakyat terhadap politik negara yang kotor.

Hasan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia yang terletak dalam bahagian Parlimen Gombak.

Semalam, Azmin turut menulis di laman Twitternya dengan mengatakan bahawa: "Hasan Ali sudah buta hati dan buta mata. Hanya mampu mengulangi skrip Umno."

Susulan tweet itu juga, Azmin menulis, "Ketika Hasan Ali mencerca DSAI, pada masa yang sama, 5 petang tadi YAB Tuan Guru Dato' Nik Aziz sedang meraikan DSAI di Kota Bharu."

Justeru, Azmin mempersoalkan, "adakah beliau pemimpin bermoral sehinggakan org lain buruk semua?"

Oleh itu, Azmin meminta agar Pas mengambil tindakan tegas terhadap Hasan kerana dikhuatiri beliau mempunyai agenda tertentu.

Azmin mahu Pas hukum Hasan Ali - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nelayan terima pengampunan


NORSHAHZURA MAT ZUKI
January 6, 2012
Nelayan terima pengampunan

PUTRAJAYA - Tujuh nelayan dari Pontian yang ditahan Polis Air (Pol-Air) Indonesia pada 8 Mac lalu di Perairan Senggarang dibebaskan selepas mendapat pengampunan Presiden Republik itu, Susilo Bambang Yudhoyono pada 24 Disember lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pengampunan tersebut membolehkan kesemua nelayan tersebut dibebaskan kelmarin.

Tempoh hukuman penjara mereka dikurangkan tiga tahun tiga bulan serta dibebaskan serentak tanpa sebarang denda.

Kumpulan nelayan itu terdiri daripada tekong, Ibrahim Mohd Kassim bersama-sama awak-awak kapalnya, iaitu Redzuan Aris, 36, Mohamad Zamri Hambali, 27, dan Subaini Samsudin, 40.

Tiga lagi adalah dari bot lain, diketuai tekong, Zainodin Adam, 54, dan awak-awak Rosli Abd Rashid, 35, dan Jamil Mat Top, 54.

Ahmad berkata, enam nelayan dari Pontian dijangka tiba pada jam 2 petang hari ini di Jeti Bandar Hilir, Melaka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Indonesia, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Wisma Putra, Kedutaan Indonesia di Malaysia, Kedutaan Malaysia di Indonesia dan Konsul Pekan Baru, kerana membantu kesemua nelayan ini tanpa sebarang hebahan,” katanya dalam sidang media, semalam.

Menurutnya, Najib me­ngadakan rundingan me­ngenai pembebasan nelayan itu sebanyak dua kali bersama Susilo ketika ke Indonesia.

“Saya juga menghantar Setiausaha Sulit dan Setiausaha Kanan untuk berbincang perkara tersebut serta menyediakan seorang peguam bela warga Indonesia,” katanya.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sentiasa membantu keluarga nelayan tersebut dengan memberikan bantuan kewangan dan menyediakan peralatan sekolah kepada anak-anak mereka.

Kesemua nelayan tersebut ditahan atas tuduhan bersama-sama dengan sengaja memiliki, menguasai, membawa alat bantu penangkapan ikan yang mengganggu dan mero­sak lanjutan sumber daya ikan di kapal tangkap ikan di Wilayah Pengelolaan Republik Indonesia.

Mereka ditahan di Bengkalis dan Mahkamah Pengadilan Bengkalis menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda 1 Miliyar Rupiah bersamaan RM380,000.00 setiap seorang pada 5 Mei 2011.

Sekiranya tidak boleh membayar denda itu, tambahan penjara selama enam bulan akan dikenakan kepada mereka.

Menurutnya, mereka tidak mempunyai sumber kewangan untuk membela diri dan membayar peguam bela. Oleh itu, beliau menyediakan peguam bela dan mencari dana untuk membiayainya.

“Peguam bela membela diri di Mahkamah Tinggi Pekan Baru pada 7 Jun 2011 dan mengesahkan mereka dikekalkan dengan hukuman dua tahun penjara, denda 1 Miliyar Rupiah,” katanya.

Beliau berkata, kemudian kes itu di bawa ke Mahkamah Agong Jakarta 9 Ogos 2011 dan keputusannya ialah penambahan hukuman menjadikan kesemua mereka dipenjarakan selama empat tahun.

Bagaimanapun, surat pengampunan yang diterima olehnya kelmarin (4 Januari) melegakan apabila kesemua mereka dibebaskan.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Politik Menteri Luar, Datuk Norhaidi Che Dan dan kesemua ahli keluarga tujuh nelayan­ terlibat.

Nelayan terima pengampunan - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bongkar ‘rahsia dalam selimut’ Anwar, Azmin


NORJIMI AZMI LATIF
January 6, 2012
Umi Hafilda Ali

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Umi Hafilda Ali terus membongkar ‘rahsia dalam selimut’ yang melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Azmin Ali sekiranya, Pakatan Rakyat (PR) terus melakukan provokasi untuk menghuru-harakan negara ini.

Dakwanya, ia berikutan tindakan mereka yang semakin jelas cuba menghancurkan institusi Raja dan menggesa Raja-raja Melayu menarik balik gelaran Datuk Seri yang diberikan kepada Anwar.

“Sekiranya perancangan itu berjaya, Anwar berjanji akan dilantik dirinya menjadi Presiden dan Min (merujuk panggilan manja Anwar kepada Azmin) sebagai Perdana Menteri. Perkara ini berjaya dilaksanakan sekiranya, Majlis Raja-raja dihapuskan dan mereka akan berbuat demikian atas alasan kehendak rakyat.

“Saya tahu mengenainya dan perancangan pemimpin PR ke arah ini. Malah, Anwar berjanji melantik Min sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri. Untuk itu saya menggesa raja-raja Melayu menarik semula panggilan Datuk Seri yang diberikan kepada Anwar,” katanya.

Pada sidang media itu, beliau berkata, PKR tidak jujur dengan sahabat dalam PR kerana menjadikan Pas dan DAP sebagai ‘kuda tunggangan’ untuk memenuhi hajat ke Putrajaya dan kedua-dua parti itu pula mempergunakan PKR untuk mendapat sokongan rakyat.

Bongkar ‘rahsia dalam selimut’ Anwar, Azmin - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Pas tidak 'kisah' Hasan Ali, tetap sertai 901


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 6, 2012
Hasan Ali

SHAH ALAM - Pas Selangor tetap dengan pendirian akan menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini, sambil menyifatkan kenyataan Datuk Dr Hasan Ali semalam sebagai "pandangan peribadi" beliau semata-mata.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman juga menolak dakwaan Hasan bahawa beliau hanya mengeluarkan pandangan peribadi, bukannya pendirian parti Islam itu apabila menggatakan akan menggerakkan ahli dan pengikutnya menyertai perhimpunan minggu depan.

Abd Rani, yang menggantikan Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor Jun lalu menambah, pemimpin-pemimpin tertinggi parti termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar sendiri sudah mengatakan bakal menyertai perhimpunan yang akan diadakan pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mengumumkan keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan pandangan peribadi saya. Ketua Penerangan Pas Selangor pun sudah mengatakan akan menghantar SMS meminta ahli-ahli Pas sertai perhimpunan 901, malah Presiden Pas dan Datuk Mahfuz juga sudah mengatakan akan sertai.

"Jadi apa isunya? Ini bukan pandangan peribadi saya, tetapi saya lihat apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan semalam adalah pandangan peribadi beliau semata-mata," katanya kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Abd Rani berkata kenyataan beliau tempoh hari ini sebenarnya telah diputuskan oleh pemimpin-pemimpin parti dalam mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan sebelum ini, yang mana Hasan sendiri tidak hadir.

"Sudah tiga kali kami menjemput Datuk Hasan agar hadir mesyuarat (Pas Selangor). Beliau sendiri tidak datang.

"Jadi, jangan kata ini pendirian peribadi saya, apa yang dikatakan oleh Datuk Hasan tidak betul," katanya lagi.

Dalam satu kenyataan semalam, Hasan berkata perhimpunan Bebaskan Anwar 901 Isnin ini tidak harus disertai dan tidak wajar diadakan kerana ia adalah isu peribadi seorang pemimpin, yang tidak membabitkan soal masyarakat.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berkata tindakan Rani itu hanya pendapatnya sendiri dan telah membelakangi pandangan pimpinan pusat.

Hasan, salah seorang pemimpin yang menjadi perhatian dalam kontroversi berkaitan isu bakal calon Pas bulan lalu menegaskan, beliau tidak akan menyertai perhimpunan Isnin ini.

“Pas Selangor nampak proaktif dalam cara yang salah sebab sebelum ini dihalang ahli pergi Himpun 2011, padahal itu perkara baik membincangkan isu agama yang sebenarnya hala tuju parti Pas.

“Kalau diteruskan sikap seperti ini, pandangan parti nampak tak cantik. Jangan malukan parti dengan kenyataan dia (Rani) yang tidak mewakili Pas, itu kenyataan peribadi dia," katanya.

Sebaliknya Abd Rani menambah, Pas Selangor sebenarnya tidak mahu "melayan sangat" isu membabitkan Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.

"Cakap terus-terang, saya tidak memberi perhatian sangat isu Datuk Hasan ini. Kita ada banyak lagi isu besar untuk diuruskan, mengadakan kempen Gelombang Hijau misalnya, bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Kita serahkan kepada Pas pusat untuk mengendalikan isu-isu membabitkan Datuk Hasan," katanya lagi.

Pas tidak 'kisah' Hasan Ali, tetap sertai 901 - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Polis ajak bincang lokasi sesuai

Perhimpunan sokong Anwar depan mahkamah ganggu ketenteraman

KUALA LUMPUR: Polis membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan yang dirancang mereka, Isnin ini, tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk mengubah lokasinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata kebenaran itu selaras Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Parlimen, bulan lalu bagi memberikan hak kepada rakyat untuk berhimpun secara aman tanpa senjata.
Katanya, perhimpunan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini seperti dirancang tidak sesuai kerana dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam dan segala urusan mahkamah pada hari berkenaan.

Beliau berharap penganjur bertemu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan lokasi yang bersesuaian untuk mengadakan perhimpunan berkenaan.

“Walaupun Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 belum digazetkan, kami sedia membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan dengan syarat mereka membatalkan perhimpunan di hadapan mahkamah bagi menjaga kepentingan umum,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, tindakan yang akan diambil polis dalam perhimpunan kali ini juga berbeza dengan sebelumnya di mana ia bakal menonjolkan keprihatinan polis dalam memberi hak bersuara kepada rakyat tanpa melanggar undang-undang.
“Kita akan menggunakan pendekatan nasihat sebagai kaedah terbaru selaras dengan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman, namun tidak menolak kemungkinan menggunakan elemen penyuraian seperti penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sekiranya perhimpunan mengancam keselamatan.

“Penganjur perlu memastikan perhimpunan berlangsung aman tanpa sebarang senjata, tidak mendatangkan aib atau menjatuhkan maruah serta menghina mana-mana pihak.

“Penyokong kedua-dua pihak (Anwar dan bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan) akan diasingkan dan berada dalam kawasan berbeza bagi mengelak pergaduhan dan pertembungan.

“Kita tidak akan menggagalkan perhimpunan dirancang, sebaliknya hanya mengambil tindakan jika berlaku perlanggaran undang-undang, termasuk menahan mereka yang didapati mencetuskan suasana huru-hara sehingga mendatangkan keadaan tidak selamat,” katanya.

Ismail turut berharap masyarakat menghormati sistem kehakiman negara dan semua menerima apa saja keputusan dibuat mahkamah, selain tidak membuat sebarang provokasi.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dengan Warga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sini, semalam, Ismail berkata FRU sudah siap segi mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Berita Harian Online | Polis ajak bincang lokasi sesuai:

'via Blog this'