Showing posts with label rusuh. Show all posts
Showing posts with label rusuh. Show all posts

Monday, March 11, 2013

Rusuhan agama berlaku di Pakistan




ANGGOTA-ANGGOTA polis mengejar sekumpulan penunjuk perasaan Kristian di Lahore semalam.


LAHORE - Sejumlah penduduk Kristian menunjuk perasaan di beberapa bandar di Pakistan semalam bagi membantah sekumpulan penganut Islam membakar lebih 100 buah rumah di negara ini.
Tunjuk perasaan itu dibuat ekoran lebih 3,000 penduduk Islam bertindak ganas di sebuah kawasan yang dihuni penduduk Kristian, Joseph Colony.
Penduduk Islam itu bertindak membakar ratusan rumah selepas membantah tindakan seorang penganut Kristian yang membuat kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW tiga hari lalu.
Menurut polis, kira-kira 150 orang telah ditangkap.
Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mati dalam rusuhan agama itu.
Polis berkata, satu perbalahan antara dua rakan yang mabuk telah menyebabkan kenyataan mengaibkan tersebut dikeluarkan.
Sejumlah penunjuk perasaan di bandar ini yang menuntut supaya lebih banyak perlindungan diberikan kepada para penganut Kristian bertempur dengan polis yang menggunakan cota dan gas pemedih untuk menyuraikan mereka.
Seorang pegawai polis, Abdul Ghaffar Qaisarani berkata, para penunjuk perasaan itu juga menyekat laluan sebatang jalan raya yang sibuk.
Terdapat juga pertempuran kecil antara polis dengan para penunjuk perasaan di Karachi.
Tunjuk perasaan turut berlaku di Islamabad, ibu kota Pakistan,
Pemerintah tempatan Punjab menjanjikan ganti rugi sebanyak 200,000 rupee (RM6,351) untuk setiap keluarga yang terjejas akibat rusuhan tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif menaikkan ganti rugi itu kepada 500,000 rupe (RM15,879). - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2NDzdqOkO 
Hakcipta terpelihara 

Monday, January 28, 2013

31 maut rusuhan berdarah kerana bola sepak



PARA penyokong kelab bolasepak Al-Ahly merayakan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap 21 peminat bola sepak di Kaherah kelmarin.


PORT SAID - Seramai 31 orang mati dalam rusuhan yang berlaku di sini akibat keputusan sebuah mahkamah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap 21 peminat bola sepak di Mesir, kata beberapa pegawai kesihatan semalam.
Sejumlah penduduk termasuk pemuda merusuh dan mengamuk kelmarin selepas Hakim Mahkamah Jenayah Kaherah, Sobhy Abdel Maguid membaca senarai nama 21 peminat yang dihukum mati.
Mereka dihukum mati selepas didapati bersalah kerana terlibat dalam rusuhan bola sepak yang berlaku di sebuah stadium bola sepak di Port Said yang mengakibatkan 74 orang terbunuh pada 1 Februari tahun lalu.
Rusuhan itu berlaku selepas kemenangan mengejut 3-1 kelab bola sepak tempatan, Al-Masry ke atas kelab terkenal dari Kaherah, Al-Ahly apabila peminat kelab Al-Masry yang bersenjatakan pisau dan kayu meluru ke padang stadium di sini untuk mengejar pemain dan peminat pasukan lawan.
Hakim itu juga mengumumkan hukuman terhadap 52 lagi defendan termasuk sembilan orang pegawai keselamatan akan diputuskan pada 9 Mac depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2JDnXWJUL 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, August 23, 2011

Masyarakat dunia kagum sifat murni Asyraf

KUALA LUMPUR: “Mungkin ada hikmah dengan apa yang menimpa Asyraf di London,” kata Rossli Harun, 49, bapa pelajar Malaysia, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang dibelasah dan disamun sekumpulan perusuh di Barking, Timur London, 8 Ogos lalu.
Menurutnya, kini masyarakat dunia terutama di Eropah mengagumi sifat murni Asyraf sebagai rakyat Malaysia dan Muslim yang sanggup memaafkan sekumpulan perusuh yang membelasah sebelum menyamun anak sulungnya itu.

Rossli bersama isteri, Maznah Abu Mansoor, 47, dan anak bongsu mereka, Muhammad Fitri, 8, baru saja pulang ke tanah air petang kelmarin selepas seminggu melawat Asyraf di London, 13 Ogos lalu.

“Sambutan serta layanan pemimpin dan masyarakat tempatan negara itu amat baik, termasuk mereka berulang kali meminta maaf kepada Asyraf dan kami sekeluarga dengan kejadian yang berlaku.

“Mereka berasa malu dengan tindakan kumpulan lelaki yang antaranya mungkin kanak-kanak yang masih bersekolah rendah,” katanya.

Katanya, selain lega dan gembira dapat melihat sendiri keadaan Asyraf yang beransur pulih, dia dan isteri akur dengan keputusan anak sulungnya itu untuk meneruskan pelajaran di London.


“Asyraf semakin pulih, cuma dia sekarang masih tidak boleh makan makanan keras dan doktor mengatakan dia mungkin mengambil masa lima hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

“Semangatnya untuk meneruskan pelajaran di London sangat tinggi dan kami yang melihat kesungguhan itu bersetuju membenarkan dia terus berada di negara berkenaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sumbangan wang ringgit yang diterima Asyraf daripada pelbagai pihak dan masyarakat dunia, Rossli berkata, setakat ini wang yang diterima mencecah STG 40,000 (hampir RM200,000).

“Asyraf akan meneruskan niatnya untuk menyalurkan wang sumbangan itu kepada pihak yang lebih memerlukan dan dia kini sedang dalam proses mencari pusat atau badan kebajikan yang bersesuaian,” katanya.

Tuesday, August 16, 2011

Klip video Asyraf ditonton 3 juta orang



SEORANG pengunjung laman web YouTube melihat klip video yang menayangkan
serangan ke atas Asyraf Haziq di London baru-baru ini.

LONDON - Klip video YouTube mengenai serangan kejam dan kejadian samun ke atas seorang pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rossli (gambar kecil) di Barking, East London, telah ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber-sumber pemantauan British.
Ini adalah klip video single mengenai rusuhan dan rampasan di London dan di bandar raya lain di Britain.
"Cakap-cakap mengenai serangan kejam terhadap pelajar Malaysia itu telah tersebar luas yang hampir semua yang saya tahu, mahu melihat klip itu di YouTube. Orang ramai bersimpati dengan nasib pelajar itu dan ketabahannya," kata Percy Higgins, ahli kimia di London dalam temu bual melalui telefon dengan Bernama.
Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, yang telah keluar dari Royal London Hospital selepas pembedahan berkata kepada wartawan bahawa beliau tidak ada perasaan dendam atau sakit hati dengan rakyat Britain.
Katanya, beliau akan meneruskan pengajiannya di London kerana itulah tujuannya datang ke Britain, walaupun ibu bapa Asyraf menggesa anaknya itu untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan pelajarannya di sana.
Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang telah menonton filem itu, mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia perlakuan yang memalukan.kosmo

Monday, August 15, 2011

Upah Supercop

BRITAIN: Polis Britain meluahkan rasa marah mereka terhadap Perdana Menteri David Cameron kerana mengupah ‘Supercop’ Amerika Syarikat untuk menangani masalah samseng jalanan, seminggu selepas berlakunya rusuhan yang terburuk abad ini.
Bekas Ketua Polis New York, Bill Bratton telah bersetuju melawat Britain dan memberi nasihat cara menangani masalah gengster ketika Britain sedang mencari jawapan bagaimana negara itu menjadi seolah-olah tidak punya undang-undang.
Bratton merupakan polis yang memperkenalkan polisi ‘toleransi sifar’ di New York untuk mengatasi jenayah selepas kejadian rusuhan di Los Angeles pada tahun 1992.

Tetapi, pegawai atasan polis Britain tidak bersetuju dengan tindakan Cameron itu. Selama empat hari berturut-turut, kota raya London aman daripada keganasan rusuhan, kebakaran yang disengajakan dan penjarahan yang berlaku di merata-rata tempat.Lebih 2,000 orang telah ditahan di seluruh England sejak rusuhan merebak di beberapa bandar utama.Walaupun dia mempunyai rekod cemerlang di Amerika, cara polis bekerja di sini, berbeza,” katanya kepada BBC.Ian Hanson, Pengerusi Persekutuan Polis Greater Manchester memberitahu ITV, Polis British telah melakukan yang terbaik ketika mengawal rusuhan.Dia perlu berbincang dengan kami, bukan dengan orang yang tinggal 5,000 batu jauhnya,” kata Pengerusi Persekutuan Polis Metropolitan, Paul Dellar. - AFPDi sini kami mengamalkan sistem kepolisian atas dasar persetujuan... Amerika menggunakan dasar kekerasan. Kami tidak mahu gunakan cara itu di negara ini.Dalam satu wawancara, Bratton berkata, menyelesaikan satu masalah itu lebih kompleks daripada hanya menahan orang. Katanya cara yang berkesan adalah melalui pengawalan polis di komuniti untuk mematahkan budaya gengster dari awal.Menteri Kewangan, George Osborne menegaskan dia tidak akan berganjak daripada keputusan untuk memotong bajet.

Saturday, August 13, 2011

Britain sasar samseng jalanan




JALAN utama di Tottenham, utara London yang menjadi lokasi pertama rusuhan Sabtu lalu, masih ditutup oleh polis daripada dimasuki orang ramai, semalam. – Agensi


LONDON 12 Ogos – Perdana Menteri Britain, David Cameron berkata, pihaknya akan menimbangkan pendekatan Amerika Syarikat (AS) dalam berdepan dengan keganasan geng-geng jalanan yang mencetuskan rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad di negara ini.
Beliau turut mengumumkan pendekatan baru bagi menamatkan rusuhan yang telah mengorbankan lima orang setakat hari ini, termasuk meminta bantuan tentera, selain berjanji memberikan lebih banyak kuasa kepada pihak berkuasa bagi mengelak kejadian ini berulang.
Ketika pasukan polis mengawal keadaan dan hujan lebat menghalang kejadian huru-hara di hari kelima, Cameron memaklumkan sidang Parlimen bahawa kuasa tambahan akan diberikan kepada polis, termasuk membenarkan mereka mengarahkan suspek menanggalkan penutup muka, mengusir perusuh dari kawasan perumahan dan menggantung perkhidmatan telefon sementara waktu.
Menurutnya, Britain perlu menunjukkan imej yang lebih positif kepada dunia selepas insiden rusuhan tersebut, menjelang penganjuran Sukan Olimpik tahun depan.
“Kita tidak akan berhenti selagi keganasan dan kegiatan samseng ini tidak dihapuskan dan keadaan pulih sepenuhnya di jalan-jalan di negara ini,” katanya.
Britain masih dalam keadaan rapuh selepas empat hari dilanda rusuhan terburuk dalam tempoh beberapa dekad yang bermula di London dan kemudiannya merebak ke bandar-bandar utama lain seperti Manchester dan Birmingham.
Cameron berkata, beliau akan mendapatkan nasihat AS untuk menentang geng samseng jalanan, terutamanya daripada bekas ketua polis Los Angeles, New York dan Boston, William Bratton.
Beliau dalam pada itu mengakui polis tidak dapat mengawal kegiatan kecurian pada malam pertama rusuhan berlaku.
Perkara itu turut disahkan oleh Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Steve Kavanagh yang memberitahu mereka kini tidak mempunyai anggota yang cukup untuk mengawal keganasan yang tercetus.
Lebih 1,200 orang ditangkap semasa kekacauan dan seorang daripada pencuri, Natasha Reid, 24, menyerah diri kepada polis setelah tidak dapat melelapkan mata disebabkan rasa bersalah selepas mencuri sebuah televisyen, kata peguamnya.
Dalam satu kes, Chelsea Ives, 18, yang merupakan antara ribuan orang yang mendaftar sebagai ‘duta’ bagi membantu pelawat ke temasya Olimpik 2012, telah dikenal pasti oleh ibunya semasa menonton berita menunjukkan dia membaling bata ke arah kereta polis. Ives menafikan tuduhan merompak dan berkelakuan ganas.

Mahkamah telah bersidang sehingga ke malam bagi memproses mereka yang didakwa atas kesalahan jenayah daripada serangan hinggalah mencuri sebotol air minuman.
Tertuduh termasuk anak seorang jutawan, pekerja kebajikan dan pelajar kewartawanan, walaupun kebanyakannya adalah belia penganggur.
Dalam apa yang disifatkan sebagai tindakan tegas menegakkan keadilan, akhbar The Guardian mendapati dalam sampel lebih 150 kes yang dibicarakan, kebanyakan defendan kekal dalam tahanan, walaupun mereka mengaku bersalah kepada kesalahan kecil.
Sementara itu, penempatan 16,000 anggota polis di jalan-jalan London akan diteruskan sehingga hujung minggu lalu.
Polis London semalam turut mengumumkan kematian mangsa kelima, Richard Mannington Bowes di hospital selepas dia diserang ketika cuba menghalang perusuh di daerah barat London, Ealing, Isnin lalu. – AP/AFP/Reuters
-utusan

Friday, August 12, 2011

Keganasan terburuk sejak 25 tahun






SEORANG lelaki pertengahan usia hanya mampu merenung sisa runtuhan sebuah bangunan usang yang berada di hadapannya. Matanya kelihatan sayu dan manik-manik jernih mulai mengalir di pipinya yang dipenuhinya kedutan.
Dia tidak pernah langsung menyangka segala hasil titik peluhnya dalam mengusahakan perniagaan perabot milik keluarganya yang diwarisi turun-temurun akhirnya musnah dibakar begitu sahaja.
Gara-gara tindakan perusuh yang bertindak sesuka hati membakar blok-blok bangunan yang ada di pekan Croydon, menyebabkan perniagaan perabot House of Reeves yang telah mencecah usia 144 tahun itu hilang sekelip mata ditelan api yang marak.
“Saya merupakan generasi kelima yang menjalankan perniagaan di bangunan bersejarah ini. Saya mempunyai dua orang anak perempuan yang bakal meneruskan kesinambungan empayar perniagaan kami bagi generasi keenam.
“Sejak 30 tahun lalu, saya bersama isteri telah menjalankan perniagaan ini. Namun, kini kehidupan saya telah musnah,” tutur Graham Reeves, 52, dalam nada sebak yang bersarang di dada.
Gedung perabot terbabit mula dibuka di Croydon, yang ketika itu sebuah bandar berasingan dan terletak kira-kira 15 kilometer dari selatan London pada tahun 1867. Ia satu perniagaan yang maju dan berjaya. Meskipun pernah mengharungi Perang Dunia Kedua dan kemelesetan ekonomi teruk sekitar tahun 1929 hingga 1930, tetapi House of Reeves kekal utuh.
Situasi tegang


ANGGOTA keselamatan berusaha memadamkan kebakaran sebuah bangunan di Tottenham, utara London akibat keganasan yang melanda.



Croydon merupakan salah satu daripada lokasi yang terlibat dalam rusuhan paling teruk pernah berlaku di kota London dalam tempoh lebih 25 tahun.
Keganasan dikatakan bermula Sabtu lalu di kawasan petempatan berbilang etnik di Tottenham, utara bandar raya itu selepas seorang lelaki kulit hitam berusia 29 tahun, Mark Duggan ditembak mati oleh polis dua hari sebelum itu.
Selain London, rusuhan turut merebak ke bandar raya lain seperti Liverpool, Birmingham, Manchester, West Bromwich, Wolverhampton, Bristol, Salford dan hampir ke seluruh United Kingdom.
Menurut Setiausaha Dalam Negeri Britain, Theresa May, situasi yang berlaku kini sangat tegang dan pihak berkuasa sedang berusaha mengawal keadaan agar tidak menjadi lebih buruk.
“Kami perlu menamatkan rusuhan ini dengan segera. Seboleh-bolehnya pihak polis tidak mahu menggunakan meriam air untuk meleraikan rusuhan, melainkan menerusi persetujuan masyarakat,” katanya kepada stesen televisyen Sky News.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Britain, David Cameron berikrar akan mengakhiri kegasanan tersebut dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.
“Dalam situasi sekarang, kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) kelmarin.
Batal perlawanan


ASYRAF HAZIQ (kanan) cuba menyelamatkan dirinya apabila diserang perusuh di kota London baru-baru ini.



Jika ia dilakukan, penggunaan meriam air untuk meleraikan rusuhan itu buat julung kalinya dilakukan di Britain sekali gus mencatat sejarah tersendiri di kalangan polis negara tersebut.
Sementara itu, rentetan rusuhan dan keganasan yang berlaku di jalanan juga menyebabkan perlawanan persahabatan antara England menentang Belanda di Stadium Wembley, London yang dijadualkan berlangsung semalam (11 Ogos) terpaksa dibatalkan demi keselamatan orang ramai.
Kapten England, Rio Ferdinand turut melahirkan rasa kesalnya di atas apa yang berlaku. Menerusi laman sosial Twitter peribadi, Ferdinand berkata: “Situasi yang berlaku ketika ini cukup mengejutkan. Apakah sebenarnya yang menyebabkan ia berlaku? Orang yang tidak bersalah mendapat susah. Kenapa?”
Bukan hanya Ferdinand, tetapi ramai pemain yang menyuarakan rasa hati masing-masing dan berharap agar ia dapat dihentikan segera termasuklah Wayne Rooney selaku penyerang berbisa skuad kebangsaan England.
“Kenapa orang yang terlibat dengan rusuhan ini melakukannya di negara mereka sendiri? Ini bandar mereka sendiri. Ia memalukan negara. Sila hentikan,” kata Rooney dalam akaun Twitter miliknya.
Apa yang pasti, mereka yang terlibat dalam rusuhan ini turut menjadikan tindakan kerajaan yang mahu memotong 80 bilion pound (RM389 bilion) daripada perbelanjaan awam menjelang tahun 2015 bagi mengurangkan rekod defisit negara sebagai alasan untuk menyuarakan rasa ketidakpuasan hati rakyat terhadap perkara itu.
Zon peperangan


RUSUHAN yang berlaku banyak mengorbankan harta benda sekali gus merugikan warga London sendiri.



Golongan muda pula menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) termasuk mesej segera melalui telefon pintar BlackBerry dan platform media sosial seperti Twitter untuk membentuk kordinat serangan dan mengelak berdepan dengan pihak polis.
“Sudah beberapa hari sejak rusuhan berlaku kanak-kanak langsung tidak gembira. Malah, mereka benci pada anggota polis.
“Ia kelihatan seperti zon peperangan dan pihak polis tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya. Mereka (perusuh) sangat ramai dan pihak polis tidak mencukupi,” kata Matthew Yeoland, 43, seorang guru di Peckham, selatan London.
Dalam pada itu, penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, keganasan dan rusuhan yang berlaku di London, kota yang aman dan terkenal di seluruh dunia dengan tarikan pelancongan dan sebagainya boleh dijadikan iktibar buat semua pihak.
Ini menunjukkan tidak semestinya setiap negara yang bertamadun, mempunyai kestabilan ekonomi dan maju akan terus aman dan kesejahteraan buat selama-lamanya jika ia tidak dipelihara.
“Rakyat Malaysia keseluruhannya harus membuka mata luas-luas terutama bagi pihak yang gemar mencetuskan hura-hara seperti mahu mengadakan perhimpunan dan demonstrasi bagi menunjukkan protes terhadap pihak berkuasa.
“Demonstrasi ini kalaupun dilakukan dalam keadaan aman, tetapi pasti ada golongan tertentu akan cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan keadaan sekali gus menyebabkan rusuhan teruk.
“Jika ini terjadi, sudah tentu banyak harta benda yang rosak, kehilangan nyawa, wujudnya anasir-anasir luar yang cuba menghancurkan negara dan menjejaskan imej tanah air sendiri,” ujar beliau yang mengaitkan situasi itu dengan cubaan pihak-pihak tertentu menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Terperangkap
Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu turut memuji tindakan tegas dan pantas pihak polis dalam menangani demonstrasi jalanan tersebut.
Sementara itu, seorang pelajar Malaysia di United Kingdom, Siti Suriani Othman, 32, bersyukur kerana terselamat daripada rusuhan sewaktu berkunjung ke London Ahad lalu.
Menurut Suriani, dia hairan apabila melihat semua kedai di Oxford Street ditutup pada pukul 6 petang berbanding pukul 8.30 malam sebelum ini.
“Rupanya-rupanya semua perusuh berkumpul di sana dan mula membuat onar. Nasib baik kami cepat pulang, kalau tidak mungkin saya pun akan terperangkap dalam rusuhan tersebut,” kata pelajar jurusan Doktor Falsafah (PhD) di Nottingham Trent University, Nottingham, United Kingdom itu.
Tambahnya, di London kuasa polis sangat terhad sehingga mereka tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kepada perusuh kerana terpaksa mengikut peraturan sekali gus menjaga periuk nasi mereka ketika keadaan ekonomi yang teruk.
Menurut Suriani selama hampir empat tahun tinggal di United Kingdom, dia melihat terdapat banyak kepincangan walaupun ia sebuah negara yang maju.
“Perkara ini (kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan) hanya dapat kita ketahui jika menetap di sini untuk sesuatu tempoh tertentu dan ia tidak dapat dikesan hanya daripada penyiaran berita mereka atau laporan-laporan dalam bentuk buku ilmiah dan sebagainya.


RUSUHAN dan keganasan yang berlaku di London dan hampir seluruh United Kingdom mampu memberi kesan buruk terhadap imej Britain dan melumpuhkan ekonomi mereka yang sedia terjejas.-kosmo

Penduduk keturunan Asia sedia pertahan diri dalam rusuhan di London

LONDON: Paparan di Internet yang menunjukkan pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, diserang dan dirompak dalam rusuhan di sini, telah mendorong penduduk keturunan Asia untuk bersiap sedia mempertahankan diri dan harta sendiri.

Ketika rusuhan itu merebak, ramai penduduk khusus beragama Islam dan Sikh mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi nyawa, harta benda dan juga tempat ibadat masing-masing.
Tiga lelaki berketurunan Pakistan terbunuh akibat dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang perusuh yang kemudiannya diberkas oleh polis.
Ketiga-tiga lelaki itu dipercayai sedang mengawal sebuah masjid daripada dicerobohi oleh perusuh.

Banyak kedai milik penduduk berasal dari Asia menjadi sasaran perusuh yang memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan.

"Mereka ini bertindak sesuka hati dan melarikan apa saja yang mereka mahu," kata seorang saksi, Rahmat Khan, kepada Bernama.

Katanya, kejadian merusuh dan membakar harta benda berlaku di London, Birmingham dan beberapa bandar raya lain.
Masyarakat Sikh, termasuk mereka yang sudah lanjut usia di kawasan Southall di barat London bersiap sedia dengan pedang dan kayu hoki bagi melindungi tempat ibadat mereka. - BERNAMA , bharian

Askar akan dikerah: Cameron

CAMERON...penjenayah tidak akan terlepas.
CAMERON...penjenayah tidak akan terlepas.

LONDON: Britain akan bertindak tegas ke atas kumpulan samseng yang mencetuskan huru-hara di beberapa bandar negara itu dan mungkin mendapatkan bantuan tentera jika rusuhan berulang. Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata kerajaan tidak akan membenarkan “budaya takut” wujud di jalanan negara itu. “Kerajaan juga akan memberi kuasa kepada polis untuk menuntut orang awam membuka sebarang penutup muka selepas mendapati ramai penjarah memakai topeng ketika memecah masuk pelbagai kedai pada minggu ini, katanya kepada Parlimen yang mengadakan sidang tergempar, semalam. Sidang itu diadakan khusus membincangkan rusuhan melanda Britain ekoran pembunuhan seorang pemuda disyaki penjenayah, Mark Duggan, 29, di Tottenham. Menurut Cameron, mana-mana pihak yang mengalami kerugian akibat rumah atau kedai mereka dirosakkan sepanjang tempoh rusuhan boleh menuntut pampasan kepada kerajaan seperti diperuntukkan Akta Kemusnahan Rusuhan. “Ia adalah perbuatan jenayah dan langsung tiada sebarang alasan untuk menghalalkannya,” katanya. Selain melakukan kekacauan di jalan raya, perusuh turut membakar bangunan serta kenderaan, selain menyerang polis. Kata Cameron, kerajaan tidak akan membiarkan kekacauan tercetus di negara itu. “Kerajaan akan melakukan apa saja bagi mengembalikan keamanan serta membangunkan semula komuniti yang terjejas. “Kepada penjenayah yang minoriti, saya ada pesanan ini: Kami akan memburu kamu dan untuk mendakwa dan menghukum kamu. “Semua perbuatan kamu akan dibalas,” katanya. Mengenai kehadiran polis yang meningkat kepada 16,000 orang di London ketika ini, Cameron berkata, jumlah itu akan dikekalkan sehingga hujung minggu ini. Apabila keadaan memerlukan, kata Cameron, tentera akan dipanggil bagi menghadapi perusuh - sesuatu yang tidak pernah dilihat berlaku di Britain setakat ini. - Reuters, hmetro

Thursday, August 11, 2011

Rusuhan ancam permulaan Liga Perdana


KEADAAN TIDAK TERKAWAL: Anggota polis Britain cuba mengawal keadaan selepas para perusuh mencetuskan huru-hara di Hackney, di timur London dengan membakar bangunan dan kenderaan dan menjarah. -- Foto AP


LIGA PERDANA ENGLAND
Pemain Spurs gesa perlawanan pembukaan dibatalkan LONDON: Buat julung-julung kali dalam sejarah bola sepak England, tirai pembukaan Liga Perdana yang akan bermula Sabtu ini berada dalam kedudukan bahaya.Ini menyusuli rusuhan yang melanda terutama di London dan ia menjejas keselamatan dan nyawa setiap pihak - pemain, pegawai, peminat, penduduk dan anggota pasukan keselamatan.Selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara England dengan Belanda yang seharusnya berlangsung di Wembley kelmarin dibatalkan, para pegawai kanan Liga Perdana kini sedang memerah otak untuk memutuskan apakah langkah terbaik yang perlu diambil bagi perlawanan yang melibatkan tiga kelab utama.Jelasnya ia pasti terjejas dan perlu ditunda.Pertarungan tiga kelab berkenaan yang akan bermula 3 petang (waktu tempatan), bakal menyeret tugas para pegawai polis London ke tahap yang tidak diketahui selepas mereka terpaksa bertungkus lumus mengatasi suasana rusuhan dan penjarahan yang belum pernah disaksikan di ibu kota tersebut.Namun, pihak pengurus Liga Perdana England mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak mempunyai alasan untuk menunda perlawanan di luar London kerana yakin keadaan tidak akan terjejas.Bagaimanapun, sebaik sahaja kenyataan ringkas itu dikeluarkan lewat malam kelmarin, rusuhan merebak di West Bromwich di mana Manchester United akan beraksi Ahad ini.Pada masa yang sama, barisan bintang-bintang Tottenham pula menggesa agar pertemuan mereka dengan Everton dalam perlawanan pembukaan dibatalkan.Younes Kaboul dan Rafael van der Vaart menegaskan bahawa pihak berkuasa bola sepak harus mempertimbangkan dengan wajar selepas tercetusnya huru-hara yang berlaku di kawasan kediaman mereka.Benoit Assou-Ekotto pula menyelar tindakan samseng yang merusuh dan kini mampu menggugat perlawanan bola sepak bagi permulaan musim 2011-2012.Hasrat muka baru Queens Park Rangers itu untuk beraksi buat kali pertama selepas dinaikkan ke Liga Perdana menentang Bolton mungkin tidak menjadi kenyataan.Rusuhan mula meletus di White Hart Lane pada hujung minggu lalu, selepas penduduk setempat, Mark Duggan, ditembak mati oleh polis.Ini disusuli kejadian membakar bangunan dan kenderaan. Beberapa kedai turut dijarah.Kaboul, pemain antarabangsa Perancis, jelas bimbang dan berkata: 'Saya benar-benar terkejut dengan apa yang berlaku di Tottenham.'Kami tidak pasti sama ada akan dapat bermain Sabtu ini kerana rusuhan kini merebak serata London. Ia kelihatan serius. Jika keadaan terlalu berbahaya adalah lebih baik ditunda sahaja perlawanan demi keselamatan setiap peminat.Ia juga cukup membuat para pemain sakit hati lebih-lebih lagi ia perlawanan pertama musim ini. Tetapi anda harus memberikan keutamaan kepada keselamatan orang ramai lebih daripada segala-galanya.' - The Sun.cyberita

Sedia guna meriam air



SEORANG perusuh berjalan di hadapan halangan jalan raya yang dibakar di kawasan Toxteth di Liverpool, kelmarin. Kira-kira 200 belia dilaporkan membaling objek ke arah polis di kawasan tersebut. – AP


LONDON 10 Ogos – Perdana Menteri David Cameron berikrar akan mengakhiri keganasan ‘jelik’ yang berlaku di negara itu dan membayangkan kesediaan menggunakan meriam air buat pertama kalinya terhadap perusuh.
“Kita perlu melawan balik dan ia telah bermula,’’ katanya selepas mesyuarat krisis Jawatankuasa Kecemasan Kerajaan (Cobra) hari ini.
Beliau berkata, pelan kecemasan tersedia untuk menggunakan meriam air dengan notis 24 jam. Penggunaannya akan pertama kali di tanah air British.
‘‘Keganasan yang berlarutan ini harus dihentikan. Kita tidak akan benarkan budaya ketakutan wujud di jalan-jalan kita,’’ katanya. – dpa, utusan

Perusuh serang balai polis Nottingham dengan bom api

LONDON: Sekumpulan 40 perusuh menyerang balai polis di Nottingham dengan bom api semalam, tetapi tiada kecederaan dilaporkan. Polis berkata, Balai Polis Canning Circus (di tengah Nottingham) diserang sekumpulan 30 hingga 40 lelaki tetapi tiada kecederaan setakat ini. Melalui mesej Twitter kemudian, polis berkata, api dapat dipadamkan dan lapan orang ditahan. Serangan itu berlaku pada malam keempat rusuhan di Britain. Ia tercetus di London pada hujung minggu lalu tetapi kini merebak ke bahagian lain Britain. - AFP
hmetro

Penduduk bekerjasama kawal keselamatan komuniti

LONDON: Beratus-ratus penduduk London turun ke jalan raya semalam bagi melindungi komuniti mereka daripada menjadi mangsa penjarah. Ratusan komuniti Sikh, termasuk sesetengahnya memakai pakaian tradisional, berkumpul di luar gurdwara di Southall, barat London, selepas tersebar khabar angin pusat ibadat itu bakal menjadi sasaran perusuh. Mereka menyusun giliran berkawal dan memantau stesen kereta api bagi mengesan kedatangan pengacau. Di Enfield, utara London, kira-kira 200 penduduk tempatan berkumpul di kawasan mereka bagi “melindungi jalanan” daripada diceroboh. Rakaman video amatur menunjukkan 100 orang berkumpul melaungkan kata-kata “England! England”. Sebelum itu, mereka terbabit dalam pergaduhan dengan sekumpulan pemuda bersenjata kayu hoki tetapi keadaan berjaya ditenangkan kemudian. Ratusan yang lain pula berkumpul di pinggir Eltham yang turut didakwa bakal menjadi sasaran perusuh. Seorang daripada penduduk di situ berkata, Eltham adalah kawasan kediaman penduduk kelas pertengahan. “Kami berkumpul untuk melindungi komuniti di sini dan membantu polis,” katanya. Pekedai di utara London - kebanyakannya keturunan Turki - berkawal di luar premis masing-masing sehingga awal pagi sambil membawa senjata. - AFP
hmetro

Cameron ikrar kembalikan keamanan

LONDON: Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata kerajaan tidak akan membiarkan “budaya ketakutan” menguasai jalanan negara itu dan polis menyediakan pelan sokongan bagi menangani rusuhan, jika perlu. “Kerajaan akan melakukan apa yang termampu bagi mengembalikan keamanan di jalanan kita. Tiada satu kemungkinan pun diketepikan, termasuk menggunakan meriam air yang selama ini tidak pernah digunakan di England,” katanya. Istilah “budaya ketakutan” adalah ungkapan digunakan kebanyakan cendekiawan, ahli politik dan wartawan bagi merujuk kepada tindakan sesetengah pihak mencetuskan kekacauan bagi mencapai objektif politik mereka. - AP-hmetro

Rahang patah ditumbuk perusuh

MUKHRIZ dan Noorzalina melawat Asyraf Haziq di Royal London Hospital, semalam.
MUKHRIZ dan Noorzalina melawat Asyraf Haziq di Royal London Hospital, semalam.

Pelajar Malaysia di London cerita saat cemas jadi mangsa keganasan London

LONDON: "Ini kejadian paling mencemaskan dalam hidup saya dan berlaku pantas. Saya menaiki basikal tiba-tiba dikerumuni 20 lelaki berpisau yang mahu merampas basikal. Mereka kemudian menyeluk poket seluar dan mengambil telefon bimbit.
“Mereka menumbuk di dagu dan rahang hingga berdarah. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu dan apabila tersedar, saya terduduk di kaki lima dengan mulut berdarah,” kata Asyraf Haziq Rosli, 20, yang terlantar di Royal London Hospital di sini, sementara menunggu pembedahan bagi membetulkan rahang bawahnya yang pecah dan tulang pipinya yang patah.
Banyak perkara yang tak kena dengan masyarakat apabila kita lihat orang berpura-pura membantu seorang pemuda yang cedera sedangkan sebenarnya mereka merompaknya. - David Cameron, Perdana Menteri Britain
Asyraf Haziq tidak dapat bercakap banyak kerana rahang bawahnya diikat dawai sebelum pembedahan, walaupun cuba melayani pelawat petang semalam termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom (UK), Datuk Zakaria Sulong; Pengarah MARA, Dr Noorzalina Mohd Noor dan Pengerusi UMNO London, Dzuhair Hanafiah.

Pelajar tahun satu bidang perakaunan di Kolej Kaplan, di sini itu diserang ketika berbasikal bersama rakannya, Sheikh Muhammad Faris Jamil Azhar, 20, di Barking, timur London iaitu satu daripada tempat berlaku kekacauan untuk berbuka puasa Isnin lalu.

Asyraf Haziq berkata, penyerangnya tidak menyedari kejadian dirakamkan individu dari bangunan berdekatan dan klip video satu minit 14 saat dimuatkan dalam YouTube serta diguna stesen penyiaran di sini termasuk BBC dan Sky TV.

Beliau berkata, selepas diserang, beberapa lelaki seolah-olah cuba membantunya tetapi mencuri barangan dalam beg sandang.
Asyraf Haziq berkata, beliau enggan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya bagi mengelak mereka bimbang.

Sementara itu, 11 pelajar dipindahkan dari Barking dan Mile End. Dzuhair juga memindahkan dua pelajar wanita di Peckham ke asrama MARA di Bayswater.

Zakaria berkata, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, MARA dan Jabatan Pelajar Malaysia sentiasa memantau keadaan dan mengeluarkan arahan apabila perlu, memandangkan rusuhan merebak cepat. bharian

Wednesday, August 10, 2011

Polis anti rusuhan bertembung dengan penunjuk perasaan di Chile

SANTIAGO: Polis anti rusuhan Chile melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air untuk meleraikan penunjuk perasaan ketika demonstrasi aman membabitkan pelajar di ibu negara, Santiago.Berpuluh ribu guru, pelajar, ibu bapa dan aktivis buruh berarak di pusat bandar Santiago buat kali kelima dalam tempoh dua bulan untuk menuntut pembaharuan daripada kerajaan konservatif diketuai Presiden Sebastian Pinera. Tunjuk perasaan secara aman dibuat apabila sekumpulan remaja mula melempar kayu dan batu ke arah polis anti rusuhan berhampiran istana Presiden La Moneda.
Sebahagian daripada belia terbabit bertindak memecahkan lampu isyarat dan tingkap serta membakar kereta.Polis berkata, kira-kira 60,000 orang berarak dalam kejadian berkenaan namun penganjur menganggarkan jumlah sebenar ialah kira-kira 150,000.- AFP ,bharian

Penuntut Malaysia dibelasah, samun



MUHAMMAD Asyraf Haziq Rossli, 20, (kanan) dipukul dan disamun perusuh di London, semalam. – Youtube


IPOH 9 Ogos - Seorang penuntut Malaysia cedera dibelasah dan disamun sekumpulan remaja dalam kejadian rusuhan yang berlaku di London dan beberapa bandar di Britain.
Dalam kejadian yang berlaku di Barking, Timur London itu, Muhammad Asyraf Haziq Rossli, 20, yang patah tulang rahang dan gigi terpaksa dimasukkan ke Hospital Royal London.
Difahamkan ketika kejadian, penuntut bidang perakaunan berasal dari Ampang itu keluar bersama rakan-rakannya untuk membeli juadah berbuka puasa.
Visual Asyraf yang duduk sambil mengusap mulutnya yang berdarah dan dikelilingi lebih 10 remaja itu dimuat naik ke laman perkongsian video, YouTube hari ini di bawah tajuk 'Heartless robbery in London riots!!!!
Video itu juga sempat merakamkan aksi seorang pemuda berkulit putih yang dengan selamba membuka beg galas Asyraf dan menyamunnya lalu berlalu tanpa sesiapa pun yang menegahnya.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Kelab-Kelab UMNO United Kingdom, Dzuhair Hanafiah berkata, Asyraf kini menjalani pembedahan membetulkan tulang rahang.
Menurut Dzuhair, Barking adalah salah satu kawasan tegang dan panas dalam beberapa siri rusuhan serta kekacauan sejak tiga hari lalu di London.
Katanya, Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) dan Kelab UMNO London kini berusaha memindahkan penuntut ke kawasan selamat.
Penuntut serta rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan menghubungi MSD di UK atau Kelab UMNO UK di info@umnolondon.com atau talian +447435644040.

Rusuhan merebak di Britain




Polis antirusuhan menyekat sekumpulan perusuh selepas mereka bertindak membakar beberapa buah kereta di Hackney, utara London, semalam. - AFP


LONDON 9 Ogos – Kota London yang selama ini dikenali sebagai bandar raya yang aman dan selamat untuk dikunjungi kini bertukar menjadi medan rusuhan, segala-galanya berpunca daripada insiden kecil seorang lelaki maut dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis.
Gelombang keganasan dan kejadian mencuri yang sudah masuk hari ketiga di seluruh kota ini kini merebak pula ke tiga bandar raya utama lain di Britain, semalam.
Campur tangan pihak berkuasa masih gagal membendung kekacauan terburuk di negara ini sejak rusuhan kaum menyebabkan London terbakar pada 1980-an.
Sementara itu, seorang lelaki yang cedera akibat terkena tembakan semasa memandu ketika rusuhan di kota ini meninggal dunia di hospital semalam, menjadi korban pertama keganasan di London.
Lelaki berusia 26 tahun itu ditemui cedera dengan kesan tembakan lewat Isnin lalu di Croydon, di selatan London di mana perusuh bertindak membakar banyak bangunan di bandar itu, kata pegawai polis Metropolitan London.
Polis sedang melancarkan siasatan berhubung pembunuhan itu.
Di London, gerombolan pemuda mengganas masuk malam ketiga berturut-turut semalam dengan bertindak membakar bangunan, kenderaan dan tong sampah, mencuri barangan kedai dan membaling botol serta mercun ke arah anggota polis.
Polis meminta bantuan tambahan ratusan anggota dan mengambil keputusan luar biasa untuk mengerahkan kereta perisai di beberapa daerah yang paling teruk dilanda keganasan.
Namun, mereka masih mengalami kesulitan untuk membendung huru-hara yang merebak di kawasan-kawasan panas di seluruh London, di bandar-bandar raya Birmingham, Bristol dan Liverpool.
Pihak berkuasa mengakui insiden-insiden baru keganasan di kawasan utama menyebabkan mereka tidak ‘menang tangan’.
“Keganasan yang kita saksikan tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana kehidupan orang ramai menjadi kacau-bilau disebabkan perbuatan samseng,” kata komander polis, Christine Jones.
Perkhidmatan Ambulans London merawat 16 mangsa rusuhan, 15 daripadanya terpaksa dimasukkan ke hospital, manakala polis menangkap 334 orang dan mendakwa 69 lagi atas pelbagai kesalahan.
Tidak ada satu faktor yang dilihat menyatukan perusuh, walaupun sesetengahnya mendakwa mereka menentang potongan perbelanjaan kerajaan yang akan mengurangkan bayaran faedah kebajikan dan menghapuskan puluhan ribu jawatan sektor awam sehingga akhir 2015.
Sebahagian lagi dipercayai mengambil kesempatan untuk melakukan keganasan.
Kekacauan yang merebak itu menjadi amaran bagi penganjur Sukan Olimpik 2012 tentang kemungkinan berlakunya keganasan semasa temasya tersebut yang bakal berlangsung kurang setahun dari sekarang. – Agensi, utusan

Tuesday, August 9, 2011

Polis tahan lebih 160 orang di Tottenham



ANGGOTA bomba terus memadamkan saki-baki api pada bangunan yang musnah dibakar oleh perusuh di Tottenham, utara London, kelmarin. - REUTERS


LONDON 8 Ogos - Polis London melancarkan siasatan rapi dan menangkap lebih 160 orang berhubung rusuhan terburuk di ibu negara Britain ini dalam tempoh lebih 25 tahun.
Sementara itu, keganasan berpunca daripada kematian seorang lelaki tempatan dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis terus merebak awal hari ini.
Beribu-ribu penduduk mencuri barangan dari sebuah gedung barangan elektrik di kawasan Brixton, selatan London pada awal pagi ini, menakala gerombolan pemuda membaling objek ke arah polis, lapor wartawan AFP.
Menurut Scotland Yard, kejadian mencuri merebak ke beberapa kawasan di utara, timur dan selatan bandar raya ini, sementara sekumpulan kira-kira 50 pemuda merosakkan harta benda di kawasan tumpuan pelancong di Oxford Circus.
Perusuh merosakkan sebuah kereta polis dan memecahkan tingkap di Enfield, pinggir utara London kira-kira lima kilometer dari Tottenham, medan kekacauan pada malam sebelumnya.
Pasukan polis tambahan dikerahkan di kawasan-kawasan kediaman bergolak selepas tiga anggota polis dimasukkan ke hospital akibat dirempuh kereta.
"Kami menghadapi situasi mencabar kerana keganasan, kejadian mencuri dan kekacauan meletus di sana sini di beberapa kawasan," kata Komander Scotland Yard, Christine Jones.
Dalam kejadian malam semalam, rumah-rumah, dua kereta polis dan sebuah bas dua tingkat dibakar dan kedai-kedai dipecah masuk di Tottenham.
Keganasan itu mengingatkan penduduk terhadap rusuhan di kawasan sama pada 1985 dan menimbulkan suasana suram di bandar raya ini, yang bakal menganjurkan Sukan Olimpik dalam tempoh setahun.
Polis metropolitan berkata, para pegawai yang terlibat dalam siasatan Operasi Withern akan menyoal saksi dan meneliti rakaman televisyen litar tertutup untuk mengenal pasti perusuh.
Keganasan itu menyusuli protes berhubung kematian Mark Duggan, 29, pada Khamis lalu, dipercayai dalam kejadian berbalas-balas tembakan dengan polis.
Komander polis, Adrian Hanstock menyifatkan kematian Duggan itu sebagai 'sangat dikesali' dan siasatan mengenai insiden itu sedang dijalankan. - AFP, utusan

Monday, May 9, 2011

Banduan al-Qaeda merusuh


BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 18 terbunuh dalam pertempuran antara pegawai keselamatan dan banduan al-Qaeda di sebuah kompleks penjara di Baghdad semalam. 


Antara yang maut termasuk pemimpin al-Qaeda dikenali sebagai ‘Emir Baghdad’ yang merancang serangan terhadap gereja Katolik Oktober lalu menyebabkan 68 maut, kata jurucakap keselamatan Baghdad, Mejar Jeneral Qassim al-Moussawi.
Pertempuran di unit anti keganasan di tengah daerah Karrada di Baghdad bermula apabila seorang tahanan merampas senjata daripada pengawal, membunuh beberapa pengawal dan pegawai Kementerian Dalam Negeri kemudian memberikan senjata itu kepada banduan lain, kata Qassim.
“Anggota keselamatan dan pengawal bertindak membalas serangan dan membunuh 11 tahanan pengganas termasuk Huthaifa al-Batawi, Emir Baghdad, yang merancang serangan gereja,” kata Qassim. – AP