Pyongyang arah kosongkan pejabat kedutaan
Askar Amerika Syarikat sedang bersiap sedia dengan latihan serangan senjata nuklear.
PYONGYANG - Pemimpin Korea Utara, Kim Jung-un mengarahkan semua kakitangan warga asing di pejabat kedutaan di Pyongyang meninggalkan negara itu selepas gagal memberi jaminan keselamatan.

Jurucakap Kementerian Luar Britain berkata, arahan itu diterima pagi semalam melalui panggilan telefon.

“Kami belum membuat keputusan sama ada mahu akur terhadap arahan itu atau sebaliknya,” katanya yang dipetik dari laporan Reuters.

Menurutnya, jumlah sebenar warga Britain di Korea Utara tidak boleh didedahkan tetapi kebanyakan mereka bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris.

Namun, pejabat kedutaan lain di Pyongyang masih belum mengambil tindakan berkenaan arahan itu.

Sementara itu, agensi berita Yonhap melaporkan, Korea Utara telah mengarahkan peluru berpandu ke pantai timur negara itu.

“Rangkaian peluru berpandu itu telah digerakkan pada kedudukan 3,000 kilometer ke pangkalan tentera Amerika Syarikat di Guam,” menurut laporan itu.

Laporan turut memetik jurucakap Pyongyang sebagai berkata, dua peluru berpandu telah dimuatkan ke dalam pelancar mudah alih di satu kawasan yang dirahsiakan dan akan dilancarkan tanpa amaran.