Sunday, October 12, 2014

Pemimpin Hong Kong enggan tunduk kepada desakan

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong Leung Chun-ying enggan tunduk kepada desakan penunjuk perasaan yang mahukan beliau berundur dan sebaliknya berikrar akan terus mengekalkan jawatannya.
Beliau memberi amaran bahawa bantahan yang dilakukan oleh pihak tertentu di negara yang menjadi hab kewangan Asia itu kini sudah tidak terkawal lagi dan tidak seharusnya diteruskan.
Bercakap dalam temu ramah dengan stesen televisyen tempatan TVB, Leung berkata kerajaannya akan terus berusaha untuk berunding dengan pemimpin pelajar tetapi tidak menolak kemungkinan menggunakan 'kekerasan paling minimum' bagi membersihkan kawasan terbabit.
Katanya, apa yang berlaku sejak beberapa minggu sebelum ini membuktikan betapa mudahnya untuk pihak terbabit menganjurkan bantahan secara beramai-ramai tetapi sukar untuk menghentikannya.
"Tidak ada sesiapa kini dapat menentukan hala tuju dan kadar ia bergerak. Ia kini satu pergerakan yang sudah hilang kawalan," katanya.
Leung menegaskan bahawa dalam situasi sekarang tidak ada peluang sama sekali bagi pemimpin China di Beijing mengubah keputusan yang dibuat Ogos lalu bagi mengehadkan demokrasi di Hong Kong.
Bekas jajahan British itu dijanjikan bahawa kebebasannya dilindungi di bawah formula 'satu negara/dua sistem', apabila Britain menyerahkan negara jajahannya itu balik kepada China 17 tahun lalu.
Beijing memutuskan hanya calon yang disaring oleh jawatankuasa pencalonan boleh bertanding dalam pilihan raya ketua eksekutif Hong Kong pada 2017. - REUTERS

MH17: Jenazah Shaliza akan dikebumikan di Australia

KUALA LUMPUR : Jenazah seorang lagi warga Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17, Shaliza Zaini Dewa, 45, akan dibawa pulang ke Melbourne, Australia, iaitu negara asal suaminya, 14 Oktober ini untuk dikebumikan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jenazah Shaliza tidak dibawa pulang ke Malaysia atas permintaan keluarganya.
"Ya..sepatutnya dibawa ke Malaysia, tapi atas permintaan keluarga mangsa, jenazah akan dibawa pulang ke Australia, iaitu negara suaminya," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61, di Wisma MCA, di sini petang tadi.
Allahyarham Shaliza, 45, adalah antara 298 orang yang terbunuh dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777 yang ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Beliau terkorban bersama suaminya Hans Van Den Hende dan anak-anak mereka, Australians Piers, 15; Marnix, 12; dan Margaux van den Hende, 8.
Tiong Lai berkata, sehingga kini, jasad 43 daripada 44 warga Malaysia yang terkorban dalam insiden itu sudah dikenal pasti.
"Hanya seorang saja lagi belum dikenalpasti, doakan semoga usaha pengecaman (seorang lagi mangsa) dapat dipercepat," katanya.
Menyentuh proses penyiasatan MH17, beliau menjangkakan ia akan mengalami kelewatan berikutan lokasi nahas di Donestk masih tidak selamat dimasuki, selain faktor musim sejuk sudah hampir tiba.
Katanya, pasukan hanya boleh masuk semula ke lokasi nahas April depan, iaitu selepas berakhir musim sejuk jika dalam masa terdekat ini tidak dapat berbuat demikian.
"Namun ia masih bergantung kepada tahap keselamatan di sana," katanya.

Harga minyak naik, subsidi ditarik dari sudut syariah


MUHAMMAD NURUDDIN BASHAH | .
KALI ini saf pentadbiran Perdana Menteri Malaysia sudah check matedengan hujah lapuk iaitu kenaikan harga petrol di Malaysia kerana seiring dengan kenaikan harga minyak dunia.

Hal ini kerana rakyat yang tidak lulus subjek ekonomi asas mahupun perdangan di peringat SPM juga mampu mengakses maklumat bahawa harga minyak dunia sedang mengalami kemerosotan. Maklumat di hujung jari.

Maklumat kasar hari ini sekitar harga minyak mencatat AS$90.73 setong, berbanding pada bulan Julai iaitu pada harga AS$103 setong. Malah diramalkan kejatuhan harga minyak berlaku sejak empat tahun dan dijangka akan berterusan lagi.

Rakyat sama ada yang pekak mahupun tuli telah tahu bahawa harga minyak naik adalah kerana subsidi dihisap kembali oleh kerajaan atas nama rasionalisasi subsidi walaupun kerja buat itu jelas tidak rasional!

Dengan peraturan baru percukaian GST yang bakal menjadi cek kosong kerajaan menaikkan kadar cukai ke atas mana-mana sahaja komoditi barangan harian rakyat, ianya jelas rakyat akan kian tertekan dengan domino kenaikan harga barang dan servis tempatan walaupun wirid selalu kerajaan selepas menaikkan harga minyak berbunyi begini: “peniaga dilarang menaikkan harga sesuka hati”.

Hakikatnya ramai yang sudah sedar, kenaikan harga ini disebabkan subsidi yang ditarik keluar daripada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia. Subsidi adalah ihsan kerajaan. Ia bukan suatu jaminan bahawa kerajaan akan terus melaksanakan dasar ihsan walaupun istilah ihsan digandingkan dengan keadilan dalam Al Quran (konsep adlu wal ihsan)

Begitu juga rakyat menilai barangan tertentu yang kononnya tidak akan dikenakan GST, tidak mustahil ia akan turut dikenakan GST kerana istilah tidak dikenakan GST adalah istilah ihsan sahaja bukannya peruntukan yang mantap dalam mana-mana undang-undang.

Sedikit berkenaan GST, kerajaan berhujah dalam laman-laman rasmi bahawa daripada 600 barang yang dikenakan GST, dijangka hanya 10% yang akan mengalami kenaikan harga, 42% kekal harga dan 48% akan mengalami penurunan harga. Hakikatnya penurunan harga 48% barang itu adalah jenis komoditi mewah yang selama ini menerima cukai tinggi. Malah ia bukan barang harian yang diperlukan rakyat. Sistem cukai dahulu hanya terkena kepada barangan yang tidak menjadi penggunaan harian rakyat bawahan.

Kata kerajaan lagi, banyak barang akan menjadi lebih murah kerana cukai GST hanya 6% berbanding cukai 16% yang akan berakhir pada 31 Mac 2015. Malah dirantau ini dikatakan 6% itulah yang termurah. Adakah ada jaminan angka 6% tidak akan menjadi 7, 8 dan seterusnya?

Dalam tempoh setahun ini sudah 40 sen harga minyak naik kerana penarikan subsidi. Itu belum diungkit penarikan subsidi gula, minyak masak dan lain-lain lagi tahun lepas.

Rakyat Malaysia telah dilatih untuk menerima banyak kejutan tahun ini. Dengan keganasan di Sabah yang semakin dramatik, tragedi misteri MH370 sehingga membabitkan kepakaran bomoh tercabar, kemudiannya pula tragedi MH17, rakyat Malaysia kelihatan boleh menerima kejutan menurut pandangan Putrajaya. Kenaikan harga minyak mendadak ala-ala kejutan ‘kinder joy’ ini bukan sahaja menyaksikan kritikan keras pemimpin Pakatan Rakyat, malah tindakan saf pentadbiran Datuk Seri Najib mengurangkan kadar subsidi bahan api RON95 dan diesel sebanyak 20 sen menerima kecaman juga daripada Barisan Nasional (BN) kerana ia dibuat ketika harga minyak dunia turun dan rakyat Malaysia sedang menghadapi tekanan akibat kos sara hidup yang makin meningkat.

Selain pemimpin PAS, PKR dan DAP menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, parti komponen BN, MIC dan seorang ahli Majlis Tertinggi Umno juga turut mempersoalkan keputusan itu.

Apa reaksi pemimpin pro kerajaan:

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki menulis di dalam Facebooknya memohon kerajaan mengkaji semula tindakan pemotongan subsidi itu ketika rakyat sedang bertarung dengan kenaikan kos sara hidup. Katanya walaupun idea rasionalisasi subsidi minyak ada kewajarannya, namun pemotongan subsidi ketika ini adalah tidak sesuai melainkan kita sudah berjaya menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.

Obligasi kerajaan memberi jaminan keamanan, kestabilan sosial

Mengurangkan subsidi untuk rakyat untuk menampung ketempangan ekonomi kerajaan yang boros melambangkan betapa usaha itu tidak menepati syariah. Hal ini kerana peranan sebuah kerajaan walaupun bukan menerima obligasi untuk memberi subsidi dalam komoditi tempatan, ia berperanan sebenarnya menjamin kestabilan sosial, jenayah dan masalah sosial. Jaminan ini adalah ruang lingkup pemerintah jika ditekuni dari perspektif siasah syariyyah. Jaminan inilah yang menghendaki kerajaan berhemah dalam menarik subsidi tertentu kerana ia menghasilkan suatu reaksi negatif sosial.

Konsep keadilan distributif sering digunakan untuk melihat polisi pemerintah terhadap rakyat. Negara harus mengagih sumber alam yang dikuasai kepada rakyat secara adil. Pada tahap ini prinsip keadilan distributif perlu diterapkan. Subsidi adalah tergolong dalam ketagori ini. Mungkin idea Aristotle dalam aspek keadilan distributif kelihatan mendesak kerajaan untuk semata-mata berperanan mengalir kekayaan negara kepada rakyat. Jika dikaitkan dengan konsep keadilan dan ihsan dalam Al Quran, ia kelihatan lebih lunak untuk memahamkan sebuah kerajaan bahawa agenda ihsan adalah agenda besar selepas agenda keadilan.

Ihsan pada asasnya digariskan melalui fiqh klasik sebagai sedekah, faraid, hibah, derma dan sebagainya untuk meningkatkan kuasa membeli di kalangan rakyat. Namun dalam konteks kontemporari, subsidi adalah suatu bentuk sedekah atau infaq kerajaan untuk rakyat semata-mata untuk melihat kestabilan ekonomi, sosial dan mencegah mudharat dan jenayah akibat himpitan ekonomi. Inilah konsep ihsan yang sering diabaikan oleh kerajaan.

KH. M Shiddiq menyatakan bahawa subsidi adalah suatu bentuk bantuan kewangan (bahasa Arab disebut i’anah maliyah), yang biasanya dibayar oleh pemerintah, dengan tujuan untuk menjaga kestabilan harga-harga, atau untuk mempertahankan pengekalan kegiatan perniagaan, atau untuk mendorong berbagai kegiatan ekonomi pada umumnya.

Dalam sistem kapitalisme, subsidi merupakan salah satu instrumen pengendalian secara tidak langsung. Grossman dalam Sistem-Sistem Ekonomi (1995) menerangkan bahwa dalam sistem Kapitalisme terdapat dua jenis pengendalian ekonomi oleh pemerintah, iaitu pengendalian langsung dan tidak langsung. Pengendalian langsung adalah polisi mengabaikan mekanisme pasaran, contohnya embargo perdagangan dan penetapan harga tertinggi suatu barang. Adapun pengendalian tidak langsung adalah kebijakan yang bekerja melalui mekanisme pasaran, misalnya penetapan tarif serta segala macam cukai dan subsidi.

Islam berbeza dengan kapitalisme. Jika kapitalisme memandang subsidi dari perspekstif campur tangan kerajaan atau mekanisme pasaran, Islam memandang subsidi dari perspektif syariah, iaitu pada bila-bila subsidi boleh dan bila-bila subsidi wajib dilakukan oleh negara termasuk penentuan sektor yang boleh dan wajib disubsidikan.

Pastilah menurut syariah yang terkenal dengan konsep al adli wal ihsanmenentang subsidi bilion ringgit untuk syarikat mega seperti TPP sedangkan untuk rakyat bawahan ditarik perlahan-lahan. Ihsan yang ditekan oleh Islam untuk meningkatkan kuasa beli rakyat, mencegah jenayah, mencegah masalah masyarakat disalah guna dengan mengekalkan subsidi kepada korporat besar tanpa segan silu.

Jika subsidi diertikan sebagai bantuan kewangan yang dibayar oleh negara maka Islam mengakui adanya subsidi dalam pengertian ini. Subsidi boleh dianggap salah satu cara (uslub) yang boleh dilakukan negara, kerana termasuk pemberian harta milik negara kepada individu rakyat (i'tha'u ad-dawlah min amwaliha li ar-ra'iyah) yang menjadi hak pengelola negara.

Khalifah Umar bin al-Khattab pernah memberikan harta dari Baitul Mal kepada para petani di Iraq agar mereka dapat membangunkan pertanian mereka sekaligus menstabilkan sosial di sana.

Atas dasar itu, boleh negara memberikan subsidi kepada individu rakyat yang bertindak sebagai pengeluar, seperti subsidi baja dan benih bagi petani, atau subsidi bahan mentah dan sebagainya. Boleh juga negara memberikan subsidi kepada individu rakyat yang bertindak sebagai pelanggan, seperti subsidi makanan atau subsidi komoditi harian seperti minyak masak, dan sebagainya.

Subsidi boleh juga diberikan negara untuk sektor perkhidmatan awam (al-marafiq al-'ammah) yang dilaksanakan oleh negara, sebagai contoh:

- perkhidmatan telekomunikasi (al-khidmat al-baridiyah) seperti telefon, pos, fax, internet;
- perkhidmatan perbankan syariah (al-khidmat al-mashrifiyah) seperti pemindahan, simpanan, dan pertukaran matawang asing;
- perkhidmatan pengangkutan awam (al-muwashalat al-'ammah) seperti kereta api, kapal laut, dan pesawat terbang.


Nabi s.a.w., pernah membagikan fai‘ Bani Nadhir (harta milik negara) hanya kepada kaum Muhajirin, tidak kepada kaum Ansar, kerana Nabi Saw., melihat ketidakseimbangan ekonomi antara Muhajirin dan Ansar. Ia boleh dianggap subsidi Nabi kepada satu kaum sahaja demi menstabilkan sosial di Madinah.

Tokoh ekonomi Islam terkenal seperti Saidina Umar Al Khattab semasa pemerintahannya dikatakan mengisytiharkan setiap tahun satu hari di mana segala dana negara perlu dikosongkan dan diberi kepada rakyat dalam bentuk subsidi. Amirul Mukminin mengeluarkan arahan tersebut kepada Abu Musa Ashaari yang menjaga perbendaharaan negara pada masa itu.

Pada tahun berikutnya Saidina Umar R.A menyuruh Menteri Kewangan pada masa itu, iaitu Abu Huzaifah Ibnu Yaman untuk melakukan perkara yang sama.

Kembali kepada isu pembohongan kenaikan harga minyak kerana kenaikan harga minyak dunia adalah seolah-olah kerajaan mengajar rakyat bahawa komoditi penting bernama minyak itu harganya bebas ditentukan mengikut pasaran bebas secara mutlak dan sebarang impak global akan terus diterima rakyat tanpa sebarang ‘filtration’. Apa pula peranan negara untuk memastikan rakyat tidak menderita kerana menerima impak perubahan harga global? Inilah peranan subsidi untuk mengawal harga. - HARAKAHDAILY 12/10/2014

Penulis ialah Timbalan Ketua Penerangan DPP Negeri Kedah.

PAS gantung Saari, Hasnul selama setahun


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa PAS Pusat mengumumkan penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin, selama setahun, berkuatkuasa hari ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata kedudukan dua ADUN itu bagaimanapun tidak berubah namun mereka tidak dibenarkan mewakili parti selama setahun.
"Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan penggantungan keahlian dua ADUN di Selangor namun mereka kekal sebagai ADUN kita.
"Tindakan ini dibuat selepas mereka dipanggil memberi keterangan pada 29 September lalu," katanya.

Sumber negara: BN hanya tahu kutip cukai dari rakyat


MUHAMMAD FAIZAL | .
KU‎ALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Bajet 2015 yang diumumkan kerajaan sebagai bajet menindas rakyat.

Beliau berkata, penindasan yang dilakukan terhadap rakyat kerana kerajaan sehingga sekarang masih gagal mencari sumber baru selain mengambil cukai dari rakyat.

"Sumber pendapatan tetap sama iaitu dari cukai rakyat, syarikat dan juga sumber petroleum.

"Ia bukan sahaja tidak baik untuk negara ini tetapi turut membebankan rakyat, bukan sekadar cukai tetapi kebergantungan kepada petroleum memungkin subsidi bakal ditarik balik," jelasnya.

Menurut beliau lagi, ketandusan idea mencari sumber baru sebagai pendapatan negara turut membuktikan Barisan Nasional (BN) gagal menjadi kerajaan yang efisen.

Ketika ditanya mengenai petrol RON95 dan diesel yng tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)‎, katanya itu membuktikan ketidakadilan yng berlaku terhadap rakyat.

"Bagi cukai GST walaupun terdapat sejumlah barangan yang tidak dikenakan GST tetapi msih wujud ketidakadilan berterusan terhadap rakyat.

"Petrol RON95 dan diesel tidak dikenakan cukai dan ia turut memberi peluang kepada golongan kaya untuk menikmatinya.

"Jadi apa keistimewaan dan pengecualian terhadap rakyat yang di bawah dalam GST, penarikan subsidi dikatakan ada golongan kaya pakai dan ini sama seperti GST," sambung beliau lagi.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut berpendapat pelaksanaan GST tidak memberi kebaikan untuk orang miskin juga dilihat tidak adil untuk rakyat. - HARAKAHDAILY 12/10/2014

Tamrin Ghafar diarah bela diri tuduhan beri ucapan berbaur hasutan

JUMAAT, 10 OKTOBER 2014 @ 6:57 PM

 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan ahli PAS yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, membela diri terhadap pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei tahun lepas.

Hakim Azwarnida Affandi membuat keputusan itu setelah mendapati Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kes itu selepas mendengar keterangan empat saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November sebagai tarikh bela diri.

Dalam prosiding itu, peguam Ariff Azmi Hussein mewakili Mohd Tamrin, 64, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya itu akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.



Mohd Tamrin didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharaja Lela, Dang Wangi di sini antara jam 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- BERNAMA

Menyamar wanita untuk bantu anak


WANG (tengah) berpakaian perempuan dan jual tuala wanita bagi kutip wang rawatan untuk anak.


Beijing: Seorang bapa di Chengdu sanggup menyamar menjadi perempuan dan menjual tuala wanita semata-mata mahu mengutip wang untuk rawatan leukemia anak perempuannya.

Huanqiu.com melaporkan, Wang Hai Lin, 32, membuat keputusan itu selepas pendapatannya 1,000 yuan (RM530) tidak mencukupi.

Anaknya Yaqin didiagnos menghidap leukemia Mac lalu dan setakat ini menjalani enam rawatan kemoterapi yang menelan belanja 20,000 yuan (RM10,600).

Disebabkan itu, Wang sanggup menjual tuala wanita dengan harga 20 yuan (RM11) setiap pek untuk rawatan anaknya itu.

Katanya, anaknya gemar menari, menyanyi dan mendengar muzik selain baik dan dengar kata.

“Dia anak yang baik dan sering menemani saya ketika berniaga,” katanya yang memakai rambut palsu serta baju dan seluar wanita.

Pada sekeping kadbod tertulis: ‘Saya menjual tuala wanita untuk mengumpul wang bagi menyelamat anak perempuan saya yang baru berusia dua tahun. Terima kasih jika anda bermurah hati untuk membantu kami.”

Menurutnya, isterinya bekerja di sebuah stesen minyak di Shandong dan pendapatannya tidak cukup untuk membantu merawat anak mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 11:22 PM
«»

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1072#sthash.93rdQoZ3.dpuf

Bapa saman anak pemalas

Zhejiang: Seorang lelaki semalam menyaman anak perempuannya selepas gadis itu tidak melakukan kerja rumah dan enggan menjaga anaknya sendiri.

Akhbar China Daily melaporkan, lelaki itu, Hu berkata, anaknya tidak pernah melakukan kerja rumah selepas berkahwin, sebaliknya menghabiskan masa membeli-belah dan menonton drama Korea.
Menurut Hu, dia dan isteri terpaksa menjaga cucu mereka di samping menyediakan makanan untuk anak dan menantu mereka, yang juga enggan bekerja.
Hu turut menunjukkan kepada mahkamah bukti yang dia meminjamkan wang 700,000 yuan (RM372,000) kepada anaknya untuk membeli rumah di Ningbo pada 2010.
Dia bagaimanapun menarik balik kes itu selepas anak perempuannya meminta maaf.
Sebelum ini, seorang model lelaki berusia 29 tahun menyaman ibu bapanya atas dakwaan mereka tidak menyokongnya dari segi kewangan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 11:58 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1087#sthash.rExRKiZP.dpuf

Ulil Abshar dilarang ke Malaysia


KUCHING 11 Okt. - Tokoh liberal melampau dari Indonesia, Dr. Ulil Abshar Abdalla yang sebelum ini dijadual akan menghadiri satu diskusi di ibu negara, dilarang memasuki negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, arahan tersebut telah dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen semalam bagi menghalang Ulil Abshar yang dijadual menyertai program tersebut pada 18 Oktober ini.
"Ulil Abshar mendapat jemputan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara yang kehadirannya mengundang protes orang ramai.
"Sekiranya dibenarkan dia berceramah dan hadir beberapa program di sini, ia akan merosakkan akidah dan pegangan kita sebagai Ahlul Sunnah Wal Jamaah," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penutup Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Sekam) di sini hari ini.
Yang turut hadir, timbalan beliau, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sebelum ini, beberapa pihak membuat laporan polis bagi membantah penganjuran diskusi meja bulat bertajuk `Tantangan Fundamentalisme Agama Abad Ini' pada 18 Oktober depan yang dianjurkan oleh Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Islamic Renaissance Front.
Ahmad Zahid berkata, sekatan itu akan berkuat kuasa sehingga Ulil Abshar tidak mendatangkan bahaya dan polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memantau perkembangan itu.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan juga tidak akan membenarkan 350 pengikut pemimpin Jemaah Islamiyah (JI), Abu Bakar Bashir yang akan dibebaskan dari penjara Indonesia tahun hadapan masuk ke negara ini.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi menghalang kehadiran pengikut kumpulan itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141012/je_01/Ulil-Abshar-dilarang-ke-Malaysia#ixzz3Fsjnxo5I
© Utusan Melayu (M) Bhd