Sunday, August 11, 2013

Dikurung 9 bulan

Port Dickson: Dikurung sembilan bulan membuatkan seorang mangsa culik rangkaian kumpulan al-Qaeda di Selatan Filipina nekad melarikan diri dengan memotong rantai besi di kakinya hanya menggunakan sudu.
Tung Wee Jie, 26, berkata, sejak dikurung, dia berusaha mencari jalan untuk lari memandangkan setiap hari terpaksa mendengar penculik mahu membunuhnya dengan pelbagai cara, termasuk menghumban ke laut, menembak dan menggunakan parang.

Menceritakan detik hitam itu, Wee Jie berkata, pada 14 November tahun lalu, dia bersama sepupunya Tung Wee Wei, 34, bekas rakan perniagaan bapa Wee Wei dan seorang pekerja didatangi sekumpulan lelaki seramai lima hingga tujuh orang di ladang kelapa sawit Kampung Manakayang bersebelahan FELDA Sahabat 15, Lahad Datu, Sabah.
Katanya, kumpulan ber senjatakan parang itu memaksa mereka berjalan kaki sejauh dua kilometer hingga ke pantai dan menaiki bot yang menunggu di situ sebelum meninggalkan rakan perniagaan bapa Wee Wei dan seorang pekerja di pantai.

“Sepanjang dalam bot, saya dan sepupu diarah baring dan ditutup dengan sehelai tikar. Beberapa jam kemudian, kami menaiki bot lain dan tiba di sebuah pulau kecil.

“Kami tinggal lima hari di pulau itu sebelum dibawa ke Pulau Sulu dan tinggal dalam sebuah pondok kecil dibuat daripada buluh, malah kaki kami dirantai dengan besi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Bukit Pelandok, Lukut, di sini, semalam.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, seorang rakyat Malaysia meninggal dunia manakala sepupunya berjaya menyelamatkan diri selepas dijadikan tebusan selama sembilan bulan oleh rangkaian kumpulan al-Qaeda di Selatan Filipina.

Pengarah Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Pengganas) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, Wei ditemui penduduk merayau di sebuah perkampungan di Bandar Indanan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Sulu.
Katanya, Wei Jie ketika ditemui pihak berkuasa memaklumkan, sepupunya meninggal dunia selepas jatuh sakit pada 8 April lalu.

AS buka kembali 18 pejabat kedutaan di Asia Barat, Afrika

BEBERAPA orang pegawai keselamatan berkawal di pintu masuk pejabat konsulat Amerika Syarikat di Lahore, Pakistan kelmarin.


WASHINGTON - Sebanyak 18 daripada 19 pejabat konsulat dan kedutaan Amerika Syarikat (AS) kembali dibuka hari ini selepas ditutup berikutan wujudnya ancaman serangan daripada kumpulan pengganas Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) sejak 4 Ogos lalu.
"Pejabat kedutaan di Sanaa, Yemen bagaimanapun akan terus ditutup kerana ancaman serangan pengganas masih wujud," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki.
AS juga akan terus menutup pejabat konsulatnya di Lahore, Pakistan atas alasan sama.
AS sebelum ini telah menutup kira-kira 20 pejabat konsulat dan kedutaannya di Asia Barat serta Afrika selepas pasukan perisikan mereka berjaya memperoleh maklumat mengenai ancaman serangan pengganas.
Kesemua pejabat konsulat dan kedutaan itu ditutup sehingga semalam.
Pejabat konsulat dan kedutaan yang dibuka semula itu terletak di Jordan, Mesir, Qatar, Kuwait, Bahrain, Oman, Libya, Madagascar, Burundi, Djibouti, Sudan, Rwanda, Mauritius selain tiga di Arab Saudi dan dua di Emeriah Arab Bersatu (UAE).
AS juga mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya mengelak daripada melawat Pakistan. Beberapa orang diplomat AS turut dikeluarkan dari Yemen.
Jabatan Negara AS tidak menyatakan bila pejabat konsulat dan kedutaan di Sanaa dan Lahore akan dibuka semula. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2bcafWA21 
Hakcipta terpelihara 

Serang pejuang pemisah Moro


Manila: Tentera Filipina semalam melancarkan serangan terhadap kumpulan Barisan Pejuang Islam Bangsamoro (BIFF) yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan bom yang mencederakan tujuh askar kerajaan di selatan negara itu.

Jurucakap markas tentera wilayah selatan Kolonel Dickson Hermoso berkata, pertempuran sengit meluas sejak awal pagi di bandar Aleosan di Cotabato Utara.


Kumpulan itu sebelum ini berkata, anggotanya bertanggungjawab dalam serangan Rabu lalu dan berikrar untuk melancarkan lebih banyak serangan.

BIFF, sayap bersenjata kumpulan Barisan Pembebasan Islam Bangsamoro (BIMF) ialah kumpulan serpihan Barisan Islam Pembebasan Moro. Ia berpisah daripada MILF kerana membantah perjanjian damai dengan kerajaan.


Serangan semalam dilakukan beberapa hari selepas serangan serupa dilancarkan terhadap Abu Sayyaf di wilayah Basilan bagi menyekat anggota kumpulan itu daripada membuat bom.

India laksana perintah berkurung di Kashmir


Srinagar: Tentera India semalam mengenakan perintah berkurung di sebuah bandar di wilayah Kashmir yang dikuasainya berikutan pertempuran antara penduduk Hindu dengan Islam ketika sambutan Aidilfitri.

Ketua Pengarah Polis Negeri Ashok Prasad berkata, keadaan masih tegang di wilayah itu semalam meskipun tiada keganasan terbaru dilaporkan.


Tentera meronda dengan kereta perisai di bandar Kishtwar, kira-kira 200 kilometer dari Srinagar, ibu negeri Kashmir yang di bawah penguasaan India, tempat tercetusnya pergaduhan antara penduduk Hindu dan Islam kelmarin.

Beberapa kedai, dua hotel dan sebuah stesen minyak musnah dibakar perusuh.


Keganasan meletus selepas penduduk Hindu membantah laungan slogan prokemerdekaan oleh penduduk Islam selepas solat Aidilfitri.


Seorang penduduk Islam rentung dibakar oleh perusuh Hindu sementara seorang penganut Hindu mati ditembak dalam keganasan itu. Sentimen anti-India begitu kukuh di kalangan penduduk Kashmir beragama Islam. - AFP

Ulama Saudi kutuk penggulingan Mursi


Riyadh: Lajnah Ulama Arab Saudi semalam secara rasmi mengeluarkan kenyataan mengutuk rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Presiden Mesir Muhammad Mursi.

Pernyataan yang ditandatangani 56 ulama berkenaan menyifatkan tindakan tentera yang dipimpin Abdul Fattah Al Sisi sebagai jenayah yang melanggar Hak Asasi Manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Tindakan Menteri Pertahanan, Abdul Fattah Al-Sisi jelas melanggar keinginan rakyat Mesir,” menurut kandungan pernyataan itu seperti yang dipetik oleh akhbar Middle East Monitor.

Menurutnya, Mursi adalah presiden sah yang dipilih melalui pilihan raya.


Pernyataan ulama berkenaan turut mendesak kerajaan sementara Mesir mengadakan dialog dengan penyokong Mursi.


“Keganasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya akan menjerumuskan Mesir kepada keadaan ekonomi dan politik yang lebih buruk,” menurut pernyataan itu lagi.

Lajnah Ulama Saudi itu juga menyesal dengan keganasan yang berlaku sejak Mursi digulingkan pada 3 Julai lalu. - Agensi