Friday, September 28, 2012

Belanjawan tidak guna kalau rugi RM28 bilion

KUALA LUMPUR: Sebaik mana pun belanjawan dibentangkan, ia tidak berguna kepada rakyat kalau perlaksanaan penuh penyelewengan dan rugi RM28 bilion setahun, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Saya tidak boleh kata belanjawan yang dibentangkan oleh (Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) adalah belanjawan yang baik dan bertanggungjawab kepada negara dan generasi akan datang sebab (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri kaitkan Najib dengan perbuatan beli undi.

"Tetapi, kalau Najib mempunyai kebolehan untuk membentangkan belanjawan yang baik sekalipun, ia tidak berguna kepada rakyat apabila Ketua Audit Negara sendiri dedahkan negara mengalami kerugian sehingga RM28 bilion setahun yang diakibatkan oleh kelemahan pengurusan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mohamad bersetuju dengan pandangan ramai bahawa belanjawan yang dibentangkan oleh Najib hari ini adalah "belanjawan beli undi".

Dr Mahathir sebelum ini mengakui bahawa tindakan pentadbiran Najib memberi wang tunai kepada rakyat menghampiri kepada pembelian undi.

Bagi Mohamad, pembelian undi adalah rasuah terang-terangan tetapi lebih buruk lagi penyelewengan dalam perlaksanaan apa yang dibentangtkan dalam belanjawan.

"Dalam belanjawan hanya nyatakan hendak beli peralatan tentera. Itu baik.

"Tetapi dalam perlaksanaannya, gasak duit rasuah dalam pembelian kapal selam malah sehingga berbunuh-bunuh," katanya.

Ayat-ayat hendak minta duit dalam belanjawan, katanya, boleh dikatakan hampir semuanya manis-manis belaka.

"Tetapi dalam perlaksanaan, beli pemutar skru lima kali daripada ganda harga biasa," katanya sambil menyatakan contoh itu hanya contoh terlalu kecil dari pelbagai perbuatan khianat kepada negara yang menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM28 bilion seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara.

Mohamad juga menggelar belanjawan Najib sebagai belanjawan sembunyi fakta berikutan keengganan kerajaan membentang laporan Ketua Audit Negara bersama belanjawan.

Pada kebiasaannya, laporan audit tahunan itu dibentangkan bersama dengan belanjawan.

Tetapi, dalam pemerintahan Najib, iaitu bermula tahun lalu, laporan audit dibentangkan selepas belanjawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan, belanjawan yang dibentangkan oleh Najib dijangka akan menggula-gulakan pengundi kerana kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang lebih diutamakan dari menangani hutang negara yang semakin meningkat.http://bm.harakahdaily.net/

Bekas pemandu lori derita barah buah pinggang



GHAZALE Muhamad (bersongkok) menyampaikan sumbangan kepada Norliza Mohd. Nazir dan Razali Pie di Merlimau, Melaka, baru-baru ini.
JASIN 26 Sept. - Tiada apa yang mampu dilakukan oleh seorang bekas pemandu lori, Razali Pie, 45, selain menitiskan air mata tanpa sepatah pun kata-kata yang mampu diucapkan tatkala menahan kesakitan akibat barah pinggang yang dideritainya sejak setahun lalu.
Penderitaan yang ditanggung Razali dikongsi bersama isterinya, Norliza Mohd. Nazir, 38, yang hidup dalam keadaan serba kekurangan sejak suaminya berhenti kerja dan tidak mampu bergerak.
"Saya reda dengan ujian yang menimpa kehidupan kami, namun hati pilu apabila melihat keadaan suami yang langsung tidak mampu bergerak, apatah lagi berkata-kata setiap kali menahan kesakitan.
"Selepas suami saya berhenti kerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan beberapa bulan lalu, kehidupan kami sekeluarga hanya bergantung pada wang simpanan termasuk membeli keperluan lampin pakai buang untuk suami," katanya.
Keadaan hidup yang tidak seberapa ditambah kesihatan suaminya yang semakin merosot membuatkan Norliza mengambil keputusan berpindah ke rumah ibu mertuanya di Kampung Pasir Gembur, Tedong, Merlimau.
Norliza bersama suami dan tiga anaknya sebelum ini tinggal menyewa di Sempang, Merlimau dengan kos sewaan RM250 sebulan.
Kata Norliza, dia tidak menyangka keadaan kesihatan suaminya yang pada awalnya hanya mempunyai masalah kencing berdarah setahun lalu sedikit demi sedikit merebak ke buah pinggang sehingga menyebabkan barah.
Norliza berkata, suaminya itu kini sudah tidak boleh bertutur dan menggerakkan anggota badan.
Penderitaan Razali dan keluarganya bagaimanapun mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Ghazale Muhamad yang melawat keluarga itu baru-baru ini.
Ghazale ketika sesi lawatan itu menyampaikan sumbangan katil khas dan bantuan bulanan pesakit kronik bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300.
Menurut Ghazale, bantuan yang diterima Razali adalah antara inisiatif JKM bagi membantu mengurangkan beban tanggungan keluarga itu.

Pengerusi Google pertahan YouTube



Pelajar-pelajar Indonesia membakar tayar di luar premis Kentucky Fried Chicken di Kendari semasa mengadakan protes terhadap filem anti-Islam Innocence of Muslims, semalam. - AFP
SEOUL 27 Sept. - Pengerusi Eksekutif Google, Eric Schmidt, hari ini mempertahankan tindakan YouTube menyiarkan filem anti-Islam yang mencetuskan rusuhan ganas di seluruh dunia.
Schmidt berkata, jawapan kepada isu itu ialah apabila kebebasan disekat, maka lebih banyak lagi perkara seperti itu akan berlaku dan bukannya dengan pengharaman.
Google yang merupakan pemilik YouTube, telah menyekat penyiaran filemInnocence of Muslims di beberapa negara, termasuk di India, Mesir dan Arab Saudi kerana dianggap tidak sah.
Namun, Schmidt menekankan bahawa filem bajet rendah itu menepati kriteria asas sebagai bahan yang boleh dipos di laman perkongsian video itu dan sebab itulah sehingga kini ia masih boleh diakses di beberapa negara.
"Google mempunyai pandangan yang jelas berhubung perkara ini yang kami percaya bila kebebasan disekat, perkara seperti itu tetap akan berlaku dengan lebih berleluasa.
"Kami juga tidak menyokong penggunaan filem atau idea ini untuk mencetuskan kebencian dan keganasan, tetapi kami lebih percaya pengharaman bukanlah satu penyelesaian," katanya kepada wartawan di Seoul, Korea Selatan, hari ini.
Sementara itu, mahkamah Turki semalam membenarkan pihak berkuasa negara itu menyekat penyiaran filem itu di Internet.
Binali Yildirim, menteri yang bertanggungjawab dalam komunikasi dan pengangkutan memberitahu televisyen kerajaan, TRT, injunksi itu membenarkan pihak berkuasa teknologi maklumat dan telekomunikasi menyekat penyiaran filem tersebut.
Tindakan itu dibuat sehari selepas sebuah lagi kementerian menyatakan bahawa Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan mengarahkan pegawai mencari jalan untuk menyekat filem itu.
Di Thailand, beratus-ratus orang berhimpun di luar Kedutaan Amerika Syarikat dan ibu pejabat Google di negara itu hari ini sambil memegang sepanduk dan memekik 'kenakan hukuman bunuh ke atas sesiapa yang menghina Islam'.
Kira-kira 300 orang menyertai perhimpunan bantahan itu yang diadakan di daerah perniagaan Bangkok. - AFP/AGENSI

Penternak hilang pelanggan, akibat jalan tidak berturap, berlopak

Penternak hilang pelanggan, akibat jalan tidak berturap, berlopak
Yusri bersama anaknya menunjukkan keadaan jalan ke kolam ikan
miliknya di Kampung Pulau, Labu
LABU - Gara-gara jalan tidak berturap selain berlopak menyebabkan seorang penternak ikan air tawar berhadapan risiko kehilangan pelanggan.

Yusri Abdul Latif, 41, berkata, dia menjalankan kegiatan menternak ikan sejak lebih lima tahun lalu. Menurutnya, kolam ikan itu terletak di sebelah rumahnya yang sudah didiami sejak lapan tahun lalu.

"Malah sejak saya mula-mula tinggal di sini, keadaan jalan itu memang tidak pernah berturap sehingga kini. Saya sudah membuat aduan dan permohonan pada Mac 2009 kepada ketua kampung dan wakil rakyat kawasan namun jawapan yang diberi mengecewakan," katanya kepada Sinar Harian.

Yusri berkata, mereka sering memberi jawapan tiada peruntukan untuk menurap jalan.

"Saya kesal kerana beberapa penduduk lain turut menerima kemudahan turap jalan sedangkan mereka memaklumkan peruntukan tiada," katanya.

Katanya, sepanjang mengusahakan perniagaan itu, dia bukan sahaja mempunyai pelanggan dalam kalangan penduduk Kampung Pulau, tempatnya tinggal malah turut menerima kunjungan luar Negeri Sembilan termasuk dari negara jiran seperti Brunei Darussalam.

"Saya sering menerima rungutan daripada pelanggan mengatakan keadaan jalan yang lecak merosakkan kenderaan mereka.

"Bagi yang pertama kali datang ke sini pasti akan terkejut. Selain itu ada di antara mereka tidak mahu lagi datang membeli malah ada juga meminta saya menghantar ikan sendiri. Ia tidak berbaloi kerana saya terpaksa menanggung kos minyak kereta selain harga ikan yang sama," katanya.

Malah katanya, selain masalah jalan, Yusri pernah memohon untuk membina jambatan yang menghubungkan kolam ikan utama dan rumahnya.

"Saya terpaksa membina titi dari kayu pokok untuk menyeberang anak sungai bagi mengambil ikan yang dipesan pelanggan.

“Pernah tiga kali saya terjatuh ke dalam anak sungai kerana tergelincir semasa membawa ikan. Keadaan ini menyukarkan saya untuk berniaga,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai penternak, Yusri pernah mengalami kerugian RM10,000 apabila banjir besar berlaku pada 2010 yang memusnahkan ternakan ikannya seperti keli, tilapia dan baung.

“Jalan tersebut hanya sepanjang 300 meter dan kos membinanya tidak sampai RM10,000 begitu juga dengan jambatan yang kosnya tidak begitu tinggi.

“Justeru saya harap masalah ini mendapat perhatian kerana ia menjejaskan perniagaan dalam jangka masa panjang,” katanya yang tidak membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perniagaan ikan air tawar itu.

Kesal ruang solat ala kadar

Kesal ruang solat ala kadar
Abdul Jamil (dua, kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil JHEAINPP
GEORGETOWN - Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) menggesa semua pengurusan bank menyediakan ruang solat yang selesa untuk kakitangannya yang beragama Islam melaksanakan ibadat itu.

Naib Presiden Nube Malaysia, Abdul Jamil Jalaludeen berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa cawangan bank di negara ini yang mengabaikan tanggungjawab itu dan ada juga pengurusan yang hanya menyediakan ruang solat ‘ala kadar’ seolah-olah tidak menghormati agama Islam.

“Solat adalah Fardu Ain bagi setiap orang Islam dan mana-mana majikan seharusnya lebih sensitif terhadap keperluan menyediakan ruang solat di tempat kerja.

“Kegagalan menyediakan kemudahan seperti ini hanya akan menggalakkan seseorang pekerja Islam itu tidak dapat menjalankan kewajipan solatnya seperti yang dituntut oleh Islam,” katanya ketika ditemui selepas membuat aduan dan menyerahkan memorandum kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) di sini semalam.

Abdul Jamil berkata, pihaknya mendapat aduan ada sebuah cawangan bank di cawangan utara yang menyediakan ruang solat berhadapan dengan tandas yang digunakan oleh semua kakitangan bank berkenaan dan ruang solat berkenaan hanya dipisahkan dengan pengadang yang usang dan langsir.

Katanya, terdapat juga beberapa cawangan bank yang menyediakan ruang solat di dalam bilik penjana kuasa elektrik, di bawah tangga dan tempat yang tidak bersesuaian.

“Nube amat terkilan dengan sikap pengurusan bank yang tidak sensitif dan menghormati agama Islam sedangkan solat dan kerja kedua-duanya adalah ibadah.

“Bank membuat keuntungan berjuta-juta dan mereka mampu menyediakan tempat yang mewah dan selesa untuk pelanggannya namun ruang solat yang selesa untuk kakitangan mereka sendiri mereka tidak boleh lakukan. Kononnya mereka mengamalkan prinsip korporat sosial dan aktiviti kebajikan di luar bank tetapi dengan kakitangan sendiri telah diabaikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa JHEAINPP mengambil tindakan sewajarnya dan mengeluarkan garis panduan kepada semua pengurusan bank agar dapat menyediakan ruang solat sewajarnya.

Tak mampu bayar kos bedah anak

Tak mampu bayar kos bedah anak
Noraini memangku anak bongsunya
SUNGAI LAYANG - Seorang ibu merayu jasa baik orang ramai dan mana-mana pihak berkaitan untuk membantunya mengumpulkan kos pembedahan anaknya, Muhammad Nazrul Zaquan Adha, 2, di Institut Jantung Negara (IJN) sebanyak RM4,000, Oktober ini.

Noraini Akin, 37, berkata, kos sebenar pembedahan kali pertama itu adalah RM15,000, namun pihak IJN memberikan kelonggaran kepadanya.

Menurutnya, buat masa ini, dia sudah memperoleh bantuan RM1,000 daripada pihak Baitulmal dan berharap pihak lain atau orang ramai dapat membantunya menyediakan RM3,000 lagi memandangkan dia tidak mempunyai wang sebanyak itu.

"Anak bongsu saya ini menderita sakit saluran jantung terbalik sejak kecil lagi.

"Saya tidak mampu untuk menampung kos perubatannya memandangkan hanya suami yang bekerja. Saya tidak bekerja kerana menjaga ayah saya yang sakit terlantar selain menguruskan lima anak berusia dua hingga 11 tahun," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Layang, dekat sini, semalam.

Noraini berkata, dua daripada anaknya pula mempunyai masalah pembelajaran dan bersekolah di sekolah khas di Sekolah Kebangsaan Pulau Besar.

"Oleh itu, saya sangat berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” katanya.

Katanya, susulan masalah jantung, anaknya itu kurang aktif dan masih belum berjalan walaupun sudah berusia dua tahun.

"Selain itu, kuku jari kaki dan tangan serta bibir anak saya sering kebiru-biruan.

"Selepas ini, anak saya harus menjalani satu lagi pembedahan di IJN bila berusia lima tahun nanti dan kosnya mencecah RM60,000. Bagaimanapun, kos ini masih belum dirundingkan lagi dengan pihak IJN," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang prihatin dengan nasib Noraini boleh memberikan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional, Noraini 05300-41-00004580-3.

Tuntutan royalti: 3 amanat penting Nik Aziz

Tuntutan royalti: 3 amanat penting Nik Aziz
Nik Aziz (duduk kiri) bergambar bersama rombongan NGO Royalti
ketika melawat beliau, semalam
KOTA BHARU - Biarpun masih berehat di wad Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, namun Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersemangat menyokong usaha-usaha anak-anak muda menuntut hak ke atas royalti minyak.

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) menziarahi Nik Aziz dan beliau turut memberikan tiga pesanan penting dalam usaha memperjuangkan hak rakyat itu.

Naib Presiden NGO Royalti, Dr Syed Khalid Abdullah berkata, sempena lawatan itu Nik Aziz meminta rakyat Kelantan hadir beramai-ramai Konvoi R Tuntut Royalti ke Putrajaya pada 2 dan 3 Oktober nanti.

“Nik Aziz juga mengharapkan bagi yang tidak dapat bersama-sama konvoi mega itu, rakyat diminta untuk mengerjakan solat hajat dan berdoa semoga perbicaraan kes Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada 3 Oktober ini memihak kepada Kerajaan Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas mahukan seluruh rakyat Kelantan seboleh-bolehnya mengibarkan bendera dan melekatkan pelekat kenderaan ‘R’ di kenderaan seluruh Kelantan serta Malaysia sebagai sokongan terhadap usaha yang dilakukan tersebut.

Dr Syed berkata, lebih memberi semangat kepada NGO tersebut apabila semalam Nik Aziz mengesahkan akan bersama-sama menyertai Ceramah Mega R Tuntut Royalti Putrajaya di Shah Alam pada malam 2 Oktober nanti.

“Kami sangat menghargai kesungguhan dan sokongannya walaupun ketika ini  beliau kurang sihat. Ini menaikkan semangat kami untuk teruskan perjuangan untuk menuntut hak rakyat negeri ini,” katanya.

Bagi memberi semangat, Nik Aziz bersama anak beliau, Nik Abduh turut memakai t-shirt R sebagai menyokong dan menghargai kegigihan anak-anak muda berjuang menuntut royalti ketika lawatan itu semalam.

Dalam pada itu, Dr Syed berkata,  program mega tersebut akan menampilkan pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Selain itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa dan bekas Bendahari Umno Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin akan bersama menyertai program itu.
Manakala, wakil-wakil dari Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sabah dijemput menghadiri program berkenaan serta rombongan R dari Kelantan akan bertolak 2 Oktober ini.

Beratus umat Islam adakan bantahan di hadapan kedutaan Amerika di Bangkok



BANGKOK - Beratus-ratus penunjuk perasaan mengadakan bantahan secara aman terhadap penerbitan sebuah filem anti-Islam di hadapan kedutaan Amerika dan pejabat Google di sini, hari ini.

Mereka berkumpul di luar kedutaan itu pada kira-kira pukul 10 pagi sambil membawa sepanduk dengan tulisan bermaksud "Kebebasan Melahirkan Pendapat, Bukan Kebebasan Untuk Menghina, Kami Akan Berkorban Apa Saja Demi Nabi Muhammad (S.A.W), Kami Cintakan Rasulullah Melebihi Nyawa Kami".

Beberapa wakil Kumpulan Islam Untuk Keamanan cuba menyerahkan nota bantahan kepada seorang pegawai kedutaan, tetapi gagal kerana polis menghalang mereka menghampiri kedutaan itu.

Berikutan itu, mereka menjadikan nota berkenaan roket kertas dan membalingnya ke kawasan bangunan kedutaan.

Menjelang tengah hari, mereka bergerak ke pejabat Google untuk menuntutnya menghentikan penyiaran filem berkenaan yang bertajuk, "Innocence of Muslims".

Bantahan terhadap filem yang menyelewengkan fakta tentang Nabi Muhammad S.A.W. itu diadakan di lebih 20 negara dan meragut beberapa nyawa, termasuk duta Amerika ke Libya.

Tunjuk perasaan ini adalah yang kedua diadakan di hadapan kedutaan Amerika di sini selepas bantahan serupa diadakan pada Selasa. - Bernama

Nik Aziz lelong tongkat jana dana PRU13

Nik Aziz
Nik Aziz menggunakan tongkat, yang dilelong, semasa berjalan untuk
menemui orang ramai yang mengikuti kuliah mingguan di sini, baru-baru ini
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini secara sukarelanya melelong tongkat yang digunakan sejak sekian lama untuk untuk menaja dana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pengumuman berkenaan dibuat kira-kira pagi tadi selepas beliau menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini.

Sejurus itu Nik Aziz menyerahkan tongkat kesayangan tersebut kepada seorang wakil untuk menyempurnakan hasrat murninya itu.

Nik Aziz berkata, sebelum ini wakil Pas Pusat memaklumkan kepadanya mahu mengumpul dana bagi tabung menjelang PRU13 dan meminta beliau melelong barangan tertentu.

“Bagi tujuan itu hari ini saya mengisytiharkan akan melelong tongkat saya ini untuk membantu mengumpulkan dana bagi pilihan raya umum nanti,” katanya hari ini.

Ribuan orang mengikuti kuliah tersebut berdiri sebagai sokongan terhadap tindakan Nik Aziz yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan.

Sengsara tiada bekalan air

Sengsara tiada bekalan air
Penduduk terpaksa menakung air yang memakan masa lama
untuk penuh kerana tekanan air rendah
JERANTUT - Lebih 500 penduduk di Felcra Tembeling Tengah, Kuala Tahan dekat sini menghadapi kesulitan mendapatkan air bersih sejak lima hari lalu apabila paip besar yang menyalurkan air ke kawasan perumahan itu dikatakan pecah.

Lebih merunsingkan penduduk, bekalan air tidak dapat disalur dalam masa terdekat kerana kerja membaiki dilihat dihentikan oleh kontraktor yang mendakwa tidak mempunyai alat ganti.

Seorang penduduk, Shaharuddin Abdul Karim, 47, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak lima hari lalu, tiada alasan mengapa kontraktor terbabit masih belum dapat membaikinya.

“Isu bekalan air yang berlarutan ini sudah tentu menyusahkan penduduk, bayangkan hidup kami tanpa bekalan air?. Penduduk berasa tidak tenteram ekoran banyak kerja seharian terbengkalai," katanya.


Tekanan air rendah

Seorang lagi penduduk, Abdullah Abdul Raffar, 59, berkata, bagi keluarga yang mempunyai bilangan anak ramai sudah tentu menyukarkan kehidupan mereka.

Menurutnya, segala tugasan rumah seperti mengemas, membasuh dan memasak semuanya memerlukan air.

“Pada masa kini, kami terpaksa menggunakan saluran paip lama yang menyalurkan air bukit ke rumah kerana terdesak mendapatkan bekalan air. Bagaimanapun, tekanan air tidak kuat menyebabkan kami terpaksa menakung air yang hanya meleleh dari paip," katanya.

Dia berkata, keadaan ini menyukarkan penduduk mengadakan majlis seperti kenduri kahwin pada hujung minggu.

“Penduduk terbeban kerana pelbagai kerja tergendala terutama apabila ingin membuat persiapan kenduri kahwin. Penduduk berasa susah hati sekiranya bekalan air terputus pada saat genting seperti ini kerana banyak kerja perlu dibereskan dan rumah pula dipenuhi ramai tetamu yang hadir memeriahkan majlis," katanya.


Paip beri banyak alasan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perumahan Felcra Tembeling, Zamri Mohd Amin, 46, berkata, penduduk tidak berpuas hati kerana Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) tidak serius tangani isu air ini.

Menurutnya, walaupun sudah berkali-kali aduan dibuat kepada pihak terbabit namun maklum balas yang diterima amat mengecewakan.

“Saya sudah beberapa kali menghubungi mereka tetapi pelbagai alasan diberikan, malah panggilan telefon juga tidak dijawab walaupun dihubungi beberapa kali.

“Kalau mereka mengambil masa sehari dua untuk menjalankan kerja membaiki, kami masih boleh terima tetapi kini dah masuk lima hari, takkan paip bocor itu masih tidak dapat dibaiki,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, menurutnya, penduduk terpaksa kembali menggunakan air bukit bagi menjalani rutin harian.

“Penduduk terpaksa masuk hutan untuk melihat saluran paip itu dan mendapati terdapat empat tempat berlaku kebocoran. Kami terpaksa meredah hutan untuk membaiki sendiri kebocoran itu dan membersihkan kawasan takungan bagi mengatasi masalah saluran tersumbat,” katanya.

Zamri berkata, walaupun kerja itu dijalankan secara gotong royong, kami dapat membaikinya dalam masa sehari berbanding Paip yang menggunakan peralatan lengkap namun masih lagi belum dapat membaiki kebocoran itu.

Justeru itu, penduduk minta Paip bertindak lebih proaktif dan profesional dalam usaha menyelesaikan masalah air ini memandangkan masalah paip bocor ini adalah di bawah tanggungjawab pihak terbabit.

Bajet PR libat semua

Bajet PR libat semua
Keratan Sinar Harian semalam
SHAH ALAM – Pas menolak dakwaan parti itu kurang berperanan dalam Bajet Pakatan Rakyat (PR) 2013 yang dibentang Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin

Ahli Jawatankuasa Lujnah Politik PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, misi bajet untuk membangunkan sebuah negara berkebajikan yang mempunyai rakyat berbilang agama dan bangsa dengan mengeluarkan mereka yang berpendapatan rendah dari kepompong kemiskinan membuktikan peranan Pas.

“Itu (Pas kurang berperanan) tidak benar sama sekali. Teras negara berkebajikan adalah membangunkan rakyat, memberikan ruang mereka berperanan dalam tuntutan beragama dan mendayakan diri mereka.

“Apabila ekonomi sesebuah keluarga berada di tahap stabil, dari sini dapat mengurangkan penceraian, jenayah, keruntuhan akhlak sebabnya isi rumah boleh membina keluarga dengan pendapatan yang wajar dan bermaruah dan institusi keluarga lebih terjamin,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, PR menggunakan pendekatan penyelesaian dalam Islam iaitu penyelesaian yang holistik (membantu mengubah sesuatu ke arah yang lebih baik dari yang sebelumnya).

Beliau berkata, pemimpin bertanggungjawab mengeluarkan rakyat keluarga dari garis kemiskinan kerana mengurangkan kos perbelanjaan dari segi rumah, kenderaan, pinjaman pendidikan akan membantu rakyat memperoleh ‘pendapatan boleh berbelanja’.

“Saya hendak bezakan yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak buat, mengesan golongan miskin, kekalkan mereka di tahap itu dengan memberikan mereka infrastruktur sesuai untuk mereka.

“Golongan miskin diberikan Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia. Situasi ini menunjukkan golongan miskin tidak diberikan peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Tidak membantu mengeluarkan mereka dari keluarga miskin kepada yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, membantu rakyat tidak cukup dengan memberikan bantuan sahaja dan mengharapkan mereka akan berubah, sebaliknya, beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

“Dalam menyediakan bajet itu, kami memandang dan menimbang dalam kedudukan negara di ambang pelbagai ancaman seperti hutang yang terus membengkak. Memandang kepada defisit bajet yang hampir 14 tahun berterusan, berbelanja lebih dari pendapatan. Dan memandangkan jurang kaya miskin semakin melebar, yang paling lebih di antara negara Asia,” katanya.

AS tarik sekatan ke atas Myanmar

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton
NEW YORK - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton mengumumkan negara itu menarik balik sekatan import terhadap Myanmar sebagai pelan menstabilkan hubungan ekonomi yang disekat sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan itu sebagai mengiktiraf pembaharuan sekali gus mengembalikan hubungan dagang dengan Myanmar.

“Kami sedang memulakan pelaksanaan menarik balik sekatan terhadap import barangan Myanmar ke AS dan berharap dasar ini memberikan banyak peluang bagi pedagang Myanmar untuk jalin kerjasama ke dalam pasaran AS,” katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan Presiden Myanmar, Thein Sein, semalam.

Menurutnya, AS akan berunding dengan pihak berkepentingan dalam mengambil langkah tambahan bagi membawa reformasi dalam ekonomi negara itu.

Pengumuman itu susulan tindakan pentadbiran Presiden Barack Obama untuk mengembalikan semula hubungan diplomatik dengan Myanmar termasuk tindakan menggantung pelaburan AS di negara itu. -AP

JAIJ kesan 300 orang berfahaman syiah di Johor Bahru



NUSAJAYA - Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengesan 300 orang daripada 60 keluarga di bandar raya ini berfahaman dan mengamalkan ajaran syiah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Datuk Zainal Abidin Osman berkata pemantauan berterusan JAIJ mendapati kesemua mereka berada di tiga markas iaitu di Kampung Sungai Tiram, Larkin Perdana dan Taman Daya, di sini.

"JAIJ menerima aduan daripada orang ramai berhubung penglibatan segelintir umat Islam ini. Siasatan mendapati mereka mengamalkan ajaran syiah beraliran Jaafariyah Isna A'shar yang berasal dari Karbala, Iran," katanya  ketika menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BN-Jorak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata kerajaan Johor mengeluarkan fatwa pada 9 Jan lepas dan mewartakannya pada 16 Feb lepas, melarang mana-mana umat Islam di negeri ini berpegang kepada ajaran dan fahaman tersebut kerana boleh mengancam ummah, keutuhan agama serta perpaduan bangsa.

Beliau berkata larangan itu merangkumi aspek mengajar, menerbitkan apa-apa terjemahan melalui media, menjadi anggota atau pemimpin syiah serta membantu mengembangkan ajaran tersebut.

Secara umum, katanya masyarakat Islam di negeri ini berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah kecuali segelintir yang terpengaruh dengan ajaran sesat tersebut yang dibawa pihak tertentu.

Beliau berkata tindakan telah diambil bagi membendung penyebaran ajaran tersebut termasuk mengadakan seminar, siri penjelasan tentang syiah di setiap daerah dan perbincangan khusus dengan pengikut ajaran itu.

Katanya tindakan itu dilakukan selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Enakmen Sekatan Menyebarkan Agama Bukan Islam 1991, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Menjawab soalan tambahan Dr Sheikh Ibrahim Salleh (PAS-Sungai Abong), Zainal Abidin berkata fahaman syiah yang diamalkan mereka itu diputuskan sebagai sesat kerana melakukan pelbagai perkara termasuk menghina isteri Nabi Muhammad, menyiksa tubuh badan sempena 10 Muharam, mengharuskan sembahyang jamak dalam semua keadaan dan mengkafirkan sahabat Rasulullah.- Bernama

Rayuan bekas pengikut Ayah Pin ditolak, hukuman penjara kekal

Kamariah Ali
Kamariah Ali (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Rayuan Syariah,
Kuala Terengganu, hari ini
KUALA TERENGGANU - Seorang pengikut ajaran sesat ‘Kerajaan Langit Ayah Pin’, Kamariah Ali, 61, terpaksa akur selepas Mahkamah Rayuan Syariah di sini, hari ini menolak permohonan rayuannya dan mengekalkan hukuman dua tahun penjara yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah terhadapnya, empat tahun lalu.

Sebelum ini, pada 3 Mac 2008, bekas ustazah lulusan Universiti Al-Azhar itu, telah didapati bersalah mendakwa dirinya bukan Islam bagi mengelak daripada diambil tindakan dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohamad Abdullah telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya.

Kamariah telah didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana mengaku bukan Islam sebagai jalan mengelak diambil tindakan di atas kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen sama kerana melanggar fatwa.

Bagaimanapun, semalam, tiga panel Hakim Syarie diketuai Tan Sri Ibrahim Lembut yang bersidang bersama Datuk Md Yusup Che Teh dan Datuk Husin Harun memutuskan, hukuman dua tahun penjara yang dikenakan sebelum ini dikekalkan dan mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa semalam di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ibrahim ketika membacakan penghakiman itu berkata, selepas panel hakim meneliti semua alasan dan rayuan perayu (Kamariah) serta bukti, hujah dan dokumen dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang diputuskan pada 3 Mac 2008.

“Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan fakta dalam kes itu dan Kamariah didapati melakukan kesalahan berat dan serius serta mengancam kelangsungan hidup beragama,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kasmizan Abdullah manakala Kamariah diwakili peguam, Saadiah Din.

Sebelum ini, pada 20 Julai 2005, Kamariah antara yang ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu dengan bantuan polis di Kampung Ayah Pin di Batu 13, Besut.

Kemudian, Kamariah dituduh mengeluarkan kenyataan keluar dari Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari, 21 Julai 2005 di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Dia mengaku bukan Islam bagi mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 kerana melanggar fatwa yang mengisytiharkan ajaran Ayah Pin atau Ariffin Mohamad sebagai sesat.

Bagaimanapun, dia bersama 40 pengikut lain yang turut didakwa atas kesalahan sama dibebas tanpa dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah daripada pertuduhan itu, namun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 7 Enakmen sama, kerana mengaku bukan Islam.

Sepanjang prosiding kesnya pada 2008, Kamariah mencuri perhatian mahkamah apabila berdolak dalik ketika Mohamad memintanya mengucap dua kalimah syahadah untuk merungkai keraguan status agamanya.

11 Oktober dengar permohonan rujuk Muhdalena kepada pakar psikiatri



Muhdalena
Muhdalena
PUTRAJAYA - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 11 Oktober depan bagi mendengar permohonan pihak pembelaan untuk merujuk Muhdalena Ahmad, yang didakwa melakukan jenayah ugutan dan memiliki sebilah pedang, kepada pakar psikiatri.
Hakim Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah menetapkan tarikh itu selepas peguam M. Visvanathan memberitahu mahkamah mengenai permohonannya untuk membawa anak guamnya menjalani pemeriksaan tahap kewarasan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Hakim Engku Ahmad Rashdi turut mengarahkan kedua-dua pihak menyelesaikan segala urusan penyerahan dokumen yang diperlukan sebelum perbicaraan bermula bagi mengelakkan proses perbicaraan terganggu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memberitahu mahkamah bahawa 42 dokumen sudah diserahkan kepada pihak pembelaan namun pihaknya akan menyerahkan lima lagi dokumen lain kepada peguam sebelum perbicaraan.

Kalmizah berkata 35 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu yang ditetapkan dua hari bermula 11 Oktober. 

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Visvanathan berkata anak guamnya perlu dirujuk kepada pakar psikiatri untuk menilai sama ada dia waras ketika kejadian atau dia waras untuk dibicarakan.

Muhdalena, 28, dari Kota Damansara dekat sini dituduh pada 16 Julai lepas di katil rawatannya di Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan pada paha kanannya.

Dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan anggota polis bantuan, Ridzuan Megat Ahmad di perkarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri di sini pada kira-kira 2.30 petang 9 Julai lalu.

Muhdalena, siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh memiliki sebilah pedang pada masa dan tempat yang sama mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 sementara menunggu perbicaraan. - Bernama

Pinjaman bank ditolak, nekad pinjam duit ah long



Pinjaman bank ditolak, nekad pinjam duit ah long
Hasil kerja jahitan Khatipah mendapat perhatian ramai pelanggan.
KUALA TERENGGANU – Siapa sangka seorang ibu tunggal beranak lima di daerah ini sanggup meminjam wang ribuan ringgit daripada ceti atau lebih mudah digelar ‘ah long’ bagi memulakan perniagaannya sebagai tukang kasut tiga tahun lalu.

Wanita pertama di daerah Kuala Terengganu, Khatipah Wahab, 54, yang nekad menjalankan perniagaan menjahit kasut ini terpaksa mengikat perut untuk berbelanja bagi melangsaikan hutang yang dipinjamnya kerana konco-konco along akan datang meminta bayaran setiap hari.


Pinjam dari Tekun

“ALHAMDULILLAH, kini hutang along dapat dilangsai dan saya kini membuat pinjaman bagi pusingan modal dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Niaga (Tekun) sebanyak RM3,000.

“Sebenarnya sebelum membuat keputusan untuk meminjam duit dengan ah long, saya berusaha mendapatkan pinjaman di bank tetapi semuanya ditolak menyebabkan saya nekad meneruskan niat menjadi tukang kasut bagi menyara anak,” katanya ketika ditemui di tapak niaganya di Jalan Banggol di sini.

Menurut Khatipah, setiap hari dia membawa bekal dari rumah untuk mengisi perut bagi memastikan pendapatannya sekitar RM10 – RM50 sehari dapat disimpan dan diuruskan dengan baik.


Pendapatan tidak menentu

“PENDAPATAN bagi kerja macam ini tidak menentu dan pernah hanya memperoleh RM5 sehari, namun saya menerimanya sebagai takdir malah dijadikan pembakar semangat untuk terus mencari rezeki sebagai tukang kasut,” katanya.

Menurutnya, kerja tukang kasut ada pasang surutnya kerana terdapat pelanggan yang menyuruh membaiki kasut tetapi ditinggalkan begitu sahaja tanpa mengambilnya.

“Masalah ini menyebabkan saya terpaksa menanggung kerugian kerana kasut pelanggan sudah dibaiki, tetapi mereka (pelanggan) tidak datang untuk mengambil kasut dan membayar harga yang sepatutnya yang menjadi pendapatan saya.

“Sedangkan modal untuk membeli peralatan membaiki kasut seperti gam, jarum, benang dan sebagainya memerlukan sekitar RM2,000.

“Ada kalanya saya akan menjual kasut pelanggan yang ditinggalkan melebihi tiga bulan sebagai menampung kos yang dihabiskan ketika membaiki kasut berkenaan,” cerita Khatipah berhubung sikap sesetengah pelanggan yang tidak bertanggungjawab.


Tabah sara anak

MENURUTNYA, sebagai ibu tunggal yang menyara dua anak yang masih belajar, Norsamsudiniah Mohamad, 23, dan Khairul Azrin, 14, dia harus bekerja keras mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Hendak bela anak bukan mudah tetapi hanya ini kepakaran yang saya miliki dan saya reda dengan ketentuan-Nya, yang penting rezeki halal.

“Bukan mahu menandingi tukang kasut lelaki tetapi pengalaman hampir 10 tahun bekerja sebagai pembantu tukang kasut, menaikkan lagi semangat saya untuk menjadikan kerjaya ini sebagai punca rezeki keluarga,” katanya.

Khatipah berkata, sokongan orang ramai terutama rakan dan pelanggan menjadikannya bersemangat untuk terus melakukan kerja sebagai tukang kasut.


Impi tinggal rumah selesa

“Ada sesetengah mereka yang lalu lalang di kawasan ini terkejut melihat saya yang menjadi tukang kasut kerana mereka jarang melihat pekerjaan ini dilakukan wanita,” katanya.

Dalam keterujaan mendengar cerita satu-satunya tukang kasut wanita di daerah itu, Khatipah meluahkan impiannya untuk memiliki tempat tinggal yang lebih selesa kerana kini dia terpaksa menyewa rumah di Kampung Duyung dengan harga RM250 sebulan.

“Saya mengimpikan sebuah rumah kerana dengan adanya tempat tinggal yang selesa, saya tidak perlu lagi menyewa, malah dapat menyimpan sedikit wang untuk anak selain bekalan pada hari tua,” katanya.
sh

Israel nasihat Presiden Iran belajar sejarah



NEW YORK - Presiden Israel, Shimon Peres menasihatkan rakan sejawatannya dari Iran, Mahmoud Ahmadinejad belajar sejarah sambil mendakwa mendakwa pemimpin itu kurang pengetahuan tentang perkembangan masa lalu.

Kenyataan tersebut dibuat berikutan tindakan pemimpin Iran itu yang dikatakan lantang berkata bahawa Israel telah menceroboh wilayah mereka sekurang-kurangnya tidak lebih 70 tahun, Isnin lalu.

"Mereka tidak mempunyai asas untuk berkata demikian," katanya ketika mengadakan lawatan ke New York, semalam.

Dalam lawatan itu, Peres, 89, turut melawat kumpulan kanak-kanak Palestin.

Tambahnya, Presiden Iran sepatutnya jauh lebih tahu dari dirinya.

"Itu merupakan satu ucapan yang memalukan kerana menunjukkan betapa ceteknya ilmu sejarah tentang orang Yahudi dan tanah Israel," kata beliau.

Katanya, Presiden Iran tidak tahu sejarah nenek moyang Parsi.

Jepun keluar amaran pada China



Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda
Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda
NEW YORK - Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda menegaskan Jepun tidak berkompromi dengan China berhubung isu pertikaian hak wilayah kepulauan Senakakus yang mencetuskan protes anti-Jepun.

Menurutnya, Jepun menggunakan cara tersendiri bagi memastikan isu itu tidak menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara terbabit.

“Ia sepatutnya diselesaikan secara aman mengikut undang-undang dan bukan menggunakan ketenteraan,” katanya selepas berucap pada Perhimpunan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam. -AP

Timur Tengah dominasi Persidangan Agong PBB



Mursi bertemu dengan Setiausaha Agong PBB, Ba Ki-moon.
Mursi bertemu dengan Setiausaha Agong PBB, Ba Ki-moon.
NEW YORK - Persidangan Agong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gamat selepas beberapa pemimpin negara Timur Tengah mencemuh tindakan rakus Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang ingin kekal sebagai kuasa kuat di peringkat antarabangsa.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmedinejad dikatakan membuat kejutan selepas mengeluarkan kenyataan sedia berdamai dan menuntut kesaksamaan dengan AS, sedangkan dalam kenyataannya kelmarin, beliau mendesak negara dunia supaya menyelar undang-undang antarabangsa yang didominasi AS.

“Serangan 11 September  ke atas AS dilihat sebagai tragedi buruk tetapi tindakan AS menghumban pelakunya ke laut adalah perkara tragis,” katanya yang merujuk kepada cara pengebumian pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden.

Beliau juga turut menggelar rejim Israel rejim sebagai 'palsu'.

Ketika ucapannya selama 30 minit, delegasi AS, Kanada dan Israel bangkit meninggalkan dewan perhimpunan itu.

Pada masa sama juga, beribu penunjuk perasaan berdemonstrasi di luar bangunan PBB, bagi membantah kepimpinan Ahmedinejad.

Pemimpin yang turut serta dalam protes itu adalah bekas setiausaha di bawah Presiden Bush,Tom Ridge; Bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani; Bekas Speaker Dewan, Newt Gingrich dan bekas Duta PBB, John Bolton serta Persatuan Iran-Amerika di New York dan New Jersey.

Sementara itu, Presiden Mesir, Mohammed Mursi tampil buat pertama kali memberi ucapan dengan menekankan bahawa perang saudara yang melanda Syria adalah tragedi dan mesti ditamatkan.
Beliau juga menyentuh isu yang melanda Asia Barat, termasuk menyelar tindakan Israel yang membina kediaman di wilayah Palestin.

Mursi menggesa anggota PBB bergabung bagi mengakhiri tragedi yang menimpa Syria dan membebaskan penderitaan rakyatnya yang dihimpit rejim diktator, Presiden Bashar Assad selama 40 tahun.

Beliau berkata, lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak 18 bulan konflik yang berlarutan di negara Arab itu.

Serentak itu, Mursi menggesa Assad meletakkan jawatan dan mahu pertumpahan darah di Syria serta krisis kemanusiaan mesti dihentikan segera. -AFP

Penerbit Innocence of Muslims dijel



Nakoula Basseley Nakoula
Seorang lelaki disyaki menghasilkan filem Innocense of Muslims dibawa keluar dari rumahnya oleh pihak berkuasa AS. – Foto ihsan
LOS ANGELES - Nakoula Basseley Nakoula, penerbit  Innocence of Muslims, filem yang mencetuskan protes di kalangan umat Islam di seluruh dunia, diarah ditahan di penjara kerana melanggar terma-terma pemantauan hukuman yang dijatuhkan sebelum ini.
"Mahkamah kurang percaya dengan defendan pada masa sekarang," kata Hakim Suzanne H Segal, semalam.
Segal juga berkata, Nakoula membawa "kemudaratan kepada komuniti."
Nakoula, disoal siasat oleh pihak berkuasa persekutuan awal minggu lalu, ditahan awal semalam, lapor Los Angeles Times.
Pendakwa raya persekutuan berhujah petang semalam bahawa penerbit filem itu mengundang bahaya dan seharusnya diletakkan dalam tahanan.
Bagaimanapun peguamnya, Steve Seiden berhujah Nakoula sewajarnya dibebaskan atas bon.
Malah peguamnya berkata, anak guamnya berhadapan dengan bahaya di penjara persekutuan di Los Angeles kerana ia menempatkan ramai tahanan beragama Islam.
Peguam itu menafikan Nakoula melanggar apa-apa terma pemantauan.
Nakoula pernah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan menipu bank. Dia ditahan pada 2009.
Di bawah tempoh pemantauan, Nakoula tidak dibenar menggunakan atau memiliki perkakasan yang membolehkannya akses kepada Internet tanpa kelulusan pihak pemantau.
Menurut laporan CNN, pendengaran awal dimulakan dengan Segal bertanya kepada defendan apa nama sebenarnya.
Dia menjawab: "Mark Basseley Yousseff."
Kemudian hakim sekali lagi bertanya nama defendan.
"Mark Basseley," katanya kali ini.
Menurut peguam bela, anak guamnya, yang pernah menggunakan 17 nama sebelum ini, biasanya dikenali Nakoula.
Pendakwa raya berkata Nakoula berupaya untuk membuat pembayaran ketika filem berkenaan dihasilkan.
Oleh itu katanya, Nakoula boleh meninggalkan kawasan dia tinggal sementara kesnya dijalankan.
Pendakwa raya mengesyorkan hukuman penjara 24 bulan. 

Kronologi insiden protes filem Innocence of Muslims
 
1 – 2 Julai 2012
Seorang pengguna YouTube yang menggunakan nama ‘Sam Bacile’ memuat naik treler filem yang mengandungi klip filem menghina Nabi Muhammad SAW.

4 September 2012
Treler filem terbabit telah dialih bahasa ke bahasa Arab dan dimuat naik semula ke YouTube.

5 September 2012
Mor¬ris Sadek, seorang yang berbangsa Mesir-Kristian yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) mempromosikan video berkenaan menerusi Twitter dan blognya bersempena  Hari Penghakiman Muhammad Antarabangsa, yang dihoskan oleh seorang paderi Florida, Terry Jones dan dijadualkan sempena 11 September.

8 September 2012
Ahli agama Mesir dari saluran TV Al-Nas menyiarkan video itu dan mengutuknya.

9-10 September 2012
Sadek terus menerus mempromosikan video itu di Twitter. Pakar berkata, ekstremis Libya merancang untuk mengadakan protes sempena 11 September yang tidak ada kaitan dengan video berkenaan.

11 September 2012
Empat warga AS termasuk seorang duta terbunuh apabila anggota militan menyerang dan membakar Konsulat AS di Benghazi, Libya. Di Mesir, penunjuk perasaan memanjat dinding Kedutaan AS di Kaherah dan menurunkan bendera Amerika.

14 September 2012
Menurut laporan agensi berita rasmi Lubnan, seorang terbunuh di Tripoli manakala ramai yang lain cedera semasa protes terhadap filem itu. Mereka yang tercedera termasuk anggota pasukan keselamatan Lubnan.

17 September 2012
Pemimpin Hezbollah, Sheikh Hassan Nasrallah, muncul di perhimpunan besar-besaran di Lubnan mengecam AS dan memberi amaran sesiapa yang tidak menghormati Islam, akan menempah maut sebagai balasan.

18 September 2012
Pendakwa raya Mesir merujuk tujuh Kristian Mesir yang tinggal di AS dan Florida – termasuk paderi, Terry Jones ke mahkamah atas tuduhan menyinggung penganut Islam melalui penerbitan filem anti-Islam yang telah mencetuskan bantahan di seluruh dunia.

19 September 2012
Sekumpulan peguam Pakistan berarak melalui pintu gerbang dengan membawa sepanduk di Islamabad yang menempatkan Kedutaan AS dan kedutaan asing lain. Seorang peguam kemudiannya bertindak membakar bendera AS dan menyebabkan kesesakan lalu lintas, tetapi pihak polis berjaya menyekat penunjuk perasaan dari berarak di perkarangan kedutaan. Sehubungan itu, Kerajaan Pakistan mengumumkan Jumaat lalu sebagai cuti kebangsaan bagi rakyatnya mengadakan protes terhadap rakyat Amerika yang anti-Islam.

21 September 2012
Protes dan perhimpunan besar-besaran di banyak negara termasuk di Malaysia.

25 September 2012
Seorang aktres filem ini memfailkan semula kes di mahkamah persekutuan; kes terhadap penerbit filem dan juga Google dan YouTube.

Marissa Haque mahu jadi wakil rakyat PAN


       
JAKARTA: Aktres dan bekas ahli politik dari Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Marissa Haque mahu mendaftar dengan Parti Amanat Nasional (PAN) dalam usahanya untuk mendapat peluang kembali ke Dewan Perwakilan.

“Kad keahlian PAN sedang diproses,” katanya ketika menghadiri Ekspo Batik di Universiti Gadjah Mada, semalam.
Marissa mengaku hatinya masih bersama PDI-P tetapi membuat keputusan menyertai PAN untuk dekat dengan keluarga kerana suaminya, Ikang Fauzi juga menyertai parti itu.

Katanya, banyak parti politik termasuk Parti Golkar dan Parti Demokrasi mahu mengalu-alukannya ke dalam parti mereka, dia membuat keputusan untuk menyertai PAN.


Marissa berkata, Indonesia diperintah oleh parti politik dan “(jika) kita mahu membuat perubahan, kita perlu menyertai parti politik.” - JP

Wajib ke tadika, sekolah agama


       
BANDAR SERI BEGAWAN: Setiap kanak-kanak Islam, berusia antara tujuh dan 15 tahun dan tinggal di Brunei Darussalam, diwajibkan dihantar ke sekolah tadika dan sekolah rendah agama.

Ia sebahagian daripada Peraturan wajib Pendidikan Islam 2012 yang ditekankan oleh Sultan Brunei dalam ucapannya pada sambutan Hari Guru, baru-baru ini. Peraturan itu akan dilaksanakan bermula 1 Januari, tahun depan.
Ia turut menekankan kewajipan pendidikan agama untuk kanak-kanak yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2006, dan sekurang-kurangnya seorang dari ibu atau bapa adalah rakyat atau penduduk tetap negara ini.

Perkara ini didedahkan semalam oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Pengiran Haji Abdul Rahman.

Perintah itu turut membawa maksud semua kanak-kanak perlu memenuhi syarat untuk masuk ke tadika atau sekolah rendah agama. Pendidikan agama bermaksud, menurut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.


Peraturan itu juga menggariskan tanggungjawab wajib ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka di sekolah agama pada 1 Januari untuk penggal sekolah dan memastikan kanak-kanak itu boleh terus bersekolah sepanjang tempoh pendidikan agama itu.

Ibu bapa yang gagal berbuat demikian dianggap melakukan kesalahan dan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi BND$5,000 (RM12,514) atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kanak-kanak perlu menghadiri sekolah agama untuk tujuh atau lapan tahun.

Mohamad berkata, kementerian bersedia melaksanakan perintah itu dan memerlukan kerjasama dan komitmen penuh daripada semua pihak untuk program itu berjaya.

Katanya, ia juga selaras dengan falsafah negara iaitu Kesultanan Melayu Islam. - Brunei Times

Iran kecam ugutan Barat


       
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad semalam menuduh Barat dan Israel mengugut menyerangnya dengan senjata nuklear.

Beliau berkata demikian selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk menyekat apa yang beliau dakwa sebagai rancangan Iran untuk memperoleh senjata atom.
“Perlumbaan senjata dan ugutan dengan senjata nuklear serta senjata pemusnah besar oleh kuasa penjajah semakin menjadi-jadi,” katanya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ancaman berterusan daripada Zionis yang tidak bertamadun untuk menggunakan tindakan tentera terhadap negara kami adalah contoh jelas,” katanya, merujuk kepada Israel.


Barat percaya program nuklear Iran bertujuan untuk menghasilkan senjata nuklear yang akan menjejaskan keseimbangan kuasa di Asia Barat.


Iran menegaskan ia berhak untuk melakukan penyelidikan nuklear untuk tujuan keamanan dan tidak mengendahkan sekatan ekonomi antarabangsa serta ancaman Israel untuk melancarkan serangan ke atasnya.

Selasa lalu, Obama mengulangi pendirian Amerika Syarikat bahawa ia akan melakukan apa saja untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear, sekali gus meningkatkan kemungkinan perang akan meletus. - AFP

Tiada beza kematian Gaddafi, duta AS: Mugabe


       
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe semalam berkata, kematian pemimpin Libya, Muammar Gaddafi juga adalah tragedi, sama dengan kematian Duta Amerika Syarikat (AS) ke Tripoli, Christopher Stevens.

Dalam ucapannya yang menyelar tindakan Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Nato, pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pemimpin berusia 88 tahun itu menuduh AS menceroboh Iraq pada 2003 kerana mahu menguasai minyak negara itu.


Mugabe juga berkata, Majlis Keselamatan PBB membenarkan dirinya ‘dicabuli’ tahun lalu apabila ‘meluluskan semua langkah perlu’ kod diplomatik bagi campurangan tentera untuk melindungi orang awam Libya dalam operasi Nato yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Gaddafi.

Mengulas mengenai ucapan Obama mengenai kematian Stevens di Benghazi, Libya pada 11 September lalu, Mugabe berkata: “Saya pasti kita semua bersedih dan bersetuju ia kematian yang tragik dan kita mengutuknya. Ketika kita bersama-sama Amerika Syarikat mengecamnya, adakah Washington menyertai kita dalam mengutuk pembunuhan Gaddafi. Kematiannya satu kehilangan besar kepada Afrika,” katanya. Pemimpin Zimbabwe itu menuduh serangan udara Amerika Syarikat dan Nato, yang membantu pejuang Libya menggulingkan tentera Gaddafi sebagai bertindak dengan alasan palsu. “Misi itu ialah untuk melindungi orang awam, tetapi sebenarnya, ia bertujuan memburu Gaddafi dan keluarganya,” kata Mugabe. - Reuters

Islam sebahagian Jerman: Angela


       
BERLIN: Canselor Angela Merkel semalam berkata, Islam sudah menjadi sebahagian daripada Jerman dan menggesa rakyat negara itu bersikap tolak ansur terhadap penganut agama terbabit.

Bercakap kepada anggota Parti Kristian Demokrat yang diketuainya, Angela berkata, sebahagian besar masyarakat Islam di Jerman menjauhkan diri daripada keganasan ketika tunjuk perasaan membantah filem yang menghina Nabi Muhammad (SAW) baru-baru ini.
Beliau menggesa rakyat Jerman bersikap terbuka dan berkata ‘ya, Islam adalah sebahagian daripada kita.’

Menurutnya, penganut Kristian perlu memikirkan dan bercakap lebih banyak mengenai agama mereka daripada bimbang terhadap Islam.


Kira-kira empat juta umat Islam tinggal di negara itu.


Pada 2010, bekas Presiden Jerman, Christian Wulff mengejutkan rakyat negara itu apabila berkata “Islam kini menjadi milik Jerman.” - AFP

‘Tiada jodoh, mahu selesai cepat’



Aida ketika hadir memfailkan permohonan untuk bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – “Tiada jodoh.” Demikian alasan penerbit dan pelakon, A. Aida merujuk kepada perkahwinannya dengan seorang pegawai polis di Jabatan Logistik Bukit Aman yang kini bagai retak menunggu belah.
Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam untuk menuntut cerai secara baik daripada suaminya, Deputi Superintendan (DSP) Suffian Sulaiman, 44, yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat di Jabatan Logistik Bukit Aman.
Penerbit drama kontroversi Halimah Jongang itu selaku plaintif hadir diwakili peguam syarie, Zulkifli Che Yong dan memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.
Menurut Aida, perkahwinan yang dibina selama lima tahun itu sudah tiada persefahaman dan mereka juga sudah tiada jodoh.
Bekas isteri kepada vokalis kumpulan Spring, Ameng itu dilihat cuba mengelak apabila ditanya punca perceraian tersebut.
“Saya sudah berbincang dengan keluarga dan anak-anak, keputusan ini (bercerai) telah direstui dan saya juga memberitahu hal yang sama kepada suami.
“Sekarang ini saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama slot Samarinda dan telemovie, perkara ini terlalu mengganggu dan saya mahu selesai cepat-cepat,” katanya tanpa mahu mengulas sama ada masih tinggal serumah atau sebaliknya dengan suami.

1,000 jemaah haji wanita Nigeria terkandas di Jeddah



SEKUMPULAN jemaah haji wanita meninggalkan balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mallam Aminu Kano sebaik sahaja mereka tiba dari Jeddah pada Rabu. Mereka tidak dibenarkan memasuki Mekah kerana tidak ditemani oleh mahram.


ABUJA - Kerajaan Arab Saudi telah menolak kemasukan lebih 1,000 jemaah haji wanita dari negara ini kerana tidak ditemani oleh lelaki atau mahram masing-masing, kata beberapa pegawai Nigeria kelmarin.
Semua wanita itu mulai tiba di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, Arab Saudi Ahad lalu jelas satu laporan yang dikumpul oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria yang mengawal selia jemaah haji Nigeria ke Mekah.
"Apabila ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Haji Kebangsaan, mereka diberitahu bahawa jemaah haji itu ditahan kerana tiada mahram," kata laporan yang diserahkan kepada wakil jawatankuasa hal ehwal luar Nigeria.
Kira-kira 171 jemaah haji wanita itu pulang ke Nigeria menerusi satu penerbangan kelmarin.
"Mereka tidak diusir, sebaliknya dihantar pulang oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan kerana malu dengan pihak berkuasa Arab Saudi," kata jurucakap suruhanjaya, Umar Bala kepada agensi beritaAFP.
Satu perbincangan dua hala sedang dijalankan di antara para pegawai kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu itu, tambah beliau.
Katanya, seramai 1,000 jemaah haji wanita masih terkandas di lapangan terbang sama. - AFP

Hakim arah penerbit "Innocence of Muslims" ditahan tanpa ikat jamin



LOS ANGELES: Hakim Amerika Syarikat hari ini memerintahkan penerbit filem yang didakwa mencetuskan bantahan di kalangan negara Islam ditahan tanpa diikat jamin hari ini berikutan timbul kebimbangan dia mungkin melarikan diri.

Pengarah dan penerbit filem ‘Innocence of Muslims’, Nakoula Basseley Nakoula hadir di mahkamah selepas ditahan apabila melanggar syarat tempoh pengawasan kerana kesalahan penipuan bank pada 2010. Pendakwa Raya Robert Dugdale berkata, lelaki berusia 55 tahun itu didakwa melakukan lapan pecah amanah termasuk membuat kenyataan palsu kepada pegawai parol dan menggunakan sekurang-kurangnya tiga nama berbeza.
Hakim Suzanne Segal memutuskan supaya Nakoula yang bersembunyi sejak bantahan terhadap filemnya ditahan tanpa dibenarkan sebarang ikat jamin. - AFP

Saudi tahan 908 jemaah




Jeddah: Arab Saudi menahan 908 wanita Nigeria yang mahu mengerjakan haji sebaik tiba di lapangan terbang dan mahu menghantar mereka pulang kerana tidak diiringi suami atau saudara lelaki mengikut peraturan di Makkah.

Ini adalah kali pertama jemaah kemungkinan dihantar pulang berikutan isu pengiring lelaki, kata Suruhanjaya Haji Nigeria. Satu perjanjian di antara Arab Saudi dan Nigeria sebelum ini mengecualikan jemaah wanita membawa saudara lelaki untuk mengiringi mereka yang memerlukan biaya tambahan AS$4,000 (RM12,000) seorang. Hingga kini, pegawai jemaah negeri dibenar untuk menggantikan saudara lelaki atau suami jemaah wanita. - AP

Bekas Ketua Wanita PKR menang saman fitnah



Georgetown: Bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Aminah Abdullah (gambar) berjaya menuntut ganti rugi dalam saman fitnah ke atas tiga individu berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan akhbar Harakah edisi 20-22 Mei 2011.

Berikutan itu, Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Norhayati Jaafar sebagai defendan pertama; Timbalan Ketua PKR Cabang Jelutong, Jab Samad (defendan kedua) dan Setiausaha PKR Cabang Jelutong, Anuar Kamaruddin (defendan ketiga), membayar RM30,000 setiap seorang kepada Aminah sebagai ganti rugi am. Aminah pula diarah membayar RM15,000 sebagai bayaran kos kepada Wartawan Harakah, Mohd Sabri Said yang dinamakan defendan keempat; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman (defendan kelima) dan PAS. Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang itu diwakili peguam, Saiful Ambar Abdullah Ambar, manakala semua defendan diwakili VS Raveentharan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk GV Varughese dalam keputusannya, bagaimanapun mendapati defendan keempat mempunyai perlindungan bersyarat, kes terhadap defendan kelima pula gagal diwujudkan, manakala PAS adalah sebuah parti politik dan tindakan ke atas parti berkenaan disifatkan cacat.

Fail saman fitnah RM6 juta

Pada 15 Jun tahun lalu, Aminah memfailkan saman fitnah RM6 juta terhadap lima individu dan PAS selepas mendakwa laporan akhbar itu antara lain memberi maksud plaintif jahil agama dan tiada pengetahuan dalam syariat Islam, menerima umpan kebendaan daripada UMNO dan dituduh menggesa Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bercerai dengan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam tuntutannya, Aminah mendakwa sekitar 20 atau 21 Mei tahun lalu, defendan pertama, kedua dan ketiga bersama-sama melalui sidang media di Galeri Pejuang, Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam, dengan niat jahat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, kecaman berbentuk peribadi serta tuduhan tidak berasas bertujuan mengaib, menjatuhkan maruah, nama baik dan reputasinya.

Defendan keempat kemudian didakwa dengan niat jahat melaporkan kenyataan berkenaan dalam artikel bertajuk ‘Kenyataan Aminah Bertentangan Syariat’ yang disiarkan dalam Harakah ruangan Fokus di muka surat N18, Koridor Pakatan Rakyat Edisi 20-22 Mei 2011.

Defendan kelima selaku Ketua Pengarang Harakah membenarkan defendan keempat melaporkan kenyataan itu dan PAS selaku defendan keenam dan pemilik akhbar berkenaan, menyiarkan keseluruhan kenyataan terbabit.

Aktres filem hina nabi saman YouTube, Google

Foto
Penunjuk perasaan Muslim Thai melakukan solat
 Zuhur di luar kompleks beli-belah yang menempatkan
pejabat Google Thailand di Bangkok ketika
membantah filem menghina nabi semalam. - Foto AP


Foto
Cindy Lee Garcia yang menyaman YouTube
dan Google. - Foto AFP

Desak hakim perintah 'Innocence of Muslims' dibuang dari internet

Los Angeles: Aktres yang mendakwa ditipu untuk muncul dalam filem menghina Islam yang mencetuskan bantahan umat Islam di seluruh dunia mengemukakan saman di mahkamah persekutuan kelmarin dalam usaha baru mengeluarkannya daripada laman YouTube. Garcia fail saman
Garcia menuduh pengarah filem itu menipu, melakukan fitnah dan tidak jujur”
Saman yang difailkan Cindy Lee Garcia menamakan YouTube dan syarikat induknya, Google Inc, sebagai defendan, selain penganut Kristian Koptik Mesir-Amerika Syarikat dari California dipercayai mendalangi pembikinan filem itu.

Saman Garcia mengenal pasti Nakoula Basseley Nakoula, 55, dari Los Angeles yang pernah dipenjarakan kerana kes penipuan bank, sebagai penerbit filem itu.

Mahkamah tolak saman

Minggu lalu, mahkamah Los Angeles menolak permohonan Garcia untuk mengeluarkan perintah sementara menyuruh YouTube berhenti menyiarkan video 13 minit itu.
Seperti dalam saman terdahulu, Garcia menuduh pengarah filem itu menipu, melakukan fitnah dan menjalankan perniagaan tidak jujur.

Saman itu turut mendesak diberi hak cipta lakonannya dalam video berkenaan.
Kes Garcia adalah saman awam pertama berpunca daripada video itu yang dikatakan sebagai promosi filem.

Klip berkenaan mencetuskan bantahan anti-Amerika di Mesir, Libya dan beberapa negara Islam lain sejak dua minggu lalu.

Ia menyebabkan misi diplomatik Amerika diserang di Benghazi yang membunuh empat warga Amerika termasuk duta negara itu ke Libya. - Reuters