Monday, November 1, 2010

Letusan merapi hari ini sembur banyak awan panas bergulung-gulung



YOGYAKARTA - Merapi meletus lagi hari ini menyemburkan awan panas abu volkanik yang kelihatan bergulung-gulung di atas puncak gunung berapi di sempadan provisi Yogyakarta dan Jawa Tengah, menyebabkan orang ramai ketakutan dan panik.

Pakar-pakar gunung berapi Indonesia bagaimanapun berkata kejadian pada pukul 10.30 pagi itu tidak sekuat letusan pada hari pertama 26 Oktober lepas yang mengakibatkan 38 orang terbunuh.

Lebih 500 pelajar Malaysia di Yogyakarta, Magelang dan Solo dilaporkan selamat dan mereka diarah oleh Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia supaya mengurangkan aktiviti luar serta menggunakan topeng muka apabila keluar dari bangunan.

Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) berkata, Merapi meletus secara eksplosif hingga setinggi 1,500 meter dan awan panasnya kemudian meluncur hingga radius 4km ke arah selatan di Kali Gendol, Cangkringan, di daerah Sleman. 

Awan panas itu bagaimanapun tidak sampai ke kawasan penempatan penduduk seperti letusan pertama pada 26 Oktober yang memusnahkan kampung Kinahrejo, Cangkringan di bahagian barat daya Merapi, iaitu perkampungan Jurukunci Merapi Mbah Maridjan, yang terbunuh bersama 14 orang lain.

Tebaran awan panas pada Selasa lalu menjangkau kawasan seluas lebih 7km.

"Kekuatan gempa kali ini tidak sekuat ketika letusan pada 26 Oktober lepas," kata kata Kurniadi, petugas yang mengawasi Merapi di BPPTK Yogyakarta.

Siaran langsung televisyen pula menunjukkan visual penduduk di sekitar lereng Merapi lari lintang pukang ke arah pusat pemindahan Merapi dengan menaiki kenderaan sendiri.

Lazimnya pada waktu tengah hari penduduk akan pergi ke kawasan bencana meninggalkan pusat pemindahan, untuk melakukan aktiviti harian seperti mencari rumput untuk ternakan lembu masing-masing di kawasan terletak berhampiran puncak gunung.

"Angin berhembus dari barat ke timur, sehingga abu volkanik mengarah ke timur Merapi seperti Kota Boyolali hingga Solo dan sekitarnya," kata Kurniadi.

Awan panas panjang kelihatan terus berhamburan hingga pukul 12 tengah hari dan masih belum berhenti, namun jarak luncurannya hanya sekitar ratusan meter.-BERNAMA

Azmin dahului saingan timbalan presiden PKR





2010/11/01

KUALA LUMPUR: Persaingan merebut jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti setakat semalam menyaksikan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali mendahului dua calon lain dengan memperolehi 3,015 undi. 

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, pula mendapat 2,529 undi manakala Pengerusi PKR Perak yang juga Naib Presiden parti, Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,149 undi.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini adalah keputusan hari ketiga pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi tempoh 2010-2013 yang bermula Jumaat lalu di empat cabang di Kelantan dan lima di Kedah.
Sabtu lalu, sebanyak 32 cabang iaitu di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah mengadakan pemilihan manakala semalam, pemilihan dijalankan di 27 cabang di Pulau Pinang, Pahang, Perak. Negeri Sembilan dan Melaka. 

Saifuddin berkata, bagi jawatan Naib Presiden, pengarah strategi parti, Tian Chua, kini mendahului dengan 3,621 undi, diikuti Nurul Izzah Anwar dengan 3,543 undi. 

Pengarah pilihan raya pusat PKR, Fuziah Salleh memperoleh 2,895 undi dan pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, mendapat 2,852 undi. 

Jawatan naib presiden yang mempunyai empat kerusi, menyaksikan 17 calon bertanding termasuk Ansari Abdullah, calon PKR pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, yang kini memperoleh 646 undi. 
Saifuddin berkata, seramai 132 calon menawarkan diri bagi mengisi 20 tempat dalam jawatankuasa MPP dengan anggota MPP Dr Badrul Amin Baharon mendahului pencabar lain dengan 3,087 undi. 

Ini diikuti ketua penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong Keat Ping (2,582), pengarah pemantapan politik keanggotaan PKR, Datuk Johari Abdul (2,572) dan anggota MPP Hee Loy Sian (2,174). 

Persaingan jawatan ketua Wanita PKR pula menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain. Beliau mendapat 1,160 undi manakala anggota MPP Animah Ferrar memperoleh 408 undi dan timbalan pengerusi 2 PKR Perlis, Dr Suraya Sudin, memperoleh 403 undi. 

Saifuddin berkata, jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan anggota MPP Badrul Hisham Shaharin. 

Badrul Hisham mendahului saingan hari ketiga dengan memperoleh 1,133 undi manakala Shamsul Iskandar memperoleh 1,029 undi. 

Mesyuarat pemilihan membabitkan 218 cabang PKR yang bermula 29 Oktober lepas dan berakhir 21 November ini, akan diikuti dengan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 26 November di Stadium Melawati, Shah Alam. 

Mengenai pemilihan itu, Saifuddin berkata sebanyak 150 cabang lagi belum mengadakan mesyuarat pemilihan. - BERNAMA

Lagi rasuah politik kerana nak pilihan raya


Enam kampung di Batu Sapi nikmati kemudahan 'kampung tanpa wayar'


SANDAKAN: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui agensinya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memasang enam kemudahan "Kampung Tanpa Wayar" (Kampung Wifi) di kawasan Batu Sapi.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, kemudahan berkenaan merupakan sebahagian daripada 500 kemudahan seumpamanya yang akan dipasang di seluruh Sabah.

Kampung yang memperoleh kemudahan itu di Batu Sapi ialah Kampung Air, Kampung Karamunting Lama, Kampung Karamunting Baru, sebahagian Kampung Bokara, Kampung Lupak Meluas dan Flet MPS.

Melalui kemudahan itu, penduduk kampung dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi termasuk penggunaan internet.

"Inilah sumbangan ikhlas daripada kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kemudahan "Kampung Tanpa Wayar" di Flet MPS di ini hari ini.

Rais juga berkesempatan menguji kemudahan "Kampung Tanpa Wayar" berkenaan dengan mengadakan persidangan video beberapa minit dengan penduduk Kampung Bokara dari tapak pelancaran.

Menurut Rais mana-mana kawasan yang mempunyai kemudahan talian telefon awam boleh dibekalkan dengan kemudahan berkenaan dan penduduk kawasan terbabit akan dapat mengakses perkhidmatan telekomunikasi seperti rakan-rakan mereka di bandar.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan membina 212 lagi pemancar komunikasi di seluruh Sabah untuk membolehkan siaran televisyen dan radio dapat diterima lebih ramai penduduk di negeri itu, khususnya kawasan pedalaman.
Katanya, pembinaan pemancar bernilai RM380 juta berkenaan akan dimulakan pada tahun hadapan dan sekiranya perancangan berjalan lancar, ia boleh disiapkan dalam tempoh setahun.

Pada majlis yang sama, Rais turut memberi tauliah kepada lapan wakil Pos Komuniti yang akan diletakkan di kawasan-kawasan strategik di Batu Sapi serta menyerahkan 15 unit komputer riba kepada 15 penerima termasuk pelajar.-Bernama

Mangsa kemalangan di Setiu dikebumi dalam satu liang lahad

BESUT: Empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan antara sebuah kereta dengan sebuah van di Setiu semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Padang Bual, Pasir Akar hari ini.
Mereka yang berasal dari Kampung Bukit China, Pasir Akar ialah Noorazyelwy Sidek, 32, adiknya Noorazry Elmy, 29, Noorafzan Efizalman, 16, dan anak perempuan Noorazry Elmy, Nor Amysha Maisarah, 1, Ibu kepada ketiga-tiga mangsa Zabedah Teh, 49, dan isteri Noorazry Elmy, Che Marina Awang, 23, turut hadir di tanah perkuburan itu.

Hujan lebat yang turun, tiba-tiba berhenti ketika pengkebumian hendak dijalankan.

Sebelum itu kereta jenazah yang membawa keempat-empat mangsa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah Zabedah, terpaksa mengharung air banjir apabila jalan utama ke tempatan pengkebumian di Gertak Jerbong dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Beberapa kampung di Besut kini dilandar banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam.

Turut terbunuh dalam kemalangan 1.30 petang itu di Km 67.5 Permasuri-Penarik berdekatan Kampung Nyatoh ialah penumpang van berkenaan, Mek Wook Yaakob, 76, yang meninggal di Hospital Setiu.

Kereta yang dinaiki keluarga itu sedang dalam perjalanan pulang dari Panarik, manakala van berkenaan yang sarat dengan 13 orang penumpang dipercayai sedang menuju ke arah Dungun.

Kereta itu dipandu Noorazydyelwy, kakitangan Universiti Malaysia Terengganu, manakala van itu dipandu Wan Mohd Mustaffa Zulkarnain, 45, penghantar barangan runcit di Jerteh.
Isterinya, Wan Samariah Wan Nawang, 47, cedera parah.

Menurut polis, kereta itu dikatakan terbabas ke kanan jalan akibat jalan yang licin ekoran hujan lebat lalu bertembung dengan van berkenaan yang datang dari arah bertentangan.-Bernama

Polis rampas dadah 2.85kg, tahan empat lelaki Iran

SHAH ALAM: Polis menahan empat lelaki Iran dan merampas 2.85kg dadah disyaki syabu di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi Sabtu lalu.
Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, keempat-empat mereka ditahan sebaik tiba di KLIA dengan pesawat dari Bahrain, selepas dadah itu ditemui diisi dalam rongga-rongga kosong kerangka beg pakaian tiga daripada mereka.

"Apabila beg-beg mereka diimbas, dadah-dadah itu tidak kelihatan, tetapi polis menemui dadah itu hasil pemeriksaan secara manual kemudiannya," katanya pada satu persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata, dadah itu ditemui di dalam beg yang dibawa oleh tiga lelaki Iran masing-masing berumur 27, 26 dan 43 tahun, dan siasatan mendapati ini merupakan kali pertama ketiga-tiga mereka menjejakkan kaki di Malaysia.

"Seorang lagi lelaki Iran yang ditahan berumur 26 tahun, biarpun tiada dadah ditemui di dalam begnya, kami menahannya kerana dia dipercayai dalam kumpulan dengan tiga lelaki berkenaan," tambahnya.

Menurutnya, lelaki itu didapati memasuki Malaysia lima kali sejak September 2009.

Sementara itu, Nordin berkata, semalam polis Selangor menahan seorang lelaki warga India berusia 36 tahun yang didapati cuba membawa masuk dadah dipercayai syabu seberat 2.6kg, yang disembunyikan dalam empat bingkai gambar.

Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit yang berasal dari Chennai, India itu, ditahan pada kira-kira jam 1.30 tengah hari dan dia didapati sudah 12 kali memasuki Malaysia sejak Januari lalu.
Nordin berkata, nilai dadah yang dirampas selama dua hari itu menjangkau RM1.3 juta dengan berat keseluruhan 5.45 kg.

Kesemua yang kini ditahan reman sehingga 7 November ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.-Bernama

HARI INI RPK BEBAS DARI ISA ! ESOK BOLEH KE PRK GALAS?


http://pascawanganbukitsentosa2.blogspot.com


PUTRAJAYA 1 NOV : Pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Raja Kamarudin kini bebas selepas Mahkamah Persekutuan pagi ini menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri berhubung pembebasan beliau daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri ISA yang diputuskan ekoran permohonan habeas corpus dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah dimaklumkan bahawa perintah tahanan ISA selama dua tahun sudah pun tamat.

Kementerian Dalam Negeri merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 November 2008 membebaskan Raja Petra yang ditahan selama dua tahun di bawah ISA.

Awal September lalu,Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu tiga panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra.

Oleh itu ,Arifin yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra.

Apabila ditanya oleh Hashim tentang peluang untuk menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra Tun Majid menjawab "Alamat Raja Petra masih tidak diketahui " .

Ketika itu peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra memberitahu mahkamah rayuan itu bersifat akademik kerana perintah menteri untuk menahan anak guamnya selama dua tahun telah pun tamat.

"Perkara itu bersifat akademik tetapi tiada apa yang boleh menghalang menteri untuk mengeluarkan perintah baru selepas dua tahun " katanya.

Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 September 2010 Pada 7 November 2008 Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping Perak adalah tidak sah.

Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September 2008 .

2 penumpang kudung kaki






NORAINI ABAS, ibu kepada Nor Faiz memberi minuman kepada anaknya yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur semalam.


Foto Menarik
DATIN Seri Rosmah Mansor (kanan) bersama Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (dua dari kanan) melawat mangsa kemalangan bas dilebuhraya Karak 29 Oktober lalu, Mohd Adip Ramli, 20 (kiri) dan ibunya Zainab Abdullah (dua dari kanan) di Hospital Kuala Lumpur. Foto: Nurul Shafina Jemenon (01/11/10)
KUALA LUMPUR - "Saya sungguh sedih mengenangkan nasib diri yang kini cacat kerana sudah tidak mempunyai kedua-dua belah kaki.''
Demikian kesedihan yang menyelubungi diri Mohd. Adib Ramli, 20, salah seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran di Kilometer 36, Jalan Genting Sempah pada Khamis lalu.
Mengimbas tragedi itu, Mohd. Adib berkata, dia hanya menyedari kedua-dua belah kakinya tiada setelah tersedar daripada pengsan ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, sebaik sedar dia melihat keadaan sekeliling dan tahu bahawa dia berada di hospital dengan separuh badannya ditutupi selimut.
"Saya kemudian terasa sakit pada kedua-dua belah kaki dan ketika itu terlintas di fikiran bahawa kesakitan yang dialami pada kaki agak pelik.
"Apabila saya buka selimut saya dapati kedua-dua belah kaki saya dari paras lutut ke bawah sudah tiada sebelum saya menangis kerana tidak dapat terima apa yang telah berlaku," katanya dalam nada sedih.
Mohd. Adib memberitahu, dia tidak dapat membayangkan bagaimana dia akan menempuh kehidupan dalam keadaan cacat selepas ini.

Mana laporan kes dera SMK Bunut Susu?



DR. WEE KA SIONG


KUALA LUMPUR – Apa sudah jadi dengan laporan kes dera Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu di Pasir Mas, Kelantan?
Walaupun kejadian kes dera membabitkan dua pelajar sekolah tersebut iaitu Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya, Muhammad Fairuz, 14, berlaku pada 12 Oktober lalu tetapi sehingga semalam, laporan mengenai kes itu masih belum diterima.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya hairan kenapa laporan kes penderaan di SMK Bunut Susu itu lewat diterima oleh pihaknya.
Sehubungan itu, Ka Siong mahu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Mas menghantar laporan mengenai kejadian itu seberapa segera kerana ia melibatkan reputasi kementerian dan keselamatan pelajar.
“Saya harap laporan ini dapat dihantar secepat mungkin untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan melampau seorang guru yang didakwa menggunakan seterika panas bagi mengejutkan pelajar-pelajar asrama di SMK Bunut Susu di Pasir Mas supaya menunaikan solat Subuh pada 12 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, dua adik-beradik berkenaan dikatakan melecur masing-masing pada tapak kaki dan lengan kiri selepas guru terbabit yang juga warden asrama sekolah itu menggunakan seterika untuk mengejutkan mereka.

PTJ beri notis 30 hari untuk pindah




KOTA BHARU - Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) Kota Bharu sudah mengambil tindakan memberikan notis peringatan kepada pemilik di lima rumah yang didakwa menceroboh tanah perkuburan dan membuang sampah di Kampung Gertak Sagu, Kemumin, Pengkalan Chepa, di sini. 

Ketua Jajahannya, Tengku Azmi Tengku Tengku Jaafar, berkata, selepas menerima aduan daripada beberapa pihak termasuk orang awam, mesyuarat khas aduan awam diadakan Rabu minggu lalu, pihaknya bersetuju menyerahkan Notis Menceroboh kepada pemilik rumah terbabit. 

“Notis Menceroboh ini disiasat di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan pemilik kelima-lima rumah ini diberi masa sebulan (30 hari) bermula Rabu minggu lalu. 

“Kesemua mereka sudah disiasat dan mereka didapati tidak mempunyai geran tanah di Tanah Perkuburan Islam Nescayan, Kampung Gertak Sagu, Kemumin, Pengkalan Chepa dan sebagai pentadbir tanah, kami berasa dukacita di atas perkara yang berlaku ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini. 

Tengku Azmi berkata, Biro Pengaduan Awam PTJ pernah menerima aduan daripada pihak awam sebelum ini dan menghargai langkah prihatin orang ramai dalam menangani masalah tersebut. 

“Sekiranya ada di kalangan pemilik rumah ini yang masih mengingkari Notis Menceroboh ini dalam tempoh yang ditetapkan (sebulan) iaitu gagal berpindah atau enggan berpindah, PTJ akan mengadakan penyelarasan dengan pihak lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PRDM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI),” katanya. 

Beliau berkata, jika arahan yang dikeluarkan tidak diendahkan, pihaknya akan mencari tarikh sesuai untuk merobohkan kelima-lima rumah tersebut dan berharap kesemua mereka akur dengan notis yang dikeluarkan.

Ibu muda empat anak termasuk seorang lembam tinggal dalam stor getah



Tengku Fatihah Tengku Ibrahim di stor simpanan getah yang didiaminya bersama empat anak di Batu 4, Jalan Gerik-Kelantan, Gerik, semalam.


GERIK 31 Okt. - Seorang ibu muda dengan empat anak termasuk seorang lembam terpaksa berteduh di sebuah stor simpanan getah milik seorang tauke akibat kesempitan hidup selepas ditinggalkan suami tahun lalu.
Tengku Fatihah Tengku Ibrahim, 30, yang berasal dari Besut, Terengganu, hidup dalam keadaan daif di stor berkenaan yang terletak di Batu 4, Jalan Gerik-Kelantan di sini.
Menurut wanita itu, dia bergantung hidup dengan hasil pendapatan mengambil upah menoreh getah untuk menanggung tiga anak yang bersekolah dan seorang yang masih kecil.
"Memang hasilnya tidak mencukupi untuk menampung keperluan kami berlima lebih-lebih lagi perbelanjaan sekolah anak, tetapi apa yang mampu saya lakukan lagi," katanya ketika ditemuiUtusan Malaysia di sini hari ini.
Ibu muda itu menyewa stor simpanan getah itu berikutan pondok tempat mereka berteduh sebelum ini musnah ditimpa pokok akibat hujan lebat.
"Saya sewa stor ini RM50 sebulan atas ihsan tauke agar anak-anak dapat berteduh daripada hujan dan panas," ujarnya.
Tengku Fatihah berkata, anak sulungnya, Nik Mastura Radini Jefri, 13, kini belajar di Sekolah Menengah Batu 4 manakala anak keduanya, Nik Suhana, 12, yang mempunyai masalah tahap pemikiran (IQ) rendah, bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas di sini.
Anak ketiganya, Nik Norhayati, 9, pula belajar di Sekolah Kebangsaan Batu 4.
Wanita itu hidup dalam keadaan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' malah kadang-kadang tiada duit untuk membeli makanan dan terpaksa melihat anak-anaknya makan nasi berlaukkan garam.
Menurutnya, empat anaknya itu adalah hasil dua perkahwinannya sebelum ini.
"Perkahwinan pertama saya mempunyai tiga anak dan yang kedua, seorang anak yang masih kecil. Saya terpaksa memilih jalan untuk berpisah dengan kedua-dua suami kerana mereka tidak bertanggungjawab," katanya perlahan.
Jelas Tengku Fatihah, suami pertamanya seorang nelayan, malangnya dia juga seorang penagih dadah dan keputusan bercerai diambil setelah suaminya itu dipenjarakan.
"Setelah berpisah dengan suami pertama, saya berkahwin lain agar diri saya dan nasib anak-anak terbela. Malangnya, suami kedua saya pula seorang kaki judi," katanya.
Akibat tekanan hidup yang dihadapi, dia membawa diri ke kawasan ini.
"Saya tiada tempat mengadu dan tidak sampai hati mahu menyusahkan keluarga di Besut kerana mereka juga orang susah," katanya.
Tambah Tengku Fatihah, apa yang diharapkan sekarang adalah bantuan daripada pihak berkenaan untuk membantunya menampung perbelanjaan sekolah anak-anak agar nasib mereka berubah.
Mereka yang ingin membantu Tengku Fatihah boleh menghubunginya di talian 013-4540634 atau berkunjung ke stor yang disewanya.

17 sedang berpesta di bawah pengaruh dadah ditahan di sebuah bilik hotel di PD

PORT DICKSON: Polis menahan sembilan wanita dan lapan lelaki yang sedang leka berpesta di sebuah bilik hotel di sini awal pagi ini selepas ujian mendapati semua mereka positif menggunakan dadah.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, semua mereka yang berumur dari belasan tahun hingga sekitar 30-an itu ditahan pada kira-kira 3.15 pagi selepas polis menerima aduan daripada penghuni hotel yang lain mengenai bunyi bising di bilik itu.

"Siasatan awal polis mendapati kumpulan lelaki dan wanita itu masuk ke hotel berkenaan semalam dan kebanyakan mereka berasal dari luar Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, semua yang ditahan itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana kesalahan mengambil dadah.-Bernama

Ibu pilu hilang tiga anak, cucu serentak


KEADAAN kereta Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van yang meragut 5 nyawa termasuk 4 beranak, 10 cedera, 2 parah di KM67.7 Jalan Permaisuri di Kampung Nyatoh, Setiu, 1.30 tengah hari tadi. Foto: Nojie Nadzirah. (31/10/10)
KEADAAN kereta Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van yang meragut 5 nyawa termasuk 4 beranak, 10 cedera, 2 parah di KM67.7 Jalan Permaisuri di Kampung Nyatoh, Setiu, 1.30 tengah hari tadi. Foto: Nojie Nadzirah. (31/10/10)





2010/10/31

SETIU: Suasana pilu menyelubungi pekarangan bilik
mayat Hospital Setiu, di sini apabila keluarga lima mangsa kemalangan ngeri
yang turut melibatkan empat sekeluarga berkumpul untuk menuntut jenazah.
Ibu kepada tiga beradik yang maut di tempat kejadian, Zabedah Teh, 49 tidak dapat menahan rasa pilu kehilangan tiga anak dan cucu perempuan kesayangannya serentak. "Rasa teramat-amat sedih, suami baru meninggal 10 bulan lalu, ni anak-anak dengan cucu pulak. Empat sekali pergi. Kalau tak ada kesabaran tak tahulah
macam mana. Makcik reda, ini dah ditakdirkan," katanya ketika ditemui
pemberita.

Tiga anak lelakinya, Noorazdy Yelwy Sidek,32, adiknya, Noorazry Elmy, 29, Noor Afzan Efizalman, 16, dan cucu, Nor Amisya Maisarah, anak Noorazry Elmy
yang berumur setahun maut dalam kemalangan di Kilometer 67.5 Jalan Penarik,
Permaisuri kira-kira 1.30 tengah hari tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Noorazdy Yelwy
terbabas dan bertembung dengan van dari arah bertentangan ketika hujan lebat.

Keempat-empat mereka yang berasal dari Kampung Bukit Cina, Pasir Akar di sini dalam perjalanan pulang setelah membeli ikan di pusat jualan hasil laut di tepi Pantai Penarik, di sini.

Turut terbunuh penumpang van, Mek Wook Yacub, 76.

Dua lagi penumpang van parah manakala 10 yang lain cedera dan kini dirawat di Hospital Setiu. Kesemua penumpang van yang belum dikenalpasti identiti mereka, dipercayai dalam perjalanan ke Dungun untuk melawat keluarga mereka yang sakit.

Sementara itu, menantu Zabedah, Che Marina Awang, 23 tahun, isteri kepada Noorazry Elmy sedikit terkilan kerana tidak sempat bercakap dengan suaminya sebelum mereka keluar dari rumah.

"Selepas hidangkan mereka nasi goreng, saya pergi basuh kain, tak sempat
jumpa dia dan anak masa mereka keluar tadi," katanya. - BERNAMA