Showing posts with label buaya. Show all posts
Showing posts with label buaya. Show all posts

Monday, October 1, 2012

Parti berenang bersama buaya



Tampa Bay: Seorang lelaki Florida menawarkan hiburan unik untuk parti kanak-kanak: berenang bersama buaya.

Dengan bayaran 100 (RM494), Bob Barrett akan membayar seekor anak buaya ke kolam belakang rumah untuk dilepaskan dan berenang bersama anak pelanggan dan kawannya. Bentuk hiburan ini mendapat sambutan hangat. Semua orang suka bermain dengan anak buaya sambil berparti, katanya kepada Tampa Bay Times.
Barrett mengusahakan ladang ternakan haiwan itu yang turut dibuka untuk orang ramai iaitu Alligator Attraction.

Dia mendapat idea hiburan unik itu ketika memikirkan bagaimana mendapat pendapatan lebih baik ketika bisnes lembab pada musim panas.

Jika kamu berusia sembilan, 10 atau 11 tahun, anda sudah mendapat macam-macam hiburan ketika menyambut hari jadi termasuk makan piza atau bergelak ketawa dengan badut.

Anda perlu adakan parti tepi kolam bersama anak buaya. Ia parti paling popular sekarang, katanya lagi.
Barrett menutup mulut anak buaya itu dengan perekat sebelum membawanya ke parti dan menegaskan ia selamat.

Pegawai Suruhanjaya Perlindungan Hidupan Liar dan Ikan Florida mengesahkan Barrett tidak melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Agensi

Wednesday, September 7, 2011

Buaya tembaga gergasi ditangkap


PENDUDUK kampung mengerumuni buaya tembaga jantan sepanjang 6.4 meter yang ditangkap di bandar Bunawan, Pulau Mindanao, Filipina.
PENDUDUK kampung mengerumuni buaya tembaga jantan sepanjang 6.4 meter yang ditangkap di bandar Bunawan, Pulau Mindanao, Filipina.

MANILA: Seekor buaya tembaga berukuran 6.4 meter panjang, dipercayai yang paling besar ditemui, ditangkap di bahagian selatan Filipina setelah beberapa kejadian serangan buaya berlaku.
Seorang pemburu, Rollie Sumiller berkata, reptilia jantan seberat 1,075 kilogram itu dipercayai membaham seorang petani yang hilang Julai lalu di bandar Bunawan dan juga menyerang dan membaham kepala kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dua tahun lalu.
Pemburu itu menyiasat isi perut haiwan itu dengan memaksanya muntah selepas ia ditangkap Sabtu lalu, tetapi, tiada cebisan tubuh manusia ataupun kerbau yang dilaporkan hilang oleh penduduk di situ ditemui.

“Penduduk merasa lega, tapi kami tak pasti ia telah memakan manusia kerana mereka pernah melihat beberapa ekor buaya lain di kawasan itu,” kata Sumiller.


Kerajaan tempatan di bandar miskin yang menempatkan 30,000 orang penduduk itu, membuat keputusan untuk tidak membunuh buaya tetapi akan membuka sebuah taman semula jadi untuk mempamerkan buaya itu kepada orang ramai.

Ketua Bahagian Hidupan Liar, Kementerian Alam Sekitar Filipina, Josefina de Leon berkata, mungkin buaya itu adalah yang terbesar pernah ditangkap di dunia.

“Berdasarkan rekod yang ada, buaya yang terbesar ditangkap sebelum ini ialah sepanjang 5.48 meter,” katanya. - AFP

Sunday, August 7, 2011

Konflik Penduduk Sarawak Dan Buaya Berterusan



SARIKEI: Sementara buaya di Sungai Seblak mungkin terlepas daripada langkah penakaian yang dibatalkan pada saat-saat akhir, kira-kira 1,000 penduduk Kampung Empelam di Kabong, kira-kira 60 kilometer dari sini masih bimbang akan keselamatan mereka.
Sejak 2007 penduduk kampung ini dilanda ketakutan ekoran serangan maut ke atas dua penduduk kampung dan bilangan buaya yang terus meningkat di sungai berkenaan.
Malahan sejak itu penduduk kampung berasa rimas dan cuba mengelakkan sebarang aktiviti di sungai itu yang mengalir di belakang rumah mereka dan ini menjejaskan kehidupan harian serta pendapatan mereka.
"Sungai ini dipenuhi buaya termasuk ada yang boleh sampai saiz 20-kaki," kata ketua kampung Johan Jok, 64 tahun.
Apabila ditemui di kediamannya, Johan, bekas kakitangan awam, berkata Jun terutamanya adalah bulan berbahaya kerana buaya betina mula bertindak agresif kerana ia musim bertelur.
"Oleh itu Jun setiap tahun, saya akan menasihatkan berulang kali kepada penduduk kampung supaya elakkan menangkap ikan di Sungai," kata beliau.
HIDUP TERLALU DEKAT DENGAN MANUSIA
Mangsa pertama reptilia di kampung ini ialah Khamis Achong yang diserang pada Ogos 2007 dan yang kedua ialah Mankay Goheh yang menjadi mangsa pada Mei lepas.
Beliau berkata mayat Khamis ditemui di Sungai Nyiar, kira-kira 13 kilometer dari kampung ini sementara mayat Mankay belum ditemui sehingga kini.
Walaupun jarang sekali manusia dibaham buaya, ketika air pasang pada sebelah petang reptilia ini seringkali menyambar ayam dan itik milik penduduk yang berada di bawah rumah, jelas Johan.
"Saya takut untuk memikirkan apa yang akan berlaku jika seekor buaya besar turut terlanggar tiang kaki rumah dalam proses itu," katanya.
Johan berkata, mata pencarian 28 orang penduduk kampung yang rezeki mereka bergantung dari sungai itu terjejas kerana ancaman buaya.
"Sungai Seblak terkenal kerana udang galahnya mampu mencapai harga RM40 sekilogram. Jika rezeki murah, mereka boleh menangkap sehingga 50 kg," katanya dan menambah bahawa kerana ancaman buaya ini kebanyakan mereka tidak berani turun ke sungai.
Johan berkata beliau mendapat tahu tinjauan yang dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menganggarkan terdapat sekurang-kurangya 306 ekor buaya di sungai itu dari Roban hingga Sessang.
"Kami tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Kami tidak boleh menembaknya kerana ia adalah spesies yang dilindungi. Lagipun, kami tidak berminat membunuhnya kerana ada antara kami yang percaya reptilia ini bersifat pendendam.
"Saya meragui yang penduduk tempatan sedia membunuhnya. Lagipun untuk membunuh buaya yang besar, anda memerlukan senjata yang berkuasa selain daripada senapang patah biasa," katanya.
Pilihan lain ialah mendapatkan khidmat pakar atau "bomoh" untuk mengusir reptilia ini tetapi sekarang ini pilihan ini sukar dipertimbangkan kerana bayaran yang mereka kenakan boleh mencapai sehingga RM5,000 atau lebih.
OPERASI PENAKAIAN TIDAK MENJADI
Operasi penakaian selama seminggu, yang pertama seumpamanya di kawasan itu, sebenarnya dicadangkan pada minggu ketiga Julai membabitkan tentera, polis, RELA, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pejabat daerah kecil Roban dan penduduk tempatan.
Bagaimanapun operasi ini dibatalkan pada saat-saat akhir kerana kekurangan sumber dan kesukaran dalam mengenalpasti buaya-buaya ganas.
Ketua Daerah Polis Saratok Deputi Supritendan (DSP) Lee Phai Lien berkata rancangan awal adalah untuk memburu sehingga 60 ekor buaya, yang panjangnya tidak kurang daripada 2.5 meter dan berpotensi mengancam manusia.
Sementara itu, pengurus besar SFC Wilfred Landong berkata perbadanan itu sedang mempertimbangkan aktiviti pemburuan komersil untuk mendapatkan kulit dan daging buaya dalam usaha mengawal bilangannya.
Beliau berkata Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang melindungi reptilia ini harus dipinda bagi membolehkan pemburuan komersil dari masa ke masa.
Beliau berkata pada 1961, Sarawak mengeksport 7,245 kg kulit bernilai RM148,000, sementara pada 1970 ia mengeksport 692 kg bernilai RM13,000.
"Berdasarkan tinjauan kami yang dilakukan sejak 1995, populasi buaya tembaga (crocodylus porosus) di beberapa sungai telah meningkat dengan ketara.
"Kejadian serangan ke atas manusia juga meningkat selaras dengan bilangannya," kata beliau.
Wilfred menunjukkan bahawa reptilia ini lazim ditemui di 22 lembangan sungai di negeri ini dan SFC sedang memantau lima sungai utama khasnya Batang Sadong, Batang Lupar, Sungai Sarawak (Kiri dan Kanan), Batang Saribas dan Batang Samarahan.
Beliau berkata sungai-sungai ini paling banyak menyaksikan konflik buaya-manusia dengan 42 kematian manusia dilaporkan dari 1980 hingga 2009.
"Batang Lupar paling banyak menyaksikan insiden serangan buaya dengan 16 kematian disusuli Sungai Sarawak dengan lima kematian dan empat di Sungai Saribas," katanya. -BERNAMAmstar

Tuesday, April 26, 2011

Terkejut temui buaya dalam rumah


FLORIDA: Seorang wanita, Alexis Dunbar terkejut apabila mendapati ada tetamu tidak diundang ketika pulang ke kediamannya di Manatee, Florida, semalam. Tetamu tidak diundang itu adalah buaya berukuran dua meter yang ditemui di bilik tidur tetamu di kediamannya.
Alexis menceritakan insiden yang menggerunkan itu kepada wartawan Bay News 9, Robert Hahn.

“Saya lihat ke sebelah kanan dan mendapati seekor buaya berada dalam bilik tetamu,” ujarnya.

Alexis segera keluar dari rumah tetapi kemudian teringat kepada kucing peliharaan kesayangannya.

“Kucing saya seperti anak saya. Saya bimbang kucing saya sudah dimakan buaya itu kerana terdapat darah merata-rata,” tambahnya.

Namun, ternyata darah itu daripada tubuh buaya berkenaan sama ada ia cedera di luar atau ketika cuba memasuki rumah itu melalui pintu kecil untuk kucingnya. Kedua-dua kucingnya kemudian keluar dari tempat persembunyian mereka.


Petugas Jabatan Haiwan kemudian menangkap buaya itu yang dipercayai datang dari kolam di belakang kediaman Alexis. - Agensi

Sunday, December 19, 2010

Mayat nelayan dibaham buaya ditemui di tebing Sungai Samarahan





2010/12/19

KUCHING: Mayat seorang nelayan berusia 66 tahun yang dibaham buaya, telah ditemui hari ini dalam keadaan bercerai-cerai hari ini di tebing Sungai Samarahan, tempat haiwan itu dilihat semalam. 

Bahagian perut dan tangan kiri Sidi Samat ditemui pasukan mencari yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Perbadanan Perhutanan Sarawak dan RELA pada jam 8.45 pagi.
Anak mangsa, Musa berkata ibunya menjadi bimbang selepas warga emas itu tidak pulang-pulang selepas keluar menjala udang awal pagi semalam, kira-kira 25 meter dari rumah mereka.
Sekitar 11 pagi itu, seorang penduduk kampung dilaporkan ternampak kelibat seekor buaya berukuran 18 kaki berhampiran kawasan itu. 

Mayat Sidi kemudian dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Reban. - BERNAMA

Imam masjid mati dibaham buaya





Seorang penduduk (kanan) melaungkan azan di kawasan imam Sidi Samad dibaham buaya semasa usaha mencari mayat mangsa di Sungai Batang Samarahan, di Kampung Reban, Serian, Sarawak, semalam. - mingguan malaysia/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN


SAMARAHAN 18 Dis. - ''Itu kaki bapa saya, minta tolong pulangkan," luah Musa Sidi, 40, selepas melihat rahang seekor buaya berukuran panjang kira-kira 5 meter dan lebar 1.5 meter membawa kaki bapanya dalam satu kejadian yang berlaku di Sungai Batang Samarahan di Kampung Reban dekat Serian pagi ini.
Mangsa, Sidi Samad, 66, yang juga imam ketiga Masjid Darul Ihsan kampung berkenaan maut dibaham buaya kira-kira pukul 6.30 pagi ketika sedang menjala udang galah secara bersendirian di sungai berkenaan yang dikenali sebagai habitat reptilia berkenaan.
Musa anak kedua daripada enam beradik itu berkata, dia menerima panggilan daripada salah seorang adiknya mengenai kehilangan bapanya yang tidak pulang-pulang ke rumah pada pukul 10.30 pagi.
Katanya yang baru selesai mengambil bas sekolah yang dipandunya dari bengkel kemudiannya terus bergegas pulang ke rumah dan terus menuju ke lokasi kejadian yang terletak betul-betul di hadapan rumah.
Katanya lagi, pada ketika itu dia bersama dua lagi penduduk melihat seekor buaya sebesar perahu berada kira-kira 30 meter dari tebing sedang timbul dan bergerak mengikuti arus sungai dengan di rahangnya terdapat sesuatu benda yang disahkan kaki bapanya.
''Kali kedua buaya itu timbul di tengah sungai, saya dapati, kedua-dua kaki bapa saya ada di dalam mulut buaya berkenaan.
''Lantas saya memanggil buaya berkenaan dengan harapan haiwan itu akan menyerahkan bapa saya namun buaya itu ia terus hilang dengan mengibas-ngibas ekornya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, penduduk kampung berusaha memburu buaya berkenaan dengan menggunakan perahu. Mereka turut melaungkan azan dan membaca surah Yasin sebagai usaha membantu mengesan Sidi.
Setakat pukul 4 petang ini, usaha mencari imam berkenaan masih diteruskan. Sungai Batang Samarahan juga pernah meragut nyawa kanak-kanak akibat dibaham buaya 10 tahun lalu.
Dalam pada itu, isteri kepada Sidi, Dayang Salhah Awang Sahrul, 64, memberitahu, suaminya sempat bersarapan pagi dengan hanya meminum kopi bersama tiga yang lain kira-kira pukul 6.30 pagi sebelum keluar rumah.
Ujarnya yang telah 45 tahun berkahwin, suaminya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian itu berlaku malah mereka sempat menghadiri majlis kenduri arwah jirannya malam tadi.
''Menyedari suami saya tidak pulang lagi ke rumah, saya bertekad untuk mencarinya bersama anak yang lain namun diberitahu bahawa kakinya ditemui berada di mulut buaya berkenaan," katanya yang redha dengan pemergian suaminya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Supritendan Jamali Umi ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Thursday, August 5, 2010

Buaya muara Sungai Linggi kebal




BERITA penemuan bangkai buaya besar tidak mengejutkan orang ramai yang terus mengunjungi Pantai Teluk Kemang, Port Dickson semalam.


SEREMBAN – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan tidak akan menangkap buaya-buaya di muara Sungai Linggi walaupun kehadiran reptilia itu boleh mengancam pengunjung pantai Port Dickson yang hanya berada dua kilometer dari situ.
Pengarahnya, Ishak Muhamad berkata, standard operasi jabatan itu ialah mereka hanya boleh menangkap buaya itu jika ia terlepas dari kawasan habitatnya di sungai tersebut dan masuk ke perairan Port Dickson.
“Kita tidak boleh tangkap buaya secara sembarangan di kawasan habitatnya sebab ada Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 yang melindungi buaya tembaga,’’ jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Ancaman buaya



Oleh Suzianah Jiffar
suzianah@bharian.com.my
2010/08/05


PEKERJA ladang sering menjala  ikan di Sungai Kinabatangan walaupun mengetahui serangan budaya tembaga boleh berlaku secara tiba-tiba.
PEKERJA ladang sering menjala ikan di Sungai Kinabatangan walaupun mengetahui serangan budaya tembaga boleh berlaku secara tiba-tiba.

38 serangan babitkan 23 maut di tiga sungai


KOTA KINABALU: Walaupun kurang mendapat perhatian, konflik antara buaya dan manusia dilaporkan sudah lama berlaku di Sabah dan sepanjang 10 tahun lalu, Jabatan Hidupan Liar Sabah merekodkan 38 kes serangan reptilia itu dengan kebanyakannya berlaku di beberapa sungai di pantai timur negeri ini.
Antara lokasi utama ialah Sungai Paitan, Sungai Kinabatangan, Sungai Silabukan dan Sungai Kalumpang.
Daripada 38 serangan dilaporkan, 23 kes menyebabkan kematian mangsa, manakala selebihnya mendatangkan kecederaan.

Sebagai usaha mengenal pasti puncanya, bengkel antarabangsa selama tiga hari mengenai konflik antara buaya dengan manusia diadakan di Sabah, baru-baru ini bagi menghasilkan resolusi yang boleh diguna pakai, selain melindungi spesies buaya tembaga di negeri ini.

Antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada perkara itu ialah pencemaran dan pembangunan yang mungkin menyebabkan gangguan terhadap sumber makanan serta habitat asal buaya, lantas menjadikan manusia sebagai pilihan terakhir.

Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pembukaan ladang secara besar-besaran menyebabkan hidupan liar di hutan seperti monyet terpaksa berpindah atau mati, seperti ikan di sungai terjejas dilanda pencemaran kesan pembangunan. 
"Apabila itu berlaku, buaya tidak mempunyai sumber makanan dan hidupan yang ada di tebing sungai atau ladang adalah manusia. Malah, kita mendapati kawasan ladang paling kerap berlaku serangan kerana buaya tidak mempunyai sumber makanan," katanya.

Sehubungan itu, strategi jangka panjang diperlukan bagi melindungi buaya supaya manusia tidak menjadi sasaran.

Tuuga berkata, faktor seperti pembersihan tanah di tebing sungai, penggunaan bahan kimia di ladang dan pembuangan sisa organik adalah antara punca kekurangan sumber makanan buaya, menyebabkan apa saja yang ada di tebing sungai menjadi habuan.

"Penduduk di luar bandar Sabah masih menggunakan sungai sebagai sumber utama mendapatkan air untuk mencuci, memasak, mandi dan menangkap ikan. Justeru, mereka berpotensi diserang buaya," katanya.

Populasi buaya tembaga di Sabah dianggar dalam 12,000 hingga 15,000 ekor ketika ini.

Reptilia itu dilindungi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Rekod Jabatan Hidupan Liar Sabah mendapati, kira-kira 200 buaya diburu setiap bulan di pantai timur negeri seabad lalu dengan kerajaan British memberi ganjaran sehingga 1932.

Kerancakan aktiviti memburu buaya berleluasa hingga kerajaan negeri mewujudkan perlindungan melalui undang-undang pada 1982 kerana bimbang hidupan itu diancam kepupusan.

Tuuga berkata, penduduk kampung yang masih menggunakan sungai sebagai sumber utama air perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa serangan buaya.

"Sebagai langkah pencegahan, kita mencadangkan kerajaan menyediakan bantuan air paip kepada penduduk kampung yang belum mendapat bekalan itu," katanya.

Pengerusi Kesatuan Antara Pemulihan Alam Semulajadi (IUCN) SSC Crocodile Specialist Group, Profesor Grahame Webb, mengakui cabaran besar dalam usaha memulihara buaya air masin yang saiznya boleh mencapai enam meter dan berat mencecah satu tan.

"Apabila populasi buaya berkurangan, langkah perlindungan perlu dilakukan tetapi ia mesti diimbangi dengan persediaan berdepan kemungkinan jika bilangannya meningkat," katanya.

Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Abdul Hamid Ahmad berkata pencemaran sungai yang berpunca dari pembangunan atau pembukaan tanah tidak terancang memberi kesan negatif kepada sungai termasuk populasi buaya.

"Justeru, kita perlu melakukan kajian berterusan dalam usaha pemuliharaan buaya, selain memantau aspek pencemaran sungai di seluruh negeri," katanya.