Showing posts with label palsu. Show all posts
Showing posts with label palsu. Show all posts

Monday, October 29, 2012

13 tahun tak sah nikah



         
KOTA KINABALU: Seorang wanita mualaf kini hidup dalam kebingungan selepas mengetahui perkahwinannya sejak 13 tahun lalu tidak sah apabila ‘suaminya’ menggunakan sijil palsu selain tidak pernah melakukan akad nikah seperti pasangan lain.

Menyulitkan lagi keadaan, wanita itu yang mahu dikenali sebagai Nursinah, 30, kini ada lima cahaya mata berusia empat hingga 12 tahun hasil ‘perkahwinannya’ itu, bimbang mengenai status taraf anaknya yang samar.


“Sepanjang berkahwin, suami tidak pernah menunjukkan sijil nikah kami dan hanya terbongkar sebaik saya terjumpa satu sijil yang disembunyikan suami dalam kereta.

“Saya membawa sijil itu ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk semakan dan terkejut apabila dimaklumkan ia sijil palsu,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.


Nursinah berkata, dia yang tidak tahu cara pernikahan Islam ketika itu hanya menurut kata lelaki terbabit yang memaklumkan mereka sudah bernikah ketika ke pejabat agama pada 1999.


“Saya pelik kerana suami hanya keluar dari pejabat agama sambil membawa sijil nikah dan memaklumkan kami sudah sah bergelar suami isteri.

“Walaupun pelik kerana tiada akad nikah dilakukan, saya terlalu naif ketika itu dan mengiyakan saja kata-kata suami,” katanya.


Ketika menceritakan perkara itu, Nursinah berkata, dia berkenalan dengan suaminya tanpa dirancang sebelum lelaki itu mengajaknya berkahwin selepas seminggu berkenalan.

“Ketika itu, saya sudah berkahwin selama lima tahun atas dasar pilihan keluarga tetapi perkahwinan kami tidak bahagia dan akhirnya berpisah begitu saja.


“Tanpa perasaan curiga, saya menerima lamaran suami untuk mendirikan rumah tangga sebelum kami bersama-sama ke pejabat agama untuk memeluk Islam dan bernikah,” katanya.


Nursinah berkata, mereka ke Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), untuk mendaftar sebagai mualaf sebelum bernikah. “Ketika di wisma itu, suami mengarahkan saya menunggu di kedai makan dan sebaik kembali kira-kira sejam kemudian, dia mengatakan saya sudah memeluk Islam dan bernikah dengannya.


“Saya hanya mendiamkan diri kerana tidak tahu mengenai Islam dan selepas itu, kami menjalani kehidupan seperti pasangan suami isteri lain,” katanya.


Nursinah berkata, sepanjang mendirikan rumah tangga suaminya tidak pernah mengajarnya berkenaan Islam. “Malah, setiap kali bertanyakan mengenai sijil nikah, dia naik berang, malah saya terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.


Menurut Nursinah, segala-galanya terbongkar apabila suaminya ditahan pihak berkuasa kerana didapati menyeleweng wang syarikat.


Katanya, susulan kejadian itu, dia nekad meninggalkan suaminya dan tidak mahu terus bergelumang dosa.


“Saya berharap ada pihak sudi membantu terutama jabatan agama kerana saya tidak boleh memfailkan kes ini di mahkamah syariah berikutan tiada sebarang rekod pernikahan kami.


“Saya mahu memulakan kehidupan baru dan bertaubat selain melupakan semua yang berlaku,” katanya.

Tuesday, October 2, 2012

Reuters bersalah siar laporan palsu


       
TEHERAN: Barisan juri mendapati agensi berita Reuters bersalah melakukan jenayah “propaganda terhadap regim” Iran kerana melaporkan penuntut wanita seni bela diri ninja sebagai pembunuh upahan, lapor media negara itu semalam.

Reuters juga bersalah “menerbitkan maklumat palsu dalam usaha mengganggu pendapat awam” dalam laporan disiarkan pada Februari lalu.


Kini terserah kepada hakim untuk menetapkan hukuman atas kesalahan itu - dijangka beberapa minggu lagi. - AFP

Wednesday, September 26, 2012

Hantar surat palsu kepada Dr. M



KERATAN Kosmo! 30 Julai 2010.


KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang didakwa menipu kerajaan Malaysia semalam bersetuju bahawa surat yang dihantarnya kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mengandungi isi kandungan yang palsu.
Liong Sik, 68, berkata, surat bertarikh 29 Jun 2002 yang disediakan oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd. Noor itu mengandungi kadar faedah dan ia berdasarkan keputusan mesyuarat yang diadakan sebelum itu.
Beliau turut mengakui hanya menandatangani surat tersebut tanpa mengetahui kandungannya kerana mempercayai pegawai terbabit.
Liong Sik turut menyatakan dia dimaklumkan mengenai laporan projek itu setiap hari oleh pegawainya ketika sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.
Liong Sik bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau telah menipu Dr. Mahathir dalam surat bertajukCadangan Pengambilan Balik Tanah di Pulau Indah itu.
Surat itu menyatakan tentang rundingan dengan Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) berdasarkan kaedah sedia membeli dan sedia menjual yang menetapkan kadar pembelian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi (skp) dan kadar faedah 7.5 peratus setahun.
Ia juga menyatakan bahawa nilaian tersebut telah dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
Turut dilampirkan bersama surat tersebut ialah harga keseluruhan tanah seluas 999.5 ekar berjumlah RM1.088 bilion.
Liong Sik sedang dibicara atas dakwaan menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1.088 bilion sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1.088 bilion.
Liong Sik didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung hari ini. - Bernama

Monday, February 20, 2012

Ambil tindakan terhadap gejala penggunaan hadis palsu di Internet


KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kerajaan digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap penggunaan hadis palsu yang dilihat semakin menular dalam kalangan pengguna siber.
Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, tindakan itu wajar disegerakan memandangkan gejala tersebut boleh menyebabkan kesucian Islam dicemari perkara-perkara dogmatik, tidak masuk akal dan tidak benar.
Katanya, lambakan hadis palsu yang mudah diakses menerusi laman Facebook, blog dan YouTube dikhuatiri menggambarkan imej Islam sebagai sebuah agama yang rumit dan tidak konsisten dalam prinsip-prinsip amalannya.
"Banyak 'hadis' yang tersebar di internet, antaranya adalah bahawa jika seseorang itu menunaikan solat tarawih pada malam pertama akan dijanjikan syurga. Apakah dengan hanya sekadar satu solat sunat ini semata-mata akan ke syurga?
"Kalau kita ingin menggalakkan seseorang itu beragama sekalipun, galakkan mereka mengikut agama yang diajar Nabi Muhammad SAW iaitu agama yang mudah, serta membentuk nilai kejiwaan yang tinggi.
"Ia bukan hanya dibawa dengan nama semata-mata, namun perlu disusuli dengan isinya. Kalau kita hendak menggalakkan orang berdasarkan ganjaran semata-mata, kita akan melahirkan umat berfikiran subsidi yang tidak ikhlas dalam amalannya.
"Kita mahu seseorang umat itu membuat sesuatu yang mereka tahu akan tindakan tersebut. Setiap langkah mereka difahami dan menjurus kepada kebaikan, di samping menguatkan jati diri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel program Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.
Sementara itu, Juanda turut menyeru para ulama, cendekiawan Islam dan penulis blog supaya bersatu menjadi sebuah kumpulan pendesak yang memperjuangkan kesucian agama dan keadilan sosial di negara ini.
Bagaimanapun kata beliau. desakan tersebut harus mempunyai fakta-fakta tepat dan bernas yang membantu proses pembangunan masyarakat serta penambahbaikan dasar kerajaan.
"Pihak yang bawa agenda yang benar namun tidak tersusun dari sudut gerakan, idea dan fakta akan kalah. Sebaliknya, pihak yang membawa perkara tidak betul, sekiranya mereka tersusun mereka boleh mempengaruhi ramai orang," ujarnya.

Wednesday, February 15, 2012

60 pengundi dengan alamat palsu dikesan di Lobak


Sekurang-kurangnya 60 pengundi dengan alamat yang diragui dikenal pasti disenaraikan dalam daftar pemilih tambahan pilihan raya bagi kerusi DUN Lobak di Negeri Sembilan.

Penyandang kerusi itu, Anthony Loke, yang juga ahli parlimen Rasah, berkata 60 pengundi berkenaan didaftarkan sebagai penduduk Taman Sri Amber, Seremban, tetapi nombor rumah yang diberikan tidak wujud.

NONE"Rumah-rumah di Taman Sri Amber bermula dengan nombor 400. Tetapi di sini, kami mempunyai pengundi yangmendaftarkan nombor rumah misalnya 24, 32, 48, 101, 131, 180, 201, 222 dan 301, yang tidak wujud," kata Loke.

NONEMerujuk kepada daftar pemilih tambahan bagi suku keempat tahun 2011, beliau berkata kejadian seumpama itu juga berlaku di rumah pangsa di Taman Sri Amber.

Katanya, rumah pangsa itu hanya mempunyai satu blok, tetapi dalam daftar pemilih tambahan terdapat beberapa pengundi yang didaftarkan dengan alamat "Blok B" dan "Blok C", yang tidak wujud.

Satu lagi keanehan dalam daftar pemilih itu, kata Loke adalah bahawa 90 peratus daripada 670 pengundi baru yang didaftarkan pada suku terakhir itu terdiri dari bangsa tertentu sahaja.

Loke, yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini, mendedahkan penemuan itu kepada Malaysiakini selepas membuat aduan dengan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Seremban.
                          
NONE"Saya percaya pengundi denagn latar belakang yang mencurigakan telah didaftarkan, Ini adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana memberikan maklumat palsu dalam borang pendaftaran pengundi, "kata Loke, yang juga seorang peguam.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Loke merancang untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu hari ini.

Thursday, September 15, 2011

Pemuda PAS dakwa kesan lebih 10,000 IC palsu


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 Sept: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendakwa mengenal pasti terdapat lebih 10,000 kes kad pengenalan (IC) palsu.
Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, buktinya, pertama yang paling jelas adalah melalui kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang disiarkan The Star pada 24 Julai lalu.
Katanya, Wan Ahmad mengakui bahawa terdapat kad pengenalan klon dalam daftar pemilih SPR.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menambah, bukti kedua adalah melalui data yang telah dikeluarkan SPR daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).
“SPR telah mengeluarkan dua jenis data yang telah dibongkar oleh Dewan Pemuda PAS iaitu, pertamanya isu dua nama yang sama memiliki nombor kad pengenalan yang hampir sama, dan keduanya isu satu kad pengenalan lama dimiliki dua individu,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, tengah hari ini.
Katanya, antara perkara yang menjadi persoalan pihaknya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ialah SPR mengenal pasti kad pengenalan palsu berdasarkan kepada maklumat JPN.
Menurutnya, apabila SPR telah membuat pengesahan maklumat daripada JPN, maka langkah seterusnya adalah mengeluarkan maklumat pemilih palsu tersebut daripada DPI.
"Persoalannya, bagaimanakah dalam masa singkat, dua bulan sahaja JPN begitu mudah mengenal pasti data palsu dalam pangkalan datanya?
"Bagaimana JPN bolah mengesahkan salah satu data tersebut tidak sah?" soalnya.
Katanya lagi, bukan mudah untuk sesuatu jabatan kerajaan menjejaki lebih 10,000 kes kad pengenalan palsu dalam waktu dua bulan.
"Persoalannya, apakah JPN sememangnya sudah memilik senarai kad pengenalan palsu yang akan dimasukkan dalam daftar pemilih SPR untuk tujuan manipulasi pilihan raya?
"Apakah JPN terlibat dalam penyelewengan kad pengenalan palsu," tanya beliau lagi.
Kalau Pemuda PAS yang tidak boleh masuk ke dalam bilik kebal JPN pun boleh membuktikan lebih 10,000 kad pengenalan palsu, beliau bertanya berapa jumlah sebenar kad pengenalan palsu yang telah dikeluarkan JPN.
Beliau berkata, bukti-bukti yang Permuda PAS bangkitkan adalah melambangkan kecelaruan kerja yang terdapat dalam JPN dan mendesak agar siasatan segera perlu dilakukan ke atas jabatan itu.
Tegasnya, pilihan raya tidak boleh diadakan dalam waktu terdekat jika kecelaruan maklumat di peringkat JPN dan akan menjejaskan SPR.
"Pemuda PAS bertekad akan terus membongkarkan manipulasi pilihan raya ini sehingga SPR dan JPN benar-benar bersih dan adil," tegasnya lagi.

Thursday, August 25, 2011

Wanita sorok duit palsu

DUBAI: Seorang pengunjung wanita dari Congo dituduh terbabit dengan penghasilan wang kertas palsu pelbagai mata wang bernilai dua juta dinar (RM1.62 juta) selepas dia cuba menyeludup wang berkenaan ke negara ini dalam beg pakaiannya.
Pendakwa raya mendakwa suspek, 32, cuba membawa masuk wang palsu dolar Amerika dan euro dengan menyembunyikannya di dalam tiga beg tangannya.

Suspek, bagaimanapun, tidak membuat sebarang pengakuan sama ada bersalah atau menafikan tuduhan itu ketika hadir di mahkamah kerana tiada jurubahasa bahasa Perancis.

Hakim Al Saeed Mohammad Barghout menangguhkan kes itu kepada 4 September ini hingga jurubahasa bahasa Perancis dapat hadir.hmetro

Tuesday, July 26, 2011

5 lagi kedai palsu Apple dikesan

BEIJING: Pihak berkuasa China mengesan lima lagi kedai menjual produk Apple palsu di bandar barat daya Kunming dan menggantung perniagaan dua daripadanya ketika siasatan ke atas pengusahanya dilakukan, kata satu laman web kerajaan tempatan semalam.

Pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa dengan tiga lagi kedai yang memaparkan dengan jelas tanda dan logo Apple kerana mereka tidak menemui sebarang produk palsu Apple yang dijual, menurut laporan akhbar tempatan yang dihantar dalam laman web kerajaan bandar Kunming.

Siasatan mengenai kesai palsu Apple dilancarkan selepas satu tulisan dalam blog minggu lalu oleh seorang wanita Amerika yang tinggal di Kunming dalam wilayah Yunnan.
Wanita itu melaporkan dia terserempak dengan tiga kedai palsu menyamar sebagai kedai sah Apple di bandar itu. Beliau mengambil gambar dan menghantarnya dalam blog BirdAbroad miliknya.

Beliau berkata, ia mencontohi kedai ikon syarikat itu sehinggalah keadaan tangga yang berpusing dan kakitangan memakai baju-T biasa berwarna biru.

Selepas blog itu membuat pendedahan Rabu lalu, Biro Perdagangan dan Industri Kunming memeriksa lebih 300 kedai elektronik di Kunming dan menemui lima kedai palsu Apple, kata laman web kerajaan bandar.

Panggilan kepada pejabat Biro Perdagangan dan Industri Kunming tidak dijawab semalam.
Pembuat iPhone dan peralatan terkenal lain memiliki empat kedai syarikat di China, dua di Beijing dan dua di Shanghai, serta pelbagai penjual rasmi.

Pertumbuhan kedai palsu menunjukkan tindakan balas lambat dilakukan kerajaan China dalam membendung satu budaya cetak rompak berleluasa dan pengeluaran meluas barangan palsu menjadi punca kemarahan utama negara lain yang dianggap rakan dagang. – AP
Berita Harian Online | 5 lagi kedai palsu Apple dikesan

Wednesday, May 11, 2011

Surat kepada Hishammuddin :Tindakan keras ke atas laporan palsu Utusan Malaysia



YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn,
Menteri Dalam Negeri,
Kementerian Dalam Negeri Malaysia. 11 Mei 2011
Yang Berhormat Datuk Seri,
Tindakan Keras Ke atas Laporan Palsu Utusan Malaysia Tentang Konspirasi Di Antara DAP Dan Paderi-paderi Kristian Di Pulau Pinang Untuk Menubuhkan Sebuah Negara Kristian Dan Melantik Perdana Menteri Beragama Kristian.
Kerajaan negeri Pulau Pinang secara rasmi ingin meminta Yang Berhormat Menteri mengambil tindakan keras ke atas lapuran palsu yang dibuat oleh Utusan Malaysia pada muka depannya tanggal 7hb Mei tentang konspirasi di antara DAP dan paderi-paderi Kristian di Pulau Pinang untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri beragama Kristian.
Ini diputuskan secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) yang bermesyuarat pada pagi ini berikutan pengakuan dua ADUN UMNO daripada Pulau Pinang Hilmi Yahya (BN-Teluk Bahang) dan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong) dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 10 hb Mei 2011 bahawa kedua-dua mereka tidak percaya konspirasi Kristian ini oleh Utusan Malaysia.
Memandangkan ada dua ADUN UMNO di Pulau Pinang yang kini tidak percayai laporan konspirasi Kristian oleh suratkhabar milikan UMNO, adalah jelas Utusan Malaysia telah laporkan suatu pembohongan dan fitnah yang amat bahaya sekali. Betapa bahaya pembohongan ini boleh dilihat dengan begitu banyak laporan polis yang dibuat oleh ramai pemimpin UMNO lain terhadap konspirasi Kristian ini.
Contohnya, demonstrasi yang mendapat ilham dari Pemuda UMNO Pulau Pinang pada 8hb Mei 2011 telahpun mengutuk YAB Ketua Menteri atas konspirasi Kristian dan membuka jalan alternatif percuma. Kerajaan negeri tidak ada masalah dengan demonstrasi terhadap YAB Ketua Menteri Pulau Pinang semasa upacara membuka jalan alternatif baru yang percuma di Jalan Bagan 29-Jalan Siram pada 8hb Mei.
Pemuda UMNO Pulau Pinang boleh mengambil pendiiran mahukan jalan bertol. Memang kerajaan negeri berpendirian berbeza bahawa suatu jalan alternatif percuma mesti disediakan sebelum mengenakan tol, yang juga mesti munasabah. Ini adalah semangat demokrasi mempunyai pandangan berbeza.
Akan tetapi, adalah salah dan bahaya untuk Pemuda UMNO Pulau Pinang mengadakan demonstrasi mengutuk dengan bahasa kesat YAB Ketua Menteri terlibat dalam konspirasi Kristian ini yang merupakan fitnah. Berdemonstrasi atas satu fitnah besar ini bukanlah demokrasi tetapi satu tindakan rakus yang mudaratkan keselamatan negara.
Paderi-paderi Kristian dan Christian Federation Malaysia, yang mewakili 90% penganut Kristian di Malaysia, menafikan konspirasi Kristian ini. Utusan Malaysia tidak menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu ini, sebaliknya terus memainkan isu ini. Kini, laporan palsu ini disebarkan luas dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang mengancam keharmonian kaum dan agama.
Kerajaan negeri Pulau Pinang memang mendokong kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar sebagai suatu hak asasi manusia dan demokrasi. Akan tetapi kebebasan ini tidak bermakna memberikan kebebasan untuk membohong dan membuat fitnah. Laporan palsu ini berniat jahat, tidak lain tidak bukan serupa bermain dengan api yang boleh membakar satu Malaysia dengan sentiman perkauman dan ekstremis berdasarkan suatu pembohongan dan fitnah.
Jika ada dua ADUN Pulau Pinang UMNO yang kini tidak percayai laporan palsu ini oleh suratkhabar milikan parti mereka, Yang Berhormat Dato Seri mesti bertindak tegas dan segera ke atas tindakan tidak bertanggungjawab Utusan Malaysia ini. Selain daripada mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu ini, tindakan tegas juga mesti diambil keatas Utusan Malaysia dan pegawainya yang terbabit.
Sekian terima kasih.
Yang benar,
LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI


Dipetik daripada blog Lim Guan Eng

Tuesday, May 3, 2011

Teratak Santai: Osama bin Laden corpse photo is fake

Teratak Santai: Osama bin Laden corpse photo is fake:
An image purporting to show Osama bin Laden’s bloody corpse
"Osama bin Laden corpse photo is fake
Image of bloodied man picked up by British newspapers has been circulating online for two years



An image purporting to show Osama bin Laden's bloody corpse, right, is a composite of two separate images, left and centre. Photograph: twitpic
An image apparently showing a dead Osama bin Laden broadcast on Pakistani television and picked up by British newspaper websites is a fake."

Monday, April 25, 2011

Raja Petra disiasat kerana beri maklumat palsu


KUALA LUMPUR: Raja Petra Kamaruddin kini disiasat mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung akuan bersumpahnya mengaitkan Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, empat tahun lalu. 


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, ketika dihubungi hari ini berkata, pengendali portal "Malaysia Today" itu disiasat mengikut seksyen itu setelah keterangan diambil daripadanya semasa beliau berada di Bangkok, Thailand, dua hari lalu.
Keterangan itu diambil oleh pegawai polis Bukit Aman yang ditugaskan untuk bertemu RPK di negara itu ketika majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) di mana beliau adalah pengerusinya.
Bakri berkata, pihak polis juga sedang giat menjalankan siasatan berdasarkan keterangan RPK selain keterangan daripada beberapa individu lain yang berkaitan dengan kes tersebut. 

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan indentiti individu lain yang telah dipanggil polis. 

"Siapa yang telah dipanggil dan berapa orang yang dipanggil itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan dan tumpuan kita sekarang ini adalah untuk menyiasat dakwaannya (Raja Petra)," katanya. 

Dalam temu bualnya dengan TV3 yang disiarkan pada 13 dan 14 April lalu, Raja Petra mendedahkan bahawa akuan bersumpah beliau pada 2008 yang mengaitkan Najib dengan kes pembunuhan itu adalah berdasarkan maklumat dan desakan beberapa individu bertujuan menyekat Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, daripada menjadi Perdana Menteri. - BERNAMA 

Friday, April 15, 2011

Lelaki China tubuh unit tentera palsu


LOS ANGELES: Seorang lelaki China ditahan kerana menubuhkan satu unit tentera Amerika Syarikat palsu dan meyakinkan orang ramai bahawa penyertaan itu akan memudahkan mereka mendapat status kewarganegaraan.
Yupeng Deng, 51, didakwa memberi peserta unit itu pakaian seragam tentera dan mengarahkan mereka berarak di pinggir Los Angeles.

Dia juga membawa mereka melawat sebuah kapal pengangkut USS Midway, yang kini dijadikan muzium.

Bagi setiap penyertaan warga China itu, Deng mengenakan bayaran sehingga RM1,400. - Reuters

Friday, April 1, 2011

2 kali nikah dalam 24 jam

KOTA BHARU: Sepuluh tahun lalu, hatinya disakiti apabila anak perempuannya yang diberi didikan agama sebaik mungkin, malah dihantar ke sekolah tahfiz, kahwin lari. Kini luka di hatinya bertambah parah apabila mendapati anaknya itu menipu dengan mencipta ‘perkahwinan ajaib’.
Ayah yang mahu dikenali sebagai Manaf, 66, itu mendakwa dia mengesan keanehan pada tarikh perkahwinan anak perempuannya seolah-olah wanita berusia 30 tahun itu bernikah dua kali dalam tempoh selang sehari.

Menurut pesara kerajaan itu, selepas membuat pemeriksaan dia mendapati ada dua tarikh pernikahan pada kad daftar perkahwinan dikeluarkan dua jabatan agama berbeza iaitu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Thailand.

“Walaupun hati saya disakiti apabila anak yang bergelar ‘hafizah’ itu kahwin lari 10 tahun lalu, saya tetap menyayanginya. Sebab itulah saya sentiasa memantau perkembangannya sehinggalah dapat membuktikan ada sesuatu tidak kena dengan perkahwinannya.

“Saya terkejut apabila mendapati tarikh nikah dicatatkan pada kad pengesahan perkahwinan Jawi dan surat keterangan nikah Majlis Agama Islam Wilayah Pattani berbeza. Pada kad berkenaan tercatat tarikh 21 Ogos 2000, tetapi pada surat itu pula 22 Ogos 2000,” katanya.


Manaf berkata, dia memperoleh satu lagi kejutan apabila Jawi mengesahkan kad perakuan nikah itu palsu kerana nama anaknya dan pasangannya berusia 40 tahun itu tidak tercatat dalam rekod pendaftaran nikah Jawi. “Menerusi bantuan Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Jawi menghantar satu surat mengesahkan nombor daftar kad perakuan nikah anak saya dan pasangannya milik pasangan lain. “Pada masa sama, surat keterangan nikah Majlis Agama Islam Wilayah Pattani pula meragukan kerana tiada tandatangan jurunikah dan dua saksi,” katanya.

Naluri Manaf kuat mengatakan anaknya terbabit dengan nikah sindiket selepas membaca laporan muka depan Harian Metro 28 Januari lalu bertajuk VIP Nikah Tanpa Rekod yang mendedahkan mengenai pembabitan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap termasuk kad perakuan nikah kononnya dikeluarkan Jawi untuk berpoligami secara diam-diam. “Saya yakin, kes anak saya itu ada persamaan dengan pendedahan dibuat Harian Metro. Walaupun pasangan anak saya bukan orang kenamaan, tetapi berdasarkan kad perakuan nikah palsu yang dibuktikan, tidak mustahil ia ada kaitan dengan sindiket berkenaan.

“Pada masa sama, pasangan anak saya yang pernah menguruskan pusat tahfiz mengahwini anak saya ketika masih mempunyai isteri, sekali gus mengukuhkan lagi keyakinan saya,” katanya Menurut Manaf, dia bukan mahu memburukkan anaknya sebaliknya kerana kasih sayang mendalam, dia rela mendedahkan kisah peribadinya.

“Selepas keluar kisah nikah sindiket di Harian Metro, saya berasakan perlu untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat. Hati saya juga tidak tenteram selepas terbongkar segala rahsia perkahwinan anak saya itu. “Jika kad perakuan nikah palsu dan surat keterangan nikah pula meragukan, bagaimana status perkahwinan mereka? Mereka mempunyai tiga anak, bagaimana pula nasib anak mereka?” katanya.

Manaf membuat laporan polis 26 Februari lalu di Balai Polis Pengkalan Chepa berhubung hal itu dan berharap pihak berkaitan terutama Jawi dan Maik bertindak.


“Sudah terbukti berlaku penipuan. Lakukanlah sesuatu supaya kemungkaran itu diperbetulkan. Pada masa sama, saya berharap anak saya insaf dan segera melakukan sesuatu untuk memperbetulkan status perkahwinannya,” katanya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, berdasarkan surat dikeluarkan Jawi yang mengesahkan kad perakuan nikah berkenaan adalah palsu membuktikan berlakunya penipuan.


Katanya, sikap pasangan berkenaan memilih jalan mudah tanpa mengikut prosedur undang-undang mengundang masalah pada masa depan.

myMetro | 2 kali nikah dalam 24 jam

Wednesday, January 5, 2011

Bekas ketua CID: Bukti DNA kes liwat Anwar dipalsu

- Malaysiakini
Seorang bekas pegawai penyiasat dalam kes 'mata lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa bukti DNA dalam perbicaraan kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu pada 1998 telah dipalsukan.

Bekas ketua jabatan siasatan jenayah (CID) Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim menyatakan demikian sepintas lalu dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun pagi ini.

anwar ibrahim black eye 080206Salinan surat berkenaan dihantar kepada media hari ini.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Mat Zain berkata beliau telah menjelaskan perkara itu dalam suratnya bertarikh 27 Disember tahun lalu kepada ketua polis negara.

Surat sepanjang 13 halaman itu juga telah dihantar kepada perdana menteri dan juga kepada Idrus sendiri, kata Mat Zain dalam surat berkenaan.
“Dalam surat saya itu juga, saya telah jelaskan bahawa sebarang siasatan mengenai maklumat diatas perlu merujuk kepada kertas siasatan kes mata lebam oleh kerana beberapa insiden yang berlaku adalah bertindih.

"Lebih-lebih lagi 'pemain utama' kedua-dua kes pemalsuan dalam insiden mata lebam dan pemalsuan DNA adalah sama," katanya lagi.
'Kes mata lebam' itu merujuk insiden ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang menumbuk Anwar pada 20 September 1998.

Berdasarkan keterangan dalam inkuiri oleh Suruhanjaya Diraja ke atas insiden itu, Rahim kemudiannya didakwa di mahkamah dan mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mat Zain berkata, tujuan utama surat berkenaan adalah untuk memberitahu Idrus bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Undang-undang Datuk Seri Mohd Nazri Aziz membuat kenyataan yang mengelirukan di Parlimen berhubung dakwaan tersebut.

"Saya percaya Datuk turut sedar bahawa pengumuman yang dibuat oleh kedua-dua menteri berkenaan mengandungi fakta dan/atau maklumat mustahak yang tidak benar dan/atau mengelirukan dan/atau telah dipesongkan.

"Saya juga percaya Datuk turut sedar bahawa peguam negara sama ada sengaja atau sebaliknya, telah menyebabkan YB Hishammuddin atau YB Nazri membuat pengumuman yang mengelirukan dalam parlimen," kata Mat Zain lagi.

Thursday, November 11, 2010

Enggan ulas dakwaan mempunyai ijazah Sarjana dan Ph.D palsu




Terlalu awal untuk membuat sebarang kenyataan balas mengenai pendedahan Perbadanan Penyiaran British (BBC) berhubung kelayakan akademik penyanyi Fazley Yaakob. 

Laporan BBC menyebut Fazley mendakwa mempunyai kelulusan daripada European Business School tetapi ia sebenarnya adalah palsu. 

“Buat masa ini saya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa mendapat kebenaran Ahli Lembaga Pengarah Fazley International Collage (FIC). 

“Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan, perbincangan bersama telah cuba dibuat dan kami cuba menyelesaikan masalah yang timbul, " katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). 

Kontroversi mengenai status ijazah kedoktoran dan status kerjasama antara FIC dan Universiti of Wales tercetus apabila BBC mendedahkan bahawa kelayakan ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) yang diterima Fazley dari European Business School Cambridge tidak diiktiraf. 

Dorongan daripada kes itu, University of Wales menggantung penglibatan mereka dengan FIC dan tidak akan mengambil mana-mana pelajarnya untuk belajar dalam bidang MBA dan pengurusan perniagaan sehingga siasatan selesai. 

Bagaimanapun, Fazley menjelaskan, buat masa ini semua pelajar yang masih dalam pengajian di FIC tidak terjejas oleh prestasi arbritasi dan rujukan semula. 

“FIC yakin spekulasi ini akan terungkai dan tamat sebaik sahaja pemahaman menyeluruh mengenai perkara ini difahami dengan jelas oleh semua pihak,” katanya. 

Menyentuh tentang status gelarannya, Fazley berkata, dia sudah lama tidak menggunakan gelaran Dr setelah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan pengiktirafan diterimanya. 

“Saya tidak menerima ijazah PhD, sebaliknya menerima ijazah ‘Doctor of Business Administration’ (DBA) yang boleh membawa gelaran Dr,” katanya. 

Ketika diminta mengulas mengenai reputasinya yang mungkin terjejas selepas isu ini, Fazley berkata, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai. 

“Saya akan membuat kenyataan penuh selepas segala siasatan melalui pihak yang benar (legal) selesai. 

"Kemudian terserah kepada masyarakat untuk menilai apa yang telah saya katakan nanti. Saya berani dan yakin kerana di pihak yang benar,” katanya yang akan mengadakan sidang media khas berhubung isu itu pada masa terdekat.

Wednesday, October 13, 2010

Rais buat laporan polis terhadap penulis blog


KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam membuat laporan polis terhadap penulis blog, Rocky's Bru kerana membuat tuduhan palsu terhadap anak lelakinya seperti yang disiarkan dalam blog berkenaan.
Blog tersebut mendakwa anak lelakinya mempunyai kepentingan dalam kementerian terbabit dengan memperoleh geran RM1 bilion bagi menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.
Difahamkan, Rais turut membuat laporan sama terhadap blog Taikors and Taikuns (TnT) dan Bigdogdotcom di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Siasatan akan dilanjutkan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)," katanya ketika dihubungi semalam.