Friday, October 21, 2011

1,000 berhimpun tuntut 'bebaskan' Aziz Bari


| Print |
Harakahdaily

GOMBAK, 21 Okt: Hampir 1,000 orang berhimpun di perkarangan Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini bagi membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh universiti itu.

Perhimpunan aman yang bermula selepas selesai solat Jumaat itu majoritinya disertai golongan mahasiswa dipercayai dari pelbagai universiti serta orang awam.

Sejurus imam selesai membaca doa, laungan "Hidup Aziz Bari", “Hidup Ilmu”, “Lawan Kezaliman”, “Bebas Aziz Bari” mula bergema.

Seorang peserta himpunan kemudiannya cuba memulakan ucapan, tetapi bagaimanapun tindakan itu dihalang pihak keselamatan universiti, dan sedikit kekecohan berlaku.

Ekoran halangan itu, mereka kemudian beramai-ramai berarak dari masjid tersebut menuju ke bangunan pejabat reaktor universiti itu bagi menyerahkan memorandum.

Mereka diketuai pihak penganjur dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Gerakan Demokratik Mahasiswa Malaysia (Dema) serta persatuan mahasiswa kampus itu sendiri.

Sewaktu perarakan itu, sekali lagi berlaku kekcohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum tersebut menyebabkan tolak menolak berlaku.

Memorandum tersebut akhirnya berjaya diserahkan kepada Timbalan Reaktor UIAM kira-kira jam 2.20 petang.

Dalam memorandum itu mereka menuntut hukuman penggantungan terhadap Aziz Bari agar segera ditarik balik.

Mereka juga menyifatkan tindakan terhadap pakar perlembagaan itu sebagai mengongkong kebebasan akademik di universiti.

Terdahulu, pemeriksaan ketat dilakukan di pintu gerbang universiti itu oleh beberapa anggota keselamtan.

Hanya pelajar dan kenderaan mempunyai pelekat universiti sahaja dibenarkan masuk manakala orang awam termasuk pihak media dihalang walaupun untuk tujuan solat Jumaat.

1,000 berhimpun tuntut 'bebaskan' Aziz Bari:

'via Blog this'

Tindakan ke atas Aziz Bari ala ISA

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Tindakan ala-ISA ke atas Prof Dr Abdul Aziz Bari akan 'mengkangkungkan' lagi dunia akademik negara ini, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Di negara kita sudah terkenal gelaran 'profesor kangkung' yang diberikan kepada pembodek-pembodek yang berjaya mendapat pangkat besar di universiti-universiti hasil membodek dan kemudian bercakap merapu melalui TV dan media tanpa mengikut fakta sebenar semata-mata mengampu pemerintah.

"Tindakan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) menggantung tugas Dr Abdul Aziz akhirnya akan melengkapkan tindakan menjadikan dunia akademik negara ini sebagai sarang dan dunia professor kangkung," kata beliau.

Mohamad juga menyifatkan tindakan menggantung tugas Dr Abdul Aziz sebagai tindakan ala-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Itu tindakan ala-ISA. Dia belum sempat dan tidak diberi peluang yang munasabah untuk membela diri terus digantung.

"Nampak benar kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) ketagih ISA seperti ketagih dadah dan cakap-cakap kononnya hendak hapuskan ISA adalah pembohongan dan helah semata-mata," katanya sambil merujuk dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya ISA akan dihapuskan oleh kerajaannya.

Sambil memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama di dalam protes di Masjid UIA membantah tindakan ke atas pakar perlembagaan itu lantaran berada di luar negara, Mohamad berkata tindakan sedemikian sukar dielakkan oleh pelajar dan rakyat yang mahu menghalang dunia akademik negara ini menjadi dunia professor kangkung.

"Rakyat yang berkesedaran tidak ada pilihan melainkan menggerakkan lebih banyak protes sedemikian bagi menghalang dunia akademik negara ini menjadi dunia professor kangkung.

"Jika perkara itu berlaku, dunia akademik negara ini pasti menjadi dunia yang sangat hina dan apa maknanya rakyat negara ini menghantar anak-anak mereka ke universiti-universiti?

"Tidakkah berdosa dan mengkhianati ilmu jika menghantar anak-anak belajar kepada professor-professor kangkung yang hina, penjilat dan langsung tidak bermaruah?" kata beliau.

Tindakan ke atas Aziz Bari ala ISA:

'via Blog this'

Kakitangan akademik UIA sokong Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.

“Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional,” ujar persatuan itu dalam satu kenyataan.

PKA UIAM berkata, tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

“Professor Abdul Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau,” tambah kenyataan itu.

Berikut kenyataan penuh PKA UIAM

Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbidan sarjana Perlembagaan Malaysia.

Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

Professor Abdul Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al Qur’an: Surah al-Anbiya’ (21:7): “Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”.

Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif sebegini Ini akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat di negara tercinta ini. Peringatan ini jelas berkait rapat dengan ayat Al Qur’an dalam Surah al-Baqarah (2:111):

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Professor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Sebagai seorang ahli akademik, Professor Abdul Aziz Bari berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik. Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

Kami tidak mahu tindakan ini kelak dijadikan satu 'precedence' pada masa akan datang kerana ia boleh menyekat sumbangan intelektual dari ahli akademik terhadap isu-isu kenegaraan sama ada yang dianggap sensitif atau sebaliknya.

Sebarang tafsiran dan pandangan yang dibuat dari hasil kepakaran seseorang ahli akademik sewajarnya disambut secara lapang dada oleh mana-mana pihak.

Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan anak bangsa dan negara.

Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi: “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

PKA UIAM menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia.

Sekian. Terima kasih.

Kakitangan akademik UIA sokong Aziz Bari:

'via Blog this'

Zulkifli jahil, liwat isteri termasuk perkara syubhah

Zulkifli jahil, liwat isteri termasuk perkara syubhah| Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib (gambar) menyifatkan dakwaan ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berhubung suami meliwat isteri melambangkan kejahilannya dalam hukum hakam yang berkaitan dengan hukum syarak.

Menurutnya, hukum syarak tidak boleh dibaca sepintas lalu tetapi memerlukan disiplin ilmu yang tinggi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan ahli parlimen tersebut di Dewan Rakyat semalam bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh PAS membenarkan suami meliwat isteri.

Selain itu, Zulkifli juga dilaporkan mendakwa bahawa umur 18 tahun yang ditetapkan dalam enakmen hudud bercanggah dengan Islam yang menetapkan had baligh ialah 15 tahun.

Ustaz Harun menjelaskan, liwat di antara suami isteri tidak termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak salah.

Jelasnya lagi, perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud dan dari sudut hukuman ia akan dikenakan hukum takzir.

“ Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.

“Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti diambil kira dalam perlaksanaan ialah perlaksanaan hukuman hudud mesti meraikan satu kaedah yang penting iaitu tudra’ul hudud bi syubhat iaitu hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.

“Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan yang mana pasangan yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, Zulkifli sebagai ahli parlimen tidak sepatutnya membaca sepintas lalu tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal fikiran manusia yang lemah.

Beliau turut mengulas tentang dakwaan ahli parlimen itu bahawa had umur 18 tahun bercanggah dengan hukum syarak.

“Masalah berkenaan had baligh seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya bukan suatu yang qat’ie.

“Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata 15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh, kalau dalam mazhab Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah. Sebagai contoh, jelasnya kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan, mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa bahawa anak guaman bermazhab Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.

“Jadi kita ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah dalam perbicaraan, itu hanya satu sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah,” ujar beliau lagi.

Zulkifli jahil, liwat isteri termasuk perkara syubhah:

'via Blog this'