Tuesday, May 10, 2011

Bicara kes PKFZ Kong Choy 20 Sept


PUTRAJAYA — Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 20 Sept sebagai tarikh perbicaraan kes tipu RM1.9 bilion dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dihadapi bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy.

Hakim Azhaniz Teh Azman turut menetapkan 10 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes itu manakala perbicaraan ditetapkan selama dua minggu bermula 20 Sept.
Azhaniz juga memerintahkan pihak pendakwaan untuk membekalkan dokumen-dokumen yang perlu kepada pihak pembelaan sebelum 10 Ogos.
Beliau turut melanjutkan jaminan Chan yang diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin. — Bernama

Pelakon veteran, Aimi Jarr meninggal dunia


Allahyarham Aimi Jarr
mstar


KUALA LUMPUR — Pelakon veteran dan aktivis seni, Aimi Jarr atau nama sebenarnya Datuk Omar Puteh, 72, meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati, pagi ini.

Allahyarham yang juga merupakan bekas Penyunting Berita di Utusan Malaysia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kira-kira pukul 7.30 pagi.
Anak bongsu Allahyarham, Romy Jarr, 34, ketika dihubungi berkata bapanya tidak menunjukkan tanda-tanda sakit sebelum meninggal dunia.
"Cuma pagi tadi semasa nak kejutkan arwah, badannya terasa sejuk dan mulutnya berbuih. Melihat keadaan bapa, saya terus menghubungi doktor untuk membuat pemeriksaan ke atasnya,” katanya.
Romy Jarr berkata, bapanya mempunyai penyakit kencing manis tetapi tidak berada pada tahap yang serius sehingga memerlukan bapanya dimasukkan ke hospital.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noriah Ishak, 74, dan tiga cahaya mata iaitu Norimy Jarr, 44, Norlisda Jarr, 40 dan Romy Jarr.
Aimi Jarr pernah memenangi anugerah Penulis Lakon Layar Terbaik dalam Festival Film Malaysia kedua pada 1981 menerusi filem Dia Ibuku.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Klang Gate Baru, Hulu Klang. — Bernama

Dr M: Tidak sesuai adakan pilihan raya tahun ini

Rakyat masih berbelah bagi, sentimen perkauman semakin tebal


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak sesuai diadakan tahun ini kerana rakyat masih berbelah bagi, selain sentimen perkauman semakin menebal.
Selain itu, mantan Perdana Menteri Malaysia itu juga berkata kerajaan mempunyai banyak masa membetulkan kelemahan dalam negara, khususnya berkaitan isu perkauman.'Saya berpendapat ia (PRU) tidak harus diadakan tahun ini. Bagaimanapun, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kadangkala saya terlupa bahawa saya bukan lagi Perdana Menteri,' katanya di sini kelmarin.Dr Mahathir berkata beliau risau dengan perpecahan di kalangan rakyat buat masa ini yang teruk berbanding masa-masa lalu.Antara isu terbaru ialah mengenai dakwaan adanya pihak sedang berusaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia.Datuk Seri Najib bagaimanapun menggesa semua pihak supaya bertenang dan tidak mengeksploitasi isu agama, sebaliknya mencari fakta yang sebenar.Ditanya tarikh yang sesuai untuk mengadakan PRU, Dr Mahathir berkata, kalau boleh biarlah sehingga tempoh berakhir.'Kerajaan mempunyai masa. Saya fikir ia boleh berlanjutan sehingga 2012. Paling penting ialah tiba masanya BN memilih calon bebas rasuah untuk bertanding bukan mereka yang ada kepentingan,' katanya.Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan kekalahan terburuk dalam sejarah pilihan rayanya tiga tahun lalu dengan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan empat negeri lagi.Menurut Dr Mahathir, perpecahan kaum tidak pernah berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri.'Saya merasakan rakyat berpecah, perpecahan kaum berada di kemuncak.'Pada masa lalu, kaum Cina tiada masalah dengan BN, pada 1999, meskipun (insiden) mata lebam Anwar, pembangkang mendapat sokongan Melayu tetapi rakyat Cina menyokong BN. Kita masih ada dua pertiga ketika itu,' katanya.Dalam ucapannya kepada Umno Selangor, Datuk Seri Najib baru-baru ini membayangkan pilihan raya umum semakin hampir.Laman berita The Malaysian Insider difahamkan Datuk Seri Najib kemungkinan menangguhkan pilihan raya sehingga akhir tahun ini atau awal 2012 memandangkan partinya sedang memberi tumpuan menjana dana pembiayaan pilihan raya.Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan pilihan raya umum kemungkinan diadakan sebelum Ramadan ini. -- Agensi.

Orang kuat UMNO Ketereh sertai Pas



KOTA BHARU – Orang kuat UMNO Bahagian Ketereh mengambil keputusan menyertai Pas selepas melihat kecelaruan berlaku dalam parti yang disertainya sejak 38 tahun lalu.

Bekas Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Sabri Shafie menyerahkan sendiri borang keahlian Pas kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sabri berkata, tindakan itu dibuat kerana beliau menyedari suasana politik masa kini memerlukan masyarakat Melayu bersatu di bawah organisasi yang boleh dipercayai.

“Saya melihat Pas merupakan wadah yang tepat bagi menyatukan masyarakat ketika UMNO menghadapi pelbagai bentuk kecelaruan.

“Saya berharap orang Melayu di negara ini beralih kepada Pas bagi meneruskan perjuangan menegakkan Islam.” Katanya yang juga pernah menjadi calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadok.

Sabri menyatakan rasa terharunya kerana Nik Aziz menyambut baik penyertaannya sebagai ahli seumur hidup, saya berjanji akan membantu jentera Pas dalam menangkis fitnah dan tohmahan dari parti lawan.

Nik Aziz ketika diminta mengulas penyertaan tokoh politik itu berkata, kemasukan ahli UMNO itu adalah kehendak Allah SWT serta membuktikan kejayaan pentadbiran Pas di Kelantan sejak lebih 21 tahun berjaya menarik perhatian anggota parti lawan.

“Walaupun pelbagai tohmahan dan fitnah dilemparkan pihak lawan terhadap Pas masa kini, namun ia tidak boleh menafikan kebenaran yang ada dan kemasukan orang kuat UMNO Ketereh diharap dapat menyedarkan rakan-rakan beliau yang masih berada di dalam UMNO,” katanya.

Penyertaan Sabri katanya, sudah semestinya menambah kekuatan Pas bagi kawasan Keterah dan di negeri ini secara amnya.

Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Senator Rosli Ibrahim dan Setiausaha Politik Menteri Besar Wan Nik Wan Yusoff.

Usaha sabotaj kenderaan Anwar: Pemandu peribadi buat laporan polis



Pemandu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdullah Sani Said akan membuat satu laporan polis di Balai Polis di Merchant Square pada jam 3.30 petang hari ini berikutan mengesyaki ada usaha jahat pihak tertentu mensabotaj kenderaan yang biasa digunakan untuk membawa Anwar dan keluarga.
Malah satu kemalangan telahpun berlaku pada 19 hb April 2011 yang lalu.

Dipetik daripada blog Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Sarimah semakin pulih




Primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad kelihatan semakin sihat. Setelah tiga tahun menderita penyakit kanser hidung dan otak, kini Sarimah semakin pulih.

Bertemu Sarimah baru-baru ini, menjelaskan perjalanan hidupnya selama menghidapi penyakit ini.

“Saya hanya dapat tahu penyakit ini pada tahap keempat. Waktu itu doktor memberitahu jangka hayat saya hanya boleh bertahan sekitar tiga bulan.

“Namun saya tekad untuk terus berusaha. Saya akui memang tidak mahu melakukan sebarang pembedahan pada diri saya. Biarlah apa sahaja kelahiran saya ini, jika tiada nyawa di badan ia masih sama.

“Sepanjang masa itu juga, saya tidak mampu untuk berjalan dan berdiri. Anak-anak saya yang banyak membantu saya. Mereka sentiasa ada bersama saya,” katanya pada majlis sambutan hari lahirnya yang dianjurkan oleh Karyawan di Restoran Warisan.

Menginjak usia 69 tahun, Sarimah mengakui tidak mahu menghebahkan kisah penyakitnya ini kepada khalayak kerana beliau tidak mahu perkara ini akan menyusahkan orang lain.

“Saya tidak mahu orang tahu akan cerita saya sakit. Apabila ada yang menghubungi, saya hanya katakan keadaan saya tidak sihat. Saya juga tidak boleh berjalan dan hanya duduk di rumah.

"Setelah dua tahun, saya diperkenalkan dengan sejenis suplemen. Alhamdulillah, dengan bantuan seorang profesor serta sentiasa bersenam dan jaga makan, saya kini sudah boleh berdiri dan berjalan.

"Saya tidak kisah untuk menelan pil sebanyak 16 biji dan perlu makan sembilan kali sehari. Saya hanya yakin dan terus berusaha untuk pulih ,” katanya yang tidak henti-henti melafazkan rasa syukur pada Yang Maha Esa.

Bercerita saat mula penyakitnya, Sarimah berkata, kepalanya akan tiba-tiba sakit dan mengeras. Bukan itu sahaja, hidung dan lidahnya juga akan mengalami perkara yang sama. Pandangan saya kabur kerana mata saya juga mengalami perkara yang sama.

“Sakitnya seperti ada sesuatu yang menekan kepala saya. Rasa tak boleh tahan dan membuatkan pergerakan terbatas. Kerana itu, saya tidak boleh bergerak dan perlu berehat. Tapi setelah mengamalkan pil dan mengikut diet yang betul, Alhamdulillah semuanya kini sudah normal,” ceritanya yang berharap kesihatannya akan kembali pulih seperti biasa.

Warga emas maut dirempuh kereta



ORANG ramai melihat mayat Mek Yam Hassan yang maut dalam kemalangan di Kampung Kijang, Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 9 Mei - Seorang wanita maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan berhampiran rumahnya di Kampung Kijang dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam, Mek Yam Hassan, 56, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Idris Abd. Rafar ketika dihubungi berkata, mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta dari arah Kota Bharu menghala ke Pantai Cahaya Bulan.
"Pemandu kereta tersebut telah membuat laporan berhubung kejadian itu tidak lama selepas kejadian," katanya.
Sementara itu, anak mangsa, Mek Yah Mat, 42, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah dan dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
"Sebaik sahaja terdengar bunyi itu, saya terus berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku dari tingkat atas rumah. Mulanya saya ingat kemalangan biasa, tiba-tiba seorang jiran datang memberitahu emak terlibat kemalangan," katanya.
Ketika kejadian, katanya, arwah dalam perjalanan ke kedai runcit berhampiran untuk membeli barang keperluan harian.
Jenazah Mek Yam selamat dikemudikan di Tanah Perkuburan Islam Keresak, Kampung Kijang, dekat sini, tengah hari ini.

Sikap aneh ajak ke rumah datuk - Kartika



Kartika Sari Dewi Shukarnor (kiri) menyiramkan air ke pusara anaknya, Mohd. Azfar M. Afandi yang meninggal dunia akibat lemas di Sungai Perak, Sungai Siput, semalam. - utusan/Roy Azis Abd Aziz


SUNGAI SIPUT 9 Mei - Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak menyangka, sikap anaknya yang beria-ia mengajaknya pulang ke rumah datuk baru-baru ini menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Kartika, 34, berkata, dia membawa anaknya Mohd. Azfar M. Afandi, 9, ke rumah bapanya di Resort Lang Buana, Kampung Jawang pada Sabtu lalu setelah diminta oleh arwah.
"Saya agak pelik dengan perubahan sikap Azfar kerana sebelum ini dia tidak begitu. Mungkin juga dia terlalu rindu dengan datuknya.
"Malah, sebelum ini saya bermimpi, anak saya tenggelam dalam satu lubang air dan saya tidak dapat menariknya keluar," katanya ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sungai Siput (HSS) di sini hari ini.
Anak sulung Kartika itu dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu dan mayatnya ditemui kira-kira satu kilometer dari resort tersebut awal pagi ini.
Kartika sudah berpisah dengan suaminya, Afandi Amir sejak dua tahun lalu dan kini tinggal dengan dua anaknya di Taman Anggerik dekat sini.
Sementara itu, abang Kartika, Mohamad Hatta, 37, berkata, semasa menyusuri sungai dengan bot bersama penduduk kampung kira-kira setengah jam, dia ternampak tubuh anak saudaranya terapung- apung, manakala separuh lagi badannya tersangkut pada kayu.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jawang selepas solat Zuhur.

Majlis doa untuk Nur Syaza Sakinah



KUALA PILAH 9 Mei - Satu majlis bacaan doa diadakan di Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini hari ini, bagi memohon petunjuk agar Nur Syaza Sakinah Said Ahmad, 2, yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di kawasan perkelahan itu minggu lalu, ditemui.
Selain anggota pasukan mencari dan menyelamat, majlis itu disertai anggota keluarga dan saudara mara pihak bapa mangsa, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 32.
Bapa saudara mangsa, Wan Aziz Wan Abdullah berkata, usaha mencari Nur Syaza Sakinah diteruskan hari ini dan pihaknya masih menaruh harapan tinggi untuk menemui mangsa dalam keadaan apa sekali pun.
Katanya, kali ini kira-kira 40 ahli keluarga Said Ahmad dan Wan Azlela bergabung tenaga meneruskan usaha itu dengan dibantu pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
"Tidak ada perselisihan faham di antara kami, malah kami semua bertekad bersatu demi Nur Syaza Sakinah dan berharap keadaan ini akan berkekalan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Nur Syaza Sakinah adalah salah seorang daripada tiga beradik yang dihanyutkan air deras ketika sedang mandi-manda di hutan lipur tersebut Selasa lalu.
Kedua-dua kakaknya, Allahyarham Nur Syaza Alisa, 5, dan Allahyarham Nur Syaza Azira, 4, yang ditemui lemas telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Seremban, sehari selepas kejadian.
Dalam kejadian itu, Said Ahmad dan kenalan wanita, Alwani Abu Hassan, 18, yang turut dihanyutkan kepala air berjaya diselamatkan oleh orang ramai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba berkata, operasi mencari akan diteruskan dan semua pihak yang menyertai usaha tersebut memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakannya.

Nelayan halang kapal besi



Sebahagian nelayan dari lima pangkalan mengadakan protes berhampiran Jeti Kelanang, Kuala Langat, semalam.


KUALA LANGAT 9 Mei - Seramai 440 nelayan bertindak menyusun 310 bot dan sampan mereka di perairan Sungai Langat berhampiran jeti Kelanang hari ini, bagi menyekat laluan kapal pengangkut besi, yang dikatakan menjadi punca pendapatan mereka terjejas.
Bantahan secara aman bermula pukul 8 pagi turut menuntut kerajaan negeri memberi pampasan di atas kerugian dan kemerosotan hasil pendapatan akibat aktiviti kapal-kapal pengangkut besi di situ.
Nelayan terbabit dari lima pangkalan di daerah ini bersama 94 buah bot dan 216 buah sampan sepakat tidak berganjak selagi kerajaan negeri dan pihak terlibat tidak turun padang menyelesaikan masalah mereka.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kuala Langat, Wan Abu Bakar Mansor berkata, kerajaan negeri melaung-laungkan slogan hasil negeri untuk rakyat dan negeri berkebajikan tetapi sehingga kini tiada sebarang pampasan diberikan kepada nelayan terbabit.
"Sedangkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu nelayan diberikan pampasan dalam bentuk barangan kelengkapan menangkap ikan.
"Pendapatan kami semakin merosot akibat wujudnya 'port limit' iaitu nelayan tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan laluan kapal besi terbabit," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, masalah tersebut sudah diajukan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil sebagaimana dijanjikan.
Ketua Pangkalan Nelayan Jeti Kelanang, Zanizam Ismail berkata, mereka sudah hilang kepercayaan kepada kemampuan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Jadi sekarang kami berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyelesaikan masalah ini kerana kami benar-benar rasa terhimpit," tegasnya.
Ketua Pangkalan Nelayan Tongkah, Majani Masro berkata, satu memorandum sudah diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar pada Februari tahun lalu dan berharap tindakan segera dapat diambil.
"Setiap hari kami terpaksa berhati-hati memukat di kawasan ini kerana khuatir pukat rosak apabila tersangkut pada kapal-kapal besi yang melalui perairan ini," luah beliau.
Seorang nelayan Orang Asli dari Pangkalan Nelayan Pulau Carey, Kamal Ajil, 34, pula berkata, dia sering pulang dengan tangan kosong akibat pewartaan kawasan 'port limit' dan aktiviti kapal-kapal besi di kawasan perairan itu.

Militan taliban tumpas



KANDAHAR 9 Mei – Pasukan keselamatan Afghanistan berjaya membunuh saki-baki anggota militan Taliban yang melancarkan serangan bertalu-talu ke atas bandar Kandahar, sekali gus menamatkan pertempuran bersenjata selama 36 jam.
Menurut seorang wartawan AFP, keadaan di bandar terbesar di selatan Afghan ini juga kembali pulih hari ini dengan orang ramai mula keluar menjalankan aktiviti masing-masing dan jalan-jalan dipenuhi kenderaan selepas lengang berikutan serangan tersebut.
Jurucakap tentera wilayah, Zalmay Ayobi berkata, dua daripada anggota terakhir Taliban ditembak mati awal pagi semalam, sementara militan ketiga yang menguasai bangunan polis trafik berhampiran pejabat Keselamatan Lembaga Pengarah Kebangsaan (NDS) dibunuh malam semalam.
“Tentera Afghan akhirnya berjaya mengawal bangunan tersebut yang sebelum ini dikuasai musuh.
“Kesemua tiga anggota terakhir Taliban itu ditembak mati semalam dengan yang ketiga tidak sempat meletupkan diri bersama jaketnya yang dipenuhi bom,” kata Ayobi.
Pertempuran bersenjata tersebut bermula pada kira-kira pukul 4.30 petang waktu Malaysia pada Sabtu lalu apabila sekumpulan militan Taliban dilengkapi jaket bom, senjata api dan pelancar bom tangan menyerang bangunan pejabat Gabenor dari bangunan bersebelahan.
Menurut pegawai, sekurang-kurangnya 10 letupan termasuk serangan berani mati menggegarkan Kandahar ketika serangan merebak ke lokasi lain seperti balai polis dan pejabat NDS. – AFP

Gisele Bundchen kekal paling kaya


Supermodel Gisele Bundchen memberikan pos menarik pada majlis karpet merah Institut Kebajikan Seni Kostum dan Muzium Metropolitan bagi meraikan perasmian Muzium Alexander McQueen: Savage Beauty di New York, 2 Mei lalu. - Reuters


LOS ANGELES 9 Mei – Model terkenal, Gisele Bundchen mendahului model-model lain sebagai penerima pendapatan paling tinggi dalam senarai pendapatan tertinggi model Forbes 2011 dengan jumlah pendapatan sebanyak AS$45 juta (RM135 juta).
Supermodel itu diikuti rapat Heidi Klum and Kate Moss dalam senarai tersebut yang menunjukkan peningkatan pendapatan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lepas.
Pendapatan Bundchen meningkat daripada AS$25 juta (RM75 juta) kepada AS$45 juta (RM135 juta) hasil daripada pelbagai penajaan.
Pendapatan Klum dan Moss masing-masing juga meningkat dari AS$16 juta (RM48 juta) kepada AS$20 juta (RM60 juta) dan dari AS$9 juta (RM27 juta) kepada AS$13.5 juta (RM40.5 juta).
Model-model lain yang turut berada dalam senarai sama turut mencatat peningkatan pendapatan, tetapi tidaklah setinggi tiga model tersebut.
Pendapatan Adriana Lima yang berada di tangga keempat senarai hanya meningkat setengah juta dolar kepada AS$8 juta (RM24 juta).
Alessandra Ambrosio pula berada di tempat kelima, naik satu tangga daripada kedudukan keenam tahun lalu dengan menerima AS$5 (RM15 juta), sementara di tangga keenam, Daria Werbowy menerima jumlah pendapatan yang sama pada 2010 iaitu AS$4.5 juta (RM13.5 juta).
Kemunculan mengejutkan dalam senarai Forbes adalah Lara Stone yang menerima pendapatan AS$4.4 juta (RM13.2 juta) dan berada di tempat ketujuh.
Kedudukan Carolyn Murphy pula memenuhi jangkaan apabila berada di tempat kelapan dengan pendapatan AS$4.3 juta (RM12.9 juta).
Natalia Vodianova dan Candice Swanepoel masing-masing berada di tempat kesembilan dan ke-10 dengan pendapatan AS$4 juta (RM12 juta) dan AS$3 juta (RM9 juta). - Agensi

Rakaman audio terakhir Osama



DUBAI 9 Mei - Osama bin Laden memberi amaran dalam rakaman audio terakhirnya sebelum dia dibunuh oleh komando Amerika Syarikat (AS) bahawa AS tidak akan selamat selagi keselamatan rakyat Palestin tidak dijamin, lapor sebuah laman web Islam - Shamikh1.net.
Mesej Osama dalam rakaman audio itu yang ditujukan kepada Presiden AS Barack Obama menyebut: ''AS tidak boleh bermimpi menikmati keamanan selagi keselamatan rakyat Palestin tidak dijamin.
"Adalah tidak adil anda (AS) hidup dengan aman, sedangkan saudara kami di Gaza hidup dalam keadaan tidak aman.
"Adalah adil, dengan izin Tuhan, kami akan meneruskan serangan selagi anda terus menyokong Israel," amaran Osama yang dimuat naik di dalam laman web itu yang digunakan sebagai cara al-Qaeda berkomunikasi. - AFP
Pengasas al-Qaeda itu berkata, dia pernah cuba menghantar mesej kepada AS melalui rakyat Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab yang cuba meletupkan bom dalam sebuah kapal terbang menuju ke Detroit pada Disember 2009.
"Jika kami boleh menghantar mesej menerusi kata-kata kepada kamu (Obama), kami tidak akan menggunakan kapal terbang untuk menghantarnya.
"Mesej yang kami mahu hantar melalu kapal terbang itu melalui wira kami, Umar Farouk itu, semoga Tuhan bersamanya, mengesahkan mesej yang dihantar sebelum itu oleh wira kami dalam serangan 11 September," katanya yang jelas merujuk kepada insiden serangan ke atas AS pada 11 September 2001.
Rakaman audio selama 1.02 minit itu tidak menyentuh tentang pemberontakan yang sedang berlaku di dunia Arab.
Bagaimanapun, kumpulan jihad berkata rakaman audio itu dibuat seminggu sebelum kematian Osama, juga mempunyai mesej kepada mereka.

Pakistan tolak dakwaan 'lindungi' Osama


ISLAMABAD 10 Mei – Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani semalam menolak dakwaan pembunuhan Osama bin Laden oleh komando Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan ketidakmampuan atau penglibatan negaranya dalam menyembunyikan pemimpin al-Qaeda tersebut.

“Dakwaan penglibatan itu tidak masuk akal dan tidak jujur bagi sesiapa yang menuduh Pakistan termasuk pihak perisikan yang mungkin 'bekerjasama' dengan al-Qaeda,” kata Gilani.
Jelas Gilani, tindakan satu pihak oleh AS dalam melancarkan operasi memburu dan membunuh Osama menimbulkan kesan serta akibat yang serius antara AS dan Pakistan namun Pakistan masih mementingkan nilai kualiti perhubungan dengan AS. – Reuters

Al-Qaeda dalang serangan bom kereta di Iraq


DUBAI 10 Mei – Rangkaian al-Qaeda di Iraq mengaku menjadi dalang dalam serangan bom kereta yang telah mengorbankan 24 anggota polis dan mencederakan 72 yang lain pada minggu lepas di Hilla, selatan Baghdad, lapor kumpulan perisikan SITE Amerika Syarikat (AS) semalam.

Menurut SITE, al-Qaeda yang bersekutu dengan Negara Islam Iraq (ISI) mengaku bertanggungjawab dalam serangan pada 5 Mei tersebut.
Serangan di Hilla tersebut merupakan yang terburuk berlaku di Iraq sejak 29 Mac ketika sekumpulan lelaki bersenjata serta pengebom berani mati yang dipercayai anggota al-Qaeda menyerang bangunan Majlis Wilayah di tengah pusat bandar Tikrit dan mengorbankan 58 orang. – AFP

Al-Qaeda Iraq sokong Ayman


BAGHDAD 10 Mei – Rangkaian kumpulan militan al-Qaeda di Iraq menyatakan sokongan terhadap pergerakan di bawah pimpinan orang keduanya, Ayman al-Zawahri dan berikrar untuk membalas dendam di atas kematian Osama bin Laden.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web Islam semalam, Khalifah Negara Islam Iraq (ISC), Abu Baker al-Baghdadi al-Husseini al-Qurashi sedang berkabung di atas kematian Osama.
“Saya telah memberitahu saudara-saudara di dalam organisasi al-Qaeda termasuk al-Zawahri agar bergembira kerana kami menyokong anda dan berada di jalan yang benar serta tidak akan berhenti atau dipaksa keluar.
“Saya bersumpah di atas nama tuhan, darah untuk darah dan kehancuran untuk kehancuran,” kata Abu Baker dalam kenyataan tersebut. – Reuters

Adik Beng Hock diberi amaran





KELUARGA mendiang Teoh Beng Hock hadir dalam memberi keterangan semasa prosiding suruhanjaya siasatan di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 9 Mei – Teoh Lee Lan, adik kepada Teoh Beng Hock yang hadir memberi keterangan hari ini diberi amaran supaya tidak mengeluarkan kenyataan tidak berasas terhadap suruhanjaya siasatan kematian lelaki tersebut sebagaimana yang disiarkan oleh sebuah laman sesawang pada hujung bulan lalu.
Pengerusinya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan yang ada terhadap eksekutif akaun itu sekiranya dia berbuat demikian.
‘‘Kami bekerja sehingga larut malam serta lebih masa untuk mencari kebenaran. Kami merasa tersinggung dengan tuduhan seperti itu.
‘‘Malah peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong membuat kenyataan bahawa tidak ada bukti yang menyokong dakwaan tersebut. Kami tidak akan biarkan perkara sebegini merosakkan prosiding,’’ tegas beliau.
Lee Lan, 31, yang dikatakan mendakwa suruhanjaya siasatan itu berpakat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila menangguhkan prosiding untuk memastikan keterangan saksi-saksi selari, pada mulanya terpinga-pinga bagaimanapun menafikan membuat kenyataan itu.
Berita bertajuk ‘RCI sekongkol dengan SPRM’ yang memetik kata-kata wanita itu disiarkan oleh portal berita tersebut pada 28 April lalu.
Cheng Yuen juga sekali lagi menegur Lee Lan apabila saksi itu berkata bahawa dia akan mempunyai keyakinan terhadap suruhanjaya sekiranya badan itu benar-benar jujur dan ikhlas dalam mencari kebenaran.
‘‘Lee Lan telah bercakap lebih daripada cukup. Kami tidak akan benarkan awak menuduh kami. Perkara ini lebih besar daripada apa yang kamu fikirkan,’’ kata Cheng Yuen sebelum melepaskan saksi itu.
Sementara itu, Soh Cher Wei, tunang kepada Beng Hock tidak dapat menahan kesedihan sewaktu memberi keterangan apabila menangis sebanyak dua kali ketika menceritakan tentang personaliti Setiausaha Politik Exco Selangor itu serta hubungan mereka.
‘‘Saya anggap dia sebagai seorang lelaki yang akan bersama saya dan menjadi teman hidup saya sehingga ke akhir hayat saya,’’ katanya semasa menjawab soalan anggota suruhanjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.
Sebelum itu, Cher Wei yang merupakan guru di sebuah sekolah rendah juga menitiskan air mata apabila menceritakan Beng Hock lebih pandai memasak berbanding dirinya dan betapa lelaki itu begitu menyayangi keluarganya dan pulang ke Melaka hampir setiap minggu.
Saksi ke-66 itu bagaimanapun mengaku mereka sebenarnya merancang untuk berkahwin pada 2010 selepas menjalin hubungan sejak 2007 dan mempercepatkan tarikh perkahwinan selepas mendapati dirinya hamil pada awal Julai 2009.
Dia turut mengaku bahawa Beng Hock belum membuat pendaftaran perkahwinan dan merancang untuk berbuat demikian selepas mengambil gambar perkahwinan mereka pada 18 atau 19 Julai 2009, manakala majlis perkahwinan dijadualkan pada 3 Oktober tahun yang sama.
Cher Wei dan Beng Hock mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 22 Februari 2010 dan turut dibawa ke mahkamah hari ini.
Turut memberi keterangan hari ini ialah bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee, 63, dan abang lelaki itu, Teoh Meng Kee, 35, serta pegawai SPRM, Azean Omar yang dipanggil semula untuk memberi penjelasan tentang beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar olehnya.
Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.

Israel rancang keluar bateri pintas roket



Gambar fail bertarikh 27 Mac lalu merakamkan beberapa orang tentera Israel berkawal dekat pelancar sistem pintasan roket Iron Dome di selatan bandar Beersheba. - Reuters


BAITULMAQDIS 9 Mei - Israel merancang melabur sebanyak AS$1 bilion (RM3 bilion) dalam pembangunan dan pengeluaran bateri untuk sistem pintasan roketnya, Iron Dome.
Pengarah Kementerian Pertahanan, Mejar Jeneral Udi Shani memberitahu akhbar Haaretzbahawa lima negara telah pun menyatakan minat terhadap sistem berkenaan yang berjaya digunakan dalam memintas serangan roket dari Gaza pada awal April lalu.
Bagaimanapun, Shani dalam temubual pertamanya sejak dilantik pada Januari lalu, memberi amaran bahawa kapasiti sistem itu perlu diletakkan dalam perspektif terlebih dahulu.
''Kami perlu menyesuaikan jangkaan berhbung Iron Dome. Kami berjaya mencapai kapasiti operasi lebih awal daripada dijangkakan tetapi ia bukan satu sistem yang boleh memmastikan pintasan roket dalam setiap situasi,'' ujarnya. - AFP

Abu Bakar Bashir terlepas hukuman gantung



JAKARTA 9 Mei - Pendakwa raya Indonesia hari ini menggugurkan dakwaan paling serius kegiatan keganasan ke atas guru radikal agama Abu Bakar Bashir kerana kekurangan bukti, sekali gus mengubah hukuman gantung yang dihadapinya sebelum ini kepada penjara seumur hidup.
Pendakwa raya semasa perbicaraan hari ini berhujah bahawa dakwaan membekalkan senjata api dan bahan letupan untuk kegiatan keganasan ke atas Abu Bakar yang memperuntukkan hukuman mati, 'tidak boleh dibuktikan dengan yakin'.
Turut digugurkan ialah dakwaan menghasut keganasan, sekali gus meninggalkan hanya satu pertuduhan ke atasnya iaitu membiayai kegiatan keganasan yang mana pihak pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara seumur hidup.
Beratus-ratus penyokong guru radikal tersebut bersorak kegembiraan selepas mengetahui keputusan berkenaan.
Kira-kira 2,500 anggota polis ditempatkan di mahkamah hari ini bagi mengawal keselamatan semasa prosiding mahkamah dijalankan.
Dengan pengguguran dakwaan itu, Abu Bakar kini berhadapan hanya satu pertuduhan kerana membekalkan dana untuk kumpulan al-Qaeda Aceh yang merancang serangan ala-Mumbai di Indonesia.
Abu Bakar ketika diiringi keluar dari mahkamah berkata, dia menafikan dakwaan tersebut dengan menyamakan pendakwa raya sebagai 'rakan syaitan'.
"Rakan syaitan selalu begitu, mereka sering tidak sependapat dengan orang yang cuba mempertahankan Islam.
"Mereka sangat biadab dan seharusnya dilabel sebagai pengganas. Semoga Allah menurunkan bala ke atas mereka secepat mungkin," katanya. - AFP

‘Ini kerja polis, biar mereka siasat’


PUTRAJAYA: “Kerja menyemak blog itu kerja polis. Beri peluang kepada polis siasat perkara itu,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ditanya sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan turut menyiasat penyebaran artikel berkaitan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu membabitkan isu keselamatan negara manakala Jakim hanya menguruskan hal ehwal berkaitan Islam sahaja. “Jakim tidak akan campur tangan dalam siasatan itu kerana ia bukan hanya membabitkan agama Islam semata-mata, tetapi ia berkait dengan hal ehwal agama lain dan keselamatan negara. “Kami akan tunggu hasil siasatan polis. Hal berkaitan usaha menukar agama lain menjadi agama rasmi Persekutuan adalah kerja polis dan Jakim tiada kuasa untuk siasat.

“Ini penting (untuk diketahui) jika tidak, akan berlaku pertembungan antara Islam dan agama lain,” katanya pada pemberita selepas menerima kunjungan hormat 10 pensyarah dan profesor dari Universiti Al-Azhar Mesir di pejabatnya di sini, semalam. Sebelum ini, media melaporkan mengenai blog yang menyiarkan artikel berjudul ‘Making The Christianity Official Religion’ yang mendedahkan pertemuan sekumpulan 100 paderi dalam usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada kerajaan menyiasat dakwaan usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara. Mengenai 10 pensyarah dan profesor berkenaan, Jamil Khir berkata, mereka rata-rata berkelulusan doktor falsafah (Phd) dan akan berkhidmat sebagai tenaga pengajar secara kontrak selama dua tahun.

Hanya bergantung pada nasi


NASI untuk hidangan pagi, tengah hari dan malam.
NASI untuk hidangan pagi, tengah hari dan malam.

LONDON: Seorang katerer yang berdepan dengan pelbagai alahan makanan sejak lebih 10 tahun lalu kini terpaksa bergantung kepada nasi semata-mata.
Micaela Stafford, 53, sebelum ini gemar memakan makanan bergoreng ketika sarapan dan makanan yang dipanggang untuk makan malam. Tetapi kini tubuhnya menolak semua makanan termasuk susu, protein dalam bijirin, gandum, gula, minyak dan lemak.

Ibu dua anak itu menderita reaksi fizikal yang teruk jika memakan apa saja makanan, memaksanya hanya memakan nasi untuk sarapan, makan tengah hari dan malam.

Pakar perubatan bimbang Micaela boleh menderita masalah kesihatan yang serius yang belum pernah didiagnosa, menghalangnya daripada mendapatkan zat makanan.

Micaela yang berasal dari Loughborough, Leicestershire, berkata: “Jika saya melanggar pantang, saya akan terlantar di atas katil selama seminggu. Tubuh saya tidak boleh berfungsi.

“Kadang kala saya merasakan saya tidak mempunyai tenaga untuk melawannya lagi. Saya putus asa.


“Saya mahukan kehidupan saya kembali. Saya tidak mahu hidup seperti ini. Saya ingin melakukan apa saja, termasuk menikmati kari.

“Saya begitu rindukan ais krim dan makanan pencuci mulut. Saya inginkan sesuatu yang mempunyai rasa. Tetapi ia semakin sukar untuk saya.” Pakar pemakanan, usus dan juga juga ahli neurologi hairan dengan keadaan yang dialami Micaela yang bermula pada 1999 apabila dia pening setiap kali memakan makanan yang berasaskan tenusu.
Semakin lama semakin banyak makanan yang tidak boleh dimakannya dan sehingga ini, hanya tinggal nasi saja.

Jika makan selain daripada nasi, Micaela mengalami sakit kepala berpanjangan dan cirit-birit serta sakit sendi di seluruh tubuhnya. - Agensi

Pengantin baru dilarang berborak panjang di telefon


NEW DELHI: Sebuah kerajaan negeri mengarahkan pengantin wanita mengurangkan berbual di telefon bimbit dalam tempoh dua tahun pertama perkahwinan bagi mengelak rasa cemburu pasangan masing-masing.
Suruhanjaya Wanita Punjab mengeluarkan arahan rasmi mengenai perkara itu minggu lalu dan menggesa pengantin wanita memberi fokus kepada hal rumah tangga berbanding berborak di telefon bimbit.

Ketua suruhanjaya itu, Gurdev Kaur Sangha, berkata arahan itu boleh mengelakkan rasa curiga di antara pengantin baru sementara mereka menyesuaikan diri sebagai suami isteri.

“Saya dapati hampir 40 peratus wanita menuntut cerai apabila suami dan keluarga mentua mereka kurang senang dengan perbuatan mereka berborak panjang di telefon bimbit,” katanya.

Di kalangan suami pula, kata Gurdev, mereka bimbang jika isteri berhubung dengan bekas kekasih masing-masing. - AFP

Ahmadinejad nafi diugut Khamenei


AHMADINEJAD (kanan) bersama Khamenei di Tehran, Sabtu lalu.
AHMADINEJAD (kanan) bersama Khamenei di Tehran, Sabtu lalu.



TEHERAN: Pejabat Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menafikan laporan media bahawa Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei memberi kata dua kepada pemimpin itu agar secara terbuka menyokong menteri perisikan atau diminta berundur. 

Akhbar termasuk Shargh berpusat di sini, melaporkan bahawa ada perbalahan meluas di antara pemimpin Iran, berikutan pertikaian Ahmadinejad dengan menterinya Heidar Moslehi.
Akhbar Aftab berpusat di sini 5 Mei lalu melaporkan Khamenei mengeluarkan kata dua kepada Ahmadinejad supaya melantik semula menteri berkenaan, memetik anggota parlimen Morteza Agha-Tehrani sebagai berkata.
“Berita itu salah dan justeru ia dinafikan,” kata pejabat presiden dalam satu kenyataan diterbitkan lewat kelmarin menerusi laman webnya. 

“Kami memohon semua media mengelak menerbitkan berita tidak rasmi mengenai presiden.” 

Khamenei pemimpin tertinggi negara itu bulan lalu mengembalikan jawatan Moslehi, yang mana peletakan jawatannya sebelum ini diterima presiden. 

Ahmadinejad memulaukan mesyuarat rasmi selama seminggu selepas pengembalian jawatan terbabit, walaupun beliau menafikan wujud konflik apabila beliau kembali bertugas 2 Mei lalu. Beliau tidak menjelaskan ketidakhadirannya dan masih belum menyokong Moslehi. 
Dalam satu ceramah di sini kelmarin, ulama kanan, Kazem Sedighi menggesa presiden tunduk kepada permintaan Khamenei, lapor agensi berita Fars. 

“Jika pemimpin agung meneliti kerja presiden ia adalah kerana beliau tahu apa yang baik untuk negara dan kerajaan dan sebagai penjaga, beliau mengawal situasi supaya tiada seorang pun akan berpaling tadah,” kata Sedighi kepada satu perhimpunan di sini. 

“Presiden, anda berkata anda akan membawa musuh supaya melutut mematuhi pemimpin agung. Namun kata-kata tidak cukup buat kami, kami sedang menunggu tindakan anda,” kata Sedighi. – Agensi 

Ameng Spring dendang Mati Hidup Semula di Penjara Kluang


 AMENG (depan)   ketika Program Mesej Dari Penjara Zon Selatan bersama rakan-rakannya di Penjara Kluang, semalam.
AMENG (depan) ketika Program Mesej Dari Penjara Zon Selatan bersama rakan-rakannya di Penjara Kluang, semalam.

KLUANG: Penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Ameng, semalam sekali lagi menimbulkan kontroversi, apabila dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, akibat kesalahan mengedar dadah.

Hukuman itu bukan saja menimbulkan kejutan kepada kedua orang tua penyanyi yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Butakah Cinta itu malah menyebabkan orang ramai yang hadir turut tergamam apabila mahkamah menjatuhkan hukuman berkenaan.
Bagaimanapun ‘kejutan’ itu sebenarnya antara adegan dipersembahkan Ameng yang memegang watak sebagai Hairul bersama rakannya dalam sketsa dipersembahkan Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Penghuni Penjara Kluang sempena Program Mesej Dari Penjara: Zon Selatan, yang diadakan di sini, semalam.
Malah persembahan sketsa Ameng yang juga vokalis kumpulan Spring serta rakannya itu meruntun perasaan orang ramai selepas dia mendendangkan lagu Mati Hidup Semula yang pernah dipopularkan Jamal Abdillah ketika teater berkenaan.

Program Mesej Dari Penjara: Zon Selatan itu program pertama yang diadakan di penjara negara ini bagi memasyarakatkan penjara serta membolehkan banduan dan pesalah diterima semula dan tidak disisihkan masyarakat apabila mereka keluar.

Antara pengisian program yang membabitkan masyarakat setempat itu adalah persembahan teater, ceramah Mesej Dari Penjara, sesi dialog serta pameran hasil kerja tangan banduan yang dijual termasuk batik, kraftangan kayu dan kuih-muih.
Ia dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai. 

Militan Singapura ditahan bawah ISA



KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Singapura ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Jumaat lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, penahanan terhadap Abdul Majid Kunji Mohamad, 60, yang merupakan seorang ahli perniagaan itu dibuat di satu lokasi di ibu negara.
“Kita mengesyaki Abdul Majid terlibat dalam menyalurkan dana dan bantuan logistik kepada sebuah kumpulan militan yang beroperasi di selatan Filipina.
“Penahanan itu dibuat kerana polis percaya penglibatannya itu boleh memudaratkan keselamatan negara,” kata beliau menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, satu sumber keselamatan memberitahu, Abdul Majid yang terlibat dalam kegiatan militan melarikan diri dari Singapura sebelum bersembunyi di negara ini sejak empat tahun lalu.
Sejak berada di Malaysia, kata sumber itu lagi, Abdul Majid didakwa berjaya memiliki sebuah syarikat mengusahakan perniagaan tekstil di ibu negara.
“Kita percaya Abdul Majid menyalurkan dana untuk Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) di selatan Filipina,” kata sumber itu.

'Kami dilayan macam mafia'



AKTIVITI jualan kereta mewah oleh Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) terjejas akibat serbuan pihak berkuasa. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Operasi perniagaan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) yang mencecah ratusan juta ringgit setahun kini terjejas berikutan serbuan oleh pihak berkuasa ke atas lebih 20 ahli persatuan itu baru-baru ini.
Ia berikutan tindakan pihak berkuasa membekukan akaun syarikat-syarikat itu bagi membolehkan siasatan dilakukan atas dakwaan mengikrar kenderaan di bawah harga sebenar dan membabitkan cukai tertunggak yang belum dibayar.
Empat agensi iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja dan Bank Negara Malaysia terlibat dalam serbuan pada 5 Mei itu.
Yang Dipertua Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman mempertikaikan operasi tersebut yang disifatkannya keterlaluan apabila akaun syarikat-syarikat tersebut turut dibekukan.
“Ada ahli-ahli kami dimaklumkan oleh pegawai terbabit bahawa mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Jika benar, Pekema amat kesal kerana peniaga Bumiputera seperti kami dilayan bagaikan pengganas dan mafia.
“Operasi tersebut memberi kesan negatif kepada ahli-ahli kami yang ada di antara mereka sudah pun menjalankan perniagaan sejak 30 tahun lalu.
“Mereka akan berhadapan dengan masalah operasi termasuk sukar membayar gaji para pekerja,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau menjelaskan, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dimaklumkan mengenai perkara tersebut terlebih dahulu.