Monday, November 17, 2014

AS Tuduh Qatar Biar Dua Pembiaya Al Qaeda Hidup Bebas


Diterbitkan: Ahad, 16 November 2014 1:19 PM

AMERIKA SYARIKAT (AS) mendakwa Qatar masih membiarkan dua individu yang bertanggungjawab membiayai Al Qaeda hidup bebas di Doha walaupun negara itu mengakui tidak menyokong kumpulan militan.
Menurut laporan media negara barat itu, Khalifa Muhammad Turki al-Subaiy dan Abd al-Rahman bin Umayr al Nuaymi kini hidup bebas walaupun disenaraikan sebagai pembiaya utama kumpulan militan.
Malah AS juga dilapor mempunyai maklumat penuh mengenai kediaman kedua-dua penaja terbabit di Doha.
Menurut pegawai AS, negara itu dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengklasifikasikan dua individu terbabit sebagai penaja kumpulan militan namun tiada tindakan daripada negara teluk itu.
Berikutan itu, Qatar dituduh sengaja membiarkan dua lelaki terbabit untuk terus membiayai kumpulan Al Qaeda yang merupakan militan terbesar.

MH17: Operasi kutip serpihan pesawat bermula

HRABOVE, Ukraine: Petugas mula mengutip serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 di kawasan yang dikuasai pemisah di timur Ukraine hari ini, empat bulan selepas pesawat berkenaan ditembak jatuh.
Operasi itu dijalankan di bawah seliaan penyiasat Belanda dan pegawai Pertubuhan Untuk Keselamatan Dan Kerjasama di Eropah.
Serpihan pesawat itu akan diangkut dengan kereta api ke bandar Kahrkiv di kawasan timur Ukraine yang dikuasai kerajaan.
Siasatan punya kejadian itu dilakukan di sana dan Belanda.
Alexander Kostrubitsky, ketua perkhidmatan kecemasan di wilayah Donetsk yang dikuasai pemisah, berkata kerja mengumpul serpihan pesawat itu boleh mengambil masa sehingga 10 hari.
Katanya, serpihan besar dipotong kepada bahagian lebih kecil untuk memudahkan ia diangkut.
Semua 298 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terkorban apabila ia ditembak jatuh pada 17 Julai lalu. - AP

Perdana Menteri Romania tewas dalam pilihan raya presiden

BUCHAREST: Perdana Menteri Romania, Victor Ponta menyatakan beliau menerima kekalahannya dalam pilihan semula presiden di tangan pencabarnya, Klaus Iohannis.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Iohannis di atas kemenangannya. Rakyat selalunya membuat pilihan yang betul," kata Ponta yang sebelum ini dijangka akan menang pilihan raya itu.
"Kami sudah menang!," kata Iohannis, yang juga bekas Datuk Bandar Sibiu pada laman Facebooknya.
Pilihan raya itu dilihat sebagai antara yang paling penting di negara termiskin di Eropah itu dalam usahanya untuk membanteras budaya rasuah.
Ponta, 42, berharap untuk menjadi Presiden Romania paling muda dan memperkukuhkan kekuasaan parti Sosial Demokrat pimpinannya di bekas negara komunis itu.
Keputusan rasmi pilihan raya itu akan diumumkan hari ini. - AFP

Burkina Faso namakan bekas Menteri Luar sebagai presiden peralihan

OUAGADOUGOU: Burkina Faso hari ini menamakan bekas Menteri Luar, Michel Kafando sebagai presiden peralihan, langkah penting ke arah mengembalikan demokrasi di negara Afrika Barat itu selepas pengambilalihan sementara pihak tentera.
Kafando dipilih sebagai sebahagian daripada piagam peralihan yang dipersetujui selepas penggulingan Presiden Blaise Compaore pada 31 Oktober lalu berikutan bantahan orang ramai.
Sehari kemudian, Compaore digantikan oleh Leftenan Kolonel Isaac Zida. - Reuters

Polis Kenya serbu masjid di Mombasa jejaki militan

NAIROBI: Seorang lelaki terbunuh hari ini ketika pasukan keselamatan Kenya menyerbu beberapa masjid di Bandar Mombasa untuk mencari senjata dan penyokong radikal militan Shebab yang ada kaitan dengan rangkaian al-Qaeda Somalia.
Menurut polis, anggota keselamatan memulakan operasi awal pagi ini dan mensasarkan Masjid Musa dan Masjid Sakina di Mombasa.
"Kami mendapat maklumat kumpulan terbabit sedang merancang untuk melakukan serangan, menyebabkan serbuan itu dilakukan," kata Ketua Polis Mombasa, Geoffrey Mayek.
Polis menahan beberapa orang, termasuk enam pengikut tegar.
Polis berkata seorang lelaki terbunuh tetapi tidak memberi maklumat bagaimana dia maut ketika operasi berkenaan diteruskan.
Bandar berkenaan dilanda beberapa kejadian pengeboman dan tembakan sejak Kenya menakluki Somalia pada 2011 bertujuan untuk menyerang Shebab.
Pada September 2013 kumpulan Shebab terbabit dalam melancarkan serangan di pusat beli-belah Westgate di Nairobi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 67 terbunuh.
Ia dikatakan sebagai amaran kepada Kenya supaya menarik keluar pasukan keselamatannya dari selatan Somalia. - AFP

Kapal angkasa baharu NASA sedia untuk penerbangan ujian


KAPAL ANGKASA Orion tiba di Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Florida pada Rabu lepas.


CAPE CANAVERAL, Florida – Sebuah kapal angkasa baharu Amerika Syarikat(AS) yang direka untuk membawa angkasawan ke Bulan, Planet Marikh dan destinasi lain melangkaui Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) tiba di pad pelancarannya di sini baru-baru ini.
Kapal angkasa tersebut, Orion akan menjalani penerbangan ujian tanpa membawa manusia pada bulan depan.
Kapsul milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) itu melalui perjalanan sejauh 35 kilometer selama semalaman dan tiba di pad pelancarannya pada Rabu lalu.
Orio kemudian diletakkan di atas roket Delta IV untuk pelancaran ujian pada 4 Disember depan.
Penerbangan ujian tersebut bertujuan menguji sistem komputer, perisai haba, payung terjun dan peralatan lain yang dipasang pada Orion.
“Ini merupakan langkah pertama kami ke arah penerokaan Marikh,” kata Pengarah Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Bob Cabana pada satu sidang media di sini.
Semasa penerbangan ujian itu, Orion akan terbang mengelilingi Bumi sebanyak dua kali pada ketinggian 5,800 kilometer sebelum menjunam ke atmosfera selaju hampir 32,000 kilometer sejam pada suhu sekitar 2,200 Celsius.
“Penerbangan sulung ini amat penting bagi kami,” kata Pengarah Pusat Angkasa Lepas NASA di Houston, Ellen Ochoa.
Dalam tempoh empat setengah jam selepas pelancarannya, kapal angkasa itu dijadual melakukan pendaratan dengan bantuan payung terjun di Lautan Pasifik pada jarak 1,000 kilometer dari San Diego, AS.
NASA membelanjakan sekitar AS$375 juta (1.2 bilion) untuk penerbangan ujian tersebut tidak termasuk kos Orion manakala perbelanjaan keseluruhan untuk misi berkenaan mencecah million AS$15 bilion (RM50 bilion). – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3JKsU29G1 
Hakcipta terpelihara 

Sut robot bantu lelaki berjalan


Gareth Herridge berjalan semula dengan bantuan sut robot.
Gareth Herridge berjalan semula dengan bantuan sut robot.
LONDON - Seorang lelaki yang lumpuh selama sedekad mampu berjalan semula dengan bantuan sut robot.

Gareth Herridge, 32, lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2005 lapor Daily Mail.

Dalam satu demonstrasi di Universiti James Cook baru-baru ini, Herridge mampu berdiri dan berjalan selepas memakai sut tersebut.

Difahamkan, Herridge menjadi individu pertama di United Kingdom yang menjalani percubaan tersebut.

Sut robot berkenaan atau dikenali sebagai The Rex exosceleton direka dan dibangunkan oleh sebuah firma di New Zealand.

Ia juga bakal digunakan untuk tujuan fisioterapi bagi individu yang mengalami kecederaan belakang dan pesakit strok.

Harga sut robot itu dianggarkan bernilai 90,000 pound (RM471,000).   

Ubat alzheimer boleh henti ketagihan


Penyelidik di Amerika Syarikat temui kaedah bagi menghentikan ketagihan terhadap makanan ringan.
Penyelidik di Amerika Syarikat temui kaedah bagi menghentikan ketagihan terhadap makanan ringan.
MASSACHUSETTS - AMERIKA SYARIKAT. Satu kajian yang dijalankan penyelidik Amerika Syarikat mendapati ubat digunakan bagi merawat penyakit alzheimer, boleh menghentikan ketagihan terhadap makanan ringan.

Pakar psikiatri dan farmakologi, Pietro Cottone dari Sekolah Perubatan Universiti Boston berkata, dadah memantine bertindak mengurangkan tingkah laku ketagihan dan impulsif berkaitan dengan masalah itu dipetik laporan Mirror.

"Apabila dadah memantine diletakkan di nucleus accumbens (bahagian otak), semua isyarat berkaitan ketagihan terhadap makanan ringan disekat," katanya.

Menurut Cottone lagi, kajian tersebut diharap dapat membantu seseorang itu menjalani kehidupan lebih sihat.

Larangan wanita jadi jurusolek ditarik balik


Pelakon India, Kareena Kapoor menyolek wajahnya semasa mempromosikan filem beliau.
Pelakon India, Kareena Kapoor menyolek wajahnya semasa mempromosikan filem beliau.
NEW DEHLI - INDIA. Mahkamah Agung India pada Isnin lalu memerintahkan penarikan semula larangan perempuan yang bekerja sebagai jurusolek dalam industri filem.

Keputusan itu sekaligus berjaya mengakhiri amalan diskriminasi selama berpuluh tahun.

Industri filem India adalah antara yang paling produktif di dunia dengan hampir 1,500 filem dihasilkan setiap tahun, kebanyakannya di Bollywood.

Sebelum ini, Persatuan Solekan Artis dan Dandanan Rambut Filem (CCMAA) membuat larangan tidak rasmi pada perempuan sebagai jurusolek, walaupun golongan ini dibenarkan bekerja sebagai pendandan rambut untuk pelakon.

Hakim, Dipak Misra turut menambah syarat tambahan dalam keputusan itu iaitu jurusolek harus tinggal di bandar tertentu selama lima tahun untuk menjadi ahli persatuan itu.

Perintah mahkamah itu dibuat selepas seorang jurusolek, Charu Khurana memfailkan petisyen dan kesnya itu turut mendapat sokongan Suruhanjaya Kebangsaan untuk Wanita, sebuah pertubuhan yang melindungi hak-hak wanita.

Khurana yang mendapat latihan di Sekolah Solekan Filem di Los Angeles mengatakan, dia mungkin tidak akan mendapat pekerjaan sebagi jurusolek di Bollywood.

Setiap penerbit filem yang mahu mengambilnya bekerja, CCMA akan membantah dan berkata Khurana tidak boleh memecah tradisi yang telah menjadi ikutan sejak enam dekad lalu.

Khurana memberitahu, CCMAA menolak permohonannya hanya kerana dia seorang wanita.

"Saya mahu melawan. Saya mahu mencari nafkah dalam bidang yang saya telah dilatih.

"Pembikin filem tahu amalan ini tidak mengikut perlembagaan selama bertahun-tahun, tetapi tidak ada siapa pun yang menentangnya," katanya lagi.

Doktor bentuk wajah baharu mangsa renjatan elektrik



17 November 2014 12:56 AM

Wajah asal Yan Jianbin.– AGENSI


BEIJING 16 Nov. – Doktor di China terpaksa menyuntik bahagian dada seorang lelaki sehingga membentuk benjolan seperti bola keranjang bagi mewujudkan struktur wajah baharunya.
Portal Mirror.co.uk melaporkan, prosedur itu dilakukan selepas wajah Yan Jianbin melecur akibat terkena renjatan elektrik, menyebabkannya hilang mata kanan dan hidung.
Ketika kejadian, dia cuba membuka pintu sebuah transformer elektrik bervoltan tinggi semasa bekerja.
Suntikan itu membolehkan kulit pada dada Jianbin membesar supaya doktor boleh membentuk struktur wajah pada bahagian kulit sebelum digantikan pada wajahnya yang rosak.
Proses pemulihan itu telah berjalan selama enam bulan di Hospital Besar Tentera Shenyang di wilayah Liaoning.
Menurut doktor, keseluruhan pembedahan itu dibahagikan kepada lima fasa dan mengambil tempoh selama dua tahun untuk siap.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/doktor-bentuk-wajah-baharu-mangsa-renjatan-elektrik-1.25472#sthash.XgKtiTxB.dpuf