Thursday, October 31, 2013

7 juta remaja hamil


London: “Jumlah remaja hamil di negara membangun semakin menurun tetapi lebih tujuh juta gadis bawah umur 18 tahun masih melahirkan bayi setiap tahun,” menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Dana Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Aktiviti Kependudukan (UNFPA) menegaskan remaja hamil bawah usia 14 tahun menghadapi masalah sosial dan kesihatan berbanding wanita berumur bawah 18 tahun di negara membangun.
Laporan berkenaan meliputi kajian mengenai kelahiran wanita bawah 18 tahun di seluruh negara, menggariskan punca remaja hamil dan tindakan yang perlu diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Realitinya kehamilan remaja biasanya bukan secara sengaja tetapi kerana tiada pilihan dan di luar kawalan seseorang gadis,” kata pengarah eksekutif UNFPA, Dr. Babatunde Osotimehin.


“Ia berlaku kerana sedikit atau tiada langsung akses ke sekolah, pekerjaan, maklumat bermutu dan penjagaan kesihatan.” katanya.


Laporan itu turut menegaskan kadar tinggi remaja hamil berkaitan dengan masalah sosial lain: “Kehamilan awal menggambarkan kelemahan, kemiskinan dan tekanan” daripada pasangan, rakan, keluarga dan komuniti. Dalam kebanyakan situasi, ia kesan hubungan seksual ganas.

Bukti isu itu ketara di negara maju dengan 95 peratus kelahiran remaja bawah 18 tahun berlaku di sana. Sebanyak 10 peratus wanita berusia 20-24 tahun di Timur Tengah dilaporkan melahirkan seorang bayi sebelum berusia 18 tahun, sementara 22 peratus lagi di Selatan Asia dan 28 peratus di Barat dan Tengah Afrika, kata laporan itu.

Menurut laporan itu beberapa negara menunjukkan kadar kelahiran wanita sebelum 15 tahun mula menurun seabad lalu.

“Aliran berkahwin awal dan dirancang semakin menurun tetapi secara keseluruhan ia memerlukan tindakan segera,” menurut laporan berkenaan

Menurut Osotimehin, kelahiran atau kehamilan remaja tidak boleh diterima.

“Sama ada naik atau turun bukan isunya. Bilangan 7.3 juta itu sangat tinggi,” katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/3

AS pula dakwa Eropah intip


Jeneral Keith Alexander (dua dari kiri) dan James Clapper (dua dari kanan) memberi keterangan pada Jawatankuasa Dewan Perisikan di Washington pada 29 Oktober lalu. - REUTERS
WASHINGTON 30 Okt. - Selepas dituduh melakukan pengintipan ke atas pemimpin-pemimpin Eropah, ketua-ketua perisikan Amerika Syarikat (AS), pula menuduh agensi-agensi perisikan negara-negara dari benua itu melakukan perbuatan serupa dan berkongsi maklumat risikan sesama mereka.
Ketua-ketua perisikan terbabit turut menangkis dakwaan bahawa agensi perisikan AS mengumpul data ke atas berjuta-juta panggilan telefon dengan mendakwanya sebagai 'semuanya palsu' dan menyatakan akhbar-akhbar Eropah membuat dakwaan itu kerana tidak memahami data yang mereka terima.
Ketua Agensi Keselamatan Nasional (NSA), Jeneral Keith Alexander dan Pengarah Perisikan Nasional, James Clapper berkata demikian ketika memberikan keterangan kepada Kongres.
Mereka berkata, laporan akhbar berkenaan dibuat berdasarkan salah faham terhadap maklumat yang diberikan oleh bekas kontraktor keselamatan AS, Edward Snowden kepada akhbar-akhbar Eropah.
''Kenyataan oleh wartawan Perancis, Sepanyol dan Itali bahawa NSA mengumpul berpuluh juta panggilan telefon adalah salah. Ia bukan maklumat yang dikumpul daripada rakyat Eropah,'' kata Alexander kepada Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan.
Alexander berkata, wartawan salah mentafsir data yang dibocorkan berhubung operasi risikan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Dewan Senat, Dianne Feinstein turut mendakwa media Eropah tersalah lapor dakwaan tersebut.
''Ia bukan maklumat yang dikumpul oleh AS berhubung Perancis dan Jerman. Ia dilakukan oleh Perancis dan Jerman. Ia tidak ada kena-mengena dengan rakyat mereka tetapi tentang kawasan perang NATO seperti Afghanistan,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131031/lu_02/AS-pula-dakwa-Eropah-intip#ixzz2jF1g063x
© Utusan Melayu (M) Bhd