Showing posts with label James Bond. Show all posts
Showing posts with label James Bond. Show all posts

Friday, May 27, 2011

Novel James Bond terbaru dilancar




PENULIS Jeffery Deaver bersama seorang gadis Bond semasa majlis pelancaran novel terbaru James Bond berjudul Carte Blanche di London, semalam. - AP


LONDON 26 Mei - Novel terbaru James Bond dilancarkan di sini semalam dengan kereta berkelajuan tinggi, wanita berpakaian kulit dan tentera laut turun dari bumbung menggunakan tali.
Carte Blanche, karya penulis buku aksi Amerika Syarikat (AS), Jeffery Deaver telah dilancarkan di stesen antarabangsa St. Pancras, tempat berlepas untuk perkhidmatan seluruh rangkaian kereta api.
Deaver muncul di bar di stesen dari kereta mewah Bentley Continental GT berwarna merah, diiringi gadisBond memakai pakaian kulit hitam.
Buku tersebut, bagaimanapun, dibawa oleh anggota tentera Pasukan Pertunjukan Marin Diraja yang menuruni bumbung stesen menggunakan tali.
Plot novel itu masih kekal dirahsiakan sehingga tengah malam (7 pagi waktu Malaysia), tetapi ia telah didedahkan bahawa watak 007 kali ini berkhidmat untuk Tentera Laut Simpanan Diraja, termasuk bertugas di Afghanistan, sebelum menyertai perkhidmatan perisikan.
Deaver berkata, ia merupakan keputusan yang mudah untuknya menulis pengembaraan terbaru Bond kerana dia merupakan peminat mendiang Ian Fleming, pencipta watak perisik yang terkenal di seluruh dunia itu.
"Kira-kira 18 bulan lalu, waris Ian Fleming bertanya kepada saya jika berminat untuk menulis sambungan novel, dan saya mempertimbangkan semuanya dalam masa tujuh saat dan berkata 'ya'. Saya sangat berminat untuk melakukannya.
"Ian Fleming merupakan pengaruh yang besar kepada saya. Saya membaca novel pertama James Bond ketika berusia lapan tahun," katanya.
Anak saudara perempuan Fleming, Lucy Fleming, yang turut berada semasa majlis pelancaran, berkata, jika dia (Ian Fleming) berada di sini hari ini, pasti dia akan menyukai saat ini. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Friday, October 29, 2010

Kereta James Bond dilelong RM12.8 juta



GAMBAR menunjukkan kereta Aston Martin DB5.

LONDON - Sebuah kereta Aston Martin DB5 berwarna perak yang pernah dipandu oleh pelakon Sean Connery dalam filem Goldfingerdan Thunderball dilelong di sini kelmarin pada harga £2.6 juta (RM12.8 juta).
Kereta unik yang mempunyai mesingan, nombor pendaftaran yang boleh berputar dan gear khas itu dibeli oleh pengumpul kenderaan klasik dari Ohio, Amerika Syarikat (AS), Harry Yeaggy.
Yeaggy, seorang ahli perniagaan yang mempunyai sebuah muzium peribadi di Ohio, berkata, dia tidak sabar untuk memandu kereta itu yang boleh bergerak selaju 233 kilometer sejam.
Menurutnya, kereta itu tidak pernah dilelong sebelum ini menyebabkan ia menjadi daya tarikan tinggi kepada pengumpul kereta klasik.
Pemilik asal kereta itu ialah pemilik stesen radio WBEB dari Philadelphia, AS, Jerry Lee.
Lee membeli kereta itu pada 1969 dengan harga AS$12,000 (RM37,296).
Lee berkata, hasil lelongan itu akan disumbangkan kepada sebuah yayasan miliknya untuk melakukan projek pendidikan dan antijenayah di peringkat antarabangsa.
Menurut, Ketua Pengarang majalah Classic & Sports Car Magazine,Mick Walsh, ia merupakan satu-satunya kereta filem James Bond yang tulen.
Kereta itu turut dilengkapi dengan alat pengesan, bumbung yang boleh dibuka, penyembur minyak, alat pelindung kalis peluru dan skrin asap.
Semua peralatan itu dikawal oleh togol dan suis tersembunyi.
Kereta Aston Martin itu dibuat dengan gabungan reka bentuk Itali dan kejuruteraan Britain.
Filem James Bond telah mempopularkan kereta Aston Martin walaupun kenderaan buatan tangan itu dianggap dijual pada harga yang amat mahal. - Agensi