SHAH ALAM 13 Ogos – Kerajaan negeri Selangor dicabar mengheret anggota Exconya, Ronnie Liu menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi membolehkan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dijalankan.
Timbalan Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr. Ching Eu Boon berkata, tindakan itu akan membuktikan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang benar-benar adil, bertanggungjawab dan telus dalam pentadbiran seperti dilaung- laungkan sebelum ini.
Menurutnya, meskipun pembantu Ronnie, Tee Boon Hock telah dipecat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 6 Ogos lalu atas dakwaan mengeluarkan surat sokongan untuk mendapatkan peluang perniagaan, ia dilihat tidak adil kerana hanya melibatkan sebelah pihak sahaja.
‘‘Persoalannya kenapa Boon Hock sahaja yang disiasat oleh kerajaan negeri, kenapa tidak Ronnie?
‘‘Mengapa tidak diadakan sesi pendengaran awam Selcat yang dianggap mereka sebagai simbol ketelusan dengan memanggil Ronnie memberi keterangan mengenai dakwaan penyalahgunaan kepala surat itu?
‘‘Selcat juga dalam masa yang sama boleh mendapatkan keterangan daripada Boon Hock sendiri,” katanya dalam satu kenyataan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Tambah Eu Boon, walaupun Jawatankuasa Disiplin DAP semalam memberi amaran keras kepada Ronnie mengenai tanggungjawab memastikan ketelusan dan urus tadbir yang baik di kalangan kakitangannya, keputusan itu hanya melibatkan peringkat parti politik dan bukannya pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, Selangor tidak boleh mengamalkan sikap berat sebelah dalam soal berkenaan kerana jika berlaku perkara melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN), sudah pasti siasatan dan sesi pendengaran awam Selcat diadakan.
‘‘Jika dakwaan ini disiasat oleh kerajaan negeri, kenapa hanya pilih ‘tikus’ (individu) tertentu sahaja. Kenapa tidak dibuat melibatkan kedua-dua pihak ini (Boon Hock dan Ronnie)?" soalnya.
Sebelum ini Boon Hock menafikan menyalahgunakan kepala surat milik pejabat Ronnie yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri bagi mendapatkan kontrak bernilai RM1 juta untuk kroni dan seorang ahli keluarganya.
Boon Hock menjadi pembantu khas Ronnie bermula Mac 2008 hingga 18 November 2009 dan mewakili ADUN Pandamaran itu di kawasannya.
Ekoran kejadian itu, Boon Hock yang telah dipecat sebagai ahli DAP menganggap pemecatannya tergesa-gesa dan tidak adil selain membayangkan wujud konspirasi untuk menyingkirkannya sebelum pemilihan parti yang dijadualkan pada bulan ini.