Saturday, November 27, 2010

Jalan rosak, penoreh rugi



BUKIT KAYU HITAM - Laluan utama kira-kira 50 penoreh getah di Kampung Tok Kassim, Jalan Sintok di sini rosak teruk sejak enam bulan lalu sehingga menyukarkan mereka berulang alik ke kebun getah.

Keadaan itu bertambah teruk selepas ia dilalui kira-kira 10 lori yang mengangkut kayu getah keluar masuk melalui jalan itu setiap hari.

Penoreh, Zakaria Tahir, 68, mendakwa jalan tidak berturap sepanjang kira-kira tiga kilometer menghubungkan jalan utama ke kebun getah mereka itu dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung menggunakan tanah merah sahaja.

Menurutnya, mereka sendiri yang membina jalan tanah merah di situ bagi memudahkan pergerakan penoreh getah untuk berulang alik menoreh getah di situ sejak awal pagi.

“Bagaimanapun sejak enam bulan lalu, keadaan jalan di situ menjadi rosak kerana terdapat banyak lori muatan lebih 15 tan mengangkut kayu getah daripada sebuah tanah rancangan Felda dekat sini yang ditebang untuk tujuan projek tanaman semula.

“Ia semakin rosak selepas kerap dilalui lori berkenaan yang menggunakan jalan itu mengangkut kayu getah untuk dihantar ke kilang sebagai jalan pintas,” katanya kepada Sinar Harian.

Zakaria berkata, keadaan itu amat membahayakan penoreh getah yang menaiki motosikal untuk ke kebun mereka setiap pagi kerana bimbang tayar motosikal mereka tersangkut pada lopak yang berselut jika hari hujan.

Menurutnya, mereka juga membuat laporan polis berkaitan masalah itu bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

“Selain laporan polis, kami juga pernah berbincang dengan pemilik lori terbabit dan meminta mereka menggunakan laluan lain yang disediakan untuk mereka keluar masuk mengambil kayu getah namun mereka enggan disebabkan jalan ini lebih dekat dan dapat menjimatkan masa dan kos,” katanya.

Sementara itu, Baharom Husin, 60, berkata, kemalangan kecil pernah berlaku pada waktu pagi di mana penoreh yang bermotosikal terbabas kerana jalan di situ berlopak teruk ditambah keadaan laluan yang gelap pada waktu pagi.

Menurutnya, disebabkan masalah itu juga, banyak peraih yang enggan memasuki kebun mereka untuk membeli getah buku sejak kebelakangan ini.

“Ada juga peraih yang mengurangkan harga getah beku sebanyak 10 sen sekilogram apabila memasuki jalan itu untuk ke kebun mereka kerana bimbang kenderaan mereka rosak apabila melalui jalan berkenaan.

“Masalah ini jika tidak ditangani bukan sahaja akan mengancam keselamatan penoreh di sini malah turut menjejaskan pendapatan mereka yang hanya bergantung kepada hasil jualan getah buku kepada peraih itu,” katanya.

Pemuda lumpuh perlu kerusi roda



PADANG SIAM - Seorang pemuda yang lumpuh akibat terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jeli tiga minggu lalu mengharapkan bantuan kerusi roda untuk memudahkan dia bergerak.

Mangsa, Nik Mohamad Sharuddin Rashid, 18, kini tidak mampu menguruskan diri sendiri dan hanya mengharapkan bantuan ibunya, Tuan Aziah Tuan Kob, 46, sepenuh masa.

Nik Mohamad Sharuddin berkata, semenjak tulang pinggulnya patah dalam kemalangan terbabit, dia tidak dapat berjalan dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang lain untuk menguruskan diri.

“Saya terpaksa meminjam kerusi roda jiran untuk memudahkan pergerakan dan tidak menyukarkan ibu untuk membantu saya menguruskan diri,” katanya.

Anak keempat dari sembilan beradik itu berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan kerusi roda bagi kegunaannya.

“Pendapatan ayah yang bekerja kampung dan ibu pula suri rumah tidak mampu membeli kerusi roda.

“Lagipun ayah menanggung lima lagi adik yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan lebih,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu Nik Mohamad Sharuddin dikunjungi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Baharudin Yusof bagi melihat keadaan mangsa selain menyampaikan sumbangan kepada keluarga itu.

Baharuddin berkata, dia telah berbincang dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan kerusi roda terbabit dengan segera.

Nenek bernikah suami pula lari



KULIM - Kisah seorang nenek berusia 75 tahun yang sebelum ini dilaporkan melarikan diri dari rumah kerana terlalu sedih apabila hasratnya untuk menikahi kekasihnya seorang peladang berusia 42 tahun dihalang oleh waris dan anak-anak kerana faktor usia dilaporkan telah kembali ke pangkuan keluarga kelmarin.

Warga emas berkenaan yang uzur dilaporkan telah menghubungi warisnya dari Alor Setar kira-kira jam 3 petang dan meminta mereka mengambilnya kerana dia tidak tahu cara untuk balik ke rumah.

Ketika membuat laporan dan kenyataan di Balai Polis Kulim dia dalam keadaan lupa dan ini berlaku mungkin disebabkan faktor usia.

Menurut nenek berkenaan, dia pergi berjumpa dengan teman lelakinya dan bernikah di negara jiran tetapi tidak mengingati di mana majlis pernikahan itu dijalankan.

Apabila diajukan soalan oleh anggota polis di manakah surat pengesahan pernikahannya, dia mula bertanya kepada waris terdekat dan kemudiannya memaklumkan kepada polis segala surat menyurat ada dalam beg yang dilarikan oleh suaminya.

Menurut warisnya, nenek itu masih dalam keadaan keliru.

Katanya, ketika hendak mengambil nenek berkenaan pulang, lelaki yang dikatakan suaminya itu telah melarikan begnya di mana terdapat sejumlah RM1,700 termasuk dokumen perkahwinan mereka.

Waris mangsa tidak kisah sekiranya mereka benar-benar sudah bernikah.

Sinar Harian difahamkan, nenek terbabit sebelum ini tidak pernah berjumpa dengan lelaki yang dinikahinya.

Perkenalan mereka hanya melalui telefon sahaja dan dari itu timbul perasaan sayang antara mereka sehingga mengambil tindakan melarikan diri untuk bernikah di negara jiran.

Ketika ditanya oleh polis apakah dia akan terus bersama suami yang baru dinikahinya, dia kelihatan keliru dan memaklumkan tidak akan bersama suaminya lagi kerana dia berasa seperti ditipu dan diperdaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Su Song berkata, terdapat beberapa kejadian lari dari rumah dan ada dalam kalangan mangsa terlibat yang balik semula ke pangkuan keluarga dengan bantuan polis.

Katanya, masyarakat harus peka dengan permasalahan dialami oleh ahli keluarga masing-masing dan harus membuat laporan polis sekiranya ada antara mereka yang hilang atau tidak balik ke rumah.

“Saya meminta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan polis sekiranya ada ahli keluarga mereka lari atau hilang dari rumah. Dengan adanya laporan polis, kami boleh membantu mencari ahli keluarga mereka.

"Kita harus peka dan cuba mendalami masalah dialami oleh ahli keluarga kita. Keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan mereka yang terlibat ini tidak mengambil jalan mudah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Tiga kampung ditenggelami air



KERAMBIT - Hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak 9 malam kelmarin menyebabkan beberapa kampung tradisional di kawasan ini dilanda banjir kilat.

Seorang penduduk, Arman Aziz, 36, berkata, banjir berlaku dengan pantas apabila air dari sungai berdekatan melimpah dan memasuki beberapa rumah penduduk.

Menurutnya, banjir kali ini merupakan yang paling teruk pernah berlaku sejak dia dan isteri tinggal di kawasan berkenaan.

“Kira-kira jam 1.30 pagi, air mulai melimpah dan memasuki rumah saya. Saya bersama isteri bertindak mengalihkan barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh bagi mengelakkan ia rosak.

“Rumah yang kami duduki hanya 100 meter dari sungai. Hampir setiap tahun kawasan ini dilanda banjir, namun kejadian pada hari ini (semalam) adalah yang paling teruk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Seorang warga emas, Siti Ramlah Salleh, 63, berkata, air melimpah masuk ke dalam rumahnya sehingga paras dada menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah saudara di kawasan lebih tinggi.

“Ketika kejadian, saya bersama ahli keluarga lain sedang berborak di ruang hadapan rumah. Saya kemudiannya menjenguk ke bahagian dapur dan mendapati air sudah memasuki ruang berkenaan.

“Melihat keadaan itu, saya bersama ahli keluarga bertindak mengalih�kan barangan elektrik dan menyelamatkan dokumen penting, sebelum berpindah sementara ke rumah saudara berhampiran,” katanya.

Siti Ramlah berkata, air mulai surut sekitar jam 6.30 pagi dan mangsa yang terlibat terpaksa membersihkan kawasan rumah kerana diselaputi lumpur.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zahid Maulana berkata, sebanyak tiga kampung tradisional terbabit dengan banjir kilat itu.

“Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Padang Puyuh, Kampung Machang Berguling dan Kampung Putu di mana sembilan rumah penduduk dimasuki air.

“Pihak kami mendapat kerjasama daripada anggota bomba dan penyelamat, polis, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa agensi lain bagi membantu mangsa banjir berpindah ke tempat lebih selamat,” katanya.

Lumpuh akibat tergelincir




ATAS TOL – Seorang tukang rumah tidak mampu lagi bergerak dan berisiko lumpuh setelah mengalami patah tulang belakang dan kaki kiri akibat terjatuh sewaktu membaiki atap rumah rakannya di Kampung Bawah di sini. 

Dalam kejadian berlaku pada 1 November lalu, bapa kepada empat anak berumur sebulan hingga 15 tahun ini, Mat Rashid Jusoh, 48, tergelincir lalu terjatuh dari ketinggian lapan meter berikutan atap rumah yang dibaik pulih licin. 

Akibat kejadian itu, Mat Rashid terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu sebelum dimasukkan ke wad selama 13 hari dan menjalani pembedahan tulang belakang. 

Kini, dia yang tinggal bersama isteri, Norimah Rawi, 38, terpaksa mengharapkan bantuan kewangan adik-be�radik untuk menyara keluarga termasuk perhatian anak bagi membantunya bergerak selepas mengalami kecederaan. 

Lebih menyedihkan, seminggu selepas kejadian anak bongsunya yang dinamakan Habsyah dilahirkan. 

Namun kata Mat Rashid, kehadiran orang baru yang sepatutnya disambut dengan gembira sedikit suram apabila dia tidak dapat menyediakan keperluan anaknya itu. 

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan bersyukur kerana menerima bantuan kerusi roda Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Terengganu dari usaha Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong. 

“Dengan kerusi roda ini dapatlah saya bergerak dan tidak perlu lagi menyusahkan anak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas menerima bantuan itu disampaikan Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda di rumahnya di sini. 

Bagaimanapun, Mat Rashid masih tetap menaruh harapan agar dapat sembuh agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. 

Sementara itu, wakil JKM, Suriati Ali, 22 berkata, pihak JKM telah mengesyorkan agar penerima membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan persekolahan anaknya memandangkan kecederaan itu akan mengambil masa lama untuk pulih. 

“Maklumat awal kes ini telah diberikan kepada pihak yang terbabit. Selepas ini kita akan memperincikan lagi termasuk menyalurkan bantuan bulanan bagi keperluan anak mangsa yang ketika ini masih bersekolah,” katanya.

Zulkifli sebak ditinggalkan anak di masjid




CHUKAI – Seorang bapa warga emas terduduk kerana tidak mampu menahan sebak apabila anak tunggal dan menantunya tergamak meninggalkannya sendirian dalam keadaan sakit di Masjid Geliga sedangkan pada awalnya kedua-dua berjanji membawa warga emas itu berubat bagi merawat penyakit kencing manisnya di Hospital Mersing, Johor. 

Akibat ditinggalkan keseorangan di Masjid Geliga kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, warga emas yang dikenali sebagai Zulkifli Mustapa, 60, menerusi kad kerja yang berada didalam dompetnya terpaksa bermalam dalam kesejukan di masjid itu sebelum diselamatkan anggota polis peronda yang menemuinya dalam keadaan lemah di Stesen Bas Geliga bersebelahan masjid itu pada pagi semalam. 

Lebih menyayat hati apabila kaki Zulkifli turut dihurungi semut halus ketika ditemui, malah dia juga ditinggalkan sehelai sepinggang dengan hanya berkain pelikat dan berbaju T lengan panjang serta hanya mempunyai wang RM30 di dalam dompet iaitu yang disedekahkan sepupunya sebelum mereka bertolak. 

Zulkifli ketika ditemui Sinar Harian di Balai Polis Chukai berkata, dia menyedari anak dan menantunya sudah tiada di masjid berkenaan selepas menunaikan solat Isyak kerana mereka mengambil keputusan untuk berhenti menunaikan solat di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan ke rumah menantunya di Mersing selepas bertolak pada jam 10 malam dari rumah arwah ibunya di Pulau Musang, Kuala Terengganu. 

“Selepas solat Isyak saya sedar anak dan menantu saya sudah tidak ada, mereka tinggalkan saya. Sebelum ini mereka kata mahu bawa saya berubat kaki yang luka di Hospital Mersing,” katanya sebak. 

Kata Zulkifli yang juga baru sahaja keluar wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat penyakit kencing manisnya itu, sebelum ini anak perempuannya yang berusia 20 tahun bersama menantunya yang berumur 30 tahun dan bekerja menjual ikan di Larkin, Johor beria-ia mahu membawanya mendapatkan rawatan di Mersing. 

“Sudah hampir empat tahun saya tinggal dengan anak perempuan dan menantu saya di Mersing tetapi selepas saya mengalami kemala-ngan ketika pulang ke kampung pada lapan bulan lalu, saya ditahan di wad HSNZ sebelum dibenarkan keluar dan saya tinggal berseorangan di rumah pusaka arwah ibu di Pulau Musang. 

“Anak tunggal saya tinggal bersama suaminya, namun saya bersyukur saudara mara selalu datang menjenguk saya. 

“Tetapi sejak akhir-akhir ini berikutan kemalangan tempoh hari ditambah dengan penyakit kencing manis yang saya hidapi menyebabkan lutut saya bengkak dan luka di bahagian kaki semakin besar sebab itulah anak menantu datang dan berjanji mahu membantu mengubati saya, malah saya juga baru sahaja keluar wad baru-baru ini dan masih belum mampu berjalan dengan baik,” katanya. 

Pada masa sama Zulkifli turut mengakui ketika tinggal bersama anaknya, anak tidak begitu mengambil berat mengenainya sehingga dia terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi mencari duit poket untuk menampung kehidupannya seharian. 

Sementara itu, akibat keadaan kesihatan Zulkifli yang tidak mengizinkan, pegawai Pejabat Kebajikan Daerah Kemaman yang tiba di balai polis kemudian menghantar warga emas itu mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.
sinar harian

Kes hamil luar nikah meningkat




TANAH MERAH - Sesi kaunseling bagi remaja hamil luar nikah anjuran Pejabat Agama dan Jajahan Tanah Merah di sini, semalam ternyata memberi kesedaran kepada peserta dan ibu bapa yang hadir pada program itu. 

Seramai 21 daripada 26 peserta merupakan kes hamil luar nikah di jajahan Tanah Merah dan dua daripada Jeli hadir bersama pasangan dan ibu bapa pada sesi terbabit yang diadakan di Dewan Mahkamah Rendah Syariah Jajahan Tanah Merah. 

Pegawai Agama Jajahan Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob berkata, sesi terbabit diadakan bagi memberi kesedaran kepada golongan berkenaan tentang kesalahan dilakukan yang bertentangan dengan Islam. 

“Sesi kaunseling itu diharap dapat menyedarkan mereka dan kembali ke pangkal jalan mengikuti lunas Islam dan meninggalkan perkara yang dilarang,” katanya. 

Menurutnya, kes hamil anak luar nikah amat membimbangkan dalam kalangan remaja wanita Melayu sejak akhir-akhir ini dan Jabatan Agama mengambil langkah mengadakan kaunseling bagi mengelakkan mereka terus hanyut. 

Diharapkan program seumpama itu dapat mengurangkan kadar kelahiran anak luar nikah yang semakin meningkat saban tahun. 

Sementara itu salah seorang ibu yang menghadiri sesi terbabit yang dikenali sebagai Rahmah berkata, dia mengharapkan agar anaknya dapat menerima ketentuan Ilahi dan berusaha menjadi insan yang sentiasa taat dan patuh kepada ajaran agama. 

“Anak saya menjadi mangsa keadaan apabila dia dipercayai dirogol oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Saya telah berusaha mendidik anak saya sebaik mungkin dan diharapkan selepas ini masih ada cahaya dan harapan untuknya meneruskan kehidupannya walaupun melalui liku-liku hidup yang sukar kerana menjadi mangsa rogol,” katanya. 

Seorang lagi peserta yang dikenali sebagai Aini mengharapkan kehidupannya selepas ini akan berubah setelah membina keluarga dan melahirkan anak. 

“Saya mengharapkan agar kehidupan saya lebih baik selepas ini dan merasa menyesal di atas perlakuan yang pernah saya lakukan sebelum ini. 

“Diharapkan selepas ini saya dapat membina sebuah keluarga bahagia bersama pasangan dan memberi pendidikan terbaik untuk masa depan anak-anak agar tidak terjebak dalam gejala seumpama ini,” katanya. 

Sesi kaunseling pada program berkenaan dikendalikan dua penceramah iaitu Pegawai Agama Jajahan Kota Bharu, Suratmi Mat Jusoh yang membincangkan mengenai hukum zina, pergaulan dan perwarisan manakala sesi kedua yang menjurus kepada motivasi dan muhasabah diri yang dikendalikan oleh kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemahang, Samsul Anuar Anifa. 

Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Tanah Merah, Nurul Ayesha Ahmad Annuar dan wakil Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tanah Merah, Salwah Che Mahmood serta Alif Azman Ab Rashid.

Rejim Zionis roboh masjid di Tebing Barat





2010/11/27

RAMALLAH: Pihak berkuasa Israel kelmarin memusnahkan sebuah masjid di Tebing Barat atas alasan ia dibina secara haram meskipun tidak menjelaskan mengapa sekarang tindakan itu diambil sedangkan rumah ibadat itu wujud sejak 1967. 

Ahmed Al-As’aad, pegawai pemantau aktiviti penduduk Palestin di Tebing Barat berkata, sekumpulan pegawai Yahudi tiba di kampung Yarza dan memusnahkan masjid terbabit.
Mereka adalah pegawai Pentadbiran Awam Israel, sebuah jabatan tentera bertanggungjawab bagi koordinasi hal ehwal awam di Tebing Barat
Beliau berkata, beberapa pegawai Israel tiba di Yarza, tenggara Jenin dan mengisytiharkan kampung terbabit zon tentera tertutup untuk menghalang penduduk Palestin membantah terhadap pemusnahan masjid yang dibina pada 1967. 

Ahmed berkata, penduduk kawasan terbabit mempunyai dokumen membuktikan masjid itu dibina pada 1967. 

Pegawai terbabit berkata penduduk membesarkan masjid itu dengan dua bilik tambahan untuk memenuhi tuntutan penduduk yang semakin bertambah. 

Yarza menempatkan sejumlah 200 penduduk Palestin yang bekerja sebagai petani dan penternak biri-biri. 
Pentadbiran Awam Israel berkata, masjid itu dimusnahkan kerana ia dibina di Kawasan C tanpa lesen yang sah dari pihak berkuasa Israel. Katanya, rakyat Palestin biasanya membina masjid mereka di kawasan A dan B. 

Menurut Perjanjian Oslo, Kawasan A adalah di bawah pentadbiran dan kawalan keselamatan Palestin tetapi di bawah keselamatan Israel manakala kawasan C adalah di bawah kuasa penuh Israel. – Agensi

Emosi terganggu selepas nahas

MARANG: “Kemalangan April lalu mengubah hidup saya, perniagaan sebelum ini dan menjadi punca pendapatan musnah dalam sekelip mata,” kata Ismail Hassan, 40, dari Kampung Darat Pak Chang, di sini.
Menurutnya, sebelum kemalangan dia yang bekerja sebagai pemborong sayur dan barangan runcit kecil-kecilan aktif menghantar bekalan itu ke beberapa pasar di negeri ini, namun tragedi lori dipandu pekerjanya merempuh belakang sebuah lori lain mengubah kehidupannya kini.

Katanya, dalam kejadian jam 3.30 pagi 15 April lalu, dia berada di tempat duduk sebelah pemandu dan sedang tidur sebelum terkejut sebaik tiba di lampu isyarat Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu, selepas lori dinaikinya berhenti mendadak.

“Ketika itu saya dalam perjalanan dari Wakaf Che Yeh, Kelantan, mengambil sayur untuk dihantar ke pasar borong Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu sebelum kejadian berlaku.

“Sebaik sedar saya merasa badan sudah tidak dapat bergerak dan sebaik diberitahu lori yang dinaiki mengalami kemalangan, saya terus mendiamkan diri kerana ketika itu kaki saya tersepit,” katanya yang mengalami patah kaki.

Selain itu, perutnya juga terpaksa ditebuk untuk memudahkannya membuang air kecil.

Akibat kemalangan itu, dia tidak dapat berniaga lagi dan semua asetnya seperti kereta, van serta lori terpaksa dijual bagi menampung perbelanjaan hidupnya.

Menurutnya, tertekan kerana hilang mata pencarian, dia mengalami tekanan emosi dan diarahkan doktor menjalani pemeriksaan sakit jiwa di Hospital Sultanah Nur Zahirah, bulan depan.

“Saya buntu memikirkan masa depan kerana hendak memulakan perniagaan sudah tidak mampu dan berharap ada pihak sudi menghulur bantuan pekerjaan selepas saya sembuh nanti,” katanya.

Sementara itu, ibu Ismail, Chek Awang, 53, berkata dia kasihan melihat anak ketiganya itu yang kini terpaksa berkerusi roda dan merayu mana-mana majikan menghulurkan simpati dengan mengambil anaknya bekerja.

Tuntut cerai suami miang

KAJANG: Selepas tidak tahan dengan sikap suaminya yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita, seorang ahli perniagaan memfailkan tuntutan perceraian fasakh di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, selepas hampir 22 tahun bernikah.
Sadiah Abdul Shukor, 46, yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain, membuat permohonan itu terhadap Abdullah Abdul Rahman, 46, yang juga pegawai kanan kerajaan di kaunter pendaftaran Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Tuntutan itu dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor).

Berdasarkan penyata tuntutan itu, Sadiah (plaintif) mendakwa dia sudah tidak tahan dengan sikap Abdullah (defendan) yang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita Filipina dan Thailand.

Plaintif mendakwa mempunyai bukti terhadap kecurangan suaminya apabila menjumpai gambar lucah defendan bersama wanita lain selain bukti salinan pasport yang menunjukkan Abdullah berulang-alik ke Thailand setiap bulan.

Defendan juga didakwa mengabaikan nafkah melebihi tiga bulan sehingga menyebabkan plaintif terpaksa menampung perbelanjaannya dan anak.

Pasangan itu bernikah pada 31 Januari 1988 di Johor dan dikurniakan empat anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia 22 hingga empat tahun.

Mahkamah menetapkan 15 Disember ini untuk mendengar kes itu.

'Rumah kami berdinding buluh'

GUA MUSANG: “Keadaan rumah kami daif dan berdindingkan buluh, tetapi hendak buat macam mana, itu saja yang termampu saya sediakan untuk keluarga,” kata Wan Saifullah Yuswadi Wan Ahmad.
Akibat dicengkam kemiskinan, Wan Saifullah, 30, yang mengambil upah menoreh getah di kebun penduduk di Kampung Kuala Nerus, dekat sini, sejak enam tahun lalu hanya mampu menyediakan rumah ala kadar untuk dihuni bersama isteri dan dua anaknya.

Malah, tapak rumah berkenaan dibina di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad kerana dia tidak memiliki tanah sendiri.

“Walaupun berdepan dengan kemiskinan, saya terpaksa tabahkan diri untuk menghadapi segala dugaan itu asalkan anak, Wan Norshafiqa Natasha, 7, dan Wan Norshuhada Imani, 6, dapat bersekolah.

“Tidak dinafikan jika dilihat kediaman kami ini memang daif kerana berdindingkan buluh, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih ada tempat berteduh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, dia terpaksa membina rumah yang serba kekurangan itu kerana tidak mahu bergantung dan tinggal bersama ibunya bagi mengelak kesesakan berikutan ramai adik beradiknya masih menghuni rumah itu.

“Saya terpaksa meninggalkan rumah ibu kerana keadaan tidak mengizinkan. Apa yang ada termasuk buluh di kawasan sekeliling saya jadikan dinding rumah untuk menjadi tempat perlindungan buat kami sekeluarga.

“Itupun mujur Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) baru-baru ini memberi bantuan simen dan saya menggunakannya untuk membuat lantai. Jika tidak sudah pasti kami akan terus berlantaikan tanah,” katanya. Wan Saifullah berkata, pendapatan hasil upah menoreh sekitar RM600 sebulan dan hanya sekadar mampu menampung perbelanjaan makan dan persekolahan anak.

“Sebelum ini saya sudah menemui pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan khususnya bagi membina rumah yang lebih selesa tetapi belum mendapat perhatian daripada pihak terbabit.

“Namun, secara kebetulan hari ini (kelmarin), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Abdul Aziz Yusoff datang melihat sendiri kedaifan hidup kami sekeluarga,” dan saya berharap kami diberikan bantuan untuk mendapatkan rumah yang lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya memandang serius kemiskinan keluarga terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk mendaftarkan keluarga itu di bawah Program E-Kasih untuk dipertimbangkan diberikan bantuan.

Jalan rosak angkara lori kuari

pix_middle
SUNGAI BULOH: “Sia-sia turap puluhan kali pun kerana jalan di sini akan rosak semula,” kata Aishah Muda, 38, penduduk Jalan Matang Pagar, di sini, berhubung keadaan jalan di kawasan terbabit yang teruk dan membahayakan pengguna.
Menurutnya, jalan di situ beberapa kali diturap semula, bagaimanapun ia semakin teruk dengan kehadiran puluhan lori yang menjadikan laluan itu sebagai jalan alternatif untuk ke tapak kuari berdekatan.

“Mereka memandu laju hinggakan lubang atau bonggol jalan dilanggar begitu saja.

“Kadangkala, bahan kuari yang dibawa terkeluar dari kenderaan menyebabkannya terkena pada kenderaan lain yang mengekori atau diletakkan dibahu jalan,” katanya menambah beberapa kejadian kemalangan maut pernah berlaku di situ membabitkan lori kuari. Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 23, berkata dia kerap melihat kemalangan kecil membabitkan penunggang motosikal dan kenderaan lain di sepanjang laluan itu berikutan struktur jalan yang teruk.

“Pernah seorang penunggang motosikal terjatuh ke dalam lubang dan dia hampir dilanggar lori. “Keadaan bertambah sesak apabila waktu bekerja. Lori akan keluar dan masuk di jalan ini untuk ke kuari berhampiran,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di jalan itu mendapati dalam 10 minit, sekurang-kurangnya 30 lori kuari menggunakan jalan terbabit.

Pemandu terbabit bukan saja memandu melebihi had laju, malah memandu dalam keadaan yang membahayakan pengguna lain.

Ia bertambah parah apabila struktur jalan yang sangat teruk dengan lubang di sepanjang jalan selain kesan turapan semula yang pecah.

Pemerintah Singapura kritik skuad polo hina bendera




GAMBAR menunjukkan beberapa anggota pasukan skuad polo air Singapura memakai seluar berlambangkan bendera negara yang menampilkan bulan sabit dan bintang di Guangzhou, China pada Rabu lalu.


SINGAPURA – Gara-gara memakai seluar renang bercorak seperti bendera negara yang memaparkan bulan sabit dan bintang, pasukan polo air Singapura dikritik oleh pemerintahnya yang menganggap perbuatan mereka sebagai kurang ajar.
Reka bentuk seluar renang itu dibuat sendiri oleh ahli-ahli pasukan polo lelaki Singapura yang bertanding di temasya Sukan Asia di Guangzhou, China.
Bahagian hadapan seluar renang itu menampilkan bulan sabit putih iaitu lambang pada bendera Singapura manakala bahagian belakangnya pula tertera lima bintang bendera itu.
“Kami kecewa kerana pasukan berkenaan tidak meminta nasihat kami mengenai penggunaan lambang bulan sabit dan bintang apabila mencipta bentuk seluar renang mereka,” kata kenyataan Kementerian Penerangan Singapura kelmarin.
Namun, mereka dibenarkan memakai seluar renang kontroversi itu pada perlawanan menentang pasukan Kuwait kelmarin kerana peraturan Sukan Asia melarang para pemain menukar jersi mereka ketika kejohanan sedang berlangsung. – AP

Jaga anak cacat




FATIMAH bersama anaknya Rafie yang mengalami cacat mental sejak lahir di Felda Endau, Mersing semalam.


MERSING - Seorang ibu tunggal terpaksa mengurung anak lelakinya Rafie Idrus, 46, yang mengalami kecacatan mental di dalam rumah sejak kematian suami 20 tahun lepas.
Itulah pengorbanan yang dilakukan Fatimah Husin, 70, bagi mengelak anak kedua daripada empat beradik itu merayau-rayau ke rumah jiran dalam keadaan berbogel jika terlepas.
Katanya, sejak kematian suaminya, Idrus Ismail, dia kini tidak melakukan sebarang pekerjaan kerana menjaga anaknya itu seorang diri termasuk makan minum dan pakaiannya.
"Sebelum ini, semasa arwah suami ada, saya membantunya di ladang kelapa sawit dan dapatlah sumber kewangan bagi kami sekeluarga.
"Kini, selepas dia tiada (suami), ladang kepala sawit dijaga oleh seorang penduduk dan hasilnya dibahagi dua," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Endau di sini semalam.

Petisyen bekas Sultan ditolak




TUANKU ISMAIL PETRA


PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini semalam memutuskan bahawa Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai Sultan apabila sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata, Perlembagaan Negeri Kelantan juga memperuntukkan bahawa Tengku Mahkota boleh melaksanakan tugas Sultan walaupun Sultan tidak mengalami ketidakupayaan.
"Kami berpendapat hanya seorang individu patut menguruskan hal ehwal Negeri Kelantan pada satu-satu masa," kata beliau.

Rezeki lumayan projek cendawan





SEBAHAGIAN peserta projek penanaman cendawan bergotong-royong menyiapkan bungkal cendawan di Kampung Semanggar, Kota Tinggi, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 26 Nov. – Siapa yang tidak mengakui keenakan cendawan goreng yang dicicah dengan kicap pedas, malah rugi jika berkunjung ke Johor tanpa menjamah makanan kegemaran ramai itu.
Bagi memenuhi permintaan tinggi pasaran, sebanyak tujuh kampung tradisional di tiga kawasan Parlimen di daerah ini terpilih untuk mengikuti projek penanaman cendawan di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Kampung tersebut adalah Kampung Lukut, Kampung Sri Jaya dan Kampung Semanggar dalam Parlimen Tenggara, Kampung Mawai Baru dan Kampung Sembayong di Parlimen Kota Tinggi, manakala Kampung Serindit dan Kampung Teluk Ramunia di Parlimen Pengerang.
Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kota Tinggi, Asman Aman berkata, penanaman cendawan mudah diusahakan dan memberi pulangan lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Menurutnya, tanaman itu tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua atau tiga jam sehari untuk mengendalikannya dan mampu menambah pendapatan sampingan keluarga.
‘‘Peserta SPKR amat bertuah kerana semua peruntukan disediakan dan mereka hanya perlu menunjukkan semangat serta keyakinan diri untuk terus maju mengusahakan tanaman berkenaan,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di tapak projek cendawan SPKR di Kampung Semanggar di sini baru-baru ini.
Asman memberitahu, peruntukan yang diberi meliputi sebuah bangsal cendawan berkeluasan 12.4 meter panjang dan 6.09 meter lebar yang boleh memuatkan 8,000 bungkal cendawan dan rak-rak tanaman itu.
Dalam pada itu katanya, Jabatan Pertanian Daerah sentiasa membantu memantau dan memberi khidmat nasihat serta tunjuk ajar kepada peserta supaya cendawan yang dihasilkan berkualiti.
Sementara itu, Pengerusi Projek Cendawan SPKR Kampung Semanggar, Jasmani Satar, 49, berkata, projek tersebut bukan sahaja mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat miskin malah dapat meningkatkan taraf hidup mereka.
Menurutnya, program berkenaan juga dapat melatih peserta dan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Katanya, seramai tujuh keluarga miskin di kampung itu menyertai projek yang diusahakan bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.
“Kampung ini bertuah kerana terpilih serta diberi peluang mengikuti projek ini. Hasil pengeluaran cendawan ini akan dibahagi sama rata oleh peserta,” katanya.