Wednesday, July 6, 2011

Pendakwah Zainuddin MZ meninggal

PEMERGIAN DIRASAI: Allahyarham Zainuddin MZ digelar pendakwah 'sejuta umat' kerana ceramahnya sering dihadiri ramai pengikut. -- Foto fail
LUAR NEGARA

JAKARTA: Pendakwah terkenal Indonesia, Zainuddin MZ, meninggal dunia pada 9.22 pagi (waktu tempatan) semalam di Hospital Pertamina di sini, dipercayai ekoran serangan jantung.

Allahyarham, 60 tahun, yang dikenali sebagai pendakwah 'sejuta umat', antara pendakwah paling dihormati di Indonesia dan ceramah agamanya sering dihadiri ramai pengikut.

Selain aktif berdakwah, beliau pernah menyertai bidang politik dengan menjadi anggota Parti Persatuan Pembangunan (PPP) dan kemudian menjadi ketua umum Parti Bintang Reformasi.

Allahyarham juga dilaporkan rapat dengan golongan selebriti.

Tahun lalu, Allahyarham dilanda skandal apabila seorang penyanyi dangdut, Aida Saskia, mendakwa dirogol beliau sembilan tahun lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak.

Antara mereka yang ditemui di kediaman Allahyarham di kawasan Gandaria, Jakarta Selatan, semalam ialah mantan ketua Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK), Encik Taufiequrachman Ruki, yang kali terakhir bertemu Allahyarham dua minggu lalu.

Menurut Encik Ruki, Allahyarham sempat menyampaikan pesanan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau menukil Allahyarham sebagai berkata: 'Tolong sampaikan pesan saya ke presiden, agar presiden mengakhiri jabatan secara husnul khatimah (berakhir dengan baik).'

Jenazah Allahyarham dikebumikan di halaman Masjid Fajrul Islam di Jakarta. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

Berita gembira temu cucu jadi berita duka

TEMUAN TERAKHIR: Ibu (baju putih) dan ayah kanak-kanak yang ditemui mati di flat mak ciknya awal pagi Ahad lalu hanya sempat menatap wajah anak mereka buat seketika sebelum dibawa pulang ke penjara. -- Foto TUKIMAN WARJI


SINGAPURA
Oleh
Linilidia Abdul Hamid

Satu meninggal dan satu lagi di bawah jagaan MCYS berikutan kes dera 
SETELAH sekian lama mencari, akhirnya seorang nenek mendapat khabar tentang di mana dua orang cucunya berada.Namun, khabar gembira yang dinantikan itu sebaliknya bertukar menjadi duka apabila Cik Timah (bukan nama sebenar) diberitahu bahawa salah seorang cucunya itu telah meninggal dunia.Cucunya, yang berusia lima tahun, disahkan meninggal dunia awal pagi Ahad lalu di rumah mak cik kanak-kanak itu di Teck Whye Lane.Abang kanak-kanak itu, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun, pula kini di bawah jagaan Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).Mak cik budak-budak itu, 47 tahun, telah diberkas dan dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mendera kanak-kanak.Nama penuh Cik Timah dan mereka yang berkaitan dengan kes ini tidak dapat disiarkan atas perintah mahkamah bagi melindungi mangsa.Menurut Cik Timah, 72 tahun, beliau terputus hubungan dengan kedua-dua cucunya itu sejak ibu bapa mereka diberkas dan meringkuk dalam penjara.'Saya tahu mereka dijaga mak ciknya, tapi tak tahu di mana rumah mak ciknya tu. Tiba-tiba dapat berita daripada kakak tiri budakbudak tu yang si kecil dah meninggal,' ujarnya.Menurut Cik Timah, beliau telah berusaha mencari mereka setelah menerima surat daripada bapa kededua kanak-kanak itu April lalu, yang meminta beliau atau bapa saudara kededua kanak-kanak itu menjaga mereka.Berita Harian difahamkan si ayah kini menjalani hukuman penjara empat tahun sementara si ibu pula sedang menanti untuk dijatuhi hukuman - kededuanya atas kesalahan dadah.Dalam surat yang dikirimkan kepada keluarga Cik Timah, bapa kededua kanak-kanak itu telah berpesan agar barang-barang di rumahnya, seperti televisyen, dijual untuk meringankan beban mereka menjaga anak-anaknya.'Saya terkilan sebab tak dapat jumpa cucu-cucu saya. Saya fikir setelah saya jumpa mereka, saya nak bawa mereka jenguk ayahnya. Tapi hasrat saya tak kesampaian,' ujar Cik Timah, dengan suara tersekatsekat.Semalam, ibu bapa kanak-kanak itu diberikan pelepasan menziarahi jenazah anak mereka secara berasingan sebelum dia dikebumikan.Kededuanya, yang tidak dapat menahan linangan air mata sebaik sahaja melihat wajah anak mereka, hanya dapat meluangkan sekitar 10 minit melihat anak mereka buat kali terakhir, sebelum mereka dibawa pergi.
Cyberita Online Singapura

Kelasi Filipina didakwa

SINGAPURA
SEORANG kelasi warga Filipina telah dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan mencabul kehormatan wanita berusia 19 tahun di Orchard Road.

Maghanoy Abuton Victoriano II, 24 tahun, dituduh meramas buah dada wanita itu di jabanah yang menghubungkan Lucky Plaza dengan stesen MRT Orchard Road pada 24 April lalu.

Jika didapati bersalah, tertuduh menghadapi hukuman jel hingga dua tahun, denda, rotan atau kombinasi hukuman tersebut.

Dalam satu lagi kes, warga Thai, Ramrit Apisit, 44 tahun, didenda $2,000 kerana menguruskan rumah pelacuran sulit dalam semak di Hougang Avenue 3.

Cyberita Online Singapura

Bebas daripada hukuman gantung

TIDAK BERSALAH: Encik Ismil (kanan), yang dibebaskan daripada tuduhan bunuh, bersama peguamnya, Encik R. Thurumugam, di luar penjara semalam. -- Foto THE STRAITS TIMES
SINGAPURA

SEORANG lelaki yang telah dijatuhi hukuman mati bersama adiknya kerana membunuh dengan kejam seorang suri rumah di Boon Lay enam tahun lalu dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan semalam.

Hakim V. K. Rajah, yang mengetuai tiga hakim Mahkamah Rayuan, berkata hujah polis bahawa Encik Ismil Kadar, 42 tahun, melakukan pembunuhan itu mengandungi unsur keraguan serius terhadap kebolehpercayaannya.

Beliau menjelaskan pengakuan diperolehi 'dalam keadaan yang menimbulkan kerisauan' dan ia kelihatan lebih kepada tindakan pegawai penyiasat yang sengaja melanggar prosedur berbanding melakukannya secara cuai.

Encik Ismil dan adiknya, Muhammad Kadar, 35 tahun, telah dijatuhi hukuman gantung kerana membunuh dengan kejam Cik Tham Weng Kuen, di flat suri rumah itu di Boon Lay pada Mei 2005, walaupun Muhammad mengaku di mahkamah bahawa hanya dia yang melakukan pembunuhan itu.

Kedua-duanya didapati bersalah pada 2009 membunuh mendiang Cik Tham semasa merompak beliau, yang ditikam dan dikelar lebih 110 kali.

Dalam penghakiman mengandungi kenyataan tegas, Hakim Rajah turut mengkritik pendakwa raya kerana tidak mendedahkan bukti penting kepada peguam bela sehingga lewat perbicaraan.

Antaranya ialah tiga kenyataan yang diberi oleh suami mendiang yang terlantar sakit di katil bahawa beliau nampak hanya seorang penceroboh memasuki rumahnya.

Persoalan mengenai berapa ramai penyerang berada dalam flat itu sewaktu kejadian persoalan penting dalam kes itu.

Apabila perbicaraan bermula pada 2006, pendakwa raya, berdasarkan pengakuan adik-beradik kepada polis, berkata Encik Ismil menyerang Cik Tham sementara Muhammad menggeledah flat itu.

Ini kerana Ismil, yang ditangkap dahulu, telah 'mengaku' menikam Cik Tham. Apabila Muhammad ditangkap kemudian, dia juga memberitahu polis bahawa Encik Ismil yang melakukan pembunuhan itu.

Sewaktu perbicaraan, Muhammad menarik balik kenyataannya itu dan mengaku dia bertindak sendirian serta berkata abangnya itu tidak bersalah.

Peguam bela sebelum ini mengetengahkan beberapa 'isu' mengenai cara kenyataan polis diperolehi.

Mereka berkata pegawai penyiasat melanggar prosedur kerana gagal membaca semula kenyataan Encik Ismil dan mendapatkan tandatangan beliau.

Peguam bela juga berkata Encik Ismil, yang mempunyai darjah kecerdasan (IQ) rendah, hanya menerima cerita yang digambarkan oleh pegawai penyiasat.

Pendakwa raya menegaskan adik-beradik itu berada dalam flat, hujah yang menurut Mahkamah Rayuan 'jauh daripada kenyataan'.

Sementara itu, rayuan Muhammad ditolak Mahkamah Rayuan dan dia akan digantung kerana melakukan pembunuhan itu.

Selepas penghakiman, adik-beradik itu berjabat tangan ringkas.

Cyberita Online Singapura

Peragut diberkas dengan badan penuh najis kerbau

ALOR GAJAH: Seorang peragut bernasib malang apabila diberkas dalam keadaan seluruh badannya bersalut najis kerbau di kawasan berpaya selepas meragut beg tangan seorang pelajar sebuah kolej di Kuala Sungai Baru, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian sekitar 6.15 petang itu, lelaki berusia 20-an tahun itu diberkas sepasukan polis bersama anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) tidak lama selepas mangsa yang diragut membuat laporan polis.

Malah, tindakan lelaki tersebut bersama dua rakannya yang masih bebas seolah-olah mengundang padah kerana melakukan kegiatan jenayah itu berhampiran balai polis.

Mangsa, Cik Nor Azma Sarif, 19 tahun, berkata ketika kejadian, beliau bersama rakannya, Cik Nor Laila Mohd Nor, 22 tahun, dalam perjalanan menaiki bas dari Masjid Tanah ke asrama mereka di Kuala Sungai Baru.

'Saya duduk di kerusi berhampiran tangga, manakala rakan saya duduk berasingan dan apabila sampai berhampiran Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru, ada penumpang menekan loceng untuk turun.

'Saya perasan tiga lelaki hendak turun dan lelaki yang terakhir itu tiba-tiba meragut beg saya dan terus melarikan diri,' kata Cik Nor Azma.

Menurutnya, beliau terkejut dan terus menjerit meminta tolong, menyebabkan tiga lelaki itu berlari ke arah belukar berhampiran.

Selepas menerima laporan mangsa, polis dengan segera bertindak memberkas suspek.

Suspek tersebut dikatakan terjatuh dalam paya yang dipenuhi najis kerbau ketika melarikan diri. -- Harian Metro.

Cyberita Online Luar Negara

Rasuah RM300: Penjara sehari



SEREMBAN – Akibat cuba membela dua warga asing daripada ditahan pihak berkuasa, seorang pengurus projek dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, Chin Kai Kong, 51, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, yang dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Kai Kong didakwa secara rasuah memberi suapan RM300 kepada seorang anggota polis di Balai Polis Sungai Lui sebagai dorongan supaya tidak menahan dua warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 40 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol, kira-kira jam 3.45 petang, 25 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh yang berasal dari Kuala Pilah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara kurang 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Hanafi Abd Rahim.
SH

Gerabak kereta api tergelincir



JITRA- Dua gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) yang membawa papan lapis dan kayu getah tergelincir dari landasan kereta api di Kampung Baru, Tunjang di sini semasa dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke Alor Setar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, difahamkan dua gerabak yang mengandungi tiga kontena berisi papan lapis dan kayu getah itu tergelincir semasa dalam perjalanan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Mohd Isa berkata, bagaimanapun pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.05 petang dan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian dengan kekuatan anggota seramai lapan orang.

“Kita datang sebagai persediaan jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini akibat insiden itu namun, setelah diperiksa tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sementara itu, seorang remaja yang juga saksi kejadian itu, Mohd Amirul Amran, 14, berkata, kira-kira jam 4 petang dia terkejut selepas mendengar bunyi yang kuat dari arah landasan kereta api berkenaan.

Menurutnya yang tinggal kira-kira 500 meter dari tempat kejadian berkata, dia yang ketika itu sedang menonton televisyen segera mengambil basikal dan menuju ke arah landasan kereta api berkenaan untuk melihat apa yang berlaku.

“Semasa tiba di tempat kejadian saya lihat kereta api itu tidak lagi bergerak dan pemandunya sudah turun dari kenderaan terbabit.

“Selepas melihat beberapa gerabak kereta api itu tergelincir, saya segera pulang ke rumah untuk memberitahu orang kampung mengenai kejadian yang berlaku.

“Sepanjang tinggal di sini, ini adalah kejadian pertama kali yang pernah saya lihat berlaku di sini,” katanya.

Bagaimanapun ketika tinjauan di sekitar lokasi kejadian, Sinar Harian mendapati terdapat beberapa kakitangan KTM Berhad sedang memeriksa gerabak berkenaan dan kawasan itu ditutup untuk orang ramai buat sementara waktu.
SH

ASP dituduh rasuah



IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini semalam, atas dua tuduhan menerima rasuah di Kerian pada 6 Julai tahun lalu.

Chong Kean Heng, 53, dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh yang pernah bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Hakim Julie Lack Abdullah menetapkan 5 Ogos ini sebagai sebutan semula kes selepas tertuduh mengaku tidak bersalah di atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang diwakili peguambela, Abdul Aziz Ibrahim bagaimanapun memohon mahkamah supaya mengurangkan wang ikat jamin tersebut kepada RM10,000.

Selepas membuat pertimbangan, Julie Lack membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 melalui seorang penjamin.

Tertuduh turut menghadapi empat pertuduhan rasuah dan akan dituduh di Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.
SH

Sindiket edar dadah tumpas



SUNGAI SIPUT – Taktik licik satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu akhirnya terbongkar apabila dua lelaki dipercayai Geng Sesat ditahan di Pekan Jalong, di sini malam kelmarin.

Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 33 tahun yang disyaki anggota kumpulan itu ditahan sepasukan anggota diketuai Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Cif Inspektor Mohd Sufian Saari kira-kira jam 11 malam.

Turut dirampas dalam serbuan itu, 300 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, penahanan itu dilakukan anggotanya yang bertindak atas risikan dan maklumat yang diperoleh.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut yang dibuat menemukan polis kepada satu bungkus plastik mengandungi dadah jenis syabu seberat 300 gram.

“Siasatan awal terhadap kedua-dua lelaki berkenaan juga mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya kepada Sinar Harian.

Kedua-duanya mereka kini direman sementara menanti siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,.

Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Kumpulan yang digelar ‘Geng Sesat’ itu dipercayai menjalankan kegiatan mereka dengan menggunakan taktik ‘sesat jalan’ sewaktu menunggu kehadiran pelanggan.

Mereka dipercayai berpura-pura sesat jalan sebelum menjadikan lokasi berkenaan sebagai tempat pengedaran.

Polis memaklumkan, kegiatan pengedaran yang dilakukan Geng Sesat itu tidak tertumpu di satu kawasan sahaja.
SH

Pemuda hilang di masjid



KUALA NERANG - Seorang pemuda berusia 21 tahun didakwa kurang waras dipercayai hilang di Masjid Kampung Datok pada 19 Jun lalu.

Sufyan Rosseli dilihat kali terakhir kira-kira jam 6.30 petang berpakaian jubah putih dan berkain pelikat warna hijau.

Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap, Ismail Ibrahim berkata, pihaknya mengedarkan kira-kira 1,000 poster wajah Sufyan di pekan Kuala Nerang dan kawasan sekitar.

Menurutnya, dengan usaha itu, pihaknya berharap pemuda berkenaan dapat ditemui secepat mungkin bagi mengelakkan sesuatu kejadian buruk terjadi.

“Kita mendapat maklumat awal mengenai pemuda ini di mana ada penduduk yang melihat kelibatnya menuju ke Kubang Pasu.

“Bagaimanapun kerjasama awal daripada penduduk setempat dan di daerah-daerah lain juga mampu memberi maklumat supaya pemuda itu dapat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengedarkan poster berkenaan di Pasar Pagi Kuala Nerang, dekat sini.

Ismail berkata, difahamkan bentuk tubuh Sufyan adalah kurus dan rendah.

Menurutnya, pemuda berkenaan juga difahamkan menghilangkan diri tanpa membawa sebarang kad pengenalan ataupun dokumen penting.

“Keluarganya berusaha untuk mencari dengan pelbagai cara dan kami rasa terpanggil untuk turut serta membantu serta mencari pemuda berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kepada sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan Sufyan boleh menghubungi talian 019-5086167, 019-4284806 atau balai polis berhampiran.
SH

Anwar gagal lagi cubaan minta hakim tarik diri


PUTRAJAYA - Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya hari ini bagi mengetepikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah yang enggan menarik diri daripada mendengar kes liwat melibatkan beliau.

Hakim Datuk Hasan Lah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Malik Ishak dan Hakim Datuk Ahmad Ma'arop, berkata tidak ada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk tidak bersetuju dengan keputusan Hakim Mohd Zabidin.

Panel tiga hakim itu juga menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan keputusan hari ini sehingga rayuannya didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Anwar membuat rayuan itu berhubung keputusan Hakim Mohd Zabidin pada 6 Jun lepas untuk menolak buat kali ketiganya permohonan supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar kes liwat berkenaan.

Dalam permohonannya itu, Anwar mahu hakim lain mendengar kes liwat terhadapnya kerana mendakwa Hakim Mohd Zabidin telah membuat keputusan awal dalam kes itu dengan menerima sebagai betul keterangan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 64, sedang menghadapi pertuduhan meliwat Mohd Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pada 26 Jun 2008.

Pada 16 Mei lepas, Hakim Mohd Zabidin memerintahkan Anwar membela diri terhadap pertuduhan itu.

Di luar mahkamah, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar, berkata beliau akan mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan esok. - Bernama

SH

Kenyataan Media: Penjelasan Kehadiran Wardina Safiyyah dalam Karnival Mesra Rakyat ‘Jom Santai’


Saya ingin menjelaskan mengenai kehadiran personaliti dan ikon Wardina Safiyyah di Karnival Mesra Rakyat ‘Jom Santai’ di Desa Mentari baru-baru ini. Kehadiran beliau telah mendapat liputan meluas blog-blog tertentu yang sengaja membuat andaian tertentu demi kepentingan mereka.

Karnival Mesra Rakyat tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat DUN Seri Setia dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Zon 24 MBPJ dan Persatuan-Persatuan Penduduk Desa Mentari.

Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim telah merasmikan acara tersebut di sebelah pagi sementara Ahli Parlimen Gombak / ADUN Bukit Antarabangsa YB Azmin Ali merasmikan majlis penutupnya di sebelah malam.

Antara personaliti yang hadir pada sesi-sesi khas Karnival Mesra Rakyat termasuklah ikon bola sepak negara, Safee Sali; 5 pemain Selangor yang memenangi Piala AFF Suzuki iaitu Amri Yahyah, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal; dan penulis terkenal Uthaya Sankar SB.

Selain itu juga diadakan persembahan dan majlis penghargaan untuk pusat pemerkasaan kanak-kanak secara sukarela, Projek Mentari serta ceramah gejala sosial remaja oleh wakil Klinik 1Malaysia. Saya bersama-sama rakan-rakan telah menubuhkan Projek Mentari sebelum saya menjadi wakil rakyat lagi dan merupakan antara sebab mengapa saya begitu bersemangat menjalankan pelbagai program di kawasan flat kos rendah pelbagai kaum Desa Mentari.

Saya secara peribadi menjemput Wardina untuk hadir untuk menyampaikan motivasi ibu bapa. Wardina merupakan sahabat saya dan saya menganggapnya sebagai ikon Muslimah muda yang mampu menarik masyarakat pelbagai kaum.

Malangnya ada blogger-blogger tertentu yang membuat andaian program tersebut program parti politik dan menggunanya untuk menyerang Wardina. Gambar Twitter yang diambil oleh saya dan rakan-rakan juga telah menjadi modal fitnah blogger-blogger tertentu.

Saya ingin meminta maaf kepada Wardina memandangkan kehadirannya di Karnival Mesra Rakyat ini telah menimbulkan pelbagai fitnah dan tohmahan. Saya ingin menegaskan saya tiada niat untuk mengundang spekulasi pihak-pihak tertentu yang tidak menghormati aktiviti Kerajaan bukan BN ketika menjemput beliau hadir ke Karnival ini.

Hairannya ikon atau artis yang menghadiri program anjuran Kerajaan Persekutuan mahupun BN secara langsung sendiri tidak dilayan seperti Wardina. Pendirian saya bahawa kita sewajarnya menghormati keputusan mana-mana ikon atau artis yang ingin hadir pada apa jua program kemasyarakatan tidak kisah siapa penganjurnya.

Kepada blogger-blogger yang menimbulkan fitnah dan tohmahan, hentikanlah menyerang Wardina semata-mata kerana prejudis politik mereka. Mari kita bertempur di gelanggang politik, sebagai orang politik tanpa perlu mengheret pihak-pihak lain.

Kewibawaan Wardina sebagai ikon Muslimah jauh berbanding blogger-blogger murahan tersebut yang mengambil pendekatan aib, fitnah dan tohmah.

Saya begitu sedih bagaimana program masyarakat sebegini boleh serta penglibatan seorang ikon bukan politik boleh disalahtafsirkan dalam suasana politik dangkal negara hari ini. Kehadiran Wardina berserta tokoh-tokoh lain telah memberikan kesan positif yang besar kepada penduduk Desa Mentari.

Saya mengeluarkan kenyataan ini semata-mata untuk mempertahankan penglibatan Wardina di dalam Karnival Mesra Rakyat tersebut demi kepentingan masyarakat dan tanpa niat yang lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad


Dipetik daripada blog Nik Nazmi Nik Ahmad

SH

Purdah bukan alasan untuk didiskriminasi



WELLINGTON - Perdana Menteri New Zealand, John Key menegaskan golongan wanita Islam yang memakai purdah sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk menerima layanan buruk dan berbeza dalam kalangan masyarakat, kelmarin.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kejadian dua wanita warga Arab Saudi dilaporkan diarah untuk turun daripada bas di Auckland hanya kerana mereka memakai purdah.

Beliau turut menyatakan pemakaian purdah tidak langsung akan menjejaskan sesebuah negara kerana ia juga adalah sebahagian daripada kepercayaan individu dan seharusnya dihormati masyarakat.

“Saya menggesa seluruh rakyat supaya menghormati budaya dan kepercayaan orang lain dan isu pemakaian purdah ini tidak perlu diperbesarkan,” katanya.
SH

Misteri hantu air tujuh beradik



KULIM - Ada dalam kalangan masyarakat hari ini menolak kewujudan mistik dan dunia alam misteri. Namun, tidak dapat dinafikan kewujudan makhluk itu adalah benar.

Sebelum ini wartawan Sinar Harian, Kulim Bandar Baharu pernah mengemparkan pembaca apabila berjaya merakamkan imej pocong di atas pokok kira-kira jam 12.45 pagi di Kulim Hi Tech dan imej seorang ibu mendukung anak di sekitar kawasan tanah perkuburan berhampiran sebuah gereja lama di Jalan Sungai Lembu kira-kira jam 7 petang beberapa bulan lalu.

Kali ini wartawan Sinar Harian berjaya merakamkan imej hantu air tujuh beradik atau jembalang yang disifatkan sebagai penunggu di sebuah tasik yang terletak di belakang jalan Panchor kira-kira jam 7 petang.

Hasil tinjauan yang dibuat di sekitar kawasan berkenaan mendapati keadaannya sunyi dan dikelilingi tebing curam melebihi 100 meter.

Anehnya tentang tasik itu ialah airnya berwarna biru dan tidak ada sumber air masuk ke dalam tasik itu.

Tujuan Sinar Harian ke tempat itu adalah untuk membuat tinjauan tentang tasik yang ditinggalkan.

Seorang pengamal perubatan tradisional Melayu yang hanya dikenali Pak Dalik berkata, kawasan tasik itu tidak seharusnya didekati kerana ia berpuaka.

Menurutnya, enam imej kecil dan satu imej besar yang berjaya dirakam adalah jembalang yang menjadi penunggu di tasik itu.

Katanya, pembangunan pesat hari ini mengakibatkan banyak bukit dan hutan diterokai dan ini mengakibatkan makhluk halus yang selama ini mendiami tempat itu enggan berpindah ke kawasan lain.

“Tasik itu adalah kawasan peninggalan aktiviti kuari batu suatu ketika dulu. Kita tidak boleh menafikan kewujudan makhluk halus kerana mereka juga dicipta oleh Allah.

“Perjanjian antara mereka dengan Allah untuk menyesatkan semua anak cucu Adam di dunia bermula sejak manusia dijadikan Allah. Apabila makhluk halus mula menunjukkan dirinya, ini bermakna mereka tidak takut dengan kehadiran manusia.

“Makhluk halus seperti ini bukan menjadi penunggu di air, tetapi ia juga menjadikan bukit, hutan dan rimba sebagai tempat mereka. Mereka ini akan menjadi suruhan kepada bomoh dan dukun yang mengamalkan ilmu khurafat bertujuan untuk memudaratkan manusia. Apabila salah satu daripada jembalang ini diseru untuk melaksanakan tugas, mereka akan meminta upah tertentu daripada pihak yang mengarahkan mereka melakukan tugas rasukan itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, kewujudan syaitan dan jin sememangnya wujud dan kita harus mempercayainya kerana ia tertulis dalam al-Quran. Selain itu, syaitan boleh menjelma dan menyerupai pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia.

“Sebagai hamba Allah kita tidak boleh meminta bantuan selain Allah. Hari ini ada dalam kalangan bomoh, dukun dan pawang mengamalkan ajaran salah. Memang pada awal bacaannya itu betul tetapi ia kemudiannya dicampuradukkan dengan ayat lain.

“Kemunculan imej pocong itu mungkin benar kerana semua ini adalah permainan syaitan, jin dan iblis. Bagaimanapun, kita yang beragama Islam harus beriman kepada Allah dan jangan sesekali takut atau gentar kepada hasutan syaitan. Kita harus ingat sesuatu yang berlaku adalah ketentuan Allah,” katanya.
SH

Lelaki ditahan, 43 helai baju Bersih ditemui



ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 40-an ditahan polis kerana memiliki 43 helai baju bercetak logo Bersih di sebuah rumah di KM4, Jalan Changlun, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, lelaki itu ditahan dalam serbuan pada jam 2 pagi setelah pihaknya memperoleh beberapa alamat rumah, hasil siasatan susulan serbuan di sebuah premis mencetak baju Bersih di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, kelmarin.

“Kami menjumpai baju kuning logo Bersih itu dalam sebuah kereta jenis Toyota milik suspek yang diparkir di depan rumahnya,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya masih menyiasat hubungan antara lelaki terbabit dengan premis mencetak baju Bersih yang digeledah kelmarin.

“Kami sudah dapat mengesan pemilik premis mencetak dan menjahit baju itu, tetapi ia bukannya pemilik premis berkenaan.

"Mungkin pemilik bangunan itu menyewa premis itu kepadanya,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya juga masih menyiasat individu yang menempah baju Bersih berkenaan.

Kelmarin, polis berjaya merampas 150 helai baju kuning logo Bersih serta tiga blok mencetak baju Bersih dalam serbuan ke atas sebuah rumah kedai dua tingkat, di Taman Nuri.

Polis turut menahan tiga lelaki, dua daripadanya adalah warga Bangladesh termasuk tiga wanita rakyat tempatan kerana mencetak baju Bersih.
SH

Greece pintas kapal Flotila



Bot pengawal pantai Greece memintas kapal aktivis pro-Palestin dari Kanada 'Tahrir' selepas kapal itu melanggar arahan supaya tidak berlepas ke Gaza dari pelabuhan Greece dan mengarahkan kapal itu kembali ke pelabuhan Agios Nikolaos di pulau Crete, kelmarin. - REUTERS


ATHENS 5 Julai - Sebuah kapal Kanada yang membawa bekalan perubatan dinaiki lebih 40 aktivis pro-Palestin dipintas pengawal pantai Greece semalam, selepas ia melanggar larangan belayar dari pelabuhan negara ini ke Genting Gaza.

Menurut saksi, kapal 'Tahrir' dilapor meninggalkan pelabuhan di pulau Crete.

Seorang aktivis di Athens memberitahu Reuters, kebanyakan aktivis yang berada di atas kapal itu merupakan rakyat Kanada, Belgium, Perancis, Itali dan Turki.

"Pengawal pantai Greece berjaya memintas kami. Kami pada mulanya cuba melawan, tetapi tiada sesiapa tercedera.

"Mereka mungkin membawa kami kembali ke pulau Crete, tetapi kami tetap mahu ke Gaza. Buat masa ini, kapal kami dirampas, tetapi tiada seorang pun antara kami ditahan," kata aktivis David Heap menerusi panggilan telefon dari kapal 'Tahrir'.

Dalam satu kejadian terbaru hari ini, sebuah kapal Perancis 'Dignite al Karama' bersama lapan aktivis turut mengenepikan larangan belayar oleh Greece apabila meninggalkan perairan negara ini dalam cubaan mencabar sekatan Israel ke atas Genting Gaza. - Reuters/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Presiden Filipina jual kereta Porsche



Model kereta Porsche yang serupa dimiliki oleh Presiden Benigno Aquino yang dijual setelah menerima kritikan rakyat. - Agensi


MANILA 5 Julai - Presiden Filipina, Benigno Aquino menjual kereta Porsche terpakai yang dibelinya pada tahun lalu, setelah kenderaan mewah itu mencetuskan kritikan dan disebut sebagai punca populariti beliau merosot.

Tinjauan pendapat awal tahun ini mendapati kebanyakan rakyat menganggap keputusan Aquino untuk membeli kereta sport mewah itu, walaupun terpakai dan dibeli dengan wang beliau sendiri, sebagai tidak bijak di sebuah negara miskin yang penduduknya menghadapi kenaikan harga makanan dan bahan api.

"Kereta itu tidak lagi milik saya, selepas dijual dengan harga 4.5 juta peso (RM312,000)," kata Aquino kepada wartawan, sambil menambah kata bahawa beliau menjual pada harga yang sama ketika membelinya pada Krismas lalu. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Yingluck dibayangi Thaksin



Duta Amerika ke Thailand Kristie Kenney (kiri) mengucapkan tahniah kepada Yingluck Shinawatra atas kemenangan Parti Phue Thai di sebuah hotel di Bangkok, kelmarin. - AFP


BANGKOK 5 Julai - Thailand bakal mendapat Perdana Menteri wanita pertama tidak lama lagi tetapi pemerhati berkata, kemenangan Yingluck Shinawatra sebagai proksi abangnya, Thaksin tidak boleh dilihat sebagai kemajuan besar dalam perjuangan menegakkan hak-hak wanita di negara ini.

Yingluck yang boleh dikatakan tidak dikenali dua bulan lalu memimpin Parti Pheu Thai untuk memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya kelmarin, tetapi populariti beliau yang melonjak itu banyak berpunca daripada Thaksin, bekas Perdana Menteri yang mendalangi parti itu dari luar negara.

Justeru itu, para pejuang hak asasi wanita di Thailand keberatan untuk melihat kemenangan Yingluck sebagai satu kejayaan dalam menuntut persamaan hak.

Kata mereka, kemenangan adik bongsu Thaksin itu bukanlah kejayaan sebenar dalam memecah halangan kepada kemajuan wanita tetapi lebih merupakan hasil menumpang pengaruh seorang lelaki.

"Apa yang hendak kita banggakan? Seluruh dunia mengetahui segala-galanya berpunca daripada Thaksin.

"Bandingkan kedudukannya dengan Aung San Suu Kyi yang sudah berjuang selama 20 tahun tetapi masih belum dapat menjadi Perdana Menteri Myanmar," kata Pengarah Institut Penyelidikan Pembangunan dan Gender (GDRI) Thailand, Sutada Mekrungruengkul, yang merujuk kepada ikon prodemokrasi negara jiran yang dipinggirkan oleh tentera.

Yingluck yang berjanji untuk memulihkan dasar-dasar populis yang dilaksanakan semasa abangnya menjadi Perdana Menteri, dilihat mematuhi segala arahan Thaksin, malah digambarkan oleh abangnya itu sebagai 'klonnya'.

"Tidak syak lagi Yingluck memenangi pilihan raya ini kerana beliau adalah adik perempuan Thaksin," kata pakar mengenai politik Thailand di Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, Andrew Walker. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Perebutan jawatan dalam Kabinet bermula

BANGKOK 5 Julai - Perebutan mengisi jawatan dalam kerajaan baru Thailand dilaporkan bermula hari ini, walaupun bakal Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berkata, masih terlalu awal untuk beliau memutuskan barisan Kabinetnya.

Sementara itu pengkritik dan pelabur melahirkan kebimbangan janji Yingluck semasa berkempen untuk melaksanakan dasar-dasar populis yang menelan kos berbilion-bilion dolar akan meningkatkan inflasi dan kadar faedah.

Yingluck yang merupakan muka baru di pentas politik perlu meredakan kebimbangan banyak pihak berhubung kepulangan abangnya, Thaksin, selepas Parti Pheu Thai pimpinannya menang pada pilihan raya kelmarin.

"Buat masa ini tidak ada rundingan mengenai Kabinet, kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) belum mengesahkan keputusan pilihan raya," kata Yingluck.

Bangkok Post melaporkan Thaksin, yang kini hidup dalam buangan di Dubai, mungkin menapis calon untuk jawatan Kabinet, dan langkah sedang diambil untuk membolehkan beliau pulang tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

Pheu Thai yang memenangi 265 daripada 500 kerusi Parlimen boleh memerintah sendirian, tetapi Yingluck semalam berkata, beliau akan membentuk sebuah kerajaan campuran terdiri daripada lima parti untuk menguasai sejumlah 299 kerusi.

"Membentuk kerajaan campuran mungkin langkah politik paling bijak pada ketika ini.

"Dengan membawa parti-parti lain ke dalam kerajaan, Yingluck akan memberi gambaran beliau mendapat sokongan luas di Parlimen," kata pakar ekonomi HSBC di Singapura, Wellian Wiranto.

Pheu Thai akan memegang portfolio pertahanan, hal-ehwal luar, dalam negeri, pengangkutan dan pertanian dan Yingluck yang sudah membuktikan kebolehannya sebagai ahli perniagaan dijangka menyelia kementerian-kementerian berkaitan ekonomi, lapor media tempatan . - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Peniaga didakwa tuduhan jual 388 helai baju-T Bersih 2.0

Utusan Malaysia Online - Terkini: "KOTA BHARU 6 Julai - Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjual 338 helai baju-T bertulisan Bersih pada 1 Julai lalu.

Zakaria Che Wail, 40, dari Taman Mutiara, Kampung Mulong, Wakaf Bharu, Tumpat, bagaimana mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika dihadapkan di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin. - Utusan"

Bayi lelaki empat bulan meninggal dunia tersedak susu

JOHOR BAHRU 6 Julai – Seorang bayi lelaki yang baru berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak ketika minum susu di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Air Biru, Pasir Gudang di sini hari ini.

Bayi itu disahkan meninggal dunia pukul 9.55 pagi ini di sebuah klinik berdekatan di mana dia dihantar untuk mendapatkan bantuan.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat. – Utusan

Utusan Malaysia Online - Terkini

Tak tahan sebak cam jam tangan

SHAH ALAM: Suasana pilu menyelubungi kamar Mahkamah Tinggi, semalam apabila isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada empat mangsa pembunuhan termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, tidak dapat menahan sebak ketika diminta mengecam jam tangan Longines milik suaminya.

Suzana Radin Pangat, 39, yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat CIMB Bank, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, mula mengalirkan air mata ketika melihat jam tangan berjenama diterima suaminya sebagai hadiah pencapaian cemerlang pada 2008. Ibu kepada tiga cahaya mata berusia enam hingga 16 tahun beberapa kali mengesat air mata ketika membelek jam tangan itu sebelum tunduk dan menangis. Malah, wanita yang tampil berbaju kurung corak bunga dengan tudung sedondon itu mula dihimpit emosi menyebabkan suaranya sering tersekat-sekat. Pada awal prosiding, Hakim Datuk Akhtar Tahir turut bertanyakan keadaan emosi Suzana, namun saksi itu memilih untuk menyambung keterangan. Suzana juga beberapa kali terpaksa berhenti seketika untuk menenangkan diri ketika memberi keterangan berhubung panggilan dan pertemuan terakhir dengan Noorhisham, sebelum suaminya menjadi antara empat mangsa pembunuhan kejam di Banting, tahun lalu. Sementara itu, situasi sama berlaku ketika anak ketiga Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Erinawati Sofia, 22, gagal menahan air mata apabila diminta mengecam gambar ibunya, pada prosiding sebelah petang.


Pada peringkat awal, Akhtar turut bertanyakan keadaannya dan saksi yang berbaju kurung merah jambu dan bertudung sedondon itu memilih untuk meneruskan keterangan. Prosiding semalam turut diwarnai keterangan penjual kerepek di Banting, Zurayina Jemaat, 27, yang memberitahu mahkamah dia tidak mengetahui pembunuhan kejam yang membabitkan Sosilawati, 47; Noorhisham, 38; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Wanita itu yang kini tidak lagi bekerja berkata, ini berikutan dia tidak membaca akhbar atau menonton televisyen kerana terlampau sibuk dengan kerja rumah dan menjaga anak-anaknya. Sosilawati dilaporkan membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting, pada jam 4 petang, hari sama dia dan tiga lagi individu dibunuh.


Perbicaraan di hadapan Akhtar bersambung hari ini.

myMetro | Tak tahan sebak cam jam tangan

Panggilan misteri

SHAH ALAM: Seorang suri rumah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam dia membuat laporan polis berhubung kehilangan adiknya, pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, selepas menerima satu panggilan telefon individu tidak dikenali.

Zaidah Shamsuddin, 52, dari Indera Mahkota 2, Kuantan, Pahang berkata, panggilan dibuat seorang perempuan itu memberitahunya Noorhisham sudah hilang. Oleh itu, saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, dia memutuskan membuat laporan polis di Kuantan pada 6 September tahun lalu. Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan Noorhisham , 38. Zaidah berkata, dia tidak mengetahui secara jelas pekerjaan Noorhisham kerana adiknya itu “tidak banyak bercakap”. Sementara itu, saksi pendakwaan ke-11, Erni Erinawati Sofia Buhari, 22, ketika memberi keterangannya mengesahkan ada membuat dua laporan polis berhubung kehilangan ibunya di Balai Polis Dang Wangi masing-masing pada 30 Ogos dan 2 September 2010.


Anak keempat Sosilawati itu yang kini bertugas di cawangan Nouvelle Beauty Center Sdn Bhd di Cyberjaya berkata, semua maklumat dalam laporan itu termasuk nombor telefon Kamaruddin Ahmad Kamil dan Noorhisham diperoleh daripada kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana, 26.

Mengulas berhubung peribadi Kamaruddin, saksi itu berkata: “Uncle Kamal mula bekerja dengan emak sejak tiga tahun lalu sebagai pemandu dan pembantu peribadi. Uncle seorang yang baik, suka berjenaka dan seorang yang sangat mengambil berat.” Ketika disoal semula oleh Ishak mengapa dia yang bertindak membuat laporan polis dan bukannya Erni Dekritawati Yuliana, Erni Erinawati Sofia berkata, kakak sulungnya itu perlu menjaga adik-beradik mereka yang lain di rumah. Erni Dekritawati Yuliana dan Erni Erinawati Sofia adalah antara enam anak hasil perkongsian antara Sosilawati dan bekas suaminya, Buhari Mohamed. Empat lagi ialah Erwan Suwari Ridzuan, 25; Md Erwan Nasri, 24; Erni Reenilawati, 21, dan Siti Nur Fatimah, 14. Terdahulu, anak saudara Kamaruddin, Khairul Izwan Ismail berkata, dia mendapat tahu bahawa Kamaruddin berada di Banting apabila bapa saudaranya itu menelefonnya kira-kira jam 5 petang, 30 Ogos tahun lalu. “Saya ada berjanji untuk tidur di rumah dia. Ketika itu saya dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur (KL). Dia kata kalau sudah sampai di KL, hubungi dia.


“Memang sudah menjadi kebiasaan saya untuk bermalam di rumahnya jika berada di KL,” katanya. Saksi yang berkhidmat sebagai guru di Kuala Lipis, Pahang itu berkata, bapa saudaranya yang dikenali sebagai Kamal itu sempat bergurau sebelum panggilan itu terputus. Bagaimanapun ketika menjawab soalan pada pemeriksaan semula oleh Ishak, Khairul Izwan berkata, dia tidak mengetahui lokasi bapa saudaranya itu selepas panggilan terakhir pada 30 Ogos tahun lalu itu.

myMetro | Panggilan misteri

Petunjuk dalam mimpi

JOHOR BAHRU: “Ayu meminta tolong untuk memohon maaf kepada rakan sekolah dan guru selain amanat supaya jasadnya yang masih ‘gentangyangan’ (terawang-awang) disempurnakan termasuk dimandi, dikafan dan dikebumikan dengan sempurna,” kata Qomarodin Bajuri, bapa remaja yang dipercayai dirogol, dibunuh, dicincang dan dibakar, Norrahayu, 16, pada 14 Jun lalu.

Serpihan tulang, cermin mata, sebelah selipar dan gumpalan rambut serta sepit rambut Norrahayu yang juga dikenali sebagai Ayu, ditemui di dua lokasi berbeza iaitu kawasan perkuburan Hindu dan ladang sawit Sungai Tiram di sini, petang Ahad lalu.


Qomarodin mendakwa Ayu menyampaikan amanatnya itu melalui mimpi selepas dia melakukan solat hajat kelmarin dan meminta petunjuk sambil reda dengan ujian menimpa dirinya sekeluarga.

“Saya reda dengan ujian Allah dan tidak berprasangka buruk dengan kejadian menimpa anak saya itu selain menerima hakikat kemungkinan Ayu dipanggil pulang oleh-Nya kerana saya tidak menjalankan tugas sebagai ayah dengan baik.


“Mungkin ‘mengambil’ Ayu lebih baik.


“Allah lebih menyanyangi dirinya saya dan keluarga reda dengan apa yang berlaku dan ini ujian kepada kami sekeluarga.

“Jadi saya dan keluarga terima ujian ini,” katanya.


Menceritakan detik kejadian itu, katanya, dia menyedari Ayu membuat 10 panggilan kepadanya pada malam kejadian, namun terkilan apabila gagal menghubungi Ayu semula. “Saya amat risau dan bertanyakan kepada rakan dan kenalan jika terlihat Ayu dan kami sekeluarga mencarinya, namun hampa.

“Teman lelaki yang menghantar Ayu ke rumah pada malam kejadian juga datang dan kami masing-masing membuat laporan polis,” katanya.


Dia bertanyakan kepada pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu, iaitu suspek utama yang kini direman polis tetapi lelaki botak dan tinggi itu berkata, tiada apa yang berlaku.


“Namun apabila melihat suspek berjalan tempang, saya curiga kerana dia tidak datang kerja selama dua hari selepas kejadian selain memberi alasan kakinya sakit kerana terjatuh motosikal.


“Saya merujuk perkara berkenaan kepada polis dan mereka pergi ke lokasi, namun apabila melihat polis, lelaki berkenaan melompat ke dalam semak melarikan diri sebelum muncul semula selepas polis beredar,” katanya.

myMetro | Petunjuk dalam mimpi

Senjata di celah batu

SHAH ALAM: Perkembangan terbaru perhimpunan haram menjadi semakin membimbangkan apabila polis menemui barangan termasuk pelbagai senjata disorok di celah batu lereng bukit belakang sebuah tokong di Batu 14, Jalan Lama Gombak-Bentong, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lima beg ditemui mengandungi 20 parang, 17 pemetik api, 36 botol plastik berisi petrol dan bersumbu, 25 ceraian kain kuning, 36 ceraian kain merah dan beberapa bebola besi.


Selain itu, katanya, turut ditemui dua plastik hitam mengandungi 44 helai baju-T kuning tertera tulisan Bersih.

Beliau berkata, barangan berkenaan kemungkinan ada kaitan dengan perhimpunan dirancang Sabtu ini.


“Kawasan barang itu disorokkan adalah hutan dan jaraknya 12 meter dari jalan raya. Pada jam 7.20 petang semalam (kelmarin), polis menerima maklumat daripada seorang lelaki Orang Asli yang mencari rotan di kawasan hutan itu yang menemui beberapa beg dan plastik.


“Berikutan laporan itu, anggota kereta peronda (MPV) Balai Polis Gombak bergegas ke kawasan kejadian dan menjumpai lima beg dan dua plastik hitam.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui pelbagai barang termasuk parang, botol plastik berisi petrol siap mempunyai sumbu dan baju kuning tertera tulisan Bersih,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

myMetro | Senjata di celah batu

Artis rap 90-an dicekup khalwat

KUALA LUMPUR: Seorang ahli kumpulan rap era 90-an ditangkap khalwat bersama seorang janda anak dua di Kondominium Langat Jaya, Cheras, di sini, kelmarin.

Tangkapan kira-kira jam 5 pagi itu dilakukan nazir Masjid Qariah Batu 10, Hulu Langat, Razali Hassan bersama beberapa jemaah masjid selepas mendapat maklumat daripada orang awam mengenai artis berusia 39 tahun itu yang kerap bermalam di rumah janda terbabit.


Menurut sumber, pihak yang membuat serbuan terpaksa masuk ke rumah itu secara paksa selepas kedua-dua suspek enggan memberikan kerjasama.

Katanya, ketika tangkapan artis berkenaan didapati berdua-duaan bersama janda berusia 30-an itu di dalam sebuah bilik.


“Ketika serbuan, artis terbabit menimbulkan kekecohan apabila mencabar jiran yang mencekupnya bergaduh, namun keadaan dapat ditenangkan,” katanya.


Pegawai Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Nurhamizah Othman mengesahkan tangkapan artis terbabit.

myMetro | Artis rap 90-an dicekup khalwat

Aida nafi sebabkan kematian Zainuddin

JAKARTA: Ulama Zainuddin MZ dilaporkan meninggal dunia, pagi semalam di RS Pertamina kerana serangan jantung.

Penyakitnya itu dikatakan ada kaitan dengan Aida Saskia yang pernah terbabit dengan skandal bersama ulama berkenaan. Ekoran dakwaan itu, Aida dilaporkan berasa susah hati. Walaupun pernah terbabit dengan skandal bersama ulama terbabit tetapi dia tidak mahu menjadi orang yang bertanggungjawab atas penyakit dideritai ulama sejuta umat itu. “Jika penyakitnya dikaitkan dengan saya, itu tidak benar,” katanya kepada detikhot ketika dihubungi melalui jurucakapnya, semalam.


Aida mengaku pernah mengetahui Zainuddin menghidap penyakit tetapi tidak secara terperinci. Menurutnya, keluarga ulama itu yang lebih mengetahui dengan jelas penyakitnya.

“Keluarga dia yang lebih tahu tentang penyakit dihidapinya bukannya saya walaupun saya pernah mempunyai masalah dengannya,” katanya lagi.


Aida hanya dapat mendoakan keluarga Zainuddin dan berharap supaya ibadah ulama berkenaan diterima Allah. - KL

myMetro | Aida nafi sebabkan kematian Zainuddin

Perhimpunan Bersih di stadium

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bersetuju memilih mengadakan perhimpunan Sabtu ini di stadium selepas mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, semalam.

Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga yang hadir bersama Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dilihat berada di pekarangan istana seawal jam 1.30 tengah hari sebelum dibenarkan masuk kira-kira setengah jam kemudian.


Beliau yang ditemui wartawan sebaik keluar dari istana jam 3.15 petang berkata, pihaknya bersedia mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium, bukan di jalanan seperti dirancang sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum menentukan stadium akan digunakan, tetapi tarikh tidak berubah.


“Setakat ini itu saja maklumat dapat saya kongsi hasil pertemuan dengan Tuanku sebentar tadi dan sebarang perkembangan terkini berhubung perhimpunan itu akan diberitahu pada sidang media esok (hari ini),” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata, polis masih menunggu permohonan rasmi penganjur perhimpunan Bersih yang dikatakan mahu meneruskan perhimpunan dalam stadium.

Katanya, sebarang keputusan berhubung permit dan perhimpunan itu akan diputuskan berdasarkan kepada ketenteraman awam dan keselamatan rakyat mengikut Seksyen 27, Akta Polis 1997.


“Kami menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong mengenai pembatalan perarakan dan perhimpunan jalanan yang dirancang jawatankuasa Bersih,” katanya.

myMetro | Perhimpunan Bersih di stadium

Kajol lantik peguam bela

KOTA BHARU: Penyanyi dikir barat moden yang terkenal di Kelantan, Mohd Hafiz Jeffri, 25, atau lebih dikenali sebagai ‘Kajol’ sudah melantik peguam bela bagi mewakilinya dalam kes rayuan berhubung sabitan hukuman penjara lima bulan dijatuhkan Mahkamah Rendah Syariah, Tanah Merah, pada 21 Jun lalu.

Berhubung kes rayuan terbabit, Kajol yang turut dijatuhkan hukuman denda RM1,000 oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, Aris Fadhilah Sulaiman, pada prosiding lalu, melantik peguam bela Mohd Zaki Zainal Abidin untuk mewakilinya.


Proses pelantikan peguam terbabit dilakukan Kajol pada 21 Jun lalu, namun prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah belum ditentukan lagi sehingga rekod rayuan diserahkan Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah ke mahkamah berkenaan.

Mengulas mengenai pelantikan terbabit, Mohd Zaki berkata, dia tidak dapat menentukan tarikh sebenar prosiding berkenaan, meskipun sudah dilantik mewakili tertuduh.


“Selaku peguam bela yang dilantik pada 21 Jun lalu, saya diarahkan anak guam supaya mewakilinya dalam prosiding rayuan bersabit jatuh hukuman penjara lima bulan dijatuhkan Hakim Syarie Aris Fadhilah Sulaiman ke atas Kajol.


“Tindakan mengemukakan rayuan dilakukan anak guam ketika prosiding jatuh hukuman dikenakan ke atasnya, namun tidak membabitkan denda, tetapi hanya bersangkut hukuman penjara lima bulan,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah, Balai Islam Lundang, dekat sini, semalam.

Katanya, dalam prosiding lalu, anak guamnya dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai di tapak ekspo, 15 April lalu.


“Sebelum ini, tertuduh mengemukakan permohonan mengenepikan sementara hukuman penjara lima bulan sebelum kes berkenaan didengar pada peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah dan dalam proses penetapan tarikh,” katanya.

myMetro | Kajol lantik peguam bela

Mohon maaf berulang kali

KETERANGAN...Suzana memberi keterangan ketika ditanya Ishak.
KETERANGAN...Suzana memberi keterangan ketika ditanya Ishak.
HADIR...Erni Dekritawati bersama bapanya, Buhari Mohamed hadir di mahkamah.
HADIR...Erni Dekritawati bersama bapanya, Buhari Mohamed hadir di mahkamah.

SHAH ALAM: Panggilan telefon secara tergesa-gesa oleh pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad untuk memohon maaf berulang kali kerana tidak dapat pulang ke rumah selama tiga hari atas alasan mahu menolong jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, menimbulkan kemarahan isterinya.

Ia menyebabkan Suzana Radin Pangat, 39, menghantar SMS kepada Noorhisham yang dianggapnya sanggup meninggalkan mereka sekeluarga pada Ramadan semata-mata mahu membantu orang lain dan panggilan telefon daripada suaminya itu sejurus pesanan teks itu dihantar, turut diabaikannya.

Apa yang Suzana tidak tahu itulah panggilan telefon terakhir daripada Noorhisham, pasangan hidupnya selama 16 tahun sebelum suaminya disahkan meninggal dunia.

Dengan nada yang sebak dan air mata yang bergenang, Suzana yang bertugas sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat CIMB Bank, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, memberi keterangan pada prosiding perbicaraan kes pembunuhan ngeri membabitkan Noorhisham, 38; Sosilawati, 47; pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44; dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.


Menurut Suzana, sebelum itu pada 30 Ogos 2010, jam 8 pagi, ketika Noorhisham menghantarnya ke tempat kerja, suaminya memberitahu mahu ke Banting pada sebelah petang bersama Ahmad Kamil atas urusan perniagaan membabitkan Sosilawati.


Katanya, itulah kali terakhir dia bertemu suaminya.

“Ia menjadi kebiasaan kepada Noorhisham maklumkan kepada saya jika dia balik lewat atau berjumpa pelanggan. Pada sebelah petang jam 4, ketika berada di pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Noorhisham memberitahu dia dalam perjalanan ke Banting bersama Ahmad Kamil dengan menaiki kenderaan milik rakannya itu.

“Kira-kira jam 8 malam selepas berbuka puasa, Noorhisham sekali lagi menghubungi saya. Dia (Noorhisham) maklumkan tidak dapat pulang selama tiga hari sebab ‘ada hal’.

“Apabila saya tanya kenapa, dia kata nak selamatkan Sosilawati. Kamal ada ambil gambar ‘tak elok’ dan mahu sebarkan. Dia dan Ahmad Kamil terpaksa bantu Sosilawati,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yussuf.

ISHAK: Boleh beritahu mahkamah apa lagi yang berlaku?

SUZANA: Dia (Noorhisham) minta saya faham keadaan itu. Dia minta maaf pada saya banyak-banyak. (Ketika itu Suzana terus menangis. Apabila ditanya Hakim Datuk Akhtar Tahir sama ada dia mahu meneruskan atau diberi ruang bertenang, sambil mengangguk dia minta diteruskan).

Noorhisham kata dalam masa tiga hari dia balik dan ceritakan semuanya. Saya tanya dia di mana, dia tidak jawab, tanya dia berbuka (puasa) di mana pun dia tidak jawab dan terus matikan telefon. Dia nak cepat.

Saya tidak sempat bertanya apa-apa. Pada kebiasaannya kami akan bertanya satu sama lain di mana dan makan apa, tapi pada hari itu dia tidak jawab soalan saya.
ISHAK: Berapa lama perbualan itu berlaku?

SUZANA: Saya tidak ingat tetapi sekejap sangat.

ISHAK: Ketika itu ada kamu dengar apa-apa dalam telefon?

SUZANA: Tidak ada, suasana di sebelah sana sunyi.

ISHAK: Puan pasti yang menelefon puan itu adalah suami puan?

SUZANA: Ya, saya pasti sebab ada menyimpan nombor suami di telefon bimbit dan apabila dia membuat panggilan akan tertera namanya lagi pun saya pasti itu memang suara dia.

ISHAK: Selepas dia putuskan talian, apa tindakan puan?

SUZANA: Sebaik meletakkan telefon, saya menghantar SMS kepada Noorhisham. Masa itu saya cakap kenapa sanggup hendak bantu orang dan sanggup tinggalkan saya serta anak-anak.

ISHAK: Apa perasaan kamu ketika itu?

SUZANA: Pada masa itu saya marah, sebab itu saya SMS. Ketika marah saya tidak bercakap, hanya SMS. Selepas SMS itu dihantar Noorhisham ada menelefon saya kembali, tetapi dalam keadaan marah saya tidak mengangkat panggilannya.

ISHAK: Pada 30 Ogos 2010, semasa Noorhisham hantar kamu ke pejabat, dia memakai baju apa?

SUZANA: Memakai kemeja CIMB Islamic berwarna hijau.

ISHAK: Bagaimana dengan jam?

SUZANA: Ada, dia memakai jam jenama Longines.

ISHAK: Bagaimana kamu tahu?

SUZANA: Ia ganjaran CIMB kepada kakitangan berdasarkan pencapaiannya pada 2008.

ISHAK: Jam itu mempunyai kotak?

SUZANA: Ada termasuk kad jaminan tetapi diserahkan kepada pegawai penyiasat.

ISHAK: Apa jenis telefon bimbit yang digunakan Noorhisham dan bagaimana ia diperoleh?

SUZANA: Telefon pintar BlackBerry Bold, ia dibeli suami saya setahun lalu.

ISHAK: Masih ada kotak?

SUZANA: Ada dan ia diserahkan kepada polis.

Suzana yang juga saksi kelapan pihak pendakwaan memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Akhtar di Mahkamah Tinggi di sini, semalam bagi kes pembunuhan membabitkan Sosilawati serta tiga individu lain yang didakwa dibunuh empat tertuduh iaitu bekas peguam, N Pathmanabhan, 42; T Thilaiyalagan, 20; R Matan, 21 dan R Khatavarayan, 31.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang di Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor, antara jam 8.30 malam hingga 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Amer Hamzah Arshad, Suzana berkata, laporan polis dibuatnya tidak mengandungi maklumat berhubung masalah ‘gambar’ dihadapi Sosilawati kerana fikirannya yang ketika itu bercelaru.

myMetro | Mohon maaf berulang kali

Suami isteri mengaku tidak bersalah bantu pertubuhan haram

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, terhadap pertuduhan memberi bantuan kepada pertubuhan haram iaitu Bersih 2.0.

Abdul Lateb Jaafar, 51, dan isterinya Rosnani Ibrahim, 48, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norazah Idris.


Mereka dituduh secara niat bersama memberi bantuan kepada satu pertubuhan haram iaitu Bersih 2.0 dengan membawa lima helai kemeja-T berwarna kuning bertulis Bersih 2.0 dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran KAS 9494 di satu sekatan jalan raya di jalan Kubang Rotan, Kuala Kedah dekat sini pada 9.05 malam 2 Julai lalu.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966, [Akta 335] yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Mereka juga menghadapi pertuduhan alternatif iaitu pada tempat dan masa sama, secara niat bersama telah memberi bantuan dengan membawa lima helai kemeja-T berwarna kuning bertulis Bersih 2.0 dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran KAS 9494 untuk kegunaan perhimpunan Bersih yang akan diadakan pada 9 Julai ini pukul 2 petang.

myMetro | Suami isteri mengaku tidak bersalah bantu pertubuhan haram

Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Isteri pegawai bank menangis

BARISAN pendakwaraya menyoal saksi kelima, Lans Koperal Kasmir Luntuk. Gambar kecil, Suzana Radin Pangat
BARISAN pendakwaraya menyoal saksi kelima, Lans Koperal Kasmir Luntuk. Gambar kecil, Suzana Radin Pangat
Cam barang peribadi arwah suami, sambung keterangan walaupun sebak

SHAH ALAM: Isteri kepada pegawai bank, Noorhisham Mohamad, menangis di Mahkamah Tinggi semalam, ketika mengecam barangan peribadi milik arwah suaminya itu dan apabila menceritakan kembali perbualan telefon terakhirnya dengan suami pada 30 Ogos 2010.
Ketika diminta mengecam telefon bimbit Blackberry Bold berwarna hitam dan jam tangan jenama Longines, pembantu peribadi di bank CIMB, Jalan Raja Laut, Suzana Radin Pangat, 39, beberapa kali mengesat air matanya dengan tisu, sebelum mengesahkan barangan itu milik arwah suaminya.
“Jam itu anugerah daripada CIMB (majikan arwah cawangan Kampung Baru) kerana prestasi cemerlang beliau pada 2008, manakala telefon bimbit BlackBerry dibeli arwah sendiri,” katanya yang sudah 16 tahun mendirikan rumah tangga dengan Noorhisham.

Ditanya Hakim Datuk Akhtar Tahir sama ada beliau ingin menangguhkan prosiding sebentar untuk menenangkan dirinya, Suzana cuba mengawal emosinya sebaik mungkin dan bertekad meneruskan prosiding dengan menjawab soalan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof.

Menceritakan perbualan telefonnya dengan Noorhisham, Suzana dengan sebak berkata, panggilan pertama diterima pada jam 4 petang dan suaminya memaklumkan beliau dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim akan ke Banting menaiki kereta rakannya itu.

Ishak: Pada tarikh sama, bila kali terakhir beliau (Noorhisham) hubungi awak?
Suzana: Pada malam itu, lepas berbuka puasa kira-kira jam 8 malam, suami ada telefon saya.

Ishak: Apa yang diberitahunya?

Suzana: Beliau telefon cakap beliau tak boleh pulang tiga hari kerana ada hal. Saya tanya kenapa? beliau cakap, beliau nak cuba selamatkan Datuk Sosilawati sebab pemandu Datuk, Kamal (Kamaruddin Shamsuddin), ada satu gambar tak elok dan ugut nak sebarkan. Beliau dan Ahmad Kamil terpaksa bantu Datuk. Beliau minta saya faham situasi itu dan minta maaf banyak-banyak pada saya. Beliau kata dalam masa tiga hari, beliau balik dan cerita apa berlaku.

Suzana yang kelihatan sebak terdiam seketika sebelum berkata: “Lepas itu saya tanya di mana beliau, beliau tak jawab. Saya tanya beliau buka puasa di mana pun beliau tak jawab. Beliau hanya minta maaf banyak-banyak dari saya, macam nak cepat dan terus matikan talian telefon.”

Beliau kemudian menangis lagi sebelum menyambung semula keterangannya dengan berkata, beliau menghantar SMS kepada suaminya 15 minit selepas menerima panggilan telefon itu kerana marah.

Ishak: Apa awak cakap?

Suzana: Saya cakap kenapa beliau sanggup nak bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari. Masa itu bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri akan disambut pada 12 September (lagi seminggu).

Ishak: Perasaan awak?

Suzana: Pada masa itu saya marah. Saya tidak menelefonnya dan hanya menghantar SMS kerana saya marah.

Ishak: Ada Noorhisham hubungi awak semula selepas itu?

Suzana: Beliau ada telefon tetapi saya tidak jawab.

Ishak: Kenapa awak marah?

Suzana: Beliau pergi tiga hari tak balik saya tak dapat hubungi beliau, beliau tinggalkan saya dengan tiga anak dan itu bukan satu keputusan yang saya boleh terima.

Suzana berkata, kali terakhir beliau melihat suaminya itu ketika Noorhisham menghantarnya ke tempat kerja pada jam 8 pagi hari yang sama dan beliau ada memaklumkan akan ke Banting atas urusan membabitkan Sosilawati.

Perbicaraan bersambung hari ini.
Berita Harian Online | Kes pembunuhan Sosilawati Lawiya: Isteri pegawai bank menangis

Saksi sering lupa, tertuduh pertama serah nota

HAKIM Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menegur beberapa saksi dan tertuduh pertama bekas peguam, N Pathmanabhan ketika perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lain masuk hari kedua semalam.

Dua saksi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Lans Koperal Fairol Awad Jaafar, 37, yang pernah bertugas sebagai jurugambar ketika siasatan kes itu dijalankan tahun lalu, ditegur berikutan sering memberikan jawapan tidak ingat apabila ditanya mengenai gambar yang diambilnya.
Fairol Awad memberitahu mahkamah beliau mengambil 14 keping gambar tempat kejadian di Sungai Kanchong, Kampung Endah; 30 keping gambar zink; 13 keping gambar kunci kereta di USJ1, Subang Jaya dan 13 keping lagi gambar barang kes iaitu pakaian yang diambil di sebuah rumah di Kampung Permatang Pasir, Banting.
Bagaimanapun, beliau yang memberi keterangan tugasan itu diberikan kepadanya oleh pegawai penyiasat, Inspektor N Govindan, tidak ingat bila beliau merakamkan gambar berkenaan.

Katanya, beliau juga tidak ingat berapa lama taklimat yang diberikan Govindan apabila ditanya peguam Gurbachan Singh, menyebabkan beliau ditegur Akhtar.
“Ini baru berapa bulan, awak tak ingat,” katanya.

Bekas jurujual syarikat kerepek dan kuih, Fazz Enterprise, Zurayina Jemaat, 27, turut menerima teguran Akhtar apabila kerap menjawab tidak ingat terhadap soalan yang dikemukakan peguam bela keempat-empat tertuduh antaranya, bila polis datang merakamkan keterangannya, atau pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian.
Akhtar juga menegur tindakan Pathmanabhan yang beberapa kali menyerahkan helaian nota kecil berwarna biru kepada Manjeet, ketika Zurayina memberi keterangan. Berita Harian Online | Saksi sering lupa, tertuduh pertama serah nota

9 mendulang emas di lapang sasar kena tahan

SEGAMAT: Kegigihan sembilan lelaki mengisi masa lapang hujung minggu masing-masing dengan menceroboh lapang sasar Kementerian Pertahanan dekat Jementah di sini, untuk melombong emas secara haram berakhir dengan ditahan anggota tentera menerusi dua tangkapan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Mereka ditahan sepasukan tujuh anggota tentera dari Kem Syed Sirajudin, Gemas, yang meronda lapang sasar terbabit sebelum terserempak kumpulan lelaki itu ketika sedang asyik melombong secara mendulang emas dengan menggunakan kuali untuk mengayak tanah dan pasir dalam usaha mengesan hablur emas.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, berkata tujuh lelaki termasuk seorang lelaki keturunan Vietnam yang sudah mempunyai taraf penduduk tetap, ditahan ketika sedang mendulang kira-kira jam 5.40 petang pada Jumaat lalu.
“Dua lagi lelaki seorang daripadanya petugas Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA) dan rakannya penduduk tempatan ditahan pada Sabtu kerana kegiatan sama.

“Mereka yang mendirikan pondok untuk berteduh di kawasan itu, dikesan menjalankan kegiatan terbabit berbekalkan pam air dan gerudi bagi memecah tanah sebelum menggunakan kuali untuk mengayak mengesan hablur emas yang tersembunyi,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, anggota tentera turut merampas dua motosikal lasak dipercayai digunakan kumpulan lelaki terbabit untuk memasuki kawasan larangan itu serta sebuah botol berisi tanah yang bercampur habuk emas, generator pam air dan mesin gerudi.

“Ketika disoal siasat, kumpulan lelaki terbabit mendakwa masing-masing menceroboh kawasan itu secara bersendirian untuk mengambil kesempatan mencari emas kerana mendengar khabar mengenai kehadiran logam berharga di kawasan itu.
“Kawasan yang tidak berpagar itu dikatakan menjadi tumpuan kegiatan pihak yang menceroboh untuk melombong emas secara haram menggunakan kaedah mendulang sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata, habuk emas yang dikumpul hasil kegiatan melombong itu dijual kepada peraih di Muadzam Shah, Pahang dan berdasarkan harga emas semasa, mereka dipercayai mampu meraih hasil yang lumayan.
Berita Harian Online | 9 mendulang emas di lapang sasar kena tahan

Homoseks penyakit luar biasa Barat

Dakwaan Menteri Kesihatan cetus kemarahan aktivis hak gay

NEW DELHI: Menteri Kesihatan India, Ghulam Nabi Azad, menyifatkan homoseksual sebagai satu 'penyakit' luar biasa dari Barat sekali gus mencetuskan kemarahan aktivis yang menganggap komen itu menjejaskan kempen negara itu bagi hak gay dan tentangan mereka terhadap HIV.
Komen Azad pada satu persidangan mengenai HIV/Aids kelmarin di ibu negara India itu mengingatkan semula kritikan biasa di negara konservatif itu bahawa homoseksual hasil import Barat.
“Malangnya, penyakit ini datang ke negara kita juga iaitu seorang lelaki menjalinkan hubungan seks dengan lelaki lain yang sama sekali bukan semula jadi dan tidak sepatutnya berlaku tetapi ia berlaku,” kata Azad.

Komen itu dikesali Anjali Gopalan yang mengetuai NAZ Foundation, sebuah kumpulan hak asasi yang membantu golongan positif HIV dan mengamalkan persamaan hak asasi bagi homoseksual.

Katanya, komen Azad sebagai menteri kesihatan memberi masalah dalam usaha negara itu menangani jangkitan HIV.

“Komen ini tidak membantu. Ia pasti tidak akan membantu usaha kita menentang HIV,” katanya lagi.
Secara purata 2.5 juta penduduk India mempunyai HIV menjadikan negara itu mempunyai bilangan penduduk paling tinggi menghidap virus berkenaan di Asia.
Pakar berkata, pertambahan penduduk gay di India menyukarkan usaha menentang penyakit itu.

“Jika anda tidak cuba mengukuhkan dan membangunkan masyarakat, penduduk gay akan terus menjadi bertambah,” katanya.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Delhi membatalkan undang-undang era penjajah – Seksyen 377 Kanun Keseksaan India – yang menyebut menjalin hubungan seks sesama jantina boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun. – AP
Berita Harian Online | Homoseks penyakit luar biasa Barat