Showing posts with label MAT INDERA. Show all posts
Showing posts with label MAT INDERA. Show all posts

Friday, September 9, 2011

Sejarah : Adik Mat Indera hilang?


Adik bongsu Mat Indera, Johan Shah Indera 
 KUALA LUMPUR: Adik Mat Indera, Johan Shah Indera gagal dihubungi sejak isu Mat Indera dimainkan media arus perdana.
Bahkan,Yang Dipertua Pas kawasan Ayer Hitam, Husin Sujak memaklumkan rumah Johan di Yong Peng tidak berpenghuni sejak beberapa hari lalu.

“Kita tak tahulah ke mana beliau pergi. Mungkin kerana mahu elak dari liputan media,” kata Husin kepada Keadilandaily.com
Difahamkan polis datang ke rumah Johan sejurus selepas kunjungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ketua Pemuda Pas negeri, Suhaizan Kaiat seperti dilaporkan media petang Isnin lalu.
Terdahulu, aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard bertemu Johan dalam program ‘Menjejak Mat Indera’ diiringi Husin Sujak, 3 September lalu.
Johan adalah ahli keluarga Mat Indera yang pertama muncul di media dengan liputan pertemuan dimuatkan di blog dan portal politik dan mendapat reaksi hangat.
Namun, laporan media arus perdana pada minggu berikutnya menyelar peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Malah, Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman melabelkan Mat Indera sebagai pengganas.
Sehingga petang ini, usaha untuk menghubungi Johan Shah Indera, 68, yang merupakan bekas kakitangan Majlis Daerah Yong Peng gagal.
Johan Shah Indera adalah anak bongsu dari 6 orang adik beradik, seibu sebapa dengan abangnya Muhammad Indera. Beliau pernah dibuang daerah ke Singapura bersama bapa, ibu tiri dan neneknya ke Singapura pada 1950 hingga 1954.
Dalam pada, itu abang tirinya, Bahrom Shah Indera ketika dihubungi Keadilandaily memberitahu, adiknya kini mungkin sedang ‘bersembunyi’.
Bahrom Shah adalah anak ketiga dari isteri kedua Indera dari empat orang adik beradik.
“Mungkin dia nak elak dari gangguan, kita tak tahu. Tapi saya yakin dia selamat dan akan pulang ke rumah,” kata Bahrom.
Bahrom sebelum ini tampil pada sidang media di ibu pejabat Pas pusat menuntut kerajaan membersihkan nama abangnya.
Beliau turut menyeru  sejarawan untuk mengkaji semula sejarah dan peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
http://wargamarhaen.blogspot.com

Anak mangsa Bukit Kepong akui Mat Indera selamatkan bapanya

Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 9 Sept: Anak kedua kepada anggota polis yang terselamat dalam peristiwa Bukit Kepong Allahyarham Yusoff Rono mengakui bapanya pernah diselamatkan oleh Ahmad Indera (gambar) atau dikenali sebagai “Mat Indera” ketika serangan enam dekad lalu itu.

Nazir Yusoff, 54, berkata arwah bapanya itu pernah menceritakan tindakan Mat Indera menyelamatkan dia ketika diacukan banet oleh seorang anggota komunis.

Nazir dipetik Sinar Harian hari ini berkata, tindakan tersebut disebabkan Mat Indera sudah mengenali bapanya yang pernah bersama-sama bekerja sebagai buruh di Pelabuhan Muar sebelum berkhidmat sebagai anggota polis, lapor The Malaysian Insider.

Dia yang kini menetap di Sungai Duyong, Kandang Melaka di Melaka berkata, menurut bapanya, selepas serangan pada 23 Februari 1950, Yusoff merupakan antara empat yang terselamat.

“Apabila pertempuran berhenti, bapa saya berada dalam himpunan mayat. Ketika anggota komunis membuat pemeriksaan, mereka dapati bapa saya masih hidup.

“Salah seorang anggota komunis mengacukan banetnya kepada bapa saya, sementara tiga lagi anggota polis yang terselamat berjaya terjun ke dalam sungai,” katanya.

Nazir menambah, ketika itu bapanya cedera teruk setelah ditarik dari kubu di bahagian bawah, selain tangan kirinya patah terkulai terkena tembakan.

Sementara kaki kiri dan matanya turut cedera terkena serpihan bom.

“Ketika itulah, bapa saya didatangi Mat Indera. Disebabkan dia kenal bapa saya, dia menghalang komunis daripada membunuhnya dengan berkata ‘yang sudah itu sudahlah’ kepada anggota komunis berkenaan,” katanya lagi.

Kelmarin, keluarga Mat Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat.

Katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”

Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”

Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.

Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.

Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”

“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.

Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang selamat itulah yang diselamatkan... ramai.”

Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.

“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.

XPDC Menjejak MAT INDERA - Siri AKhir : Dihina Sehingga Ke AKHIR HAYATNYA

Mat Indera Ditangkap Dan TERUS DIFITNAH

British terus meningkatkan propaganda buruk terhadap Mat Indera. Peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong digunakan sebaik mungkin oleh penjajah British untuk memburuk-burukkan Mat Indera. British sanggup menaikkan wang ganjaran untuk menangkap Mat Indera kepada $75,000 bagi menggambarkan Mat Indera adalah seorang yang sangat dikehendaki dan merbahaya. Kematian anggota Polis Bukit Kepung yang terdiri daripada bangsa Melayu dimanipulasi sebaik mungkin sehingga berjaya menarik simpati masyarakat Melayu.


Masjid Jamek Kg Parit Warijo, Seri Medan, Batu Pahat.

Akhirnya penangkapan Mat Indera dirancang dengan penuh tipu helah. Lima lelaki Jawa Ponorogo yang diketuai Md Sham dan dibantu Ismail Mustakim (Misban), Wak Beladang, Mat Tukyo dan Bajuri menggunakan tipu helah untuk memberkas Mat Indera. Menurut Pak Johan, Mat Indera telah dijemput untuk menghadiri ke sebuah kenduri di rumah Wak Bladang oleh Mat Tukyo. Pada malam 14 Oktober 1952, Mat Indera telah hadir ke rumah Wak Bladang di Kg ParitWarijo, Seri Medan, bagi memenuhi permintaan sahabatnya dan dijamu dengan tempe goreng dan air kopi yang bercampur dgn kecubung ungu. Kecubung ini telah menyebabkan seseorang itu berasa mengantuk dan dipukau jika meminumnya. Akhirnya Mat Indera berjaya ditangkap pada malam itu.

Tambah Pak Johan lagi, peristiwa penangkapan pada malam itu turut dijadikan modal oleh British untuk memburuk-burukkan Mat Indera. Mat Indera telah difitnah bahawa ia datang ke rumah Wak Bladang bukan kerana dijemput tetapi kerana tergila-gilakan seorang anak daranya. Begitulah kejinya perancangan British dan fitnah yang diatur semata-mata untuk memburukkan Mat Indera di mata masyarakat.

Itulah agaknya mengapa Bekas ketua kampung Parit Warijo, Malik Samuri sendiri mengakui di dalam laporan Berita Harianyang turut menyaksikan bagaimana Mat Indera dibawa dengan basikal sedang tangannya diikat daun lalang bahawa peristiwa itu telah menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di situ. Ada yang gembira dan ada yang sebak.

Mohd Abidin Ismail iaitu anak salah seorang yang menangkap Mat Indera, Misban, berkata meskipun terbabit secara langsung dalam tipu helah itu, sepanjang hidup ayahnya tidak pernah menyatakan kebanggaan atas kejayaan itu, malah tidak sesekali melabelkan Mat Indera sebagai petualang.



Mat Indera MELUDAH Polis British Ketika Dipenjara

Pak Johan dan bapanya pernah melawat Mat Indera di Penjara Air Molek, Johor Bahru. Pak Johan menyaksikan sendiri peribadi Mat Indera yang begitu bencikan Polis British dan berani meludah mereka ketika di dalam penjara. Pada pertemuan inilah Mat Indera menegaskan bahawa bahawa dia bukan komunis. Walaupun Mat Indera dipujuk supaya bertolak ansur dengan British sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera yang tidak mahu tuduk dengan British atas kesilapannya.

Itulah pertemuan terakhir antara mereka tiga beranak. Mereka kemudian mendengar perkhabaran Mat Indera telah dijatuhkan hukuman gantung hanya melalui akhbar sehari selepas itu. Apa yang Pak Johan dan bapanya amat terkilan, mereka tidak dimaklumkan sebelum Mat Indera dijatuhkan hukuman.


Misteri WASIAT Kematian Mat Indera

Muhammad Indera kemudiannya menjalani hukuman gantung sampai mati pada jam 11 malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping, Perak. Keesokan hari, mayatnya dikebumikan di Kampung Jambu Air, Taiping. Pak Johan dan bapanya tidak sempat ke Perak untuk melihat jenazah Mat Indera buat kali terakhir. Ketika ditanya kepada pihak Polis dan Penjara, mengapa mereka sebagai waris terdekat Mat Indera tidak dimaklumkan tarikh dan masa hukuman gantung akan dijalankan sedangkan mereka tahu alamat mereka di Singapura. Pihak Polis hanya berkata mereka berhak menjalankan hukuman tanpa memaklumkan kepada waris. Inilah yang amat menyedihkan Pak Johan dan bapanya Indera. Apa yang meragukan mereka, Polis menggunakan alasan bahawa Mat Indera telah berwasiat untuk mengebumikan jasadnya sebaik saja beliau meninggal dunia. Bagaimanapun alasan WASIAT ini tidak dapat diterima oleh Pak Johan dan bapanya.



Tidak cukup sekadar itu, kematian Mat Indera turut difitnah oleh British. Jasadnya dikuburkan berasingan dari kubur orang Islam yang lain. Walaupun jasadnya dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Jambu Air, Taiping, namun ia dikeluarkan kira-kira jarak serantai dari Tanah Perkuburan tersebut. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan bagi menunjukkan Mat Indera tidak layak dikebumikan bersama kubur yang lain kerana ia seorang komunis. Bagaimanapun pada masa ini, Tanah Perkuburan itu sudah penuh sehingga ke kubur Mat Indera, jadi kesannya tidak dapat dilihat pada hari ini.

Begitulah hinanya British dan sekutunya menghinakan arwah Mat Indera. Sejak dari hayatnya sehinggalah kepada kematiannya ia terus difitnah. Selepas sehari suntuk mencari maklumat bersama SAMM tentang Mat Indera ini, saya bawakan kepada anda 1-5 siri yang saya kumpulkan daripada temubual bersama Pak Johan (adik Mat Indera), Pak Yahya (adik Pak Sanib), Awang (anak Pak Yahya) dan beberapa penduduk kampung di Bukit Kepong, Jeram Masjid hinggalah ke Seri Medan. Jika ada penambah baikan dalam penulisan ini amat dialu-alukan.

Diharap kepada pembaca generasi Y supaya dapat menilai penulisan ini untuk rujukan sejarah pada masa akan datang dan tidak hanya berdasarkan hanya kepada satu sumber semata-mata. Sekian.

Kenangan bersama Pak Johan, Pengerusi SAMM Chegu Bard, Sidiqin wartawan Suara Keadilan dan adik-beradik SAMM.
http://pulakdah.blogspot.com

PAS: Kajian ilmiah pelajar UM rumus Mat Indera bukan komunis

KUALA LUMPUR, 8 Sept — PAS pusat meneruskan usaha membawa bukti mengenai Ahmad Indera, yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong dengan menegaskan kajian ilmiah seorang pelajar universiti menunjukkan beliau bukan seorang ahli komunis.
Kajian itu dihasilkan oleh Ayub @ Uiop Kassim dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya pada 1973.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki berkata, kajian bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” itu adalah kajian untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera.
Ahmad Zuhdi berkata, kajian itu bertujuan meneliti keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata untuk menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Ahmad yang turut dikenali sebagai “Mat Indera” dan peristiwa berdarah Bukit Kepong.
Dalam kenyataan terbaru semalam, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman merumuskan Mat Indera bukan seorang pejuang kemerdekaan, tetapi ahli PKM.
Ahmad Zuhdi menambah, meskipun kajian tersebut dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji telah berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan peristiwa tersebut termasuklah Nawi Idrus iaitu Ketua Pengawal Kampung dan rakan-rakan Mat Indera yang menyertainya masuk ke hutan.
“Kaedah wawancara ini adalah yang paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong ini disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.
“Setakat kajian Pusat Penyelidikan PAS mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kajian tersebut, kata Ahmad Zuhdi, pengkaji telah menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama iaitu “Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya.”
Selain itu, tambah beliau Ayub Kassim juga pada mukasurat 71 menyimpulkan bahawa Mat Indera adalah seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.
“Beliau menyatakan perumpaan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas,” katanya.
Katanya lagi, kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi oleh dua orang gurunya iaitu Ibrahim Jubah dan Muhammad Yassin Muhammad iaitu bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.
Kedua-dua guru Mat Indera itu, tambahnya dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.
Malah katanya, menurut pengkaji lagi pada muka surat 30, Muhammad Yassin begitu kritis dengan perkembangan politik tanah air, dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.
Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai Ketua Cucuk Tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
“Fakta ini sekali gus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD bahawa Mat Indera telah menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi,” ujarnya.
Menurutnya, semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan MPAJA sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.
Katanya, kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah C. D. dalam memoirnya.
Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, katanya,  Pusat Penyelidikan PAS berpandangan Mat Indera bukanlah komunis tetapi seorang nasionalis radikal.
Ini, jelasnya sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya “25 Tahun Merdeka” muka surat 357-358: “Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Dharurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap? Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.
“Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan To’ Gajah Imam Rasu? Atau kepada perjuangan Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Pasir Salak, To’ Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak? Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu.”
Justeru, tegas Ahmad Zuhdi,  Pusat Penyelidikan PAS melihat kenyataan Samad itu hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dalam ceramahnya.

Thursday, September 8, 2011

MB Johor dakwa Mat Indera komunis, rancang serangan Bukit Kepong

KUALA LUMPUR, 8 Sept — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan Ahmad Indera atau lebih dikenali sebagai “Mat Indera” telah merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai “kegiatan haramnya” dalam Parti Komunis Malaya (PKM).
Dalam berita muka depan Berita Harian hari ini, yang bersandarkan pada rencana khas Ghani sendiri, Menteri Besar juga mendakwa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Mat Indera ketika ditangkap pada Oktober 1952 di Kampung Baru Seri Medan. — Foto ihsan Pengukir Nama Johor
Semalam, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya.
“Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun,” kata Ghani lagi.
Ghani menulis, apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan darurat pada 19 Jun 1948 semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan PKM diharamkan dan ramai ahlinya mengambil tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Umno.
“Perjuangan melalui parti dan gerakan Umno yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pascamerdeka di negara ini.
“Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata Ghani dalam rencananya.
Tulisan ini diterbitkan sehari selepas Ghani berkata, Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Semalam, Ghani menegaskan, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah ahli PKM dengan pangkat sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
Dalam tulisan hari ini, Ghani menambah, tindakan Mat Indera terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
“Ini berlainan daripada pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub tidak memilih untuk bertindak secara militan.
“Kemuncak pembabitan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu ialah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950. Fakta yang diperoleh daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas itu terhadap pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong,” katanya lagi.
Ghani menulis, sebagai seorang daripada pemimpin Rejimen Ke-10 PKM, Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.
“Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.
“Sedangkan, ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara,” katanya.
Malah kata beliau, Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk daripada Malayan Union British sebelum itu.
Tambah beliau, komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan People’s Democratic Republic of Malaya yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.
“Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.
“Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan,” katanya.
Mat Indera ditangkap dua tahun selepas tragedi Bukit Kepong.
Sehubungan itu kata beliau, akhirnya Mat Indera berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan pengganas yang diharamkan sehingga ke hari ini.
“Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.
“Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan Umno yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu Berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berperlembagaan,” katanya lagi,
-INSIDER

Menjejak MAT INDERA - Siri 4 : Fakta MENGEJUTKAN Disebalik Serangan Bukit Kepong



http://wargamarhaen.blogspot.com/2011/09/menjejak-mat-indera-siri-4-fakta.html



RAYMOND DANCEY Ketua Balai Polis Bukit Kepong

Sebaik saja Jepun kalah di dalam peperangan dunia ke-2, tentera-tentera Gurkha dan Fiji mula menunjukkan belang mereka di Tanah Melayu. Berdasarkan maklumat dari Pak Johan dan Awang, perangai tentera ini yang suka bermabuk-mabuk dan gilakan perempuan meresakan penduduk kampung. Barangkali mereka di luar sana boleh merujuk kepada orang-orang lama yang masih hidup bagaimana perangai tentera Fiji dan Gurkha semasa pendudukan British di Tanah Melayu. Tanyalah benarkah mereka ini akan mengambil mana-mana perempuan yang mereka suka?. Jawapan dari XPDC yang kami lalui adalah memang benar. Mereka menjadi antara punca kebencian orang kampung dan Mat Indera terhadap British.

Sebelum saya menyentuh isu serangan di Bukit Kepong, saya ingin pembaca membuka fikiran terlebih dahulu. Fakta-fakta ini hendaklah dibaca tanpa anda menghakimi siapa pengkhianat dan pejuang terlebih dahulu. Bebaskan diri anda dari kecenderungan anda sama ada kepada media Kerajaan atau Pembangkang.

Fakta penting yang harus anda tahu ialah, kebanyakkan pegawai-pegawai atasan Polis di Tanah Melayu ketika itu adalah daripada tentera British. Sebenarnya tujuan penyerangan PKM Bukit Kepong adalah SAMA seperti penyerangan pembunuhan ke atas Sir Henry Gurney. Cuma kesudahan serangan itu memberikan kesan yang berbeza.

Henry Gurney dilantik oleh British menjadi Pesuruhjaya Tinggi British Di Tanah Melayu pada 13 September 1948 selepas bertugas di Palestin sebagai Setiausaha Kerajaan British sejak tahun 1946. Henry Gurney adalah individu yang bertanggungjawab di atas pembentukan negara haram Israel pada 1948. Semasa pendudukan British di Palestin, beribu warga Islam telah dibunuh oleh tentera British. Antara anggota tentera British yang bertugas di Palestin ketika itu adalah Raymond Dancey. Siapakah Raymond Dancey?. Malayan Police Lt.135 Raymond Dancey atau Ray Dancey adalah Ketua Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950.

Kita imbas kembali peristiwa serangan PKM terhadap Henry Gurney. Pada 6 Oktober 1951, dia ditembak mati di Bukit Frasser ketika sedang di dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat. Dia diserang hendap oleh PKM dari Parti Komunis Malaya. Kereta Roll Roycenya ditembak di tengah perjalanan. Serangan yang diketuai Chin Peng itu hanya untuk membunuh Henry Gurney sahaja - seorang ketua penjajah British. Isteri dan anaknya dibiarkan hidup ketika serangan itu di bawah arahan ketua mereka - Chin Peng. Jadi anggota PKM mematuhi arahan supaya membebaskan anak dan bini Henry Gurney.

Berbalik kepada serangan di Bukit Kepong, Mat Indera bersama bantuan PKM telah menyerang Balai Polis Bukit Kepong yang Ketuanya ialah Ray Dancey - seorang tentera penjajah British. Bagaimanapun pada hari serangan iaitu 23 Februari 1950, Ray Dancey tiada di situ. Dan perkara itu diluar pengetahuan Mat Indera. Rancangan asal, Mat Indera bahawa serangan itu hanya sebagai amaran terhadap kerajaan British dengan membunuh Ray Dancey, namun beliau hanya menyedari ketiadaan Ray Dancey pada hari penyerangan tersebut.

Bagaimanapun ada percanggahan pendapat dari Baharum (adik Mat Indera) dan Pak Yahya (adik Pak Sanib - rakan baik Mat Indera). Menurut Baharum semalam, Mat Indera tidak terlibat di dalam serangan itu, Mat Indera hanya hadir lewat ketika serangan tetapi untuk menyelamatkan anggota Polis. Tetapi maklumat yang diterima oleh Pak Yahya daripada abangnya Pak Sanib, Mat Indera menggunakan bantuan PKM untuk melakukan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dan disasarkan ke atas Ketua Polisnya Ray Dancey. Bagaimanapun fakta yang sama dari kedua-dua belah pihak adalah Mat Indera bukan seorang anggota Komunis.

Memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang ketika serangan itu, pertempuran mula tercetus apabila Konstabel Jaffar bin Hassan mencabar dan menembak mati seorang anggota PKM yang sedang memotong kawat berduri balai polis tersebut. Selepas itu berlakulah pertempuran yang sengit dari kedua-dua belah pihak. Walaupun didesak untuk menyerah diri, Sgt Jamil Mohd Shah, enggan menyerah diri.

Selepas PKM berjaya menawan Mariam Ibrahim, isteri kepada Konstabel Mohamad Jaafar. Usaha terakhir yang dapat dibuat oleh Mat Indera bagi meredakan keadaan ialah dengan memujuk Mariam supaya merayu agar polis menyerah diri. Bagaimanapun tawaran ini tidak diendahkan oleh polis. Akhirnya serangan itu berakhir dengan sebuah tragedi yang kita ketahui, dan Mat Indera tidak dapat menghalang serangan balas anggota PKM terhadap anggota polis. Kerana apa anggota PKM tidak memperdulikan arahan Mat Indera, sebab Mat Indera bukanlah ketua mereka. Mat Indera bukan Chin Peng. Menurut perbualankali terakhir Mat Indera bersama Pak Johan sebelum beliau dihukum gantung, Mat Indera menafikan dirinya adalah seorang anggota komunis, apatah lagi ketua mereka. Mat Indera hanya bergerak di dalam serangan itu dengan bantuan PKM untuk memburu Ray Dancey, namun nasi sudah pun menjadi bubur. Anggota Polis yang ketika itu dibawah jajahan British pula menjadi mangsa.


Yusof Rono MM 7645


Apa yang dapat Mat Indera lakukan ketika itu hanyalah melindungi saki baki polis yang terselamat, antaranya ialah Yusof Rono yang ketika itu diacukan senapang di kepalanya oleh salah seorang anggota PKM, Mat Indera telah menghalangnya daripada menembak Yusof Rono, sambil berkata "sudahlah! kita dah dapat apa yang kita inginkan". Ini membuat Yusof Rono terselamat daripada terbunuh. Malah isterinya mengakui insiden tersebut di dalam satu temubual terbitan RTM yang dikeluarkan pada tahun 1970an dengan berkata 'Askar komunis melayu menyelamatkan yusof rono'.

Tragedi Bukit Kepong ini telah dijadikan modal sebagai dakwaan keganasan dan kekejaman Mat Indera yang kononnya seorang pemimpin Komunis dan menentang kerajaan British. British telah menaikkan tawaran hadiah sebanyak $75,000 sebagai hadiah tawaran penangkapan. Sebelum peristiwa Bukit Kepong, tawaran hadiah terhadap tangkapan beliau adalah $25,000 jika hidup-hidup, dan $10,000 jika mati.. Sehinggalah akhirnya Mat Indera berjaya diperdaya rakan baiknya Mat Tukyo untuk menghadiri kenduri di rumah Wak Bladang...

Keluarga Mat Indera: Kami kecewa dengan MB Johor




KUALA LUMPUR, 8 Sept — Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, berkata pihaknya kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman semalam yang mendakwa dia bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Bagaimanapun keluarga itu menegaskan, mereka tidak berputus asa dalam pendirian mereka mahukan kerajaan membersihkan nama Mat Indera.
Baharom Shah Indera
“Saya kecewa dengan apa yang dikatakan (oleh Menteri Besar Johor), tetapi kami tidak akan berundur daripada mendesak kerajaan membersihkan nama abang kami,” kata adik Mat Indera, Baharom Shah, kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada forum bertajuk “Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di sini, malam tadi. “Itu pandangan beliau. Usaha kami, kami akan terus desak, kami mahu nama Mat Indera dibersihkan,” kata bekas kakitangan Kementerian Pertahanan ini.
Semalam, Ghani memberitahu pemberita di Johor Baru bahawa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen Ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
“Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Wanita Sedar, Angkatan Pemuda Insaf dan PKM telah diharamkan
“Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno),” katanya.
Ghani menambah, “bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.”
Pendirian Ghani itu diulangi menerusi rencana khas beliau yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini.
Pada satu sidang media tengah hari ini semalam di ibu negara, Baharom berkata, keluarganya mahu kerajaan membersihkan nama Mat Indera agar tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.
Baharom berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” katanya yang turut berpegang pada kandungan buku “Pengukir Nama Johor”, yang prakatanya disampaikan oleh Ghani sendiri.
Justeru kata beliau, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat yang menggerakkan usaha membantu keluarga Mat Indera pula berkata, Ghani tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan buku tersebut sendiri dikeluarkan oleh kerajaan negeri.
“Pada pandangan kami, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sendiri, sebaliknya terima kandungan buku itu dan mengadakan satu debat mengenai hasil penemuaan, bukan terus kata Mat Indera sebagai komunis,” katanya sambil menambah, pihaknya akan mengambil tindakan susulan untuk membetulkan fakta sejarah membabitkan Mat Indera.
Buku itu diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor.http://wargamarhaen.blogspot.com

Mat Indera militan PKM- Abdul Ghani Othman



Mat Indera


Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.
Beliau pada awalnya, seperti individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.
Bezanya, Mat Indera melibatkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.
Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.
Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.
Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.
Bagaimanapun Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.
Tindakannnya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.
Ini berlainan dengan para pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.
Kemuncak penglibatan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.
Fakta yang diperolehi daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.
Sebagai seorang daripada pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.
Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.
Sedangkan ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.
Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari 'Malayan Union' British sebelum itu.
Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan 'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.
Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.
Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.
Akhirnya Mat Indera telah berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.
Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.
Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.
Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.
Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.
Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.
Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Penulisan dan catatan tersebut adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang.
DATUK ABDUL GHANI OTHMAN Menteri Besar Johor

Wednesday, September 7, 2011

Mat Indera Bukan Ahli PKM & Tak Terlibat Serang Bukit Kepong - Adik

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
KUALA LUMPUR: Adik tiri kepada Ahmad Indera atau Mat Indera menegaskan bahawa abangnya bukan pengkhianat negara malah turut menafikan tokoh kontroversi itu menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM).
Selain itu Baharom Shah Indera, 65, berkata, Mat Indera juga tidak berfahaman komunis malah turut serta berjuang membebaskan negara daripada penjajahan British.
"Abang saya selalu menafikan bahawa beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau juga tidak pernah menganggotai PKM.
"Kami ahli keluarga percaya beliau bukan anggota komunis. Saya yakin beliau adalah pejuang kemerdekaan yang sebenar dengan caranya sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Rabu.
Justeru Baharom Shah mendesak kerajaan membersihkan nama Mat Indera daripada terus dilabel sebagai pengkhianat negara.
Menurutnya, dua asas utama bahawa Mat Indera bukan seorang pengkhianat adalah berdasarkan pegangan agama dan ketegasan tokoh berkenaan menentang British.
"Saya mendesak agar kerajaan bersihkan nama abang saya, jangan lagi label beliau sebagai pengkhianat negara kerana beliau turut menyumbang kepada kemerdekaan negara. Kerajaan perlu betulkan sejarah yang ditulis oleh British.
"Dua asas penting ialah abang saya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa beliau terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.
"Keduanya beliau sangat bencikan penjajah British, beliau bergerak menentang British menerusi gerakan gerila," katanya.
Melabelkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan berhaluan kiri, Baharom Shah menjelaskan bahawa abangnya itu tidak terlibat dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong oleh PKM.
"Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, Mat Indera datang lewat ke Bukit Kepong semasa kejadian pada 23 Februari 1950. Beliau datang bukan untuk bertempur sebaliknya datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.
"Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar iaitu anak anggota polis merin Bukit Kepong.
"Saya difahamkan ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera," katanya.
Kontroversi mengenai Mat Indera tercetus selepas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lalu mengangkat pejuang gerila itu sebagai hero tragedi Bukit Kepong.
Mohamad dalam ceramahnya turut menyebut bahawa Mat Indera dan rakan seperjuangan dalam PKM yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan.-mstar

Mat Indera bukan pejuang sebaliknya pengganas - Ghani



NUSAJAYA 7 Sept. - Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata, Ahmad Indera atau Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.
Beliau berkata, berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM) dengan sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.
"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.
"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Bagaimanapun, Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan Johor di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata demikian bagi mengulas tindakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, yang dengan yakin mempertahankan kenyataannya (Mat Sabu) bahawa Mat Indera dan pengganas komunis dalam peristiwa berdarah di Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan sebenar. - Bernama

Mat Indera selamatkan mangsa tragedi Bukit Kepong

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Sejarah sebenar mengenai Jamilah Abu Bakar, anak kepada seorang anggota polis marin dalam tragedi di Bukit Kepong yang diselamatkan oleh Mat Indera tidak boleh dinafikan lagi oleh sebarang pihak, walaupun kini sedang diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu.

Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kenyataan beliau sejak awal isu membabitkan Mat Indera tercetus sekarang menyebut Jamilah yang diselamatkan oleh Mat Indera, bukan keluarganya.

Menurut beliau, namun sesetengah pihak kini sedang berusaha menyelewengkan kenyataannya dengan mengatakan beliau berkata Jamilah dan keluarganya yang telah diselamatkan oleh Mat Indera.

Katanya, kenyataan itu ternyata tidak tepat dan menyeleweng dari fakta sebenar yang disebut oleh beliau sehingga menyebabkan timbulnya kekeliruan berhubung perkara itu.

"Lebih dikesali lagi, akibat penyelewengan laporan itu oleh akhbar Sinar Harian hari ini, ia akan mencetuskan pertikaian lain pula berhubung dengannya," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Akibat kesilapan laporan itu, menurut beliau, dibimbangi akan diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama Umno untuk mempertikaikan kenyataan beliau dan dari pihak PAS.
-harakahdaily

Keluarga tuntut kerajaan bersihkan nama Mat Indera



KUALA LUMPUR, 7 Sept: Kerajaan BN diminta membersihkan imej Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara kerana beliau ternyata seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Sehubungan itu, sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula memandangkan sejarah yang ada kini terdapat terlalu banyak penyelewengan dari fakta yang sebenar.

Adik kepada Mat Indera, Baharom Shah Indera, 65, berkata, fakta sejarah perjuangan sebenar mengenai abangnya sememangnya terlalu banyak yang diselewengkan dan amat perlu dikaji semula oleh ahli-ahli sejarah.
[Gambar: Baharom Shah (tengah) menunjukkan buku Pengukir Nama Johor bersama Suhaizan dan Khairul Faizi pada sidang media di Pejabat Agung PAS.]

Menurut beliau, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.

Katanya, namun abangnya telah dituduh sebagai pengkhianat oleh pihak British ketika menjajah negara kita dulu dan ia perlu dikaji semula bagi membersihkan imej dan nama baik ahli keluarganya.

"Dalam hal ini, para pemimpin Umno perlu bersikap jujur terhadap pejuang-pejuang kemerdekaan yang sebenar. Ahli-ahli sejarah juga perlu mengkaji semula fakta-fakta sejarah yang telah diselewengkan itu dan jangan hanya sekadar bercakap sahaja.

"Bagaimana abang saya boleh dituduh pengkhianat, sedangkan beliaulah yang telah menyelamat salah seorang anggota polis, Yusof Rono dan Jamilah Abu Bakar, anak kepada anggota polis marin di Bukit Kepong," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Selain itu, menurut beliau, terdapat ramai lagi mangsa yang telah diselamatkan oleh abangnya dalam tragedi di Bukit Kepong.
-harakahdaily

XPDC Menjejaki Mat Indera: Isteri Kau... Isteri Aku, Punca Serangan Bukit Kepong.



Tentera Fiji di Tanah Melayu

Isteri Kau, Isteri Aku

Sejak Mat Indera popular dikalangan buruh sehingga diangkat menjadi pemimpin mereka, kerajaan British sudah mula memusuhi Mat Indera. Apatah lagi apabila Mat Indera bergerak di bawah Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ishak Haji Mohammad. Matlamat mereka ialah untuk membebaskan tanah air daripada penjajahan Inggeris. Mat Indera juga aktif didalam pergerakkan Angkatan Pemuda Insaf (API).

Pada 20 Jun 1948, penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat di seluruh negara dan semua gerakan dan partai gerakan kiri telah diharamkan. Pada masa ini revolusi bergema di serata tempat. Mat Indera telah memimpin belasan pemuda memasuki Tentera Pembebasan Nasional Malaya, mengibarkan panji perjuangan bersenjata dan mengisytiharkan perang terhadap penjajah British. Mat Indera kemudiannya dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Wilayah Bahagian Johor Jabatan Kerja Melayu serta menjadi salah seorang pemimpin Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya.

Mat Indera adalah seorang kader penyusun gerak yang sangat efektif. Pengaruh beliau yang sudahpun tersebar di pelbagai daerah negeri Johor adalah hasil perjuangan beliau pada masa aman dahulu. Pasukan kerja bersenjata pimpinan beliau wujud di pelbagai kawasan terutama di Muar, Air Hitam, Batu Pahat dan Segamat. Mat Indera bersama gerakan KaumMudanya telah berusaha menaburkan benih-benih revolusi di merata kampung dan memperluaskan pengaruh serta tapak organisasi di kalangan ramai pekerja khasnya kaum tani.

Hubungan beliau dengan masyarakat bagai isi dengan kuku. Mat Indera sangat mengambil berat kehidupan masyarakat pelbagai bidang. Masyarakat pula menyambutnya seperti putera terbaik kesayangan mereka sendiri. Mereka lebih-lebih gembira kerana mempunyai tentera mereka sendiri dan Mat Indera yang mereka anggap sebagai seorang pemimpin mereka di waktu aman dahulu kini muncul pula di tengah-tengah mereka sebagai seorang komander Tentera Pembebasan. Banyak kampung telah disusun dan menjadi asas untuk menyokong perjuangan bersenjata mereka. Tambahan pula kesan kemasukan tentera Gurkha dan Fiji British ketika era perang terhadap Jepun mula mendatangkan masalah kepada penduduk kampung.

Tentera Gurkha di Tanah Melayu

Inilah antara punca kepada peristiwa penyerangan Bukit Kepong. Menurut Pak Johan, masyarakat kampung ketika itu banyak diganggu oleh askar-askar upahan penjajah ini. Perangai dan tingkahlaku buruk yang ditunjukkan oleh tentera Gurkha dan Fiji ini semakin menyusahkan masyarakat kampung sejak Jepun keluar dari Tanah Melayu. Mereka lebih gemar berjudi dan mabuk, seterusnya mengganggu orang kampung. Askar Fiji pula lebih teruk lagi apabila tidak boleh melihat perempuan. Tidak kira anak dara atau isteri orang, jika mereka suka mereka akan mendapatkannya.

Pernah terjadi satu peristiwa seorang kampung menetak dengan parang seorang lelaki yang sedang mengendap isterinya di dapur. Rupa-rupanya lelaki yang mengendap itu adalah tentera Fiji. Walaupun tentera Fiji ini bersalah, dan hanya tercedera di lengan namun lelaki ini lebih malang lagi kerana dipenjarakan sehari di atas tindakannya itu. Bak kata Pak Johan,"Lagak askar Fiji ini dengan perempuan, tidak peduli. Jika mereka sudah suka, isteri kau..isteri aku.". Lebih malang lagi pengaruh buruk tentera-tentera upahan British ini turut mempengaruhi sebahagian anggota Polis melayu yang berkhidmat untuk British. Walaupun tidaklah seteruk hingga merogol isteri orang, namun budaya minum dan mabuk ini sudah menjadi kebiasaan dikalangan ramai anggota polis yang bekerja dengan British ketika itu.

Sdr Awang (kiri) bersama bapanya Yahya. Pak Yahya adalah anak kepada Pak Sanib.

Oleh kerana maklumat terperinci perjuangan Mat Indera ketika di dalam hutan tidak begitu diketahui oleh Pak Johan. Saya bersama SAMM berjaya menjejak anak kepada rakan baik Mat Indera iaitu Sanib Jasmani. Sanib Jasmani adalah merupakan Ketua Kompeni Rejimen Ke-10, juga berasal dari Johor, dan pernah sama-sama berjuang bersama Mat Indera. Kami berjaya menjejakkan kaki ke Jeram, Muar untuk bertemu anak kepada arwah Sanib Jasmani iaitu Pak Yahya yang berusia 68 tahun.

Menurut Sdr Awang, iaitu anak Pak Yahya yang pernah bertemu sendiri dengan Pak Sanib semasa hidupnya, telah dimaklumkan tentang keburukan perangai tentera dan polis Britih ketika itu yang berlaku zalim dan penindasan terhadap penduduk kampung. Namun apalah daya penduduk kampung ketika itu. Handak diharapkan kepada Polis melayu, mereka juga bekerja dengan British. Hendak melawan mereka tidak bersenjata.

Sanib Jasmani @ Masin merupakan anggota pasukan Melayu Johor.

Ketika inilah Mat Indera menjadi harapan masyarakat kampung untuk membela nasib mereka yang ditindas dan dizalimi oleh anjing-anjing British ini. Menurut Awang juga, Mat Indera yang sememangnya terkenal di kalangan penduduk kampung di Muar hanya menggunakan Komunis untuk mendapatkan bekalan senjata bagi melawan polis dan tentera penjajah ini. Pak Sanib akhirnya pulang kembali ke Malaysia selepas perjanjian damai hatyai pada 1989. Beliau telah meninggal dunia di Gunung Senyum di Jengka, Pahang beberapa tahun lepas.

Keluarga MAT INDERA Di Buang Negeri

Sejak Mat Indera menjadi buruan kerajaan British. Keluarga Mat Indra yang ketika itu tinggal di Bakri sentiasa mendapat penghinaan. Pak Johan turut menceritakan pengalamannya melalui zaman persekolahan ketika itu. Penghinaan terhadap keluarganya yang dikatakan menjadi penyokong komunis dan pengganas sudah ditanamkan oleh propaganda kerajaan British ketika itu. Propaganda itu turut menyerap dikalangan guru dan rakan-rakannya di sekolah ketika itu. Beliau sentiasa dicemuh oleh semua guru di sekolahnya sebagai keluarga komunis. Kecuali seorang guru agama, Haji Hitam yang sentiasa memberi sokongan dan meminta Pak Johan supaya bersabar. Perkara ini tidak sukar difahami kerana, kebanyakan guru ketika itu adalah merupakan lepasan sekolah Inggeris, melainkan guru agama yang mempunyai kefahaman agama yang lebih. Tambahan pula Mat Indera sendiri adalah seorang guru agama yang terkenal di Muar sebelum masuk berjuang di dalam hutan.


Hanya seorang guru agama sahaja yang tidak menghina dan mengutuk saya di sekolah sebagai Komunis dan pengkhianat - Pak Johan

Kemuncak tekanan kerajaan British kepada keluarga Mat Indera ialah mereka diusir dari bumi Johor. Keluarganya di arah untuk keluar dalam tempoh masa 3 bulan. Jika mereka engkar mereka sekeluarga akan dipenjarakan. Akhirnya Pak Johan dan keluarganya memilih untuk berpindah ke Singapura.British memberikan kepada keluarga mereka 3 pilihan tempat untuk  berpindah iaitu di Pulau Pinang, Singapura atau Melaka. Mereka sekeluarga tinggal di Singapura selama setahun.

Sepanjang tempoh lima tahun di Singapura ini, mereka tidak mengetahui khabar berita tentang Mat Indera. Mereka hanya mendengar khabar berita tentang Mat Indera daripada berita serangan di Bukit Kepong dan Mat Indera ditangkap ketika berada di Singapura.

Kredit: Pulakdah