Friday, September 10, 2010

Batal Bakar Al-Quran, Tapi Gugur Projek Islam WTC?




Pastor Terry Jones dari Florida membatalkan rancangannya mahu membakar al-Quran tetapi...
WASHINGTON, 10 Sept 10: Di sebalik tekanan dari dalam dan luar Amerika, Pastor Terry Jones dari Florida membatalkan kempennya mahu membakar al-Quran yang dijadual untuk dilakukan esok sempena ulang tahun kesembilan memperingati serangan pengganas 11 September.
Jones, pastor sebuah gereja kecil di Gainesville mengumumkan keputusan itu pada sidang media di Florida semalam, yang turut dihadiri Imam Muhammad Musri dari Islamic Society of Central Florida. Beliau juga mendakwa pemimpin-pemimpin Islam telah bersetuju untuk menggugurkan projek membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan 11 September 2001.
Dipetik Reuters, Jones (gambar) berkata beliau mendapat jaminan daripada Muhammad Musri tentang pendirian masyarakat Muslim. Jones turut meminta mana-mana kumpulan lain agar tidak membakar al-Quran dan beliau akan terbang ke New York esok untuk mengadakan pertemuan dengan Imam Feisal Abdul Rauf, yang mengetuai projek pembinaan itu.
Bagaimanapun laporan menyusul berkata, Feisal menafikan kenyataan Jones bahawa satu perjanjian telah dicapai untuk memindahkan tapak projek pembinaan pusat dan masjid. “Saya gembira kerana Pastor Jones telah memutuskan untuk tidak membakar al-Quran,” kata Feisal dalam satu kenyataan dikeluarkan di New York.
“Bagaimanapun, saya tidak bercakap dengan Pastor Jones atau Imam Muhammad Musri (dari Florida). Saya terkejut dengan pengumumman mereka.
“Kami tidak bermain-main dengan agama kami atau agama lain. Ataupun kami akan adakan perjanjian barter (sedemikian).
“Kami berada di sini untuk menghulur tangan bagi membina keamanan dan keharmonian,” kata Feisal lagi.
Laman web NBC melaporkan, pada sidang media kedua sejurus selepas penafian Feisal, Jones pula berkata, beliau “berbohong tetapi saya tetap akan mengadakan pertemuan dengan beliau.” Pada sidang media pertama, Jones bertemu dengan Muhammad Musri yang memberitahunya bahawa pegawai-pegawai masyarakat Islam memberi jaminan bahawa tapak pembinaan masjid akan dipindahkan.
“Saya ada bertanya beliau tiga kali, dan saya ada saksi,” kata Jones.
Bagaimanapun selepas sidang media pertama Muhammad Musri memberitahu beliau dijemput untuk mengadakan satu pertemuan bersama Jones dan imam New York berhubung cadangan memindahkan masjid. Jones juga memberitahu Setiausaha Pertahanan Amerika Robert Gates ada menghubunginya awal semalam.
Gates meminta Jones agar menggugurkan rancangan membakar al-Quran. Rancangan Jones itu menjadi kontroversi antarabangsa sejak awal minggu ini, yang turut dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertuduhan Persidangan Islam (OIC). Pelbagai pihak dari Malaysia juga mengecam tindakan sedemikian.
Awal semalam, Presiden Barack Obama dan Setiausaha Negara Hillary Clinton telah merayu Jones akan mengkaji semula rancangannya. Pemimpin-pemimpin tentera Amerika menjelaksan pendirian mereka bahawa rancangan Jones akan membawa kesan buruk mendalam di luar negara.
Laporan Reuters juga menyebut pentadbiran Obama juga telah mengadakan perbincangan bagi menentukan sama ada mahu memanggil pastor itu bagi memintanya membatalkan rancangan membakar al-Quran. “Kemungkinna itu ada dibincangkan dengan mendalam oleh pentadbiran,” kata jurucakap Pentagon Geoffrey Morrell.
Pastor Jones membuat pengumuman itu ketika Interpol mengeluarkan kenyataan amaran kepada kerajaan di seluruh dunia berhubung kemungkinan peningkatan risiko tindakan pengganas jika pelan membakar al-Quran diteruskan.
“Jika rancangan untuk membakar al-Quran diteruskan di Amerika sebagaimana telah dirancang, ada kemungkinan besar serangan ganas akan menimpa mereka yang tidak berdosa,” kata kenyataan Interpol atas nasihat Pakistan, rakan pentadbiran White House.
Dengan rancangan mahu membakar al-Quran, sambutan Aidilfitri di Amerika kali ini agar tegang dengan bantahan terhadap pelan masyarakat Islam di New York mahu membina pusat kebudayaan Islam bersama masjid di Manhattan, berhampiran WTC yang menjadi sasaran pengganas sembilan tahun lalu.
Obama dan Datuk Bandar New York Michael Bloomberg sebelum ini mengatakan bahawa mereka menyokong hak bagi masyarakat Islam membina pusat itu manakala Republikan termasuk bekas calon jawatan Naib Presiden Sarah Palin menentangnya. Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut, 3 Ogos lalu.
Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar RM300 juta (AS$100 juta). Suruhanjaya itu mendapati bahawa bangunan sedia ada, yang berusia 152 tahun berkenaan, dua blok dari tapak WTC yang ranap, bukan premis yang istimewa untuk memenuhi kriteria dijadikan bangunan ternama.
Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian 3,000 orang sembilan tahun lalu dalam serangan pengganas di bumi Amerika Syarikat. (AK)
Ibnu Hasyim: Batal Bakar Ai-Quran, Tapi Gugur Projek Islam WTC?

Taliban menang

KABUL: Seorang pemimpin kanan Taliban semalam berkata, kumpulan pejuang itu memenangi peperangan di Afghanistan.
Mullah Omar juga berkata, Amerika Syarikat membazirkan berbilion-bilion dolar dengan meneruskan sengketa itu.
Dalam kenyataan sempena berakhirnya Ramadan yang disiarkan menerusi laman web satu kumpulan jihad, Mullah Omar berkata, beliau percaya Amerika Syarikat dan sekutunya akan meninggalkan negara itu tidak lama lagi.

Beliau turut menggesa anggota Taliban mematuhi arahannya dan mengelak mengancam orang awam.

“Kemenangan kita terhadap penceroboh sudah semakin nyata dan kejayaan ini adalah dengan bantuan daripada Allah SWT serta perpaduan di kalangan kita.

“Selepas ini, kita akan mewujudkan sebuah sistem yang kukuh, lengkap dan utuh,” kata Omar.

Dalam kenyataan yang ditujukan kepada rakyat Amerika, beliau berkata, tentera negara itu gagal mencapai matlamatnya selepas sembilan tahun berperang.

“Anda perlu sedar pemimpin anda sentiasa berbohong sejak mula melancarkan peperangan terhadap kami,” katanya. - Reuters

Luna teman Ariel beraya di penjara





2010/09/10

pix_gal0
Keluarga penyanyi turut rai lebaran bersama 

JAKARTA: Penyanyi Ariel ‘Peterpan’ dilaporkan sudah mempersiapkan dirinya menyambut Aidilfitri di tahanan Markas Besar Polis Indonesia di Jakarta, walaupun menyatakan beliau tidak tahan lagi terkurung di penjara.
Malah keluarga besar penyanyi terbabit juga akan meraikan lebaran bersama Ariel di sana. Mereka dilaporkan akan menjenguk Ariel pada hari pertama Aidilfitri selain kehadiran kekasihnya, aktres Luna Maya yang juga akan menemani beliau untuk menyambut hari raya di penjara.
“Nanti keluarganya datang, pada hari lebaran menjenguk Ariel,” kata Aga Khan peguam Ariel yang dipetik detik.com. 

“Luna juga akan menemani beliau,” katanya. 

Aga dilaporkan akan berusaha untuk memastikan supaya anak guamnya itu mendapat kebenaran pihak polis untuk merayakan hari raya bersama keluarganya. 

Ariel sejak kebelakangan ini juga dilaporkan sering mengeluh kepada peguamnya itu, mengenai penahanan beliau yang kini sudah memasuki kira-kira dua bulan. 
“Beliau sentiasa bertanyakan mengenai kesnya. Dia juga bertanyakan kenapa penangguhan penahanan beliau ditolak dan mengapa terlalu lama ditahan di penjara,” kata Aga Khan. 

Kes rakaman video lucah membabitkan Ariel dan Luna mula berlegar pada awal Jun 2010. Ariel ditetapkan sebagai suspek pada akhir Jun manakala Luna pada pertengahan Julai. 

Sehingga kini kes Ariel diserahkan pihak polis kepada pihak kehakiman manakala kes membabitkan Luna dan seorang lagi personaliti televisyen, Cut Tari masih lagi disiasat pihak polis. – Agensi

'Aidilfitri suram tanpa kakak'





2010/09/10


MAZANAH (kiri) bersama Safiee menunjukkan gambar Shafikah di Balai Polis Teluk Intan.
MAZANAH (kiri) bersama Safiee menunjukkan gambar Shafikah di Balai Polis Teluk Intan.

TELUK INTAN: "Kakak, pulanglah... kami rindukan kak. Tolong jangan tinggalkan kami. Aidilfitri akan suram tanpa kakak," itu luahan sepasang suami isteri yang sedih selepas anak sulung mereka menghilangkan diri dipercayai mengikuti seorang lelaki Indonesia lari ke Lombok, Sabtu lalu.

Pasangan itu, Mohd Safiee Sardi, 43 dan Mazanah Abdul Latif, 38, menyedari sesuatu perkara buruk berlaku selepas anak sulung mereka, Shafikah Marlina, 16, tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas ke bandar Teluk Intan untuk membayar bil telefon, pagi Sabtu lalu.
Mohd Safiee, seorang anggota polis bantuan di Ladang Rubana dekat sini, berkata beliau menurunkan Shafikah atau nama manjanya `kakak' di depan sebuah bank di Bandar Baru Teluk Intan kira-kira jam 9.15 pagi sebelum ke tempat kerja, namun selepas jam 4 petang Shafikah tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan.
"Saya tidak sedap hati dan terus menemui isteri saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di ladang sama.

"Isteri saya berkata dia menerima SMS daripada Shafikah yang mengatakan bahawa dia kini berada di Ipoh kerana melawat seorang rakannya di Hospital Raja Permaisuri Bainun yang cedera akibat kemalangan jalan raya.

"Selepas mempercayai kata-katanya, kami pun menunggu sehingga jam 8 malam sebelum telefon bimbit isteri menerima satu lagi SMS yang mengatakan kereta yang dinaikinya bersama kawan rosak dan akan pulang selepas dibaiki," katanya ketika ditemui bersama isteri membuat laporan polis di Balai Polis Teluk Intan, kelmarin.

Safiee berkata, kira-kira jam 9 pagi keesokannya, Mazanah menerima SMS daripada Shafikah mengatakan dia berada di Manjung dan akan pulang tak lama lagi.
Beliau berkata, selepas SMS itu mereka sekeluarga tidak mendapat apa-apa berita daripada Shafikah dan turut gagal menghubunginya sehingga 9 pagi kelmarin, apabila menerima panggilan telefon Shafikah mengatakan dia selamat berada bersama seorang lelaki di Lombok, Indonesia dan meminta mereka tidak risau mengenai keselamatannya.

"Saya terkejut apabila mengetahui anak sulung saya kini berada di Lombok bersama seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh di ladang sama dengan kami.
Kami sekeluarga tidak mampu menahan kesedihan kerana Shafikah jarang keluar rumah dan merayau ke sana sini.

"Dia seorang pendiam tetapi pelajar cemerlang di sekolahnya. Saya percayai anak saya mungkin telah dinodai lelaki berkenaan," katanya.

Beliau mendakwa lelaki yang melarikan anaknya itu bernama Misbah, 20, berasal dari Kuranji, Lombok, Indonesia.

Mazanah berkata, ketika keluar rumah Shafikah memakai seluar jeans warna hitam dan berkemeja T ungu.

"Kami sekeluarga tidak dapat menahan kesedihan kehilangannya apatah lagi 1 Syawal sudah menjelang tiba. Semua persiapan menyambut hari raya sudah dibuat.

"Kami tak dapat menyambut hari raya tanpanya kerana sekian lama kami menyambut bersama-sama. Entah bagaimana kami akan berhari raya kali ini. Kami merayu agar dia pulang semula ke pangkuan keluarga. Kami amat merinduinya," kata Mazanah.

Ibu, anak sambut 1 Syawal di hospital



Oleh Nazdy Harun
bhkt@bharian.com.my 
2010/09/10


CHE KU ZAIMAH (kiri) dan anaknya menerima sumbangan Ihya Ramadan daripada Zahir disaksikan oleh Pengurus Pemasaran Tabung Haji, Adnan Salleh di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
CHE KU ZAIMAH (kiri) dan anaknya menerima sumbangan Ihya Ramadan daripada Zahir disaksikan oleh Pengurus Pemasaran Tabung Haji, Adnan Salleh di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Mangsa simbah asid dapat bantuan Tabung Haji


KUALA TERENGGANU: Aidilfitri kali ini antara yang sugul bagi Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, dari Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, bersama seorang lagi anaknya apabila mereka terpaksa berhari raya di hospital selepas disimbah cuka getah oleh suaminya pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu.
Katanya, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 8, juga masih ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), menjalani rawatan bagi memulihkan kulit yang hangus akibat terkena simbahan cuka getah pada hari kejadian manakala anak bongsunya Muhammad Irfan Firdaus, 2, dan ibunya Minah Omar, 56, sudah dibenarkan pulang.
Katanya, beliau sedih mengenangkan apa yang berlaku terhadap keluarganya dan Aidilfitri kali ini menjadi titik hitam dalam sejarah keluarga kerana mereka terpaksa menahan kesakitan atas perbuatan orang yang mereka sayang sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menghalang hubungan anak-anak dengan bapa mereka. Walau sejahat mana, dia tetap bapa mereka kerana seperti kata pepatah 'air dicincang tidak akan putus'," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan Ihya' Ramadan oleh Tabung Haji, di sini, semalam.

Che Ku Zaimah berkata, selepas ini dia ingin melupakan kisah silamnya itu dan akan membina hidup baru bersama anak-anak selain berharap anaknya memberi tumpuan kepada pelajaran yang menjadi aset terpenting pada masa depan.

“Hati mana tidak sedih melihat anak yang masih kecil duduk di katil hospital menahan kesakitan sedangkan kanak-kanak sebayanya kini sibuk bergembira menyambut Aidilfitri, tetapi anak saya masih menjalani rawatan," katanya. 
Katanya, beliau juga tidak membuat sebarang persiapan raya, dan berharap dua anaknya di rumah dapat menyambut Aidilfitri bersama nenek mereka. 

“Nurul Dahyatul Fazlinda masih menjalani rawatan menampal kulit pada bahagian mukanya yang melecur akibat terkena cuka getah dan proses pemulihan dijangka memakan masa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tabung Haji Negeri, Zahir Hussin, berkata program Ihya' Ramadan bertujuan menceriakan penerima bantuan terutama mereka yang masih dirawat di hospital menyambut Aidilfitri. 

Katanya, seramai 320 orang di seluruh Terengganu menerima sumbangan di bawah program Ihya' Ramadan Tabung Haji.

Dua beradik sambut raya tanpa ibu bapa



Oleh Ravale Savarinathan
bhnews@bharian.com.my
2010/09/10


NAZUWA (kiri) bersama Najihah yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan akibat diserang ayahnya.
NAZUWA (kiri) bersama Najihah yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan akibat diserang ayahnya.

Aidilfitri kali ini hambar bagi Najihah, Nazuwa
 

TELUK INTAN: Hari ini sepatutnya menjadi saat menggembirakan bagi kanak-kanak. Namun, bagi dua beradik, Najihah dan Nazuwa Natri yang kehilangan ibu akibat ditetak sehingga mati oleh bapa mereka sendiri yang kemudian ditembak pula oleh polis pada awal Ramadan lalu, Aidilfitri ini tidak bermakna bagi mereka.
Sejak tragedi pada waktu sahur 14 Ogos itu, Najihah, 13, dan Nazuwa, 8, seakan-akan trauma dengan kejadian itu dan lebih banyak menghabiskan masa dalam rumah nenek mereka di Kampung Atta Duri, Langkap dekat sini.
Kali pertama mereka bersemuka dengan orang ramai ialah pada majlis penyerahan sumbangan Hari Raya kepada golongan kurang bernasib baik oleh Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah di Dewan Chikus, di sini baru-baru ini. Ada kalangan orang ramai menitiskan air mata apabila melihat dua beradik itu menangis ketika berbaris bersama anak yatim menerima sumbangan. 

Ketika ditemui di rumah nenek mereka kelmarin, Najihah yang sedang menjalani rawatan di rumah selepas cedera akibat kejadian itu, hanya mengukir senyuman hambar apabila ditanya perasaannya menyambut Aidilfitri tanpa ibu bapa sambil duduk sepanjang masa atas kerusi menonton televisyen. 

Namun, tidak banyak yang dapat ditanya kerana bapa saudara mereka, Rozami Sakri Affandi, 39, menghalang dengan alasan mereka masih terkejut dan tidak mahu dikejutkan lagi dengan soalan wartawan. 

Menurut Rozami, anak saudaranya itu berkeadaan seperti biasa tetapi sesekali akan menitiskan air mata mengenangkan kejadian yang menimpa keluarga. 
“Kami sekeluarga tidak mahu mereka mengingatkan kejadian dan enggan bertanya bagaimana kejadian berlaku. Apa yang penting, mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain dan terus menjaga mereka sedaya yang mungkin,” katanya. 

Dalam kejadian itu, Natri Shaharuddin, 39, yang hilang pertimbangan menetak isterinya, Khairul Bariah Mohamat Aaripin, 36, sehingga mati dan mencederakan Najihah sehingga putus dua jari, sebelum ditembak mati oleh polis selepas enggan menyerah diri.

Kedutaan AS diarah berwaspada



WASHINGTON 9 Sept. - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Kedutaan AS di seluruh dunia mengkaji semula langkah keselamatan mereka berikutan kebimbangan meletusnya serangan ke atas rakyat dan kepentingan Amerika jika sebuah gereja kecil di Florida meneruskan rancangan untuk membakar al-Quran pada Sabtu ini.
Pegawai Jabatan Negara semalam berkata, perwakilan diplomatik AS diarah mengadakan mesyuarat 'jawatankuasa tindakan kecemasan' untuk menentukan potensi berlakunya protes terhadap rancangan gereja berkenaan untuk membakar al-Quran pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001.
Pihak kedutaan dikehendaki memberi amaran kepada rakyat Amerika di negara-negara di mana protes boleh berlaku.
Langkah itu memperlihatkan kebimbangan mendalam pentadbiran Presiden Barack Obama bahawa pembakaran al-Quran itu akan memarakkan sentimen anti-Amerika, terutamanya di kalangan penduduk Arab dan umat Islam lain, di samping meletakkan askar, diplomat dan pelancong AS dalam bahaya.
Paderi Dove World Outreach Center, Terry Jones di Gainesville, Florida menolak rayuan daripada Setiausaha Negara, Hillary Rodham Clinton dan para komander kanan tentera supaya membatalkan rancangannya untuk membakar 200 naskhah al-Quran.
Bilangan Kedutaan AS yang sudah mengkaji semula langkah keselamatan masing-masing belum dapat dipastikan, tetapi Kedutaan AS di Algiers mengeluarkan amaran kepada warga AS di Algeria semalam.
"Laporan media mengenai rancangan sebuah kumpulan kecil di Gainesville, Florida untuk membakar al-Quran boleh menjejaskan keselamatan rakyat AS di luar negara.
"Jika rancangan itu dilaksanakan, ia boleh mencetuskan reaksi keras dan protes di negara Islam di seluruh dunia, termasuk juga Algeria," menurut amaran tersebut.
Jabatan Negara turut berkata, rancangan untuk membakar al-Quran itu adalah inisiatif sebuah kumpulan pinggiran yang tersisih jauh dari masyarakat arus perdana.
"Kami berharap dunia akan faham tindakan ini adalah oleh sebuah kumpulan pinggiran yang sangat kecil dan tidak mewakili pandangan AS atau rakyat Amerika keseluruhannya," kata jurucakap Jabatan Negara, Philip Crowley. - AP/AFP

Dapat anugerah kerana hina nabi


Merkel beri anugerah pada kartunis imej Nabi

KARTUNIS Denmark Kurt Westergaard (kiri) bersama Angela Merkel sebelum majlis penyampaian anugerah media M100 2010 di Potsdam, timur Jerman, kelmarin. – AFP


POTSDAM, Jerman 9 Sept. – Canselor Jerman, Angela Merkel menyanjung kebebasan bersuara semalam pada satu majlis anugerah untuk seorang kartunis Denmark yang melukis karikatur Nabi Muhammad memakai serban menyerupai bom.
Lukisan Kurt Westergaard adalah antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan protes umat Islam di seluruh dunia sehingga menyebabkan 50 orang maut lima tahun lalu.
Merkel yang membesar di bawah rejim komunis di Jerman Timur terkenang akan kegembiraan beliau semasa Tembok Berlin runtuh pada 1989.
“Bagi saya sendiri kebebasan ialah pengalaman paling gembira dalam hidup saya,” kata Merkel, 56, pada majlis anugerah semasa persidangan mengenai kebebasan akhbar di Potsdam dekat Berlin.
Beliau menyifatkan kebebasan akhbar sebagai ‘komoditi yang sangat berharga’.
Diberi penghormatan pada acara itu ialah Westergaard yang melukis karikatur paling kontroversi antara 12 karikatur Nabi Muhammad yang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh selepas penyiarannya dalam sebuah akhbar Denmark pada 2005.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Merkel dan penganjur kerana anugerah yang mengiktiraf perjuangannya menegakkan kebebasan bersuara.
“Kita masih menjalani kehidupan yang baik sekalipun menghadapi pelbagai ancaman,” kata Westergaard, 75.
Tokoh Islam di Jerman mengkritik Merkel kerana memberi penghormatan kepada kartunis tersebut.
“Merkel memberi penghormatan kepada kartunis yang pada pandangan kami telah memijak-mijak Nabi kami dan memijak-mijak seluruh umat Islam,” kata Aiman Mazyek daripada Majlis Islam Pusat di Jerman dalam satu kenyataan. – Reuters

Indonesia yakin tak rugi Malaysia tarik pelaburan



JAKARTA 9 Sept. - Indonesia tidak akan mengalami kerugian jika Malaysia menarik balik semua pelaburan mereka di negara ini, kata seorang ahli Parlimen republik itu, semalam.
Anggota Jawatankuasa VI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dari Parti Amanat National (PAN), Nasril Bahar berkata, Malaysia sebaliknya yang akan mengalami kerugian kerana pelaburan Indonesia di negara itu tidaklah sebesar berbanding pelaburan negara itu di sini.
Menurutnya, krisis yang berlaku antara kedua-dua negara ini secara langsung akan menganggu perjalanan perusahaan Malaysia di Indonesia.
"Dalam jangka pendek, pelaburan negara itu di sini pasti terganggu tetapi kita tidak perlu takut jika Malaysia menghentikan pelaburan mereka di negara ini," kata Nasril kepada akhbar Seputar Indonesia.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan akan ada perusahaan Malaysia yang dihentikan di Indonesia jika krisis politik itu tidak dapat diselesaikan.
Namun tegasnya, perselisihan antara kedua-dua negara perlu diselesaikan dengan mengutamakan kehormatan kemanusiaan dan toleransi.
"Begitu juga di sektor industri, pelaburan Malaysia di negara ini harus menguntungkan kedua-dua pihak dan berpandukan asas toleransi bernegara," tambah Nasril.
Wakil Ketua Jawatankuasa VI DPR dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Aria Bima bersependapat dengan Nasril bahawa kerajaan dan pelabur Malaysia perlu berkelakuan baik dan jangan melukai hati rakyat Indonesia.
Menurut Aria, di sektor perniagaan, ia haruslah saling menguntungkan kedua pihak, bukan mematikan.
Sementara itu, pakar ekonomi Universiti Gadjah Mada, Sri Adiningsih berkata, dalam tempoh tiga tahun terakhir, Malaysia banyak membuat pelaburan di Indonesia terutamanya dalam sektor minyak sawit, perbankan dan automotif.
"Mereka mengaut keuntungan dari negara ini, oleh sebab itu mereka perlu bertoleransi dan turut serta membangunkan Indonesia," ujarnya.
Ketua Subdirektorat Piawaian dan Teknologi Kementerian Perindustrian, Hasbi Assiddiq pula menganggap mana-mana negara yang memutuskan hubungan perniagaan dengan Indonesia akan rugi kerana negara ini memiliki sumber tenaga kerja dan pasaran yang besar.
"Malaysia jangan sombong, hanya negara bodoh yang akan memutuskan hubungan perniagaan dengan Indonesia," tegasnya. - Agensi

Ibu tunggal anak lima sedih sambut Syawal



JASIN 9 Sept. - Menyambut ketibaan Syawal tanpa orang tersayang amat dirasai apatah lagi terpaksa mengharungi hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Begitulah perasaan seorang ibu tunggal anak lima, Rohaya Rahman, 45, selepas kehilangan suami tersayang, Mohd. Yusuf Manap kira-kira lima tahun lalu kerana jangkitan paru-paru.
Kematian suami berlaku sewaktu kejadian banjir besar melanda Kampung Parit Benteng, Sungai Rambai di sini, penghujung tahun 2006.
Kejadian tersebut masih lagi terpahat di dalam diri enam beranak ini apatah lagi mereka kehilangan tempat bergantung.
Menurutnya, selepas kehilangan arwah suaminya empat tahun lalu, kedatangan Aidilfitri bagaikan tiada makna buat dirinya sekeluarga malah kemeriahan Syawal yang dirasainya juga tidak seceria dulu.
"Sejak empat tahun lalu, sambutan hari raya bagi kami sama seperti hari-hari biasa dan yang pasti tidak semeriah semasa arwah suami masih hidup.
"Selepas kehilangan arwah, saya bekerja sebagai pekerja am di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu dengan gaji RM500 sebulan bagi menampung keperluan keluarga," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Rohaya berkata, dengan pendapatan tidak seberapa itu, dia perlu menampung perbelanjaan persekolahan empat anaknya.
Bagaimanapun, katanya, dua daripada empat anaknya itu mendapat biasiswa di sekolah masing-masing.
"Anak sulung sudah bekerja tetapi pendapatannya sebagai pekerja buruh tidak seberapa dan tidak mampu membantu menambah pendapatan keluarga.
"Kami sekeluarga terpaksa berjimat cermat dengan wang yang ada kerana keperluan anak masih bersekolah amat penting," katanya.
Bagi berkongsi kesedihan yang dialami lima beranak itu, Konvoi Singgah Sahur anjuran Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd. Rahman.
"Terima kasih kepada semua ahli rombongan yang sudi mengambil berat penderitaan kami sekeluarga. Kami hargai sumbangan yang diberikan ini," katanya.
Sementara itu, Hasan memberitahu, Konvoi Singgah Sahur tahun ini mensasarkan lawatan ke 14 keluarga yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kurang upaya dalam DUN Sungai Rambai.
Katanya, aktiviti itu diadakan setiap kali Ramadan dan memasuki tahun ketiga penganjurannya.
"Kita lihat dengan aktiviti sebegini dapat membolehkan ahli rombongan memberi fokus kepada masalah dihadapi, di samping mendekatkan diri dengan golongan memerlukan ini," katanya.

4 beradik beraya dalam kepiluan





Muhammad Zaidi Roslley (kanan) bersama adik-beradiknya menunjukkan gambar ayah dan ibu di rumah mereka di Jempol, Negeri Sembilan, semalam.


JEMPOL 9 Sept. - Dalam kegembiraan umat Islam menyambut kedatangan Syawal esok, ada insan terus dirundung kesedihan apabila meraikannya sebagai anak yatim piatu.
Empat adik-beradik iaitu Muhammad Zaidi Roslley, 25, Nurul Zailin, 21, Muhammad Ikhwan, 17, dan Nurul Syamimi, 11, adalah antara insan yang terpaksa menahan kesedihan sewaktu menyambut Aidilfitri kerana merayakannya tanpa orang tersayang.
Apatah lagi apabila memikirkan mereka kehilangan tiga insan penting dalam hidup apabila nyawa diragut serentak dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah, 19 Mac lalu.
Ayah dan ibu keempat-empat beradik tersebut, Roslley Hassan, 48, dan Roziah Shamsudin, 42, serta adik, Muhammad Zaidi, Muhammad Danish Zakuan yang berusia setahun lima bulan maut dalam nahas tersebut.
"Masih terbayang detik cemas dan kehilangan insan tersayang.
"Waktu itu, Proton Saga yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Serting Hilir (Jempol) menuju ke Seremban sebelum bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
"Saya tidak menduga, anak saya juga terkorban dalam kemalangan itu," kata Muhammad Zaidi ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, biarpun mereka semua sudah tiada, dia dan adik-adiknya bersyukur kerana sanak-saudara sentiasa bersama mereka mengharungi saat getir ini.
"Suasana sedih ini amat dirasai pada Aidilfitri ini, lebih-lebih lagi ini adalah tahun pertama kami meraikan tanpa ibu, ayah serta adik lelaki tunggal saya yang kembali ke rahmatullah," katanya.
Sementara itu, Nurul Zailin berkata, dia sangat merindui dan terkenang saat-saat manis ketika bersama dengan ibu dan ayahnya.
"Biasanya bila kami menyambut Aidilfitri, ibu dan ayah merupakan orang paling sibuk menyiapkan persiapan kami adik-beradik termasuk menghias rumah dan membuat kuih raya.
"Kali ini, kami merasa terlalu sunyi dan sambutan Aidilfitri kali ini dilakukan dalam suasana sederhana," katanya.
Dalam pada itu, Nurul Syamimi yang kini menetap bersama ibu saudaranya di Rembau berkata, walaupun tidak tinggal serumah bersama adik beradik lain dia tetap merindui dan menyayangi adik-beradiknya.
"Walaupun terpaksa berpisah buat seketika, saya gembira kerana mula bersekolah di sini malah ibu saudara menjaga selama ini sudah dianggap seperti ibu sendiri," katanya.
Katanya, dia terkenang rendang yang dimasak ibu pada Aidilfitri ini.
"Kami adik beradik akan membersihkan rumah dan menziarahi kubur ibu dan ayah sebagai tanda ingatan pada hari raya ini," katanya.

Ibu harap Sosilawati dapat pulang beraya



BATU PAHAT 9 Sept. - Tiada yang lebih menggembirakan bagi Yatemi Abdul Rahman, 80, menjelang Hari Raya Aidilfitri esok selain kepulangan anaknya, Datuk Sosilawati Lawiya yang hilang sejak 30 Ogos lalu.
Menurutnya, dia menaruh harapan yang tinggi untuk melihat anak kelapannya itu pulang beraya di kampung walaupun bukan pada 1 Syawal.
"Saya menaruh harapan tinggi Sosilawati akan pulang, tak dapat Hari Raya pertama, hari-hari seterusnya pun jadilah janji dia balik,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Menanti, Seri Medan di sini hari ini.
Yatemi juga tidak dapat menahan sebak apabila mengenangkan nasib Sosilawati dan dia juga sering mendoakan keselamatan anaknya itu.
Katanya, hari raya kali ini tidak ceria tanpa kepulangan Sosilawati yang sering meraikan Aidilfitri di kampung bersama ahli keluarga yang lain.
Yatemi berkata, sepatutnya Sosilawati pulang ke kampung pada 31 Ogos lalu iaitu sehari selepas dia dilaporkan hilang bagi menguruskan pembelian perabot-perabot baru sempena Hari Raya kali ini.
"Malah saya sudah memasak rempeyek dan tumpi sejak dua minggu lalu kerana ia sememangnya kegemaran Sosilawati setiap kali Hari Raya," katanya.
Sosilawati dilaporkan hilang bersama pembantu peribadinya, Kamarudin Samsudin; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abd. Karim, 32.
Isnin lalu, polis menemui kereta BMW X5 bernombor pendaftaran WTL 11 milik Sosilawati yang ditinggalkan di Flat Angsana, USJ manakala kereta BMW 525i bernombor pendaftaran AAJ 5 milik Ahmad Kamil ditemui di Hotel Dorsett, Subang Jaya.
Yatemi berkata, dia juga tidak tidur lena dan sering terjaga pada pukul 3 pagi sejak dua tiga hari sebelum ini kerana bimbangkan keselamatan Sosilawati.
"Kami sekeluarga juga telah meminta pertolongan orang kampung untuk melakukan solat hajat bagi mendoakan keselamatan Sosilawati," katanya.
Dalam pada itu, adik ipar Sosilawati, Azizah Ahmad, 37, berkata, sehingga kini keluarganya belum dimaklumkan mengenai perkembangan lanjut kehilangan Sosilawati.
Menurutnya, walaupun pernah mendengar keluhan Sosilawati yang ditipu beberapa kali dalam perniagaan semasa mereka berkumpul beramai-ramai sebelum ini, mereka tidak berapa jelas tentang perkara itu selain tidak bertanya lanjut kerana enggan mencampuri urusan peribadi beliau.
"Malah setahu saya, Wati juga tidak pernah mempunyai musuh lantaran sikapnya yang peramah, bermurah hati dan sering membantu orang," katanya.

Anifah kutuk rancangan bakar al-Quran



PUTRAJAYA 9 Sept. – Tindakan seorang paderi Amerika Syarikat, Terry Jones yang merancang untuk membakar al-Quran pada 11 September ini membangkitkan kemarahan umat Islam dan bukan Islam.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, rancangan Jones untuk membakar kitab suci umat Islam itu tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang mencintakan keamanan.
“Pandangan saya ialah seperti umat Islam yang lain. Ia merupakan tindakan hina yang sukar dibayangkan.
“Tindakannya merupakan serangan ke atas Islam dan akan membangkitkan kemarahan umat Islam dan bukan Islam termasuk umat Kristian sendiri.
“Kita mengutuk tindakan ini kerana seorang pemimpin agama yang baik tidak akan melakukan perkara seperti ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jones merupakan seorang paderi di sebuah gereja kecil yang menyokong falsafah anti-Islam dan menyatakan dia masih berdoa ‘untuk mendapatkan ilham’ sama ada akan meneruskan rancangan untuk membakar al-Quran pada 11 September ini.
Jones telah menerima lebih 100 ancaman bunuh yang mahu dia menarik balik rancangan untuk membakar kitab suci umat Islam itu.
Anifah berkata, beliau percaya kerajaan Amerika Syarikat akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencegah kejadian itu.
“Jika rancangan ini dijalankan, ia akan memberi implikasi besar yang sukar dijangkakan,” katanya.

Perkasa tidak perlukan mana-mana pihak



KUALA LUMPUR 9 Sept. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak memerlukan sokongan mana-mana parti politik untuk membolehkannya berjuang terutama bagi mempertahankan hak Islam dan Melayu seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, Perkasa amat memerlukan sokongan rakyat negara ini khususnya mereka yang bersetuju dengan agenda perjuangan pertubuhan itu.
‘‘Sejak Perkasa ditubuhkan kami telah menetapkan beberapa agenda perjuangan dan paling utama adalah mempertahankan Perlembagaan daripada dicabul oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
‘‘Selain itu, Perkasa turut memperjuangkan kewujudan kerajaan yang amanah, adil, saksama, tidak rasuah, tidak menyalahgunakan kuasa, mempunyai sistem penyampaian yang cekap serta mesra rakyat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan media hari ini bahawa Barisan Nasional (BN) dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya terutama UMNO membuat keputusan untuk menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.
Dalam keputusan pada mesyuarat bulanan BN bagi memperkukuhkan gagasan itu yang pertama kali diadakan di Putrajaya semalam, semua parti komponen turut mengalu-alukan tindakan UMNO apabila mengambil langkah pertama menyatakan pendirian mahu menjauhkan diri daripada Perkasa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.
Ibrahim berkata, dalam agenda perjuangan Perkasa, pertubuhan itu juga mahukan pemimpin atau wakil rakyat yang beriman, bertaqwa, menjaga solat, celik al-Quran, berakhlak mulia, amanah, mesra rakyat dan tidak sombong.
‘‘Pemimpin atau wakil rakyat juga tidak boleh sama sekali melakukan maksiat, mempunyai sifat tamak haloba dan melakukan perkara-perkara tidak bermoral,’’ katanya.
Mengenai pendirian 13 ahli komponen BN tersebut, Ibrahim berkata, beliau percaya jika Perkasa tidak wujud sekali pun sokongan bukan Melayu kepada BN tetap sama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13.
‘‘Ia kerana komponen BN terutama pemimpinnya mempunyai bermacam-macam rekod yang boleh menyebabkan rakyat menolak parti itu dan janji Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada mereka,’’ katanya.
Beliau berkata, Perkasa memberi kebebasan penuh kepada mana-mana ahli-ahlinya untuk membuat penentuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Chua Soi Lek beri keterangan



KUALA LUMPUR, 9 Sept. – Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini dipanggil memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mendakwanya telah membuat ucapan berbaur perkauman baru-baru ini.
Ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, Dr Chua berkata beliau memberi keterangan hampir dua jam di situ.
Katanya beliau turut menyerahkan teks ucapannya semasa Kongres Ekonomi Cina bulan lepas yang didakwa Perkasa berbaur perkauman kepada polis untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Khalid perlu jelaskan penjualan aset PKNS - Khir



SHAH ALAM 9 Sept. - Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan penjelasan berhubung dakwaan penjualan bersyarat beberapa aset milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bernilai RM1.8 bilion melalui amanah pelaburan hartanah (REIT).
Beliau berkata, langkah tersebut dilihat mempunyai implikasi terhadap keyakinan serta kemampuan PKNS dalam menguruskan aset-aset miliknya.
Katanya, meskipun PKNS mempunyai rasionalisasinya dalam urusniaga berkenaan, tindakan sedemikian bagaimanapun menunjukkan kemungkinan anak syarikat kerajaan negeri itu mempunyai masalah kewangan sehingga menjejaskan operasinya.
"Apa rasionalnya kerajaan negeri jika benar menjual aset-aset milik PKNS melalui REIT. Apakah kerajaan negeri atau PKNS sendiri tidak lagi mampu untuk menguruskan aset-aset yang ada.
"Apakah juga kerajaan negeri hari ini mengalami masalah kewangan hingga aset anak syarikat itu perlu dijual. Jadi, saya minta Menteri Besar (Abdul Khalid selaku Pengerusi PKNS) memberikan penjelasan sebenar mengenai perkara ini.
"Ketika saya menjadi Menteri Besar dahulu, PKNS berada dalam keadaan yang kukuh dari segi kewangannya termasuklah memiliki aset-aset dalam jumlah yang agak besar termasuklah dalam sektor hartanah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Mohamad Khir, sekiranya kerajaan negeri mahupun PKNS melihat tindakannya itu sebagai satu strategi baru pelaburan dan pengurusan asetnya beliau menyatakan bahawa anak syarikat itu sepatutnya berusaha untuk menambahkan aset mereka, bukan sebaliknya.
Mohamad Khir berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas menerusi pihak pengurusan PKNS dikatakan menjual kepentingan anak syarikat itu difahamkan kepada Amanah Raya Real Estate Investment Trust (ARREIT).
Dakwaan yang siarkan menerusi laman blog www.mykmu.net itu menjelaskan bahawa pihak pengurusan PKNS menjual aset strategiknya kepada ARREIT melibatkan hartanah Kompleks PKNS dan Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) masing-masing di Shah Alam.
Selain aset berkenaan, PKNS juga dikatakan turut menjual bangunannya di Petaling Jaya termasuklah beberapa projek perumahan lain kepada syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, Mohamad Khir berkata, tindakan penjualan aset-aset PKNS itu turut mencetuskan persoalan mengenai hala tuju serta fungsi penubuhan anak syarikat itu pada tahun 1964 untuk membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi bumiputera.
Ini kerana, penjualan aset berkenaan seperti Kompleks PKNS di Shah Alam kepada ARREIT dilihat boleh mencetuskan kebimbangan sama ada matlamat untuk meninggikan taraf sosio-ekonomi bumiputera dikekalkan atau sebaliknya.

Pengerusi Felcra cabar Nik Aziz





PASIR SALAK 9 Sept. - Pengerusi Felcra Bhd. (Felcra), Datuk Tajuddin Abdul Rahman mencabar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuktikan bahawa tanah ladang kelapa sawit seluas 3,237.4 hektar yang diserahkan kepada kerajaan negeri telah dimanfaatkan untuk rakyat negeri itu.
Tajuddin berkata, tanah bernilai bernilai RM240 juta itu telah diserahkan oleh Felcra kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk kebajikan rakyat negeri itu pada awal tahun ini tetapi beliau difahamkan, tiada seorang individu pun dicalonkan sebagai peserta ladang berkenaan sehingga kini.
Tambah beliau, selain mengembalikan tanah tersebut, Felcra turut memenuhi tuntutan bayaran tambahan RM10 juta yang diminta oleh kerajaan Kelantan.
"Adakah tanah itu dijadikan ladang rakyat oleh kerajaan Kelantan dan adakah rakyat mendapat hasil dari keuntungan ladang tersebut atau wang tersebut masuk ke tabung khas kerajaan negeri atau parti politik?
"Ladang tersebut boleh menghasilkan keuntungan bersih tidak kurang dari RM10 juta setahun jika mengambil kira harga pasaran semasa kelapa sawit,'' katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat Felcra Bhd. kepada golongan kurang bernasib di Masjid Bandar Seberang Perak, di sini, kelmarin.
Pada majlis tersebut, seramai 409 penerima yang terdiri daripada 181 anak-anak yatim, 72 orang kurang upaya (OKU), 112 warga emas, 22 fakir miskin dan 11 mangsa ribut menerima wang zakat.
Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah Felcra Bhd. Perak, Mat Roni Zakaria dan Pengurus Felcra Seberang Perak, Muthalib Tais.
Menurut Tajuddin, sekiranya tiada peserta di ladang kelapa sawit itu, ia sangat mendukacitakan kerana ia boleh membantu mengeluarkan rakyat dari kemiskinan.
"Apa sudah jadi dengan tanah ladang kelapa sawit yang diserahkan kepada Kerajaan Kelantan? Mana pesertanya? Ini jelas bertentangan dengan matlamat asal Felcra yang mahu melihat peserta mendapat keuntungan daripadanya," ujar beliau.