Wednesday, October 23, 2013

Amerika Latin diintip AS


Miami: Bekas wartawan Guardian yang mendedahkan kebanyakan berita mengenai program pengintipan sulit AS semalam berkata, semua negara Amerika Latin diawasi oleh Washington.

Bercakap kepada sebuah persatuan wartawan, Glenn Greenwald berkata, dia akan melaporkan setiap satu kes di rantau itu dan memberi amaran, lebih banyak kisah pengintipan di AS akan didedahkan.
Kenyataan berkenaan dibuat ketika Perancis dan Mexico menuntut penjelasan daripada Rumah Putih mengenai maklumat baru yang dibocorkan bekas perisik keselamatan AS, Edward Snowden.

Menurut Snowden AS mengintip jutaan komunikasi telefon Perancis dan Agensi Keselamatan Kebangsaan AS turut menggodam akaun e-mel bekas Presiden Mexico, Felipe Calderon.


Greenwald - wartawan AS yang menetap di Brazil - bercakap di persidangan tahunan ke-69 Persatuan Wartawan Antara Amerika (IAPA) melalui video.


Kata Greenwald, pelbagai mesyuarat di Amerika Latin dipantau AS, termasuk membabitkan Pertubuhan Negara Amerika serta rundingan perjanjian perdagangan bebas.

Di samping itu, menurutnya, laporan Le Monde semalam mengenai program pengintipan berkenaan sudah berada di tangan akhbar Perancis itu sejak beberapa lama dulu. - AFP

Gesa AS dedah kempen dron


Islamabad: Amerika Syarikat perlu menamatkan maklumat sulit yang membabitkan kempen dronnya di Pakistan dan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan tidak sah ke pengadilan.

Amnesty International semalam berkata, tiada pengadilan dibuat mengenai dua serangan dron di barat laut Pakistan tahun lalu, satu daripadanya membunuh nenek berusia 68 tahun ketika mangsa memetik sayur-sayuran.
Gesaan Amnesty itu dibuat menjelang rundingan Rumah Putih antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif, di mana isu serangan dron dijangka dibincangkan.

AS menjalankan hampir 400 serangan dron di daerah suku kaum di Pakistan dekat sempadan Afghanistan sejak 2004, membunuh antara 2,500 hingga 3,600 orang, menurut Biro Siasatan Kewartawanan berpangkalan di London.


Washington berkata, ia adalah kaedah penting dan berkesan dalam perjuangan menentang militan seperti Taliban dan al-Qaeda yang mempunyai kubu kuat di kawasan suku kaum itu.


Namun, pengkritik berkata, ratusan orang awam yang tidak berdosa turut maut dalam serangan terbabit.

Amnesty berkata, tanpa bukti kukuh, sukar untuk menguji dakwaan AS bahawa serangan berkenaan berdasarkan perisikan yang boleh dipercayai dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Maklumat sulit mengenai program dron memberikan pentadbiran AS, lesen untuk membunuh menjangkaui kuasa mahkamah atau syarat asas undang-undang antarabangsa,” kata penyelidik kumpulan hak asasi manusia itu di Pakistan, Mustafa Qadri.

Obama mempertahankan tindakan melancarkan serangan dron pada Mei lalu dengan menganggapnya sah dan terbaik bagi menangani keganasan. - AFP

Balu Gaddafi minta PBB siasat kematian suaminya


Gambar bertarikh 27 Februari 2004 merakamkan Safia Farkash ketika menghadiri perasmian mesyuarat AU di Sirte, Libya. - AFP
TRIPOLI 22 Okt. - Balu bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menggesa Kesatuan Afrika (AU) menyiasat kematian suami dan anak lelakinya, Mutassim.
Menerusi surat yang disiarkan di radio Suara Rusia kelmarin, Safia Farkash turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU) membantunya mengesan lokasi pengebumian kedua-dua anggota keluarganya itu.
"Mana-mana pihak yang mempunyai sumber atau kaitan dengan pembunuhan suami dan anak lelaki saya perlu bantu saya untuk mengesan lokasi pengebumian mereka.
"Hal ini bagi membolehkan suami dan anak saya disemadikan dengan cara yang betul," katanya.
Safia turut meminta bantuan antarabangsa bagi menghubungi seorang lagi anak lelakinya, Saif al-Islam yang ditahan kumpulan pemberontak di selatan Libya pada November 2011.
"Saya berharap masyarakat dunia dapat membantu saya mencari dan menghubungi Saif yang telah terpisah daripada kami sejak dia ditahan," ujarnya.
Saif kini ditahan di bandar Zintan dan sedang menunggu perbicaraan berhubung dakwaan jenayah ketika kebangkitan rakyat pada 2011.
Safia dan tiga lagi anaknya iaitu Aisha, Hannibal dan Mohamed melarikan diri ke Algeria pada Ogos 2011 ketika pemberontak merampas Tripoli.
Sekeluarga itu kemudian mendapat suaka politik di Oman pada tahun ini.
Dua lagi anak lelaki Gaddafi yang terkorban ketika kebangkitan rakyat ialah Saif al-Arab yang maut dalam serangan udara NATO dan Khamis yang terkorban dalam pertempuran. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_05/Balu-Gaddafi-minta-PBB-siasat-kematian-suaminya#ixzz2iXQFAcr2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

AS diarah berhenti intip rakyat Perancis


Laurent Fabius (kiri) menyambut John Kerry di Kementerian Luar Negara Perancis di Paris, semalam. Perancis memanggil Duta AS ke Perancis, Charles Rivkin, kelmarin selepas akhbar Le Monde melaporkan AS mengintip perbualan telefon rakyat Perancis, insiden yang mengeruhkan hubungan Perancis-AS. - REUTERS
PARIS 22 Okt. - Perancis, hari ini mengarahkan Amerika Syarikat (AS) berhenti mengintip panggilan telefon rakyat Perancis, namun memberi isyarat mahu mengurangkan kesan perbalahan berhubung isu itu.
Ketika menghadiri sarapan pagi dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry, Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius meminta Kerry memberi penjelasan berhubung pendedahan program perisikan oleh Washington tersebut.
''Beliau (Fabius) berulang kali mendesak diberikan penerangan amalan perisikan AS yang tidak boleh diterima antara rakan kerjasama dan perbuatan itu perlu dihentikan,'' kata jurucakap Menteri Luar Perancis itu selepas pertemuan tersebut.
Walaupun Kementerian Luar Perancis menggunakan nada keras ketika mengutarakan perkara tersebut, namun terdapat tanda- tanda Paris mahu mengurangkan perbalahan ekoran pendedahan akhbar Le Monde bahawa Agensi Keselamatan Nasional (NSA) AS memantau lebih 70 juta panggilan telefon di Perancis antara Disember 10 dan 8 Januari lalu.
Ketika ditanya apakah Perancis menimbang untuk mengambil tindakan terhadap AS berhubung pendedahan itu, jurucakap kerajaan, Najat Vallaud-Belkacem menolak mendedahkan perkara tersebut.
''Perkara itu adalah antara Fabius untuk menentukan tindakan yang akan diambil tetapi saya tidak rasa ada keperluan untuk memburukkan keadaan.
''Kita perlu ada hubungan hormat-menghormati antara rakan kerjasama dan sekutu. Keyakinan kita berhubung perkara ini semakin berkurangan, namun hubungan kita selama ini sangat rapat,'' katanya kepada stesen televisyen, France 2.
Presiden Perancis, Francois Hollande, malam tadi berkata, 'tindakan NSA itu tidak boleh diterima antara rakan dan sekutu', ketika menghubungi rakan sejawatannya dari AS, Barack Obama.
Pegawai AS mengakui Perancis mempunyai asas perundangan untuk mengemukakan aduan, namun menyifatkan laporan berhubung program perisikan NSA itu sebagai 'diputarbelitkan'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_07/AS-diarah-berhenti-intip-rakyat-Perancis#ixzz2iXPx7Wpv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Brunei laksana hukum Hudud


Sultan Hassanal Bolkiah merasmikan Majlis Ilmu 2013 di Bandar Seri Begawan, semalam. - AFP
BANDAR SERI BEGAWAN 22 Okt. - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara ini, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal Syariah itu, diwartakan, hari ini selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji.
Sebelum ini, Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu majlis tertutup di sini pada 10 Oktober lalu berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.
Peraturan lain yang bakal dilaksanakan termasuk hukuman sebat ke atas pesalah yang melakukan pengguguran dan minum arak.
"Dengan rahmat Allah, mudah- mudahan penguatkuasaan undang-undang ini akan memenuhi tanggungjawab kita kepada Allah swt.
"Saya berharap undang-undang ini boleh mengukuhkan pengaruh Islam di Brunei yang majoritinya didiami penduduk Islam," katanya.
Negara yang kaya dengan sumber minyak itu dihuni kira-kira 400,000 penduduk dan 70 peratus daripada mereka merupakan penganut Islam dan selebihnya Kristian, Buddha dan agama lain.
Brunei sebelum ini menguatkuasakan gabungan dua sistem peraturan iaitu mahkamah berdasarkan undang-undang Britain untuk kes sivil dan undang-undang Syariah bagi kes peribadi dan isu keluarga.
Kerajaan Brunei turut melarang penjualan dan pengambilan alkohol serta menyekat aktiviti keagamaan dan perayaan agama lain daripada diadakan secara terbuka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_01/Brunei-laksana-hukum-Hudud#ixzz2iXOI2uKo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Arab Saudi hukum 200,000 orang kerja haji tanpa permit

ABHA 22 Okt. - Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi telah menghantar surat pekeliling kepada semua gabenor tempatan supaya mengambil tindakan terhadap penduduk negara ini dan warga asing yang mengerjakan ibadat haji tanpa permit.
Kesemua pesalah akan dipanggil pada Ahad depan ke balai polis berhampiran di seluruh kerajaan itu untuk dikenakan hukuman.
Kesemua gabenor telah diarah mencari 120,000 jemaah haji yang dikesan melalui cap jari ketika melakukan ibadat haji tanpa permit dan membawa mereka ke balai polis berdekatan.
Pada tahun ini, agensi-agensi keselamatan menggunakan mesin cap jari di Mekah dan Tanah Suci di Mina dan Arafat bagi mengesan penduduk Arab Saudi dan warga asing mengerjakan haji tanpa permit.
Menurut sumber, tidak akan berlaku kelonggaran terhadap pesalah, dan kerajaan Arab Saudi telah memberi jaminan di hadapan pihak berkuasa, pesalah perlu membayar denda, manakala warga asing akan diusir dan tidak dibenarkan memasuki semula negara ini dalam tempoh 10 tahun.
Sejurus selesai ibadat haji, Lembaga Pengarah Pasport mula menghantar pesanan kepada majikan dan pekerja, meminta mereka menamatkan kontrak kerja pekerja asing yang mengerjakan ibadat haji secara haram.
Beberapa pekerja asing telah mengesahkan bahawa majikan mereka menerima pesanan itu.
Menurut sumber, lebih 200,000 penduduk Arab Saudi dan warga asing mengerjakan ibadat haji pada tahun ini tanpa permit berbanding lebih 600,000 orang pada tahun lalu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131023/lu_04/Arab-Saudi-hukum-200000-orang-kerja-haji-tanpa-permit#ixzz2iXNvdkpy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rihanna diminta tinggalkan masjid



AP
RIHANNA bergambar di depan Masjid Sheikh Zayed di Dubai baru-baru ini.


DUBAI - Penyanyi terkenal, Rihanna diminta meninggalkan Masjid Sheikh Zayed di sini selepas seorang jurugambar merakamkan beberapa keping gambarnya yang memakai hijab berwarna hitam.
Pihak berkuasa masjid itu membuat penjelasan dalam satu kenyataan bahawa penyanyi berkenaan diminta berbuat demikian kerana beberapa gayanya ketika bergambar dianggap tidak bersesuaian dengan adab ketika berada di sekitar masjid tersebut baru-baru ini.
Masjid itu merupakan salah satu daya tarikan pelan- cong di ibu negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
"Penyanyi itu memasuki sebuah kawasan persendirian tanpa memperkenalkan dirinya," menurut satu kenyataan daripada pihak pengurusan masjid tersebut yang disiarkan kelmarin.
Kenyataan itu menyebut, pihak pentadbiran masjid berkenaan juga tidak menyelaraskan lawatan penyanyi tersebut.
"Dia (Rihanna) diminta meninggalkan masjid itu sebelum dia memasukinya selepas bergambar dengan cara yang tidak sesuai dengan status rumah ibadat berkenaan," menurut kenyataan tersebut.
Gambar tersebut juga mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat penyanyi itu di laman bergambar Instagram.
"Dia (Rihanna) menganggap sedang berjemur di sebuah pantai di Miami," kata seorang pengguna dalam bahasa Arab.
Penyanyi itu membuat persembahan di sini pada 19 Oktober lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1023&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2iW2HouZ8 
Hakcipta terpelihara