Pembunuhan rakyat awam Mesir ditaja kerajaan sendiri:
Seorang penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi menemani seorang rakannya yang cedera di dalam sebuah khemah yang dijadikan hospital di Masjid Rabaa al-Adawiya di Kaherah, Mesir, kelmarin. - AGENSI
Pembunuhan beramai-ramai rakyat awam Mesir yang dilakukan pasukan keselamatan negara itu mendapat kecaman serta kutukan banyak pihak.
Seluruh dunia menyifatkannya sebagai jenayah kemanusiaan terkutuk, lebih-lebih lagi ia dilakukan pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keamanan serta ketenteraman negara.
Sebaliknya, tentera dan polis menggempur dua buah kubu kuat penyokong bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi, menembak orang awam tanpa belas kasihan sehingga mengakibatkan beribu-ribu kematian.
Melihatkan kepada angka kematian 2,200 nyawa yang dikeluarkan pergerakan Ikhwanul Muslimin, skala pembunuhan besar-besaran itu merekod jenayah kemanusiaan paling buruk dalam sejarah.
Serangan dari semua penjuru menggunakan helikopter, penembak tepat, peluru hidup, gas pemedih mata dan jentolak, memperlihatkan lagi 'kesungguhan' kerajaan sementara Mesir yang betul-betul mahu menghapuskan penyokong Mursi, dan bukan hanya sekadar mahu mengusir mereka.
Kekejaman itu juga oleh dianggap sebagai insiden paling kejam kerana pembunuhan rakyat Mesir ditaja oleh kerajaannya sendiri.
Perdana Menteri Britain, David Cameron mengutuk kejadian pembunuhan beramai-ramai tersebut dengan menyatakan negaranya tidak menyokong keganasan seumpama itu.
"Kami mengutuk sepenuhnya kejadian ini, ia tidak akan membantu menyelesaikan sebarang masalah,'' katanya.
Menteri Luar Australia, Bob Carr turut mengutuk keganasan tersebut dan meminta semua pihak terbabit dalam kejadian itu untuk bertenang.
"Pertumpahan darah yang berlaku di Mesir merupakan satu kejadian tragik,'' katanya.
Tindakan tidak berperikemanusiaan itu malah dianggap Perdana Menteri sementara Mesir, Hazem el-Beblawi sebagai satu langkah 'mempertahankan diri' oleh tentera dan polis.
Hazem malah menyatakan, kerajaan akan meneruskan pendekatan ketenteraan menjelang pilihan raya umum yang dijadual pada tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Mesir, Mohamed Ibrahim dalam pada itu turut berikrar untuk mengembalikan keselamatan era bekas Presiden Hosni Mubarak di negara ini.
"Saya berjanji setelah situasi di Mesir kembali stabil, keamanan akan dikembalikan seperti sebelum 25 Januari 2011," katanya yang merujuk kepada hari sebelum tercetusnya gelombang kebangkitan rakyat pertama di negara ini yang menumbangkan Mubarak.
Apa yang pasti, tindakan kekerasan pasukan keselamatan itu menunjukkan orang yang paling berkuasa di Mesir kini ialah Ketua Tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi.
Penganalisis membayangkan, pilihan raya umum yang bakal diadakan di negara itu tahun depan tidak akan berjalan dengan adil dengan kerajaan Mesir akan diperintah mengikut kehendak Sisi.
Malah, ada antara penganalisis menyatakan bahawa Sisi kini boleh dianggap sebagai 'Raja Mesir' berikutan kuasa yang diberikan kepada pasukan keselamatan tersebut.
Tragedi berdarah itu turut menimbulkan spekulasi bahawa konflik di Mesir hanya akan bertambah buruk sehingga berkemungkinan menjadi perang saudara, sekali gus menjejaskan usaha perdamaian di antara penyokong Mursi dengan pihak sekular, tentera, serta golongan Kristian.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130816/lu_03/Pembunuhan-rakyat-awam-Mesir-ditaja-kerajaan-sendiri#ixzz2cBqqnKA7
© Utusan Melayu (M) Bhd