Wednesday, December 15, 2010

Mufti Kelantan dimasukkan ke hospital


15/12/2010 8:42pm

KOTA BAHARU 15 Dis. – Mufti Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana menghidap penyakit radang usus sejak Khamis lepas.
Keadaan beliau dilaporkan bertambah baik.
Ketika ditemui di hospital itu hari ini, Mohd Shukri berkata, beliau selamat menjalani pembedahan di bahagian usus pada 12 Disember lepas.
Katanya, beliau tiba-tiba mengalami radang usus itu selepas pulang daripada bercuti bersama keluarga di Cameron Highlands. - Bernama

Lebih 17 ribu wanita berhenti kerja kesan ekonomi global


KUALA LUMPUR -- Seramai 17,126 wanita tempatan telah berhenti kerja bagi tempoh Okt 2008 hingga April lalu akibat kesan krisis ekonomi global.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesan krisis global adalah lebih besar ke atas wanita berbanding lelaki kerana mereka ini lebih mudah terdedah kepada risiko krisis tersebut.

"Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan pengupayaan ekonomi golongan wanita yang terjejas itu," katanya menjawab soalan Senator J.Usha Nandhini pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Shahrizat berkata antara langkah itu adalah mengadakan latihan kemahiran bagi membolehkan wanita menjana pendapatan melalui program seperti Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT), Jejari Bestari dan Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNITA).

Beliau berkata pada masa ini juga kementerian telah berjaya melatih dan membangunkan seramai 4,550 orang usahawan wanita di bawah inisiatif NKRA kementerian.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 1,629 orang usahawan wanita dilahirkan dengan pendapatan melebihi RM3,500.

Beliau berkata kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh dari 46.4 peratus ke 55 peratus pada tahun 2015 di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

"Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai usaha dilaksanakan oleh kerajaan seperti menggiatkan usaha mewujudkan keseimbangan antara kerjaya dan kerja melalui pelaksanaan waktu kerja anjal dan bekerja dari rumah," katanya.

Menerusi kaedah bekerja dari rumah, Shahrizat berkata sehingga September lepas, Jabatan Tenaga Kerja melaporkan seramai 2,823 orang wanita telah mendapat pekerjaan dengan 159 buah syarikat swasta. -- BERNAMA

Jatuh motosikal perkara biasa





SEMELING - Jatuh motosikal, pakaian anak ke sekolah kotor dan rutin menukar tayar motosikal setiap bulan sudah menjadi perkara biasa kepada penduduk di Kampung Air Nasi, di sini. 

Ia berikutan jalan utama kampung itu rosak teruk. 

Penduduk, Abdul Rahman Sulong, 52, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam berkata, jalan berturap sepanjang lebih kurang 3 kilometer kampung itu rosak teruk akibat daripada kenderaan berat yang kerap melaluinya. 

“Sejak 20 tahun lalu, kampung kami diteroka orang luar yang membuka kolam udang dan ikan. Akibatnya kenderaan berat seperti jentolak, lori muatan berat dan sebagainya sering keluar masuk menggunakan jalan kampung ini. 

“Ini menyebabkan jalan kampung semakin hari semakin rosak teruk, berlopak di sini sana, sampaikan penduduk yang menaiki motosikal sering terjatuh akibat jalan berlopak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kampung itu. 

Abdul Rahman berkata, sudah menjadi perkara biasa di kampung itu setiap bulan ada sahaja penduduk kampung yang terjatuh dari motosikal akibat tidak dapat mengelak lopak. 

Menurutnya, anak mereka yang menaiki basikal ke sekolah juga turut terkena tempiasnya apabila belum sempat sampai ke sekolah, pakaian sekolah sudah dikotori dengan lumpur dan sebagainya akibat jalan rosak, berlopak dan menakung air hujan. 

“Dua bulan lepas penduduk telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha kolam udang dan ikan di sini dan mereka berjanji untuk membaik pulih jalan yang rosak. 

“Namun amat mengecewakan apabila mereka hanya menabur batu kelikir ke dalam lopak-lopak itu sahaja tanpa membaiki sepenuhnya,” katanya. 

Abdul Rahman berkata, sudah berulang kali aduan mengenai masalah jalan rosak sejak lima tahun lalu itu dibuat kepada pihak bertanggungjawab namun masih tidak ada sebarang tindakan diambil. 

Penduduk berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera terhadap masalah jalan rosak di kampung mereka dengan menurap keseluruhan jalan sebelum ia lebih memudaratkan.

Kerajaan takut Anwar rampas takhta

 



KUANTAN – Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman (gambar) menyifatkan komen yang diterima mengenai pendedahan yang dikeluarkan oleh WikiLeaks menunjukkan pemerintah sebenarnya takut dengan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Katanya, jika pemerintah sudah melaksanakan tanggungjawab seperti mana yang dijanjikan, mereka tidak perlu takut Anwar ‘merampas’ takhta mereka. 

“Musuh Anwar akan gunakan apa cara sekalipun untuk menjatuhkannya. Hakikatnya, mereka sebenarnya takut akan turun takhta jika Anwar berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Katanya, dalam hal ini, tindakan mahkamah bukanlah penentu segala-galanya kerana harapan untuk mendapatkan keadilan belum terjamin. 

“Jika Anwar mengambil tindakan mahkamah, kita sendiri tidak tahu bagaimana keputusannya nanti. Siapa yang berani menolak keputusan mahkamah, jika mahkamah sudah menentukannya, kita memang tidak dapat berbuat apa-apa. 

“Bagaimanapun, semuanya terpulang kepada Anwar. Jika dia mahu mengambil tindakan, teruskanlah. Jika tidak, itu tidak bermakna dia bersalah,” katanya. 

Dalam pada itu, Fauzi turut mengulas tentang kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan pendedahan tersebut dilakukan kerana Singapura iri hati dengan pencapaian Malaysia. 

“Saya rasa itu adalah satu hujah bodoh serta tidak masuk akal. Tidak ada sebab Singapura mahu dengki dengan kita sedangkan negara mereka jauh lebih membangun serta ekonomi mereka juga lebih kukuh. 

“Mengapa perlu dia mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan tidak ada apa yang perlu dicemburukan Singapura terhadap negara kita,” katanya.

Kutip hasil pasir RM5.012 juta





KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri telah mengutip hasil sebanyak RM5.012 juta daripada aktiviti pengambilan pasir di negeri ini dalam tempoh tiga tahun, iaitu sejak tahun 2007. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera (BN-ADUN Chukai) berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.672 juta dikutip pada 2007, RM1.1745 juta (2008) dan RM1.595 juta (2009). 

Menurutnya, berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing, sebanyak 15 lesen telah dikeluarkan pada 2007, 2008 (13 lesen) dan 2009 (15 lesen) iaitu di Kuala Terengganu manakala di Kemaman, lapan lesen dikeluarkan pada 2007, 2008 (9 lesen) dan 2009 (11 lesen). 

“Bagi daerah Dungun pula, sebanyak lima lesen telah dikeluarkan pada 2007, 2008 (12 lesen) dan 2009 (12 lesen) manakala sebanyak lima lesen dikeluarkan di Besut pada 2007 dan 2008 serta empat lesen pada 2009,” katanya. 

Menurutnya, di Hulu Terengganu pula, sebanyak 22 lesen dikeluarkan pada 2007, 2008 (24 lesen) dan 2009 (23 lesen) manakala di Setiu pula sebanyak 12 lesen dikeluarkan pada 2007, 2008 (17 lesen) dan 2009 (18 lesen). 

“Marang tidak mengutip sebarang hasil daripada aktiviti pengambilan pasir susulan tiada lesen dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun berkenaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dan tambahan yang dikemukakan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas-ADUN Wakaf Mempelam) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, semalam. 

Menurut Mohamed lagi, pihaknya mengakui berlaku kes pelanggaran syarat lesen dan kecurian pasir, namun menyatakan kes yang berlaku adalah kecil. 

“Bagi mengelakkan kes ini menjadi lebih buruk seperti mana yang berlaku di Selangor, kita telah menubuhkan satu pasukan pemantau bagi memantau segala aktiviti pengambilan pasir di negeri ini. 

“Badan pemantau itu diketuai Pejabat Tanah dan Galian, selain dianggotai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pentadbir-pentadbir tanah di setiap daerah,” katanya. 

Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak pernah meluluskan lesen dengan mudah kerana berdasarkan rekod, jumlah yang dikeluarkan setiap tahun tidak melebihi 100 lesen dan ia akan dinilai semula setiap dua tahun dari segi keberkesanannya.

Juruterbang maut helikopter terhempas




MALIM NAWAR – Seorang juruterbang yang sedang dalam kursus melakukan penerbangan solo di sini maut ketika menjalani latihan dalam kejadian di kawasan Estet Liang Kee, Malim Nawar jam 3.08 petang semalam. 

Mangsa, Allahyarham Inspektor Mohd Shukri Othman, 31, dari 1540 Permatang Tok Gelam, Seberang Prai, Pulau Pinang maut ketika menjalani latihan di Integrated Training and Services Ipoh. 

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, semasa kejadian, lapan anggota dihantar Polis Diraja Malaysia sedang menjalani latihan penerbangan di Ipoh. 

“Pada jam 2.15 petang tadi, pegawai kita melakukan penerbangan solo dengan sebuah helikopter jenis R44 dan berada di udara selama 15 minit. 

“Kira-kira jam 3.00 petang, helikopter yang dinaiki mangsa telah mengalami masalah dan mangsa maut dalam kejadian tersebut,” katanya. 

Mangsa yang sudah berkahwin meninggalkan seorang balu dan seorang anak berusia setahun dan ini merupakan penerbangan solo kelima mangsa. 

Sinar Harian difahamkan, ketika latihan berkenaan dijalankan, mangsa adalah peserta pertama yang berlepas dari pusat latihan di Intergrated Training and Service Center, Ipoh dan menjalani latihan di ruang udara Gopeng – Kampar. 

Katanya, arwah telah berkhidmat sebagai pegawai polis biasa sebelum berada di Unit Udara Polis selama enam tahun. 

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh. 

Sementara itu, rakan mangsa, Inspektor Md Nurkhail Md Zaini, 29 berkata, arwah merupakan senior yang baik dan mempunyai seorang balu dan seorang anak berusia setahun. 

“Arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil sebelum penerbangan. 

“Sepatutnya, masa latihan adalah selama satu jam dan Mohd Shukri perlu sampai semula ke pusat di lapangan terbang jam 3.15 petang namun apabila dihubungi selepas jam itu, tiada jawapan diterima,” katanya yang dimaklumkan tentang insiden berkenaan daripada balai polis berhampiran. 

Saksi pertama kejadian, Hariandi Dimun, 28, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjala ikan di lombong berhampiran dan ternampak sebuah helikopter dari arah gunung. 

“Apabila nampak helikopter itu dah rendah tetapi tidak berpusing. 

Namun secara tiba-tiba, ia terhempas membuatkan saya yang ketika itu sedang menjala terkejut. 

“Ketika sampai ke lokasi kejadian mangsa sudah hangus dan ada lima atau enam orang awam sedang cuba memadam api menggunakan air lombong,” katanya kepada Sinar Harian. 

Selain itu, seorang pekebun, Muniandy Manugaran, 33, berkata, dia antara yang terawal sampai ke tempat kejadian. 

Katanya, terdapat juga beberapa pekerja yang sedang mengangkut pasir turut berada di lokasi berdekatan terkejut dengan bunyi letupan kemungkinan dari enjin helikopter. 

“Mula-mula kami semua tak berani nak dekat, dan selepas itu nampak mangsa terbakar paras pinggang sehingga kepala dan nampak kaki mangsa di bangkai helikopter,” katanya.

Panggilan 'sayang' gamatkan DUN Terengganu




2010/12/15

KUALA TERENGGANU: Panggilan "sayang" kepada Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, menggamatkan persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang masuk hari ketiga hari ini. 

Ia berlaku apabila wakil PAS itu terus mengasak Ahmad dengan soalan tambahan mengenai cadangan untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu walaupun Ahmad beberapa kali menjelaskan kerajaan belum bercadang berbuat demikian.
"Kita tak bercadang nak tambah jumlah kerusi DUN, cukup setakat itu saja sayang," katanya yang menyebabkan hampir semua yang ada di dewan tergelak.Sebelum itu, ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang), Ahmad berkata kerajaan negeri belum berhasrat menambah bilangan kerusi DUN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. 

Ahmad berkata, jika ada cadangan berbuat demikian, kerajaan negeri perlu merujuk kepada Kerajaan Persekutuan. 

"Proses persempadanan semula hanya dibuat dalam tempoh lapan tahun sekali," katanya. 

Pada masa ini, Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dengan 24 daripadanya dikuasai Barisan Nasional dan selebihnya oleh PAS. - BERNAMA 

Proton perkenal model Saga FL

KAKITANGAN PROTON, Hafiza Ismail (kanan) dan Nur Hafiza Basharuddin memperkenalkan model Saga FL di Shah Alam, hari ini. - Foto Abdullah Yusof


Zaid tubuh parti KITA

DATUK Zaid Ibrahim mengumumkan penubuhan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) menggantikan Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada sidang media di Tropicana Golf Club, Kuala Lumpur, hari ini. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut diumumkan sebagai Presiden baru. Turut hadir bekas Presiden AKIM, Zakaria Salleh (kiri). - Foto Yazit Razal

i

Azmin diarah keluar dewan

AHLI Parlimen Gombak, Azmin Ali, dikerumuni wartawan di lobi Parlimen selepas diarah keluar dari Dewan Rakyat, hari ini. Seorang lagi wakil pembangkang, R Sivarasa (PKR-Subang) turut diarah keluar kerana mengingkari arahan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, selepas mempertikaikan penolakan usul berkenaan pendedahan WikiLeaks mengenai Malaysia. - Foto Sairien Nafis


Selangor akan ambil tindakan mahkamah terhadap SYABAS




2010/12/15

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menunggu masa yang sesuai sebelum mengambil tindakan mahkamah terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) termasuk menarik lesen syarikat berkenaan dari terus menguruskan perkhidmatan bekalan air di negeri itu. 

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ini kerana SYABAS masih meneruskan program Tabung Budi di negeri itu walaupun telah diarahkan memberhentikannya.
"Kita masih menanti jawapan daripada mereka dan bila mereka teruskan maka lebih mudah untuk kita buktikan di mahkamah bahawa mereka telah melanggar perjanjian untuk menguruskan bekalan air," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco negeri di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, Syabas tidak berhak mengutip derma daripada mana-mana individu pengguna air yang mendapat subsidi daripada kerajaan negeri menerusi tabung itu. 

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lalu membabitkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan dan diserahkan kepada SYABAS. 

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih berikutan kegagalan mereka membayar bil. 

Kerajaan negeri pada 23 November lalu telah menghantar notis kepada SYABAS supaya menghentikan program Tabung Budi dalam masa 14 hari kerana ia didapati melanggar syarat perjanjian konsesi air. 
Notis bertarikh 23 November itu dikeluarkan oleh Pengarah Kawal Selia Air Selangor, Nor Azmi Diron, mengikut Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997. - BERNAMA 

Jelajah 24 negara dengan modenas

SYED Ahmad Abdul Hadi Syed Hussian, 39, yang menjelajah 24 negara dengan menunggang motosikal Modenas selamat tiba di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, hari ini. - Foto Syaharim Abidin


Demonstrasi guna kanak-kanak tidak wajar


15/12/2010 5:59pm

PETALING JAYA — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengutuk perbuatan menggunakan kanak-kanak dalam perhimpunan awam kerana sebagai satu bentuk eksploitasi dan kaedah tidak wajar bagi menjayakan motif penganjur.
Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam berkata walaupun kebebasan berhimpun dijamin, namun beberapa kes baru-baru ini iaitu membawa kanak-kanak ke demonstrasi, merupakan satu eksploitasi mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Sehubungan itu, Suhakam bercadang bertemu kumpulan yang merancang mengadakan perhimpunan bagi menasihati mereka agar mematuhi garis panduan serta peraturan sedia ada, katanya selepas menghadiri forum Pembuangan Bayi anjuran suruhanjaya berkenaan di sini.
Beliau diminta mengulas kehadiran kanak-kanak pada perhimpunan di Masjid Negara 5 Dis lepas berhubung isu air negeri Selangor.
Nayagam berkata, Suhakam kesal dengan penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan awam kerana keselamatan mereka perlu diutamakan. — Bernama

Kes buang bayi tertinggi di Selangor - Shahrizat


15/12/2010 7:07pm

KUALA LUMPUR — Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kes pembuangan bayi berbanding negeri-negeri lain dari tahun 2004 sehingga Khamis lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, negeri itu mencatatkan sebanyak 147 kes daripada keseluruhan 571 yang direkodkan di seluruh negara.
Katanya, statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan Johor menduduki tempat kedua dengan 113 kes, jauh berbeza dengan Perlis yang hanya mencatatkan satu kes.
Shahrizat menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu statistik kes pembuangan bayi mengikut kaum dan negeri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. — Bernama

Dua masjid di Besut solat Jumaat dua kali


15/12/2010 7:30pm

KUALA TERENGGANU 15 Dis. — Dua buah masjid di negeri ini iaitu di daerah Besut dikesan menunaikan solat Jumaat dua kali dalam satu kariah.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, sebelum ini dilaporkan ada 10 buah masjid yang mengalami keadaan sama, namun dapat diatasi dengan penyokong parti pembangkang kembali bersama menunaikan solat Jumaat bersama-sama di masjid yang ditauliahkan kerajaan.
"Keadaan pemulauan mengerjakan solat Jumaat di masjid kerajaan akan terus berlaku jika pemimpin Pas di negeri ini tidak menasihati penyokong mereka supaya menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid kerajaan dalam kariah masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini yang mahukan penjelasan bila masalah solat dua jumaat dalam satu kariah akan diatasi.
Katanya, hasil siasatan yang dilakukan juga mendapati kebanyakan penyokong parti pembangkang enggan menunaikan solat Jumaat di masjid kerajaan kerana tidak mendapat keizinan daripada pemimpin parti itu.
"Apabila ditanya, mereka menjawab yang mereka tak ada masalah solat Jumaat di masjid kerajaan tapi kena tanya pemimpin mereka dulu,” katanya.
Beliau berkata keadaan itu jelas menunjukkan penyokong Pas tidak mempunyai masalah untuk menunaikan solat Jumaat di masjid kerajaan, namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mendapat keputusan daripada pemimpin mereka.
Sehubungan itu, katanya sudah tiba masa bagi pucuk pimpinan parti tersebut supaya menasihati penyokongnya agar kembali menunaikan solat Jumaat di masjid asal bagi memastikan umat Islam terus bersatu dan teguh walaupun mempunyai idealogi politik yang berbeza.
Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) kemudian bangkit mengemukakan soalan tambahan dengan menyatakan masalah solat dua jumaat dalam satu kariah tidak pernah menjadi isu, terutama di negara Arab termasuk Arab Saudi.
Khazan berkata, situasi itu jauh berbeza kerana penduduk Islam seperti di Madinah (Arab Saudi) terlalu padat dan munasabah mereka menunaikan solat Jumaat di masjid berasingan. - Bernama

Sekatan polis, namun ribuan dengar Anwar



KUALA LUMPUR, 15 Dis: Walaupun penuh dengan sekatan polis, ia tidak menghalang orang ramai memenuhi kawasan lapang taman Melati dekat sini untuk mendengar sendiri penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya tentang tuduhan terbaru para pemimpin Singapura melalui WikiLeaks.
Dan di majlis itu, Anwar tidak hilang karismanya sebagai pemimpin apabila berkata, “Adakah kamu fikir saya ini bodoh untuk memasuki perangkap apabila tahu ianya perangkap? Jangan cabar saya terlalu berlebihan! Saya akan dedahkan kes pembunuhan yang telah dilakukan dan cuba ditutup rapat.”
“Wikileaks, apa bukti kamu, bawa Lee Kuan Yew ke mahkamah. Saya tidak peduli, kamu fikir saya buat atau tidak. Itu bukan urusan saya. Kamu ada rakaman video atau catatan doctor, bawa ke mahkamah,” kata Anwar disambut tepukan gemuruh para penyokongnya.
Anwar merujuk kepada dakwaan para pemimpin Singapura dan diplomat mereka dalam apa yang dinamakan sebagai pendedahan oleh WikiLeaks melalui media Australia yang antara lain mendakwa Anwar telah diperangkap oleh musuhnya dalam kes sodomi dan Anwar sendiri memasuki perangkap itu.
Walaupun cuba diterangkan oleh para pemimpin Pakatan mengenainya, namun semua media tradisional negara menutupnya. Laporan WikiLeaks juga diambil tentang dakwaan Lee Kuan Yew terhadap Anwar sahaja tetapi laporan tentang pembunuhan Altantuya Shariibuu tidak disiarkan.
Di samping Anwar,  turut berceramah adalah anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad, anggota Parlimen Batu Tian Chua,  Tan Tee Kwong, Shamsul Iskandar dan juga Teresa Kok.
Tian Chua dalam ceramah itu berkata, pihaknya sedang berusaha supaya laporan WikiLeaks ini dibincangkan di Dewan Rakyat. Satu usul telah dibentangkan bagi membincangkan hal itu.
“Kita mahu Dewan Rakyat bincangkan laporan terhadap Anwar dan juga dakwaan terhadap Najib berkaitan dengan pembunuhan terhadap Altantunya yang juga disebutkan dalam dokumen WikiLeaks ini,” kata Tian.
Siang tadi, peguam Anwar mengumumkan pihaknya akan menyaman Lee Kuan Yew dan juga Tun Dr Mahathir yang berkata beliau yakin pemimpin Singapura itu tahu Anwar melakukan sodomi itu.
Anwar mula menjelajah negara mulai semalam. Esok 16 Disember, Anwar akan berada di Dataran Muhibbah, Kampong Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan dalam siri Ceramah Perdananya sehinggalah 19 Disember ini yang akan berakhir di Pulau Pinang.

Tolak Najib yang cuba belakangkan demokrasi


KUALA LUMPUR, 15 Dis: Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar (gambar) menyeru anak muda menolak ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianggap menolak sistem demokrasi di negara ini.

Firdaus berkata, ucapan Najib dalam satu majlis Sabtu lalu bahawa tidak ada parti lain boleh memerintah sekiranya Umno/Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang amat mengecewakan.

"Saya selaku pengarah pilihan raya pemuda melihat ucapan Najib ini satu ucapan membelakangi demokrasi. Seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya bercakap begitu. Kita ada sains politik, kita ada pakar-pakar politik yang membincangkan mengenai demokrasi, dan banyak peruntukan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan proses demokrasi berjalan di Malaysia.

"Tapi kenyataan Perdana Menteri itu mengecewakan kita seolah-olah kalau Umno kalah tak ada siapa boleh menang. Mana boleh macam itu.

"Jadi saya mengajak anak muda untuk mengambil perhatian terhadap ungkapan ini dan saya menjangkakan akan lebih dahsyat lagi keluar dari pemimpin-pemimpin Umno yang menggambarkan kepada masyarakat kampung kalau BN kalah habis semua, hancur lebur," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Jerai itu juga berkata, Umno/BN seharusnya membiarkan rakyat mengamalkan demokrasi dengan memilih kerajaan yang mereka mahukan, bukan mengeluarkan ungkapan-ungkapan sedemikian.

"Anak muda mesti melihat prinsip Pakatan Rakyat. Kita akan jaga demokrasi dalam negara ini. Ini jaminan kita. Tidak kisah siapa yang menang asalkan kita mengikut sistem demokrasi yang sebenar-benarnya.

"Kita nak mengajak rakyat bersama kita untuk memberi nafas baru dan politik baru kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Tahniah kepada Guan Eng
Sementara itu,beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di atas pengumuman bayaran khas Maal Hijrah RM100 kepada kesemua 1,376 guru Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) di negeri itu dan bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri.

Beliau berkata, tindakan Guan Eng itu membuktikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

"Saya ucap tahniah kepada Lim Guan Eng yang telah memberi bantuan khas sekolah sekolah dan bantuan kepada guru KAFA.

"Ini hasil kejayaan apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan,maka satu persatu kebajikan telah kita tonjolkan kepada rakyat. Ini juga hasil jimat cermat Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang," katanya.

Sambil menyifatkan ianya langkah bijak Guan Eng, tambahnya, bukan sahaja di Pulau Pinang kebajikan rakyat terjamin namun di negeri Pakatan yang lain juga ianya turut berlaku.

"Ini langkah bijak dan semestinya negeri lain juga ada sesuatu yang diberikan. Kalau di Kedah, pada bulan Ramadhan Menteri Besar bagi sumbangan kepada guru Al-Quran sukarela, tok bidan sukarela. Ini juga insentif yang cuba dilakukan oleh negeri Pakatan rakyat.

"Sebab itu rakyat Malaysia mesti melihat kejayaan negeri Kelantan dan negeri-negeri lain yang telah menunjukkan kejayaan demi kekayaan walaupun tidak mendapat liputan media secara meluas.

Sehubungan itu ujarnya, selepas Konvensyen ke -2  19 Disember ini, Pakatan akan memperkukuhkan media alternatif bagi bersaing dengan media milik Umno/BN dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Kita tak dapat liputan media yang menyeluruh tapi selepas konvensyen Pakatan ini kita akan kaji semula untuk kita mencari media alternatif kepada masyarakat iaitu media Pakatan Rakyat," katanya.

Pegawai Pulau Pinang RM1,300, pusat hanya RM500


IPOH, 15 Dis: Pakatan Rakyat Perak menyokong penuh usaha Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berulangkali memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Terkini melibatkan semua 1,376 guru kelas agama fardhu ain (KAFA) di Pulau Pinang akan menikmati pembayaran khas RM100 sempena Maal Hijrah bermula minggu ini.

“Pemberian elaun tambahan dari kerajaan negeri ini merupakan insentif galakan yang bakal memacu lagi moral kerja bermutu di kalangan kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Tambahnya lagi, seluruh kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melibatkan beberapa jabatan menikmati tambahan pendapatan mereka, ini adalah hasil dari keputusan bijak rakyat negeri Pulau Pinang yang memilih pemimpin mereka dengan betul, syabas beliau ucapkan.

Sebelum ini bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang telah pun dibayar kepada 7,812 juta pada 1 Disember lalu, kata beliau lagi.

Sedangkan hanya RM500 yang diterima oleh anggota perkhidmatan awam persekutuan, katanya

“Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan semua.

“Tindakan ini dikira suatu yang amat wajar, kerajaan yang mempunyai kakitangan yang bermotivasi akan akan memberi impak positif terhadap mutu kerja untuk memenuhi keperluan serta tuntutan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Kerajaan Pusat sepatutnya mencontohi tindakan kerajaan Pulau Pinang dalam soal menjaga kebajikan seluruh kakitangannya, ini adalah suatu tindakan yang amat wajar, malangnya, rakyat terus dibebankan dengan kenaikan harga barang.

“Saya menyarankan agar negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, khususnya negeri lain di bawah Pakatan Rakyat turut mengikut jejak Ketua Menteri Pulau Pinang yang memberi berbagai bantuan kepada kakitangannya, ” katanya.

“Nampaknya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah kepimpinan Lim Guan Eng lebih efisyen daripada Kerajaan Persekutuan dalam soal menjaga kebajikan kakitangan, rakyat sepatutnya memilih Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti kerana UBN gagal setelah setengah abad memerintah," ujarnya.

PENDEDAHAN DI WIKILEAKS- Malaysia serah surat protes pada Singapura



Nota lahir rasa kurang senang terhadap 'ulasan' pegawai Singapura


PUTRAJAYA: Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, semalam menyerahkan surat protes kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, Encik T. Jasudasen.
Beliau melahirkan perasaan kurang senang terhadap beberapa ulasan sulit oleh para pegawai kanan Singapura mengenai pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang baru- baru ini dibocorkan kepada umum menerusi WikiLeaks.Tindakan ini dilakukan walaupun Datuk Seri Najib berusaha untuk tidak memperbesar-besarkan isu tersebut.Singapura juga telah mengambil pendekatan sama.Bagaimanapun, Datuk Seri Anifah semalam memanggil diplomat Singapura itu dan menyerahkan nota protes rasmi Malaysia berhubung ulasan yang dibuat beberapa pegawai kanan Kementerian Ehwal Luar Singapura mengenai kepimpinan Malaysia dan perkembangan negara itu.Datuk Anifah menyuarakan rasa bimbang yang mendalam dan kurang senang Malaysia terhadap ulasan yang di dedahkan oleh WikiLeaks, yang kemudian dilaporkan dalam media, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, lapor versi dalam talian akhbar The Star, pada hari yang sama.Pentadbiran Datuk Seri Najib telah cuba menenangkan hubungan antara dua negara itu, malah cuba menyelesaikan pertikaian dua hala berabad lamanya berhubung tanah landasan kereta api milik Malaysia di Singapura.Ia dicapai walaupun mendapat bantahan sesetengah pihak dalam parti yang memerintah di Malaysia.Namun, ulasan para pegawai kanan Singapura mengenai kepemimpinan Malaysia - pada masa lalu dan sekarang - dijangka boleh menjejas hubungan 'rollercoaster' antara kededua negara berkenaan, kata The Malaysian Insider.Maklumat sulit yang dibocorkan oleh WikiLeaks itu telah diterbitkan oleh akhbar The Sydney Morning Herald.Dalam ulasan pertamanya mengenai pembocoran di WikiLeaks, Datuk Seri Najib kelmarin menggesa rakyat Malaysia supaya jangan mengendahkan ulasan para pegawai kanan Singapura, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah mencapai matlamat negara.'Kita boleh menunjukkan kepada negara jiran kita bahawa walaupun ada kalanya mereka membuat kenyataan yang memperkecilkan kita, bahawa rakyat Malaysia sebenarnya mampu membuat pencapaian,' kata beliau.'Satu pencapaian terbesar ialah apabila kita boleh menjadi negara maju menjelang 2020,' tegas beliau.Kelmarin, Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menjelaskan pendirian republik ini untuk tidak membuat komen terhadap komen-komen yang didedahkan WikiLeaks kerana menganggapnya sebagai gosip dan khabar angin semata.