Showing posts with label pulau. Show all posts
Showing posts with label pulau. Show all posts

Tuesday, April 5, 2011

Keturunan Wan kena pulau




ULU MELAKA - Langkawi kini merupakan sebuah pulau yang menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia dan dipenuhi dengan khazanah alam seperti gamat.

Sumpahan Mahsuri sekitar kurun ke-18 lalu mencetuskan kisah hitam terhadap sejarah Pulau Langkawi.

Generasi keenam Datuk Pekerma Jaya atau juga dikenali sebagai Wan Yahya, Che Ah Che Ngu, 83, menceritakan perjalanan hidup waris Wan Yahya kepada wakil Sinar Harian.

Menurutnya, bermula dari generasi kelima keturunan Wan Yahya tidak lagi menggunakan pangkal nama Wan.

Datuk kepada Che Ah, Wan Yom memberi pangkal nama Che kepada ketiga-tiga anaknya iaitu Che Dah, Che Teh serta Che Ngu yang merupakan ayah kepada Che Ah.

Ia berikutan, Wan Yahya melakukan kesilapan kerana terlalu mengikut cakap isterinya Wan Mahora yang juga dikenali sebagai Mas Jingga sehingga Mahsuri yang tidak berdosa mati teraniaya.

Oleh kerana itu, nama Wan tidak diterima baik pada masa itu terutamanya bagi keturunan Mahsuri.

Sementara itu, Che Ah berkata, Wan Yahya mempunyai sebuah pedana yang digunakan untuk mandi sebelum keluar berperang malah semua tenteranya turut mandi di pedana itu.

“Air di dalam pedana itu dikatakan sangat sejuk dan boleh menyembuhkan sakit-sakit ringan seperti sakit kepala sekiranya disapukan di bahagian kepala yang sakit.

“Pedana itu merupakan satu-satunya barang warisan yang masih disimpan oleh keluarga Che Ah untuk dijadikan kenang-kenangan,” katanya.

Sebelum ini keluarga Che Ah turut menyimpan Panji Datuk Wan Ali, tetapi diserahkan kepada pihak Muzium Negeri Kedah.

“Kami ada meminta pihak muzium menyerahkan kembali bendera itu tetapi, mereka meminta kebenaran untuk mengabadikannya sebagai warisan pihak muzium dan memberikan sijil penghargaan kepada kami,” katanya.

Panji itu mempunyai kisah tersendiri kerana menurut Che Ah, rumah yang menyimpan panji terbabit tidak terbakar semasa diserang tentera Siam walaupun rumah di sekeliling hangus terbakar.

Kini waris Wan Yahya menjalinkan hubungan baik dengan waris Mahsuri dan menurut Che Ah mereka sudah tidak berdendam malah waris ke tujuh Mahsuri pernah datang melawatnya di Langkawi satu ketika dulu.
SH

Thursday, August 5, 2010

AJK masjid pulau imam kerana politik



PENGKALAN KUBOR 4 Ogos - Gara-gara tindakan bapa mertuanya yang kerap mengkritik Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, imam muda di Masjid As-Somadi di Kampung Geting dekat sini dipulau oleh ahli jawatankuasa dan jemaah yang tidak sehaluan dengannya.
Malah setiap kali imam muda itu, Rosli Abdul Latif, 31, mengimamkan solat, ada antara makmum melakukan solat berjemaah dengan imam yang lain secara berasingan di belakang.
Rosli berkata, ekoran kejadian itu, beliau dinasihatkan jawatankuasa masjid supaya berhenti menjalankan tugasnya bagi menjaga keharmonian anak kariah masjid berkenaan.
"Semuanya sebab politik, bapa mertua saya kuat mengkritik Nik Abdul Aziz. Saya tidak terlibat dalam politik malah pada kuliah pun saya jarang sentuh mengenai politik walaupun saya seorang penyokong Pas.
"Disebabkan timbul isu setiap kali saya jadi imam, akan berlaku dua jemaah maka satu mesyuarat dipanggil oleh jawatankuasa masjid, anak makmum tidak berkenan saya jadi imam, jadi untuk menjaga keharmonian, saya tidak dibenarkan menjadi imam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, bapa mertuanya, Abdullah Sa'amah yang juga pengasas Pondok Geting kerap mengkritik Nik Abdul Aziz kerana berpendapat Mursyidul Am Pas itu telah mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam seperti tidak menggalakkan sambutan Maulidur Rasul dan mengatakan Allah pun mencarut.
Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan kenyataan Abdullah yang meminta Nik Abdul Aziz membuang sikap ego dan menerima cadangan perpaduan dengan UMNO demi kepentingan umat Islam.
Rosli berkata, beliau telah dipanggil oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut tetapi tiada sebarang keputusan dibuat.
"Kerana tidak tahan dipulau malah terdapat surat layang yang menghina bapa mertua, saya telah meletakkan jawatan pada Jun lalu tetapi menarik balik selepas memikirkan banyak faktor.
"Selepas itu saya menjalankan tugas seperti biasa tetapi kejadian dua imam berlaku lagi, maka saya dipanggil oleh Maik dan menjelaskan saya tidak ada kena-mengena dengan politik walaupun saya penyokong Pas biasa," katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, beliau hairan dengan sikap fanatik penyokong Nik Abdul Aziz kerana menantunya tidak terlibat langsung dengan sebarang kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.
Katanya, apa yang dikatakannya adalah kebenaran untuk memastikan akidah umat Islam tidak terus terpesong dengan dakyah yang dibawa oleh pemimpin itu.
"Menantu saya tidak ada kena-mengena dalam hal ini, saya bercakap demi kebenaran. Kenapa pula dia dikaitkan dengan semua ini. Jangan terlalu fanatik, fikir dulu dengan mendalam apa yang saya katakan sebelum ini.
"Saya mencabar Nik Abdul Aziz berdebat sekiranya apa yang saya katakan hari ini tidak benar. Saya bukan baru dalam Pas, sejak berpuluh tahun dulu saya berada dalam Pas tetapi hari ini parti itu mementingkan kuasa sehingga sanggup berkawan dengan DAP," katanya.

Wednesday, May 19, 2010

Boikot barangan yahudi


Palestin pulau barangan Yahudi

Seorang lelaki Palestin membuang barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan haram yahudi di tebing barat ke dalam api sebagai menyokong kempen memulaukan barangan yahudi di kampung Salfit, Tebing Barat, semalam. - AP


RAMALLAH 18 Mei - Rakyat Palestin hari ini memperhebatkan kempen untuk memulaukan barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan haram Yahudi dengan melakukan kunjungan rumah ke rumah bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengharaman itu di seluruh Tebing Barat.
Penyelaras kempen, Haitham Kayali berkata, kempen rumah ke rumah itu adalah sebahagian daripada kempen kebangsaan untuk mengharamkan produk dari kawasan penempatan Yahudi.
"Hari ini kempen rumah ke rumah bermula di semua bandar di Palestin," katanya.
Menurut Kayali, 3,000 belia Palestin akan melawat kira-kira 427,000 rumah di seluruh Tebing Barat bagi mengedarkan risalah yang menyenaraikan barangan yang diharamkan dan memaklumkan kepada keluarga Palestin tentang bahaya barangan tersebut kepada perjuangan mereka untuk menuntut kemerdekaan.
Mereka kemudian akan menggantung sepanduk di luar rumah terlibat untuk mengesahkannya sebagai bebas daripada barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan Yahudi.
Rakyat Palestin menganggap kehadiran kira-kira 500,000 pendatang haram Yahudi di lebih 120 kawasan penempatan haram di seluruh Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis sebagai ancaman besar terhadap perjuangan mereka untuk menegakkan sebuah negara Palestin.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas bulan lepas meluluskan rang undang-undang yang mengharamkan perdagangan barangan yang dikeluarkan dari kawasan penempatan Yahudi, berikutan kempen selama beberapa bulan yang melibatkan pembakaran produk itu di khalayak ramai.
Mereka yang didapati bersalah menjual beli barangan dari kawasan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan denda sebanyak AS$22,000 (RM70,400).
Kempen rumah ke rumah itu dijalankan oleh Dana Karameh (Maruah), yang diwujudkan untuk meningkatkan ekonomi Palestin dan membantu mereka yang terjejas kehidupannya disebabkan sekatan ke atas perdagangan dengan kawasan penempatan Yahudi. - AFP